Rabu, Mei 30, 2007

Kekayaan adalah alat

Topik ini secara ringkas diterangkan oleh Pakdi dalam www.pakdi.net. Topik ringkas ini sebenarnya membuka mata saya akan sesuatu. Kebetulan, saya sedang membaca buku ‘Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya’ tulisan Aa Gym. Maka ada kolaborasi yang baik antara keduanya.

Kita selalu silap mengatakan bahawa kekayaan itu adalah matlamat hidup kita. Konsep kekayaan di sini dilihat dari segi material. Kita kerja keras kerana mahu dapat gaji yang lebih, dapat bonus yang besar supaya nanti boleh tukar kereta besar, beli rumah dan beli itu ini. Cari kerja sampingan supaya hujung bulan ada duit lebih untuk tukar handphone baru atau melancong. Setiap orang disini celik sahaja mata adalah untuk bekerja dan berusaha dengan harapan dapat duit lebih. Jadi kekayaan adalah matlamat kehidupan seharian mereka. Jika kekayaan yang dicari, maka kekayaan sahaja yang kita dapat. Sebab itu ramai orang yang kaya hatinya tidak tenang. Banyak kisah dimana rumah tangga mereka berantakan, anak diketepikan, keluarga bercerai berai, hidup tidak keruan. Ada juga yang kaya tetapi dikelilingi hutang, sama ada hutang kad kredit, rumah, kereta atau pelajaran. (Oleh kerana bank menggunakan istilah pinjaman, maka kita tidak sedar yang kita hidup penuh dengan hutang. Banyak kita berhutang sebenarnya, bukan setakat dengan bank tetapi juga dengan JPA, MARA dan PTPTN).

Pepatah lama ada mengatakan, besar periuk, besarlah (banyaklah) keraknya. Bila duit dalam poket banyak, gaya hidup setidaknya ingin diubah. Kereta kecil tukar yang besar. Rumah teres tukar ke banglo. Rumah flat naik ke kondo. Dulu boleh beli baju di Reject Shop atau Kedai Pakaian Hari-Hari, tetapi sekarang sudah berani masuk ke Isetan, The Mall atau Suria KLCC memilih Timberland, Cheetah atau Durban. Jam pula beli beratus ringgit tetapi waktu tidak juga ditepati.

Bila gaya hidup berubah, keperluan bertambah dan kemahuan membesar. Bagi memenuhi keinginan, maka perlu mencari lebih banyak wang supaya segala hajat tercapai. Ibarat menaiki sampan. Jika lubang yang ditebuk semakin banyak, sampan boleh tenggelam. Jika kita sendiri yang menebuk lalu menampal, mungkin boleh dimaafkan kerana ia untuk keperluan diri. Tetapi bagaimana pula jika yang menaiki sampan itu ramai dan setiap orang cuba menebuk setiap inci ruang yang ada. Maka terpaksalah diri sendiri bertungkus lumus menampal kebocoran di sana sini. Diri sendiri akhirnya penat. Jika mengalah, maka tenggelamlah sampannya. Lemaslah semua. Bagaimana kekayaan dijadikan alat, bukan matlamat?

Sebagai orang Islam, kita berkeyakinan tentang kewujudan alam lain sesudah berakhirnya dunia. Maka itu adalah matlamat kita sebenarnya. Maka jadikan kekayaan itu alat atau jambatan untuk ke sana. Dengan kata lain, seperti mengeluarkan zakat, bersedekah dan memberi derma. Ia adalah alat bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi juga dalam membangunkan masyarakat dan negara. Wang zakat diagihkan bagi menyiapkan prasarana ilmu (sekolah, pusat lathan, mengadakan kursus), bukan sekadar diberi kepada fakir miskin. Ia ibarat memberi sama ada pancing atau ikan kepada seseorang. Memberi sesuatu sama ada untuk diusahakan atau di suapkannya terus kedalam mulut dan tugasnya sekadar menelan.

Kekayaan itu digunakan bagi menjalankan perintah Allah supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Oleh itu kita dapat lihat bagaimana China digeruni kini kerana ia menjadi satu kuasa besar dalam ekonomi dunia. Kebanyakan pengusaha besar dunia memilih untuk membuka kilang pengeluarannya di China. Selain tenaga buruh yang murah, kuasa beli mereka juga besar kerana China mempunyai rakyat paling ramai di dunia. Oleh itu, tidak hairanlah kemana-mana kita pergi akan kelihatan satu komuniti China yang besar. Di Amerika ada Chinatown, begitu juga Australia. Makanan mereka juga dijual secara meluas, biarpun sekadar menjadi minoriti di bandar-bandar tertentu.

