Khamis, September 28, 2006

Ramah


Kita boleh ramah, tapi pantang berkasar. Kita boleh marah, tapi ketawalah, dan jangan kehilangan senyum. Kita pasrah miskin, tapi jauhkan diri dari keinginan mengemis. Orang yang kehilangan wang, cuma rugi benda. Tetapi orang yang kehilangan amanah dia rugi harga diri
Arenawati - Panrita

Rusuh hati

Memandang wajahnya sahaja sudah memberi seribu pengertian. Dahinya jarang berkerut, namun saat ini, wajah itu keruh.

“Aku keliru,” ayat pertama keluar dari mulutnya sesudah kami tiba di wakaf yang kosong. Saya duduk rapat disisinya. Dia genggam tangan saya kuat-kuat. Besar kiranya masalahnya kali ini.

“Apa yang kau keliru?” saya bertanya. Dia mengeluh. Nampak sukar mengeluarkan ayat. Matanya redup memandang kosong ke hadapan. Agak lama dia ambil masa untuk berkata.

“Tak tahulah. Tapi aku terasa yang diri aku sekarang sedang berkonflik,” katanya. Saya diam, membiarkan dia mengeluarkan kata satu demi satu.

“Tapi, aku sendiri tidak tahu apa yang menghantui diri aku. Apa sebenarnya konflik aku pun, aku tidak pasti,” jawabnya sambil menundukkan kepalanya. Tangan saya semakin kejap digenggamnya.

“Cuma kau ceritakan satu persatu. Apa sebenarnya yang bermain dalam kepala kau sekarang ini. Selagi kau menyimpannya, kau tidak akan tahu apa masalahnya,” saya membalas lembut, sambil mahu mencairkan hatinya supaya mampu menghuraikan kekusutan.

Dia diam lagi. Kali ini agak lama. Tetapi saya menjadi penat - penat kerana menunggu. Saya harus buka langkah, tidak mahu dia di belenggu masalah. Baru sahaja saya berkira mahu membuka mulut, dia mengeluh.

“Aku penat sebenarnya kerja di sini, di kota ini. Aku terasa kosong. Jiwa aku sunyi. Hati aku sepi. Walaupun setiap hari aku bertemu kawan-kawan, bergelak ketawa, bersuka ria, tapi hati aku pedih dan tertanya. Apa yang aku dapat dengan buat begini sebenarnya. Aku terasa ada sesuatu yang aku tinggalkan dalam hidup,” akhirnya dia memecahkan kebuntuan. Dia memandang ke arah saya sekilas, kemudian memandang semula kehadapan. Pandangan yang sama. Kosong.

“Apa yang kau tinggalkan dalam hidup?” saya bertanya, mengulangi ayat akhirnya.

“Aku pun tidak tahu. Aku tidak tahu apa yang aku cari dalam hidup dan apa yang sepatutnya aku buat. Setiap kali aku pergi kerja, aku dihantui bayangan dosa. Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja arahan yang menyebabkan aku perlu menyimpang dari kebenaran. Aku cuba melarikan diri dari perkara seperti ini, tetapi aku tidak mampu,” dia berkata panjang. Dapat juga saya menguti kegusarannya.

“Contohnya?” saya menduga. Mungkin dia terlalu banyak memikir kemungkinan, sedangkan ia tidaklah sehebat mana.

“Syarikat kami terlibat dalam urusan tender. Sudah beberapa kali tender yang kami dapat adalah hasil dari sogokan wang kepada pegawai yang terlibat. Aku bertanggungjawab menguruskan semuanya dan aku tidak mampu mengelak. Apa yang harus aku buat jika tanganku telah digari dan leherku dihujung pedang?” dia mengeluh.

“Maksudnya?” saya pura-pura tidak faham.

“Sebahagian dari tugasku ialah menguruskan urusan tender, jadi aku bertanggungjawab untuk mendapatkan tender tersebut walau apa cara sekalipun. Penyediaan dokumen sahaja tidak mencukupi jika tidak ada orang yang boleh membantu syarikat dari dalam,” kali ini dia nampak tenang bercerita. Mungkin dia sudah jumpa pokok masalah.

“Maksudnya, kau menguruskan pegawai yang terlibat supaya tender tersebut jatuh kepada syarikat kau?” saya meneka.

Dia mengangguk. “Kau tahu apa yang aku buat?” dia bertanya.

“Apa yang kau buat?’ saya pula bertanya.

“Menguruskan mereka ke karaoke, memberi saguhati beribu ringgit, belanja makan di restoran mahal dan menguruskan percutian mereka di puncak Genting,” dia menjawab senafas. “Mujurlah mereka tidak minta perempuan,” sambungnya.

Saya mengulang istighfar panjang. Nafas saya terasa sesak. Inikah cabaran yang dihadapinya?

“Kau ke karaoke juga lah?” saya cuba menduga. Dia membeliakkan mata ke arah saya. “Apalah kau ni, karaoke tu dimana pun aku tak tahu,” dia membalas.

“Jadi, bagaimana kau menguruskan tempahan?”

“Telefon sahaja. Tempat mereka pilih dan nombor mereka beri. Aku sekadar menelefon mereka.”

Kami terdiam seketika. Inilah dugaan bila bekerja. Antara tugas dan tanggungjawab, dosa dan pahala, semua bercampur dan menduga. Kadangkala, pekerja seringkali disalahkan bila selalu berhenti atau bertukar kerja, tetapi fahamkah mereka apa dugaan yang pekerja hadapi?

“Apa yang kau fikirkan sekarang ini?” saya bertanya.

“Aku malu, kerana syarikat itu adalah syarikat sebangsa dan seagama denganku. Islam!” katanya tegas.

“Kau mahu berhenti?” saya bertanya, mahukan kepastian darinya.
“Untuk berhenti aku rasa boleh sangat. Aku sudah merisik beberapa syarikat lain dan mereka ada kekosongan yang sesuai untukku,” katanya.

“Apakah kau rasa kau patut berhenti?” saya bertanya.

“Kenapa?” dia kehairanan.

“Aku tahu kau keliru. Konflik yang ada dalam diri kau ini ialah sama ada perlu kau bertahan atau berhenti. Cuba kau fikirkan, jika kau berhenti terus, syarikat itu akan dalam yang sama. Akan terus melobi dan merasuah bagi mendapatkan tender atau kontrak. Pekerja juga yang akan terperangkap. Tiada perubahan, malah menjadikan keadaan lebih teruk,” saya memandang tepat ke anak matanya bagi menunjukkan saya sungguh berkata.

“Aku rasa saat ini kau perlu mempraktikkan apa yang kita pelajari dahulu. Inilah masanya. Kita perlu jalankan tanggungjawab yang Allah beri, sebagai khalifahNya di muka bumi. Kemungkaran itu, jika kita boleh cegah dengan tangan, maka usahakanlah. Jika boleh kita lawan, kita lawan. Jika kita lari, masalah tidak akan selesai. Salah jika kita meninggalkan kemungkaran tanpa ada penyelesaian, sedangkan kita mampu menghalangnya.” Saya nampak dia mengangukkan kepala tanda setuju.

