Khamis, Ogos 30, 2007

Malaysia, Salam Ulangtahun Kemerdekaan Ke-50

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

* Dimana saya? Camping sehingga Ahad di Hutan Lipur Lentang!
:-)

Ada Apa Dengan Bola

Sebelum

+ Jom tengok bola malam ni. Final!
- Tiket?
+ Minta xxx beli. Dia di Shah Alam, bukan?


Semasa

- Mana ni? Orang dah ramai. Perlawanan dah mula. Dengar tu, orang dah bersorak. Mesti dah gol!
+ Sabar, sabar!


Selepas

+ Mana pergi suara?
- Tertinggal di Stadium Shah Alam!


* Tahniah kepada pasukan Malaysia. Walaupun pasukan yang masuk tidak seperti di Piala Asia, sekurang-kurangnya kita tidak lagi malu di tempat sendiri!

TEAM

T.E.A.M

Together Everyone Achieve More

.

Rabu, Ogos 29, 2007

Yang Adil

Allah itu Maha Mendengar. Dia juga tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Sebaik sahaja saya menoktahkan entri di bawah, ada seorang yang boleh di percayai datang dan berbincang mengenai penyelesaian.

"Kita perlu bersatu supaya syarikat boleh pergi jauh. Yang lambat seperti xxxx tu, kalau kita asyik tarik selalu, sekadar memenatkan kita. Kita tinggalkan dia. Dan kita harus bersatu dan laju menuju ke depan."

Insya Allah, kalau ada kesepakatan, tiada masalah untuk semua buat bersama-sama.

Selasa, Ogos 28, 2007

Kadang Kala Sengaja..


Kadangkala saya sengaja tiba di pejabat tanpa senyum pada awal pagi. Kadangkala saya juga sengaja masuk ke dalam bilik dan tutup pintu. Closed door policy. Bukannya saya ini tidak mahu diganggu, tetapi mereka yang diluar itu kadangkala menyebabkan saya rasa serba salah. Sejak akhir-akhir ini sudah nampak ada dua puak yang jelas. Saya tidak mahu berada pada mana-mana pihak - lebih senang tidak mencampuri urusan berpuak-puak dan buat kerja sendiri. Sejak dahulu saya memang berhaluan kiri atau biasanya non-partisan. Kerana akhirnya saya sendiri yang akan berhadapan dengan 1001 kerja. Tetapi percayalah, saya juga menjadi tempat mereka mengadu nasib dan bercerita tentang kelelahan dengan kerja - kerana mereka sedar tidak ada orang yang boleh dipercayai di pejabat ini melainkan saya (ini bukan masuk bakul angkat sendiri!). Saya dengar masalah mereka tetapi masalah saya? Hmmm...

Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Manusia punya pelbagai pendirian. Mereka boleh buat dan fikirkan apa sahaja. Biarlah saya menjadi seperti pohan diatas, yang teguh berdiri dan tidak pula kekeringan biarpun di tengan gurun yang kontang. Tetapi lama manalah pohon ini bertahan sebatang kara menahan segala ancaman disekelilingnya?

Kepada Allah berserah!


.

Inflasi

Satu

- Kak, bulan 9 ni saya tukar kerja tempat baru. Menyewa di Bukit Bintang.
+ Amboi, kaya nampak menyewa di Bukit Bintang?
- Hehe.. betul jugak tu. Kaya tu subjektif. Kalau dikira nilai inflasi kat Malaysia sekarang, pusing-pusing takde bezanya.
+ Alamak! Kena bukak kitab kuningla!
- Kitab kuning tu apa?
+ Buku Ekonomilah!


Dua

Inflasi, atau lebih senang di sebut nilai matawang yang boleh di beli dengan sesuatu barang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Bekerja dengan gaji RM 2000.00 selepas ditolak bayaran balik pinjaman pelajaran, ansuran kereta, sewa rumah, perbelanjaan bulanan, tinggal berapa sahaja. Kadangkala simpanan pun tak dapat.

Saya teringat kepada perbualan kami adik beradik dengan emak. Kata emak, dahulu gajinya (kerja kilang - masa zaman anak dara) cuma dua tiga ratus sahaja. Setiap minggu dapat pinjaman RM 20.00. Angah ketawakan emak. Katanya, potongan KWSPnya pun sudah mencecah RM 200.00.

