Isnin, Disember 29, 2008

Beberapa catatan hujung tahun

1)
Sekejap sahaja sudah Disember, dan 2008 hampir menutup tirai. Merenung kembali 12 bulan yang berlalu, banyak yang telah di buat, masih banyak lagi yang belum terhasil. Perlu muhasabah diri meniti jalan-jalan yang masih panjang.


2)
Tahun ini saya banyak beli buku. Malah menambah satu lagi almari setinggi diri sendiri bagi menempatkan buku yang bersepah. Selepas Krismas tempohari saya membeli lagi, 22 buah dari Dawama sempena jualan gudang hujung tahun. Saya rasa sudah sampai masanya untuk membaca dan kurangkan membeli. Buku Sasterawan Negara sudah di tangan, beberapa karya terjemahan yang besar juga sudah tersedia di rak. Jadi, banyakkanlah membaca.


3)
Tahun ini saya berazam menulis lebih banyak, tetapi terbalik pula. Blog jarang di kemaskini, karya juga tersekat-sekat. Hanya satu tersiar, dan satu manuskrip terhasil. Itupun mengambil tempoh setahun dengan prosesnya yang panjang sehingga membosankan. Rasanya saya perlu ambil momentum baru, cepatkan segala urusan dan lebih fokus.


4)
Dari segi kerjaya, boleh dikatakan saya mencapai tahap puas hati - dengan gaji, dengan jawatan - tetapi rasanya belum cukup. Masih ada ruang-ruang kosong yang belum terisi, masih ada kepuasan yang belum tercapai, masih ada perkara yang belum saya kecapi. Pernah terfikir untuk bertukar kerja, tetapi apakah ia semudah itu. Harus di ingat, comfort zone juga kadang-kadang boleh membunuh. Jadi?


5)
Membuka kembali diari, pada halaman pertama, tertera perkara yang mahu saya buat sepanjang 2008. Tidak semuanya tercapai. Nak dibawa semuanya ke 2009? Saya rasa tidak. biarlah ia tertinggal disitu sebagai satu catatan yang tidak diusahakan. 2009 ini saya mahu buka buku baru.


6)
Dan 2008 juga menyaksikan beberapa perkara penting. Seharusnya ada perkara yang merubah hidup akan berlaku, seperti yang pernah saya war-warkan menjelang AidilAdha yang lalu. Tetapi nyatalah, kita merancang Tuhan menentukan. Mujurlah saya bukan jenis yang menaruh harapan yang tinggi, atau telah merancang berhabis-habisan. Cuma perkara ini telah memakan hati banyak pihak, sehingga saya merasa amat berdosa gagal memenuhkan impian. Tetapi, ah, ada baiknya. Soal jodoh ini, biarlah Tuhan yang tentukan. Tugas kita ialah berdoa.


7)
Dari segi kewangan juga, nampaknya saya berhasil merancangkan dengan baik, banyak kali mata saya dibuka dan di sedarkan, namun acapkali juga tewas. Saya bukan rajin membeli belah sakan, duit banyak habis pada buku tetapi berusaha menyimpan. Ah, banyak disimpan, banyak juga yang keluar. Untk keluarga, untuk apa di kesalkan sangat, biarlah. Saya sudah ambil insurans dan baru sebulan menggunakan kad kredit - dua perkara yang sangat-sangat saya tentang penggunaannya. Nantilah, bila ada masa, akan saya ceritakan mengapa. Ada kisah panjang lebar di sebalik insurans dan kad kredit dan mengapa baru kini saya menggunakannya.


8)
Kesihatan tidak berapa baik. Saya pernah cerita tentang sakit dada yang sangat-sangat mencengkam. Kemudian beberapa kali demam yang teruk. Kini saya sedang dibawah rawatan specialist. Pakar khas. Tidak perlu saya nyatakan untuk apa, tetapi banyak wang habis disitu. Semoga usaha ini dapat membantu meleraikan kekusutan yang melanda.


