Jumaat, Oktober 20, 2006

Suasana Hari Raya


Berlalulah sudah Ramadan sebulan berpuasa
tiba Syawal kita rayakan dengan rasa gembira
anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira

bertukar senyuman dan salam
ziarah menziarahi
tutur dan kata yang sopan saling memaafi
suasana hari raya walau dimana pun jua
memberikan ketenangan
dan mententeramkan jiwa

kuih dan muih beraneka macam
makanlah jangan hanya dipandang
ketupat rendang sila nikmati kawan
penat memasak malam ke pagi

wajik dan dodol jangan lupakan
peninggalan nenek zaman berzaman
asyik bersembang pakcik dan makcik
hai duit raya lupa nak diberi

*My all-time-favourite-raya-song! Suasana Hari Raya dari nyanyian Anuar dan Elina

Bahasa Jiwa Bangsa

Pertama
Menyampaikan mesej Islam dengan menggunakan bahasa ibunda kumpulan target adalah strategi yang sudah terbukti, baik dalam sejarah perkembangan Islam mahupun Kristian.

Para pendakwah Islam yang tidak mematuhi strategi bahasa ibunda terbukti gagal. Kes yang paling klasik dan sekaligus paling tragis adalah kegagalan Islam di Sepanyol.

Selama 800 tahun penjajah Arab menjajah wilayah itu, mereka memaksakan rakyat Sepanyol berkomunikasi dengan orang-orang Arab menggunakan bahasa Arab.

Penjajah Arab tidak belajar bahasa Sepanyol dan tidak menyampaikan Islam dengan menggunakan bahasa Sepanyol. Akibatnya bahasa Sepanyol kekal menjadi bahasa Kristian, dan rakyat Sepanyol kekal dalam agama Kristian, walaupun 800 tahun mereka diberi layanan baik oleh penjajah Arab.

800 ratus tahun selepas mereka dilindungi dan hidup aman, Raja Kristian Charles Martell berjaya menggunakan sentimen Kristian bagi membangkitkan perasaan kebencian di kalangan rakyat supaya bangun memberontak dan berjaya menghalau penjajah Arab-Islam yang baik itu.

Bandingkan situasi yang berlaku di Turki, di mana rakyat Turki menolak bahasa Arab dan mengembangkan Islam menggunakan bahasa ibunda mereka. Hasilnya rakyat negara itu berbondong-bondong masuk Islam. Dalam masa kurang 100 tahun bangsa Turki menjadi bangsa besar dan Empayar Uthmaniah membangunkan tamaddun indegeniusnya sendiri.

Bandingkan dengan Parsi (Iran) yang menolak bahasa Arab dan mengembangkan Islam menggunakan bahasa Farsi. Hasilnya rakyat negara itu berbondong-bondong masuk Islam. Dalam masa kurang 100 tahun bangsa Iran menjadi bangsa besar dan berjaya membangunkan tamaddun indegeniusnya sendiri.

Bandingkan dengan Nusantara, yang menggunakan bahasa Melayu (dan Jawa) bagi menyampaikan mesej Islam ke 24 ribu pulau. Dalam masa kurang daripada 100 tahun, jatuhlah kerajaan2 Hindu yang sangat besar, seperti Majapahit, Borobudur dan Prambanan, apabila raja-raja mereka masuk Islam.

Bahasa itu bukanlah suatu alat komunikasi yang innocent. Ia adalah alat penjajahan yang luar biasa keberkesanannya. Cobalah lihat bagaimana berkesannya bahasa2 Eropah menyebarkan agama Kristian di kalangan middle-class yang mempelajari bahasa2 itu.

Di Indonesia di mana bahasa Jawa dan bahasa Melayu menjadi benteng akidah Islam, hanya mereka yang masuk sekolah Belanda yang dapat di Kristiankan.

Fenomena ini berlaku dengan bahasa Inggeris, Peranchis, German dan Sepanyol di tanah-tanah jajahan bangsa2 Eropah itu. Hanya mereka yang menguasai bahasa2 Eropah sahaja yang dapat diKristiankan.

Kita lihat di sekeliling kita di kalangan kaum Cina dan India, yang meninggalkan agama asal mereka, Hindu dan Budha, dan masuk Kristian adalah mereka pandai berbahasa Inggeris.

Bukan semua yang pandai bahasa Inggeris masuk Kristian, tetapi sebaliknya, semua yang masuk Kristian itu memang pandai bahasa Inggeris. Coba klik ini.

Hati-hati apabila bahasa Melayu dibenarkan dijadikan alat pendakwah Kristian menyampaikan ajaran agama itu kepada orang Melayu dengan menggunakan Bahasa Melayu.

Strategi menggunakan bahasa ibunda bagi menyampaikan ajaran Kristian amat berjaya dilakukan oleh mubaligh Kristian di seluruh dunia. Mula-mula sekali mereka mempelajari bahasa-bahasa natif tempatan bagi tujuan menterjemahkan Bible ke dalam ratusan bahasa-bahasa ibunda itu. Kemudian mereka menterjemahkan lagu-lagu gereja pula, dan seterusnya menulis buku-buku cerita Bible untuk kanak-kanak….dan seterusnya.

Bahasa Melayu adalah benteng akidah Islam. Dengan melemahkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan orang Melayu, kita meretakkan dan membocorkan benteng ini.


Kedua
Sebagai respons kepada pendakwah Melayu yang hanya pandai berbahasa Melayu….

Seluruh Nusantara diIslamkan oleh para pedagang yang datang ke mari dari Yaman dan Gujerat! Disebabkan mereka berdagang dengan orang Melayu, terpaksalah mereka belajar bahasa Melayu!

Menggunakan bahasa Melayu pasar itulah mereka berjaya memujuk orang Melayu yang beragama Hindu waktu itu supaya masuk Islam.

Dalam fasa kedua barulah kaum agamawan datang ke Nusantara bagi meneruskan proses pengislaman penduduk Nusantara.

Dalam tempoh tidak sampai 100 tahun 24 ribu pulau-pulau Melayu masuk Islam tanpa menggunakan walaupun sebilah pedang sekalipun!

Bandingkan kejayaan kaum pedagang (yang nama-nama mereka tidak pernah kita ketahui) di Nusantara dengan kegagalan Tariq bin Ziad di Sepanyol (yang namanya dianggap wira).

Untuk mengajak bangsa-bangsa lain masuk Islam kita hanya perlu pandai bercakap dengan mereka dengan menggunakan bahasa harian mereka sahaja.

Klik sini

Sudah suratan

Memang sudah suratan dan memang sudah ditakdirkan!

Sahabat baik saya dimasukkan ke 'ICU' pada 7 Okt lalu setelah tidak sedarkan diri dan tidak mampu sedarkan diri sebaik sahaja pemeriksaan virus dilakukan semasa umat Islam berbuka puasa. Sebaik sahaja terawikh tamat, saya lihat hanya mesej 'Error loading operating system' sahaja yang terpapar disitu. Kemudian ia senyap, tiada tindak balas. Esoknya saya masukkan ia ke ICU yang terdekat. Dari sehari ke sehari saya melawat tetapi nampaknya masalah yang timbul bagaikan tiada penyelesaian. Doktornya juga hairan bagaimana masalah ini boleh timbul, lalu ia diminta berada disana buat beberapa lama. Saya patah kaki kerana pada sahabta baik saya inilah segala-galanya saya curahkan dan saya beritahu semua kepadanya tanpa buat sebarang backup atau salinan.

