Ahad, Disember 30, 2007

Subhanallah

Saya berkunjung ke weblog Ustaz Zaid bila saya membaca entri menarik ini. Subhanallah!

Kanoute Saves Spanish Mosque

MADRID — Malian Muslim footballer Frederic Kanoute, the striker of Spain's Seville FC, has saved the only mosque in the southern Spanish city of Seville from closure.

Kanoute has paid 510,860 euros (some $700,000) so that fellow Muslims in Seville would not find themselves without a mosque, reported Agence France-Presse (AFP) Thursday, December 13.

The privately owned mosque was due to be sold after a contract to use the premises by the local Muslim population had expired.

But Kanoute stepped in to purchase the building.

The 30-year-old striker has not made any comment on the matter.

But city authorities have confirmed that the property has been registered in Kanoute's name, according to the BBC Sport.

It is estimated that Kanoute has spent almost a year's salary to buy the mosque.

Kanoute, , one of the finalists for the 2007 BBC African Footballer of the Year award, moved in 2005 from French champion Lyon to Seville FC, the 2006-07 Spanish league's third and the holder of last season's cup championship.

Grateful

Spanish Muslims said they really appreciate Kanoute's moving gesture.

"If it had not been for Kanoute then we would not have had a mosque on Fridays, which is the most holy day of the week for Muslims," a spokesman for the Islamic Community of Spain was quoted as saying by BBC Sport.

Kanoute, who has also created a foundation in his motherland Mali to help orphans, reverted to Islam 10 years ago.

Last Ramadan, he impressed Spanish football fans by his unique performance though he was fasting.

Kanoute was crowned last year the league's top scorer with 20 goals, outperforming football legends such as Brazilian Ronaldinho.

Kanoute, a practicing Muslim who regularly performs his prayers even in the locker room, refused last season to wear a jersey advertising for an internet gambling site, because gambling is forbidden in Islam.

His team had to give him a brand-free jersey until he accepted wearing the sponsored jersey in return for money to an Islamic charity.

Lalu saya membuat carian tambahan. Bacalah disini atau disini dan renungilah betapa murninya usaha seorang yang seagama dengan kita.

Lalu soalan timbul kepada diri sendiri - bagaimana dengan diriku?

.

Jumaat, Disember 28, 2007

Al-Fatihah

Terkejut bila mendengar berita pagi tadi. Saya kuatkan radio supaya boleh dengar dengan jelas. Betulkah apa yang saya dengar ini, ataupun ada kesilapan nama? (Maklum sahajalah, telinga baru lepas servis).

Bila tiba dipejabat saya buka internet, terus cari laman akhbar. Mmemang sah Benazir Bhutto sudah pergi. Dalam keadaan yang menyedihkan. Satu pengakhiran hidup yang tidak patut bagi seorang pemimpin, tetapi keadaan di Pakistan tidak dapat kita duga. Hari ini disanjung semulianya, esok bila jatuh di keji sebusuknya.

Tidak perlu diulas panjang. Berita ini dan ini rasanya memadai. Dan hingga minggu depan, inilah juga topik utama akhbar. Kita doakan supaya Malaysia tidak menjadi seperti itu. Politik, apa sahaja yang menarik darinya kecuali wang, kuasa dan nama, tetapi juga ada perkara-perkara buruk yang kita sendiri tidak sanggup dengar. Namun yang paling hebat, Islam jugalah yang terpalit nama. Si pembunuh itu mungkin sudah dapat rasakan yang dia sudah berbahagia di syurga. Itu kita tak boleh lah nak buat pengadilan, biarlah Allah yang membalasnya.

Semoga apa yang berlaku ini adalah pengajarannya untuk kita.

Al-Fatihah buat semua mangsa.

.

Rabu, Disember 26, 2007

Disebalik kesakitan

Sakit telinga kiri saya datang kembali. Sama seperti tahun lepas, bila saya tiba-tiba rasa speaker kurang terima respon walaupun pada tahap volume yang sederhana. Ayat yang mudah ialah 'hampir pekak.' Tahun lepas, ia terjadi pada bulan puasa. Asalnya saya biarkan, tetapi semakin lama semakin sakit. Berdenyut-denyut. Nak buka mulut pun tak boleh luas-luas. Saya bukannya takut doktor atau tak suka makan ubat, tetapi selalunya membiarkan kesakitan pada badan kerana biasanya 'baik sendiri.' Antibodi kuatlah kononnya. Oleh kerana dah sakit dan hangin satu badan sudah naik, maka saya pun pergilah ke klinik yang berselang dua pintu dari pejabat. Bukannya jauh sangat pun. Doktor periksa kata ada wax. Bagi ubat titis dua botol kecil dan bayar RM 10, dua tiga hari selepas itu hilang masalah. Mudah.

Itu cerita tahun lepas.

Sakit telinga ini datang kembali, saya rasa sudah lebih dari sebulan (mungkin dua, mungkin tiga). Sepeti biasa, saya biarkan sahaja dan buat tak tahu. Balik raya Aidiladha di kampung, keadaan bertambah sakit. Tambahan pula bila mandi, air masuk ke telinga. Berdenyut-denyut rasa macam nak telan orang. Itu pun saya boleh buat tak tahu. Biarkan, biarkan. Tapi bila kepala dah letak fikiran negatif yang macam-macam, tambahan pula usia tahun hadapan akan betukar angka sebelah depan (alamak!) maka saya sedapkan hati ke farmasi.

"Ear drop satu. Ada wax!" Saya bagi arahan pada ahli farmasi tanpa beri peluang dia tanya apa-apa. Tapi sebotol ear drop berharga RM 15 tu saya lihat lain macam. Tiada batch no, manufacturing date atau expiry date. Mungkin ada pada label tapi saya lihat bahagian itu telah di potong (di buang). Bersoal jawab juga dengan si Cina tu, tapi malas nak soal siasat sanagt, bayar sahajalah.

Namun keadaan tetap sama, malah denyutannya semakin menjadi-jadi. Mulalah saya menyumpah seranah si Cina farmasi tu. Entah-entah ear drop ni dah expired. Sudahlah resit pun tiada, nak claim kita beli di farmasinya pun tak boleh. Saksi pun tiada, kerana saya beli seorang diri. Nasib badanlah, kerana nak kerja senang. Kalau nak baik, jumpa doktorlah.

Pagi tadi saya dah merasa lain macam. Seram sejuk. Eh, tak kanlah sakit telinga boleh menyebabkan demam. Tapi tak mustahil. Dalam keadaan saya ni pun susah nak demam (setahun sekali pun payah..Alhamdulillah), saya tahan juga denyutan di telinga dan juga badan yang dah panas. Satu hari berteka-teki sama ada nak pergi klinik atau tidak, tapi akhirnya saya mengalah. Sebelum jadi apa-apa, baik saya bertindak.

Pukul 5, saya cepat-cepat keluar sebelum ada yang memanggil. Nak pergi ke klinik mana pun saya tak pasti. Lupa pula bertanya man klinik yang sesuai. Saya memandu dalam lebat mengambil jalan lain dari biasa, bila saya kemudian teringat ada satu klinik yang selalu disebut-sebut tidak jauh dari rumah sewa. Bila ambil nombor, sempat juga saya tanya, "Doktor perempuan ada tak?" Jawapannya tiada. Alamak, tapi tak mengapalah.

Bila giliran tiba, saya terus kata pada doktor - "sakit telinga, ada wax agaknya" (memudahkan tugas doktor, bukannya tunjuk pandai ataupun takut..) Doktor pun tak tunggu lama. Ambil satu alat dan teropong telinga. Dia berdiri sebentar sambil memandang saya.

"Mm..banyak wax. Kita buat suctionlah."

"Apa?" (bukannya tak tahu makna suction, tapi dahsyat sangatkah sampai begitu? Saya bayangkan dapat ubat titis seperti dahulu).

"Buat suction. Mungkin sakit sikit," kata doktor.

"Nak ke?" Dokto minta persetujuan. Mungkin jika saya kata tidak, dia tidak mahu buat. Saya diam lagi berfikir seketika. Apa salahnya jika untuk kebaikan. Kalau sakit pun, sedikit sahaja. Kalau nak baik pun, saya pasti cara ini lebih mudah dari guna ear drop.

"Bolehlah kot..." saya memberi jawapan seakan tidak pasti.

"Apa? Nak ke?" Doktor bertanya lagi.

"Mmm... bolehlah," saya jawab sambil mengangguk dan jawapan ini meyakinkan doktor. Saya pun menjadi yakin. Tadi ragu-ragu juga.

Dokor memanggil pembantunya dan terus ke bilik belakang. Saya terdiam seketika. Dahulu, ketika attachment di HKL, selalu nampak doktor guna suction pada mulut pesakit yang bertujuan mengeluarkan apa-apa yang menghalang mulut dan pernafasan. Biasanya makanan. Saya bayangkan bunyinya dan kesakitan yang doktor katakan. Hmm...

Doktor mengeluarkan yang saya kira suction machine. Tidaklah kecil, dan tidak juga besar. Ada mesin kecil mudah alih dan disebelahnya sebotol air. Ada satu wayar semacam paip yang disambungkan ke mesin itu. Saya duduk, lalu doktor menghidupkan mesin. Bergegar juga dada, namun saya tenangkan hati. Tapi entah apa yang saya baca pun saya tak ingat.

Menggunakan suction, doktor sedut apa sahaja yang ada di telinga kiri saya. Hasilnya akan masuk ke dalam botol yang berisi air. Ada semacam benda yang menyekat telah ditarik keluar. Mula-mula lega rasanya. Tetapi kemudiannya mula terasa sakit, kerana saya merasakan yang daging telinga saya bagaikan disedut keluar. Aduh... Banyak kali juga telinga kiri disedut, sehingga saya tiba-tiba rasa menjadi manusia normal.

Teruk juga bila lihat isi kandungan yang keluar dari telinga saya yang masuk ke botol. Doktor pun kata banyak. Maksudnya, kritikal juga tahap kesakitan yang selama ini saya buat tak tahu sahaja. Bahaya betul. Kemudian, dibuatnya juga perkara yang sama di telinga kanan. Tapi menurut doktor, telinga kanan tahapnya tidak seteruk kiri.

Semasa disedut, terasa ngilu dan sakit pada tahap minima. Cuma bila keluar dari bilik rawatan, saya rasa menggigil. Mungkin kerasa kesan suction, atau mungkin juga kerana seram sejuk badan yang rasa nak demam. Tambahan pula, hujan diluar mencurah-curah turun. Penghawa dingin yang tak sejuk pun tiba-tiba rasa sejuk.

Duduk sebentar, kemudian nama dipanggil. Saya diberi ear drop dan ubat tahan sakit. Caj perkhidmatan cuma RM 35. Tidaklah mahal mana. Jadi, apa yang saya lengahkan selama ini?

Sampai di rumah, saya keluarkan ubat. Mandi, solat, buka laptop dan siapkan kerja-kerja akhir terjemahan yang perlu dihantar malam ini juga. Alhamdulillah, segalanya selesai. Saat ini, telinga sudah kurang denyutannya. Namun menurut doktor, telinga kiri saya pelik, kerana ada banyak 'sawang-sawang putih seperti sawang pada dinding.' Hmm..pelik juga. Tetapi saya mahu habiskan dahulu ubat tahan sakit dan ear drop supaya tidak timbul masalah lain pula selepas ini. Dan Alhamdulillah, speaker saya sudah kembali normal. Volume pada tahap minima pun boleh dengar. Cuma ada sakit sedikit kesan dari suction. selebihnya, legaa..

Jadi, semasa menaip ini, saya teringat sesuatu. Mengapalah saya melengahkan diri dari berjumpa doktor? Bukankah penyakit itu mudah dikesan jika bertindak dari awal. Pada tahap usia sebegini, ada baiknya andai saya lebih sensitif terhadap segala perkara yang pelik pada tubuh badan. Kalau kereta mengeluarkan bunyi pelik pun dah risau, mengapa pula tubuh badan saya tidak boleh sensitif?

Hmm..insaf juga. Tapi biasalah kita ini manusia. Selagi tak merasa sakit, selagi itulah dibuat tak tahu atas apa sahaja yang berlaku. Dan kesakitan ini sebenarnya menginsafkan. Nampak sahaja kecil, tetapi saya harus lebih berhati-hati. Tambahan pula dengan tekanan kerja yang lain macam, dan tahun hadapan pula saya bertukar posisi dengan tambahan tanggungjawab, maka saya perlu lebih sensitif. Apatah lagi berada dalam lingkungan orang-orang yang sakit dipejabat, sekejap demam, sekjap MC, sekejap masuk hospital dan ubat yang pelbagai jenis, cukup menginsafkan. Dan saya juga sudah mula menukar gaya pemakanan dan membetulkan menu harian supaya nampak lebih menyihatkan. Untuk kebaikan diri sendiri juga.

