Khamis, November 30, 2017

Bermula dari keyakinan

"Ulama dulu dah habis bahas tentang psikologi dan motivasi rupanya"

Pendaatku: Philosophy in other words, adalah psychology

Kerana philosophy atau ilmu kalam atau usuluddin atau ilmu tawhid (general interpretation to philosophy) in the end membawa kita kembali dan dekat kepada Tuhan. Asas perbahasan kita ialah yaqin. Bermula dari thabit

Philosophy Barat menjauhkan diri dari tuhan. Sebab asas perbahasan mereka ialah keraguan. Mereka tak berpijak dibumi yang nyata

Keranan itulah status WhatsAppku tertulis: yang tidak berakar pasti dibawa banjir.

Bagaimana untuk kukuh berdiri kalau tiada akar?

Allahu a’lam

Khamis, November 16, 2017

Sejarah dalam kepingan warkah





Buku ini berjudul Letters of  Sincerity. Keikhlasan yang ada dalam buku ini cukup terserlah kerana menampakkan betapa ‘ikhlasnya’ pegawai-pegawai kolonial yang datang berkhidmat di alam Melayu. 

Buku ini menampilkan koleksi surat daripada dan kepada Stamford Raffles. Surat ditulis sama ada oleh sultan, pembesar atau saudagar kepada Raffles. Namun yang banyaknya oleh Sultan/Raja. Ada banyak oerkara yang menyentuh hatiku. Aku akan tulis satu persatu di sini.

1. Sultan merayu meminta simpati, bantuan.

2. Tertipu kerana terlalu jujur

3. Pembesar yang bermuka-muka

4. Niat sebenar orang-orang Beitish ialah mengaut hasil mahsul ke negaranya. Kalau dapat menjajah lebih baik

5. Seni mengarang berbeza dari satu kerajaan ke kerajaan yang lain. Karangan Acheh sangat cantik dengan kata aluan dan pujian yang panjang berjela. Banyak masukan Arab, seperti membaca Hamzah Fansuri atau Raniri. 

Khamis, Oktober 19, 2017

Kajian

Entri ini akan duduk atas, memijak entri lain. Tidak ada apa yang ada di sini, kecuali senaria nama yang diletakkan bagi menjalankan kajian. Ada pautan, ada pengenalan ringkas. Mudah umtuk dirujuk kerana selalu nota yang berterabur payah ditemui bila sudah dicatatkan sesuaut. Begitulah antara cabaran membuat kajian - gagal menyelenggara maklumat menyebabkan sumber yang ditemui terbang begitu sahaja.

Doakan hamba berjaya melepasi cabaran pencarian dalam menulis tesis!

  1. Ignaty Krachkovsky’s 
  2. Mahmud Taymur
  3. Ismail Marcinkowski
  4. Jurnal al-Shajarah
  5. https://patanistudies.com/


Rabu, Julai 19, 2017

Membaca sejarah

Dua hari yang lalu, aku berbincang tentang satu buku yang menarik untuk diterbitkan. Empunya buku tersebut ialah seorang kerabat terdekat kesultanan Perak. Agak berhati-hati bila menghadirkan diri, almaklumlah orang biasa mahu bertemu warga istana. Anaknya satu tempat pengajian denganku, menjadi jambatan antara kami berbincang.

Perbincangan berlangsung sekejap sahaja, selepas itu kami berbual panjang tentang sejarah kesultanan Perak dan kisah-kisah yang selama ini kalau pun aku baca, ada perasaan sinis dan prejudis. Namun pertemuan ini memberi satu pandangan baharu yang cukup baik kerana adik dari kawanku itu mempunyai pengetahuan yang baik dalam sejarah kesultanan Perak. Dia banyak mencantumkan pengetahuan dan bacaan-bacaanku yang terpecah-pecah. Sementelahan lagi, minggu lepas aku baru menghadiri Wacana Misa Melayu di Perpustakaan Negara. Ia bagai memberi pendedahan baharu tentang perkara yang selama ini kita tersilap pandang. Ada maa nanti aku akan tulis lebih panjang (walaupun semangat menulis blog sekarang sangat suam).

Dua jam kami berbual, sempat disajikan dengan minum petang. Aku puasa, Tengku rasa serba salah. Sepatutnya aku yang serba salah kerana sdah tahu akan janji temu ini. Kami pulang menempuh arus kesesakan jalanraya jam 6.30 petang di Lebuhraya Persekutuan dan aku bebruka dalam kereta bersama bekalan yang Tengku sediakan. Syukurlah

Khamis, Mac 23, 2017

Kisah Sebuah Kematian Yang Menghidupkan

Judul buku : Cerita Cinta Ahmad Ammar
Penulis : Kumpulan Penulis GTPD
Penerbit : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
Jumlah halaman : 360
Tahun terbitan : 2014

Bukanlah kisah cinta biasa yang cuba dipaparkan dalam buku ini. Sebaliknya, kisah seorang anak muda yang hidup seperti insan lain namun kematiannya menjadi sebutan ramai sehingga mencetuskan satu kejutan dan fenomena luar biasa selama berbulan-bulan.