“Ya, betul kata kau itu. Ada beberapa orang pekerja menceritakan perkara yang sama. Mereka turut merasa bersalah dan tidak mahu terlibat dalam perkara mungkar, namun apa boleh buat, terpaksa. Tetapi andai kami bersatu, nescaya kami boleh lawan’” secara tiba-tiba dia menjadi begitu semangat.

“Ya, aku rasa itu seharusnya kau lakuka. Berbuatlah sesuatu demi kebaikan semua,” saya menyambung kata semangatnya.

“Mungkin aku meninggalkan Allah tatkala berlari ke hadapan,” dia membalas sayu tanpa memandang ke wajah saya. Saya senyum.

“Mungkin juga. Aku rasa kau perlu bertahan. Kau harius perbetulkan keadaan. Ia mengambil masa. Usaha dakwah Nabi sendiri awalnya ditentang berhabis-habisan, hingga terpaksa berhijrah. Tetapi bila Nabi berhijrah, ada yang mengikutnya, ada yang terkesan dengan dakwah awalnya.”

“Hmm...betul juga.”

“Kau ambil iktibar ini. Kau usahalah dulu. Bila kau rasa tak tahan, barulah kau melangkah. Tetapi contohi Nabi, melangkah keluar dengan mereka yang sealiran dan sefikrah denganmu,” saya memegang bahunya sebagai tanda semangat. Dia senyum gembira, dan kali ini tampak berbeza. Wajah resah yang tadi telah pergi.

“Usahalah, aku sentiasa disamping kau untuk saat susah dan senang. Kalau ada apa-apa masalah, kongsikan, jangan disimpan. Jika tidak, hati kau akan merusuh sendiri, memberontak dari dalam. Ia tidak akan menemui titik penyudah, sebaliknya diri sendiri juga yang tersiksa,” saya berkata sebagai menamatkan hujah. Harapan agar dia terasa sesuatu.

Dia mengangguk. Tangan saya dipegang kejap. Kali ini wajahnya ceria dan lorong yang tadinya nampak gelap, kini bercahaya. Semoga dia mampu melakukan sesuatu, ibarat satu usaha dakwah bagi menghalang kemungkaran itu dari terus bermaharajalela di bumi ini.

27 Sept 2006
3 Ramadhan 1427

Isnin, September 25, 2006

Prolog i – Buat Seorang Sahabat


Entri ini telah saya tulis di blog Qalamnubari pada 18 Mei 2006

Sahabat yang saya kenal ini, bukanlah kecil budak dan bukan juga besar bapak. Kami banyak berkongsi dan bercerita tentang suka duka, luka hati, pilu nestapa dan airmata semalam. Kami sama-sama juga berkongsi dan berbincang perancangan masa depan dan pelan kehidupan hari esok. Kami bagai anak-anak kecil, ada masa bermasam muka, bertengkar atas perkara yang biasa-biasa, diam membisu tanpa sebarang kata dan ada kala cemburu yang entah apa-apa. Kami salin berhubungan bila berjauhan, bercakaran bila duduk berdekatan dan saya selalu yang mengalah kerana tidak mahu dendam berpanjangan.

Sahabat saya ini bila bercakap susah mahu berhenti. Maka saya akan berusaha menahan kantuk mata, letih telinga, panas hati dan kacau jiwa bagi melayannya untuk terus berkata-kata. Khutbahnya cukup panjang, ceritanya pelbagai, kisahnya entah dari mana-mana sumber dan akan pantas dari minit keminit. Saya menjadi pendengar yang setia dan melayan setiap butir kata yang keluar, biarpun hamper semuanya adalah sekadar ulangan sahaja. Maklum sahajalah, sahabat saya in pelupa yang teramat!

Sahabat saya ini membuka mata saya beberapa kali tentang kehidupan, tentang kejadian dan keinsafan. Saya di berikan panduan arah perjalaan, di tunjukkan lorong yang betul untuk bergerak dan tempat yang baik untuk bertapak. Kami saling memberi dan menerima, menampung mana-mana lompang yang ada untuk di isi dan di tampal dengan hidayah dan keimanan yang sentiasa kami cari dan usahakan.

Sahabat saya yang seorang ini membantu saya menilai kembali erti sebuah persahabatan, seperti yang selalu saya dengar orang lain berkata. Ternyata buat pertama kali, saya dapat merasakan manisnya erti sebuah persahabatan. Ia memang tidak ternilai, tidak terlawan oleh harga emas permata. Betapa nikmat bila di sisi ada seorang sahabat yang boleh menangis dan ketawa bersama. Terasa diri menjadi begitu berharga dan arah hidup menjadi lebih nyata.

Sahabat saya ini, andai dia membaca tulisan ini, akan tetap saya dampingi biarlah sesusah mana diri ini. Saya tidak mahu menjadi seorang yang kejam. Saya masih ada hati untuk di kongsi dan masa untuk berteman. Insya Allah, apa yang telah kita kongsikan tersimpan dan tersemat kukuh di lubuk hati, biar apa pun yang terjadi.

Ukhuwwah Fillah tak akan musnah.

Tertewas?



Saya hampir tertewas!

Ada khabar yang saya kira khabar duka hadir pada Jumaat 22 september @ 29 Syaaban yang lalu. Nafas saya hampir terhenti. Terus badan jadi panas dan hampir demam!
Mengapa? Persoalan itulah yang bermain berkali-kali dalam kepala. Lantas terfikir saya di khianati dan ditikam dari belakang. Mudah sahaja nampaknya saya buat kesimpulan tanpa bertemu muka. Namun saya fikir kembali, mungkin ada sebab mengapa dia berbuat begitu.

Nyata persahabatan itu tiada harga yang dapat di ibaratkan. Mujurlah saya bertindak waras, bertemu empat mata pada awal Ramadhan dan mendengar penjelasannya. Namun saya meninggalkannya dengan kejam, kerana menyalahkannya 110%. Saya lihat balik kata-kata saya dan ternyata itulah kesilapan maha hebat yang pernah saya buat sepanjang bersahabat dengannya. Saya akur akan kemuliaaan Ramadhan ini dan tiada niat langsung mahu mencemarkannya. Lantas, kami berbicara lagi dan airmata adalah saksi keisafan saya, keterlanjuran kata dalam emosi yang berbelah bagi.

Saya mahu melahirkan diri yang baru. Emosi dan perasaan selalu menguasai diri dan mengalahkan titik waras. Saya mahu lebih rasional dan matang. Tiga hari yang berlalu itu bagai satu hukuman buat saya kerana melanggar perkara yang telah Allah kata jangan dan jangan. Mujur peluang yang hebat Ramadhan ini dapat saya lihat seawalnya dan Insya Allah, menyuburkan keinsafan dan kesedaran buat diri.

Mujurlah Allah menyedarkan saya dan menghukumkan saya lebih awal. Andai saya tersungkur setelah berjalan begitu jauh, sudah tentu banyak dosa yang saya himpun dan banyak pula hati yang telah saya guris.

Nyata Ramadahan kali ini adalah yang paling indah buat saya biarpun baru masuk hari kedua. Insya Allah, adalah kelainan buat diri ini dipenghujungnya.

Ini bukanlah tetang putus hati atau putus cinta. Ini kisah bagaimana saya hampir memutuskan silaturrahin yang indah kerana kurang warasnya saya menilai antara intan dan permata.

