Khamis, April 26, 2007

Buku : Seteguh Karang


Saya pernah mendegar nama novel ini ketika zaman persekolahan dahulu serta nama penulisnya sekali, Tuan Faridah Syed Abdullah. Jika tidak silap, Tuan Faridah saat itu aktif berkarya (dimana pula beliau sekarang ini?). Walaupun begitu, saya tidak pernah berkesempatan membacanya.

Awal tahun 2006, saya menemui buku ini di rumah seorang kawan. Kebetulan adiknya mengambil SPM dan buku ini menjadi buku wajib dalam pakej KOMSASnya. Dan saya bila nampak buku, langsung tidak keluar bilik. Namun kecewa sedikit kerana tidak dapat menghabiskan pembacaan hingga ke titik akhir.

Sejak itu, saya sering tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada Awanis atau Anis yang menjadi teraju utama novel ini. Bagaimanakah kesudahannya ketika menjalani sesi praktikal dan apakah dia berjaya melepasi tempoh itu, apatah lagi dia dibuli oleh En. Johari yang merupakan penyelia praktikalnya.

Setiap kali ke kedai buku, saya cuba mencari novel Seteguh Karang dengan harapan saya dapat tahu pengakhir kisah Anis. Alhamdulillah, saya jumpa juga novel ini dicelahan buku lama di sebuah kedai buku yang 'hidup segan mati tak mahu' di pekan Bahau.

Anis merupakan seorang gadis yang cekal dan tabah. Hatinya teguh dan keras seperti karang. Ada kalanya dia menjadi seorang yang keras kepala, namun dia juga seorang perempuan. Bak kata orang, keras-keras kerak nasi bila di rendam lembut juga. Cerita ini memberikan kekuatan watak yang berbeza dari kebanyakan novel yang melambak di pasaran. Kalau kit abaca novel sekarang, wataknya digambarkan sebagai seorang yang lemah, mudah menangis, sering bersedih, mudah patah semangat, mudah putus asa dan seribu satu perangai manusia yang semuanya nak dimuatkan sekaligus. Ia memberi imej buruk terhadap penulis dan tidak memberi kesan mendalam terhadap pembacaan.

Dalam diam saya kagum dengan Anis. Saya dapat lihat betapa cekalnya dia mengharungi hidup tanpa ibu bapa yang meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Kakaknya, Maysarah pula bersikap pemurung dan hidup dalam dunia sendiri selepas kemalangan itu. Bersama adik angkat, Anita, mereka bertiga mengharungi kehidupan. Sebagai pelajar Kursus Diploma Perladangan di ITM Kangar, Anis perlu menjalani sesi praktikal setiap kali cuti semester. Ketika praktikal di Terengganu, dia di buli oleh En Johari secukupnya. Saya dapat membayangkan betapa susahnya dia yang berpeluh-peluh cuba menjatuhkan setandan kelapa sawit menggunakan chop (alat yang digunakan memetik/menjatuhkan buah) kerana saya tahu betapa beratnya chop yang bertangkai besi.

Novel ini ditulis dengan menarik dan ayatnya mudah difahami tanpa ada maksud terselindung. Pelukisan alamnya juga jelas dan saya dapat membayangkan betapa luasnya ladang kelapa sawit, kesusahan Anis menghidupkan motor, kehidupannya dengan keluarga 'angkat' , keadaan bas yang dinaiki dan suasana pejabat yang tidak begitu menyenangkan.

Kisah ini berlaku 15-20 tahun yang lalu dimana perhubungan sekadar melalui telefon awam dan surat-menyurat. Tiada internet, e-mel, blog, website, SMS atau telefon bimbit. Ia seolah membawa saya kembali ke zaman pengajian saya dahulu. Saya pasti, sesiapa yang hidup dizaman sekarang tidak mampu membayangkan kehidupan tanpa gajet seperti itu.