Ahmad Ammar membesar seperti kebanyakan anak muda lain. Bezanya, dia adalah anak pasangan yang begitu dikenali dengan kegiatan kemanusiaan dan kemasyarakatan, dari seluruh pelusuk tanah air hinggalah ke peringkat antarabangsa. Apa yang menjadikan nama Ammar disebut-sebut ialah, kematiannya pada usia 20 tahun yang masih muda tetapi telah banyak menghidupkan hati-hati yang mati dan jiwa-jiwa yang keras, yang tersentuh dengan keperibadiannya yang luhur, dan perwatakannya yang merendah hasil dari gagasan besar yang diletakkan oleh ibu dan bapanya.

Buku ini menghimpunkan 16 buah tulisan insan-insan yang mengenalinya, sama ada rapat atau jauh, dari kalangan keluarga, sahabat dan rakan persekolahan. Setiap dari mereka menuturkan kesimpulan yang sama, bahawa Ammar mempunyai keperibadian yang tinggi sebagai seorang anak muda yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang ada, bekerja keras dan mempunyai wawasan besar terhadap anak bangsanya.

Dibesarkan dalam keluarga aktivis, Ammar sudah biasa memenuhkan harinya dengan pelbagai kegiatan yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat. Ibu bapanya mendidik Ammar untuk menjadi seorang anak muda yang membesar dengan matlamat hidup yang jelas - dipersiapkan ke jalan dakwah. Dari rumah dia telah mendapat didikan yang sempurna, diikuti dengan dunia persekolahan yang melengkapkannya dengan ilmu duniawi-ukhrawi, memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) yang memberinya ruang untuk lebih kuat berhadapan cabaran hidup. Menjadi pelajar kedua terbaik di MTD bukanlah lesen untuk Ammar memilih pengajian yang menjamin masa depan yang cerah kerana dia sudah ditanamkan dengan cita-cita yang lebih besar iaitu membangunkan tamadun bangsa. Hasrat yang datangnya dari ibu bapanya sendiri, langsung tidak disanggah oleh Ammar, malah dia menerima dengan hati terbuka. Ammar tidak dihantar ke barat sebaliknya ke Turki lalu terus memulakan usaha tersebut sebaik sahaja tamat SPM.

Di bawah Jamaah Hayrat, Ammar diasuh bukan sahaja dari segi bahasa dan budaya Turki, malah dengan kefahaman terhadap konsep futuwwah dan persaudaraan dalam pergaulan seharian. Dia mendalami ajaran dan pemikiran Badiuzzaman Said Nursi menerusi Risalah al-Nur malah sudah sedia menjadi pengajar yang ditauliahkan oleh gurunya.

Ammar menjadi rakyat Malaysia yang pertama dimakamkan di Eyyub Sultan, kawasan pemakaman yang menempatkan persemadian Abu Ayub al-Ansari dan 60 orang sahabat Nabi yang syahid serta para pejuang semasa zaman khilafah Uthmaniyyah. Malah ayah Ammar sendiri selalu memberi nasihat kepada anak muda yang berdakwah di luar negara, sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, kebumikan sahaja di sana dan jangan diminta untuk dibawa pulang. ‘Biarkan jenazah bersemadi di tempat nafas terakhir dihembuskan.’ (hlm. 81).

Ibu bapanya menjadi ruang untuk mendapatkan maklumat bagaimana Ammar boleh dibesarkan dengan sebegitu hebat dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini. Ternyata sebelum mendidik seorang anak, ibu dan bapa perlulah menjadi yang terbaik sebagai model untuk dicontohi anak-anaknya.

Kisah cinta Ammar dianggap sebagai luar biasa dan cintanya yang tinggi kepada ummah menjadikan dia seorang insan yang akan dicontohi dan dikenang-kenang sampai bila-bila. ‘Pemergian Ammar telah memberi keyakinan kepada kebanyakan orang, agar generasi baru harus dipersiapkan segera untuk menebus maruah umat yang terus dihina dengan kelemahan dan perpecahan’ (hlm. 79)

Selasa, Mac 14, 2017

Kekenyangan

Pukul dua belas tengah malam. Aku menyuap nasi perlahan-lahan ke mulut sambil membaca mesej-mesej yang pending serta emel yang masih belum sedia kubalas siang tadi. Semua permintaan kutolak dengan baik. Sudah sampai masanya untuk kuberhenti bercakap.
.
Aku menyuap nasi perlahan-lahan pada pukul dua belas tengah malam. Lauk gulai ayam dan sambal udang masakan emak yang baru datang mengisi perutku yang jarang-jarang kenyang.
.
Pukul dua belas tengah malam, aku tersenyum kekenyangan.

Ahad, Mac 12, 2017