Semalan, 19 Okt setelah genap 12 hari dimasukkan ke ICU, akhirnya sahabat karib saya ini dibenarkan keluar selepas dirawat bertungkus lumus oleh para doktor yang kepeningan. Dia memberitahu saya apa masalahnya dan bila saya bawa pulang, saya dapati ia tidak mampu mengingati semua perkara yang telah saya ceritakan kepadanya dahulu. Sahabat saya ini sudah hilang ingatan! Saya cuba cerita beberapa peristiwa dan episod yang pernah berlaku kepada saya dan juga kepadanya, tetapi dia hanya menggelengkan kepala.

Akhirnya saya mengalah. Mungkin ini dugaan yang Allah ingin beri kepada saya dan Alhamdulillah, saya reda. Jauh disudut hati, saya rasa lega juga, kerana saya perlu memulakan segala-galanya daripada kosong. Dan saya berjanji untuk memulakannya dengan yang terbaik. Ada rahmatnya macam-macam benda yang berlaku di bulan Ramadhan ini, dan saya berdoa agar perjalanan masa depan saya bersama sahabat baik ini akan tetap dan teguh biar seribu hatta berjuta halangan yang melanda.

Biarpun hampur menitis airmata mengenangkan semua idea dan manuskrip termasuklah akaun syarikat hilang begitu sahaja, namun kalimah Alhamdulillah sahaja yang mampu saya ucapkan. Insya Allah, saya percaya ada rahmat disebalik apa yang berlaku ini.

Kepada sahabat baik saya, saya akan jaga dia elok-elok. Ini pengajaran yang cukup berguna dan tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat.

Mari kita mulakan hidup baru!
Mari kita mulakan segala-galanya dengan sesuatu yang terbaik!!


* Sahabat baik saya ini bernama Hyundai M-Life

Isnin, Oktober 16, 2006

Cerpen: Barakah Ramadan

Oleh Norziati Mohd Rosman

*Cerpen ini tersiar dalam akhbar Berita Minggu, Ahad, 15 Oktober 2006. Sila klik untuk maklumat lanjut.

“RAYA kali ni, kau balik mana?”

Satu soalan yang biasa kedengaran di penghujung Ramadan singgah di telinganya. Dia tidak menoleh mahupun menjawab. Dibiarkan sahaja soalan itu berlalu pergi dengan tanda-tanya.

Sahabat yang bertanya tadi masih menanti. Masih tegak berdiri di sebelahnya menunggu giliran memfotostat pekeliling cuti yang baru diterimanya sebentar tadi.

“Macam tak suka nak balik raya sahaja,” suara itu kedengaran lagi. Kali ini agak keras dan bernada sinis. Dia mengangkat muka memandang sahabatnya dan soalan itu dijawab dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat. Sebelum sahabatnya berlalu pergi, dia menjawab ringkas, “Tengoklah nanti, mana-mana pun boleh raya.” Dan sahabatnya itu memandangnya dengan seribu tanda tanya.

Dia tahu, setiap tahun itulah soalan yang paling tidak disukainya untuk menjawab. Seboleh-bolehnya dia mahu mengelak. Biarlah tiada orang yang tanya, biarlah tiada yang tahu di mana dia mahu beraya kali ini. Lagi elok, biarlah perkataan raya itu sendiri terhapus dari kamus hidupnya. Biarlah dia menunaikan solat Aidilfitri sahaja dan kemudian menyambung kerja. Biarlah orang lain bercuti, balik kampung dan beraya. Dia mahu duduk di pejabat menyiapkan kerja yang tertangguh ataupun mencari-cari kerja lain yang boleh dibuat.

Dia sendiri tak tahu apa makna raya yang sebenarnya untuk dirinya. Semuanya telah pergi dan berkubur sejak sepuluh tahun yang lalu. Ia menjadi satu kenangan yang pahit dan meninggalkan satu sejarah hitam dalam hidupnya. Dia tahu, tiada gunanya mengingati perkara yang telah lalu, tetapi padanya, ia terlalu pahit dan kadangkala menghiris tangkai hatinya.

Sering kali dia diberi nasihat supaya melupakan peristiwa itu. Bukannya dia tidak mahu, tetapi peristiwa itu cukup sukar untuk ditelan. Sukar untuk dia terima apa yang berlaku. Malah hampir setahun dia hidup dalam kemurungan dan kesedihan. Dia merasakan hidupnya seakan tamat di situ juga. Sesekali dirinya diusik syaitan - mengapa tidak dia menuruti mereka di saat itu? Mengapa dia sahaja yang masih bernyawa? Mengapa dia tinggal seorang diri menanggung penderitaan ini? Namun dia segera dia beristighfar. Mungkin ada pengajaran di sebaliknya.

Dia kembali kemeja, merenung sekeping foto yang sesekali menyebabkan air matanya mengalir. Wajah isteri dan tiga anaknya, sering mengusik ingatannya terhadap kenangan lalu. Bagaimana boleh dia mereka semua, andai segala kenangan lalu masih kukuh terpahat di ruang ingatannya? Bagaimana boleh dia melupakan segalanya dan mahu memadam semua memori dari ruang ingatannya? Ah! Cukup berat dugaan ini. Dia menekup muka. Pertanyaan sahabatnya tadi tiba-tiba terlintas di kepalanya. Raya tiada makna! Tiada erti! Hatinya menjerit keras.

“Mati itu pasti. Tiada siapa yang boleh menolaknya mahupun menangguhkannya walau sesaat.”

Satu suara yang lazim kedengaran terngiang di telinganya. Mukanya yang ditekup sedari tadi dibuka perlahan-lahan. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seketika dia terasa yang dia berada dalam satu suasana asing. Gelap, bukat. Dia cuba mengingati kembali di mana dia berada tadi.

Tadi aku masih lagi di pejabat, hatinya berbisik halus. Dia memerhati sekeliling. Tiada apa yang dapat dilihatnya. Dia masih lagi duduk di kerusi pejabat, ada meja di hadapannya dan sebiji mentol bulat yang menyinari betul-betul terletak di atas ubun-ubunnya, yang cukup-cukup menerangi dirinya.

Asing! Cukup asing. Tiba-tiba dia diselubungi ketakutan. Dia cuba bangun. Tetapi kaki dan tangannya kaku terkunci .

“Orang muda.” Satu suara lembut menyapa. Matanya cuba mencari arah suara.

“Kamu selamat, cuma kamu tak tahu di mana kamu berada.” Suara itu semakin hampir dan semakin jelas kelihatan susuk tubuh empunya suara itu dalam samar cahaya.