Namun, pencegahan lebih baik dari merawati. Sesungghnya di sebalik kesakitan itu, ada keinsafan.

Cuti

Kisah bulan dua belas lagi. Bila tengok kalendar, tanda merah melimpah ruah. Cuti berselang hari. Maka ada yang gatal-gatal isi borang cuti sambil-sambil mahu cuti panjang. Kemudian, bulan satu pula ada lagi beberapa cuti umum. Maka yang jadi mangsa, kita inilah. Dah isi borang cuti pun, dapat SMS lewat malam suruh masuk kerja.

Nasiblah orang kolar putih ni. Lagi-lagi dalam service line. Cuti pun tak senang.

Pesanan bos: "Lain kali kalau nak cuti pun, susun jadual. Jangan bagi office kosong. 1hb nanti jangan cuti. Semua kerja"


P/s: Kena denda. Report Buruh nanti baru tau...huhuhu..

Selasa, Disember 18, 2007

Satu Liter Air Mata

Ini benar-benar mengundang kesedihan.



Hujung minggu, saya berendam airmata separuh hari kerana cerita ini - 1 Liter Of Tears atau dalam bahasa Jepun ia di namakan 1 Litre No Namida. Bukan setakat satu liter air mata yang tumpah, tapi kekaguman terhadap watak utama yang begitu memberi inspirasi kepada mereka yang masih bernafas.

11 siri, setiap satunya berdurasi 50 minit, membuatkan punggung rasa kebas, mata berpinar-pinar menatap skrin dengan airmata yang sekejap jatuh, sekejap reda. Tidak pernah dalam sejarah hidup saya (sejak 29 tahun yang lalu...ehem..) begitu teruja dengan cerita bersiri seperti ini, apatah lagi kisah airmata. Tetapi saya tidak boleh elak satu perkara - andai ia kisah benar saya tidak akan ketepikan sama sekali.

Dan seperti biasa, saya akan googlekan 1 Litre Of Tears sama ada di Wiki atau youtube bagi mencari maklumat tambahan atau apa-apa sahaja perkara yang menarik yang tidak saya ketahui. Bnayak rupanya perkara yang diluar jangkaan saya yang menyebabkan cerita ini menjadi terkenal.

1 Litre of Tears juga dikenali sebagai A Diary with Tears, A Diary of Tears atau Ichi Rittoru no Namida. Ia mengenai sebuah kisah benar seorang gadis bernama Ikeuchi Aya (nama sebenar ialah Aya Kito) yang menghidap penyakit spinocerebellar ataxia (SCA).

Dalam kisahnya yang sebenar, ia merupakan catatan harian yang ditulis oleh Aya Kito (19 Julai 1962 – 23 May 1988) yang mula menulis diari setelah dicadangkan oleh doktornya bagi melihat sebarang perubahan yang berlaku pada tubuh badan dan pergerakan sehariannya. Akhirnya ia meninggalkan satu habit kepada Aya untuk menulis pada setiap hari tentang dirinya, perasaannya dan pengalamannya sehingga ia menjadi inspirasi kepada orang lain. Aya terus menulis sehingga beliau tidak mampu lagi memegang pen. Diari tersebut telah diterbitkan selepas kematian Aya dan diberi nama 1 Litre no Namida.

Aya dikesan menghidap SCA ketika berusia 15 tahun dan berperang dengan penyakitnya selama 10 tahun sebelum meninggal dunia pada usia 25 tahun. Sehingga kini, 18 juta buah bukunya (diarinya) telah terjual. Bayangkan, ia telah memberikan inspirasi yang cukup besar kepada mereka yang masih hidup untuk terus menghargai kehidupanini.

Apa yang menarik ialah kisah ini digarap dengan cukup cantik. Ada kalanya ia tidak memerlukan dialog yang panjang, cukup sekadar musik latar yang cukup sentimental dan panorama alam yang dimainkan bersama-sama dengan gerak bahasa badan pelakon yang mantap lalu menimbulkan keharuan yang bukan sedikit. Memang ceritanya cukup cantik dan kemas, maka tidak hairanlah biarpun tanpa dialog, airmata mudah sahaja gugur.

Saya berkata benar, kerana saya bukanlah mudah menggugurkan airmata dengan mudah, apatah lagi biula menonton (apalah sangat!). Tetapi cubalah tonton, episod pertama sahaja sudah bikin sebak!

Sedikit nota tentang SCA. Ia sejenis penyakit yang tidak menyakitkan. Ia mengurangkan kemampuan seseorang bertindak, bergerak, memberi respon, kemudiannya mengganggu proses seharian ketika berjalan, bercakap, makan dan apa-apa sahaja aktiviti harian. Ia tidak menyakitkan, lalu biar sebaik atau sepandai mana pun seseorang itu, ia ibarat 'bangkai bernyawa' yang terlantar di katil hospital. Masih boleh berfikir secara waras tetapi tidak boleh memberi respon melalui percakapan mahupun tindak balas fizikal.

Sinopsis berepisod boleh di dapati di sini.

Khamis, Disember 13, 2007

Hujan a.k.a banjir

Bulan duabelas ialah musim - cuti sekolah, orang kahwin, budak-budak berkhatan, jemputan kenduri-kendara, musim hujan dan yang tak seronok ialah - banjir.

Di Johor, sebelum Disember 2006, banjir adalah satu fenomena ganjil. Ia wujud di tempat tertentu, sama ada di tepi sungai, di pinggir laut, di kawasan rendah atau di tempat dimana berlaku korupsi dan sesi tutup mata hingga menyebabkan empangan cetek dan sungai tidak di korek.

Itu dahulu. Sebelum Disember 2006.

Ada nostalgia tentang banjir besar sebelum ini sebenarnya. Saya tak berkesempatan nak menulis entri khusus tentang banjir besar tahun lepas. Bukan kerana laptop dihanyutkan banjir, bukan kerana idea hilang di telan bah, bukan kerana penat mencuci dan mengemas rumah, bukan kerana meraih simpati rakyat Malaysia yang mencurah-curah menderma dalam tabung prihatin yang di tubuhkan tetapi lambat dapat sumbangan. Tetapi kerana tak sempat. Saya adalah antara insan yang melihat dan kemudian mendengar cerita dan merasakan beban mereka yang di timpa malang, kerana mereka adalah saudara-mara terdekat saya yang berada di Kg Jawa, Segamat, satu kawasan yang teruk juga di timpa musibah. Dan cerita yang saya ambil dari bibik ialah sewaktu AidilAdha awal tahun ini, iaitu selepas banjir pertama, atau sebelum berlakunya banjir kedua. Saya tidak tahu apa cerita yang berlaku selepas banjr kedua, dan kesimpulan selepas kedua-dua banjir besar itu.

(Lebih kepada birokrasi sebenarnya dan saya amat geram...geram sehingga tidak sanggup menulis entri itu. Tapi tidak kali ini. Geram sampai tak buat pun, tak guna juga)

Nostalgia ini ada saya catatkan dengan tangan sewaktu mengunjungi rumah atok yang masih kukuh berdiri pada banjir besar pusngan pertama biarpun air meninggalkan kesan melepasi paras pinggang dewasa, dan juga melalui gambar yang saya rakam di rumah bibik yang airnya naik melepasi bumbung dan juga suasana di pinggir sungai Segamat di jambatan kedua yang, bila saya tengok memang tak boleh nak percaya, dan memang sungguh dahsyat.

Nantilah, akan saya ceritakan bila sempat.

Dahulunya banjir berlaku disebabkan oleh angin-angin yang turun ke bawah, bukannya ke pantai timur (angin sudah berubah haluankah?).

Bila berlaku banjir lagi sekali ini, saya berkata kepada seorang kawan yang punya ibu bapa juga di Segamat, "Orang Johor ni banyak dosa ke? Cukup-cukuplah tu, pangkah lainlah pula tahun depan."

Dia senyum sahaja.



P/s: Saya bukan anti Johor. Saya darah Johor juga. Lahr di Johor. Kad pengenalan pun 01!

Tawakkal, dan biarlah tepat pada situasinya - 2

Entah mengapa, kata-kata tawakkal sahaja bermain di kepala. Dan saya mengulangi lagi doa yang sya reka sendiri - berdoa supaya tidak hilang, bukannya andai ia hilang, digantikan dengan yang lain.

Saya menarik nafas. Tawakkal. Mee dalam pinggan masih bersisa. Tekak rasa berat mahu menelan, kerana ada perkara lain yang lebih penting untuk dihadam. Saya mengambil telefon, mencari nombor si pemanggil tadi, lalu menghantar pesanan:
"Salam. Terima kasih kerana memaklumkan. Rasanya saya tak sempat nak patah balik. Saya tawakkal sahaja, semoga Allah menjauhkan saya dari perkara yang buruk. Terima kasih atas usaha encik. Hanya Allah yang dapat membalas jasa encik. Terima kasih."

Sent.


Balasan tiba hanpir setengah jam kemudian.

"Saya bukannya apa kita ni sebangsa dan seagama, saya bukannya tak nak tolong tapi sebab saya tengah menjalankan tugas, sama-samalah kita berdoa semoga selamat. Insya Allah"

Dia meletakkan nama dihujung pesanan.

Kemudian saya keluar dari KL Sentral menuju Plaza Sentral. Fikiran saya tenang kini. Tawakkal dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Kepadanya saya berserah kini, semoga kereta yang tidak dinaikkan tingkapnya itu selamat tanpa dipecah atau dicuri.

D dalam dewan, saya ketepikan sama sekali tentang kereta. Malah, sempat juga menjamu makan tengahari, menyambung perbincangan lalu berpisah di dalam komuter.

Sebak sahaja punch kad touch n go, saya meninjau-ninjau kereta dari kejauhan. Bayangannya nampak tetapi saya cuba memastikan ia bukan ilusi. Bila semakin dekat, saya pasti. Alhamdulllah, kereta saya, dengan tingkap separuh tertutup di pintu kiri jadapan dan sedikit terbuka di pintu kanan, selamat tanpa sebarang perkara buruk. Saya mengelilingi kereta, dan tiad cacat cela.

Alhamdulillah.

Terus saya mengutusi pesanan kepada si pemanggil tadi:
"Alhamdulillah, kereta saya selamat. Semoga Allah memberkati usaha encik dan merahmati kehidupan encik di dunia. Semoga apa yang encik lakukan mendapat balasan baik darinya. Panjang umur, berjumpalah kita."

Saya tidak tahu mengapa saya tidak cuba menelefon mengucapkan terima kasih, sebaliknya sekadar menghantar pesanan. Tetapi petang selepas pulang dari kerja, saya terlihat nombornya pada senarai miscall.

Tak mengapalah. Panjang umur, berjumpalah kita.

Buat pertama kalinya dalam hidup, saya merasai hikmah bertawakkal ke[ada Allah. Tawakkal dan berserah dengan sejujur hati. Alhamdulillah, Dia Maha Mnegetahui dan Maha Mendengar.

Alhamdulillah.

Tawakkal, dan biarlah tepat pada situasinya.


.

Isnin, Disember 10, 2007

Tawakkal, dan biarlah tepat pada situasinya - 1

Kecuaian saya pagi tadi hampir membawa padah.

Cuaca pagi tadi mendung, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda hujan. Saya membuka tingkap sambil memandu, tambahan pula bertujuan menyedut udara segar pagi yang sejuk dan mendamaikan. Kebetulan pagi tadi destinasi pertama bukanlah ke pejabat, tetapi arah 'lain' di KL. Saya memilih menggunakan komuter, lalu parkir di tepi jalan menghala ke stesen UKM Bangi. Perjalanan lancar tanpa gangguan. Tiba di KL Sentral, pagi masih awal, dan saya juga tiba awal dari masa yang dijanjikan. Sambil berlegar-legar di dalam kawasan KL Sentral, perut tiba-tiba minta di isi bila ternampak papan tanda kedai makan yang bersepahan. Sebaik sahaja membayar dan duduk, satu panggilan telefon dari nombor yang asing masuk ke talian.

Terkejut seketika saya panggilan itu dari pegawai KTM yang membuat rondaan. Sangkaan saya mereka mahu 'clamp' kereta kerana parkir di luar kawasan, tetapi sangkaan saya salah.

