Ahad, Disember 31, 2006

Sesuatu yang menyebabkan senyumanku melebar hingga ke telinga

Ada beberapa laman web dan blog yang wajib saya ziarahi setiap hari, tidak kira sama ada pemiliknya rajin kemaskini atau tidak. Jika tiada entri terbaru, saya pergi kepada arkib, membaca dan memikir.

Begitu juga dengan lama web ini. Tetapi hari ini, saya menerima kejutan yang amat sangat. Manuskrip pertama saya menerima promosi awal melalui artikel yang disiarkannya dan e-mel tiga pertanyaan saya disiarkan sekali.

Terima kasih kepada Kang Razzi Armansur. Beginilah cara berguru dari jauh. Ada kalanya kita menerima dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.

Terima kasih daun keladi!

Jumaat, Disember 29, 2006

Ada apa dengan tahun baru

Ya, ada apa dengan tahun baru? Dengan ucapannya, dengan ungkapannya. Bertukar hari, bulan dan tahun. Apa bezanya dengan kita yang silih bertukar saat, minit, jam dan hari?

Mungkin ada beza yang besar.

Saya tidak mahu mempersoalkan tentang tahun baru masihi itu. Apa yang ingin saya sentuh ialah upacara sambutan tahun baru di tanah hadhari kita ini.

1 Januari 2007 jatuh pada 10 Zulhijjah, hari kedua Aidiladha. Hari korban dan keinsafan. Hari yang besar dan menginsafkan. 31 Disember pula ialah 1 Aidiladha. Hari Ahad pula. Saya pasti dan amat pasti adanya sambutan tahun baru besar-besaran. Di KLCC. Di Dataran Merdeka. Di Putrajaya. Di Bangsar. Di Genting.

Bunga api. Artis menyanyi. Mengira detik jam 12 tengah malam. Lalu kalendar pun berganti.

Saya ingin membawa ingatan terhadap apa yang berlaku enam tahun yang lalu. Tahun 2000 yang dikatakan alaf baru, millennium baru.

Masih basah dalam ingatan 31 Disember itu ialah pada bulan Ramadhan yang penuh barakah. Sambutan tetap ada, malah lebih meriah dan lebih gah. Alaf barulah katakan. Meninggalkan abad ke-20, menuju ke-21.

Saya sedih ketika itu.

Siangnya, saya menatap Utusan Malaysia yang di muka hadapannya menyiarkan gambar berbotol-botol arak yang ditaja khusus untuk sambutan ini, diangkut dan disusun ke dalam stor khas untuk diberi secara percuma kepada para pengunjung yang hadir malam nanti. Sambutan itu diadakan di Lapangan Terbang Subang. Jelas dimata saya, botol-botol yang disusun itu, ketinggiannya melampaui manusia normal. Berbotol-botol. Siapa yang minum agaknya. Dan juga percuma.

Saya simpan keratan akhbar itu hingga kini.

Kemudian, berita dan gambar tentang muda-mudi berbaris panjang mahu mengambil tiket percuma bagi menghadiri sambutan tahun baru. Seperti biasa, ada bunga api dan artis menyanyi. Juga botol-botol itu yang juga ditaja dan percuma.

Bulan itu bulan Ramadhan. Kami berterawikh seperti biasa. Ada juga membaca tahlil dan Yaasin. Bersolat hajat mohon kerahmatan seluruh alam. Juga kemakmuran Malaysia.

Menjelang detik 12 malam, saya dan juga teman sebilik memasang radio. Juruhebah terpekik riang gembira. Juga bunga api dan artis menyanyi.

Malam itu malam Ramadhan.


Bukannya sombong

Ada satu perkara yang menjadi masalah buat saya bila keluar. Saya tidak boleh 'cam' muka orang apatah lagi nama orang dengan cepat. Biasanya, orang akan tegur saya dahulu, kemudian saya akan terdiam, mengingat, dan barulah berbual. Kadangkala sampai berpisah pun, saya masih tidak dapat ingat siapa agaknya orang tu.

(Sebab tu ada orang kata saya ni sombong, tidak menegur orang :-) )

Tadi, sewaktu membelek buku di sebuah kedai, saya tidak perasan orang ni yang dah lama terpacak depan saya menunggu untuk ditegur. Kami dahulu satu pejabat. Akhirnya dia berdehem. Bila saya angkat kepala... laaa..

Malam tadi, selepas mesyuarat persatuan kami di UIA, ada seseorang menegur. Saya terdiam berdiri. Memang saya tidak boleh ingat siapa dia. Akhirnya saya bertanya, "Siapa ya?" Dia menjawab, tetapi saya masih tidak dapat mengingat bila bertemu. Saya mengiyakan sahaja.

Dua hari lepas, saya menuju laju ke meja makan lalu duduk dan terus berbual. Saya tidak perasan langsung orang di sebelah kanan. Bila saya toleh, laaa...

Bila berjalan kemana-mana, saya sentiasa ditegur. Terima kasihlah menegur kerana saya memang tidak perasan. Saya tahu kenapa jadi begitu. Sebab saya berjalan tidak memandang muka orang. Apa yang saya pandang? Batu, longkang, sampah sarap, asap bas, burung, awan, cermin kereta... hahaha (dengan harapan mahu mencari ilham). Dan ilham memang ada dimana-mana.

Jadi pesanan saya untuk sesiapa yang mengenali, tegurlah saya kalau jumpa di mana-mana. Saya memang tak ingat dan bukannya sombong.

Namun, terpulanglah kepada tafsiran anda sendiri.

:-)

Khamis, Disember 28, 2006

burung...


burung yang terbang saban senja
berlegar manja di langit sepi
mendorongku untuk bertanya
pernahkah ia merasa sunyi?



Burung
A Samad Said

Lagu longlai

Setiap hari pada jam 12.00 tengah malam, lagu Negaraku dan Wilayah Persekutuan akan berkumandang di KLfm.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah lagu
Wilayah Persekutuan.

Seperti Negaraku, ia menyebabkan bulu roma saya meremang. Bukan seperti lagu Negeri Sembilan yang menyebabkan kami rasa lemah longlai.

Siapa yang biasa menyanyi lagu Negeri Sembilan ketika di sekolah dahulu, pasti bersetuju dengan kenyataan ikhlas saya ini.


Korban dan keinsafan

Sejak saya celik mata pagi tadi, lagu Balik Kampung berkumandang. Tidak berapa lama kemudian, Datin Pah menyanyikan lagu 'Hai Selamat Hari Raya.'

Sekarang ini Junaidah M. Amin dengan Suasana Hari Raya.

Saya rasa, malam ini saya tidak berterawikh atau berpuasa siang tadi. Tetapi mengapa radio rancak memutar lagu raya?

Aidil Adha itu berbeza dengan Aidilfitri.

Sama seperti Astro. Iklan yang menyenaraikan petikan siaran rancangan untuk tayangan Aidil Adha bertemakan "keinsafan di hari raya". Mula-mula siaran cerita yang menginsafkan. Selepas dua tiga petikan, siri nyanyian dan nyanyian dan nyanyian. Apa yang mahu diinsafkan?

Satu kegilaan dan bermacam kebingungan

Dalam tempoh sebulan ini, ada beberapa persoalan yang berlegar-legar dalam kepala. Saya fikir, kemudian cuba mencari jawapan. Nyata jawapan yang saya cari itu tidak langsung memberi kepuasan.

Kebingungan ini saya rasa ada kena mengena dengan tindakan sendiri yang merehatkan diri dari menitipkan tinta dan mencerna idea buat beberapa hari. Tindakan berehat ini nyata satu tindakan yang salah. Apabila saya mahu memulakannya semula, saya merasa amat sukar. Memang betul ada yang berkata, tiga hari tanpa sesuatu akan menyebabkan idea beku. Tambahan pula dengan hadirnya persoalan tanpa jawapan, menambahkan kebingungan. Lantas saya memaksa diri bagi menghasilkan sesuatu.

Ia sekaligus melahirkan satu kegilaan baru. Awalnya, saya sekadar berkeinginan menjawab satu e-mel dari teman seberang tambak. Namun, saya membalasnya dengan panjang lebar. Ini diikuti dengan beberapa e-mel lain yang juga saya jawab dengan panjang lebar. Saya jadi seronok akhirnya. Lalu mengutusi beberapa e-mel yang lain, juga panjang lebar tanpa ada secubit harapan mereka mahu membalasnya. Saya hanya mahu menghantarnya. Ternyata saya puas hati.

Apa yang menarik, e-mel itu diutusi kepada mereka yang saya kenali melalui blog. Dan saya menerima keindahan yang nikmat - dunia blog memberi saya kenalan baru. Tidak pernah jumpa. Sekadar bere-melan. Kadangkala YM. Namun saya tidak minat interaksi di YM. Kurang nikmatnya.

E-mel yang panjang lebar itu adalah kegilaan terbaru. Selain kenalan baru, beberapa teman yang terpisah sejak kami memilih haluan kerjaya, muncul kembali menghubungi. Inilah nikmat persahabatan. E-mel yang panjang lebar itu jugalah merapatkan yang telah hilang satu ketika dahulu.

Semalam, tergerak untuk saya mengutusi e-mel yang panjang lebar juga kepada seseorang yang saya minati tulisannya. Saya melontarkan kebingungan atas persoalan yang telah sebulan terperap di kepala. Syukurlah, kerana beliau membalas dan dapat saya rasakan nikmat sekali lagi. Amat lega. Kebingungan telah berlalu. Apa yang bermain di kepala telah saya temui penyelesaiannya. Beliau nyata tidak kedekut ilmu, malah memberi motivasi secara tidak langsung buat diri ini berlari mengejar impian.

Terima kasih Kang!

Sekarang ini, saya kembali bersemangat untuk memulakan sesuatu yang saya rencanakan untuk 2007.

Insya Allah!

Rabu, Disember 27, 2006

Sepatah kata buat dia yang melalui kelam semalam

Dia asyik merenung derita silam. Kerap melihat duka semalam.
Dia tahu tiada guna mengimbas derita.
Namun duka yang dibawa saat remaja memberi parut masa depan yang payah di duga.