Buat A, terima kasih kerana mengajar tentang erti persahabatan yang indah. Akak silap duga semalam, dan saat ini, beri peluang untuk diri ini dilahirkan semula.

dan sayarasa tak salah untuk saya kelurkan semula entri selepas ini yang pernah saya tulis khusus untuk A pada 18 Mei yang lalu. Sebaiknya, saya yang harus melihat ayat-ayat ini yang saya tulis dengan tulus hati.

Allahumma ini as-aluka ridhaaka wal jannah.
Ya Allah, aku mohon redha-Mu dan syurga-Mu. Amin

Kunci kepada persahabatan yang baik

Pilih orang yang mempunyai minat yang sama seperti anda supaya anda mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka baik untuk anda.

Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan.

Sekiranya anda menghormati orang lain, orang lain akan menghormati anda juga. Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

Hargai pendapat satu sama lain. Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam. Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

Komunikasi sangat penting, kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah. Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan anda.

Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula. Belajar daripada satu sama lain.

Jangan mengata di belakang kawan anda. Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.

Sumebr: Ukhwah.com

Jumaat, September 22, 2006

Serabut kepala


Dalam kepala saya ini sebenarnya banyak perkara yang mengacau. Banyak benda yang saya fikirkan, yang mahu saya buat, banyak yang mahu dikongsikan, banyak yang mahu saya tulis, banyak impian yang mahu saya kejar, mahu merancang masa depan, dengan kerja yang belum selesai dan macam-macam lagi. Tetapi saya positifkan diri dan susun satu-satu perjalanan hidup. Setiap pagi sesudah subuh saya tanya diri apa yang mahu saya buat dan habiskan hari ini. Bila saya susun jadual diri dan tetapkan matlamat hari itu, saya rasa hidup saya lebih tersusun.

Saya cuba menyusun hidup sebaik mungkin. Sekarang saya buat macam-macam perkara, kerana yang penting ialah bermula. Bila dah mula, akan adalah penghujungnya. Jika tidak bermula, saya belum tahu setakat mana kemampuan. Bila dah bermula, saya pasti akan mencari jalan penamat. Dan secara tiba-tiba saya terasa hendak menulis sesuatu tentang perkara ini – tentang bermula. Ah! Tiba-tiba pula idea datang…

Kaya



Kekayaan semula jadi yang Allah kurniakan hendaklah digunakan untuk mencapai kekayaan di muka bumi ini kerana tidak ada halangan kita mencari kekayaan di muka bumi ini asalkan ia dari sumber yang halal, cara yang halal. Ia mesti berguna untuk manusia lain. Dan yang penting sekali, ia hendaklah dijadikan JAMBATAN untuk menghubungkan kekayaan di akhirat. Lebih baik papa kedana kalau kekayaan itu menjerumuskan ke dalam neraka. Dan lebih baik kaya raya kalau kekayaan itu memudahkan jalan ke syurga. Jangan kata miskin akan masuk syurga, kaya masuk neraka. Siapa punya idea? Siapa punya branding begitu supaya Islam ini nampak daif dan miskin supaya boleh dipijak-pijak?

Siapa yang kata kaya akan masuk neraka? Dan secara kontrasnya, miskin akan masuk syurga? Setahu saya yang berlagak, meninggalkan solat (kerana miskin, mencari wang sepanjang masa) adalah orang miskin. Orang kaya pun ada begitu. Jadi kaya atau miskin bukan penentu masuk syurga neraka.

Sumber: Armansur

Lagu apa agaknya?



Damainya malam dalam kesepian
Kilau-kilauan bulan di daunan
Kerlipan bintang di kejauhan
Limpahan kasih-Mu ku rasakan

Alam dan juga kecintaan
Panduan indah zaman berzaman
Dari Adam dan Hawa
Hingga akuan dunia

Malam ku jauh ditinggalkan
Wajahnya tetap tergantung di bulan
Kulihat bintang kerinduan
Kudengar hujan kutangiskan

Bayu layu ku kesayuan
Alam dan cinta makin meresahkan
Beningnya puncak segala kerinduan
Beningnya puncak segala kerinduan

Lagu ini berkumandang setiap kali selepas berita di Klasik Nasional. Lagu ini dinyanyikan secara live oleh Saleem (saya amat pasti empunya suaranya, kerana dia sahaja yang punya lunak suara seperti ini, yang tidak sama seperti penyanyi lain).

Saya tidak tahu tajuknya tapi lontaran suara Saleem menyebabkan saya menyalin liriknya yang amat menyentuh. Maaf andai ada liriknya yang tidak tepat. Jika ada sesiapa yang tahu tajuk lagu ini, sila khabarkan kepada saya.

Khamis, September 21, 2006

Perjalananku Sejauh Ini - Shahnon Ahmad



Semalam saya buat pesanan buku ini melalui talian dengan Ujana Ilmu, kemudian bayar menggunakan Maybank 2u. Mudah, tak perlu pergi ke kedai buku atau ke bank. Semuanya di hujung jari. Hari ini saya terima bukunya. Mula-mula terkejut juga kerana ia tiba dengan cepat sekali. Sungguh saya tidak sangka!

Saya belek-belek dulu buku ini, memikir masa untuk membacanya. Tanpa gangguan, tanpa sebarang kacau. Mahu baca dan semat dalam dada apa-apa sahaja yang penting

Rabu, September 20, 2006

Pelajaran Berguna Sepanjang Hayat




Sepanjang hayat akan diguna ilmu,
Menfaat sejagat bakal menikmat,
Hasil tunjuk ajarmu guru,
Sejarah dan daulat bakal berkhidmat.

Sumber: Janjilaxamana

Mati Hidup Semula

Jamal Abdillah

Tak sudi memandang tidak mengapa
Kerana ku mengerti aku insan hina
Tapi dengar apa ku katakan
Untuk pedoman di hari muka

Dulu hidup ku rasakan mati
Mata terbuka tapi tak berhati
Kini ku rasa dihidupkan kembali
Walaupun peritnya setengah mati

Baru ku kenal bulan dan bintang
Betapa indah dunia dipandang
Baru ku kenal ayah ibu adik abang
Kerana dulu fikiran melayang

Jalan nak ku lalu masih panjang
Akan ku tempuh hari mendatang
Kepada ku berilah peransang
Agar kejayaan dapat ku julang

Manusia seperti ku usah kau hina
Kelak menambah sakit didada
Selagi aku bernama manusia
Tak lepas dari salah dan dosa

Salah ku lakukan meruntuhkan nama
Kerana perbuatan mengikut rasa
Namun ku bersyukur pada yang Esa
Setelah mati ku hidup semula

* Bila di lihat betul-betul lirik lagu ini, ada banyak yang betul. Seperti diri ini, suatu ketika mencari-cari arah, menyuluh jalan yang tak pasti dan seakan ber-ergang pada jalan yang rapuh. Pasrah dan berserah, mengharap Tuhan menunjukkan jalan yang benar. Moga suatu titik yang ditemui mampu membuatkan diri ini hidup semula. Dulu hidup ku rasakan mati, mata terbuka tapi tak berhati

Insya Allah

Kalau mahu gelak

Once while visiting a very rich friend, the maid approached me and.........