Ustazkah itu? Hatinya bertanya gusar. Segera teringat kepada arwah ustaz yang amat dihormati, yang berjaya mencapai cita-cita untuk berkubur di Tanah Suci. Tetapi wajah itu tidak jelas kelihatan. Cuma suaranya meyakinkan bahawa itu adalah ustaz. Yang pasti dia berpakaian serba putih, dengan wajahnya ditutupi kain serban, seolah dara sunti memakai kerudung di kepala.

“Duduklah dengan tenang dan ikhlas. Jangan ada perasaan takut sedikitpun.” Memang jelas suara itu milik ustaz.

“Tapi di mana saya sekarang ini, ustaz?” Dia bertanya lembut, setelah pasti dia berada dalam keadaan selamat.

“Di satu tempat yang selamat, di mana kau boleh bertemu dengan anak dan isterimu.” Suara itu menjawab dengan kata-kata yang menampakkan keganjilan. Dia separuh menjerit. Jantungnya berdegup kencang, nafasnya bagai tersekat-sekat tetapi hatinya berbunga riang. Betulkah ini? Hatinya berdetik, tetapi wajahnya menampakkan kegusaran.

Keliru

“JANGAN tipu. Mana boleh yang mati hidup semula?” Dia bersuara. Perasaan bimbang hadir semula.

Dia terdiam cuba mengingati peristiwa hitam itu. Bukankah mereka telah pergi. Aku yang memandu kereta itu. Aku sendiri menyaksikan bagaimana kemalangan itu berlaku, jeritan kesakitan mereka sewaktu dihentam oleh lori jahanam itu, saat nyawa mereka tamat di ribaan dan saat suara mereka hilang bersama nyawa. Aku sendiri yang melihat mereka dikapan dan ditanam dalam satu liang. Aku pasti mereka telah mati!

“Siapa kata mereka mati? Bukankah mereka masih hidup?” Suara itu keras bertanya lagi, cuba menambahkan keraguan di hatinya. Dia terdiam. Apa sudah gila agaknya orang ini, bisik hatinya lagi.

“Aku masih lagi waras. Cuma dirimu sendiri yang gila, apakah kau yakin yang mereka itu sudah pergi?” Ah! Orang ini mampu mendengar bisik hatiku. Suara itu ketawa sinis.

“Betul kau pasti mereka telah pergi?” Dia bertanya lagi.

“Mana boleh yang mati hidup semula!” Dia membentak. Keras suaranya.

“Jika begitu, mengapa kau hidup seperti orang yang maut sebelum ajal. Kau ketepikan segala-galanya hanya kerana kau kehilangan empat wajah kesayanganmu itu?” Suara itu membalas juga dengan keras. Dia terkejut. Suasana yang tadi damai menjadi panas. Mahu saja ditamparnya wajah di hadapannya itu. Cukup kurang ajar menidakkan kematian. Tetapi tangannya terkaku mati di situ.

“Apa yang kau nak sebenarnya?” dia bertanya suara itu. Dia mahu pergi dari situ. Keadaan di situ tidak selesa. Hanya membawa dia kembali kepada kenangan lama yang sukar dipadam. Dia tidak suka dengan kenangan itu, yang menyebabkan dia kehilangan kehidupannya selama sepuluh tahun.

“Kau sendiri tahu yang kau kehilangan kehidupan.” Ah! Suara hatiku dipersoalkan lagi, bisik hatinya.

“Sudah sepuluh tahun mereka pergi, tapi kau masih tidak menerima hakikat itu. Mengapa kau seakan menolak takdir?” Dia memandang tepat ke wajah yang tidak jelas kelihatan itu. Hatinya membuak dengan kemarahan. Mujurlah dia terkunci di situ. Jika tidak....

“Allah telah mengambil mereka pergi kerana Dia lebih menyayangi mereka. Tetapi kenapa kau selalu mempersoalkan tindakan-Nya itu? Mengapa? Apakah Allah tidak berhak mengambil semula ciptaan-Nya yang telah dipinjamkan seketika kepadamu?”

Soalan itu bagaikan satu tamparan yang kuat singgah di pipinya. Dia terdiam seketika. Suasana senyi.

“Aku tak bermaksud begitu. Aku masih lagi bersolat, puasa, bayar zakat. Aku tidak menidakkan kekuasaan-Nya!” Dia membentak.

“Jika tidak mengapa kau masih tidak boleh menerima hakikat yang mereka telah pergi?”

“Bukan tidak menerima hakikat.” Dia menundukkan kepalanya. Perlahan dia bersuara, seakan tidak yakin dengan jawapannya.

“Lalu?”

Dia terdiam. Keputusan kata-kata.

“Mereka adalah orang yang paling kusayangi di dunia ini. Hidupku bagaikan tidak bererti bila mereka pergi sekelip mata. Empat orang sekali gus!”

“Mati itu pasti. Dan mereka bukan pergi untuk selamanya. Akan ada masa kau bertemu mereka.” Dia mengangkat kepala. Terkejut.

“Dia mana?” Segera dia bertanya.

Orang itu ketawa sinis. “Di syurga,” jawapnya pendek.

Dia mengeluh.

“Mengapa? Kau mahu bertemu mereka di sini? Bukankah tadi kau sendiri yang mengatakan yang mati tak akan hidup semula.”

Dia terdiam, lalu menundukkan semula kepalanya.

“Kau tahu, mereka telah pergi tetapi kenapa masih menanti mereka?” Suara itu kedengaran lembut.

“Bukan menanti...” kata-katanya putus.

“Hidup ini satu perjalanan yang panjang. Kita akan merasa semua perkara, yang pahit dan yang manis. Biarkanlah ia berlalu walaupun ia adalah suatu yang amat pahit untuk ditelan. Kita ini adalah kepunyaan-Nya dan kepada-Nya juga kita akan kembali suatu hari nanti. Kita tak tahu bila, di mana dan bagaimana kita diambil pergi.” Kata-kata itu menusuk halus ke tangkai hatinya.

“Kita harus pasrah atas segala ketentuan-Nya. Dia lebih mengetahui atas semua perkara. Kita yang hidup mesti teruskan kehidupan. Janganlah berkeadaan seperti dunia sudah berakhir. Tiada gunanya hidup seperti itu.” Ada air mata yang mengalir.

“Kita masih ada matlamat kehidupan. Akhirat itu pasti dan syurga menunggu bagi mereka yang memilih ke arah itu. Kau mesti kembali ke kehidupan seperti mana yang kau lalui dulu. Masih lagi ada ibu bapa, adik-beradik, sahabat yang menanti. Mereka semua selalu berdoa agar kau kembali dan berubah.” Dia keharuan.

“Usah lagi hidup dalam kemurungan dan kesedihan. Hidup ini suatu yang indah dan nikmatilah keindahan itu atas landasan yang benar. Yang pergi biarlah mereka pergi.”

Suara itu semakin halus kedengaran dan semakin hilang. Dia mengangkat kepala, memejamkan matanya. Air mata yang jatuh satu persatu menjadi semakin deras. Lama kemudian dia teresak-esak. Tapi dia tak tahu apakah kali ini dia benar-benar insaf kerana dia sedar bukan sekali dua dia berkeadaan begitu. Bukan sekali dua nasihat seperti itu singgah di telinganya. Tapi kali ini dia merasakan keindahan dan keinsafan. Apakah kerana ia barakah Ramadan yang Allah berikan buatnya?