Sesekali ku bertanya dan kadang kala cuba memberi. Andai itu boleh dikatakan kasih seorang teman atau seorang kakak.
Ku cuba berkongsi, jika dia mengerti. Membantu mengisi sepi, membawa senyum pada wajah, membuang memori dari ruang fikir, meniup pergi mendung semalam.
Bukankah mentari kan tetap bersinar?

Telah ku ajarkan itu.
Untuk melupakan ialah dengan tidak mengingati.
Ia mampu pergi. Namun terserah kepada diri untuk melakukan.
Jalan yang lurus tanpa belok itu membosankan.
Itulah hidup ibarat sebuah perjalanan.

(Dan ku harap dia mengerti akan itu)

Taman Melawati
Rabu 21 Disember 9.00am

Selasa, Disember 26, 2006

Keliru bahasa

Ada beberapa kisah menarik tentang bahasa sewaktu saya menghadiri kelas Diploma Terjemahan yang lalu.

***

Sebuah keluarga Melayu menetap di luar negara. Ibu bapa mengajar anak-anak menyapa jiran dengan memanggil nama mereka biarpun yang dewasa. Misalnya Richard, John dan Mary. Ini memang situasi biasa. Kemudian diajarkan juga bahawa Uncle dan Auntie bermakna gelaran pakcik dan makcik yang dipakai untuk saudara mara sahaja.

Apabila kembali ke Malaysia, mereka tinggal di sebuah taman perumahan. Jiran terdiri dari berbilang bangsa. Anak-anak diajar menyapa jiran dengan meletakkan gelaran Uncle dan Auntie sebelum nama. Contohnya Uncle Lim atau Auntie Zai.

Soalan cepu emas yang keluar dari anaknya ialah, “bilakah masanya mereka menjadi saudara mara kita?”

Lalu anak menjadi keliru.

***

Keluarga yang lain pula. Juga menetap di luar negeri. Sejak kecil anak diajar berbahasa dengan betul. Diajar juga nama buah-buahan tempatan, termasuklah watermelon (buahan tempatankah?)

Mereka juga kembali ke tanah air. Dalam satu majlis keraian, jamuan dihidangkan termasuklah buah-buahan.

Lalu si anak bertanya, “watermelon dalam English apa ya, ibu?”

Kali ini si ibu pula keliru

***

Janganlah kita mudah keliru. Sesekali, carilah guru. Tidak rugi belajar biarpun sedikit.

Dan saya masih lagi berfikir...

Johor banjir dan saya terpukul. Terburuk dalam sejarah. Saya risik cerita dari teman di Johor. Kata mereka daulat Sultan Johor yang menitahkan supaya Tambak Johor di Selat Tebrau itu dipecahkan. Lalu rakyat Johor di timpa bencana. Kebenarannya? Entahlah.

JB, Kota Tinggi, Segamat, Muar, Pontian dan daerah lain dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah. Saya teringat atuk di Kampung Jawa, Segamat, Senggarang, Batu Pahat serta Kg Bukit Tunggal, Jementah, Segamat. Apa khabar agaknya mereka.

Lalu,

Saya masih berkira-kira. Temuduga telah berjaya. Panggilan latihan juga saya terima. Saya minta tangguh. 2006 banyak perkara yang mendatang. Saya fikir lagi. Patutkah saya sertai semula? Dahulu saya pernah bertanya kepada seorang pegawainya. Katanya, saya tidak perlu ditemuduga lagi. Hanya perlu hadiri latihan. Namun saya tahu, kali ini perlu lebih cergas. Beberapa kawan yang menyertai saya tanya. Elok masuk, kata mereka. Jadi wakil perempuan dalam persatuan ini.

Saya ambil keputusan.

Saya mudah kasihan dengan tragedi. Mereka yang banjir perlukan bantuan. Mungkin darah sebati dengan kerja sukarela. Lalu?

Saya memikir lagi untuk mendail no JPA3. Moga-moga mereka menerima saya tanpa perlu hadiri temuduga sekali lagi. Latihan hujung minggu sebulan sahaja. Dan kali ini, saya perlu lebih bersedia.

Jumaat, Disember 22, 2006

Cakap atau tidak cakap


Saya jenis yang tidak banyak cakap. Bila saya cakap banyak, maknanya adalah yang salah, ada yang tidak kena.

Seminggu dua ini, beberapa perkara yang menyebabkan saya tidak puas hati berlaku. Hendak melawan tiada gunanya. Kita ini mentimun, dia durian. Menggelek atau digelek sama teruknya.

Dahulu, bila ada yang tidak kena, akan ada yang menjadi mangsa kemarahan saya. Tapi panas saya sekejap sahaja. Lepas itu minta maaf. Hahaha... buruk betul perangai.

Kemudian, saya cuba ubah. Bila marah atau tidak puas hati, saya akan diam sahaja dan jangan bercakap apa-apa. Sesiapa yang menegur saya tidak layan. Saya akan duduk depan monitor dan taip apa yang tidak puas hati. Habis menaip, semua kemarahan dan tidak puas hati hilang. Mudah sahaja. Apa yang ditaip itu dibiarkan tersimpan bersepahan dalam folder.

Kebelakangan ini, saya akan merepek entah apa-apa. Cakap seorang diri, membebel tidak tentu pasal. Kadangkala ada yang sudi mendengar. Lalu saya minta dia dengar sahaja dan jangan ingat apa-apa langsung. Namun, bahaya juga bila bercakap dalam emosi yang tidak dikawal. Bimbang yang rahsia terbongkar. Apatah lagi melibatkan seseorang individu atau syarikat. Pernah beberapa kali saya ditikami dengan kata-kata sendiri bagi mereka yang mahu menjaga periuk nasi sendiri. Malah ada yang memutarbelitkan situasi. Saya terperangkap. Memang sukar mencari yang boleh dipercayai.

Sekarang saya senang mendiamkan. Dan lebih senang bercakap dengan dinding. Dengan kerusi. Dengan tingkap. Dengan laptop. 5 minit sahaja, semua selesai.

Sebentar ada seseorang menelefon. Entah apa angin hari ini, saya bercakap tanpa noktah. Dia sedar yang ada tidak kena. Nak kena jumpa ni, katanya ringkas. Saya ketawa, terdiam, memikir. Banyak cakapkah saya tadi? Dia memang tahu perangai. Namun kami tidak temui masa yang sesuai.

10 minit kemudian dia menelefon sekali lagi. Saya on the way. Bolehlah kita jumpa. Bual-bual. Cerita-cerita.

Saya fikir. Bolehkah dia dipercayai? Saya tidak meraguinya, malah. Mahu cakap atau tidak cakap

(Mungkin saya perlu beralas dan berlapik.)

Rabu, Disember 20, 2006

Analisis Cerpen – Takbir Pada Akhir Ramadan

Analisis oleh S.M Zakir dalam Tunas Cipta Disember 2006

"Akhir sekali cerpen “Takbir Pada Akhir Ramadan” karya Norziati Mohd Rosman berjaya memberikan sebuah cerita yang mengesankan dari segi emosi. Pemaparan cerita dengan bahasa yang baik dan sederhana membawa pembaca bergerak dari satu plot ke satu plot dengab lancar. Cerpen ini memberikan sebuah imbas muka (foreshadow) yang baik. Bagaimana isteri Pak Imam pada bulan puasa ini tiba-tiba meminta Pak Imam berbuka, bersahur dan bertazkirah di rumah. Isteri Pak Imam juga bertambah-tambah layanannya kepada Pak Imam. Tentunya Pak Imam mengganggap isterinya memerlukannya di rumah setelah saban tahun bulan puasa, masanya penuh di surau. Pak Imam memikirkan ada benarnya juga kata isterinya itu. Anak isterinya juga memerlukannya di rumah.

Namun, setelah dua malam Pak Imam menghabiskan masanya beribadat di rumah, Pak Imam berasa rindu untuk ke surau. Pak Imam kembali ke surau untuk menghabiskan masanya memimpin ibadat di situ. Isteri Pak Imam akur mengikut Pak Imam ke surau setiap masa dan tidak berenggang dengan Pak Imam. Terasa juga keganjilan kepada Pak Imam, tetapi ia hilang kerana kesibukan Pak Imam beribadat. Rupa-rupanya itulah Ramadan terakhir isterinya bersama-sama Pak Imam. Isterinya emninggal dunia akibat kemalangan pada takbir pertama Syawal.

Cerpen ini membina sebuah cerpen yang baik dan mengesankan. Pengolahannya baik dan menjadikan pergerakan plotnya lancar. Penulis berjaya membawa pembaca untuk mengikuti ceritanya sehingga tamat. Akhirnya, penamatnya menemukan klimaks yang begitu menyentuh perasaan pembaca. Cerpen ini membentuk kebulatan idea, yang menyaksikan titik mulanya bertemu titik dengan titik akhirnya. Dengan kata lain, ceritanya bergerak dari satu titik dan berakhir pada titk yang sama. Segala perlakuan dan peristiwa yang diwujudkan mempunyai hubung kait antara satu sama lain. Akhirnya klimaks cerita tersebut menjawab segala-galanya."


* Analisis ini saya salin secara terus dari majalah Tunas Cipta tanpa sebarang penyuntingan. Secara jujur, saya amat terharu dengan komentar yang diberi. Bak kata seorang kawan, ia adalah pemberi semangat untuk saya terus berkarya
** Jika ada yang kurang percaya akan analisi ini, sila dapatkan Tunas Cipta edisi Disember 2006. Dapatkan segera sebelum kehabisan!

Cerpen - Takbir pada akhir Ramadan

WALAUPUN namanya Pak Imam, tugasnya bukan sekadar mengimamkan solat. Dia juga perlu memastikan, sebelum masuk waktu solat, sejadah sudah diatur rapi, mikrofon dan lampu berfungsi dengan baik, manakala jendela dan pintu dibuka.