Question : What would you like to have... Fruit juice, Soda, Tea, Chocolate, Capuccino, Frapuccino, or Coffee?
Answer: Tea please"

Question : Ceylon tea, Indian tea, Herbal tea, Bush tea, Honey bush tea, Iced tea or green tea ?
Answer : Ceylon tea

Question : How would you like it? black or white?
Answer: white

Question: Milk, or fresh cream?
Answer: With milk

Question: Goat's milk, or cow's milk?
Answer: With cow's milk please.

Question: Freezeland cow or Afrikaner cow?
Answer: Um, I'll just take it black.

Question: Would you like it with sweetener, sugar or honey?
Answer: With sugar

Question: Beet sugar or cane sugar?
Answer: Cane sugar

Question: White, brown or yellow sugar?
Answer: Forget about the tea, just give me a glass of water instead.

Question: Mineral water, tap water or distilled water?
Answer: Mineral water

Question: Flavored or non-flavored ?
Answer: I think I'll just die of thirst

Ahad, September 17, 2006

Kisah orang Melayu di Oxford

Laporan dari London: Kisah orang Melayu di Oxford
Bersama Zaharah Othman

Pakar, sarjana sastera babitkan 30 universiti berhimpun bincang kesahihan manuskrip lama, teks tradisional

SYAIR Rajang, Surat Diponegoro, Hikayat Darma Ta'siah, Shara Syair Ikan Tongkol adalah beberapa topik menarik yang dibincangkan di Universiti Oxford hujung minggu ini oleh sekumpulan pakar dan sarjana sastera Melayu lama pada Persidangan Pengajian Asia Tenggara UK atau ASEASUK ke-23.

"Ini adalah perkumpulan informal yang sungguh mesra dan akrab, di mana sesiapa saja yang sedang membuat penyelidikan mengenai sesuatu tajuk, atau dalam persiapan dissertation atau tesisnya, dapat membentangkan kertas masing-masing, sebelum sesuatu karya itu diterbitkan. Perbincangan dan pertukaran pendapat sebegini sangatlah memanfaatkan", kata Ketua Bahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara The British Library, Dr Annabel Gallop, yang juga Konvenor Persidangan ASEASUK.

ASEASUK ialah pertubuhan pengkaji bidang Asia Tenggara di UK dan Eropah. Kebanyakan anggota adalah ahli ilmiah dari lebih 30 universiti yang membuat kajian meliputi pelbagai bidang mengenai Asia Tenggara. Keanggotaan ASEASUK juga termasuk pelajar lepasan ijazah serta dari masyarakat bisnes dan diplomatik.

Dr Gallop dalam kertas kerjanya mempersoalkan kesahihan beberapa manuskrip Melayu yang muncul akhir-akhir ini terutama di Jawa dan Patani.

"Sesuatu manuskrip itu ialah apa saja yang ditulis tangan. Jadi dari segi teori, selagi sesuatu itu ditulis dengan tangan, ia sebuah manuskrip bona-fide. Saya gambarkan beberapa kategori manuskrip yang muncul dalam dunia Melayu baru-baru ini, yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab dan sudah mengenal pasti dua bidang pengeluaran utama di Jawa dan Patani", tambah Dr Gallop.

Dari negara Brunei Darussalam, Ampuan Haji Ibrahim Haji Tengah membentangkan kertas kerjanya mengenai ciri-ciri unik Syair Rajang yang dianggap sebagai salah sebuah teks Melayu tradisional yang sangat terkenal di negara berkenaan. Ampuan dalam kertas kerjanya memberi beberapa penjelasan mengapa Syair ini mempunyai daya tarikan yang unik bagi masyarakat tradisional Brunei. Ada kira-kira 13 manuskrip Syair Rajang di beberapa institusi di Brunei Darrusalam.

Willem van de Molen, dari Universiti Leiden, di Belanda yang mengkaji sepucuk surat Diponegoro yang ditulis pada minggu-minggu terakhir peperangan Jawa (1825-1830). Surat ini ditujukan kepada musuh Belanda, yang diberitahu bahawa Diponegoro sanggup menerima tawaran untuk mendapat keamanan. Paling menarik perhatian pengkaji ini ialah gaya surat ini diolahkan, bagaimana untuk mengorak langkah pertama untuk menyerahkan kuasa tanpa menggadaikan maruah sendiri.

Dari Institut Pengajian Oriental di Russia ialah Svetlana Tkhor yang membuat kajian mengenai Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut sebagai sumber sejarah dunia Melayu lama. Seveltana berharap kajian selanjutnya dalam bidang ini akan menolong menjawab beberapa persoalan mengenai sejarah Islam di rantau ini dan corak pengislaman masyarakat Melayu dalam abad 14-16.

Beliau menawarkan petua penting kepada pengkaji manuskrip Melayu lama mengenai bagaimana melihat erti perkataan Melayu sambil menyenaraikan beberapa terjemahan alternatif dalam bahasa Inggeris yang masih belum lagi terdapat dalam kamus yang ada sekarang ini.

Dr Vladimir Braginsky dari SOAS pula dalam kajiannya mengenai Hamzah Fansuri melihat sejauh manakah ajaran Hamzah Fansuri tersebar di rantau Melayu dan apakah pendapat penduduk rantau itu mengenai doktrin dan penulis berkenaan.

Mungkin satu tajuk yang sangat dinantikan ialah tentang perbezaan antara pendidikan seksual dan pornografi dalam beberapa manuskrip Riau dalam akhir abad ke 19. Jan Van Puten dari Universiti Nasional Singapura memerhatikan bahawa sebarang bahan yang mengandungi elemen lucah atau seks biasanya dianggap sebagai sesuatu yang dihasilkan sebelum kedatangan Islam.

Sebuah manuskrip ditemui baru-baru ini di di Riau, yang mengandungi gambaran aktiviti hubungan jenis antara sepasang suami isteri serta diselitkan beberapa syair, juga mengandungi lukisan pasangan Barat melakukan kegiatan ini. Van Puten dalam kertas kerjanya membincangkan kemungkinan manuskrip baru itu mungkin sebagai bahan pornografi yang paling lama sekali dalam bahasa Melayu.

Satu lagi perbincangan menarik ialah yang diajukan Daruis Lidin dari Akademi Tentera Malaysia yang mengkaji beberapa penulisan bekas buruh paksa, Halimi Ibrahim di Landasan Kereta api Maut ketika zaman Jepun. Manuskrip yang mempunyai empat ratus muka surat ini ditulis dalam bahasa Jawi dan adalah cerita kejadian yang berlaku dalam hutan Kanchanaburi yang paling teliti sekali, yang pernah di rakamkan oleh seorang bekas buruk paksa.

Sumber: Berita Minggu, 17 September 2006

Guna jurnal berpengaruh, buka ‘blog’

Di Luar Lingkaran: Guna jurnal berpengaruh, buka ‘blog’
Johan Jaaffar

SETAKAT ini apa yang banyak diperkatakan ialah Peristiwa 11 September dan kesan ke atas masyarakat Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS). Apa yang lebih penting ialah implikasi ke atas psyche mereka – bahawa rasa ketakutan terhadap ancaman ‘teroris Muslim’ melahirkan fobia dan reaksi yang pelbagai. Pada waktu sama prasangka dan bias terhadap umat Islam semakin buruk.