9)
Seperkara yang tidak pernah saya ceritakan ialah saya kehilangan motor yang baru 45 hari digunakan. Hilang di pejabat, pada 29 Ogos. Beli cash pula. Honda Ex5 Dream. Yang mencurinya memang gila. Saya doakan moga dia patah kaki atau eksiden hingga terlantar teruk dihospital. Tetapi kemudian saya rasa elok saya halalkan dengan harapan semoga dia insaf. Untuk makluman, motor itu tujuannya memudahkan saya berterawikh. Memang itu satu-satunya niat. Nampaknya sudah jadi lain, dan saya menghabiskan Ramadhan di masjid putra. Ada hikmahnya juga. (Hingga sekarang insurans pun tak settle lagi. Lembab sungguh Kurnia.)


10)
Apa lagi? cukuplah setakat ini.

Rabu, Disember 17, 2008

Lobi 1

Malam tadi, sesudah mengemas dan membasuh baju hasil dari perjalanan sana sini hampir minggu, fon genggamku tiba-tiba bergetar di atas meja. Mesejnya pendek menyatakan keputusan satu tender yang amat kami nantikan keputusannya. Usaha dan penantian berakhir. Kami gagal.

Tender ini sebenarnya banyak 'makan hati dan perasaan', selain tenaga dan ikhtiar. Ada hikmahnya syarikat tidak berjaya. Usaha melobi pihak tertentu oleh orang tertentu nampaknya tidak mendatangkan hasil. Ketika berbual tentang kegagalan ini, entah mengapa mulutku ringan mengatakan sesuatu yang tiba-tiba terlintas di kepala...

'Dia lobi manusia, tak mahu lobi Tuhan.'

Mereka yang dengar segera terdiam, tetapi kemudiannya ketawa. Hanya kami yang tahu mengapa.


.

Rabu, Disember 03, 2008

Waduh!!

Mahu percaya atau tidak, tapi itulah yang berlaku. Andai ia di namakan writer's block, ia adalah kesempatan yang baik untuk membaca sebanyak yang boleh dan memeram idea sehingga masak. Tetapi selalu-selalu juga jadi ranum hingga busuk sampai dah tak boleh nak buat apa (teruk betul).

Sekarang ini saya sedang membaca:
  1. Mevrouw Toga [Arena Wati] >> payahnya nak habis..tinggal separuh lagi
  2. Ayat-Ayat Cinta >> sedang mengulang baca sambil menambah dan mencari ilham
  3. Da Vinci Code versi e-book terjemahan ke bahasa Indonesia >> cukup mengujakan, baca berselang seli menonton filemnya yang di download dari youtube. Teknologi kadangkala memudahkan, tetapi soal hakcipta bagaimana pula ya?
Saya mungkin tidak akan mengemaskini blog sehingga Aidil Adha. Ya, ada perkara yang membelenggu diri dan bakal mengubah perjalanan hidup saya seratus peratus. Selamat menyambut hari raya korban dan semoga pengorbanan Ismail dan Ibrahim itu terkesan dalam diri kita.

Writer's block? Hmm...

.

Ahad, November 16, 2008

Hantu?

Saya jarang menonton tv. Malam, jika tidak membaca, saya menulis. Kalau bukan menulis, saya tidur. Kalau tidur awal, lima atau enam jam berikutnya saya terjaga, dan bangun untuk membaca dan menulis lagi. Ataupun keluar melihat orang, juga berbual dengan seorang sahabat yang sering mengisahkan kehidupannya yang mengesankan pada satu sisi yang berbeza dengan diri saya.[Banyak realiti hidup saya pelajari darinya].

Ramai hairan saya boleh meninggalkan tv, tetapi memadailah saya memasang telinga mendengar siaran yang di pasang teman serumah di ruang luar bilik. Mereka senang melayan siaran melekakan seperti konsert AF yang berulang kali di tonton atau rancangan ringan lain, yang sudah pasti tidak boleh masuk dengan diri saya. Maka eloklah mengalah, beri ruang kepada mereka bersantaian sambil saya terus tenggelam dengan diri sendiri.