Saya sering berharap agar ada kesinambungan Seteguh Karang. Saya ingin tahu apa yang berlaku kepada Anis sebaik sahaja tamat praktikal, apa yang berlaku kepada Anita setelah mengetahui yang dia anak angkat dan keadaan kak Maysarah selepas kembali kepada keadaan asal. Namun saya pasti adalah lebih baik menimbulkan satu tanda tanya yang besar kepada pembaca dan diputuskan sahaja cerita ini tanpa ada kesudahannya.



Hujan

i)
Pagi tadi di Bandar Baru Bangi hujan. Tidak pasti jam berapa hujan mula turun, tetapi bila saya mencelikkan mata awal pagi, bumi sudah pun basah dan angin sejuk menerjah masuk melalui tingkap.

Hujan adalah saat yang paling saya suka. Tiap kali hujan, saya akan buka tingkap luas-luas membiarkan angin menderu masuk ke bilik dan ke rumah. Saya akan berdiri melihat titis hujan dari awan yang memutih. Saya akan memikirkan kehidupan hujan ini - dari awan ia jatuh satu persatu menimpa daun, atap, kereta, masuk kelongkang dan mengalir terus ke parit atau sungai dan terus ke laut. Kemudian akan disejat semula ke awan dan membentuk hujan tatkala awan tidak mampu menampungnya. Proses ini berlaku berulang kali, seperti mana yang cikgu ceritakan ketika sekolah dahulu. Lantas lagu berkenaan hujan yang sering kami nyanyikan ketika kecil dahulu terngiang kembali di telinga walaupun saya sudah ingat-ingat lupa akan liriknya.

Ada kalanya saya menadah tangan, merasa betapa sejuknya air dari cucur atap. Saya tarik nafas dalam-dalam dan sesekali bersyukur kepada-Nya yang masih memberi saya peluang untuk bernafas lagi hari ini. Andainya hujan menjadi lebat, saya menadah tangan memohon doa, kerana doa saat hujan lebat dimakbulkan Allah. Insya Allah.

ii)
Bagi sesetengah orang, hujan sebegini sangat enak untuk disambung semula tidur atau sekadar bermalasan dikatil, apatah lagi ketika hari cuti. Tetapi saya tidak gemar menarik selimut atau bangun selepas matahari keluar. Saya akan jalani kehidupan seperti biasa dan melakukan aktiviti yang sama juga. Tiada apa yang berbeza dengan hari yang lain.

iii)
Nostalgia saya tentang hujan banyak sebenarnya, terutama sekali ketika kecil. Atap rumah kami yang sentiasa bocor menyebabkan kami kelam kabut bila hujan sebab perlu berulang alik ke dapur mencapai mangkuk atau baldi untuk menadah air yang menitis. Bila lebat sedikit, lagi teruk kerana bilik saya dimasuki air melalui celahan bumbung dan dinding kayu. Oleh kerana abah sendiri yang ubahsuai rumah, dengan ilmu pertukangannya yang tidak seberapa, maka kebocoran disana sini itu sesuatu yang dijangka. Bila ada masa yang sesuai, abah akan repair semula mana-mana yang bocor. Maklum sahajalah, bajet kecil. Jadi ubah sendiri sahaja. Tambahan pula rumah Felda ini sudah cukup kukuh, cuma sambungannya sahaja yang perlu diperbetulkan.

iv)
Ada orang merungut bila hujan turun. Menganggu perancangan, tidak dapat main bola, atau baju di ampaian kebasahan. Ada yang menjadi korban dan ada yang derita dengan hujan. Walau apa yang kita asakan terhadap hujan, ingatlah ia juga nikmat yang diberi-Nya kepada kita. Tambahan pula dengan cuaca sekarang yang tidak menentu - paginya panas terik dan petangnya hujan lebat serta ribut. Biarlah ia turun menyejukkan bumi kita yang semakin tua ini.

Cuti..cuti...

Masalah utama saya apabila cuti ialah tidak tahu kemana harus pergi (selain mengemas rumah).
Apa lagi aktiviti yang menarik dilakukan?

Seperti hari ini... lalu saya ambil keputusan untuk duduk-duduk sahaja dipejabat. Mujurlah ada kunci pejabat.