"Saya telefon nak beritahu tingkap kereta cik sebelah penumpang hadapan tidak tutup." Kata-katanya terus mematikan selera saya.

"Saya dapat nombor telefon ni dari kad cik yang ada tergantung dalam kereta. Saya minta izin ambil dari dalam kereta." Saya tergamam tanpa kata. Terbayang kereta yang di parkir dengan tingkap terbuka.

"Err...terima kasih..hmm...tapi...," saya keputusan ayat, kehabisan kata-kata. Tiba-tiba saya merasakan segala urat dan saluran darah yang menyambungkan nafas dan darah ke otak bagaikan terhenti.

"Nanti cik tutuplah tingkap ni ya. Saya risau pula nanti jadi apa-apa." Saya tidak ingat apa yang dikatanya selepas itu, kerana yang bermain dalam fikiran saya ketika itu ialah - kereta hilang, kelam-kabut diparkir, buat laporan polis, claim insurans, beli kereta baru, buat downpayment, tiada kenderaan ke pejabat, kesusahan mahu bergerak kesana kemari, maka terpaksalah meminjam motor adik atau ambil kereta yang di kampung...blaa..blaa...blaa...

Yang saya ingat hanyalah bila saya mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada si pemanggil.

Buat seketika saya terpandang mee yang terhidang. Mati akal dibuatnya. Saya tidak mampu berfikir waras, lalu menyuapkan mee dengan perasaan separa siuman.

Telefon berdering lagi, dari pemanggil yang sama.

"Saya letak semula kad cik tadi. Jadi sekarang ni macamana?" dia bertanya meminta tindakan dari saya. Saya terdiam lagi. Kali ini sudah mampu berfikir.

"Saya ni sebenarnya sedang meronda di sini. Saya dari Kajang. Cik dimana sekarang?" dia bertanya lagi bila melihat saya seolah-olah tergamam.

"Saya di KL Sentral, ada kursus hingga pukul 1."

"Jadi macam mana sekarang?"

"Ermm..boleh tak saya minta tolong encik untuk tengok-tengokkan kereta saya sementara encik meronda. Tak payah tunggu disitu pun tak mengapa. Sekadar tengok-tengok," saya meminta simpatinya, semoga dia boleh membantu.

"Saya tak boleh tunggu d sini cik," dia membalas.

"Maksud saya, tak perlu tunggu. Cuma tengok sahaja bila encik lalu lalang disitu."

"Saya tak lalu di sini lagi cik. Saya lalu sekali sahaja."

Saya terdiam seketika.

"Saya ni cuma beritahu. Kebetulan saya meronda disini hari ini. Saya takut apa-apa terjadi pada kereta cik pula nanti." Nampaknya dia begitu prihatin. Syukurlah.

"Tak mengapalah, nanti saya uruskan." Berkali-kali ucapan terima kasih saya ucapkan.

Saya berfikir sambil mengunyah mee. Nyata saya tidak mampu menghabiskan sarapan dengan kepala yang tidak tenang.

Sekali lagi dia menelefon.

"Cik mintalah tolong dari kawan ke, adik ke, suami ke. Bahaya kalau ditinggalkan kereta dengan tingkap terbuka disini," katanya lagi.

Hendak minta tolong dari siapa pula? Kalau ada kunci spare elok juga. Masalahnya kunci spare dirumah. Berpatah balik semata-mata mahu tutup cermin? Saya melirik ke arah jam. 9.30 pagi. ada masa setengah jam sebelum kursus bermula. Satu kursus yang penting. (Malah saya ponteng kerja pag ini kerana kursus ini).

Berpatah balik adalah satu keputusan yang wajar biarpun saya harus menyalahkan kegopohan dan kebodohan diri kerana tidak terlalu berhati-hati. Tidak pernah terjadi kejadian seperti ini sepanjang saya memegang stereng, kerana saya seorang yang cukup cermat. Biasanya saya akan melihat sekeliling kereta sehingga berpuas hati sebelum keluar. Tetap pagi tadi, entah kenapa. Mungkin kerana terlalu teruja mahu mengikuti kursus ini, atau mungkin juga satu hukuman kerana lari dari kerja, dengan sengaja.

Saya beristighfar, membaca apa yang patut bagi menyedapkan hati.

Memang tidak wajar berpatah balik, fikir saya. Masa, saat ini begitu berharga. Bukan setakat emas, malah lebih dari itu.

Lalu?

Tidak mungkin saya berpatah balik. Ini tindakan drastik. Saya menetapkan keputusan yang dirasakan amat wajar disaat ini. Saya bertawakkal dan berdoa semoga tidak ada apa-apa perkara buruk berlaku. Kalau hilang pun kereta nanti, saya berdoa semoga Allah menukarkannya dengan ganjaran lain yang lebih besar, kerana apa yang saya lakukan saat ini pun adalah kerana-Nya (mungkin kerana-Nya).

Tawakkal. Itu sahaja usaha setakat ini.

Saya berdoa dan berdoa. Bukannya berdoa 'andai ia hilang, digantikan dengan yang lain' tetapi 'berdoa supaya tidak hilang.' Satu doa yang positif dan memikirkan yang positif, biarpun saya merasa amat risau. Bagi saya, ia hilang tak mengapa. Kereta ini pun hasil titik pelun sendiri, dan hilang pun kerana kecuaian sendiri. Mungkin tiada rezeki. Tetapi yang baiknya, janganlah hilang

Jadi, bagaimana keadaan kereta selepas itu?



....akan bersambung.

Jumaat, Disember 07, 2007

Masalah?

Betapa besar pun masalah kita, besar lagi masalah orang lain.

Jadi, jangan asyik fikirkan masalah sendiri ya!

Rabu, November 28, 2007

Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata

1)
Saya tidak ingat sama ada kata-kata ini saya ambil dari mana-mana bahan bacaan atau terlintas keluar dari kepala saat ditekan dengan pelbagai perkara yang mendesak sejak minggu lalu.

2)
Berdakwah, bukan kerja yang mudah, dan bukan juga senang. (Mungkin). Kita (orang Islam) telah jelas dinyatakan bahawa kita ini adalah khalifah di muka bumi. Wakil-Nya. Maka dalam setiap perbuatan dan kata-kata itu, setidak-tidaknya haruslah mempunyai 'sesuatu' untuk disampaikan sama ada secara zahir atau lisan.

Namun ada juga yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang penting. Pada mereka, hidup ini sekali, maka kecapilah segala nikmat yang terhidang berkali-kali. Tanpa sebarang ragu. Halal dan haram sekadar mainan. Dosa dan pahala langsung tidak diendahkan.

3)
Biar apa pun persepsi anda yang baca terhadap entri kali ini, bukan niat saya mahu menunjukkan yang diri ini bagus.

Ada orang menzahirkan dakwah melalui kata-kata, bibirnya sentiasa basah dengan zikir dan mulutnya sentiasa mengajak kepada kebaikan. Ada pula disebaliknya. Menggunakan diri sebagai contoh, menjadikan perbuatannya sebagai ikutan. Apa yang baik dan apa yang buruk ditunjukkan melalui sikap.

Memang saya seorang yang berat mulut. Saya bukan sebagus orang pertama yang menggunakan mulut. Tetapi saya berusaha menjadi seperti yang kedua. Sekurang-kurangnya saya menggalas amanah-Nya dan tanggungjawab yang telah di serahkan kepada saya sebaiknya.

Tetapi ada juga yang berusaha menjadi baik tetapi tidak mampu memberi contoh yang baik. Percakapan tidak sama dengan perbuatan. Apa yang dinasihatkan sepatutnya memberi insaf, tetapi telah mengundang cakap-cakap yang tidak enak.

Adakalanya, saya menjadi kusut memikirkannya. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, saya menjadi mangsa menyiapkan kerja bagi pihak orang lain. Sehingga semalam, saya terpaksa angkat kedua belah tangan.

"Maaf, mengantuk. Aku mahu rehat." Jam baru menunjukkan pukul 10 bila saya sudah belayar jauh ke alam mimpi.

4)
Ya, bukan diri mahu menunjukkan sesuatu yang boleh mengundang persepsi yang lain terhadap orang. Saya juga tahu apa yang Allah janjikan kepada hamba-Nya yang berusaha mengajak kearah kebaikan. Saya mahu mendapatkan janjinya itu, walaupun tidaklah sebagus mana pun. Saya juga tahu dugaan yang ada dikiri dan kanan saya, yang sentiasa datang dalam bentuk wang dan kesenangan. Seboleh-bolehnya, biarlah saya mendakwahi diri dahulu sebelum menjurus kepada orang lain. Tetapi andai apa yang kita lakukan itu membawa kebaikan kepada yang lain, syukur sahaja saya panjatkan kepada Allah.

Tiada siapa yang mahu menolak syurga-Nya. Tiada siapa yang mahu menafikan hak mendapat keredhaan-Nya di dalam kehidupan yang sementara ini. Setiap apa yang kita lakukan adalah kerana-Nya, kerana kita sedar hidup ini sementara cuma. Jadi, tujuan hidup kita sebenarnya alam lain disana. Alam dimana Allah telah janjikan pelbagai perkara yang menggembirakan bagi yang benar-benar sabar terhadap ujian dunia.

5)
Satu panggilan masuk.

"Mari kita pergi karaoke malam ni. Bilik dah tempah. Besar. Boleh bawa ramai kawan. Tunggu pukul 8. KIta pergi sama-sama. Jangan tak datang."

Dia terus merayu sehingga saya terpaksa mematikan talian kerana sedang memandu - atas alasan polis. Malah, pelbagai alasan menolak juga saya telah beri.

Tetapi dia terus merayu.

6)
Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata.

Fikiran saya kusut sekarang.


.

Jumaat, November 23, 2007

Pelawat tetap

Sejak Isnin, saya menjadi pelawat tetap Hospital Kajang selepas waktu kerja. Kadangkala, tanpa ada apa-apa keperluan pun selain melawat dan melihat keadaannya. Dia salah seorang staff yang saya hormati kerana sangat gentleman. Di pejabat, banyak yang saya pelajari darinya. Dia mempunyai PR yang baik, interpersonal skill yang bagus, communication skill yang mantap, decision maker dan problem solver yang rasional serta kemahiran membuat presentation sehingga selalunya berjaya mempengaruhi para pelanggan dan syarikat lain.

Saya selalu berbincang dengannya jika ada apa masalah yang tidak dapat saya selesaikan dengan baik, atau kadangkala saja mencuri masa berbual dengannya kerana dia sentiasa mempunyai sesuatu untuk disampaikan kepada saya, baik berkenaan syarikat atau kehidupan.

Kehidupannya peribadinya disisi lain sangat gelap dan hitam. Apa-apa sahaja mahu dihalalkan, biarpun dia tahu apa itu halal dan haram, dosa dan pahala. Namun, selalu saya berdoa agar dia menerima petunjuk atas setiap langkah yang dilakukannya kerana seorang yang bagus seperti ini sebenarnya sukar untuk di temui dimana-mana.

Rabu lalu, saya bersendirian melawatnya di hospital. Biarpun ada isteri dan ibunya di sisi, dia tahu ada sesuatu yang berlaku di pejabat berdasarkan kepada wajah saya yang kusut (dan datang pula seorang diri.) Sememangnya bukan niat saya datang untuk menyampaikan berita yang mengejutkan itu, memandangkan kesihatannya tidak begitu baik. Tetapi suasana pejabat yang sudah tidak memberangsangkan menyebabkan saya perlu memberitahunya berita ini, walaupun saya beberapa kali menahan diri dari membuka mulut.

Semalam, di sebalik segala kekalutan di pejabat, saya menerima SMS darinya. Agak sedih juga:

"Btw i got my test result on ct scan, not a gudnews, i tak bgtau sesapa pun lagi, it might be related to cancer but the doctors will discuss dulu among them b4 seeing me again tmrw. There's a large area of blood cloth in my lung based on the ct scan. I need to be on special medication called 'warfarin' yg byk pantang, the disease are very uncommon known as 'pulmonary embolisme'... i'm so sad now, tak tahu nak buat apa, huhuhu..."

Saya mencari di internet tentang warfarin dan Pulmonary Embolism, print dan membawanya ke hospital. Dia begitu gembira dengan informasi seperti ini yang menjelaskan kedudukan blood cloth di paru-parunya dan menyarankan saya mencari lagi apa-apa maklumat yang berkaitan. Dia akan menghantar mesej kepada saya dari semasa ke semasa andai ada apa-apa yang diperlukannya lagi.