Semasa sekolah rendah, emak beri saya 20 sen. Dan dengan duit itu, macam-macam boleh dapat. Naik sekolah menengah, naik jadi RM1.00. Tapi saya tak belanja pun duit ni. Ikat perut dan simpan. Bawa bekal dari rumah. Tetapi bila dah bekerja, tak tahu pula nak berjimat atau bawa bekal dari rumah. Sanggup makan di restoran atau kafe. Bila dapat bil, melenting!


Apa saya nak cerita sebenarnya? Tak tahu!

.



Ilmu Yang Di Cari

Siti - adik keempat saya - sama sahaja seperti saya dahulu, naif dalam hal agama dan berusaha memperbaiki diri atas bantuan kawan-kawan. Berbeza dengan saya yang dapat pendedahan meluas di UIA melalui kawan-kawan yang lebih arif, pendedahan di kuliah, menghadiri majlis ilmu (yang bila pergi rasa banyak lagi ilmu yang belum digali), aktiviti kolej dan persatuan serta suasana yang mengujakan, dia di UiTM mungkin rasa sedikit berbeza.


Ini dapat saya rasakan bila menghantar dia untuk mendaftar tahun lalu. Para pelajar, persekitaran, pegawai semuanya berbeza. Tetapi tidak adil untuk saya membandingkan suasana ini dengan UIA. Pada pandangan saya, jika mahu mendalami agama, dia perlu berusaha lebih untuk menimba ilmu atas suasana yang tidak berapa menarik. Sebagai rekod, pencapaian semester pertama menerusi CGPAnya teruk hingga perlu mengulang beberapa subjek. Saya ajari dia cara bagaimana belajar dengan betul. Mengulangkaji dan membaca ada aturannya juga. Baca doa agar diberkatiNya. Niat juga kena betul. Kemudian, jangan tinggalkan Allah. Qur’an juga perlu dibaca. Amalan sunat yang lain juga perlu dibuat. Sekadar nasihat yang kecil. Semester kemudiannya, subjek yang sama itu dia dapat A. Alhamdulillah (dan saya sendiri tak pernah dapat A).

Hasil dari usahanya itu, nampaknya sudah ada perubahan. Dia berusaha mendalami lebih tentang agama, seperti apa yang berlaku pada saya dahulu. Kami bukan dari sekolah agama, maka latar hidup sedikit berbeza. Di sekolah, kami belajar tentang agama, tetapi sukar mempraktikkan di persekitaran yang tidak begitu memberangsangkan. Bukan kata nak buat tak boleh, tetapi tidak teruja. Buat apa yang patut atau yang wajib sahaja. Yang sunat diketepikan. Bila sudah bercampur, ilmu yang ditimba juga pelbagai. Maka teransanglah untuk buat perkara yang baik-baik.

Kelmarin dia tanya tentang Qiamulail. Kemudian tentang fadilat solat Terawikh yang dia dapat tahu itu bukannya 'betul'. Sebenarnya dia sudah mengusahakan fadilat solat terawikh untuk di edar ke kolej. Kemudian ditanya pula tentang puasa sunat Rajab, Syaban, dan nisfu Syaaban. Mujurlah saya ada buku-buku yang boleh dijadikan rujukan. Saat inilah ia berguna. Pastinya bulan Ramadhan nanti banyak lagi soalan yang timbul. Dalam hati saya bersyukur kerana dia berusaha untuk menimba ilmu yang di luar bidangnya, semoga ia adalah ilmu yang bermanfaat di kemudian hari.

Isnin, Ogos 27, 2007

Datang Lagi!!

Hari ini saya memandu bersama seorang staff ke JKWPKL untuk menghantar tender. Jalan ke Dataran Merdeka rupanya tutup untuk raptai hari kemerdekaan. Dua jam juga tersengguk-sengguk di dalam kereta. Mujur sempat tiba ke destinasi sebelum pukul 12. Terasa kepala sakit yang teramat. Hingga petang, ia berdenyut-denyut mencucuk-cucuk. Terasa otak seperti menggelegak. Sejujurnya, sejak menggunakan cermin mata, sakit kepala ini sudah hilang. Tetapi ia datang kembali hari ini. Tidak larat rasanya. Jam 5 saya terus cabut dari pejabat dan tidur seketika. Oh! Dimana cerpen yang saya tulis tentang surat itu?