Aktiviti lain yang selalu saya lakukan ialah - pergi ke kedai buku. Kalau tidak membeli, sekadar membelek dan speed reading dah memadai untuk mencerna minda.

Selamat bercuti!

Selasa, April 24, 2007

Hujung minggu

Ahad yang lalu (22 April), merupakan antara hari yang menggembirakan dalam hidup saya. Sebenarnya, saya perlu ke Shah Alam atas urusan kerja. Namun orang yang dinanti tidak muncul-muncul, lalu selepas 2 panggilan telefon tidak berjawab dan satu SMS tiada balasan, saya mengambil keputusan memecut ke perpustakaan Shah Alam. Kebetulan saya pulang ke kampung dan sekadar mengenakan pakaian santai (baju t-shirt syarikat). Dengan perasaan ragu-ragu dan ingat tak ingat akan jalan ke sana (jarang ke Shah Alam), saya memandu menerusi exit KLIA dan keluar di Seafield. Alhamdulillah, dalam ingat tak ingat jalan, saya sampai tanpa perlu berpatah balik atau sesat jalan. Syukurlah.

Tujuan sebenar saya ialah singgah di Perpustakaan Shah Alam bagi melihat (atau membeli) Bazaar Lambak Buku yang diadakan. Kebetulan juga hari itu ada Seminar Pecinta Buku Malaysia 2007. Saya tidak berhajat untuk menyertai Seminar, sekadar melihat buku yang dilambakkan dan melihat semurah mana harga yang ditawarkan. Tetapi melihatkan kesungguhan seorang kenalan yang sanggup turun dari Ipoh menaiki bas jam 2 pagi dengan keletihan selepas kursus di Langkawi, saya rasa terpanggil untuk menyertainya. Oleh kerana saya tiba tepat waktu makan, maka saya makan dahulu sebelum mendaftar :-)

Sebelum itu, sempat juga saya borong 14 buah buku pada harga kurang RM 50.00. Senyum saya melebar sungguh melihatkan himpunan buku yang saya beli. Nanti saya akan ceritakan senarai buku ini. Saya sebenarnya mensasarkan untuk memborong buku sempena Pesta Buku yang berlangsung pada 27 April - 6 Mei ini. Malah, saya telah membuat simpanan yang banyak serta berjimat buat beberapa bulan dan menahan diri dari membeli buku sebelum berlangsungnya Pesta Buku ini. Namun, saya tertewas semasa Bazaar Lambak Buku. Tak mengapalah, buku juga yang saya beli.

Tarikan utama saya menyertai Seminar ini sebenarnya ialah untuk mendengar pembentangan kertas kerja dari En Jiwarasa serta berkenalan dengannya. Beliau merupakan seorang yang banyak membaca dan sering mengikuti perkembangan dunia buku. Pantang sahaja ada terbitan terbaru, En JR (Seperti yang selalu saya gelarinya) akan terus membuat ulasan di dalam blognya. Saya kagum dengan tahap pembacaan beliau yang tidak terhad kepada bacaan umum dan politik, malah menyentuh juga perihal agama, fiksyen novel dan pelbagai lagi. Namun saya kecewa kerana sesi beliau dianjakkan ke sebelah pagi.

Walaupun kecewa, saya tetapkan hati untuk bertemu muka walaupun sekejap. Dan saya cuma dapat bercakap dengan En JR kurang dari satu minit - sekadar memperkenalkan diri dan bergegas meninggalkan dewan seminar lebih awal. Kalau nak diikutkan, seminar apabila masuk sesi petang, semangatnya berkurangan, mengantuk dan menjadi tidak seronok. Tambahan pula saya perlu menemui seorang kawan yang sudah 5 tahun tidak berjumpa. Sebenarnya sewaktu melewati jalan menuju ke Perpusatakaan, saya terpandang papan tanda 'Kota Kemuning' yang lantas mengingatkan saya kepada seorang sahabat ini yang, apabila kami bertemu petang itu rancak berbual itu ini hinggalah malam tiba.

Begitulah diari saya hujung minggu yang lalu.