Sesudah solat, sejadah perlu dilipat semula, mikrofon, lampu dan pintu ditutup manakala jendela dibiarkan terbuka. Itu belum lagi dengan kebersihan dan keceriaan surau, aktiviti harian, jadual menjadi bilal dan pemukul beduk, menyusun atur pembaca Qur'an sepuluh minit sebelum solat dan sebagainya.


Walaupun ada Tuk Siak dan ahli jawatankuasa surau yang lain, Pak Imam merasakan dia bertanggungjawab memastikan segala keperluan jemaah lengkap dan sempurna. Dia mahu surau ini menjadi tumpuan jemaah bukan sahaja kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya, tegurannya malah keperluan surau itu.


Andai jemaah selesa solat disitu, maka mereka selesa untuk datang lagi dan mengkhabarkan berita yang baik untuk teman mereka, menyarankan agar teman mereka itu berjemaah disitu. Itulah hasrat Pak Imam. Alhamdulillah, hasratnya tercapai dan setiap kali menjadi imam, jemaah tidak kurang dari tiga saf hatta waktu subuh sekalipun.


Tetapi mereka semua mahu supaya Pak imam sendiri yang menjadi imam, bukan orang lain, kerana tazkirahnya, bacaan solatnya, nasihatnya dan tegurannya yang begitu mengesankan. Pak Imam menasihatkan mereka bahawa dia bukannya gilakan gelaran Imam atau elaun dari kerajaan, tetapi dia perlu melatih orang muda yang baik bacaan dan betul makhrajnya menjadi Imam. Biarlah ada dua tiga orang pelapis supaya mereka ini mendapat bimbingan sepenuhnya dari Pak Imam dan boleh menjadi Imam sebaik-baiknya.

Jemaah akur tetapi memohon supaya jika bukan Pak Imam sendiri menjadi imam, biarlah tazkirah selepas solat, dia sendiri yang menyampaikannya. Pada Pak Imam, itu bukannya halangan, tetapi seperti solat, tazkirah juga mempunyai jadualnya sendiri. Akhirnya mereka berkompromi. Maka dia berselangseli – andai bukan menyampaikan tazkirah, dia akan mengimamkan solat. Jemaah berpuas hati dan bersyukur.


Menurut Pak Imam, pada tahap usianya ini, dia perlu melatih seramai boleh pelapis dan mencadangkan nama mereka kepada Jabatan Agama untuk menjadi Imam muda. Bukannya dia sudah tak larat menjadi Imam, tetapi eloklah ada yang muda sebagai pelapis. Dia khuatir nanti dia dikuburkan bersama ilmu yang ada didadanya dan tidak sempat dimanfaatkan bersama. Na'uzubillai min zalik.


Apabila selesai urusan di surau, Pak Imam kembali kerumah, melihat apa-apa yan patut dikerjakan di kawasan rumahnya yang tidak sebesar mana. Mujurlah ada tempat untuk dia berbakti kepada tanah, maka tidaklah perlu dia membeli sepanjang masa dikedai. Adalah hasilnya untuk dimasak – cili, keledek, pisang, serai, ubi, kunyit, halia, dan beberapa jenis ulam-ulaman.


Pak Imam mempunyai empat orang anak, Alhamdulillah masing-masing sepasang lelaki dan perempuan. Sudah besar belaka semuanya. Yang sulung menjadi pensyarah di Kolej Islam. Yang kedua dan ketiga masih menuntut. Seorang di Mesir dan seorang lagi di Mahaad Tahfiz. Insya Allah yang bongsu akan menurut menjadi ahli tahfiz, dengan syarat SPMnya cemerlang. Yang sulung dan bongsu tinggal bersamanya.


Isteri Pak Imam yang dikahwininya sejak tiga puluh tahun yang lalu merupakan seorang yang taat dan patuh kepadanya. Tetapi pada bulan Ramadhan yang baru berlalu, isterinya mempunyai permintaan yang Pada Pak Imam sedikit pelik dan berbeza. Tak tahulah kenapa dengan dia, meminta agar Pak Imam sering berada di rumah untuk berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah di rumah. Pak Imam hairan. Dia masih ingat lagi kata-kata isterinya empat hari sebelum Ramadhan - cukup-cukuplah awak menjadi imam setiap solat. Janganlah bulan puasa ini, berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah, berterawikh, bertadarus dan memberi tazkirah di surau.. Luangkanlah sedikit waktu untuk bersama keluarga. Kami juga ingin merasa berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan mendengar tazkirah dirumah. Berilah peluang kepada yang muda menjadi imam, jangan diharapkan kepada awak seorang sahaja. Sampai kesudah nanti, mereka tiada peluang untuk belajar.


Pada mulanya Pak Imam terasa satu tamparan lembut hinggap dipipinya. Sesudah tiga puluh tahun berumah tangga dan dua puluh empat tahun menjadi imam di surau kampung ini, inilah kali pertama isterinya bersuara menyatakan keinginan seperti itu. Sebelum ini dia tidak bersoal banyak apabila ditinggalkan berbuka bersama anak-anak.


Malah selalu juga datang ke surau berbuka bersama dua tiga orang perempuan kampung seusianya berbuka bersama-sama dengan sedekah dan pemberian si pemurah. Dia tidak banyak soal apabila diminta bersama anak-anak berbuka dan bersahur disurau, solat jemaah disurau, solat terawikh disurau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah disurau. Pada diri Pak Imam, surau ini sudah menjadi rumahnya dan isterinya juga perlu berfikiran begitu.


Pak Imam tak tahu kenapa Ramadhan yang lalu isterinya berubah laku. Terusik juga hatinya mendengar permintaan isterinya itu. Terasa juga dirinya serba kekurangan – apakah selama ini dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa yang sempurna? Lantas buat beberapa hari, Pak Imam berdoa dan bermunajat, memohon ampun dan maaf dari Allah atas mana-mana perbuatan dan tingkahlakunya yang dianggap isterinya sebagai mengabaikan tanggungjawab. Buat beberapa hari dia berfikir, apakah dengan tidak berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa yang baik?


Pak Imam tidak mendapat jawapannya tetapi dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Biarlah Allah yang menentukan betul salahnya perbuatannya selama ini. Jika betul, dia mohon supaya Allah memanjangkan usianya untuk meneruskan kehidupan ini dengan sebaiknya, tetapi andai salah, dia berharap agar dosanya diampunkan Allah dan diberikan petunjuk untuk membetulkan segala-galanya.


Buat sehari dua, Pak Imam cuba menunaikan permintaan isterinya. Dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah. Pak Imam harap kali ini isterinya puas hati dan gembira permintaannya tercapai. Bukan tak pernah Pak Imam berbuka dirumah tetapi dia tidak melakukannya selengkap ini. Biasanya dia berbuka sahaja dirumah, yang lainnya di surau.


Tetapi isterinya rupa-rupanya belum puas. Dia bukan hanya mahu Pak Imam berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah untuk satu hari, tetapi sehingga ke penghujung Ramadhan. Kalau boleh biarlah bertakbir Aidilfitri juga dirumah.


Pada Pak Imam, itu sudah melampau. Tugas sebagai Pak Imam bukan sekadar imam di rumah, tetapi di ini imam kariah. Dia punya tanggungjawab di surau. Dia diberi amanah dan dia wajib melakukannya. Berdosa jika dia meninggalkan salah satu dari tuntutan tigasnya apatah lagi ia untuk kepentingan sendiri, kepentingan keluarganya sendiri.


Kali ini Pak Imam menggunakan diplomasi sepenuhnya. Dia tidak boleh berkompromi atas tugasnya kali ini. Mana boleh setiap hari dia berbuka dan bersahur bersama-sama di rumah, solat jemaah di rumah, berterawikh jemaah di rumah, bertadarus di rumah dan memberi tazkirah dirumah. Bilal sendiri sudah bertanyakan kehilangannya sejak dua hari yang lalu, inikan pula mahu diperpanjang sehingga akhir Ramadan.


Isterinya tetap enggan dan Pak Imam terpaksa beri kata dua dengan lembut. Airmata isterinya ternyata tidak mampu melembutkan hatinya. Pak Imam hanya mampu memujuknya dengan tazkirah dan petikan ayat al-Qqur'an dengan harapan hati isterinya itu lembut dan idak meminta lagi dia berbuat sedemikian rupa. Biarpun sedih, isterinya menerima sahaja.


Satu perkara yang menyebabkan Pak Imam pelik ialah isterinya menjadi begitu baik dan manja dalam melayannya kali ini. Bukannya isterinya itu tidak baik tetapi layanannya kali ini lain dari yang lain. Cukup bagus sekali, hinggakan Pak Imam merasa kekok. Pernah dia terfikir sama ada isterinya ini buang tabiat, tetapi cepat-cepat dipinggirkan fikirannya itu. Dia tahu isterinya cukup baik dan mahu masuk dari mana-mana pintu syurga, tetapi permintaannya kali ini sukar di mengertikan.


Sesudah dua hari, Pak Imam kembali semula ke surau. Para jemaah lega melihatkan Pak Imam. Bila ditanya kemana dia pergi, Pak Imam menjawab yang dia mempunyai urusan bersama keluarga. Dia berbuka dan bersahur di surau, solat jemaah di surau, solat terawikh di surau, bertadarus di surau dan mendengar tazkirah di surau. Isterinya tiada bantahan malah menurutinya kemana sahaja dia pergi. Sekali lagi Pak Imam pelik. Jarang juga isterinya menurutinya sepanjang waktu. Kadangkala tidak bersahur di surau malah jarang berbuka di rumah. Biasanya sekadar menemani anak-anak. Biarlah, fikir Pak Imam. Mungkin kerana anak-anak sudah besar, isterinya itu merasa sunyi dan mahu beramal ibadat lebih kepada Allah.