Keinsafan


TANGANNYA tidak lagi dirasakan terkunci. Dia menekup mukanya sambil teresak-esak.

“Ya Allah, ampunilah kesalahan hamba-Mu ini. Aku insaf atas apa yang telah aku lakukan. Aku insaf atas segala buruk sangka yang kuberikan kepada-Mu. Ampunilah diri ku ini ya Allah. Kau jadikanlah Ramadan ini sebagai yang paling indah dalam hidupku dan Syawal ini sebagai penanda kegembiraanku atas kehidupan-Mu ini. Ampunilah hamba-Mu ini, Ya Allah.” Dia berdoa dalam keharuan. Ada tanda keinsafan di wajahnya. Sedunya semakin kurang.

Satu suara memanggil namanya. Dia membuka mata. Sahabatnya tadi bertinggung di sebelahnya.

“Lama sangat kamu tidur.” Dia memandang sekeliling. Rupanya dia di surau, tidur seketika sebelum Zohor tiba.

“Bangunlah dah nak masuk Zohor ni, kami nak berjemaah.” Sahabatnya itu bangun lalu menuju ke tempat wuduk.

Dia bingkas duduk, termanggu seketika, memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Terasa ada sisa air mata di pipi. Apakah tadi itu benar? Ah! Jika tidak pun, “Alhamdulillah. Ada rahmat di sebaliknya,” bisik hatinya.

“Antara Ramadan dan Syawal, kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada maghfirah dan rahmat. Hanya kita yang menentukan arah mana yang kita mahukan. Tapi andai kita memilih untuk meminggirkannya, kitalah yang rugi. Ramadan itu penuh keberkatan dan Syawal itu penuh kenikmatan.”

Itu adalah antara pesanan yang ditinggalkan Ustaz. Selepas kematian anak isterinya, dia hidup dalam kesedihan dan kemurungan. Ustaz kemudian membantu dia mencari kembali kehidupannya. Dia berguru membersihkan diri dan jiwanya bersama Ustaz. Jiwanya menjadi tenang sebelum Ustaz menuruti langkah anak isterinya menghadap Ilahi di Tanah Suci. Sekali lagi dia terasa kehilangan, kemudian kesedihan dan kemurungan kembali dalam dirinya. Dia kembali seperti keadaan di mana dia kehilangan anak isterinya sebelum itu. Hidupnya kembali kosong.

Dia mengeluh seketika. Ustaz kembali dalam dirinya dan nasihat yang ditinggalkan itu cukup bermakna. Dia akur, ada perkara yang dia tinggalkan selama ini. Biarpun dia solat, puasa, bayar zakat, tetapi belum bermakna dia menjadi insan yang sempurna. Masih ada benda yang ditinggalkannya, masih ada tanggungjawab yang tidak ditunaikan. Dia terlalu bersedih di saat dia menidakkan ketentuan Ilahi.

Dan untuk Syawal kali ini, selepas sepuluh tahun, dia menanam azam yang baru. Selepas solat Aidilfitri nanti, dia akan menziarahi kubur isteri dan tiga anak comelnya, pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapanya yang setia menunggunya di pagi setiap Syawal, mengucup tangan memohon ampun dan maaf sambil berdoa mengharap agar dia dapat meninggalkan kesedihan lalu.

Ramadan kali ini biarlah menjadi saksi atas kelahiran semula dirinya, dan Syawal ini diharap memberi kebahagiaan yang penuh buat dirinya.

Allahu Akhbar, Allahu Akbar.

Jumaat, Oktober 13, 2006

Janagn bunuh semut itu!

Hish! Geramnya.

Mata saya memandang dengan geram kearah haiwan kecil ini. Berjalan berduyun-duyun dalam satu barisan yang menyenget ke arah buku-buku saya yang tersusun rapi di atas meja. Saya segera mengangkat sebuah buku, melihat arah ke mana haiwan kecil ini pergi. Barisan panjang tadi terpisah dan berselerak, mungkin menyedari ada musuh menganggu.

“Apalah yang kau dapat pergi kat buku ni? Kau ingat buku ni makanan kau ke? Manis ke? Boleh makan ke? Larat ke kau angkat?” saya mengomel sendirian dalam nada yang telinga saya sahaja yang mendengarnya. Pantas tangan saya memicit dengan geram mana-mana yang sempat tangan saya kejar.

Geram sungguh saya. Puas hati bila dapat melihat mereka terbunuh di tangan saya. Mana- mana yang agak liat untuk mati, saya tonyoh sekuat rasa. Yang lain saya tiup agar mereka jatuh ke bawah. Tak larat rasanya nak bunuh semua!

“Hah! Jangan bunuh semut tu!” satu suara menegur. Saya menoleh kearah suara itu.

“Jangan kerana seekor semut, kita tak masuk syurga!” suara itu menyambung. Saya terdiam. Tangan yang tadi pantas menonyoh semut-semut yang ada kini terkaku.

Tak masuk syurga? getus hati saya. Tiba-tiba saya menjadi teragak-agak dan menoleh kembali kearah suara tadi.

“Eerr… ,” saya terdiam, tergamam, tidak mampu mengucapkan apa-apa.

“Jangan bunuh semut tu. Dia tak bersalah. Dia cuma cari makanan,” dia bersuara lagi tanpa memandang saya, sebaliknya sekadar tekun membaca buku yang ada di tangannya. Agaknya dia memerhatikan saya sejak dari tadi.

“Bukannya bunuh…,” saya terdiam. Hmm…Kalau bukan bunuh, apa pula? Hati saya bertanya sendirian.

“Abis tu?” kali ini dia menoleh ke arah saya. Saya masih tergamam. Ayat ‘tak masuk syurga’ itu cukup menusuk hati saya. Bunuh semut tak masuk syurga? Hmmm.. ada benarnya.

Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Betul juga katanya. Haiwan kecil ini tak bersalah, Cuma mencari makanan. Langsung tidak mangganggu malah tidak menggigit saya pun. Semut-semut ini cuma menumpang lalu di atas meja saya dan menuju kearah buku saya. Mungkin buku itu menarik perhatian mereka. Saya membelek buku yang saya angkat tadi. Tiada apa yang menarik.

Tetapi saya rasa, bukan buku ini yang menarik perhatian mereka. Saya perhatikan selanjutnya arah perjalanan mereka. Ooh! Masih panjang rupanya barisan mereka ini. Menuju kearah tiang meja dan langsung ke arah lantai. Di situ ada seekor kumbang yang telah mati. Itu rupanya mangsa mereka.

Saya memandangnya yang sedari tadi memerhatikan saya. Perasaan bersalah wujud dalam diri. Bunuh semut tak masuk syurga? Ayat itu terngiang lagi ditelinga saya. Saya perhatikan semut yang sudah mati, yang sudah saya lenyek dan tonyoh sehingga terbelah-belah dan leper badannya.

“Saya tak suka semut,” kata saya dalam perasaan bersalah.