Jauh di dalam hati, saya berharap dia cepat sembuh. Syarikat memang memerlukannya. Semoga dugaan ini memberinya keinsafan atas kehidupan gelap yang dilaluinya dan juga menyedarkan semua yang berada di pejabat. Setidak-tidaknya.

Ajal itu boleh datang bila-bila masa. Malaikat tidak akan bertangguh walau sesaat bila tiba masa yang ditetapkan untuk kita.


.

Kiamat, Oh kiamat kecil

Saya gelarnya..kiamat kecil. Kalau pun boleh dipanggil kiamat. Dua tiga hari ini di pejabat, entah macam-macam hal. Semalam, kami menjangkakan yang buruk-buruk, atau kiamat kecil, tetapi gelak ketawa pula yang hadir. Keliru, memang keliru.

Tetapi bagi yang lain, kiamat ini bukan tak jadi. Postpone. Kiamat postpone. Ini bermakna ia akan berlaku pada bila-bila masa.

Tunggu sahajalah.

Rabu, November 21, 2007

Berita-berita

1)
Isnin. Saya menerima panggilan dari PTS. Manuskrip yang telah setahun saya hantar diberitakan akan dikembalikan kepada saya untuk proses proofreading. Alhamdulillah, penantian selama setahun berakhir juga. Ia berkenaan MLM, dunia perniagaan yang saya ceburi di awal pekerjaan. Pengalaman pahit maung, penat lelah dan air mata para usahawan MLM ada di situ.

Malam saya berjaga hingga ke pagi. Semangat yang hilang dan pasang surut akhirnya datang kembali. Semangat kembali untuk menulis, dan idea datang mencurah-curah.

2)
Selasa. Usai subuh, semangat masih menyala-nyala. Ada idea datang ketika melihat awan pagi sewaktu masih duduk di sejadah. Masih sempat melakar idea sebelum bersiap ke pejabat. Mujurlah dekat sahaja dengan rumah.

Di pejabat, saya menanti manuskrip yang di hantar melalui courier. Sehingga petang, belum ada apa-apa. Mungkin esok. Tetapi di pejabat, lain pula halnya. Ada berita yang mengocak ketenangan bekerja. Buat sementara ini, ia masih menjadi rahsia kepada beberapa orang. Andai berita ini terlepas, pasti ada yang menjadi mangsa. Resah kepada kami dari petang membawa ke malam. Berbincang memikirkan penyelesaian, tetapi keputusan bukan ditangan kami. Dan ia tentang hidup mati syarikat.

Sempat singgah di Hospital Kajang selepas kerja melawat seorang staff yang terlantar kerana PHD (pressure, hypertension & diabetis). Masih dalam keadaan yang tidak mengizinkannya bercakap lama. Terlintas niat untuk berkongsi cerita, tetapi biarkanlah dahulu.

Sebelum tidur pula, ada mesej mohon bantuan. Saya menelefon dan memberi nasihat sekadar panduan. Biarpun kepala berat memikirkan perihal syarikat, silaturrahim tidak patut diketepikan saat ini.

3)
Rabu. Alhamdulillah, manuskrip tiba dengan selamat. Setidak-tidaknya ia mengundang senyum buat seketika dan mendatangkan ceria kepada hari yang muram.

Kepala masih belum stabil dengan masalah syarikat. Masing-masing tidak lena tidur. Beberap orang telah mengadu akan erasaan yang macam-macam -sakit dada, berdebar-debar dan macam-macam. (Sememangnya tekanan kerja disini cukup tinggi. Beberapa orang asyik tumbang kerana tekanan). Pelbagai cara cuba di lakukan, tetapi belum temui titik penyudah. Bukti telah diterima, panggilan telefon dengan peguam, setiausaha syarikat, carian di internet, bantuan dari orang pserseorangan belum cukup membantu. Sememangnya ini masalah terbesar perbah berlaku, dan penyelesaian yang diberikan setakat ini pasti menyebabkan ada yang menjadi 'mangsa.' Setidak-tidaknya.

"Ya Allah, kau berikanlah ketenangan kepadaku dalam menghadapi dugaan yang maha hebat ini"

Khamis, November 15, 2007

Nobel oh! Novel


Ini bukan angan kosong tau!
Kalau nak dapat anugerah Nobel, setidak-tidaknya kena tulis novel. Apalagi?


* Lokasi: Pusat Sains Negara

Ahad, November 11, 2007

Lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur

Awal pagi – selepas mengalas perut, terus memandu ke Pusat Sains Negara. Hari Ahad, jalan cukup lengang, pemanduan menjadi mudah, cuaca juga bagai mengalu-alukan kedatangan. Adik sudah menampakkan riang. Bukannya apa, dibawa ke tempat yang di inginkan, sudah pasti memberi ceria kepada percutiannya yang baru sahaja bermula. Arah pertama ialah Pusat Sains Negara (PSN).

* Di pintu masuk

Melewati Istana Negara, saya teringat peristiwa semalam. Laluan gelombang kuning yang penuh semangat dan FRU yang hampa menanti mangsa. Apa sahaj erita yang keluar hari ini tidak saya endahkan. Sudah pasti tidak memihak kepada mereka yang berhimpun.* Wajah pemenang anugerah Nobel terpapar di dinding

Adik terlalu teruja dengan angkasawan, ISS, Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz. Tetapi silap haluan, mungkin. Kerana PSN tidak memberikan apa-apa tentang itu. Sekadar gah sebagai lambakan bahan berunsur sains tetapi banyak alat yang tidak boleh digunakan. Tekan sahaja butang, yang keluar ialah kehampaan. Peralatan bagai tidak diselenggara, maklumat ketinggalan zaman. Design dan susun atur bagai melepaskan batuk ditangga. Semuanya tidak berwajah baru. Hasil kerjatangan lewat 90-an.

* Ada gambar, guna asap je..

Destinasi berikut ialah ke Planetarium. Melewati Masjid Negara, ternampak tanda arah ke Muzium Kesenian Islam Malaysia. Saya mengajak singgah, dan saya yang lebih teruja. Sampai sahaja di dewan pameran, replika Masjidil Haram menanti di pintu lif. Subhanallah. Bayangan Kaabah terpapar dihadapan mata. Saya seolah-olah berdiri betul-betul dihadapan Kaabah! Banyak lagi replika menarik – Masjid Nabawi, Masjid Suleyman, Taj Mahal, Kubbatus Sahra dan pelbagai lagi replika menyerupai asal yang di pamerkan di Galeri Senibina.

* Simple tapi menarik

Pada saya, inilah tarikan utamanya. Siapa yang tidak teruja melihat senibina indah hasil kerjatangan umat Islam yang berdiri megah sehingga kini. Binaan tersebut (kebanyakannya masjid) bukanlah kecil atau mudah. Ia kelihaan cukup gah dan gagah, dihiasi lagi dengan ukiran ayat al-Qur’an, hiasan batu dan kerjatangan yang cukup kompleks.

Saya selalu tertanya teknologi apakah yang mereka gunakan sehingga terhasil binaan yang cukup hebat seperti itu. Dengan kubah yang besar, tiang yang kukuh, menara yang tinggi, tembok yang teguh berdiri, semuanya menggunakan tenaga empat kerat manusia (semestinya!). Ruang pameran yang lain tidak begitu memikat. Galeri al-Qur’an dan manuskrip, barang kemas, senjata dan perisai, seramik, kerja logam, matawang, kerja kayu dan tekstil biarpun memukau tetapi kaki yang sudah lenguh berjalan sejak semalam menyebakan kepenatan seluruh badan.

Beralih destinasi ke Planetarium, menyebabkan kami perlu memanjat hingga ke atasnya. Bangunan indah di atas bukit (entah apa namanya) menghidangkan pemandangan menarik dari atas. Masuk sahaja ke dalam, saya menjadi hairan. Apakah ini Planetarium yang sering digembar-gemburkan. Tiada apa-apa yang menarik. Ruang pameran satu aras dengan bahan pameran yang sedikit. Ruang angkasawan yang ada cuma poster dua angkasawan dan sedikit info sebesar papan kenyataan sekolah. Yang lain – replika ISS tanpa sebarang keterangan dan dua roket peluncur NASA yang entah tahun bila punya. Tiada maklumat terkini tentang angkasawan. Seoalah-olah projek angkasawan itu telah berlaku tahun lalu. Seolah-olah kakitangan disini tinggal didalam ruang pameran ini dan tidak keluar-keluar selama Sheikh Mus terapung tanpa graviti. Hampa dan hambar. Mungkin mereka masih lagi mabuk ketupat dan rendang. Maklum sahajalah hari ini Syawal terakhir.

Naik ke menara tinjau – ah, apalah yang boleh ditinjau dari atas kecuali bangunan yang berceracak di KL. Cuma yang menarik ialah dapat melihat KL dari atas, biarpun penglihatan terbatas oleh bangunan lain yang lebih tinggi binaannya. Berlegar-legar diruang atas yang tidak berapa luas, kemudian kami turun menanti tayangan di ruang teater. Masuk sahaja ada empat orang – seorang Arab dengan anaknya. Tayangannya ialah tentang ‘Space Development’ yang boleh mengundang lelap.

* KL dari atas

Apa yang ada tentang Space Development pun saya tak pasti. Yang banyak diceritakan ialah tentang bintang dan buruj (masa tayangan tiga hingga empat minit), angkasawan Jepun terapung-apung (saya pasti selepas ini tukar dengan Sheikh Mus), tentang bima sakti (penerangan tak sampai satu minit) dan harapan tentang masa depan. Masa depan apa yang mahu di katakan, andainya 15 minit tayangan itu tidak memberi info yang banyak. Sekadar lagu kosong dan bintang-bintang bertaburan di angkasa raya.

Keseluruhan lawatan hari ini – indah khabar dari rupa. Sebelum apa-apa, jangan tertipu. Promosi memang nampak hebat tetapi kita yang membayar tiket mesti rasa tak puas hati dengan tahap pameran seperti budak sekolah buat kerja. Tukarlah konsep pameran. Ini zaman S&T. Komputer sudah meluas digunakan. Budak sekolah rendah pun tahu guna komputer. Janganlah buat sesuatu seperti mahu memperbodohkan pengunjung.

Sabtu, November 10, 2007

Gelombang Kuning

Agenda utama saya hari ini ialah masuk pejabat dan keluar tepat pukul 1 petang. Ambil adik di Pudu yang baru turun dari Sg Petani. Dia dijangka tiba lebih kurang pukul 5. Kemudian terus ke majlis jamuan syarikat di Taman Botani Putrajaya yang berlangsung dari jam 6 petang hingga 8 malam. Penutupnya ialah rumah terbuka sebuah persatuan penduduk yang berlangsung dari Isyak hingga pukul 10 malam.

Saya tahu hari ini ada satu perhimpunan di Dataran Merdeka hingga ke Masjid Negara. Perhimpunan yang memanggil 100,000 rakyat ini pastinya - pada fikiran saya – menyebabkan tidak berbaloi untuk saya memandu ke KL. Jalan sudah pasti jam. Jadi saya saya merancang menggunakan kemudahan awam. Komuter, Putra LRT dan Star LRT. Lebih mudah. Dengan Touch n Go, saya boleh touch dan go kemana-mana destinasi yang saya suka dan boleh menukar fikiran sekelip mata di atas tren.

Menuju ke stesen UKM Bangi, sudah ada polis buat road-block. Wah! Gawat! Getus hati. Mencari parkir, saya tidak menunggu lama. Komuter tiba kurang dari lima minit menanti. Satu petanda baik. Masuk sahaja ke dalam, ada sekumpulan lelaki (boleh agaknya dipanggil pakcik) memakai kopiah duduk memenuhi koc.Wajah-wajah segar dan bersih mereka membayangkan kemungkinan yang tidak pasti. Lagak mereka bukan orang KL , bukan orang Selangor. Saya mencari chemistry antara tarikh hari ini dan destinasi komuter. Hm...apa ya?

Entah kenapa perjalanan yang lancar pada awalnya tersekat-sekat. Menghampiri Bangsar, komuter bergerak perlahan. (Ini perkara biasa. Bagi yang selalu menggunakan komuter, tentu faham betapa lembabnya koc-koc ini bergerak) Menghampiri KL Sentral, berhenti lagi. Di luar, hujan mula mencurah. Pergerakan kereta dari Bangsar menuju ke ibu kota tersekat. Penumpang komuter gelisah. Hampir 15 minit tidak bergerak. Entah apa yang berlaku diluar tidak dapat di duga.