Sabtu lalu, saya berkesempatan menonton kerana ditinggalkan seorang diri. Astro tiada National Geographic, tiada APL, tiada History, tiada ESPN atau ASS. Membosankan. Lalu saya habiskan dengan menonton Oprah, kemudian filem For One More Day.



Filem ini berdasarkan sebuah novel karya Mitch Albom menggunakan judul yang sama. Kisahnya ringan, tidak memberatkan tetapi menarik. Secara ringkasnya, ia berkisarkan kehidupan seorang lelaki yang pemabuk dan akhirnya putus asa terhadap kehidupan. Dia mahu membunuh diri kerana tidak tahan dengan hidup yang dirasakan tidak memihak kepadanya. Dalam perjalanan ke suatu tempat untuk menembak kepalanya (bunuh diri), dia kemalangan. Disinilah segala-galanya bermula. Chick Benetto bertemu semula dengan ibunya yang sudah meninggal. Antara percaya dan tidak, dia dibawa ibunya bertemu beberapa orang yang dekat dengan ibunya, sekaligus memberi jawapan terhadap persoalan yang tidak pernah terjawab sepanjang kehidupannya. Lebih-lebih lagi perceraian ibu bapanya yang tidak pernah di ketahui sebabnya sehinggakan dia sering menyalahkan ibunya yang menyebabkan ayahnya meninggalkan keluarga.

Ya, kisah ini mudah difahami dan tidak kompleks. Tetapi saya tertarik dengan jalan ceritanya yang menarik dan lakonan yang mantap. Riak wajah pelakonnya, biarpun tanpa dialog menjadikan kita memahami apa yang tersirat di hati dengan latar suasana yang tidak serabut. Ia sebuah adaptasi yang menarik dan tidak membebankan penonton.

Sesuatu yang saya fikirkan disini ialah kesempatan seseorang itu bertemu kembali dengan orang yang telah mati. Mungkin satu kebetulan kepada Chick, menyebabkan dia menyedari segala kesilapan menyalahkan ibunya adalah perbuatan yang salah. Dia berpeluang membetulkan kekhilafan lampau dan memohon ampun sebelum berakhirnya nafas. Dia juga dapat memulakan hidup yang baru dan kembali kepada kehidupan normal. Walaupun tidak masuk akal, atau mungkin sekadar satu imaginasi, tetapi siapa percaya ada juga yang pernah melalui keadaan sedemikian lalu dapat membebaskan dirinya dari dosa silam dan kekesalan lampau. sama ada hantu atau memang realiti, itulah hakikat kehidupan.


.

Rabu, November 12, 2008

Kenangan lalu

Suatu malam pada bulan Ramadhan yang baru berlalu. Malam pada minggu pertama. Ada satu tender penting perlu disiapkan dengan ketelitian yang paling maksima. Geram bercampur baur kerana terpaksa mengorbankan kesucian Ramadhan yang sukar di cari ganti. Maka janji di buat supaya kembali ke pejabat sebaik sahaja solat terawikh selesai di kerjakan. Biarlah habis di buat menjelang imsak pun tidak mengapa, kerana niat tidak mengganggu Ramadhan itu lebih utama. Ditambah lagi dengan azam yang amat kuat tidak mahu meninggalkan terawikh, apatah lagi pada awal-awal bulan begini.

Waktu sudah berganjak ke dinihari. Mata tidak dapat di tahan-tahan mengantuknya, sudah berpinar-pinar, kepala sudah tidak dapat menampung sengsara menanti waktu, letih badan tidak terucapkan bila perlu berulang alik dari mesin fotostat ke pencetak, kembali ke mesin fotostat dan pencetak bagi memastikan dokumen terhasil menepati citarasa dan kehendak si pengatur rentak yang sekadar menyuruh dan mengkritik. Sudah beberapa kali juga tersengguk di hadapan monitor. Air dan makanan yang dibekalkan langsung tidak membantu.

