Jumaat, Oktober 26, 2007

Kiriman jauh

Rabu 28 Ramadhan 1428H.

Jam di dashboard menunjukkan waktu Maghrib semakin hampir. Suasana bertambah gelap. Kiri dan kanan hanya pokok getah teguh berdiri. Sesekali berselisih kereta dan lori, terasa silau menangkap kuat pada mata. Pantas sekali mulut menyumpah, berselang seli dengan istighfar. Hujan lebat mencurah. Masalahnya, curahannya tepat pada cermin depan. Wiper pada tahap maksimum nyata tidak membantu mempermudah perjalanan. Beberapa kali kereta memasuki lorong bertentangan. Hampir juga terbabas. Saya menarik nafas dan sabarkan diri. 10 minit lagi tibalah ke kampung. Apa yang dikejarkan sangat dalam lebat begini.

Tiba di kampung bila masing-masing baru sahaja bangun dari meja makan. Tidaklah terlalu lewat mengejar hidangan. Saya berlegar-legar melihat juadah berbuka. Adik menghampiri dan menghulur satu bungkusan. Dari siapa pula?

Saya belek kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang. Ada alamat ringkas. Hati terdetik sesuatu, bibir menguntum senyum. Bungkusan dibuka. Ada sekeping poskad dan dua buah buku. Kiriman Aidilfitri teman dari seberang Tambak - teman yang tidak pernah (langsung) saya temui. Sekadar berbalas e-mel.

Kiriman ini sungguh berharga. Jika biasanya kita menerima kiriman kad raya, tetapi pemberian buku ini adalah hadiah yang nikmatnya melampaui segala-galanya. Sejak hari itu, buku ini menemani Aidilfitri tahun ini yang hambar dan tidak meriah. Pesanan pada kad dan autograf pada buku begitu besar ertinya. Inilah hikmah persahabatan. Tidak bertemu muka, berkenalan dari jauh dan berhubungan secara maya bukanlah alasan untuk membataskan silaturrahim. Dunia ini tiada sempadannya.

Terima kasih diatas hadiah ini. Saya mahu menghabiskan bacaannya seberapa segera. E-mel anda mengispirasikan saya dalam menghadapi dunia yang serba-serba ini.

Terima kasih, sahabat!

Rabu, Oktober 24, 2007

Malas

Sejak memulakan kerja selepas cuti panjang Aidilfitri, saya merasa sungguh berat untuk menambah sebarang entri di sini. Malas, malas dan malas. Memang malas.

Maaflah ya. Angin tak berapa baik sejak akhir-akhir ini. Hujan saban petang pula.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Alhamdulillah

Alhamdulillah, berita yang sedap untuk di dengar di penghujung Ramadhan.

Akhirnya, penantian lebih setahun Tee Hui Yi, 14, berakhir semalam apabila beliau selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) . Jantung barunya didermakan oleh seorang remaja Melayu berusia 15 tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Ipoh. Remaja ini bukan sahaja mendermakan jantungm tetapi juga paru-paru kepada seorang pesakit lain.

Memetik laporan dari Utusan Malaysia, bapa si penderma berkata, “Kalau anak saya itu dikebumikan bersama semua organnya, dia tidak mungkin dapat memberi manfaat kepada orang lain. Inilah sumbangan terakhirnya. Saya juga bersetuju mendermakan organ anak lelaki saya kerana dia adalah anugerah Allah dan kini tiba giliran saya mengembalikan pemberian Allah itu sebagai tanda syukur.”

“Apa yang kami minta daripada pihak hospital ialah supaya tidak memberitahu identiti anak kami. Saya harap pihak hospital dan orang ramai menghormati permintaan kami ini,” katanya.

Alhamdulillah. Kita masih punya ruang rupanya untuk berbakti biarpun di jemput pulang. Memberi kehidupan baru kepada orang lain seolah-olah 'menyambungkan' hayatnya di dunia. Apabila tiba giliran kita nanti, adakah kita sanggup melakukan perkara yang sama? Sudahkah mendaftar sebagai penderma organ?


.

Khamis, Oktober 04, 2007

Apa Yang Berlaku 10 Tahun Sebelum Merdeka?

Menanti waktu berbuka, saya menjelajah dari satu blog ke satu blog bagi meregangkan penat otak. Dalam penjelajahan, saya terjumpa blog yang amat menarik - 10 Tahun Sebelum Merdeka. Namanya sendiri sudah menarik jemari menekan link kesana.

Tahniah. Satu blog yang hebat!


.

Selasa, Oktober 02, 2007

Bita terkini

"Kenaikan tol akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri."

(Baca: Kadar tol tidak akan dinaikkan pada tahun ini)

"Harga gas (minyak?) tidak akan dinaikkan pada tahun ini."

(Baca: Harga gas tidak akan dinaikkan pada tahun ini)


*Bang, tahun ini berbaki 2 bulan. Tak lama sangat. 2 bulan lagi naiklah tu.

Aha!