Salah seorang pakcik menjawab panggilan telefon. Menjawab dalam keadaan semua orang boleh mendengar (mungkin juga mahu menegur tiga orang anak muda yang bergurau bertepuk tampar pada tahap melampau dihadapannya), dia mengkhabarkan bahawa ‘dah ada yang kena siram di Masjid Jamek.’ Oh, telahan saya tentang destinasi mereka benar sekali. Kemudian, mereka mula membuka cerita tentang politik, tentang pilihanraya, tentang pemimpin.

Bila komuter bergerak, semua menjadi lega. Entah disengajakan atau memang benar berlaku atau mungkin sengaja perjalanan di lambatkan (agaknya), ia sekaligus memberi jawapan seolah-olah keadaan sedang gawat di tengah bandaraya. Ini telahan saya sahaja, sedangkan saya sendiri tidak mendapat gambaran jelas keadaan di luar. Sementara itu, saya bertanya kepada diri – ke mana arah saya sebenarnya? Masih awal untuk ke Pudu. Jangkaan adik saya tiba pukul 5. Masih ada tiga jam lagi. Pandangan saya silih berganti dengan kereta yang berderet diluar, hujan gerimis yang menyejukkan serta kumpulan pakcik yang bersemangat di dalam koc.

Akhirnya saya memutuskan untuk mengikut kumpulan pakcik ini. Saya bertanya kepada diri beberapa kali – betulkah keputusan yang saya ambil ini? Saya berdoa dalam diam sambil mengingatkan diri bahawa saya berniat baik sekarang ini- niat asal mahu ke Pudu tetapi melencong ke arah lain. Teringat kamera di dalam beg. Ah, fungsinya boleh digunakan tepat pada masanya.

Tiba di KL Sentral, kumpulan pakcik ini awalnya tidak mahu turun. Saya bersandar pada tiang. Mungkin mereka mahu turun di stesen berikutnya iaitu Kuala Lumpur yang terletak berhadapan dengan Masjid Negara. Hot spot. Tiba-tiba salah seorang dari mereka yang saya kira ketua memanggil yang lain untuk keluar. Saya mengekori mereka tanpa teragak-agak. Di luar komuter, mereka berbincang. Mungkin mencari arah. Mahu sahaja saya menunjukkan mereka arah ke Dataran Merdeka dengan menggunakan Putra LRT (dengan turun di Pasar Seni), namun kaki laju sahaja melangkah ke pengimbas touch n go.

Keluar sahaja dari ruangan komuter, saya dapati mereka masih berkumpul dan berbincang. Saya memutuskan menaiki Putra LRT dan bertukar Star LRT di Masjid Jamek menuju Plaza Rakyat (Pudu). Tatkala ini, hati berbelah bagi. Pergi atau tidak? Masih lagi dengan niat ke Pudu biarpun tadi telah memutuskan mengikuti kumpulan pakcik. Tanpa mereka, saya seperti putus asa. Saya pasti kumpulan pakcik itu sekarang memikirkan cara untuk ke Dataran. Dengan niat yang baik, saya berpatah balik untuk membantu. Malangkah, mereka tiada. Mungkin sudah berpatah balik dengan komuter. Atau mungkin juga mahu melarikan diri dari pandangan polis yang ramai berpusing-pusing di ruang legar.

Hujan masih gerimis tatkala Putra LRT meluncur keluar dari KL Sentral. Dari jauh kelihatan ramai orang serba kuning berjalan ramai-ramai ke satu arah. Jalan banyak yang kosong ditutup. Saya semakin gelisah didalam tren. Ada juga penumpang yang bising-bising. Mungkin juga mahu turut serta. Sebaik berhenti di Pasar Seni, saya membuat keputusan penting dalam hidup. Saya mahu turut serta. Beberapa orang berlari-lari keluar, saya mengekori. Mengeluarkan kamera, saya snap beberapa gambar dari stesen. Sebelum keluar dari stesen, beberapa orang polis memerhati dengan mata yang tajam. Rupanya laluan keluar stesen ditutup. Pintu yang kecil sahaja dibuka dengan polis berdiri dikiri kanan memerhati. Saya tenangkan hati. Debaran tak henti-henti. Saya berdoa supaya ini keputusan yang betul. Keputusan penting dalam hidup.

*Berlari-lari dibawah gerimis

Di bawah laluan LRT, ramai berlari-lari mengekori kumpulan yang berjalan kaki. Hujan tetap gerimis. Saya bagaikan wartawan dengan bebas snap gambar sesuka hati. Wajah-wajah mereka cukup ceria, biarpun masing-masing tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini. Baik atau buruk. Tenang atau kacau.

* Suasana di bawah LRT Pasar Seni

Helikopter berlegar-legar dan terbang rendah. Dari Pasar Seni, kumpulan membelok melalui bangunan KWSG menuju ke Istana Negara. Ada laluan yang ditutup. Kereta yang degil mahu lalu terperangkap dengan kesesakan. Yang berbaju merah menjadi raja di jalan. Mereka mengawal lalu lintas. Yang berbaju kuning berbangga dengan perhimpunan. Hati saya tetap dengan debaran. Sememangnya ini keputusan paling penting pernah saya buat dalam hidup. Dan buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Biarpun sepuluh tahun dahulu saya pernah turun sekali di Jalan TAR, namun kali ini saya lebih berani kerana seorang diri.

* Agak-agak cukup tak 100,000.00

Sambil berjalan saya ambil gambar. Jam ditangan menunjukkan pukul 2.30 petang. Lagak seorang wartawan, dengan sesuka hati menghalakan lensa kamera ke sana ke mari. Hampir tiba di Istana Negara, laluan tersekat. FRU sudah menanti dengan trak berderet-deret. Mereka sudah berbaris dihadapan trak menghalang laluan. Yang berbaju merah pula membuat rantai manusia menghalang yang berbaju kuning dari meneruskan perjalanan menghampiri Istana, atau setidak-tidaknnya menghampiri FRU. Satu tindakan yang bijak dari mengelak di provokasi.

* Mata memerhati, melihat, mengecam

Dengan kamera saya mara kehadapan. Mereka yang dikiri kanan menjerit mengulangi kata-kata pemimpin yang berucap silih berganti. Mat Sabu, Hadi Awang dan Anwar Ibrahim - tokoh yang dirindui, kemudian keluar juga kata keramatnya – reformasi. Saya mara setapak ke setapak kehadapan. Wajah FRU yang bengis, pemuda berbaju merah dan kuning, wartawan yang memanjat, helikopter yang terbang rendah, polis diatas trak, dan mereka yang berhimpun – katakanlah apa sahaja – semua menjadi mangsa kamera. Gerimis sebelum berhenti. Mereka yang datang berhimpun semakin ramai. Tetapi tiada apa yang boleh dirisaukan. Semuanya aman sahaja. Cuma suara yang kedengaran keras.

* Trak merah beratur menghalang laluan

Selepas satu jam berhimpun, seorang polis diatas trak mengeluarkan amaran: “Saya ketua Polis daerah Brickfields. Saya mengarahkan anda semua beredar dalam masa lima minit.” Dia mengulangi dua kali.

*Lima minit sahaja!

Apa tindakan oleh mereka yang berhimpun? Cukup gentlemen. Mereka terus sahaja berundur. “Marilah kita pulang, undur-undur,” kata mereka. Untuk beredar (tidak tahu ke mana) tidak mengambil masa yang lama. Saya mahu menjadi orang terakhir menanti apa sahaja yang akan berlaku selepas itu. Kalau disiram pun, pasti saya orang yang pertama basah. Tetapi saya tidak dibenarkan menunggu. Pemuda berbaju merah mengarahkan saya beredar. “Jangan duduk sini kak. Kena pergi,” nasihatnya. Saya akur. Tetapi yang saya kagumi, diatas jalan, tidak ada (langsung) sampah. Katakan apa sahaja – botol, plastik, suratkhabar – tiada. Bersih. Memang ini perhimpunan yang bersih.

* Perhimpunan bersih. Lihat sahaja jalannya yang bersih

Sebaik mereka beredar, ada lagi satu kumpulan yang baru tiba. Mungkin mahu buat perhimpunan kedua. Tetapi segera diminta beredar oleh para pemuda berbaju merah yang begitu sopan menegur. Sejuk sedikit hati mendengar arahan lembut mereka. Mereka semua – yang berbaju kuning ini – beredar, mungkin juga pulang. Saya mengandaikan semuanya sudah berakhir. Ada yang singgah di Masjid Negara untuk solat. Ada juga menyambung di perkarangan masjid. Tetapi dimana-mana, polis dan FRU menanti.

* Di hadapan stesen keretapi lama

Di Dataran Merdeka, FRU berbaris panjang. Lagak mereka mahu menghambat dan menangkap sesiapa sahaja yang lalu dan menghumban mereka kedalam trak. Tenang sahaja kami beredar. Dari situ, mereka bersepahan. Ada yang terus pulang menaiki Putra dan Star LRT di Masjid Jamek. Ada yang singgah solat di Masjid Jamek. Yang lain-lain mungkin menunggu sahaja apa sahaja yang akan berlaku selepas ini.

* Menuju Dataran Merdeka

Ahamdulillah, segalanya berakhir dengan baik. Tiba sahaja di Masjid Jamek, adik memberitahu dia sudah tiba. Sangka saya di Pudu, rupanya di Hentian Duta. Oh, dengan dia yang buta tentang Kuala Lumpur, saya jadi kalut seketika. Jauh juga mahu kesana. Kalau nak pergi pun, teksi sahaja yang ada. Saya menelefon Angah, memintanya kesana melihat-lihat adiknya. Dia menggunakan motor dari pejabatnya di Mid Valley, jadi tidaklah sukar. Mujurlah panjang akal. Kemudian saya minta adik naik teksi dan turun di Pasar Seni. “Teksi tak masuk Pasar Seni. Turun di KL Sentral,” katanya. Lalu kami bertemu disana. Dari KL Sentral, saya naik komuter turun di UKM Bangi. Saya terbayang suasana tadi. Hanya kamera menjadi saksi. Dengan kaki yang lenguh kerana jauh berjalan (tapi seronok!), komuter pula merangkak tersengguk-sengguk, saya terlepas menghadiri majlis jamuan syarikat apabila tiba di stesen tepat jam 8 malam.

Begitulah perjalanan saya hari ini. Satu perjalanan yang panjang. Satu pengalaman yang membanggakan. Saya ulangi sekai lagi, buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Apa sahaja orang lain kata selepas ini, atau persepsi masyarakat mahu pun kutukan dari mana-mana pemimpin, mata saya adalah saksi atas segala kebenaran yang berlaku. Tiada apa-apa. Cuma berhimpun dengan aman dan pulang selepas diarahkan. Jadi, apa bising-bising?


Nota: Berita yang keluar selepas itu memang tidak memihak kepada perhimpunan ini. Memang ada yang disiram di Masjid Jamek, memang ada yang ditangkap, memang ada yang di provok, tetapi pada sisi lainnya, gelombang kuning ini diharap mampu memberi kesedaran tentang pilihanraya yang adil dan bersih. Undi adalah rahsia, dan ia adalah hak kita sebagai warganegara.

Jumaat, November 02, 2007

Rumah jauh, rumah dekat

Ada lagi satu kisah menarik sempena Hari Raya ini (masih lagi dalam mood raya, jadi kisah raya jugalah yang keluar). Selalu kita dengar mengenai pasangan suami isteri yang mengeluh bila tiba Hari Raya. Maksudnya, yang kahwin dengan orang jauh. Peru fikir nak balik rumah siapa dahulu atau giliran siapa tahun ini atau bajet perbelanjaan yang melambung atau merancang perjalanan pulang supaya terselamat dari kesesakan (walaupun nampak mustahil).

Staff saya yang seorang ini berkahwin dengan seorang jejaka yang tinggal tidak jauh dari rumah ibu bapanya. Dengan erti kata lain, kampung mereka berdekatan. Bila balik kampung, perjalanannya sehala, tak perlu pening kepala fikir lain-lain perkara.

Tetapi yang ini lain pula halnya. Beberapa kali dia merungut, kerana katanya 'belum puas raya rumah mak sendiri, mak dia dah telefon nak ajak berjalan ke rumah saudara-mara.' Kalau tidak pun dia akan cerita yang 'raya pertama belum sampai zohor, tetapi emaknya dah ajak makan tengahari di rumah.' Atau pun versi lainnya 'mentang-mentang rumah dekat, kalau rasa nak makan tengahari rumah mak dia, start sahaja kereta dah sampai.' Atau 'asyik pergi rumah mak dia sahaja. Kalau rumah mak kita ni, panas sangat punggungnya. Asyik ajak balik sahaja!'