Rupa-rupanya permintaan isterinya supaya Pak Imam berbuka puasa dirumah, solat jemaah dirumah, berterawikh jemaah dirumah dan memberi tazkirah dirumah adalah permintaan terakhir isterinya. Belum pun sempat Pak Imam bertakbir Aidilfitri di suaru, anak bongsunya terkocoh-kocoh menghampirinya.. Memang Pak Imam awal ke surau hari ini, dan isterinya bakal menuruti kemudian bersama anak-anak dan orang perempuan seusianya.


Tetapi ada sebuah kereta lain yang turut menuruti mereka, dan kereta itu menyebabkan isteri Pak Imam terbaring berlumuran darah di tepi jalan. Segera Pak Imam meninggalkan jemaah yang sedang bersiap untuk bertakbir, berlarian menuju ke jalan. Alangkah terkejutnya dia bila melihat isterinya terbujur kaku bersama telekung yang sudah siap dipakainya.


Patutlah pagi tadi isterinya beria-ia memohon ampun dan maaf daripadanya, meminta agar dihalalkan segala makan minumnya sejak dari mereka berkahwin,segala perbuatan dan tutur katanya yang menyinggung Pak Imam serta mana-mana permintaannya yang melampau.


Pak Imam mamangku jenazah isterinya dan pada masa yang sama takbir Aidilfitri kedengaran. Dia sedih namun tiada airmata yang keluar, kerana dia tahu, isterinya pergi dalam keadaan yang suci dan bersih. Dan barulah Pak Imam tahu mengapa Ramadan yang lalu isterinya mahu supaya dia berbuka puasa dirumah, solat jemaah dirumah, berterawikh jemaah dirumah dan memberi tazkirah di rumah. Itu adalah permintaan terakhir isterinya.


* Cerpen ini tersiar di majalah Tunas Cipta, November 2006

Puisi

Satu Catatan Resah
(Di Bawah LRT Masjid Jamek)

Bangunan berceracak berdiri megah
Kenderaan bersimpang siur tanpa arah
LRT memecut laju seolah di atas kepala
Motor menyempit di celah kereta
Radio maksimum menyanyi menggetar telinga
Deru bas, asap lori, terik mentari, hon kereta
Melagukan irama kota, membawa seribu cerita

Bau asap, keropok lekor, ayam KFC
Kari mamak, wangi bunga, hanyir longkang
Air cincau, cendol pulut, sirap bandung
Warung mamak, soto ayam, nasi padang
Gerai tepi jalan, kafe lima bintang
Bersatu dalam satu nafas, menyerikan hati yang hilang

Wajah-wajah lesu dari pejabat
Menyambung perjalanan ke destinasi
Dengan perut yang lapar dan beban digalasi
Menahan kantuk, memaksa senyum dan berhati-hati

Yang berjalan sekadar berlenggang-lenggang
Yang malas duduk mengusik atau memandang
Yang baru tiba menggalas beg mencari haluan
Yang berbasikal menyongsang jalan
Yang kurang sabar menyumpah dan hon membingitkan

Yang lewat berlari-lari
Yang awal ternanti-nanti
Pejalan kaki melintasi laluan belang

Ada yang menjinjit plastik kiri kanan membawa barang
Juga bertukar kad niaga, menunggu kenalan
Memimpin teman, mengekor kawan
Memegang fail, membawa beg, menggalas buku
Mengejar bas, LRT, van atau teksi sapu

Lampu bertukar hijau dan telah beberapa kali merah
Tetapi aku masih di sini dengan debar dan marah

Teman telah satu jam di Pudu
Menanti dan terus menunggu
Maaf, Kuala Lumpur beginilah rancaknya dan memang begitu
Tidak boleh di duga walau sekejap waktu

Masjid Jamek
Isnin, 18 Disember 2006
6.16 petang yang indah

Ahad, Disember 17, 2006

Cerita hujung minggu

Aduh! Kakiku sakit.

1)
Barang siapa yang biasa menjalani aktiviti perkhemahan atau sebarang aktiviti lasak, sudah tentu biasa mendengar perkataan sweeper. Kalau dalam jungle trekking atau berkayak atau berbasikal (seperti yang selalu saya lakukan dahulu), sweeper merujuk kepada orang yang terakhir atau yang dibelakang sekali, yang ditugaskan untuk mengawal, menjaga dan memerhati pergerakan ahli.

Itu definisi saya sendiri - yang sebenarnya tidak terlalu tepat.

Tugas sebenar secara tidak rasmi ialah mengiringi ahli yang pancit dalam jungle trekking atau berkayak atau berbasikal. Pancit itu maknanya tidak cergas atau fit dari segi fizikal dan mental. Dari segi fizikal, mereka mudah penat, tidak larat dan termengah-mengah bila berjalan walaupun baru bergerak. Kalau dari segi mental, ia menyerang apabila melihat bukit yang tinggi dan kepala sudah fikir macam-macam, walhal belum pun melangkah jauh.

Tugas sebagai sweeper biasanya diserahkan kepada ahli yang 'paling' cergas kerana dia perlu memberi motivasi kepada rakannya untuk menamatkan ekspedisi atau perjalanan dan juga perlu banyak menurut kerenah mereka yang pancit ini. Kalau mereka perlu banyak berhenti, maka sweeper juga perlu berhenti banyak kali. Ada yang tidak larat nak jalan, maka sweeper kena guna cara lain - tolak, tarik atau pimpin sahaja tangan mereka. Dengan kata lain, si pancit turut menyebabkan sweeper pancit dan down.

Hari ini, buat kesekian kalinya, saya menjadi sweeper. Para junior saya ini, kebanyakannya jarang turun latihan. Oleh itu, mereka akan mengalami pengalaman yang mengerikan bila sampai ke episod jelajah hutan. Hohoho... sudahlah semalam kami denda berjalan itik kerana tidak menepati masa, Bukit Sapu Tangan yang kami daki ini memang cukup mencabar minda. Barang siapa yang pernah sampai ke Bukit Cerakah, saya pasti nama bukit ini biasa didengar.

Kami tidak menyusuri laluan hutan, sekadar jalan yang bertar dan cukup selesa. Oleh kerana tiada senior perempuan yang mahu menyertai (semua sudah berubah menjadi feminin dan takut hitam di mamah mentari), maka saya menawarkan diri. Kalau ikut perangai orang jahat, buat apa berpenat lelah mengekori mereka yang malas berlatih. Sudah pasti akan menyusahkan yang lain. Tetapi saya seorang senior yang baik...hahaha. Inilah masanya untuk mempopularkan diri! Opss.. itu bukan matlamat saya.

Sebenarnya saya mahu test diri sama ada masih fit atau tidak. Sejak meninggalkan alam buku, saya turut menggantung sepatu jogging, dan peralatan perkhemahan yang lain. Sudah empat tahun. Sejak itu, jogging pun jarang, apatah lagi terlibat dengan aktiviti seperti dahulu. Tetapi saya pastikan setiap hari berjalan dengan pantas selain membanyakkan diri turun-naik tangga sebagai ganti kepada aktiviti bersenam.

Saya berharap agar kali ini saya tidak pancit. Nanti malulah depan anak buah semua.

Hasilnya, saya dapat rasakan yang saya masih lagi cergas, jantung masih elok, kaki masih kuat dan mental masih waras. Walaupun banyak berhenti meneman mereka yang lebih muda ini melepaskan lelah, saya terpaksa menarik, menolak dan memimpin mereka supaya boleh terus berjalan dan sampai ke destinasi. Huh.. penat kalau mengikut mereka yang pancit ini. Ibarat mengayuh basikal pancit. Lalu saya membebel sepanjang perjalanan menyuruh dan memaksa supaya mereka turun latihan selalu. Tetapi membebel saya bukan jenis membebel orang biasa. Ini membebel orang yang tak biasa membebel.

Tiba dipuncak, menara tinjau menanti untuk kami melihat pemandangan negeri Selangor - oh tidak, Shah Alam sahaja rasanya - yang rumah lebih meriah dari hutan dan banyak lagi bukit yang sedang ditarah dan di gondolkan. Termasuklah di Bukit Cerakah ini.

Syukurlah stamina dahulu masih bersisa, cuma kaki sahaja yang terasa sakit-sakit dan lenguh kerana berjalan lama, hampir dua jam turun naik bukit. Saat ini, kalau kena urut sedap juga. Bila pulang, saya ke farmasi mencari LMS. Bila saya beritahu budak farmasi itu, dia bertanya. "LMS tu apa kak?" . Saya senyum sumbing. kalau tak tahu LMS itu apa, jangan kerja farmasilah. Hmm... itu bukan jawapan saya, cuma dalam hati sahaja.

2)
Episod pertama: Tengahari
"Kurusnya kamu." Kak Ma memandang saya dengan hairan.
"Kurus?" Senyum saya sudah mula melebar.
"Jelous Kak Ma. Kamu penat kerjakah?" Dia membeleki badan saya.
"Mana ada. Kerja biasa sahaja. Saja-saja mahu diet." Senyum saya semakin lebar.
"Wah, dietkah? Makan apa?" Dia cuba mengorek rahsia.
"Eh, tidaklah. Saya tak pernah diet sepanjang hidup." Habis.
Ini pernyataan jujur. Saya tidak mengamalkan diet. Cuma menjaga pemakanan dan memilih cara hidup yang sihat.

Episod kedua: Malam
"Eh, kenapa kak kurus?" Dia terkejut memandang saya.
"Mana ada kurus. Baju ni - besar."
Seperti siang tadi, senyum saya sudah mula melebar.
"Betullah, semakin kurus. Dulu tidak macam ni. Makan apa?" Orang kedua mahu mengorek rahsia.
"Makan hati berulam jantung!" Hmmm...Ini bukan jawapan yang sepatutnya
Sekali lagi dengan jujur, saya tidak pernah mengamalkan diet. Dan saya juga tidak perlu makan hati berulamkan jantung. Sesekali ada juga makan hati, tetapi tidaklah sampai kurus badan.

3)
Bagi siapa yang mengenali saya dan sesekali bertemu, itu adalah soalan yang biasa ditanya. Saya sudah penat mahu menjawabnya. Dan janganlah terasa mahu muntah atau geli tekak pula. Saya tidak berdiet. Saya cuma mahukan berat ideal yang kurang dari 60kg - berat yang sesuai dengan ketinggian saya yang memang dah semulajadi tinggi.