Peristiwa 11 September yang diingati ulang tahun kelima minggu lalu adalah penanda penting bagi masyarakat Barat dan umat Islam. Peristiwa itu bukan saja memperkuat hujah mengenai pertembungan tamadun (clash of civilisation) tetapi juga menimbulkan bahaya baru akibat kekeliruan, ketidakfahaman dan keengganan menerima dan memahami satu sama lain.

Apa yang selalu kita lupakan ialah kesan Peristiwa 11 September ke atas umat Islam sendiri. Kita tahu 1.3 bilion umat Islam hari ini sebenarnya tidak lebih baik keadaan mereka selepas kejadian itu. Bagi pemimpin dan ilmuwan Islam, banyak masa dihabiskan untuk mempertahankan imej umat Islam pada kaca mata Barat. Kita selalunya kalah dalam soal ini.

Bagi saya peranan ilmuwan atau intelektual Islam dalam soal ini amat penting. Terlalu banyak ketidakadilan diperlakukan ke atas umat Islam dalam media cetak dan media elektronik Barat. Terlalu banyak laporan tidak betul mengenai Islam disajikan pada masyarakat bukan Islam. Islam menjadi senama dengan keganasan dan terorisme. Malah wajah ‘militan Islam’ digunakan sebagai alasan menunjukkan umat Islam menyokong dan membenarkan keganasan dilakukan atas nama agama. Oleh kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hari ini kerajaan negara Barat menggunakan alasan melawan terrorisme untuk menangkap, menyeksa dan membunuh sesiapa saja. Atau menyerang negara Islam.

Semua ini berlaku kerana umat Islam tidak punya upaya melawannya. Umat Islam lemah dan tidak ada negara Islam boleh menandingi kuasa ketenteraan negara Barat. Media Barat melawan Islam melalui kecanggihan dan taktik perang saraf. Kaum Yahudi menggunakan apa saja untuk menghalalkan tindakan mereka. Mereka menguasai sistem perbankan, industri hiburan dan media. Mereka punya gerakan lobi yang hebat dan ditakuti di serambi kuasa negara Barat. Lobi Yahudi di AS boleh menaik dan menumbangkan mana-mana pemimpin politik negara itu.

Kita hanya ‘menjawab’ tohmahan mereka di mimbar masjid, dalam akhbar dan majalah di negara Islam dan melalui demonstrasi dan teriakan. Kita tidak akan dapat menghujahkan kes kita dengan cara demikian. Dunia hari ini ialah dunia media, dunia TV, dunia soundbites dan dunia mesej dan imej. Kita harus menggunakan semua itu untuk menghujahkan kes kita kepada dunia.

Banyak orang menyatakan tugas melawan prasangka Barat terhadap Islam ini terpikul pada negara Islam di dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Tetapi pertubuhan sedemikian punya keutamaan lain. Biarlah OIC memainkan peranan yang diamanahkan padanya. Isu membabitkan kerjasama sesama negara Islam pun masih bermasalah. Banyak negara anggota OIC sebenarnya masih hidup di bawah telunjuk kuasa Barat.

Bagi saya tugas badan bukan kerajaan atau NGO dan intelektual Islam amat diperlukan dalam konteks ini. Hari ini hampir tidak ada sebuah penerbitan yang berautoriti dan dihormati bagi menghujahkan kes Islam. Kita memerlukan sebuah Foreign Affairs misalnya, jurnal yang diterbitkan dua bulan sekali oleh Council of Foreign Affairs, Inc di New York. Apa yang penting ialah jurnal seperti ini menjadi medan menghujahkan kepentingan tertentu dan oleh kerana ia dibaca oleh pemikir, pembuat dasar dan ilmuwan, maka walaupun edaran kecil tetapi implikasi terhadapnya amat besar.

Di dalam jurnal seperti inilah kes Islam boleh dihujahkan. Bukan itu saja malah apa yang perlu ialah ilmuwan Islam sendiri yang harus menggunakan penerbitan yang sudah established ini untuk berbuat demikian. Kita boleh bergantung pada ‘pakar Islam’ dari kalangan Barat untuk berbuat demikian tetapi kesannya tentulah tidak baik untuk jangka panjang. Selama inipun ‘wacana Islam’ banyak dihujahkan oleh Bernard Lewis, Francois Burgat, John Esposito dan lain-lain dalam buku atau esei yang mereka tulis.

Atau kita harus bergantung pada mendiang Edward Said untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Edward Said ialah intelektual Kristian anak Palestin yang sepanjang hayat mengetengahkan perjuangan dan nasib rakyat bangsa tertindas itu. Melalui buku seperti The Politics of Dispossessions: The Struggle for Palestinian Self Determination 1969 - 1994 dan Peace and Its Discontents serta sekian banyak esei dalam jurnal yang penting, beliau menjadi jurucakap paling dikenali di Palestin. Beliau disegani sebagai intelektual dan dimusuhi rejim Yahudi kerana pendiriannya. Tetapi suara dan consciencenya berkumandang lama selepas beliau meninggal dunia.

Noam Chomsky seperti kita tahu ialah intelektual berbangsa Yahudi yang sebenarnya lebih dikenal sebagai ahli linguistik. Tetapi suara Chomsky sebagai pengkritik dasar AS dan Israel membuat beliau paling menonjol. Di antara sekian banyak intelektual AS berbangsa Yahudi yang menentang tindakan Israel di Asia Barat, Chomsky amat lantang dan tanpa kompromi. Beliau menganggap dasar ‘orde baru neo-liberal’ yang menguasai pentadbiran AS hari ini sebenarnya menimbulkan banyak masalah dan menjadi punca dunia menjadi lebih tidak selamat. Chomsky tidak pernah jemu mengecam dasar yang bagi beliau tidak menguntungkan kemanusiaan.

Saya mungkin dituduh tidak berlaku adil pada intelektual dan ilmuwan Islam yang juga aktif menghujahkan kes Islam di banyak penerbitan antarabangsa. Memang ada intelektual kita sendiri menulis dalam jurnal antarabangsa yang menjadi jurucakap soal keislaman ini. Tetapi bilangan mereka terlalu kecil untuk memberi impak. Lebih malang lagi hampir tidak ada ada langsung ‘pakar Islam’ (Islamic experts) di kalangan kita yang berbuat demikian.

Kita juga harus mengakui kelemahan umat Islam yang terbesar ialah kita tidak menguasai media. Hari ini sesiapa yang menguasai maklumat menguasai kuasa. Sesiapa yang menguasai media menguasai maklumat. Kita semua tahu siapa yang menguasai media. Selagi organisasi media dimiliki kaum Yahudi dan simpatisannya selagi itulah harapan untuk mendapat liputan yang adil bagi umat Islam akan gagal. Malah lebih merisaukan ialah ‘suara pilihan’ bagi media sebenarnya semakin mengecil.