Isk, macam-macam hal. Kahwin yang dekat salah, yang jauh pun salah. Tetapi, ada juga kawan-kawan yang gatal menyebut mahu berkahwin dengan anak yatim piatu. Alasannya mudah - tak perlu balik rumah mak mertua ketika raya. Tetapi, saya pasti alasan lain pula keluar nanti - tak ada peluanglah nampaknya beraya rumah mak mertua atau bersalam-salaman dengan mak mertua.

Macam-macam hal!

Satu bantal, dua 'mazhab'

Minggu lalu, saya beraya di rumah seorang teman yang dahulunya berkahwin di tahun akhir pengajian. Waktu itu tepat waktu makan tengahari. Dia yang baru pulang dari kenduri terkocoh-kocoh masak untuk kami yang datang tanpa memberitahu. Sambil membebel dia memasak, walaupun kami menghalang.

Sambil makan, pelbagai cerita keluar. Si isteri sibuk bercerita tentang rumah, gaji, kerja, CTOS, business, bayaran balik pinjaman pelajaran, harga barang, dan topik yang paling menarik - Hari Raya. Suaminya pula kadang-kadang menambah. Tetapi saya kira dialog dibawah ini - antara suami dan isteri tersebut - paling menarik. Untuk makluman, si suami lulusan Business Administration. Isterinya pula Economics.

Suami: Cerita pasal ni sampai tahun depan pun tak hilang di ulang-ulang (Ketika itu si isteri sibuk menceritakan duit-duit yang berterbangan hasil sikap suami yang terlalu berlembut dengan orang lain)
Isteri: Isk..memanglah. Kita ni orang Ekonomi (Economics), mestilah tahu berapa nak bajet, berapa nak belanja. Duit tu banyak, bukannya sikit.
Suami: Eh, kita ni orang Business (Business Administration). Hilang sikit tak apa, adalah gantinya nanti. Kalau hilang satu dapat sepuluh. Hilang sepuluh, dapat seratus.

Saya yang mendengar tersenyum sahaja. Beginilah agaknya ragam suami isteri lain-lain 'mazhab'. Mencari titik pertemuan itu bukan mudah. Masanya juga bukanlah sekejap. Orang kata kena ada give and take.

Perjalanan pulang kerumah, saya terfikirkan dialog pasangan tersebut. Sebab itu kadangkala, isteri di gelar Finance Minister supaya si suami tidak boros berbelanja atau berbelanja sesuka hati. Tetapi, itupun jika dapat isteri yang pandai merancang belanja. Jika tidak, jawatan bertukar jantinalah.

Jumaat, Oktober 26, 2007

Kiriman jauh

Rabu 28 Ramadhan 1428H.

Jam di dashboard menunjukkan waktu Maghrib semakin hampir. Suasana bertambah gelap. Kiri dan kanan hanya pokok getah teguh berdiri. Sesekali berselisih kereta dan lori, terasa silau menangkap kuat pada mata. Pantas sekali mulut menyumpah, berselang seli dengan istighfar. Hujan lebat mencurah. Masalahnya, curahannya tepat pada cermin depan. Wiper pada tahap maksimum nyata tidak membantu mempermudah perjalanan. Beberapa kali kereta memasuki lorong bertentangan. Hampir juga terbabas. Saya menarik nafas dan sabarkan diri. 10 minit lagi tibalah ke kampung. Apa yang dikejarkan sangat dalam lebat begini.

Tiba di kampung bila masing-masing baru sahaja bangun dari meja makan. Tidaklah terlalu lewat mengejar hidangan. Saya berlegar-legar melihat juadah berbuka. Adik menghampiri dan menghulur satu bungkusan. Dari siapa pula?

Saya belek kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang. Ada alamat ringkas. Hati terdetik sesuatu, bibir menguntum senyum. Bungkusan dibuka. Ada sekeping poskad dan dua buah buku. Kiriman Aidilfitri teman dari seberang Tambak - teman yang tidak pernah (langsung) saya temui. Sekadar berbalas e-mel.

Kiriman ini sungguh berharga. Jika biasanya kita menerima kiriman kad raya, tetapi pemberian buku ini adalah hadiah yang nikmatnya melampaui segala-galanya. Sejak hari itu, buku ini menemani Aidilfitri tahun ini yang hambar dan tidak meriah. Pesanan pada kad dan autograf pada buku begitu besar ertinya. Inilah hikmah persahabatan. Tidak bertemu muka, berkenalan dari jauh dan berhubungan secara maya bukanlah alasan untuk membataskan silaturrahim. Dunia ini tiada sempadannya.

Terima kasih diatas hadiah ini. Saya mahu menghabiskan bacaannya seberapa segera. E-mel anda mengispirasikan saya dalam menghadapi dunia yang serba-serba ini.

Terima kasih, sahabat!

Rabu, Oktober 24, 2007

Malas

Sejak memulakan kerja selepas cuti panjang Aidilfitri, saya merasa sungguh berat untuk menambah sebarang entri di sini. Malas, malas dan malas. Memang malas.

Maaflah ya. Angin tak berapa baik sejak akhir-akhir ini. Hujan saban petang pula.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Alhamdulillah

Alhamdulillah, berita yang sedap untuk di dengar di penghujung Ramadhan.

Akhirnya, penantian lebih setahun Tee Hui Yi, 14, berakhir semalam apabila beliau selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) . Jantung barunya didermakan oleh seorang remaja Melayu berusia 15 tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Ipoh. Remaja ini bukan sahaja mendermakan jantungm tetapi juga paru-paru kepada seorang pesakit lain.

Memetik laporan dari Utusan Malaysia, bapa si penderma berkata, “Kalau anak saya itu dikebumikan bersama semua organnya, dia tidak mungkin dapat memberi manfaat kepada orang lain. Inilah sumbangan terakhirnya. Saya juga bersetuju mendermakan organ anak lelaki saya kerana dia adalah anugerah Allah dan kini tiba giliran saya mengembalikan pemberian Allah itu sebagai tanda syukur.”

“Apa yang kami minta daripada pihak hospital ialah supaya tidak memberitahu identiti anak kami. Saya harap pihak hospital dan orang ramai menghormati permintaan kami ini,” katanya.

Alhamdulillah. Kita masih punya ruang rupanya untuk berbakti biarpun di jemput pulang. Memberi kehidupan baru kepada orang lain seolah-olah 'menyambungkan' hayatnya di dunia. Apabila tiba giliran kita nanti, adakah kita sanggup melakukan perkara yang sama? Sudahkah mendaftar sebagai penderma organ?


.

Khamis, Oktober 04, 2007

Apa Yang Berlaku 10 Tahun Sebelum Merdeka?

Menanti waktu berbuka, saya menjelajah dari satu blog ke satu blog bagi meregangkan penat otak. Dalam penjelajahan, saya terjumpa blog yang amat menarik - 10 Tahun Sebelum Merdeka. Namanya sendiri sudah menarik jemari menekan link kesana.

Tahniah. Satu blog yang hebat!


.

Selasa, Oktober 02, 2007

Bita terkini

"Kenaikan tol akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri."

(Baca: Kadar tol tidak akan dinaikkan pada tahun ini)

"Harga gas (minyak?) tidak akan dinaikkan pada tahun ini."

(Baca: Harga gas tidak akan dinaikkan pada tahun ini)


*Bang, tahun ini berbaki 2 bulan. Tak lama sangat. 2 bulan lagi naiklah tu.

Aha!

Satu perkara yang paling best dan sangat membanggakan diri saya sendiri pada hari ini ialah - saya dah tahu cara nak post video dari youtube. Tetapi bukan insert seperti insert gambar. Saya sendiri tak tahu nak buat macamana. Cari pada help tak berjaya. Nak tanya sesiapa dipejabat tetapi semua buta blog!

Lalu saya pergi ke View>Page Source. Copy html code dan paste pada posting page. Berjaya! Hasilnya ialah pada entri dibawah. Tetapi, bagaimana mahu buang jarak dibawah video? Ada sesiapa yang boleh beri tunjuk ajar percuma?

Ok, sambung kerja.

:-)




Entri kecewa yang benar-benar kecewa






Video ini memang menarik. Tak kiralah ia dibuat oleh orang luar atau yang mahu memburukkan kita, tetapi agak-agak, kalau rakyat tanah air ini yang buat, ada ke media yang sudi nak publish?

Menjelang pilihanraya kampus, saya teringat zaman ketika belajar. Berkempen hingga ke pagi, menyiapkan serta menggantung poster, flyers, risalah kempen, goodies kepada pemangkah, pamplet calon, dan pelbagai lagi perkara yang diperlukan untuk perang saraf. Psyc War.

Ketika itu, saya belum didedahkan lagi dengan suasana politik luar. Semua keadaan kelihatan bersih dan suci. Pada saya kempen kami ketika itu 'kempen budak-budak yang baru belajar. Salah betul tak ada siapa yang sudi nak tunjukkan.'

Bila pecah reformasi 1998, kemudian pilihanraya umum 1999, mata saya dicelikkan dengan suasana politik yang begitu kotor dan busuk. Barulah saya sedar, inilah rupanya cara sebenar orang berpolitik. Perang sarafnya lagi dahsyat. Entah apa-apa. Kemudian mereka masuk ke kampus dengan alasan 'mahu membersihkan kampus dari sebarang parti politik' Tetapi mereka yang masuk kampus dengan lambang parti tu untuk apa?

Sejak itu, pilihanraya kampus menjadi sebusuk dan sekotor pilihanraya yang diluar sana. Mereka melabel perkumpulan pelajar dengan pelbagai nama. Media menggelar mereka proaspirasi dan propembangkang. Para pelajar diwajibkan mengundi. Siapa tak turun, adalah habuannya. Insentif juga diberi. Top-up juga pernah dijadikan hadiah mengabui mata pelajar. Ini bukan cerita kosong. Benar-benar berlaku.

Kampus semakin lesu. Pelajar semakin selesa pergi kelas dan balik hostel. Dikelas, pensyarah tanya, pensyarah juga yang menjawab. Bila demam peperiksaan, suasana hostel bagai diserang garuda. Masing-masing sibuk membaca dan menghafal. Tidak ada sesiapa yang boleh buat bising. Bila mendaftar subjek, semua berebut-rebut nak ambil dengan pensyarah yang baik bagi markah. Bila dah dapat, kelas selalu ponteng. Alasannya mudah. Overslept. Assignment tiada kualiti. Tambahan pula dengan zaman internet yang memudahkan kerja, copy & paste sahajalah dari pelbagai sumber.

Pelajar sarjana mengelak mahu buat tesis, kerana susah dan banyak kerja. Mahu ambil exam sahaja, mudah. Menjadi mahasiswa ibarat menjadi pelajar sekolah. Bezanya suasana dan tempat. Kaedah tetap sama - masuk kelas, baca dan hafal. Masing-masing selesa menganga untuk disuap. Kadangkala nak telan pun kena paksa.

Sebarang aktiviti dilakukan tiada sambutan. Majlis ceramah atu forum yang membincangkan perkara serius atau isu semasa negara dipandang sepi. Kehadiran cuma pihak komiti atau seorang dua pelajar prihatin. Selalu penceramah merasa kecewa. Tidak kurang pula universiti terpalit nama.

Video klip ini ada benarnya. Mulut mahasiswa dizip dengan AUKU dan ISA. Jangan sesiapa yang berani bersuara. Saya pernah marahkan seorang roommate dahulu yang bila tiada kelas akan tidur sahaja. Lesu. Tetapi marah saya marah dalam diam. Marah yang tak boleh bercakap, kerana telah dizip oleh AUKU. Saya pula ditempelaknya nanti.

Entri ini entri kecewa. Kalau dulu lesu, sekarang tak tahulah apa gelaran yang patutu diberi. Tangan terikat, mulut terkunci. Menggolek kena, digolek pun kena. Saya bukanlah bagus sangat dalam hal ini. Setidak-tidaknya mata saya celik, akal saya boleh berfikir dan tidak dibodohkan oleh orang yang mahu mempergunakan saya sewenangnya. Saya tahu dimana saya berdiri. Setidak-tidaknya.