“Iyalah, kalau tak suka pun, janganlah bunuh semut-semut tu. Dia tak ganggu kita. Dia pun nak hidup juga,” dia membalas sambil membuatkan perasaan bersalah saya semakin menebal.

Saya pandang lagi semut yang dah mati, barisan semut yang panjang hingga ke lantai dan kumbang yang dikerumuni semut. Dia masih memandang saya, memerhatikan reaksi saya seterusnya. Saya memandang lagi kearah semut, barisan panjang dan kumbang.

Perkara paling senang bagi saya, jangan sediakan apa-apa sumber untuk sang semut ini datang. Kalau tak suka semut, jangan bunuh kerana kaum kerabatnya cukup banyak. Buangkan sahaja kumbang itu, habis cerita.

Semut, maafkan saya. Saya mahu masuk syurga!

Isnin, Oktober 09, 2006

Beta..beta..beta

Beta oh! Beta.

Ni sahaja yang boleh post. Masa terhad.
Nak cuba Beta, tapi masih takboleh.

Beta oh! Beta.

Ahad, Oktober 08, 2006

Iftar luar

Buat pertama kalinya semalam saya iftar (buka puasa) diluar, disebuah restoran mamak yang terkenal di Jalan TAR. Ini pun orang yang ajak. Dah tempah meja, tapi oleh kerana lewat bertolak maka sekadar dengar azan dalam kereta.

Tiba di Jalan TAR berhampiran Sogo, saya terlihat satu pemandangan yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Rasanya, kalau kami bawa bekal dari rumah dan bentang tikar di kaki lima, mesti ramai yang turut serta. Sudahlah hari Sabtu, ramai yang keluar membeli belah. Semua restoran penuh, penjual air yang untung masa ni sebab orang kejar air sahaja untuk diminum sebagai syarat buka puasa (bukan makan kurma).

Meja yang kami tempah telah diberi kepada orang lain kerana lewat. Dapatlah satu bekas kecil kurma untuk alas perut. Kemudian saya terfikir, mereka yang berbuka ditepi jalan dan kaki lima ini sekadar buka puasa sahajakah? Kemana mereka selepas itu? Apakah terus sambung shopping? Ataupun beratur menunggu giliran makan di restoran?

Kami ambil keputusan untuk solat Maghrib dahulu. Masalahnya, surau yang saya tahu hanyalah di Sogo. Dan saya yang dah lama tidak 'merayap' di pusat membeli belah ingat-ingat lupa. tawakkal sahajalah. Tiba sahaja, ada dua barisan panjang, lelaki dan perempuan yang beratur mengambil wuduk. Saya terfikir, kalau inilah satu-satunya surau yang ada di KL, berapa ramai lagi manusia di tepi jalan dan kaki lima yang masih belum solat, yang mahu beratur dan menunggu giliran makan atau berehat seketika sebelum sambung membeli-belah. Ramai lagi yang menunggu giliran solat dan berwuduk sedangkan waktu Maghrib ketika itu hampir tamat. Itu belum lagi para penjual di bazaar Ramadhan atau para pekerja di pusat membeli-belah.

Saya sekadar geleng kepala. Jangan kita nanti diturunkan bala atas kealpaan ini. Nampak sangat Syawal lebih penting dari Ramadhan, Na'uzubillah...

Virus..demam!

Bukan saya demam, tapi laptop saya. Aduh! mati kutu lagi! Terpaksalah pergi CC. Kali ini lagi haru, langsung tak boleh buka!

Baru dua hari lepas saya pergi CC untuk tanya pasal kos upgrade RAM yang dah slow sangat. Tup..tup..dia merajuk pula. Agaknya macam tahu saya nak masukkan dia ke wad.

Alang-alang dah kena virus, upgrade terus...huhuhu..mujurlah ada laptop adik yang baru beli (dan dia belum guna lagi!). Kalau tidak saya jadi orang yang tidak keruan buat beberap hari.

Jumaat, Oktober 06, 2006

Komander sastera



Insya Allah!

Nota: Para komander dan bersama Tuan Gurunya

Kucing


Seingat saya kami dah lama tak bela kucing, sejak adik saya yang kelima dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Rasanya lebih kurang lima tahun yang lalu. Doktor kata jangkitan berpunca dari bulu kucing. Tambahan pula adik saya ada asma. Terus kami tak bela kucing sejak hari itu.

Dahulu saya memang bela kucing, maklum sahajalah tiada adik kecil, jadi sekadar bermain dengan kucing. Bila adik kelima lahir sebaik sahaja saya tamat SPM, saya dah tak pandang kucing. Tapi kami masih bela lagi. Cuma saya dah tak manjakan kucing sangat macam dulu.

Awal tahun ni, bila balik kampung saya lihat ada seekor kucing dirumah. “Kucing sapa ni?” saya tanya.

“Ambik kat rumah Alin. Rumah dia banyak kucing. Mintak seekor,” jawab adik saya yang nombor lima itu. Asyik dia bermain-main dengan kucingnya. Rupanya dia suka kucing. Pantang kucing itu hilang dari pandangannya, mesti dicari. Pernah satu hari dia cari kucing tu tak jumpa. Hampir menangis dibuatnya. Nak ketawa lihat perangainya pun ada. Tapi saya diamkan sahaja. Mujurlah emak tak bantah.

“Kalau nak bela, jaga elok-elok. Jangan biarkan dia lapar. Bagi makan selalu. Bila malam, jangan bawak masuk, tinggalkan di luar. Nanti habis kencing dan berak merata,” emak pesan.

Baru-baru ini saya lihat ada lagi seekor. Kali ini kucing jantan. “Kucing mana pulak datangnya ni?” saya tanya.

“Emak bawak balik dari kebun,” jawab adik saya yang nombor lima itu.

“Emak jumpa dia kat tepi jalan, dekat dengan kubur masa nak balik kebun. Ada orang buang agaknya sepasang. Yang sekor dah mati kena lenyek dengan motor. Dia melompat-lompat dengan sedaranya yang dah mati. Kesian mak tengok. Itu yang emak bawak balik,” kata emak panjang lebar.

“Yang mula-mula tu jantan kan?” saya tanya.

“Yang tu jantan, yang ni betina,” jawab adik saya.

Saya senyum. “Kalau nak bela, elok-eloklah bela. Jangan dipukul. Tak baik, berdosa,” kata saya.

“Lepas ni banyaklah anak kucing. Yang tu dah bunting. Kau tahu tak, kucing ni beranak setahun dua kali. Sekali beranak adalah lima enam ekor. Kalau dua kali setahun, mahu dekat satu dozen,” saya menyambung.

“Banyaknya,” adik saya menjawab.

“Memanglah. Tapi jaga elok-elok. Besar pahala bela kucing. Kalau kita bagi dia makan, dia tolong kita kat ‘sana’ nanti.” Itu yang mak selalu nasihatkan. Dahulu saya jadi orang yang selalu beri makan sebab mahu dia tolong saya di ‘sana’ nanti.

Bila saya balik lagi sekali, adik saya terus menyapa. “Long, kau nak tengok anak saudara kau?” saya tahu dia merujuk kepada anak kucing yang baru seminggu beranak.