Sementara menanti teman sepejabat menyiapkan dokumen tambahan yang diperlukan, jejari menekan tetikus, mengklik entah apa-apa yang terlintas di kepala. Satu persatu menggoogle menjelajah dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Tiba-tiba terlintas satu perkara, dan terus sahaja menaip dan search. Keluarlah apa yang dimaksudkan kenangan, dan mata yang tadi layu segar bagai di sirami embun pagi yang cukup syahdu.

Diri ini mula mengenali irama nasyid sebaik menjejakkan kaki ke Pusat Matrikulasi UIA yang ketika itu duduknya di Lembah Pantai, yang sekarang ini menjadi Insitut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA). Naif sungguh ketika itu. Sudahlah tidak pernah tinggal di asrama, menetap pula di ibu kota, bahasa pengantar pula Arab dan Inggeris, maka saya lebih dahsyat dari rusa masuk kampung. Ketika ta'aruf week (minggu suaikenal), alunan nasyid menjadi irama mengiringi hati kami yang kerinduan kampung halaman dan keluarga tetapi turut gembira dengan suasana baru, teman yang menceriakan, brother dan sister yang banyak membantu dan semangat berkobar menuntut ilmu. Nasyid menjadi teman kala sunyi di senggang waktu dalam tempoh seminggu hinggakan suara Nazrey Johani dari The Zikr serta Bangsar Boyz sebati dengan diri. Itu sahaja yang di kenali ketika itu.

Tahun 1996 waktu itu, nasyid bukanlah satu industri besar seperti sekarang, yang setahun kemudian di gegarkan dengan kemunculan Raihan. Nasyid ketika itu dipandang sepi, cuma terkenal dikalangan pelajar sekolah agama, ibarat satu industri underground biarpun mereka punya potensi lebih besar berbanding industri mainstream. Apatah lagi dengan kemunculan Nada Murni di bawah label al-Arqam (jangan lupa The Zikr juga anak didik al-Arqam), ada unsur prejudis terhadap nasyid ketika itu biarpun ia tidak mengganggu gugat mana-mana pihak.

Irama nasyid ketika itu cukup simple, tenang kedengaran, tiada unsur yang melalaikan. Liriknya cukup menyentuh, malah sehingga kini air mata boleh mengalir bila mendengarkan dan menghayati. Unsur yang di sentuh adalah kecintaan kepada tuhan dan keinsafan (apalagi!), persahabatan dan kasih sayang. Namun saya amat-amat khusyuk dengan bait kata yang di susun kerana cukup indah dan puitis. Bila mendengar nasyid dalam irama asalnya, kenangan lalu ketika matrik perlahan-lahan datang bermain di fikiran. Teringat pada kawan-kawan, pada suasana matrik yang mendamaikan, pada tangganya yang tinggi dan memenatkan, pada kesungghan mengutip mutiara ilmu dari pensyarah pelbagai negara, usaha belajar bahasa Arab berdikit-dikit dan English yang tersekat-sekat, pada perpustakaan yang menjadi rumah kedua di tahun kedua, pada blok asrama yang tinggi dan pada diri yang baru mengenal kehidupan. semuanya adalah kenangan yang tidak dapat d lang kembali. Dalam diam, suasana matrik itulah yang mengajar saya sedikit sebanyak menjadi manusia yang kuat dan tabah di kota besar ini, sehingga kini.Irama nasyid yang dialunkan ini benar-benar membawa saya kembali ke zaman lampau!