Tidak adil saya membayangkan dahulu dengan sekarang. Tetapi untuk melihat bagaimana keadaan negara akan datang, lihatlah kepada generasi mudanya sekarang ini.

Di mana kita mahu berdiri?

:-(

Jumaat, September 28, 2007

Apa di sebalik Ayam

Saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa sejak akhir-akhir ini ayam menjadi isu yang cukup hangat. Saya pasti, ia bukan hanya kerana harga. Pasti ada sebab lain. Dan sebagai orang yang sejak sebulan dua ketinggalan dengan isu semasa, saya bertanya kepada senior saya - seorang peguam - sewaktu mengakses para pelajar dalam practical assignment Ahad lalu.

Sebagai seorang peguam, dia menganalisis satu persatu isu-isu yang membawa kepada kenaikan harga ayam. Maksudnya sejak harga gula dan minyak naik di pasaran. Dia menerangkan kepada saya satu persatu. Akhirnya saya sedar bahawa isu harga ayam ini bukan sahaja tentang harga dan bekalan ayam. Ia lebih dari itu. Malah, jika diteliti halus-halus, ia menyentuh tentang perkauman. Mungkin ada yang perasan dan mungkin ada yang cuba tutup mata tidak mahu memanjangkan isu ini. Tetapi kita kita sebagai pengguna jika tidak bertindak, percayalah, ia lebih dari apa isu harga. Dan ia sebenarnya benar-benar menggugat.

Ini seterusnya menyebabkan saya hampir seminggu menulis tentang ayam serta memaksa saya membuka kembali kitab kuning ekonomi saya. Segala teori ekonomi, falsafah ekonomi dan apa sahaja yang berkaitan ekonomi yang telah saya tinggalkan hampir lima tahun yang lalu kembali segar di ruang ingatan. Malangnya saya belum punya masa untuk menaip.

Kebetulan juga, Berita Minggu dan Metro Ahad lalu menghidangkan artikel menarik tentang ayam dan kuasa pengguna. Dan bermula dari entri ini, saya akan mencari dan mengupas isui ini dengan lebih halus, Insya Allah.



Di Luar Lingkaran: Memanfaat kuasa beli orang Melayu

Sumber: Berita Minggu, Ahad, 23 September 2007

Bersama Johan Jaaffar
zulujj@tm.net.my

Berbilion ringgit di tangan kita wajar digunakan untuk membantu Bumiputera

SEHINGGA rencana ini ditulis, sebuah kompleks beli-belah yang sangat popular di Lembah Klang masih belum mempersiapkan premisnya dengan perhiasan sambutan bulan puasa dan hari raya. Tahun lalu hal yang sama berlaku sehinggalah sebuah akhbar berbahasa Melayu mendedahkan kealpaan kompleks itu. Malah bukan sebuah dua kompleks beli-belah popular yang mengambil sikap endah tak endah dalam soal seperti itu.

Pada tahun lalu alasan yang diberikan ialah 'terlepas pandang' dan pihak pengurusannya meminta maaf. Tahun ini, sekiranya tidak dikejutkan dengan laporan media, kompleks ini akan terlupa kehadiran 13.5 juta orang Melayu di negara ini. Hakikat bahawa hari raya ialah perayaan istimewa bagi lebih 16.8 juta orang Islam di negara ini. Terlepas perhatian lagi? Atau kesombongan dek kejayaan dan populariti?

Sebenarnya banyak pihak yang mengambil mudah kuasa beli di tangan orang Melayu. Termasuk orang Melayu sendiri. Samalah halnya dengan syarikat raksasa dunia yang melupakan kuasa beli umat Islam yang berjumlah 1.3 bilion orang itu.

Apabila kebencian terhadap Amerika Syarikat (AS) ekoran serangan ke atas Afghanistan dan Iraq, banyak syarikat milik orang Islam mengeluarkan barang yang memberikan saingan hebat pada jenama terkenal dari AS.

Umat Islam di beberapa negara memboikot barang dari Barat sebaliknya membeli barang keluaran syarikat dan negara Muslim. Hal ini berlaku juga ke atas syarikat dari negara yang akhbarnya menyiarkan kartun yang menghina Rasulullah tidak lama dulu.

Sayangnya umat Islam dan negara Islam tidak pernah bersatu dalam soal pembelian barang dan penggunaan perkhidmatan. Bayangkan apa yang boleh dibuat oleh upaya beli umat Islam yang jumlahnya seramai rakyat negara China sekiranya digunakan sebagai kuasa tawar-menawar (bargaining power). Itu belum lagi hasil bumi dari negara Islam.

Di Malaysia kita tahu hakikat bahawa orang Melayu mewakili lebih 60 peratus rakyat negara ini. Dalam bahasa ekonomi jumlah menjadi penentu. Satu waktu dulu memang lebih 60 peratus orang Melayu berada pada paras kemiskinan.

Hari ini jumlah itu hanya tinggal lima peratus. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah mengubah orang Melayu keseluruhannya. Mobiliti sosial berlaku dengan cara yang luar biasa. Kemunculan golongan kelas menengah Melayu cukup memberangsangkan.

Demikian juga sudah lahir masyarakat perniagaan dan perusahaan Bumiputera (MPPB) serta pertambahan besar bilangan orang kaya baru (OKB) dan jutawan serta billionaire. Rata-rata, bukan faktor nombor saja yang menentukan kekuatan Melayu dari segi daya beli, tetapi kualiti manusianya juga.

Kajian yang dibuat oleh syarikat media mengenai pola pembelian di negara ini jelas menunjukkan bahawa kuasa beli Melayu tidak boleh dipandang ringan. Sasaran iklan terhadap golongan profesional, kelas menengah dan mereka yang makin gaji di kalangan orang Melayu memang amat ketara.

Malah sebuah stesen TV berbayar mulai menyedari bahawa potensi langganan di kalangan orang Melayu akan bertambah pada waktu akan datang, satu-satunya segmen yang sebenarnya punya potensi cukup besar. Oleh yang demikian mereka mulai menyediakan lebih banyak saluran khas untuk orang Melayu dan Muslim.

Seperti biasa, orang Melayu sendiri mengambil mudah kekuatan itu. Mungkin secara tradisinya begitu. Di sebuah kampung Melayu, kedai runcit milik orang Melayu sendiri jarang yang berjaya. Rancangan untuk mengadakan kedai secara koperasi juga tidak selalunya berhasil.

Sebenarnya ada satu aspek yang lebih positif mengenai kuasa beli orang Melayu ini. Kuasa itu boleh membantu pertambahan bilangan peniaga dan usahawan Melayu. Hari ini realitinya ialah tidak ada networking atau rangkaian yang baik di kalangan peniaga Melayu.

Gabungan atau badan perniagaan Melayu tidak banyak memberikan impak pada struktur dan amalan niaga. Kaum lain menggunakan sistem rangkaian dan memanfaatkan gabungan atau badan perniagaan (chambers of commerce atau guilds) dengan cara yang cukup berkesan. Malah melalui rangkaian inilah gerak kerja, strategi, bantuan dan sokongan dapat diwujudkan.

Tetapi yang menjadi masalah pokoknya ialah pembeli Melayu sendiri. Samalah halnya kedai runcit Melayu tidak boleh maju di dalam kampung Melayu, banyak syarikat Melayu gagal kerana tidak ada sokongan pembeli atau pengguna Melayu.

Lebih separuh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hari ini sama ada dimiliki, dikuasai, dipimpin, diurus atau sebahagian sahamnya di tangan orang Melayu. Tetapi sejauh mana manfaatnya jatuh pada syarikat Melayu yang lain yang sepatutnya dapat tumpahan kejayaan mereka?

Berapa banyakkah daripada syarikat ini yang mengiklan dalam akhbar Melayu? Berapa banyak pula yang membantu syarikat Melayu melalui sistem sokongan, francais, anak angkat atau bantuan modal?

Berapa banyak pula yang membantu anak Melayu yang menganggur? Malah golongan yang paling banyak menyuarakan keresahan mengenai kualiti graduan Melayu ialah pimpinan korporat Melayu sendiri.

Syarikat bukan Melayu secara diam-diam melatih anak kaum mereka. Graduan dari disiplin manapun boleh dibentuk menjadi pekerja yang baik sekiranya diberikan peluang. Ijazah hanya kertas yang menandakan seseorang tamat belajar. Kertas itu harus diberi nilai tambah melalui latihan dan pendedahan di tempat kerja.

Bagi saya rungutan mengenai kualiti graduan yang masuk ke pasaran kerja hanya alasan untuk tidak mahu membantu. Sistem yang melahirkan graduan tidak berubah sejak lama dulu. Sepatutnya mereka dibantu, terutama yang menganggur.

Kerajaan pernah menyediakan Skim Mahasiswa Menganggur satu ketika dulu. Kenapa tidak sektor swasta? Sekiranya setiap tahun seribu syarikat milik Melayu mengambil 10 graduan Melayu secara senyap-senyap dan melatih mereka dengan kemahiran dan ketrampilan yang diperlukan, akan lahir 10,000 calon profesional Melayu yang berkualiti setiap tahun.

Orang Melayu yang berjaya terlalu banyak menghabiskan masa mengkritik sikap dan nilai bangsa sendiri, sistem pendidikan negara dan dasar kerajaan sedangkan mereka lahir daripada sistem yang sama.

Kalaulah tenaga memburuk-burukkan bangsa sendiri dapat diagih-agihkan pada usaha positif untuk membantu anak bangsa alangkah hebatnya. Saya tidak percaya graduan dari kaum lain tidak ada masalah penguasaan bahasa Inggeris atau kemahiran asas, tapi mereka selalu diterima bekerja tanpa riuh rendah. Kita? Tidak ada yang baik daripada telur sesangkar.

Kenapa tidak juruskan tenaga pada usaha membina kekuatan bersama? Kenapa tidak mulakan dengan kuasa beli yang ada pada kita? Kenapa tidak gunakan kuasa itu untuk membantu perusahaan bangsa sendiri? Ini bukan perkauman. Orang Melayu tidak pernah mengambil sikap sedemikian. Orang Melayu membeli kain kafanpun dari kedai kaum lain sejak sekian lama. Mereka tidak memilih kaum dalam membuat keputusan membeli dan menggunakan perkhidmatan. Kaum lain sudah berjaya kerana sokongan kuasa beli Melayu.

Kenapa tidak berikan juga perhatian pada syarikat peruncitan, perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu yang banyaknya hidup segan mati tak mahu?

Banyak orang menyatakan perusahaan atau syarikat Melayu tidak akan mampu bersaing dengan orang lain. Memang begitulah nampaknya realiti hari ini. Kita pergi ke kedai foto, kedai tayar, kedai bateri, bengkel kereta dan kedai runcit kaum lain selama ini. Tidak ada salahnya berbuat demikian. Tetapi syarikat orang Melayu juga perlu hidup.

Kita punya jumlah. Jumlah ialah kuasa. Kita boleh memilih untuk membeli atau menggunakan perkhidmatan dari sesiapapun. Ini demokrasi dalam sistem kapitalis.

Apa salahnya sebahagian daripada berbilion ringgit kuasa beli di tangan kita itu digunakan untuk membantu perusahaan dan perniagaan orang Melayu sendiri? Kalau bukan kita, siapa yang akan membantu mereka?


.

Selasa, September 25, 2007

Cerpen - Monolog Diari Tujuh Hari

* Mungkin agak lewat untuk saya jadikan cerpen ini sebagai entri seperti yang saya war-warkan tempohari. Tetapi untuk yang menanti ia di siarkan, terutamanya Abang Kassim Selamat, semoga cerpen ini menjadi teladan buat kita.


CERPEN: MONOLOG DIARI TUJUH HARI

WAYAR yang mencucuki tangan kiriku ini terasa sungguh melemaskan. Kadangkala terasa denyutan di hujung jarumnya yang menusuk masuk ke dalam nadi. Terasa juga cairan halus dan sejuk yang melewatinya perlahan-lahan sekaligus membantu tubuhku kembali sempurna berfungsi.

Begitulah keadaanku sejak tujuh hari yang lalu. Tujuh hari yang sungguh menyiksakan. Hari pertama dan kedua aku boleh bertahan lagi kerana aku sekadar tidur tidak bermaya. Namun setelah hari ketiga, keempat dan seterusnya, aku berasa sangat kosong. Terlantar begini di atas katil, aku menjadi tidak bermaya dengan suasana yang hambar dan hampa. Tubuhku panas hingga tidak mampu befikir apa.