Tetapi kekayaan dalam Islam bukan sekadar dilihat dari segi material. Islam menghendaki kita seimbang dalam pelbagai perkara. Kekayaaan material harus diimbangi dengan rohani. Oleh itu, haruslah ada keseimbangan kekayaan material dengan akhlak dan ilmu. Dengan ilmu, kita tahu bagaimana mencari wang. Dengan akhlak, kita dihormati kerana sikap. Ketiga-tiganya menjadi alat untuk kita sampai ke sana dengan selamat. Aa Gym memberi contoh Bill Gates yang meninggalkan perniagaan Microsoft bagi menubuhkan Yayasan Gates-Melinda bersama isterinya. Begitu juga Warren Buffet. Inilah yang dtekankan dalam bab permulaan buku ini. Wah, saya baru mengulas bab permulaan nampaknya. Jadi sebelum saya meleret ke bahagian lain, eloklah saya meletakkan noktah dahulu.

Isnin, Mei 28, 2007

Buku : Cinta Hari-Hari Rusuhan 2

Cinta Hari-Hari Rusuhan sarat dengan kisah perjuangan mahasiswa di zaman 70-an. Sambil membaca, saya membayangkan watak-watak hidup dihadapan mata dengan semangat berkobar-kobar membantu golongan marhaen yang tertindas atas nama pembangunan dan rakus sang kapitalis. Mahasiswa memainkan peranan penting dan menjadi agen perubah. Mereka menyedarkan masyarakat tentang sesuatu isu, berdemonstrasi dan berkumpul dengan harapan suara dan permintaan mereka mendapat perhatian.
 
Berdemonstrasi dan berkumpul bukan jalan mudah tetapi ia memancing prihatin dan sokongan yang bukan sedikit. Pelajar dari UM bersama dengan kepimpinan pelajar yang sealiran dari UKM, USM, ITM dan beberapa institusi lain bergabung tenaga. Perjuangan mereka mengingatkan saya kepada zaman Reformasi hampir 10 tahun lalu. Oleh kerana turut sama terlibat, maka saya dapat melihat betapa anak muda yang penuh semangat ini berkobar-kobar menyatakan hasrat dan prinsip terhadap isu yang diperjuangkan. 
 
Lalu Jalan Pantai Baru, Jalan Bangsar, Jalan Travers, Padang Kelab Selangor dan Masjid Negara menjadi saksi kebangkitan. Laungan dan sorakan bercampur FRU, polis dan air pemedih mata. Ada yang ditangkap, ada yang meloloskan diri. Tetapi tiada seorang pun yang terlepas, kecuali Basri yang lari dari Kuala Lumpur ke Singapura kemudian ke Batam dan Sydney, menuju ke Paris dan langsung ke kota London.

Dua puluh tahun dia disitu. Ada cinta yang pergi, ada hati yang dibenci. Janji yang diikat terkubur oleh zaman. Basri dan Tengku Valizah masing-masing memendam rasa. Pengakhirnya tiada siapa yang salah, tetapi Basariah bukanlah seorang pengkhianat dan cuba menghubungkan dua kasih yang terpisah jauh.

Secara ringkas, Cinta Hari-Hari Rusuhan adalah kisah cinta pada hari-hari rusuhan. Selebihnya, bacalah sendiri. Tiada satu perkataan yang saya tinggalkan kerana setiap kata mengundang debar untuk saya meneruskan bacaan hingga ke noktah terakhir. Usai membaca, saya membandingkan 1974 dengan 1999. Dua zaman terpisah, dua dekad berlalu tetapi prinsip dan perjuangan tetap sama. Api 1974 cuba disemarakkan pada 1999 tetapi AUKU menekan dan menghalang. Mulut di tutup, tangan di ikat, kaki di halang. Suara tidak kedengaran. Akhirnya mahasiswa menjadi lesu.