Selasa, April 17, 2007

Buku : Tugu oleh Hasan Ali

Judul: Tugu
Penulis: Hasan Ali
Terbitan: 1973 (Cetakan Kedua. Cetakan Pertama pada 1965)
Penerbit: Penerbitan Toko Buku Abbas Bandung, Melaka
Dicetak oleh: Al-Ahmadian Press, Singapura
Mukasurat: 200
Watak : Karim (watak utama - seorang SC), Hajjah Bedah, Pak Jalil, Samad, Najelah, Mak Tijah, Kopral salim, Kadir, Sarjan Manan
Latar belakang: 1955-56 dan 1961 (selepas kemerdekaan)

*Nantikan ulasan saya selanjutnya, dan mengapa saya teringin sekali mengulas novel lama ini...

Khamis, April 12, 2007

Nafasku tersekat

Cuba beri saya cara bagaimana mahu bernafas dengan lancar di pejabat tanpa tersekat atau bercampur dengan sesak dada dan sakit jiwa?

Perhatian: ini adalah situasi saya sendiri.

Pintu bilik saya dibuka sebelum jam 9.00 pagi (sekarang dah ada bilik sendiri!). Saya membiarkan ia dibuka luas supaya tidak terasa lemas duduk seorang diri didalam. Sebaik sahaja dibuka, seorang demi seorang datang 'menyerang.'

Satu
A: XA kata kalau tak dapat gaji dia hari ni dia tak nak masuk post.
Saya: Bagi ajelah
A: Duit pada awak!
Saya: Oh, lupa.

Dua
B: Budak yang kita tahan gaji dia dah ada kat depan. Dia nak gaji tu.
Saya: Bagi ajelah.
B: Duit pada awaklah!
Saya: Oh, lupa.
B: Tapi XB suruh awak pegang dulu duit tu. Dia nak interview dulu budak tu.
Saya: Bukan budak dah berhenti kerjakah?
B: Memanglah, tapi budak tu kes dadah. Nak kena interview dulu.
Saya: OK!

Tiga
C: Cik, Selamat pagi. Saya nak demand duit petrol.
Saya: Bukan dah dapatkah minggu lepas?
C: Minggu lepas tu bulan lepas punya. Bulan ni saya belum claim lagi.
Saya: Tunggu advance minggu depanlah.
C: Kereta tak berjalan cik. Nanti budak tak masuk post
Saya: %$#@!*&! (Dalam hati!)

Empat
D: Bila pengawal boleh dapat advance?
Saya: 15lah, macam biasa
D: 15 tu Ahadlah. Kamu kerja ke Ahad?
Saya: (Tengok kalendar). Isninlah, 16 hb.
D: Gaji Gurkha?
Saya: Isnin jugalah.
D: Tak boleh cepatkah? Sabtu?
Saya: Tanya akaunlah. Saya kira gaji sahaja.

Lima
E: Ini baki duit ecsort RM15.00
Saya: Terima kasih!

Enam
B: Saya dah siap buat demand advance. Nanti saya Skype awak.
Saya: OK!
B: Periksa semua tau.
Saya: OK!
B: Saya dah buat pecahan ikut cawangan siap semua.
Saya: OK!
B: (Diam)
Saya: Ok, hantar pada saya. Nanti saya periksa dan sign!

Tujuh
Akaun: (Bisik) XB tak boleh terima advance petrol sebab dia bukan operation lagi.
Saya: Dia buat apa sekarang?
Akaun: Security Audit
Saya: Kalau dia tanya nak cakap apa?
Akaun: Pandai-pandailah.

Situasi ini berlaku beberapa jam sebaik sahaja saya buka pintu. Akhirnya saya tutup pintu kerana 'lemas.'

F: Apasal kau tutup pintu? (jerit dari luar)
Saya: Aku pening. Orang semua datang mintak duit.
F: Hahahahaha!!!

Tetapi pintu tutup lima minit sahaja kerana mereka tetap berpusu-pusu masuk.

F: Apasal kau buka pintu? (jerit dari luar)
Saya: Aku pening orang keluar masuk. Buka terus sahajalah!.
F: Hahahahaha!!!

