Jumaat, Jun 29, 2007

Cinta 1

Dzun Nun berkata:

Sesungguhnya apabila seorang mukmin beriman kepada Allah dan imannya kukuh, maka ia merasa takut kepada Allah.

Apabila ia merasa takut kepada Allah, maka dari rasa takut ini, ia akan merasakan kehebatan dan keagungan Allah. Dan bila rasa mengagungkan Allah ini sudah mantap, maka ia akan selalu taat kepadaNya.

Bila ia selalu mentaatiNya, maka akan timbullah pengharapannya. Jika ia berharap kepadaNya maka akan timbul rasa cinta.

Dan bila cinta ini telah kukuh, maka akan timbullah rasa rindu. Bila telah timbul rasa rindu, maka timbullah rasa tenang.

Bila perasaannya selalu tenang dan tenteram, maka sama ada siang mahupun malam, sama ada dalam rahsia mahupun terang-terangan, ia akan selalu merasa nikmat.

Khamis, Jun 28, 2007

Duit

Kadang kala kita cuba mengelak tetapi memang payah. Ada sahaja yang datang cuba menggoda biarpun kita cuba melawan.

+ Kau jangan lupa masukkan duit dalam akaun orang ni. Sepatutnya sebelum hujung bulan.
- (Buat-buat lupa) Siapa? Duit apa?
+ RM 300 yang dah approved masa mesyuarat tempohari.
- Oh, duit rasuah tu ya...
+ (Serba salah) Itu bukan duit rasuahlah. Orang tu tak nak, tapi kita yang nak bagi sebagai saguhati
- Beza sangatkah? Cakap sahajalah rasuah..

Ada juga yang cuba mendapatkan kepastian sama ada ia betul atau salah. Maka ramai juga yang tidak bertauliah cuba mengeluarkan fatwa

+ Rasa-rasanya bila majikan buat macam tu, kita yang jadi pekerja syarikatnya bersalah atau tidak?
- Maksudnya?
+ Rasa-rasanya gaji kita ni halal atau tak?
- Kalau kita tak buat, orang lain akan buat juga.
+ Cuba kita elak dari buat
- Kita tak akan mudah dapat kontrak. Syarikat pula gulung tikar
+ Jadi, halalkah?
- (Angkat bahu) Tepuk dada, tanya iman.

Apa yang boleh dilakukan saat kaki dan tangan terikat? Doa sahaja belum cukup. Setidak-tidaknya, berusahalah agar tidak menjadi barah.

Allahu Akhbar!!

Rabu, Jun 27, 2007

Bulan Hati



bulan hati


bulan terang mengambang separuh

setengah lagi di celah malam

hatiku tenang menjadi separuh
setengah lagi di celah kelam


bandar baru bangi
24 jun 2007

Masuk Keluar Masuk

Minggu lalu boleh di katakan antara yang paling kelam kabut di pejabat. Receptionist yang baru 3 bulan bekerja berhenti 24 jam kerana menerima tawaran sebagai kerani di Bukit Aman. Pegawai Akaun pula pada hari Isnin tiba-tiba mahu berhenti kerja kerana merajuk dan tidak tahan asyik kena marah. Dan yang lebih dahsyat, Credit Control Executive yang kami gelar Along bergaduh, bertekak dan memekik-mekik pada hari Jumaat dan terus balik rumah. Walhal belum dua bulan bekerja.

Mungkin ini antara kejutan yang perlu saya lalui. Pegawai keluar masuk sesuka hati. Selepas elok di ajar itu ini, terus lari meninggalkan kami terkapai-kapai.

Aduhai...

Rabu, Jun 20, 2007

Pesanan


Catatan ringkas Faisal Tehrani di muka hadapan Bila Tuhan Berbicara:

"Norziati, semoga tabah berjuang dalam dakwah penulisan"

(Pesanan ringkas yang cukup dalam maknanya.
Jawapan saya tiap kali memandang catatan ini -Insya Allah)

Sabtu, Jun 16, 2007

Antara menulis dan menaip

'Antara menulis dan menaip kita lebih pantas jika menaip kerana ia selari dengan pemikiran (kelajuan otak)'

Saya tidak ingat siapa yang menuturkan kata-kata ini tetapi bila menulis sesuatu dengan tangan, hasilnya akan lebih tersusun dan nampak jelas kesannya. Kelajuan tangan menulis adalah lebih kurang sama dengan kelajuan otak berfikir, lalu segala isi yang ingin dikeluarkan terhasil di atas kertas.

Jika menaip, kelajuan huruf yang di taip tidak selari dengan kelajuan otak berfikir. Mungkin agaknya daya fikir otak terpecah dua - mengarahkan jejari menekan abjad dan juga menitipkan ilham. Lalu banyak idea yag ada terkeluar tanpa sempat di catatkan. Mungkin itulah sebabnya mengapa penulis terdahulu seperti SN A Samad Said memilih untuk menulis dengan tangan berbanding menaip. Malah tulisan Pak Samad juga kelihatan ada seninya.


Saya kadangkala senang berada di hadapan monitor dan kadang kala apabila malas, sekadar menconteng buku-buku atau lembaran kertas yang sehingga kini bersepahan di atas rak, di dalam fail dan juga beg. Tiap kali mengemas, kertas-kertas ini di temui kembali, maka bertambahlah idea. Cuma kadang kala menulis dengan tangan ini menyebabkan banyak kerja tergendala kerana seoalah-olah menyebabkan diri perlu buat kerja dua kali - tulis dan taip. Namun kebaikannya ialah, apabila menaip saya akan dapat buat dua kerja sekaligus - mengedit karya dan menghasilkan idea yang lain sekaligus mencambahkan beberapa hasil yang baru.

* Gambar: Diari Pak Samad yang diambil dari laman web Wira Bukit

Khamis, Jun 07, 2007

Tahniah Pak Lah


Tahniah kepada Pak Lah. Rakyat Malaysia dapat First Lady. Keadaannya lebih kurang sama dengan rakyat Perak sewaktu Dr Raja Nazrin belum berpunya.

Tetapi kata-kata Pak Lah ini yang membuatkan hati saya tersentuh:
Secara jujur saya katakan, sayang saya terhadap Endon tetap kuat. Tetapi saya percaya Tuhan mencipta banyak ruang dalam sanubari kita bagi berlainan orang untuk disayangi. Kita boleh sayangi ibu, anak, isteri, cucu, adik tetapi kita tidak dapat bandingkan kasih kita kepada ibu dengan kasih kepada isteri. Jeanne adalah satu daripadanya... itu adalah kelebihan Allah. Dia mencipta keupayaan untuk kita menyayangi dan menjalin hubungan.
Semoga Pak Lah berbahagia hingga ke akhir hayat.