Selasa, Ogos 21, 2007

Dan Lagi


Karya saya tersiar dalam Dewan Sastera bulan Ogos. 'Monolog Diari Tujuh Hari' hadir selepas terlantar hampir empat hari di hospital dengan hampir enam botol air kerana denggi pada awal tahun ini. Lantas mengigatkan saya kepada seorang insan yang lumpuh kerana seekor nyamuk. Ciptaan Allah itu hebat. Jika tidak, seekor haiwan kecil boleh menumbangkan manusia yang bernyawa. Insaf!

Walau bagaimanapun, karya ini mengambil masa untuk disiapkan dan juga ketika mahu dihantar. Saya terlalu bertangguh dan memeram idea terlalu lama. Hasilnya juga... hmmm..

Sudahlah begitu, hendak mendapatkan majalah ini juga satu masalah. Sudah habis pusing satu Bangi juga Taman Melawati tetapi mengecewakan. Saya naik komuter dari UKM Bangi dan turun di KL Sentral. Mujur ada senaskhah yang sudah koyak sana sini. Mungkin itu naskah terakhir. Malangnya saya juga membayar harga yang cukup mahal untuk itu. Pengimbas Touch n Go menelan baki kad hampir RM 20.00. Angin satu badan!

.

Keep The Best, Kick The Rest

Saya membalas SMS. Jari laju menekan, kepala ligat memikir. Sejak dua tiga hari yang lalu saya menjadi tempat staff mengadu itu ini. Sudah beberapa orang juga berbisik mahu berhenti. Ada juga sudah mengugut mahu cabut tanpa notis. Tiba-tiba tanpa disangka, keluar ayat ini - Keep The Best, Kick The Rest. Muktamad. Kalau mahu berhenti, pergilah. Saya tiada kuasa mahu memujuk. People may come and go.

Selasa, Ogos 14, 2007

Ilmu

Teringat dalam satu bengkel yang saya hadiri, bahawa ilmu milik orang Melayu atau dialam Melayu itu sebenarnya banyak dan luas. Ilmu landskap, ilmu pelaut, busana Melayu, andaman, urutan, perubatan dan pengubatan, pembinaan rumah, rumahtangga, perbidanan, didikan anak, seni ukir, seni hiburan dan lain-lain. Itu belum masuk lagi tentang adat dan adab, petua serta pantang larang yang semakin di pinggirkan. Contohnya Tajul Muluk dalam pembinaan rumah (kita pula sibuk-sibuk dengan feng-shui), konsep awan larat pada ukiran, lima butang baju pada baju kurung dan sebagainya. Semuanya ada makna, ada maksud.

Saya pernah dengar juga ketika kecil dahulu, kalau hendak membina rumah atau pindah rumah, orang tua-tua biasanya akan melihat kepada kalendar dan memberitahu hari atau tarikh yang sesuai. Ada hari boleh, ada hari tak boleh. Semua ilmu ini ditampungi sama oleh Islam, menjadikan segla ilmu milik Melayu itu sinomin dengan Islam. Maka tidak hairanlah jika ada yang kata memeluk Islam itu bermakna masuk Melayu.

Semua ilmu ini, jika tidak ada yang berusaha di kaji dan di ketengahkan, akan hilang begitu sahaja. Begitu luas sebenarnya ilmu orang kita ini, begitu dalamnya pengetahuan mereka sehingga setiap rentak perjalanan hidup itu dikaitkan dengan agama sebagai penyuluh jalan.

Isnin, Ogos 13, 2007

Don’t burn the bridge

Jambatan silaturrahim yang telah terjalin harus di kekekalkan. Biarpun jambatan itu kita sendiri jarang-jarang melaluinya, melewatinya pula sekali-sekala, tetapi biarkan ia teguh berdiri di sana. Sekali sekala, lalulah di atasnya. Jangan sesekali biarkan jambatan itu runtuh dengan sendirinya, atau membakarnya hingga hangus musnah.

Bagaimana mengekalkan jambatan itu walaupun kita jarang-jarang melaluinya? Zaman teknologi yang serba canggih ini menjadkan segala-galanya kelihatan mudah. Simpan sahaja nombor perhubungan didalam telefon. Jangan di padamkan. Ada kadsim yang mempunyai memori yang besar, yang boleh menyimpan hingga beribu-ribu nama dan nombor. Simpanlah sahaja. Biarkan ia wujud dalam memori telefon kalaupun kita tidak mampu membiarkan ia kekal dalam ruang ingatan.