Satu perkara yang paling best dan sangat membanggakan diri saya sendiri pada hari ini ialah - saya dah tahu cara nak post video dari youtube. Tetapi bukan insert seperti insert gambar. Saya sendiri tak tahu nak buat macamana. Cari pada help tak berjaya. Nak tanya sesiapa dipejabat tetapi semua buta blog!

Lalu saya pergi ke View>Page Source. Copy html code dan paste pada posting page. Berjaya! Hasilnya ialah pada entri dibawah. Tetapi, bagaimana mahu buang jarak dibawah video? Ada sesiapa yang boleh beri tunjuk ajar percuma?

Ok, sambung kerja.

:-)




Entri kecewa yang benar-benar kecewa






Video ini memang menarik. Tak kiralah ia dibuat oleh orang luar atau yang mahu memburukkan kita, tetapi agak-agak, kalau rakyat tanah air ini yang buat, ada ke media yang sudi nak publish?

Menjelang pilihanraya kampus, saya teringat zaman ketika belajar. Berkempen hingga ke pagi, menyiapkan serta menggantung poster, flyers, risalah kempen, goodies kepada pemangkah, pamplet calon, dan pelbagai lagi perkara yang diperlukan untuk perang saraf. Psyc War.

Ketika itu, saya belum didedahkan lagi dengan suasana politik luar. Semua keadaan kelihatan bersih dan suci. Pada saya kempen kami ketika itu 'kempen budak-budak yang baru belajar. Salah betul tak ada siapa yang sudi nak tunjukkan.'

Bila pecah reformasi 1998, kemudian pilihanraya umum 1999, mata saya dicelikkan dengan suasana politik yang begitu kotor dan busuk. Barulah saya sedar, inilah rupanya cara sebenar orang berpolitik. Perang sarafnya lagi dahsyat. Entah apa-apa. Kemudian mereka masuk ke kampus dengan alasan 'mahu membersihkan kampus dari sebarang parti politik' Tetapi mereka yang masuk kampus dengan lambang parti tu untuk apa?

Sejak itu, pilihanraya kampus menjadi sebusuk dan sekotor pilihanraya yang diluar sana. Mereka melabel perkumpulan pelajar dengan pelbagai nama. Media menggelar mereka proaspirasi dan propembangkang. Para pelajar diwajibkan mengundi. Siapa tak turun, adalah habuannya. Insentif juga diberi. Top-up juga pernah dijadikan hadiah mengabui mata pelajar. Ini bukan cerita kosong. Benar-benar berlaku.

Kampus semakin lesu. Pelajar semakin selesa pergi kelas dan balik hostel. Dikelas, pensyarah tanya, pensyarah juga yang menjawab. Bila demam peperiksaan, suasana hostel bagai diserang garuda. Masing-masing sibuk membaca dan menghafal. Tidak ada sesiapa yang boleh buat bising. Bila mendaftar subjek, semua berebut-rebut nak ambil dengan pensyarah yang baik bagi markah. Bila dah dapat, kelas selalu ponteng. Alasannya mudah. Overslept. Assignment tiada kualiti. Tambahan pula dengan zaman internet yang memudahkan kerja, copy & paste sahajalah dari pelbagai sumber.

Pelajar sarjana mengelak mahu buat tesis, kerana susah dan banyak kerja. Mahu ambil exam sahaja, mudah. Menjadi mahasiswa ibarat menjadi pelajar sekolah. Bezanya suasana dan tempat. Kaedah tetap sama - masuk kelas, baca dan hafal. Masing-masing selesa menganga untuk disuap. Kadangkala nak telan pun kena paksa.

Sebarang aktiviti dilakukan tiada sambutan. Majlis ceramah atu forum yang membincangkan perkara serius atau isu semasa negara dipandang sepi. Kehadiran cuma pihak komiti atau seorang dua pelajar prihatin. Selalu penceramah merasa kecewa. Tidak kurang pula universiti terpalit nama.

Video klip ini ada benarnya. Mulut mahasiswa dizip dengan AUKU dan ISA. Jangan sesiapa yang berani bersuara. Saya pernah marahkan seorang roommate dahulu yang bila tiada kelas akan tidur sahaja. Lesu. Tetapi marah saya marah dalam diam. Marah yang tak boleh bercakap, kerana telah dizip oleh AUKU. Saya pula ditempelaknya nanti.

Entri ini entri kecewa. Kalau dulu lesu, sekarang tak tahulah apa gelaran yang patutu diberi. Tangan terikat, mulut terkunci. Menggolek kena, digolek pun kena. Saya bukanlah bagus sangat dalam hal ini. Setidak-tidaknya mata saya celik, akal saya boleh berfikir dan tidak dibodohkan oleh orang yang mahu mempergunakan saya sewenangnya. Saya tahu dimana saya berdiri. Setidak-tidaknya.

Tidak adil saya membayangkan dahulu dengan sekarang. Tetapi untuk melihat bagaimana keadaan negara akan datang, lihatlah kepada generasi mudanya sekarang ini.

Di mana kita mahu berdiri?

:-(