Hari ini saya terasa ingin menggoogle dan download beberapa nasyid yang masih tersisa ingantannya di fikiran. Penat rasanya mendengar alunan nasyid dewasa ini yang tidak cukup menyentuh jiwa (tetapi bukan semua ya!). Pilihan saya tetap The Zikr dengan suara mersik Nazrey. Dalam masa yang sama, saya masih mencari Bangsar Boys terutama Akrab Persahabatan (yang diperbaharui oleh Inteam) juga lagu berhantunya yang selalu diulang-ulang iaitu Lima Cinta, Cintai Bumi Kita, Insan Sama Sahaja, Kembali Kepada Agama, Ranjau Berduri, Selamat Berpisah, The Love Of God (baru saya tahu Zahid yang mengalunkan nasyid ini. Hmmm...beralih bidang bila dewasa). Ada sumber untuk Bangsar Boyz?

Kredit kepada empunya yang meletakkan link sini. Marilah dengar alunan nasyid The Zikr yang bersih lagi suci. Yang penting hayatilah liriknya itu. Selamat mendengar!



.

Insaf




Harapan Pada-Mu Subur Kembali
Saujana


Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan Qahar-Mu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksa-Mu

Hamba-Mu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika

Tika kenangkan Ghafar-Mu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih semula
Harapanku subur kembali

Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
Mehnah-Mu itu penghapus dosaku
Mengganti hukuman-Mu di akhirat

Di waktu mengenang rahmat-Mu
Terasa diri kurang bersyukur
Pada-Mu harusku memohon
Moga syukurku bertambah

Alangkah susahnya
Mendidik nafsuku
Yang tidak dapat melihat kebenaran-Mu
Bantulah hamba-Mu
Dalam mendidik jiwaku ini

Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan Qahar-Mu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksa-Mu


Hamba-Mu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika


.


Sudah tiga puluh

Sudah tiga puluh..oh..oh..


.

Khamis, Oktober 23, 2008

Was-was

Kadangkala bila kita sudah menetapkan sesuatu keputusan, tiba-tiba ada suara asing datang pada diri, membisikkan sesuatu ditelinga dan mengusik hati supaya timbul perasaan was-was. Suara itu kemudian terngiang-ngiang dan berulang-ulang, meresahkan jiwa, mengurangkan keyakinan terhadap apa yang telah kita fikirkan.

Suara-suara ini datang dari luar kemudian bermain dalam diri. Ia menguasai diri, menimbulkan syak wasangka lalu kita menjadi tidak menentu. Duduk pun tidak tetap, kepalanya serabut memikirkan kemungkinan. Sukar untuk kita menilai tindakan kita ini benar atau salah. Sering terfikir kesan di sebaliknya, dan perkara yang buruk sering bermain di fikiran.

Apa lagi yang boleh kita lakukan saat ini kecuali memohon kepada Allah agar di tetapkan hati ini supaya terus berada dilandasannya, supaya keputusan yang kita ambil ini benar-benar keputusan yang di bawah redhanya, dijauhkan dari perasaan was-was, dihilangkan dari syak wasangka. Maka tetaplah wahai hati agar tidak tersalah pilih, tidak tersilap jalan, tidak terkhilaf panduan. Keyakinan adalah kunci utama. Kita yakin apa yang telah kita putuskan dan yakin akan apa yang diilhamkan.

‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia, dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari jin dan manusia’” [An-Nas: 1-6]


.

Baik Buruk

Selalu-selalu bila berbual kosong, terkeluar cerita tentang untung nasib masing-masing. Ada beberapa orang staff yang masih tinggal dengan ibu bapa mereka sejak kecil hingga kini, tidak pernah merasa hidup terasing. Sudah lahirnya di KL, kerja di KL, maka tinggal dengan famili menjadi kewajipan. Sewa rumah tak perlu fikir, urusan makan minum selesai, kain baju berlipat cantik, bilik pun kemas sentiasa. Semuanya diatur indah, di jaga rapi di bawah kawalan ibu bapa. Kalau ibu bapanya bekerja, maka anak yang tertua menjadi pengganti ibu bapa, menjadi mata dan telinga supaya adik beradik yang lain sentiasa di bawah kawalan, tidak terlepas dari jagaan dan sentiasa melaporkan perkembangan adik-adik. Kemana-mana mereka sentiasa bersama keluarga, sejak kecil hingga dewasa dan setiap perlakuan adalah diatas kesedaran ibu bapanya.