“Berapa ekor?” saya tanya.

“Enam,” jawabnya. Masih merah lagi. Mata pun belum buka.

“Nanti jaga elok-elok, bagi makan, bagi minum. Jangan biar bersepah,” saya mengulangi pesanan yang sama yang entah berapa puluh kali saya beritahu bila sahaja cakap pasal kucing.

“Kalau kita bagi makan, nanti dia tolong kita kat ‘sana’,” sambung emak. Itu sahajalah pesanannya. Agaknya supaya kami tak lupa tanggungjawab menjaga kucing agaknya.

Nota: Gambar tu bukan kucing kami...gambar pinjam

Pertama kali naik kapal terbang



“Betul ke kamu tak pernah naik kapal terbang?”

Saya senyum kemudian mengangguk. “Betul,” jawab saya.

Mummy, Pengarah Urusan saya yang perempuan ini sedikit hairan dengan kenyataan saya lalu mengerutkan dahinya. Selepas itu dia berkata, “Mula-mula kena tengok dulu tiket tu. Kamu naik apa? Air Asia atau MAS?”

“MAS,”

“Kalau MAS naik di KLIA.”

”Saya tahu. Selalu menghantar orang ke KLIA. Tapi apa nak buat bila dah masuk tu? Selepas bagi tiket kat kaunter, lepas check in, apa yang kena buat?” saya bertanya bertalu-talu.

“Tunggu panggilan masuk. Akan ada pengumuman masuk. Tengok tiket betul-betul. Masa, no flight, kod flight, yang paling penting gate masuk tu. Kalau gate tu hujung, kamu kena cepat-cepat sikit sebab berada jauh di hujung. Jadi kena berlari sikit supaya tak lewat masuk dalam kapalterbang,” Mummy menerangkan. Saya mendengar dan diam sahaja sambil cuba membayangkan keadaan.

Jujur saya katakan ini adalah kali pertama saya menaiki kapal terbang. Awal menerima berita yang saya diminta berada di Sabah, saya merasa gembira, kerana berpeluang melihat tempat orang. Kemudian timbul perasaan cuak mengenangkan saya perlu naik kapal terbang – bukan bas, bukan keretapi, bukan LRT mahupun kayak. Kapal terbang. Menghantar kawan memang selalu tapi kali ini saya pula yang dihantar.

“Kalau MAS, tempat duduk dah siap ada pada tiket, tak payah berebut. Kalau Air Asia kena berebut tempat duduk. Nasib baik kamu naik MAS,” sambungnya.

Itu selalu saya dengar. Tapi saya idak dapat bayangkan bagaimana keadaannya. Kalau naik bas berebut tempat duduk, itu biasalah. Tapi bas ekspres pun ada nombor. Bagaimana pula kapalterbang yang perlu berebut? Saya tidak dapat membayangkannya malah saya senyum sahaja.

Saya teringat cerita seorang kawan ditempat kerja lama dahulu. Dia memang rajin bercerita, hinggakan naik letih melayannya. Dia seorang askar dan ketika itu bertugas di Sabah.

“Kau tau kapal terbang kat Sabah tu pengangkutan utama.” Saya menggangguk kerana memang tahu akan perkara ini.

“Masa aku mula-mula naik kapalterbang kat Sabah dulu, aku terkejut. Dia orang ni bawak ayam siap-siap naik kapal terbang.”

“Apa salahnya bawa ayam,” kata saya dalam acuh tak acuh.

“Ayam hidup lah.”

“Hah? Ayam hidup. Macam mana masuk dalam kapal terbang?” Saya ketawa. Saya pasti mesti dah kena tipu dengan dia.

“Alah, kapalterbang di sana pun kecil, macam pesawat. Macam-macam benda di bawa naik. Ada ayam, sayur, macam-macamlah. Ada yang beli, ada yang nak jual. Jadi bila duduk dalam kapalterbang tu kena buat bodoh lah. Ayam bising ke, buat apa ke kenalah tahan telinga,” balasnya. Saya masih tidak percaya ayam boleh dibawa naik dalam apal terbang. Tidak tahulah sama ada sekarang masih boleh dibawa lagi. Tapi saya pasti, itu mesti di kawasan pedalaman.

Saya senyum sahaja bila dengarkan kisah itu. Saya kemudian menelefon seorang kawan dari Sabah yang bekerja di sini akan prosedur ‘naik kapalterbang’. Bagaimana mahu mendaftar masuk, tentang bagasi, tempat duduk, gate, imigresen, dan semuanya satu persatu.

Saya diberitahu, memandangkan saya perlu keluar dari Semenanjung, maka kad pengenalan adalah sesuatu yang wajib. Saya akan terima sehelai kertas atau mungkin, pas yang menyatakan saya ini akan berada di Sabah buat berapa ketika. Surat itu saya perlu simpan elok-elok kerana perlu memulangkannya bila pulang ke Semenanjung.

“Untunglah kau dapat pergi Sabah free,” kata seorang kawan yang dapat tahu berita ini.

“Memanglah free, tapi bukannya untuk makan angin. Ini atas urusan kerja,” balas saya. Dia bagai tidak puas hati melihat saya dapat pergi secara percuma, tetapi saya malas melayannya. Bila saya beritahu emak, dia gembira.

“Dapat juga kau naik kapal terbang ya. Macam manalah keadaannya,” kata emak. Saya diam sahaja. Saya sendiri pun tidak pasti bagaimana keadaannya nanti. Tawakkal sahajalah.

Nota: Ini kisah benar kalau mahu ketawa, ketawalah. Saya juga ketawa..hahahaha.. Ada sambungannya nanti

Isnin, Oktober 02, 2006

Satu perjalanan I

Khamis dan Jumaat (28 & 29 Sept) yang lalu antara yang menarik dalam Ramadhan saya. Pelbagai perkara yang ingin saya kongsikan kerana saya amat terkesan dengan perkara yang berlaku.


Pada hari Khamis, majlis berbuka puasa, solat terawikh dan sedikit tazkirah akan diadakan di pejabat. Awal pagi saya bersama seorang staff mengemas dewan latihan, menyapu lantai, menyusun kerusi, mengemop lantai, menyusun tikar dan menghampar sejadah sambil memasang alunan nasyid dari kumpulan Raihan. Tiba-tiba saya rasa ada satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan. Saya terasa kerahmatan yang amat dalam menyediakan kemudahan bagi orang berbuka puasa dan kemudahan bagi mereka beribadah. Betapa indahnya hidup ini, betapa indahnya Ramadhan ini, penuh dengan barakah dan rahmat. Hati saya syahdu seketika mengenangkan Ramadhan yang penuh dengan kenikmatan ini. Satu-satunya bulan dimana amalan kita diganjar dengan pahala berlipat kali ganda, bulan yang penuh dengan ujian akan kesabaran dan lapar dahaga.