4)
Saya sudah lama meninggalkan aktiviti perkhemahan sejak menggantung pensel. Dahulu, setiap kali cuti semester, ada sahaja tempat yang saya pergi. Kadang kala hampir 10 hari berkhemah. Cuti semester juga jarang bersisa dan jarang juga balik kampung.

Kali ini - bila diminta menyertai Kurusus Induksi bagi 'membelasah' para junior persatuan - saya terpaksa mengimbas kembali barang yang perlu dibawa untuk berkhemah. Beg, kasut, sleeping bag semuanya telah saya wakafkan. Akhirnya saya cuma bawa pakaian dan keperluan diri yang lain. Satu beg sahaja. Teman yang mengikuti kehairanan seolah-olah saya pergi untuk satu malam, bukan dua.

Saya lupa saya perlu ada sleeping bag untuk tidur, stoking untuk kaki supaya tidak sejuk waktu malam dan setidak-tidaknya sweater untuk menyelimut badan.

Saya termangu-mangu bila tiba waktu tidur kerana semuanya tiada. Akhirnya, dengan ilmu survival yang masih ada, saya alaskan kepala dengan beg dan tidur berlantaikan tanah. Mungkin kerana terlalu excited untuk tidur dalam khemah. Bayangkan, 4 tahun meninggalkan semua ini!


# Susah nak percaya saya ini semakin kurus. Setiap kali menimbang berat, tidak pernah menerima ukuran yang tepat. Cuma yang pasti, bila pakai seluar, saya terpaksa guna tali pinggang. Dan ukuran tali pinggang itu semakin mengecil. Oh, memang benar saya sudah kurus heheheh..
## LMS seperti minyak urut. Ada dua jenis - krim dan cecair. Kalau disapu, panas dan berangin. Lebih-lebih lagi bila kaki lenguh-lenguh. Terasa nikmat. Ditambah pula jika ada yang sudi mengurut tanpa bayaran.
### Oleh kerana tidak menemui LMS, saya memilih untuk tidur diatas sofa. Dalam keadaan penat, elok untuk tidur dalam keadaan aras kaki lebih tinggi dari kepala. Contohnya, alaskan bantal dikaki dan biarkan kepala tanpa bantal. Oleh kerana sofa itu lebih pendek dari kaki saya, maka sesuai sungguh untuk saya tidur dan membiarkan kaki yang terlebih panjang itu terjuntai diatas sofa. Nikmat! Ini cara saya dan bukannya saya terima dari mana-mana pakar. Jika sesuai lakukan. Jika tidak selesa, jangan salahkan saya pula. Mungkin sofa itu yang perlu dipersalahkan.


Jumaat, Disember 15, 2006

Mencari makna sebenar kawan

Bila saya duduk seorang diri, saya terfikir apakah memang manusia ini dijadikan perlu untuk berkawan? Saya tidak dapat lihat signifikannya. Mereka yang datang mengadu dan berkongsi cerita dengan saya ialah orang yang ada masalah dengan kawan. Jadi, apa gunanya kawan jika kawan itu tidak boleh menolong kawannya, jika benar-benar rapat dan akrab?

Seperkara lagi, bila perempuan itu telah menemui seorang lelaki yang dirasakan ‘Mr. Right’, maka istilah kawan baik atau teman akrab tadi akan terbuang begitu sahaja. Semuanya ditinggalkan dan hiduplah mereka seperti belangkas – berdua ke sana, berdua ke sini. Tidak cukup dengan berjumpa, telefon pula. Sudah makan atau minum pun, sibuk di tanya. Tiada soalan lainkah?

Saya yang selalu berhadapan dengan mereka ini selalu rasa nak muntah dan meluat – mungkin kerana saya melihat, tidak merasa. Tetapi apalah yang ada dalam satu perhubungan yang belum ada ikatan. Sekadar janji tidak memadai. Melanggar syariat, malah. Agama dan adat pula diketepi. Yang penting ‘hati bila sudah suka, semuanya pun boleh.’

Saya teringat pesan seorang kawan yang membuang semua kawan, para junior dan seniornya bila dia mula bercinta dan kemudian berkahwin. Kau ingat dosa yang kau buat masa bercinta dahulu boleh terhapus begitu sahaja bila dah kahwin?” Ingat-ingatlah.

Saya cuba juga mencari seseorang yang boleh dikatakan seorang ‘teman rapat atau teman baik.’ Saya meminta, lalu Allah beri. Memang seronok bila berkongsi cerita, duka, nestapa. Tetapi hubungan manusia ini mana boleh kekal lama. Sesekali gelora melanda, ribut taufan membawa bencana.

Manusia punya hati dan perasaan. Tidak tetap pendirian malah sering berubah-ubah. Saya telah dinasihatkan sebelum itu supaya jangan bergantung kepada manusia. Tidak akan kekal lama. Bergantunglah kepada Allah. Mohonlah HANYA kepadaNya. Dialah tempat untuk kita berpegang dan meminta. Yang abadi.

Sesungguhnya saya amat menyesal sekali. Mungkin kerana mahu mempunyai seorang ‘sahabat baik,’ Allah memberi saya peluang. Alhamdulillah, saya dapat merasa. Bila saya ditinggalkan, saya jadi seperti orang tiada haluan. Silap saya kerana cuba bergantung kepada manusia. Pelajaran yang saya terima amat mendalam – dia memang sahabat yang baik, namun saya lupa bahawa yang baik itu Allah kurniakan. Yang bahagia dan gembira itu pemberianNya, bukan datang dari sahabat itu.

Saya lupa tentang itu. Sungguh.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana saya menghadapi saat dukacita, kecewa, hampa. Tambahan pula perempuan, ada masa dan ketika emosi datang merubah sikap.

Jawapan saya: ALLAH.

Ada hari-hari tertentu saat saya merasa bingung dan serabut, saya akan berada lebih lama bersamaNya. Ada yang perlu saya panjangkan, ada yang perlu saya lebihkan dan ada yang perlu saya tambahkan. Saya meminta dan berdoa kepadaNya, dan sesungguhnya hanya Dia yang saya sandarkan kini. Bukan maNusia, bukan kawan, sahabat atau teman.

ALLAH

Jika keadaan benar-benar mendesak, saya akan berbual dengan sesiapa sahaja – makcik yang menyapu sampah pada awal pagi, tokey kedai sebelah yang jual macam-macam jenis ubat, tukang masak di restoran belakang pejabat saya, auntie yang jaga kedai membaiki peralatan elektrik di hujung lot bangunan ini atau budak pencuci kereta di parking lot di hadapan pejabat saya. Sesiapa sahaja. Asalkan ada orang yang saya boleh berbual. Selepas itu bingung dan serabut saya akan pergi.

Jika masih bingung lagi, saya akan telefon sesiapa dan ajak makan. Saya minta dia pinjamkan telinga sebentar, sumbat perutnya dengan makanan, suruh dia diam dan jangan simpan apa-apa dalam memori. Dia sekadar jadi tempat saya bercakap. Sesekali terfikir, elok juga bercakap dengan dinding. Dan kadang kala, saya memilih untuk bercakap dengan dinding. Dengan tingkap. Dengan kerusi. Dengan meja. Dengan lampu. Dengan pintu. Cuma sejak beberapa bulan kelakangan ini, saya rajin menaip segala benda dalam laptop, kemudian biarkan dia berselerak dalam macam-macam folder.

Sehingga hari ini, saya memilih untuk seorang diri. Lebih mudah. Lebih ringkas.

# Saya menulis entri ini semasa dalam keadaan bingung. Inilah sahaja cara meluah rasa ;-)
# # Entri ini juga memang ada kena mengena dengan yang hidup dan yang mati. Tetapi bukan untuk satu individu sahaja. Untuk semua juga. Jika benar-benar terasa, saya minta maaf. Kalau tidak menasihatkan, nanti tersilap jalan pula.

Rabu, Disember 13, 2006

Loya

Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, maka terpaksalah saya menyiapkan kerja-kerja di hadapan skrin tv malam tadi sambil melayan tetamu. Terpaksa kerana inilah perkara paling jelik dan loya yang saya kena buat. Saya memang anti dengan siaran tv yang menjelik dan meloyakan. Dan sudah lama tidak bersantai di hadapan tv sebenarnya. Sudahlah siaran 1,2,3 sahaja yang elok, maka nak terpaksalah menonton apa yang dihidangkan.

Dan yang paling menjelikkan ialah apabila siaran malam tadi, menyebabkan saya mahu muntah. Loya. Bagaimana mungkin satu cerita, dengan Minah dan Mat Salleh yang menghadiri majlis keramaian, mengadakan upacara lelong baju. Baju di badan mereka. Saya ulangi sekali lagi, baju di badan mereka. Perempuan sahaja. Jika baju di badan di lelong, perempuan, di majlis keramaian, apa yang tinggal di badan mereka - seorang perempuan? Saya tidak mahu tulis jawapannya di sini. Fikirkan sahaja.

Satu lagi, scene itu terlalu panjang. Saya lemas. Mujur saya tatap skrin berbeza. Walaupun siaran bukan pada waktu perdana - lebih kurang jam 9.30 malam - cuti sekolah begini, apa yang dibuat oleh anak-anak dan adik-adik kita selain menonton tv? Tergamakkah ibubapa menonton cerita sebegini bersama anak-anak mereka? Dan tergamak juga penyiar program, penyusun rancangan dan penerbit menayangkan cerita meloyakan seperti ini di kaca tv. Saluran nasional pula. Tiada perasaan malukah? Atau mereka sekadar menyusun dan mengatur, tidak tonton atau tapis terlebih dahulu.

Saya tiada kuasa menyoal siasat kerja mereka. Bukan salah cerita itu. Sudah budaya mereka. Tetapi kenapa kita di sini sibuk menyelidik budaya mereka?

Oh, saya semakin loya menaip entri ini.