Perhatian: Saya bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Rabu, April 11, 2007

Belum lagi!


Saya tahu, sesiapa yang meyinggahi blog ini tertanya mengapa saya tidak mengemaskini atau menghantar entri terbaru.

Bukan sekadar pengunjung, saya sendiri asyik bertanya kepada diri sendiri bila agaknya saya boleh melakukannya. Mujur saya ada membuat 'simpanan' catatan yang boleh saya hantar sebagai entri pada bila-bila masa.

Namun kebelakangan ini, masa saya dicuri amat dan ruang waktu untuk sendiri juga terhad. Lalu saya dinasihati untuk memberi rehat kepada diri, jika tidak pun ambillah cuti bagi menenangkan fikiran, merehatkan diri bagi memberi hak kepada badan.

Kepada yang menyampaikan ingatan, terima kasih. Nantilah saya fikirkan, kerana untuk merancang rehat juga bukan perkara yang mudah.

Ingatan lalu

1)
Secara tiba-tiba saya teringatkan zaman kecil dahulu. Sebenarnya, kehidupan ketika kecil. Bermain, bermain dan bermain. Tiada siapa yang boleh menyangkal, itu antara saat nan indah dalam hidup. Zaman kecil adalah zaman tanpa ada apa-apa. Tiada apa yang mahu difikirkan. Bebas dari beban kerja, tiada masalah tentang hidup, tentang wang, tentang masa, tentang alam, tentang manusia.

Main itulah dunianya.

2)

Sejak saya sedar yang hidup ini tiada gear reverse, saya buat satu keputusan mutlak dalam hidup.

Setiap saat yang saya lalui akan saya nikmati sepenuhnya, hatta sedang minum teh sekali pun. Ia memang tidak boleh diundurkan. Masa berlalu sekali sahaja tiada pengulangan. Memang esok kita minum teh, lusa juga minum teh, tetapi masanya, detiknya, saatnya berbeza. Mungkin minum teh semasa hujan, satau ketika sedang sedih atau gembira bila minum bersama teman-teman. Peristiwa yang sama tapi suasana berbeza.

Setiap saat saya nikmati dengan sepenuhnya. Malah, saya tidak pernah berharap itu tidak akan berulang. Dan setiap yang berlalu itu saya kuburkan terus dari ruang ingatan. Begitu mudah saya melupakan. Ya, kerana tidak mahu peristiwa yang kadang melukakan itu menghantui perjalanan hari depan. Saya mahu melalui hari esok tanpa sebarang gangguan akan masa silam.

3)

Sebenarnya jika ditanya, saya mempunyai ingatan yang kurang terhadap masa silam. Ketika kecil, sekolah rendah mahupun menengah. Bukan kerana hilang ingatan atau tidak ingat, tetapi kerana saya tidak mahu mengingatinya.

Ada perbezaan antara lupa, tidak ingat dan tidak mahu mengingat. Mungkin kerana ada kenangan pahit sewaktu kecil yang menyebabkan saya tidak mahu ingat apa yang berlaku. Saya tidak pernah melupakan semuanya tetapi tidak mahu mengingatinya. Ia adalah satu cara terbaik baik menghilangkan ingatan lalu. Ternyata, bila mahu mengorek kembali ingatan, ia menjadi tugas yang sukar.

Kalau saya mahu melupakan, ia secara paksa disuruh pergi, dan kita secara paksa mahu melupakan. Tetapi jika dikosongkan fikiran dan jangan langsung ingat, ia akan beransur pergi dan terpadam dari ruang ingatan. Dengan sukarela.

4)

Cuma sejak akhir-akhir ini saya sering menimbas kembali ingatan. Cuba mengorek apa yang masih tinggal. Sukar sebenarnya, tetapi bila setiap hari saya renung kembali perjalanan hidup, banyak perkara menarik yang telah saya lupa. Saya ambil keputusan mencoretnya satu persatu biarpun memakan masa.

Sukar sebenarnya mencari kenangan yang telah pergi.