Bagi orang yang begini nasibnya, agak mudah hidup dibawah ketiak isteri ibu bapa. Dari segi kos, banyak yang dapat dijimatkan. Mereka boleh berkongsi rasa, bertukar pendapat secara langsung, dan bergelak ketawa, bersedih dan berduka, bergembira dan bersenda bersama. Tiada apa yang dirahsiakan, semuanya adalah milik bersama. Ibu bapa dapat melihat perkembangan anak-anak serta merasai proses tumbesaran mereka dihadapan mata, apatah lagi bila menjelang usia remaja hinggalah dewasa yang penuh cabaran dan dugaan.


Di pihak yang satu lagi, ramai juga yang meninggalkan kampung halaman untuk menggadai hidup di tempat orang. Bagi ibu bapa yang berada dikampung atau dikawasan luar bandar, mereka perlu berhijrah ke bandar untuk menyambung nasib. Ada berhijrah sejak dari belasan tahun, tinggal di asrama, kemudian melanjutkan pelajaran dan meniti alam pekerjaan. Semuanya atas kekuatan diri sendiri dan atas usaha sendiri. Ada yang gemar menghubungi keluarga dan menceritakan perkembangan diri setiap hari. Ada pula yang bercerita perkara yang penting sahaja, bukannya melaporkan tindakan setiap saat. Selalu-selalu, mereka mengambil keputusan untuk tidak menceritakan semuanya. Ada yang tidak langsung diceritakan, ada yang tidak perlu di bualkan, ada yang perlu di sorok dan ada yang cuba merahsiakan. Disinilah pentingnya perasaan tanggungjawab dan sikap amanah. Ibu bapa mana yang tidak risaukan anak diperantauan biarpun sekadar satu jam perjalanan jarak mereka. Mereka mengharapkan anak-anak berlaku jujur dan tidak sekali-kali menipu, biarpun apa yang mereka ceritakan itu kadang kala sukar untuk dipercayai seratus peratus. Tetapi bila sudah berada jauh dari mata, hanya keyakinan pada anaknya dan penyerahan terhadap Tuhan adalah penyedap rasa supaya anak-anak ini di jauhkan dari sebarang perkara buruk. Doa ibu bapa manalah yang tidak direstui Tuhan?


Bila sudah jauh dari keluarga, jauh dari kawalan dan kongkongan, maka bukan sedikit perkara buruk yang berlaku. Kurang suara menegur, kurang juga kata nasihat. Mengharap kepada kawan-kawan apalah sangat, itupun jika bertemu dengan kawan yang boleh membantu. Jika ia kawan yang menghancurkan, maka kesannya tidak dapat digambarkan. Resam anak muda di perantauan, mereka seolah mahu mencuba semua perkara. Maka melengkapi diri saat ini hanyalah iman yang dipasakkan dalam diri sebagai pedinding kepada perkara yang tidak dingini.

Tetapi kedua-duanya ada baik dan buruk. Apa yang penting ialah bagaimana mereka didik pada awalnya. Memberi contoh yang baik kepada anak-anak, mengajar mereka erti kepercayaan kepada Tuhan supaya mereka mengerti bahawa setiap tindak tanduk itu di nilai dosa pahalanya. Juga kepatuhan terhadap murninya ajaran Islam sebagai agama yang diredhainya, supaya Islam itu bukan sekadar ritual ibadah tetapi menjadi satu cara hidup.


Ya, kedua-duanya ada baik dan buruk. Iman kitalah yang menapis perkara baik dan buruk itu.



.