Sekarang ini kita tida tahu apa pentingnya jambatan yang kita bina suatu masa dahulu. Mungkin dahulu mereka tidak mempunyai sebarang kesan dalam hidup kita. Mungkin sekadar teman sekolah, temah sekuliah, teman sepermainan, teman setaman, teman sekampung, teman sekerja dan kemudiannya hilang lesap. Itu semalam. Hari ini mungkin berbeza. Teman-teman yang jarang ditemui seperti ini bila sesekali bertemu memberikan makna persahabaan yang cukup manis. Pelbagai kisah yang tidak dijangka keluar. Yang pedih, sedih, gembira dan suka. Semuanya bercampur dalam satu. Biasanya membawa nostalgia yang bukan sedikit dan membawa ingatan terhadap perkara yang telah berlaku.

Kawan, atau teman atau sahabat. Namakan apa sahaja, tetapi ikatan yang terjalin dengan mereka ini jangan sesekali di padamkan. Memutuskan silaturrahim malah membawa dosa.

Don’t burn the bridge. Kita tidak sedar apa gunanya jambatan yang kita bina itu sehinggalah kita melewatinya pada kemudian hari.

Jumaat, Ogos 10, 2007

Rezeki yang ditinggalkan

Saya sedang menunggu giliran solat Asar sambil menjaga beberapa telefon genggam dan laptop apabila dua orang yang mempunyai cocok Arab - yang saya kira pelajar - berpatah balik dari masuk ke masjid lalu menuju ke arah saya. Bukan ke arah saya sebenarnya, tetapi ke arah meja bertentangan. Di atasnya ada dua bungkusan besar plastik. Satu terisi nasi berlaukkan kari ayam yang diasing dalam polisterin dan plastik yang berlainan. Satu lagi mengandungi air nescafe dan sirap yang di bungkus dalam plastik kecil.

“Sister, can we take these foods?” salah seorang daripadanya yang berkemeja bertanya sambil menunjuk ke arah makanan tersebut.

Saya memandang makanan yang ditunjukkan lalu mengangguk.

“Sure, you can,” jawab saya ringkas.

Makanan ini merupakan lebihan menu tengahari salah satu program yang dianjurkan oleh para pelajar sebuah persatuan. Saya dijemput hadir sebagai tetamu, tetapi atas halangan kerja saya hanya tiba beberapa minit sebelum majlis berakhir. Dapatlah juga saya merasa makanan yang di sediakan, biarpun tinggal sisa. Di meja dimana saya duduk terdapat beberapa biji karipap, kuih dadar (ketayap) dan popiah yang menunggu untuk dimakan. Tetapi saya terasa tidak mampu untuk makan kesemuanya. Semangkuk mee kari cukup memenuhkan perut yang kelaparan sebentar tadi.

Pelajar yang berkemeja dan temannya yang berjubah segera meluru ke arah makanan lalu dibawanya kemeja dimana saya duduk - meja bulat yang boleh memuatkan 6 orang VIP. Kelihatan mereka berselera sungguh, atau mungkin juga lapar. Sebaik membaca Basmalah, pemuda berkemeja itu segera membaham karipap yang ada diatas meja. Dari caranya menjamah karipap, dapat saya bayangkan betapa pemuda ini sungguh lapar. Pemuda yang berjubah nampaknya masih boleh bersabar dan dengan santun mebuka bungkusan polisterin dan kari ayam serta menjamahnya perlahan-lahan.

Masing-masing makan tanpa sebarang suara. Saya yang duduk bertentangan dan semeja dengan mereka tidak dihiraukan. Saya pula memandang mereka bergilir-gilir dan terkebil-kebil. Kasihan, kelihatan mereka lapar sungguh. Setelah beberapa ketika, mereka memandang ke arah saya. Mungkin perasan yang saya kehairanan melihat mereka. Saya mengambil peluang bertanya, setidak-tidaknya sekadar berbasi-basa.

“Where do you come from, brother?”

“Algeria.”

“Both of you?”

“Yes.”