Isnin, Disember 11, 2006

Nota kecil

1)
Saya menyusun perkara yang patut saya selesaikan dalam minggu ini - harus diselesaikan

+ dua cerpen yang perlu dihantar (dan telah beberapa kali di tangguhkan kerana kebekuan idea)
+ episod terbaru sebuah cerita yang perlu di e-mel (Cikgu mungkin dah bosan menunggu)
+ dua teks terjemahan yang baru saya terima petang tadi (Perlu di edit dan entah bila perlu di e-mel, tidak pula diberitahu)
+ satu kertas kerja Kursus Induksi yang sudah saya terima dua minggu yang lalu (dan selalu saya tangguh dari menyemak atau membacanya. Saya dijemput menyertai dan sudah sudah menyatakan persetujuan untuk pergi. Tetapi apa peranan saya pun, belum tahu selagi saya tidak baca kertas kerja ini)
+ kelas FA skill akan bermula Jumaat ini (Kelas di mana - saya belum pasti. Senarai pelajar pun belum tahu. Silibus saya belum semak. Malah, saya perlu studi supaya arif tentang beberapa bab kemahiran yang telah saya lupa)

Oh, itu semua bukan kerja pejabat. Semuanya kerja sambilan. Peruntukan masa hanya selepas waktu pejabat hingga larut malam.

Ada yang ringan bertanya mengapa saya harus bekerja jika yang sambilan itu boleh menampung hidup. Jawapan saya kerana saya mahu sibukkan diri dengan kerja. Usia muda dan sebatang kara (i.e belum ada ikatan, masih bujang dan bebas) memudahkan saya tumpukan kepada usaha. Ini waktu lapang yang mahu saya sibukkan, bukannya waktu sibuk yang saya tidak tahu bila pula akan datang.

Saya rasa seperti semalam, saya akan melelapkan mata diatas sofa - entah pada pukul berapa dengan lampu terbuka dan laptop yang tidak sempat di shut down. Oh!

2)
Saya menghitung hari. 31 Disember semakin hampir.

Bila saya lihat tarikh hari ini, saya perasan yang hari berputar laju.

Sebelum apa-apa, saya perlu siapkan akaun 2006. Dan 2005, 2004, 2003 2002, 2001, 2000. Juga 1999.

Kemudian saya akan ucapkan selamat tinggal

3)
Emak telefon memberitahu adik-adik yang di kampung merungut cuti sekolah tidak ke mana-mana. Mereka merancang perjalanan. Mungkin 25hb ini

Saya teringat semasa kecil. Cuti sekolah saya sekadar bertemankan nyamuk, getah sekerap, susu getah serta bau-bauan yang mencucuk hidung. Tiada istilah cuti atau makan angin atau berkelah atau berjalan-jalan.

Tetapi itu zaman saya dahulu. Zaman adik-adik saya sekarang ini, pokok getah sudah menanti masa untuk di tebang. Dan mereka tidak merasa susu getah menyiram badan atau jatuh tergolek bersama tong dan baldi dari atas bukit atau dua ekor tebuan tanah bermurah hati memberi setiap seekor dua das betul-betul diatas kepala ini.

4)
Bila saya fikir kembali, saya seolah-olah rela menjadi workaholic.

Biarlah.

Seperti yang saya katakan tadi, ini waktu lapang yang mahu saya sibukkan, bukannya waktu sibuk yang saya tidak tahu bila pula akan datang.

5)
Ingatlah lima perkara ini:
sihat sebelum sakit
muda sebelum tua
kaya sebelum miskin
lapang sebelum sempit
hidup sebelum mati




Saya mahu mulakan marathon kerja - bermula malam ini.

Sajak


Sajak
oleh Anis Sabirin


Apabila kutulis sajak
adalah seperti menulis surat cinta
curahan penuh kasih
baris-baris yang ghairah
hidup dan liris
di alam abadi

Apabila kutulis sajak
betapa ajaib bumi ini
sakti dan molek
seperti di waktu subuh pertama
Tuhan mencipta alam
dari gelap dan cahaya

Kilau-kemilau bergemerlapan
dan ketenteraman pun meluas
laut dan angkasa
bertemu dan berpisah
dan bertemu sekali lagi
dalam sajak

Sajak ini ialah suratku
kepada dunia
kepada kawan dan kasihku
meraikan hasrat mulia
ikatan kasih
ikatan mesra

Los Angeles
21 Oktober 1983

(Anis Sabirin - Simfoni, DBP 1996)

Azam

Disember datang dan Januari mengintai waktu membawa kalender baru untuk 12 bulan berikutnya.

Saya pasti - seperti kelaziman tahun yang sudah - Disember sudah dihimpunkan dengan pelbagai agenda. Menghabiskan cuti tahun, menunggu bonus, menghabiskan kerja sebelum akhir 2006 dan yang penting menyediakan azam untuk tahun hadapan. Semasa sekolah dahulu, saya ada juga senarai azam yang perlu saya capai, itu pun kerana cikgu yang suruh. Kemudian saya rasakan ia seseuatu yang sia-sia kerana tidak sedikit pun saya usaha untuk merealitikan senarai tersebut.

Ia kemudian menjadi perkara yang paling malas untuk saya lakukan.

Bila masuk ke bidang kerja, rupanya ia sesuatu yang signifikan. Syarikat harus mempunyai 'senarai' matlamat yang 'perlu' dicapai menjelang hujung tahun. Harus kerana ia menjadi kewajipan untuk syarikat mengetahui arah dan haluan perjalanan, terutamanya yang berkaitan tentang jualan, keuntungan dan yang berlaku seputar perniagaan. Namun ia sekadar ramalan dan hasilnya bergantung kepada usaha.

Saya melihatnya sesuatu yang signifikan kerana mahukan sesuatu yang berbeza menjelang akhir tahun. Saya cuba 'menyenaraikan' impian untuk 2006 tanpa mempunyai satu senarai khusus yang benar-benar wujud. Ertinya, ia sekadar berlegar di kepala dan tidak saya tuliskan di mana-mana. Mujurlah ada yang telah berjaya menghasilkan sesuatu. Bila melihatkan ini, saya tergerak untuk melakukan perkara yang sama untuk tahun hadapan. Dan perkara pertama yang ingin saya lakukan ialah memiliki sebuah diari khusus untuk itu supaya saya dapat merangka perjalanan lebih jauh.

Oh ya, sebelum ini bukannya tiada diari (atau planner). Biasanya - dan seperti yang lain juga- aktif memenuhkan ruang diawal tahun, kemudian bertukar menjadi buku nota dan tulisan yang entah apa-apa selepas itu. Namun, saya mahu kukuhkan azam, supaya tahun ini diari itu memang benar-benar dipergunakan. Tambahan pula, saya telah menjangka kadar kesibukan saya yang akan berganda dengan kerja sampingan yang sengaja saya cari bagi menyibukkan diri, err... menjadikan diri sibuk sebenarnya.

Saya tergerak untuk menitipkan ini - sesuatu tentang azam kerana saya menerima e-mel berupa pertanyaan dari sahabat seberang tentang 'apa azam saya pada 2007'. Soalannya saya jawab panjang lebar, hinggakan dia sendiri pun tidak menyangka saya akan menjawab sepanjang itu.

Namun, saya berharap ia tidak berakhir di e-mel sahaja. Tindakan itu penting. Cakap sahaja tiada gunanya (Oh, ini nasihat untuk diri sendiri)

Dan sudahkah anda menyenaraikan azam untuk tahun hadapan?

Sabtu, Disember 09, 2006

Za'ba

"Sekiranya apabila keluar yang menuntut di dalamnya [universiti] itu bolehlah ia menjadi guru menasihatkan anak bangsanya dengan ikhlas atau boleh menjadi Lawyer menghujah orang yang hendak melakukan yang tidak patut atas negerinya atau Hakim yang menjatuhkan hukuman yang berbetulan dengan adat negerinya atau Doktor mengubatkan penyakit yang bersetuju dengan tabiat bangsanya atau Engineer mengaturkan peraturan yang menyenangkan anak-anak buminya"

Petikan dari Utusan Melayu, 10 November 1917

Negaraku

Rasa-rasanya, bilakah kali terakhir anda mengalunkan Negaraku? (atau humm, mungkin)

Jawapan yang mungkin - semasa sekolah atau di radio bila jam sudah pukul 12.00 malam atau di penamat siaran tv.

Saya tidak nafikan, jika tidak kerana persembahan teater Pi Mai Pi Mai Tang Tu minggu lalu, saya sendiri sudah lupa bila kali terakhir Negaraku itu saya nyanyikan. Mungkin juga semasa teater PGL yang lalu. Jadi kesimpulan mudah untuk diri sendiri - Negaraku wujud semasa teater sahaja.

Saya teringat semasa di sekolah - ketika itu Negaraku bertukar dari rentak 'asli' kepada 'March' , kami kelam kabut melajukan lidah, hingga cikgu terpaksa pasang kaset setiap pagi diperhimpunan. Susah juga mahu tukar sesuatu yang sudah sebati dengan diri. Mungkin ada juga yang tidak sedar Negaraku sudah bertukar rentak lagi - kembali kepada yang asal. Walau berapa kali ia bertukar pun, saya masih tetap suka dengan nada lama.

Isu ini telah dibangkitkan, kalau tidak silap saya, minggu lalu. Negaraku kurang dialunkan kini. Selepas sekolah, saya rasa ada yang sudah melupakan terus Negaraku. Mungkin tidak tahu apakah majlis yang sesuai untuk dinyanyikan. Malah, bila ia berkumandang, ada yang senyum sinis dan berpandangan sesama sendiri. Yang sedikit kurang ajar, akan ketawa. Kerana apa? Entahlah!

Jadi, soalan saya sekali lagi - bilakah kali terakhir anda menyanyikan Negaraku?

Jumaat, Disember 08, 2006

Amal tua, amal muda

Beramal ibadatlah ketika muda. Itulah pesan seorang teman. Masa masih panjang, tenaga masih kuat. Kesempatan masih banyak, peluang juga.