Menurut John Pilger dalam bukunya Tell Me Not Lies: Investigative Journalism and Its Triumphs, pada 1983 kira-kira 50 syarikat gergasi antarabangsa memiliki pertubuhan media utama. Pada 2002, bilangan itu menjadi sembilan syarikat multinasional. Pada Februari 2004, Rupert Murdoch dalam satu ucapannya meramalkan bahawa dalam masa tiga tahun, hanya ada tiga syarikat media yang akan berdiri tegap – milik beliau sendiri salah satu daripadanya. Kita tahu dominasi Murdoch dalam soal ini. Di Malaysia, kita menonton saluran hiburan, filem dan sukan 24 jam milik beliau. Beliau juga memiliki Fox TV di AS yang banyak mewakili kepentingan kelompok anti-Islam. Oleh sebab itulah kita memerlukan Al Jazeera dan Al Manar TV yang sekurang-kurangnya dapat mengimbangi pengaruh mereka.

Saya melihat pilihan lain ialah ‘blog’ atau laman web milik persendirian yang amat berpengaruh masa ini. Pemilik blog atau bloggers hari ini mulai menjadi ancaman pada media arus perdana dalam bentuk tradisional. Mereka adalah suara alternatif yang sebenarnya amat penting. Saya ingin mencadangkan ilmuwan, pemikir, wartawan dan penulis Islam menggunakan blog untuk menghujahkan kedudukan Islam di dalam internet.

Jangan perkecilkan pengaruh internet. Banyak orang Islam mencurigai kehadirannya. Malah ada yang percaya teori konspirasi yang menyatakan itu ciptaan untuk merosakkan akidah Islam. Bagi saya internet ialah senjata yang harus digunakan umat Islam untuk memerangi bias dan prasangka terhadap mereka. Cara ini murah tetapi amat berkesan. Hari ini bloggers adalah wira baru dalam dunia kewartawanan tidak rasmi.

Saya mahu melihat lebih ramai ilmuwan dan intelektual Islam ini mewujudkan blog mereka sendiri. Mereka harus menggunakan kesempatan menjawab tohmahan selain memberikan hujah cerdik pada golongan skeptikal terhadap Islam dan penganutnya.

Mungkin suatu hari nanti akan wujud satu rangkaian blog Muslim yang cukup berpengaruh sebagai suara alternatif. Tetapi rangkaian blog ini harus memancarkan Islam yang sederhana, progresif dan maju.

Umat Islam memerlukan apa saja wahana pada masa ini bagi memerangi pengaruh media yang memusuhi atau yang berprasangka terhadapnya. Dalam dunia yang semakin canggih dan cerdik, kita juga nampaknya harus melawan secara canggih dan cerdik. Bukan dengan sekadar emosi dan dendam.

Sumber: Berita Minggu, 17 September 2006

Cuba lagi tahun depan, ya!


Cuba lagi ya tahun depan, belum ada rezeki lagi



Tahun ni kita bagi peluang pada Perlis


Nanti tahun depan NS NAZA pula macam ni!

'The Breakfast Show' Ntv7 Hina Islam

KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Umat Islam melahirkan rasa kesal terhadap tindakan stesen televisyen swasta, NTV7 menyiarkan secara langsung slot kehebatan dan cara menghidang wain dan champagne dalam rancangan 'The Breakfast Show'pada jam 9.30 pagi tadi.

Umat Islam kesal di atas sikap stesen televisyen itu yang tidak menghormati perasaan dan sensitiviti penonton yang beragama Islam. Rancangan tersebut dikendalikan oleh dua pengacara terkenal iaitu, Daphne iKing (bukan Islam)dan Nazarudin yang beragama Islam.

Antaranya Daphne kelihatan berbangga-bangga kerana dapat meneguk minuman haram tersebut dan mengatakan ia hebat dan menawarkan pengacara Islam tersebut untuk minum bersama, katanya.

"Akhirnya, beliau (Daphne) menghina pengacara Islam dengan mengatakan "Kau minum Ribena ajelah" (dialih bahasa ke bahasa Melayu). Ini sesuatu yang amat memalukan kerana ia disiarkan secara langsung dan disaksikan oleh ramai penonton khususnya kanak-kanak dan orang dewasa yang beragama Islam.

Sehubungan itu diminta kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Penerangan supaya mengambil tindakan tegas di atas sikap pemilik stesen televisyen tersebut. Kerajaan juga diseru turut mengambil tindakan ke atas pengacara dan artis yang tidak tahu menghormati sensitiviti majoriti penonton Islam dan aspirasi kerajaan. Sikap berdiam diri kerajaan akan memberi ruang kepada rancangan-rancangan lain untuk terus berani menguji kesabaran umat Islam di Malaysia.


* Secara jujur, saya tidak menontonnya. Ini saya terima dari e-mel. Sesungguhnya kita di malukan sekali lagi. Sampai bila mahu bertahan?

Ahad, September 10, 2006

Mutiara Merdeka

KEMERDEKAAN hanya suatu jambatan. Yang kita tuju di seberang jambatan itu ialah kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai- Keris Mas, Menjelang Merdeka

Bicara Karyawan: Jangan Remehkan Bahasa Kita

[Bersama Dato’ Dr. Hassan Ahmad]

KITA kerap mendengar orang berkata bahawa dalam dunia globalisasi hari ini, bangsa yang tidak menguasai bahasa Inggeris akan ketinggalan zaman, akan tenggelam, akan mundur, tidak mempunyai daya saing. Ini saya anggap sebagai pandangan yang salah sama sekali. Proses globalisasi tidak ada kena-mengena dengan soal bahasa. Cabaran yang harus dihadapi dan ditentang ialah proses penjajahan (penjajahan ekonomi, penjajahan budaya, penjajahan ilmu dan penjajahan teknologi) di sebalik proses globalisasi itu - dan inilah yang ditentang oleh pelbagai pertubuhan masyarakat dan bukan kerajaan (NGO) di serata dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Yang penting ialah bangsa Malaysia harus menjadi bangsa yang maju dan kuat, bangsa pencipta dan bangsa kreatif, bukan bangsa peniru dan pengimport di dalam negaranya sendiri dahulu, sebelum mereka cuba hendak menjadi pelaku yang aktif di arena global. Ini bererti bangsa Malaysia harus pandai berfikir, menuntut dan mencipta ilmu dan teknologi dalam bahasa mereka sendiri berdasarkan acuan dan nilai bangsa sendiri. Demikianlah bangsa-bangsa lain dari dunia bukan berbahasa Inggeris seperti Jepun, Korea, China, dan negara-negara Eropah (Jerman, Perancis dll) maju tanpa menjadi mangsa kepada penjajahan bahasa Inggeris.

Walhasil, jikalau krisis yang sedang berlaku pada bahasa Melayu ketika ini hendak diselesaikan, tidak ada cara lain melainkan kerajaan kembali melaksanakan dasar bahasa yang asal, dasar yang memang sudah terbukti kebaikannya terhadap kemajuan bangsa Melayu dan terhadap kepentingan semua kaum di negara ini. Bangsa Melayu mesti maju di negaranya sendiri dahulu, dan untuk ini mereka mesti diberikan peluang untuk maju dalam bahasanya sendiri. Jikalau dasar itu yang asal itu dilaksanakan dengan baik, tegas dan cekap tidak timbul masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita, tidak timbul soal orang Melayu tidak akan maju dalam bahasa Melayu, dan tidak timbul masalah kacau-bilau dalam mutu penggunaan bahasa Melayu yang kita lihat dalam masyarakat, di TV, di jabatan kerajaan, di IPTA dan di sekolah.