Maha suci Allah, saya benar-benar terasa nikmat Ramadhan ini. Saat menghampar sejadah airmata hampir menitis mengenangkan kebesaran dan keagungan Ilahi menciptakan satu bulan yang penuh rahmat. Saya tertanya, apakah ia Ramadhan terakhir bagi saya? Hanya Allah yang lebih mengetahui. Dan saya juga tidak tahu apa yang saya lakukan ini akan dapat saya lakukan lagi esok. Saya bersyukur kerana punya kesempatan ini untuk berbakti buat teman-teman yang datang berbuka. Semoga apa yang saya lakukan ini ada kebaikan untuk yang lain.

Sesudah habis mengemas dewan latihan yang bertukar kepada sebuah surau, kami perlu memasak nasi dan menyediakan air. Lauk pauk dimasak oleh Pengarah Urusan saya sendiri, yang akan saya ambil dirumahnya yang tidak jauh dari pejabat menjelang Asar nanti. Kemudian kami mengangkat lauk, menyusun pinggan mangkuk, menyiapkan hidangan dan sebagainya ditingkat tiga. Saya turun naik tangga sehingga baju basah akibat peluh. Letih memang terasa tetapi nikmat itu lebih manis sebenarnya. Saya berdoa agar ada lagi kesempatan untuk saya mengulanginya esok hari.

Menjelang maghrib saat menunggu waktu berbuka, seorang teman mengkhabarkan berita duka. Dr Latifah Mohd Noor, pensyarah saya di UIA meninggal dunia akibat barah otak jam 4.15 petang tadi. Saya menjadi terpempan seketika. Kami sepakat menziarahi Allahyarham selepas terawikh sebelum jenazah dihantar pulang ke kampungnya di Melaka. Setiba di rumah Allahyarham, saya terkesan akan sesuatu. Sesudah menatap wajah arwah yang suci tersenyum, saya melihat perkara lain. Ada persaudaraan yang erat dibawah lembayung Islam di paparkan dengan sempurna disini.

Saya melihat para pensyarah saya yang masih dapat saya kenali ada disitu. Berkulit hitam mahupun putih, yang tinggi mahupun rendah, pensyarah dan anak murid, berpangkat Dr mahupun pensyarah biasa, semua berkumpul bersama. Ada yang saya tidak berapa kenal kerana tidak mengajar saya tapi saya tahu dia pensyarah. Mereka berbual dalam bahasa yang boleh difahami, sama ada Melayu, Arab atau Inggeris. Inilah yang amat saya suka bila menuntut di UIA – satu pemandangan yang tidak dapat dilihat ditempat lain. Pelbagai adat, budaya dan kaum bertemu dan berkumpul tanpa ada dinding pemisah. Islamlah yang menyatukannya tanpa ada perasaan prejudis mahupun bangga diri akan kelebihan bangsa masing-masing. Maka bertemulah saya dengan Dr Sidek Baba yang kami panggil Cikgu Sidek, En Yusri (Presiden ABIM), beberapa muka besar dan tokoh ilmuan tanahair yang dapat saya lihat dari jauh termasuklah pensyarah yang amat saya kagumi, Dr Ariff. Saya ambil kesempatan berbual dengannya dan ternyata dia masih mengenali saya. Kami bertanya khabar dan berbual ringkas.

Saya teringat satu perbualan saya dengannya ketika saya baru tamat belajar dan sedang berlegar mencari kerja. Saya bertembung dengannya secara tidak sengaja di kuliah dalam hujan renyai. Lalu dia tumpangkan saya ke mahallah (asrama). Kata-katanya saya semat dalam kepala sehingga kini.

“You know sister, you have talent in writing. Why don’t you write something even in Bahasa and send it to any newspaper. Make it published”

Saya tidak tahu dari mana dia tahu saya ada bakat menulis dan atas kata-katanya saya bergerak sendirian menulis untuk diri sendiri tanpa ada kekuatan untuk menghantar kemana-mana. Alhamdulillah, tahun 2006 menemukan saya dengan sesuatu yang saya nantikan sejak sekian lama. Peluang berguru dengan Pn Ainon Mohd dan Faisal Tehrani menyebabkan saya sering tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam bagi mencambahkan idea dan menggarap ayat. Terlintas juga kata-kata Cikgu Sidek kepada saya ketika merasmikan satu program ekspedisi yang persatuan kami anjurkan ketika saya masih menuntu dahulu. Katanya, “kalau mahu menulis, tulislah sesuatu atas nama Allah dan demi menegakkan kalimahNya. Itulah tanggungjawab kita sebagai khalifah. Mata pena itu juga senjata bagi kita.” Kata-kata Cikgu Sidek saya pegang kejap dan saya tidak sangka ia menjadi sesuatu yang penting apabila saya memilih arah yang satu ini. Kedua-dua azimat ini saya semat kukuh dalam hati.

Selepas menziarahi Allahyarham dan keluarganya, kami kembali ke pejabat. Majlis baru berakhir dan saya dengan perasaan yang penuh kesyukuran menghantar beberapa orang sahabat pulang kerumah mereka sebelum kembali semula ke pejabat. Pejabat saya ini sebenarnya ada menyediakan sebuah bilik khas untuk staff, maka kami bertiga yang bekerja disini tinggal disana. Jadi, dunia kami sekadar disini. Turun dan naik dipejabat. Tetapi ianya lengkap – ada tv, bilik air, katil dan tilam yang membolehkan kami tinggal tanpa memikirkan tentang sewa rumah, bil air dan api, kesesakan jalanraya, tambang bas, minyak kereta, bersesak dijalanraya atau bangun awal kepejabat. Hidup nampak terasa mudah tetapi tekanannya tetap ada juga. Kemudian nanti saya ceritakan.

Dalam perjalanan menghantar teman yang terakhir, saya bercerita kepadanya tentang beberapa perkara yang berlaku kepada saya sebelum itu. Tatkala ini, saya memerlukan seseorang yang boleh saya bercerita – sekadar memberi telinga untuk mendengar tanpa perlu ingat sedikit pun apa yang saya ceritakan. Hampir luruh juga airmata akan kesedihanyang telah berlaku dan saya sekurang-kurangnya mahukan buah fikiran yang boleh membantu menyelesaikan, setidak-tidaknya melupakan perkara ini.

Pandangan yang diberikan kepada saya amat menarik dan saya menjadi begitu selesa berbicara. Oleh kerana saya tua sedikit, dia panggil saya akak sahaja. Saya rangkumkan semuanya sekali.

“Akak perlu ingat, kita memang perlu kawan, tapi jangan percaya 100% terhadap kawan kita. Untuk lebih radikal, jangan telefon. Delete terus namanya dari phone book. Bergembiralah selalu. Jangan ingat lagi perkara itu. Walaupun nampak seperti memutuskan silaturrahim, ia adalah lebih elok dari membuatkan kita rasa tersiksa bila ingat peristiwa itu dan mengundang pelbagai andaian negatif. Kawan memang perlu tetapi berpada-padalah.” Itulah nasihatnya yang saya ringkaskan.