Seperti kata FT dalam novel ini:
“Tiada siapa menyangka universiti akan kehilangan autonominya nanti”

Buku : Cinta Hari-Hari Rusuhan 1


Ahad tanpa aktiviti. Sengaja dikosongkan bagi memenuhi tuntutan diri. Seharian berkurung di bilik menelaah dan membereskan itu ini yang tertangguh sejak beberapa bulan memang mendamaikan. Beberapa buah novel tersusun sejak Pesta Buku menunggu untuk di hadam.

Cinta Hari-Hari Rusuhan sudah tersandar di almari sejak sebulan. Ambil. Belek. Ambil. Selak. Letak. 288 muka surat khatam menjelang Maghrib. Suatu rekod untuk diri.

Kesimpulan? Cinta Hari-Hari Rusuhan. Tentang cinta pada hari-hari rusuhan. Tentang perjuangan dan prinsip. Kisah benar? Mungkin ya, mungkin tidak. Demonstrasi pelajar. Rusuhan. Golongan marhaen. Demonstrasi Baling. Tun Razak. Operasi Mayang. Perjuangan mahasiswa. FRU. Air pemedih mata. Universiti Malaya. Paris. Sydney. London. Basri. Tengku Valizah. Basariah. Politik. Rasuah.

Ada persoalan, ada teka-teki. Seperti biasa, FT melontar pelbagai fakta untuk difikirkan. Memainkan perasaan dan emosi pembaca. Terlintas suasana 1998-99. Reformasi. Demonstrasi. Jalan TAR. Masjid Negara. FRU. AUKU. Air pemedih mata. Pilihanraya.

Sama ada cinta atau perjuangan, 1001 persoalan bermain dalam kepala. Lalu, apa yang harus saya ulas?


Sabtu, Mei 26, 2007

Platform

"Kita jadikan kerja kita sekarang sebagai platform," si A menghembuskan asap rokoknya ke kanan, bagi mengelak asap berlari ke mukanya, yang duduk di sisi kiri. Dia sudah berkali memberi amaran supaya tidak dihembuskan asap ke mukanya, atas alasan tidak mahu pendek umur.

"Platform? Apa maksud kau?" dia dengan rakus meratakan ABC yang tinggi menggunung. Menyedut, lalu diratakan lagi.

Si A menyedut lagi asap sambil cuba mencari analogi mudah.

"Macam orang memancing. Tujuannya ialah mendapatkan ikan." Dia berhenti menyedut kopi ais yang kekurangan ais.

"Kita juga memancing untuk dapatkan ikan, tapi bukan untuk makan," sambungnya.

"Kita memancing, tetapi ikan yang kita tangkap itu kita campakkan ke kolam sebelah. Macam-macam jenis ikan ada di situ. Kemudian kita besarkan, jadikan kolam memancing yang cantik. Kemudian bina taman permainan kanak-kanak di sebelahnya, atau restoran di sudut lain. Kemudian beli tanah dan buat lagi kolam pancing ikan, kemudian bina rumah dan sewakan. Kemudian buat kondominium, beli rumah kedai, besar dan besarkan lagi bisnes...."

Si A mengesat peluh yang mencurah. Nampak bersemangat dan teruja. Dia pula memandang dengan mata terbeliak.

"Oh, itu maksud platform rupanya..."

Dia yang baru mengenal dunia

"He has change a lot."

Begitulah antara kata yang singgah di telinga saya. Dan beberapa ayat lain selepas itu sekadar menggambarkan betapa dia sudah banyak berubah. Saya sedar sejak seminggu dua ini, sikapnya sering menjadi perbualan teman sekerja dalam diam. Memang mereka tidak menyebut nama, namun perbualan sentiasa terarah kepada dirinya yang sejak akhir-akhir ini seolah menunjuk kuasa.

"Aku dah bengang sangat dengan dia," seorang yang lain pula menambah. Saya, seperti selalu sekadar memasang telinga. "Buat arahan dan suka memerintah. Macam orang lain tidak tahu buat kerja. Memaksa dan mengugut pula," sambungnya yang merungut kerana terpaksa berkejar ke sana dan ke mari memenuhi tuntutannya yang tiada kesudahan.

Mujurlah awal sebelum segalanya berlaku, saya berkesempatan untuk keluar bersamanya atas urusan kerja. Saya berbual biasa dan seperti sesekali cuba mengorek itu ini darinya. Itu adalah sikap saya sendiri - lebih gemar mendekati sesorang dan mengenali hati budinya dari sekadar mendengar khabar yang di bawa oleh orang lain. Ada beberapa perkara yang diceritakannya yang menyebabkan terfikir bahawa ia menjadi penyebab kepada perubahannya sekarang.