Bila dah kahwin sibuk dengan anak. Suami bolehlah pergi berjemaah. Isteri terkejar waktu solat dengan anak. Bila solat rasa terkocoh-kocoh. Sekejap ingat tuhan, sekejap ingat anak. Buka puasa pun kadang ala kadar. Anak yang mahu makan sama perlu juga dilayani. Hendak terawikh pula kesempatan kurang. Dengar ceramah pula tidak boleh lama-lama.

Bila umur menganjak tua, peluang beramal semakin kecil. Badan tidak berapa sihat untuk berbuat lebih ibadat. Hendak bangun dari duduk antara dua sujud pun ada yang terkial-kial. Apatah lagi mengusahakan amalan sunat yang lain. Mata pula tidak berapa nampak, telinga tidak berapa dengar. Mengerjakan haji perlukan teman, manalah tahu ada aral di pertengahan. Bagi yang berkerusi roda, perlu ada yang menolak dan membantu.

Kesimpulannya, beramallah dengan bersungguh di usia muda. Ini masa menanam, semoga menuai dengan nikmat di akhirat.

~Sekadar mendengar keluhan~

Idea atau realiti

Wacana yang saya hadiri minggu lalu mengundang polemik hebat tentang logika dunia pengkaryaan. Satu persoalan untuk semua pengkarya – tidak kira penulis, pengarah filem, penyanyi, wartawan atau siapa sahaja – perlukah menceritakan segala yang ada disebalik realiti dan kemudian membiarkan kesimpulan dihakimi oleh diri sendiri.

Ayat mudah saya begini. Anda ambil sebuah novel dan baca. Ia menceritakan tentang keinsafan seorang bohsia atau mat rempit atau penagih dadah. Katakanlah novel ini dipecahkan kepada 10 bab. 9 bab pertama menceritakan apa yang dilakukan oleh seorang bohsia, mat rempit dan penagih dadah. Bab yang terakhir ialah tentang hidayah yang diterima, kemanisan iman, keinsafan dan kebaikan yang dilakukan dalam membasuh dosa silam.

Persoalan disini- apakah kita harus berterus terang dihidangkan dengan realiti dan kehidupan sebenar seorang bohsia, mat rempit atau penjenayah. Tergamakkah kita membaca rutin hidup mereka, kerja harian dalam dosa dan aktiviti songsang yang mereka lakukan? Mampukah kita menelusuri langkah batil dan noda mereka semata-mata supaya kita memahami siapa sebenarnya bohsia, mat rempit atau penjenayah selama 9 bab dan kemudiannya diinsafkan dengan hanya satu bab? Adilkah kita di terangkan dengan jelas siapa mereka ini satu persatu? Logiknya, mengapa kita harus berterus terang dengan perkara buruk dan menterbalikkannya kemudian dengan kebaikan.

Kesimpulan di hujung wacana, usah diceritakan realiti dengan selengkapnya. Cukuplah kejahatan itu dicerita setakat lapisan pertama, atau seringkas mungkin supaya keinsafan yang menjadi tema karya itu lebih dipandang, bukannya kejahatan yang menjadi ingatan. Yang menulis pun bertujuan supaya idea keinsafan yang ingin diberi dalam karya menjadi panduan, bukannya perkara songsang menjadi ikutan.

Cerita sedikit sahaja sudah memadai. Usah karya kita nanti menjadi seperti majalah picisan yang melambak dipasaran dengan cerita yang meloyakan. Memang pembaca yang menghakimi, tetapi jika kita yang memberi, sudah tentu yang menerima mengambilnya bulat-bulat. Jika mahu menunjuk jalan kepada si buta, pimpinlah ia dengan selamat supaya boleh tiba dengan mudah. Dia bukannya tahu jalan yang dilalui itu betul atau tidak, kerana si celik itulah yang membawa haluan.

Jadi, nasihat kepada yang ingin memulakan pengkaryaan, saham yang ada dalam karya ini turut kita kongsi bersama. Andai buruk hasilnya, tempias dosanya juga kita terima. Andai ada kebaikan, semoga ia menambah jalan untuk ke syurga. Berkarya kadang kala bukannya mudah, tambahan pula bila kita memikul amanah sebagai Khalifah.

Satu hijrah diri


Beberapa minggu kebelakangan ini saya cukup merasa terganggu. Pada satu saat, mencurah idea di blog juga menjadi sesuatu yang amat payah. Hinggakan saya langsung mematikan diri dari dunia maya. Entah mengapa, saya tidak pasti.

Kemudian saya duduk menyelidik diri. Melihat, mungkin ada yang salah telah saya buat. Mungkin juga. Dan mungkin perlu saya melakukan HIJRAH. Hijrah kalau dilihat dari perspektif yang lain bermaksud membawa dan merubah diri ke paradigma yang berbeza, ke jalan yang lebih baik, menuju ke arah yang lebih syumul. Perubahan yang saya lakukan pada diri akan sedikit sebanyak tempias kepada blog. Pengisian akan lebih berbeza, lebih bermakna dan lebih matang dengan nafas yang berbeza dan nada yang lebih segar. Mungkin kerana usia, mungkin kerana pengalaman, mungkin juga kerana macam-macam. (Hmm..Sesekali diri mahu juga berubah kearah yang lebih baik)

Untuk berhijrah, jalan pertama yang mahu saya ambil ialah meminta maaf kepada semua andai ada tutur kata dalam entri mengusik mana-mana perasaan tanpa sedar. Ada kalanya saya berbicara tanpa menyedari ada yang telah terasa iri atau benci. Maafkan saya dan maafkan saya!

Satu perkara lagi, 31 Disember ini saya resign lagi, berhenti kerja dan menukar kerja dalam mencari sesuatu yang perkara yang saya kejar. Sesuatu yang lebih besar daripada yang telah saya nikmati tahun ini. Semoga hidup tidak lagi kelam kabut dan akan lebih tersusun supaya saya boleh mengatur semuanya dengan tenang. Insya Allah, saya tidak akan berpaling lagi.

Kepada Cikgu Faisal Tehrani, dan yang lain juga, saya mahu – janji dengan diri – jangan berpaling lagi!

Oh ya, perubahan ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun. Mungkin sudah sampai saatnya untuk saya lebih matang berfikir dan berbicara, seperti mana saya yang dahulu, yang telah hilang kerana angin semilir yang datang rupanya merubah diri dan peribadi.

Dan saya tidak akan berhenti berlari!

Ahad, Disember 03, 2006

Kerja gila

Ada masanya saya ditimpa penyakit gila yang sememangnya gila-gila. Skrin ini mula saya tatap jam 11.00 pagi tadi. Apabila saya melirik kearah jam, saya terkejut kerana sudahpun pukul 9.30 malam. Hampir 10 jam saya khusyuk dengan kerja tanpa menyedari hari telah berganti malam. Alangkah!

Patutlah tiba-tiba saya merasa mata berpinar, perut pedih tanpa diisi, belakang badan terasa sakit dan punggung merasa kebas. Hajat untuk berhenti seketika, tetapi apabila menyambung, saya tahu yang hari ini telah melepasi tahap maksimum.

Memang betul kata sesetengah teman - saya ini pelik tidak bertempat!

Dan,
Sesekali bertemu Abang Kassim secara maya, terasa insaf tiba-tiba. Marilah kita menjadi tetamunya.

Perjalanan dalam pencarian

Apabila tertekan, kepala saya ligat meluah rasa. Kadangkala, tulisan seperti ini terhasil secara tiba-tiba. Awalnya bukanlah untuk di jadikan entri. Sekadar satu cara melepaskan diri dari tekanan dan kebosanan. Maaflah jika ia terlalu peribadi. Kadang ala bila mulut terkunci, hati pula lancar berbicara. Kadangkala...


Sesekali saya duduk menyelak akhbar, memasang telinga bual bicara manusia sekeliling, membaca blog atau melayari laman web sambil kepala berputar mencari idea, seringkali hati saya merintih sedih dan pilu. Ada yang telah saya tinggalkan dan ada sesuatu yang saya cari tetapi saya tidak jumpa. Saya tidak tahu apakah itu.

Melihat pelbagai perkara bermain dan berlegar disekeliling saya membuatkan hati sering merintih sedih. Saya tidak menyatakannya kepada sesiapa, malah kepada Allah jualah saya panjatkan doa supaya menunjukkan saya kepada jalan yang lurus, membantu saya menghadapi hari yang saya lalui, menguatkan iman dalam perjalanan ini dan supaya hati terus teguh kepada ajaran-Nya. Saya juga berdoa agar keputusan yang saya lakukan setiap hari itu adalah dalam keredhaan-Nya dan berada didalam hidayah-Nya, bukan yang berlandaskan syaitan mahupun kehendak hati.

Dunia ini semakin mencabar saya kira. Tetapi bila sesekali pulang kekampung, saya temui kedamaian yang saya tidak dapat untuk gambarkannya. Mungkin ini saya kita satu pencarian dalam perjalanan. Perjalanan yang tidak tahu bilakah penghujungnya, dan bilakah ia akan berakhir.

Tahun ini, genap sepuluh tahun saya tercampak di Kuala Lumpur sesudah SPM membawa saya ke perut ilmu. Mujurlah saya memilih UIA, namun cabaran besarnya ialah ia terletak di Kuala Lumpur, bukan di Kota Bharu, bukan di Sungai Petani atau di Alor Gajah. Kuala Lumpur, ibukota yang cacamerba.

Sewaktu mengisi borang UPU, saya bertanya pada diri, universiti manakah yang mahu saya pilih. Bagi yang datang dari sekolah harian biasa, luar bandar, dan terpinggir seperti saya - bukan sekolah asrama, bukan sekolah agama - biasanya pilihan adalah UKM atau UTM. UPM ketika itu masih bernama pertanian, manakala UM mahu bertukar status kepada swasta yang tidak memungkinkan saya memilihnya memandangkan kedudukan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan.