Dalam perjalanan ke rumah (a.k.a pejabat), saya fikir balik kata-kata ini. Ada benarnya dan yang boleh saya guna, saya mahu praktikkan. Nampaknya saya bagai mengaplikasikan kesemuanya. Sebaik tiba, saya terasa ada beban di bahu yang telah saya tinggalkan di belakang dan saya nampak ada sinar yang cerah dihadapan. Sebelum tidur, saya buat solat hajat dan istikharah bagi memohon petunjuk semoga tindakan yang saya ambil ini benar. Kepada Alllah saya berserah sekarang ini kerana saya tahu, dialah satu-satunya tempat sandaran yang paling suci. Ternyata sejak beberapa hari, fikiran saya menjadi lapang dan lega. Malah, saya mampu membaca buku dengan selesa hingga mendatangkan pelbagai idea yang saya curahkan dengan segera ke kertas. Sememangnya pena dan kertas dua teman karib saya saat suka dan duka. Saya lebih senang menulis berbanding menaip kerana saya mampu melahirkan hati saya dengan lebih dalam apabila menulis menggunakan tangan dan kemudian saya alih ke monitor. Memang nampak seperti buat kerja dua kali, tetapi dalam banyak hal, ia lebih berguna dan banyak faedahnya. Idea saya lebih halus dan susunan ayat lebih menarik.

Perkara penting yang saya dapat disini ialah, jika ada masalah, jangan disimpan kerana ia menyusahkan. Berceritalah dengan orang lain semoga ada penyelesaian yang baik serta banyakkan doa kepadaNya. Kemudian ambil langkah untuk melupakan masalah jika kita tidak mampu menyelesaikannya. Jam tiga baru saya mampu tidur, itupun setelah makan nasi. Baru saya teringat yang tadi saya berbuka ala kadar sahaja kerana mahu memastikan semua tetamu mendapat makanana yang cukup. Penat terasa hilang melihat makanan habis malah masalah yang pergi menyebabkan penat semakin tidak terasa. Inilah rahmat Ramadhan rasanya. Alhamdulillah.

Ketika dalam perjalanan menziarahi jenazah tadi, saya terpandang bulan sabit dilangit. Tiba-tiba, keluar puisi ringkas ini:
Bulan sabit dipagar langit
Sepi tanpa bintang
Sunyi tanpa teman


Subhanallah, bulan itu memang cantik - bulan sabit. Namun ia nampak sepi tanpa bintang. Sebab itulah saya kata ia dipagar langit. Melihat bulan yang sepi, saya terfikir apakah saya sesepi bulan. Bintang yang ada akan datang dan pergi, ibarat teman disekeliling yang boleh datang dan pergi bila-bila masa. Bersandar terus kepada Allah sebagai mana sang rembulan dan dari itu dapat saya lihat kesan kesepian bulan itu pada diri saya secara tidak langsung.

Oleh kerana saya tidur lewat, saya tidak bangun bersahur. Pagi Jumaat itu, jam enam saya bangun memunaikan solat subuh, membaca Al-Qur’an kemudian mandi. Saya mencongak dalam kepala, baru perasan yang saya tidur cuna tiga jam tetapi rasa segar tanpa mengantuk. Tepat jam 7, saya melarikan diri seketika dari pejabat memecut ke Putrajaya bertemu dengan seorang sahabat. Awal juga saya tiba, jam 8 kerana mahu elak kesesakan jalanraya. Dahulu kami agak rapat dan menjadi renggang kerana berjauhan tempat kerja (Putrajaya dan Melawati tidaklah jauh, ia sekadar alasan sebenarnya).

Kami berbual-bual akan pelbagai perkara. Dari masalah kesihatan, perihal makanan, harga minyak yang naik, harga barangan yang melambung, sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan, politik dan pilihanraya, peluang perniagaan, dasar divide and rule penjajah yang masih diguna pakai, filem Gubra dan Remp-it, perang Astro & Media Prima, pengaruh tv kepada kanak-kanak, masyarakat yang kian leka dengan hiburan, tentang Siti Nurhaliza dan Datuk K (ehh...masuk juga dalam senarai perbincangan), kisah tentang Andalusia dan kerajaan Turki Uthmaniyyah, ‘jenayah’ Mustafa Kamal Attaturk terhadap empayar Uthmaniyyah, hinggalah ke kisah perang, strategi perang dan psikologi perang.

Saya ceritakan bagaimana Muhammad Al Fatih membuka Konstantinopel (Istanbul). Dia pula cerita tentang kemungkinan suatu hari nanti perang menggunakan teknologi lama dengan melihatkan kejayaan Afghanistan (Taliban?) dan Lubnan (Hizbullah?) memalukan USA. Tiba-tiba saya teringat kepada filem Patriot. Kemudian saya cerita pula tentang Salahuddin al-Ayyubi yang menawan Palestin. Teringat pula kepada filem Kingdom of Heaven. Cerita berganjak pula ke pejuang kemerdekaan tempatan dan pejuang berhaluan kiri. Nama yang disebut ialah Rashid Maidin dan Chin Peng. Saya teringat kepada pejuang senyap yang lain seperti Shamsiah Fakeh dan Dr Burhanuddin al-Helmy. Dia pula menyebut tentang Dato’ Bahaman dan Tuk Janggut. Kemudian pergi ke cabang baru diri saya – bidang penulisan dan tips menulis yang saya terima dari Pn Ainon dan Faisal Tehrani termasuk rahsia perniagaan dan gosip buku. Dia nampak begitu teruja dengan usaha terkini saya kerana tahu itulah impian saya sejak sekian lama yang saya sekadar pendamkan tanpa sebarang usaha drastik.

Dalam tidak sedar, kami bercerita dan bercakap hampir tiga jam. Itulah saya sebenarnya. Jika ada masalah, saya akan cari seseorang yang agak jauh atau yang tidak saya hubungi beberapa waktu dan bercerita tentang macam-macam sehingga saya rasa penat bercerita. Kemudian, saya akan terus merasa lega dan terlepas dari beban. Saya lari dari tempat kerja ini pun semata-mata mahu bercerita dan berkongsi cerita. Kali ini bukan kongsi masalah lagi, kerana Alhamdulillah, saya telah dapat menyingkirkan masalah dari kepala.

Dalam perjalanan pulang, saya melihat kembali apa yang berlaku pada diri saya sejak dari awal Ramadhan yang lalu. Baru enam hari tetapi dugaan dan kenikmatan yang silih berganti semakin mendekatkan saya kepadaNya. Saya berdoa agar saya berjaya menamatkan perjalanan pada Ramadhan tahun ini dengan cemerlang. Madrasah Ramadhan kata orang. Tempat untuk mencuci diri dan membersih jiwa. Insya Allah, Dia telah menjanjikan kebaikan, maka tugas kita pula ialah berusaha mendapatkannya. Segera saya teringat pada janji dengan seorang teman dan suaminya untuk pulang kekampungnya di Lenggong, Perak esok. Saat beban terpisah dari bahu, ada baiknya juga saya melarikan diri seketika dari kesibukan kota dan melihat keindahan hidup di desa. Memang sudah lama saya diajak pulang bersama-sama, saat ini barulah terlaksana.

Insya Allah, jika ada kelapangan akan saya ceritakan pula perjalanan di sana selama dua hari.

Allahumma ini as-aluka ridhaaka wal jannah.
Ya Allah, aku mohon redha-Mu dan syurga-Mu. Amin