Punca masalah bahasa Melayu yang berlaku sekarang bukan disebabkan bahasa Melayu itu ‘tidak maju’ atau kerana dasar bahasa yang ada selama ini tidak baik, tetapi disebabkan kesilapan tanggapan pemimpin Melayu dan golongan elit Melayu sendiri terhadap peranan bahasa Melayu sebagai alat kemajuan bangsa Melayu. Kesilapan inilah yang harus dibetulkan sekiranya bangsa Melayu mahu menyelamatkan bahasa Melayu daripada dipupuskan oleh bahasa dan budaya orang lain.

Ini tidak bererti kita menentang bahasa Inggeris. Tidak ada orang Melayu, termasuk ‘nasionalis UMNO’ dalam tahun 1950-an dan 1960-an yang menentang bahasa Inggeris. Bangsa Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris, tetapi hanya sebagai bahasa kedua, tidak sebagai ‘bahasa pertama’, dan tidak sebagai bahasa untuk menjajah fikiran dan budaya bangsa (rakyat) Melayu yang kebanyakannya tidak menguasai bahasa asing itu. Tentunya tidak perlu semua bangsa Melayu menguasai bahasa ini. Apa perlunya? Tetapi mereka semua perlu pandai berfikir dengan jelas dan cekap dalam bahasa sendiri, tidak kira apakah taraf mereka dalam masyarakat, jikalau mereka mahu menjadi bangsa yang maju di negara ini.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan pelajar kita masih tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun mereka telah diajari bahasa ini selama 11 tahun di sekolah (dari darjah satu hingga ke Tingkatan V). Siapa dan di mana salahnya? Pelajar atau kaedah pengajaran bahasa itu yang salah? Masalah inilah yang harus ditangani secara profesional dan bijaksana oleh pihak kerajaan, bukan menimbulkan masalah baharu.

Dasar Bahasa Kebangsaan sudah cukup baik bagi negara ini, dan beratus ribu pelajar dari semua kaum telah berjaya memperoleh ijazah dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk Sains dan Matematik, dalam bahasa Melayu. Dasar bahasa ini juga telah berjaya menyatupadukan pelbagai kaum di negara kita ini. Dalam usaha kita menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, jangan sampai kita meremehkan kemampuan bahasa kita.

Penulis ialah mantan Ketua Pengarah DBP ke-5 (1976-1988).


Sumber: Klik sini

Jumaat, September 08, 2006

Ayat-Ayat Cinta



Novel ini baru saya beli, selepas menemui komen bernas yang memaksa saya mencarinya secara maya dan jua atas saranan beberapa blogger. Nyata selepas Tunggu Teduh Dulu (TTD) karya Faisal Tehrani, Ayat-Ayat Cinta (AAC) semakin mendekatkan saya tentang erti sastera Islami. Kalau tidak kerana kesibukan kerja, tidak sampai separuh hari pun boleh habis saya baca! Itu pun saya menangguhkannya beberapa kali kerana tidak mahu kosentrasi membaca terganggu.

Bagi yang tidak tahu, AAC adalah sebuah karya dari seberang, Indonesia. Namun, novelnya berlatarkan Mesir, tentang kehidupan pelajar Indonesia di sana. Bagaimana mereka berjuang dengan buku dan dugaan kewangan, mencari erti cinta sejati dan mendalami makna cinta yang suci. Memang Habiburrahman El-Sirazy, penulisnya membuatkan saya jatuh cinta kepada buku ini.



Kalau sesiapa mahu tahu lebih lanjut, belilah. Tidak rugi membelinya kerana anda akan dapat sesuatu yang lebih dari apa yang anda jangkakan. Novel ini pula, best seller di Indonesia. Dalam masa setahun sahaja, ia sudah berbelas kali di ulang cetak. Bayangkan, berbelas kali diulangcetak di Indonesia! Dan saya pula beruntung - kerana dapat tandatangan penulisnya yang diletakkan bagi mengatasi masalah pembajakan (cetak rompak) keatas novel ini.

Kalau dalam TTD, ia dari pandangan wanita - Salsabila dan Teh Sofia, AAC pula dari pandangan lelaki - Fahri Abdullah. Saya tidak boleh berbicara panjang disini kerana baru separuh membacanya, tetapi tak sabar untuk komen. Seperti TTD, AAC memberi makna halus tentang cinta dan sastera Islami yang dihuraikan secara tidak sengaja melalui perwatakan mahupun ayat-ayat yang diperturunkan dengan teliti.

Apa yang pasti, kalau benar-benar membaca dan menghayatinya, airmata pasti menitis kerana disini kita ditunjukkan tentang makna sebenar cinta. Dan ia bukan sekadar sebuah buku! Saya pula bukanlah pengomen yang baik.

Lain-lain komen kalau mahu baca, tetapi dalam bahasa Melayu Indonesia! Ini sahaja yang sempat saya beri. Kalau mahu lebih, masuk mana-mana carian dan search (maaf, kena buat kerja lebih pula, dan saya mahu menyambung baca)
http://ramadhana.blogspot.com/2006/01/novel-review-ayat-ayat-cinta.html
http://imponk.blogsome.com/2005/04/09/maa-wara-a-ayat-ayat-cinta/
http://www.seno.or.id/2006/03/11/ayat-ayat-cinta/
http://arvenda.multiply.com/reviews/item/1

Jumaat, September 01, 2006

1492

Dalam satu kelas Dr Muhammad Arif, beliau bertanya mengenai tahun 1492.

“Ada dua peristiwa besar yang berlaku 1492. Apakah dia?”

Saya cuba mengingati apa-apa peristiwa yang berlaku. Tetapi saya akui, saya memang lemah mengingati tarikh biarpun sejarah adalah subjek kegemaran saya.

Melihatkan satu kelas senyap tanpa jawapan (situasi biasa dalam mana-mana kelas di Malaysia, barangkali. Maaf kalau telahan saya salah), dia memberikan jawapan.

“Ada dua peristiwa penting sebenarnya. Pertama, pada 1492, Christopher Colombus menemui kepulauan Hindi yang dikatakannya sebagai Amerika,” katanya.

“Peristiwa yan kedua ialah kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol a.k.a Andalusia.” Dia menyambung. Kami terdiam. Kemudia dia bertanya lagi, “Apakah yang berlaku pada 1992?” satu lagi soalannya. “Ada satu peristiwa penting berlaku didunia,” dia menyambung.

Saya cuba mengorek ingatan. Ketika itu saya berada dalam tingkatan dua. Rasanya saya sudah celik dengan siasah dunia. Tetapi saya tidak mampu mengingat apa-apa.

“Pada tahun 1992, Sukan Olimpik berlangsung di Barcelona, Sepanyol. Kamu tahu kenapa ia diadakan di Sepanyol?”

Kelas masih lagi senyap tanpa jawapan.

“Kerana mereka mahu merayakan ulangtahun ke-500 kejatuhan Islam di Sepanyol!”

Oh! Dan saya masih terlalu naif pada 1992!