Saya membayangkan mereka ini – dua orang pelajar antarabangsa – kelaparan. Mungkin secara kebetulan mereka lalu di kawasan masjid (kerana program ini di jalankan di Auditorium sebelah masjid) dan ada pula makanan yang lebih. Bagus juga kerana mereka memintanya kerana makanan yang berlebihan ini sebelumnya telah diberi kepada pelajar yang lalu lalang. Kalau tidak habis, memang sudah menjadi amalan untuk disedekahkan. Lebih baik dari dibuang atau dibiarkan begitu sahaja. Tetapi ini lebihan yang memang tidak dapat diberi kepada yang lain.

Saya mengandaikan mereka ini mungkin kehabisan duit atau terpaksa berjimat dengan duit yang ada atau belum dapat peruntukan biasiswa / pinjaman atau mungkin juga bantuan belum tiba dan sebagainya. Pelbagai kemungkinan lain hadir. Mungkin mereka menyimpan untuk keperluan lain. Situasi ini mungkin sama sahaja, kepada pelajar antarabangsa atau tempatan, dan sama seperti apa yang saya alami dahulu.

Memang ada masanya bantuan pinjaman yang diterima perlu diperuntukkan untuk keperluan lain. Menjadi biasa pula bila awal semester berbelanja mewah dan dipenghujungnya berlapar dan sekadar makan makanan segera seperti maggie. Saya dahulu memilih cara yang berbeza. Saya mengaktifkan diri dalam aktiviti persatuan. Biasanya kami mengadakan kursus, program, camping, dan macam-macam lagi lagi aktiviti sehingga menjadi terlalu sibuk disamping kuliah. Selalunya, aktiviti pelajar dilengkapi dengan ‘agenda makan-makan’ sekaligus membantu saya menjimatkan beberapa bahagian duit pinjaman untuk keperluan lain.

Saya beralih ke meja sebelah. Nampak pula saya menganggu dua pelajar ini makan. Dari jauh, saya mengandaikan yang macam-macam. Dahulu, sering juga saya melihat teman-teman yang sekadar mengambil sikap sedarhana dalam perihal makan. Kalau pelajar tempatan sendiri sudah berkeadaan begitu, bagaimana pula dengan pelajar antarabangsa ini yang ada diantara mereka hadir dengan perbelanjaan sendiri? Memang cukup mengkagumkan andai mereka hadir disini atas urusan ilmu, hidup pula keseorangan ditanah orang dan dengan budaya asing. Segala-galanya perlu di uruskan sendiri.

Saya tidak dapat menunggu mereka kerana teman yang dinanti sudah tiba untuk giliran saya bersolat pula. Saya meminta izin untuk pergi sambil berpesan supaya mereka membersihkan meja dan membuang plastik yang bersepahan.

“Don’t worry. We can do for you,” kata si baju kemeja.

“Thank you,” balas saya.

“Thank you also. You are very kind to us. May Allah bless you,” katanya lagi.

Saya mengangguk. Dia bertanya lagi sama ada saya ini pelajar atau tidak. Saya terangkan secara ringkas, sebelum melangkah ke masjid untuk solat Asar. Dalam hati, saya bersyukur. Setidak-tidaknya ada kebaikan yang terhasil dari lebihan makanan yang di tinggalkan tadi.

Selasa, Ogos 07, 2007

Sedikit-sedikit

Hendak bersedekah tidak perlu tunggu duit banyak. Sedikit-sedikit pun orang terima. Ilmu jika hendak di kongsi tidak perlu tunggu bila ia banyak. Sedikit-sedikit sudah memadai. Ada sedikit, kongsi sedikit. Ada banyak, kongsilah banyak. Niat kita hendak memberi, terpulanglah kepada diri.

Puisi - Jenis Kawan


Kawan
setia
sering
membantu;
yang
derhaka
kawan
palsu

~A Samad Said~
Rindu Ibu, 2006

Cinta 1


Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakan atau susuk yang ia tampilkan atau bagaimana ia menyisir rambutnya tetapi kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada
Anonymous


*Foto dari koleksi peribadi -Cherating 19 Feb 2007

Khamis, Ogos 02, 2007

Pilihan

Hidup ini adalah suatu pilihan.

Kita memilih untuk..
makan atau berlapar
tidur atau berjaga
berbuat baik atau jahat
melakukan dosa atau pahala
hidup atau mati
syurga atau neraka

Maka pilihlah apa yang terbaik untuk kita.
Sesungguhnya solatku, amalanku, hidupku dan matiku adalah kerana-Mu
Ya Allah Ya Tuhanku