Dia lulusan agama, seorang hafiz dari sebuah universiti di luar negara (bukan di wilayah Arab). Jadi, bila ada orang berkelulusan agama di pejabat, maka dia menjadi tempat rujukan itu dan ini. Tetapi sejak akhir-akhir ini dia rajin balik malam atas alasan melakukan security audit, menonton wayang dan berkaraoke. Ada juga beberapa perkara lain yang dilakukannya dan saya tidak tergamak menyatakannya di sini. Yang peliknya, dia dengan megah bercerita apa yang dilakukannya.

"Mula-mula dulu dia senyap sahaja. Sekarang dia banyak berubah," tegur seorang lagi sambil menggelengkan kepala.

"Mungkin agaknya dia baru mengenal dunia," balas saya. "Dan malangnya dia bertemu dan berkawan dengan orang yang salah," sambung saya. Itu antara kesimpulan yang dapat saya beri kepad Pengurus saya. Dia juga merasa terbeban kerana setiap hari ada sahaja yang mengadu masalah yang ditimbulkan oleh teman yang dikatakan bermasalah itu.

Ada juga yang cuba menegur secara halus. Namun tiap kali itu juga di balas dengan ayat Qur'an dan hadis yang menyebabkan orang lain terdiam. Ada kalanya dia cuba bergurau tentang amal ibadat yang dilakukan oleh orang kebanyakan tetapi ia sekadar mengundang perasaan benci di hati orang lain.

Saya tahu apa yang dicarinya, dan apa yang di impikannya berdasarkan apa yang diceritakan kepada saya tempohari. Nyata dalam megejar cita-cita, dia sanggup memaksa semua perkara lain dihalalkan. Saya ulangi, dia 'memaksa' semua perkara dihalalkan. Saya perlu mengambil langkah ini -menasihat dan menegur yang mungkin sekadar usaha ringan. Namun setidak-tidaknya, ia adalah satu permulaan bagi mengelakkan seorang teman terperangkap di jalan yang tidak sepatutnya. Sayang sekali jika seseorang yang berilmu lebih dari orang lain sepertinya tersilap langkah.

Rabu, Mei 23, 2007

Dengan hati atau perasaan

i)
Saat ini, saya terasa amat malas. Syarikat sedang mengadakan mesyuarat bulanan (bahagian operasi) dan saya tidak terlibat. Sebenarnya kalau nak masuk boleh, cuma malas nak menyibuk. Giliran saya pada jam 12.30, bahagian operasi juga, tetapi untuk special issue. Apa yang istimewanya, entahlah.

Entah mengapa saya terasa malas. Mungkin kerana hampir 3 minggu bertungkus lumus menyediakan laporan dan dokumen untuk mesyuarat hari ini, lalu tenaga dan semangat saya bagaikan sudah disedut sehabisnya dan digunakan hingga ke tahap maksimum. Bertungkus lumus hingga ke pagi. Pejabat seolah-olah mempunyai dua syif - malam dan siang, kerana ramai yang turut berkampung.

Oleh itu saya terasa malas, mengantuk dan tiada semangat. Apakah ia bermaksud saya harus berehat seketika? Tetapi rehat bagi saya, tetap juga memikir perihal kerja. Apatah lagi jika ada kerja yang masih tertangguh, juga mahu menyemak kerja orang lain yang diserahkan kepada saya. Itu belum lagi panggilan yang masuk. Sebainya, pergi berehat di kawasan yang tiada talian atau matikan sahaja sebarang alat perhubungan. Tetapi saya pasti, balik dari bercuti, akan ramai yang mengejar memohon penjelasan.


ii)
MD saya ketika mesyuarat kadang kala sempat menyampaikan tazkirah. Katanya, orang yang bekerja dengan hati dan perasaan itu boleh dibezakan melalui hasil kerjanya. Jika kita buat dengan hati, maka hasilnya nampak kemas, teratur, bersih, mudah difahami dan kelihatan profesional. Semua nampak sejuk dan selesa. Tetapi bila dibuat dengan perasaan, atau seperti dipaksa-paksa, maka hasil yang keluar juga seperti dipaksa-paksa. Dokumen comot, tidak kemas, tulisan yang berbeza font dan saiz, presentation yang kelam kabut, susunan muka surat yang tunggang terbalik, kiraan yang salah, dan semuanya serba tak kena. Hasilnya tidak memuaskan dan sekadar menimbulkan kemarahan orang yang membacanya.