Tetapi saat ini, selepas tujuh hari, aku semakin gelisah. Berbaring resah bagaikan berada di neraka biarpun bidadarinya manis melempar senyum di sebalik seragam putih mereka. Sedikit sebanyak melegakan, tetapi tidak mampu menyembuhkan. Aku memandang dan merenung syiling. Satu renungan kosong tanpa makna, tanpa kata. Kipas berputar kadang perlahan kadang laju. Ia mengikut sahaja kerenah penghuni katil yang lain yang selalunya cerewet yang macam-macam.


Tangan yang sesekali kebas hanya mampu ke gerakkan sedikit kerana terhalang oleh wayar yang seolah menyambung nyawaku. Aku cuba juga untuk mengiring ke kiri dan ke kanan namun tidak mampu bertahan lama. Badanku yang panas dan kepala yang pusing tidak membenarkan aku berkeadaan begitu.


Semuanya hanya kerana seekor nyamuk. Haiwan kecil yang selalu di pandang remeh olehku. Ya, memang ia kecil pada saiz tetapi besar dengan rahmat. Tubuhku yang sebegini besar dan gagah tumbang hanya dengan gigitannya. Sesuatu yang sukar dipercaya oleh fikiran normal manusia. Namun, itu yang terjadi padaku, sehingga terlantar sebegini dengan puluhan botol air menyambung hayat.


Gigitan rahmat, fikirku. Hakikatnya, ia adalah askar Tuhan yang datang memberi ingatan kecil yang selalu di pandang sinis. Kita selalu lupa akan tanggungjawab yang Tuhan serahkan buat kita kepada makhluknya yang lain. Kita dikurnia kelebihan akal, namun acap kali kita lupa kelebihan itu sebenarnya untuk kebaikan semua. Kepada haiwan, kepada tumbuhan dan kepada semua yang ada menghuni bumi ini bersama kita.


Aku imbaskan kembali perkara yang berlaku pada diriku dan apa yang aku lakukan kepada maklukNya. Senang sekali andai aku lihat kepada diri sendiri. Sedala apa yang dikurni kepadaku amat nikmat. Aku punya keluarga dan kerjaya yang bukan calang-calang. Rumah yang tersergam indah dan segala kenikmatan dunia aku syukuri. Namun aku tidak kongsikan kenikmatan itu bersama makluknya yang lain. Rumah ku indah, namun aku gagal menjadikan ia sebagai syurga. Ada sahaja sampah yang bersepahan. Rumput menyesakkan mata.


Alasanku mudah – aku sibuk dengan urusan dunia. Matahari belum muncul saat aku tiba di pejabat dan selalu pulang bersama bulan. Hujung minggu ku bawa anak-anak berlibur dan bergembira. Memang hakikatnya aku ayah yang baik dan sempurna, namun yang lainnya aku tidak peduli. Lantas, inilah kejutan yang aku terima. Ah, perit sungguh dugaan ini. Peringatan kecil tuhan dari makhluknya yang kecil ini ternyata merimaskan. Bagaimanalah agaknya jika aku di duga denga perkara yang lebih besar?


Aku toleh ke katil sebelah. Seorang pakcik tua ditemani isterinya sejak tiga hari yang lalu. Dia bergilir menjaga bersama anaknya. Segala kerenah cerewet pakcik di turuti. Adakala ditengking dan dimaki macam-macam, namun mereka yang menjaga diam sahaja. Agaknya begitulah ragam melayan orang sakit. Aku kuteringat kepada anak dan isteriku. Andai kasih sayang saat ini kurang aku kongsikan, apakah ada simpati pada diri mereka membantuku saat aku terlantar seperti pakcik itu kelak. Sanggupkan mereka berhadapan dengan kerenahku nanti. Oh, terasa insaf yang teramat sangat.


Bosan berbaring, aku cuba bangun. Sekuang-kurangnya aku mahu menyandarkan diri beralaskan bantal. Namun, sebaik aku cuba mendirikan badan, kepala terasa pusing. Aku cuba bertahan, dan cuba perlahan-lahan. Kali ini aku mahu buang perasaan pusing. Aku mahu seolah tidak merasa apa-apa. Nyata usaha untuk aku duduk sahaja sudah memakan masa. Cuba mengelakkan pusing kepala yang kadangkala membawa gelap pada mata.


Aku menarik nafas lega sambil membetulkan bantal yang tersandar dibelakang badan. Pagi masih awal. Jururawat baru sahaja berganti shift dari malam ke pagi. Yang baru masuk senyum tetapi berbau kesuraman. Yang mahu pulang mencuka tetapi wajah penuh riang. Selepas ini mereka melakukan rutin harian kepadaku dan kepada penghuni katil yang lain. Suhu badanku di periksa dan tekanan darah diambil lalu direkodkan. Sebarang turun naik akan dikhabarkan kepada doktor yang akan datang jam 10 nanti.


Aku mengeluh perlahan. Baru tujuh hari aku sudah merasakan suasana yang cukup membosankan. Tetapi ia menginsafkan. Memang benar mereka berkata, kita harus sentiasa untuk sebarang kemungkinan. Mungkin hari ini kita sihat, esok sakit terlantar di hospital, atau menerima kematian orang yang tersayang atau kita sendiri yang tiba-tiba pergi. Semuanya berlaku sekelip mata. Tiada siapa boleh duga. Sekali lagi, seperti nyamuk yang menjadi askar kecilNya, aku redha lagi atas ketentuannya.


Aku bersyukur diberi ingatan ini saat aku masih bernyawa. Andai aku tumbang terus dan tidak dibangunkan, sudah pasti aku tidak berkesempatan bertemu yang tersayang, memohon kemaafan, melangsaikan segala hutang, menyelesaikan segala keperluan dan meninggalkan pesan kepada yang ditinggalkan. Ah, aku sungguh terganggu. Memang aku terlupa akan hal ini. Mengejar dunia meninggalkan alam akhir. Walhal itulah alam hakiki tempat yang akan kuhuni bersama manusia yang lain. Mengapa mudah aku lupa akan hal ini? Sungguh aku insaf ini.


Tidak dinafi, aku berusaha menjadi umatnya yang sempurna. Memang aku bapa yang baik, pekerja yang cemerlang, suami yang menjadi idaman. Tetapi apakah aku mampu menjadi umatnya yang dinginkan? Jika pada pandangan manusia aku lulus cemerlang, apakah pada pandangan tuhan aku ini berjaya? Mudah sekali untukku menghakimkan diri sendiri bahawa aku ini sesungguhnya gagal menjadi hambanya yang penuh sifat taqwa dan iman.


Aku membetulkan letak punggung dan dan sandar belakang. Terasa lenguh pula berkeadaan begini. Aku teringat kepada kisah yang selalu aku dengar. Mereka yang hilang nikmat dunia, hidup bersandar kepada bantuan insan lain. Yang masih bernyawa tetapi ibarat mati sebelum ajal. Ya, bagaimana agaknya hidup mereka yang lumpuh, diserang penyakit yang tidak membolehkan mereka berganjak dari katil seperti yang ku alami ini. Tentu hidup mereka lebih tersiksa jiwa dan batin.


Pada tahap yang hebat, nyawa bergantung pada alat bantuan, makan bersuap dan serba serbi keperluan memerlukan bantuan. Bagaimana yang hilang anggota tangan atau hilang deria penglihatan misalnya. Ah, tidak dapat aku gambarkan bagaimana perassan mereka. Aku, sekurang-kurangnya boleh bergerak, cukup segala anggota dan memang boleh sembuh. Tetapi bagaimana mereka yang telah ditakdirkan sepanjang hayat diatas katil. Sungguh menyiksakan bukan?


Aku lirikkan mata kearah jam. Masih awal untuk anak dan isteriku datang melawat. Sesekali aku rindu kepada mereka. Beginilah agaknya perasaan mereka tatkala aku dihantar berkursus beberapa hari atau minggu ke tempat yang jauh. Komitmenku pada kerja kadangkala melampaui tangungjawab kepada keluarga. Alasanku mudah – isteriku tidak bekerja boleh menggalas amanah itu. Apa guna berkahwin jika tidak boleh berkongsi tanggungjawab. Nyata ini pandangan yang sungguh khilaf. Mereka adalah permata hidupku, menyinari kehidupan yang seharusnya kami gembirai bersama. Tidak sepatutnya aku melepaskan semudah itu. Anak-anak dan isteri mempunyai hak untuk disayangi dan dikasihi, seperti mana hak yang patut aku beri kepada Allah dan juga makhluk lain.


Jururawat datang membawa sarapan. Entah apa pula yang mereka hidangkan hari ini. Sudah nasibku ke hospital kerajaan, makanan tidaklah semewah mana. Ah, untuk apa pula aku berkira. Jika mahu layanan yang baik, pergi sahaja ke hospital swasta, lebih nikmat. Namun kewangan pula terhad. Sekali lagi aku terpempan. Selama ini aku kerja untuk apa ya, andainya aku masuk hospital pun mencari yang murah. Kemana perginya wang yang aku terima hujung bulan? Simpananku? Apakah aku boros? Oh, aku mampu bersusah bekerja tetapi untuk kepentingan diri sendiri aku pinggirkan. Apakah ini patut?


Seharusnya aku yang sedang berakit ke hulu dan berenang ke ketepian ini membawa bekalan yang cukup. Terlintas dihatiku andai tebing yang ku hampiri itu tidak berjaya ku dekati. Bagaimana jika aku lemas didalamnya, tidak mampu berenang hingga ketepian. Sisa-sialah sudah segala yang aku bersama saat berenang dan berakit. Ah, harta yang aku kumpul itu untuk apa jika tidak aku gunakan saat susah. Aku yang berkemampuan ini seeloknya tidak perlu berada disini. Hak ini untuk mereka yang benar-benar tiada apa. Mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan kemudahan yang lebih nikmat. Seharusnya aku bukan disini jika dilihat kepada pendapatanku. Mengapa tiada perasaan belasku kepada mereka?


Aku cuba merapati juadah. Mee goreng nampak lazat dan menyelerakan. Perutku memang lapar namun tekakku tidak terasa untuk menelan. Pelbagai perkara bermain dalam laut fikirku sejak terlantar disini. Banyak perkara aku ketepikan. Banyak kenikmatanNya yang aku buang dan kesempatan yang tidak aku hirau. Pelbagai perkara bercampur menjadikan aku kacau.


Kupandang kearah katil bertentangan denganku. Semalam, katil itu dihuni oleh seorang anak muda berusia pertengahan 30-an. Sekarang, katil itu kosong kerana penghuninya pulang menemui penciptaNya. Baru sehari aku berkenalan, hari ini dia tiada. Dia cukup baik tetapi kelihatan lemah diserang virus yang telah bersarang sekian lama dalam tubuh.bsekali lagi aku terpempan. Walau kita kelihatan sihat, Jibril tidak akan bertangguh bila tiba saatnya untuk kita. Sekali lagi aku insaf.


Saat ini, sudah tengahari. Waktu untuk melawat dibuka. Anak dan isteriku datang seperti hari yang lalu dengan gembira. Tambahan pula doktor mengkhabarkan aku boleh pulang. Hatiku hiba bercampur girang. Akan ku tinggalkan wad yang memberiku macam-macam, pesakit yang menyedarkan, tidur malam yang tidak menyeyakkan, makanan yang tidak mengenyangkan. Didalam kereta anak-anak gembira menunjuk itu ini. Isteriku juga berwajah ceria. Mungkin teman hidupnya yang kembali ini menghilangkan sebahagian beban yang digalas beberapa hari.


Memang aku kembali. Kali ini sebagai seorang hamba, insan, suami, bapa dan pekerja yang baru. Tujuh hari yang lalu mengajarku macam-macam. Memberitahu kepadaku pelbagai perkara. Secara senyap, aku menghimpun janji kepada mereka.


Azan zohor sayup-sayup kedengaran dari tingkap kereta yang terdedah luas. Sudah tujuh hari aku tidak berkemampuan menghadap Allah. Tetapi hari ini, aku berjanji aku akan bersama menyedarkan mereka tentang kehidupan. Buang segala sampah sarap, bersihkan longkang, cuci segala kotoran, bersihkan lalang yang melangit dihalaman, buang segala lopak dan sumber takungan air. Berbakti kepada manusia dan makluknya, berkongsi rezeki saat hidup masih bererti, menghadap tuhan pada bukan pada waktu yang penting sahaja, dan belajar untuk hidup dengan indah dan seringkas yang boleh.




* Bila dah keluar di DS, barulah perasan banyak yang lompang!


.