Akhirnya saya menghitamkan ruangan UIA disaat teman yang lain memilih IPT lain. Mereka hairan, tetapi saya tidak mengendahkan. Mungkin ini juga doa emak, kerana dia yang mahu saya ke UIA. Kenapa? Kerana saya rasa kerana ada anak seorang jiran yang berjaya kesana. Malah ketika darjah 4, ada seorang ustaz yang mengajar Agama Islam melanjutkan pelajaran ke UIA di kampus Petaling Jaya ketika itu. Saya pernah berutus poskad dengannya sekali. Ustaz Zairin Alias namanya, saya masih ingat.

Dua tahun di Matrikulasi Lembah Pantai dan empat tahun Ijazah pertama di Gombak, saya mengharungi pengalaman pahit manis suka duka yang tidak terucapkan. Saya jarang bercerita kepada keluarga apa yang berlaku, mungkin atas resam saya yang kurang bercakap, tetapi saya sekadar ambilnya sebagai pengajaran kerana dugaan hidup sendirian bersama teman-teman membuatkan saya banyak berfikir tentang kehidupan.

Setelah tamat belajar pada 2002, saya kembali ke kampung seketika dan mencuba kerja sebelum pulang kembali ke Kuala Lumpur dan bekerja di sana hingga sekarang, hingga saat ini yang menyebabkan jiwa saya rasa seolah kosong dan tersepit. Banyak yang berlaku dan banyak yang terjadi. Mujurlah darah ‘Jawa’ yang mengalir mneyebabkan saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan sentiasa bekerja. Rehat saya hanya waktu tidur. Itu memang tidak dapat saya nafikan.

Awalnya, saya bekerja sambilan dengan gaji dikira mengikut jam tetapi dibayar hujung bulan dan gajinya diterima dua tiga empat bulan selepas. Habis waktu kerja, saya mengambil upah menjaga koperasi. Sabtu atau Ahad saya mengajar tuisyen dengan beberapa tempat. Hendak dikata lumayan tidak juga, tetapi cukuplah awal kerja mengajar erti hidup.

Kawan-kawan selalu bertanya sama ada saya mahu belajar kembali bagi mendapatkan Sarjana. Saya menjawab, “Mungkin, tetapi bukan dalam ekonomi. Bidang lain,”

“Bidang apa?” tanya mereka kehairanan, mungkin belum pernah dengar jawapan seperti itu.

“Sejarah, Sosiologi, Undang-Undang atau Akaun,” kerana saya percaya ilmu itu luas dan banyak cabangnya. Saya sendiri mahukan pelbagai cabaran. Cukuplah ilmu ekonomi yang ada sebagai asas dan bekalan dan kemudian saya sebarkan pula ilmu itu kepada yang lain, sesuatu yang belum dapat saya lakukan.


Dari semasa ke semasa saya bertanya pada diri apa yang saya cari dan apa lagi yang saya mahukan dalam hidup. Saya pernah merasa jawatan yang ‘menarik’ (sebagai PA kepada GMD), gaji yang lumayan (pelbagai kemudahan termasuk elaun rumah! Walhal staff lain tak dapat) dan bekerja tanpa menempuh kesesakan jalanraya (kurang 10 minit memandu dari rumah). Saya pernah ditawarkan sebagai Pengurus Cawangan yang saya tolak mentah-mentah kerana saya tahu, ini bukan dunia saya. Ada benda lain yang saya cari tetapi saya masih belum berjumpa.

Tahun lepas, saya mengambil Diploma Penterjemahan DBP-PPM (Kursus Komunikasi Masa Sesi 2/2006). Alhamdulillah saya lulus. Lepas sudah ujian pertama. Sejak itu saya mengaktifkan diri dalam dunia terjemahan. Mendapatkan tips dari senior penterjemah saya mempromosi diri dengan kad nama ciptaan. Saya tahu, ia bukannya kerja sehari dua. Mengambil masa yang buka sekejap. Awalnya saya rasakan saya telah menemui apa yang saya cari, tetapi masih belum temui jawapan. Namun, saya dapat rasakan ia semakin hampir.

Sekarang, selain menjadi penterjemah sambilan, saya menjadi part-time trainer di UIA untuk kursus skill First Aid yang saya pelajari semasa belajar dahulu. Bayangkan, saya pelajar bidang ekonomi, menyertai aktiviti ko-kurikulum secara sukarela yang menyebabkan saya perlu buat attachment atau praktikal di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E) HKL sebanyak 120 jam. Sehingga tamat belajar, saya sempat habiskan 70 jam sahaja. Namun, pelbagai kisah manusia terlukis disitu.

Dalam masa yang saya saya masih lagi kejap dengan cita-cita mahu menjadi penulis – seorang penulis yang berkarya keranaNya dan demi menegakkan kalimahNya. Itulah doa saya saban waktu. 2006 ini saya menetapkan sesuatu dan Alhamdulillah saya perlu menarik sebelah kaki lagi untuk terus berlari.

Jadi, apa lagi selepas ini? Pernah saya berbincang sesuatu dengan abah melakukan sesuatu kerana saya yakin dengan usaha sambilan ini, saya boleh berdiri sendiri. Dan saya berhasrat mahu kembali ke sini, ke daerah yang telah 10 tahun saya tinggalkan. Saya rasa terpanggil membela nasib anak peneroka, anak-anak Felda yang terbiar, terpinggir dan dipandang sebelah mata.

Tetapi kemudian, saya fikir lagi. Sudah tamatkah pencarian saya dalam perjalanan ini?

Remeh-temeh juga yang disalahkan

Kadangkala, yang benar kita tidak tahu.
Yang salah juga enak dipandang dan didengar.
Tetapi yang hakikat, Allah sahaja yang mengerti.

Kesimpulannya
, biarlah masa yang menentukan yang mana benar dan batil.

Allah jua Yang Maha Mengetahui

Satu persoalan

Pada suatu hari, seorang lelaki menemui Imam Syafie lalu tertanya, “Mengapakah Iblis dicipta daripada api dan kemudian diseksa pula dengan api?”

Imam Syafie berfikir sejenak. Kemudian dia mengambil segumpal tanah kering dan mencampakkannya ke arah lelaki itu. Lelaki itu kelihatan marah diperlakukan sedemikian.

Melihat keadaan itu, Imam Syafie bertanya, “Adakah kamu sakit?”

Lelaki itu menjawab, “Ya! Saya sakit.”

Lantas Imam Syafie pun berkata, “Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah, dan engkau juga akan disakiti dengan tanah.”

Lelaki itu terdiam tidak menjawab, tetapi dia telah faham dengan maksud kata-kata Imam Syafie.

Begitulah juga dengan keadaan Iblis. Dia Allah menciptanya daripada api dan disiksa juga dengan api.


Dan lain-lain kisah teladan.

Hebatkah?

Umur baru 28 tahun, sebaya pula tu.
Kariernya pula 'boleh tahan.'
Satu Malaysia mencarinya.
Seorang anak muda yang dikatakan sangat 'mahir dan aktif.'
Pandai juga dia menyamar.


Awak, hebat sungguh cara awak bekerja ya!

Buang masa!

Kalau setakat nak cari pengalaman, buat apa pergi jauh-jauh sampai kesana?

Buang masa betul!

Menghabiskan duit rakyat pula tu.

Mengapa saya berblog? - 1

Salam.

Saya amat tertarik dengan entri ini.

Saya baru tahun ini berkenalan dengan blog selepas pejabat pasang Wireless (hehe..). Saya sering mencari maklumat melalui internet. Kadangkala bila mahu mencari, secara tidak sengaja tersinggah ke blog. Kemudian, keinginanan mengetahui apa itu blog datang dengan sendiri bila jari jemari sering gatal mengklik link yang saya jumpa pada sesebuah blog.

Saya membaca kisah mereka, melihat apa yang mereka buat dan memikir apa yang mereka tuliskan. Kemudian saya terfikir, mengapa saya tidak berbuat seperti mereka?

Lalu diringi dengan kemahuan yang tinggi untuk menulis dan meluah rasa, saya belajar buat blog sendiri TANPA diajar oleh orang lain. Memang dah jenis suka buat eksperimen, maka terhasillah blog pertama yang saya namakan Masterpiece. Mengapa masterpice dan mengapa dalam bahasa omputih? Hehe..persoalan itu akan saya jawab kemudian dalam blog (bila saya rasa nak mengulas. Sekarang ini saya berada pada tahap yang teramat malas untuk melahirkan entri baru. Mengapa? Entah!)

Saya pun tidak tahu dari mana datangnya keinginan berblog. Mungkin kerana seronok melihat blog orang lain, maka saya pun buat. Saya ada beberapa blog yang dikhususkan kepada topik tertentu. Saya meluahkan pabila perlu. Dan jika saya rasa mahu meluahkan tanpa dikenali, saya juga mempunyai satu blog yang tiada identiti..heheh.. supaya saya boleh meluah tanpa diketahui siapa saya.

Dan saya berblog kerana saya kesunyian tanpa teman. Dan bertambah sunyi bila seorang teman menyepi diri (biarpun kini telah kembali). Saya tiada sahabat yang boleh berkongsi telinga dan hati bagi mendengar, maka blog menjadi tempat meluah rasa. Dan syukurlah, melalui blog saya bertemu lebih ramai teman biarpun sekadar berbicara melalui tulisan. Saya amat bersyukur tentang itu.

Itu pendapat saya, dan mungkin terlalu panjang...heheh...
12/03/2006 3:13 AM



Ini adalah komen saya dalam blog Kak zalisa dibawah topik 'Apakah tujuan dan matlamat kita menulis di blog?'

Saya pernah terfikir untuk menulis entri yang sama tetapi saat ini kepala beku dan menjadi malas. Mungkin suasana pejabat tidak begitu memberangsangkan dan saya pula mengira hari di penghujung tahun. Menanti detik berlalu dan mengharap hari segera bertukar wajah.

Dan mengapa saya berblog? Masih saya fikirkan. Nanti saya kemukakan rasional. Yang terluah dalam komen adalah sebahagian sahaja.