Melakukan kerja dengan hati atau dengan perasaan memberi impak yang berbeza. Namun kita ini manusia yang ada perasaan, lebih-lebih lagi perempuan. Pelbagai perkara yang berlaku disekeliling perlu diambil tahu. Ada kalanya tempias juga di tempat kerja. Jadi, ia memberi kesan psikologi dan kadangkada mengganggu emosi kita.

Alhamdulillah, setakat hari ini, saya masih boleh mengimbangi antara keperluan kerja dan diri. Masih boleh datang awal dan balik lewat, datang hari Ahad atau mesyuarat di luar kawasan. Membantu staff yang lain menyiapkan kerja atau kadang kala mendengar keluhan mereka tentang sikap seorang dua yang enggan bekerja sama. Mungkin kerana kurang komitmen dan perhatian terhadap perkara lain, maka kerja adalah tanggungjawab utama.

Namun, seperti yang saya bincangkan dengan seorang staff semalam, kita sebagai pekerja tidak jauh perginya. Seeloknya ambillah sebanyak mana pengalaman disini dan berusahalah membangunkan diri supaya boleh menubuhkan syarikat sendiri. Sehinga bila mahu duduk di ketiak orang lain andai kita boleh bebas dan menikmati ganjaran yang lebih dengan titik peluh sendiri.

Bukan seorang dua berbisik mengatakan ini kepada saya. Dan ia seharusnya menjadi salah satu dari perancangan saya, perancangan masa depan. Cuma tidak pasti bila saat dan ketikanya. Apa yang perlua sekarang ialah berusaha dengan lebih gigih, bina hubungan dengan orang luar (build contact) dan timba ilmu sebanyak yang boleh. Kejayaan pasti pada mereka yang berusaha. Bukankah Allah itu Maha Adil?

Selasa, Mei 22, 2007

Menanam dan menuai

Kebelakangan ini saya terasa sungguh akan kekangan waktu yang semakin menghambat diri. Sejak dari awal pagi hingga ke petang dan kadang kala membawa ke malam (dan sekali sekala terbabas ke pagi), mata ini hanya menatap skrin laptop dan rehat seketika apabila perut merasa lapar atau tiba waktu menemui Tuhan.

Mahu rasanya saya bertapa di pejabat, membawa bersama tilam dan bantal dan tidur bertemankan laptop, fail, dokumen serta kerja-kerja yang tidak berkesudahan siapnya. Tidur pun sering diganggu dengan adengan di pejabat, kerja yang menanti, penggilan telefon atau temujanji yang tidak diduga. Semua hadir satu persatu membuatkan tidur menjadi kurang enak.

Bila saya duduk sejenak mengambil nafas, saya cuba berfikir dengan waras dan dengan mata hati. Jika inilah jalan yang telah saya pilih dan yang saya mahu, maka inilah antara cabaran yang harus saya galas untuk mencari yang lebih baik pada esok hari. Insya Allah, rezeki itu pasti pada orang yang berusaha. Allah itu Maha Adil. Rezeki tidak akan datang bergolek jika saya sekadar duduk diam.

Saya memujuk hati. Jika mahu saya menjadi seperti manusia biasa, usaha saya juga harus biasa-biasa. Pergi kerja pagi dan pulang tepat pada waktu. Tiada istilah OT atau kerja lebih masa. Tetapi jika saya memilih menjadi manusia luar biasa, maka usaha juga perlu luar biasa, lebih mantap dan hebat dari orang lain. Ganjaran yang menanti juga berbeza dan lebih menarik. Seharusnya usaha yang lebih itu setimpal dengan ganjaran yang bakal diterima. Itulah hukum karma.

Apa yang penting, saya tidak harus mengeluh. Apa yang ditanam hari ini, tuaian esok menjadi kayu pengukur. Cuma saya risau kerana waktu bersama Allah itu sekadar solat lima waktu sedangkan Dia yang memberi saya nyawa untuk terus bernafas dan menyambung kerja esok hari. Semoga saya dapat mencuri lebih waktu bersamanya, Insya Allah.