Antara Andalusia dan Uthmaniyyah

Kalau saya ditanya negara mana yang saya idam untuk lawati, saya akan beri dua nama – Turki dan Sepanyol. Turki kerana saya mahu lihat keagungan empayar Uthmaniyah yan masih tersisa di sana dan Sepanyol adalah kerana Andalusia. Tiap kali saya melihat dan membaca sejarah Turki Uthmaniyyah, saya merasa perasaan semangat yang membuak-buak melihatkan kehebatan empayarnya yang tumbang di tangan bangsanya sendiri. Andalusia membuatkan air mata saya menitis, kerana kegemilangan Islam si Eropah tidak lagi ada sisanya kini. Yang ada cuma tinggalan masjid yang sudah bertukar gereja atau muzium. Kurang kelihatan rakyatnya beragama Islam kini, walhal di Sepanyol itulah sinar Islamnya gemilang dan hampir sahaja mengIslamkan seluruh benua.

Sebelum ini saya banyak melihat kepada Andalusia. Dan akhir-akhir ini, saya kerap membaca mengenai Turki Uthmaniyyah. Mujurlah saya mendapat sumber yang sah, dari pengembara dan pencatat perjalanan yang gemar ke sana. Setakat ini, melalui Faisal Tehrani dan Hasrizal Abd Jamil di Saiful Islam Online, saya menyelami Turki dengan mendalam, meneliti petanya dengan mata hati, melihat rakyatnya dengan keinsafan dan membaca sejarahnya dengan penuh duka.

Ketika di bangku pengajian, saya mengambil subjek ‘History Of Islamic Economic Thought’ dan dengan sengaja mengambil dua lagi subjek sejarah,, iaitu Islamic Countries in the Global Economy dan satu lagi yang saya lupa, kalau tidak silap namanya Contemporary of the Western Economy sebagai subjek pilihan. Ini kerana saya gemar dengan penerangan dari Prof Dr Muhammad Arif Zakaullah, pensyarah saya dari Pakistan. Ketiga-tiga subjek itu di bawah ajarannya. Beliau salah seorang pensyarah yang membantu meletakkan nama UIAM di peta debat dunia.

Tiap kali dia menceritakan apa-apa mengenai Sejarah Islam, airmatanya pasti bergenang dan diselubungi kesedihan, apatah lagi melihat Islam sekarang diperkotakkatikkan sebegitu rupa. Beliau bercerita dengan penuh keinsafan, semangat yang menjulang dan harapan yang melangit kepada kami agar melakukan sesuatu kepada diri sendiri dan agama. Beliau membantu mencelikkan mata saya tentang dunia Islam dan mengajak saya meneroka sejarah Islam dengan lebih mendalam. Saya sebelum itu memandang sejarah Islam dengan sepi biarpun tidak begitu mendalami sejarah barat. Saya lebih kagum dengan sejarah Melayu dan Malaysia. Tetapi selepas itu, saya mula berubah hala.

Sepanyol dan Turki, saya mahu jelajahi bermula dengan sejarahnya dan kemudian saya berazam mahu menjejakkan kaki ke sana. Moga apa yang berlaku di kedua-dua negara ini menjadi iktibar buat kita umat Islam di Malaysia. Sekurang-kurangnya saya bukan sekadar melihat gambarnya, tetapi juga merasa tiupan anginnya dan menghirup udara sejarah Islam yang pernah subur disana suatu masa dahulu. Insya Allah.

Borong buku

Saya memerdekakan diri pada tahun ini di kedai buku. Saya sudah ada satu senarai panjang buku yang mahu saya beli, sama ada di kedai mahupun secara online di ujana ilmu. Oleh kerana kereta dipinjam, LRT sahajalah yang menyampaikan saya ke sana. Arah saya – Fajar Ilmu Baru, tempat baru di Wisma Yakin yang disebut-sebut oleh Pn Ainon dan Jiwarasa. Akhirnya saya tiba di sini.

Saya tiba di LRT Masjid jamek dalam lingkungan 10 pagi. Saya tiada jam, Cuma menggagak sahaja. Awalnya saya menuju ke Pustaka Indonesia - sekadar melihat. Tambahan pula duit masih di bank. Setelah merangka buku apa yang saya inginkan, saya menuju ke Maybank di Jalan Masjid India. Mata saya tertuju kearah kain pemidang disitu. Saya lupa ayatnya, tetapi disitu ada jualan buku murah selama sebulan. Kesempatan yang baik juga. Saya pergi selepas saya melipat kemas duit dalam poket, sambil kepala mengira baki untuk digunakan dalam tempoh sebulan yang akan datang.

Buku murah? Ya, memang buku murah. Tetapi sesuai dengan namanya, maka jangan haraplah ada buku yang menarik. Pengunjungnya boleh tahan ramai, yang semuanya mencari buku murah tetapi keluar dengan mencebirkan bibir. Kalau sudah namanya pun buku murah, janganlah buat jangkaan yang buku terbitan mahal pun dijual murah. Inilah mentaliti rakyat Malaysia. Kalau baju boleh beli yang mahal, yang harganya hingga mencecah beratus ringgit, kereta pula boleh diubahsuai beribu ringgit atau membeli perabot yang diimport atau barang yang pelik-pelik, tetapi tentang membeli buku atau bahan bacaan semua mahu berkira. Mahu ilmu banyak tetapi kedekut duit.

Saya juga melangkah keluar, tetapi saya tidak hampa kerana sudah faham strategi penjual buku sebegini – yang mahu menghabiskan stok di kedai barangkali. Tambahan pula dianjurkan oleh sebuah parti yang hebat. Jadi saya tidak mahu cakap banyaklah.

Saya terus menuju ke Fajar Ilmu. Tercangak-cangak juga awalnya kerana tidak pernah sampai disini. Mungkin saya pelanggan pertama – mungkin, kerana tiada sesiapa. Sampai sahaja, mata saya...wah! terbeliak. Mahu sampai petang saya disini. Saya terus bertanyakan buku ‘Ayat-ayat Cinta’ kerana terpandang buku itu di Pustaka Indonesia yang tinggal satu sahaja dan kulitnya pula sudah sedikit lusuh. Saya capai tetapi letak kembali kerana mahu melihat buku lain. Cukuplah sekadar tahu tempatnya.

Saya melangkah dari satu buku kesatu buku, dari satu rak ke satu rak. Saya mencatat buku yang mahu saya baca dan perlu beli. Asyik sungguh dengan buku sehinggalah saya mendengar azan zohor dari Masjid India. Saya terkejut. Sudah lama rupanya saya bangun, duduk dan membelek buku! Akhirnya saya segera capai empat buku lalu turun ke Pustaka Indonesia dan membeli lima buku diskaun – buku lama. Saya pulang dengan senyum melebar kerana dengan RM102.10, saya dapat memborong 9 buku, termasuklah Ayat-ayat Cinta. Jauh dari jangkaan saya dan saya mula meyusun bajet untuk ujana Ilmu pula.

Dalam feeder bas, saya membelek buku. Tiba-tiba saya teringat sesuatu. Senarai panjang buku yang saya buat awal pagi tadi, tiada satu pun yang saya beli! Saya tepuk dahi!