Rabu, Oktober 22, 2008

Memecahkan halangan mental


Buat pertama kali, saya merasakan kepuasan membaca karya SN Arena Wati. Ya, saya sering mengeluh gagal menghabiskan bacaan atau memahami apa yang cuba disampaikan. Tetapi kali ini Sudara benar-benar membuka mata, melapangkan dada dan membuatkan saya berfikir setiap kali berhenti membacanya. Mungkin usia yang semakin meningkat menambahkan keinginan untuk memahami novel sebegini, ataupun wujdnya keinginan untuk memecahkan halangan mental bagi membaca karya SN Arena Wati sehingga tamat. Ya, ini proses mencabar diri sendiri bagi membaca karya SN Arena Wati yang sering menyebabkan saya surrender. Kali ini mungkin tidak lagi.

Sudara inilah yang menemukan kami bertiga, saya pinjam kembali bersama-sama sepuluh buku yang lain termasuklah Sejarah Melayu yang dicari-cari dan Mevrouw Toga, satu lagi karya Sn Arena Wati. Beraya sambil meminjam buku, dan buku-buku yang saya pinjam ini adalah dalam senarai 'patut baca.'

Oh ya, biasanya kita terima tetamu pada hari raya dan macam-macam cerita yang keluar dari mulut mereka. Yang baik, yang buruk, yang manis, yang kelat, yang masin, yang masam. Kutuk-mengutuk juga puji memuji tidak ketinggalan. Tuan rumah biasanya tidak bercakap banyak, sekadar melayan dan mendengar. Tapi kalau tetamu bergaduh di rumah kita, bagaimana pula? Apakah harus kita halau mereka?

Hmm...

Ahad, Oktober 12, 2008

Krisis ekonomi

Saya sudah banyak kali menggoggling perkataan subprima, subprime, krisis kewangan serta berusaha memahamkan sistem kewangan kapitalis AS. Sambil itu saya membongkar kembali nota-nota lama berkaitan kegawatan ekonomi negara pada 1997/8, isu bail-out, polisi kerajaan vs 'dasar maya IMF', membaca lebih banyak tentang sistem matawang dan dollar peg, serta membezakan tindakan bail-out kerajaan AS dan Malaysia.

Perkara utama yang menjadi masalah ialah dahulu saya belajar dalam bahasa omputih, dan sekarang saya perlu memutar kepala mencari maksud perkataan dalam bahasa ibunda. Agak payah juga kerana dikhuatiri boleh salah terms, jadi saya terpaksa bekerja keras mencari sumber bacaan ekonomi dan kewangan dalam BM. Dalam usaha mencari, barulah saya sedar bahawa kita kekurangan sumber bacaan dan rujukan dalam BM untuk isu ekonomi dan kewangan. Banyak dalam English. Jadi layman dan orang-orang yang buta ekonomi dan kewangan amat susah nak memahami sebarang isu yang timbul. Kena baca berkali-kali, kena tanya ramai orang juga merujuk pada buku dan bahan bacaan yang tertentu. Mujurlah ada internet, tetapi jika di Googglekan pun, berapa ramailah agaknya yang faham.

Mujurlah saya ada sedikit ilmu ekonomi, dan ilmu sekelumit itu membantu saya memahami isu-isu yang ada. Jadi, untuk saya yang dahulu rasa tak berkenan nak apply ilmu ekonomi di lapangan masyarakat, rasa terpanggil untuk mendalami kembali semuanya yang dah tertinggal di buku. Enam tahun tak sentuh, jadi dah banyak yang lupa. Kalau tak apply secara direct, pastinya ada cara lain yang boleh saya lakukan untuk memahamkan masyarakat.

Kalau satu jalan dah di tutup, cari jalan lain. pasti ada.

.

Jumaat, Oktober 10, 2008

Selepas Ramadan

Bulan Ramadan sudah berlalu. Syawal menjelma dan Aidilfitri yang dinantikan pun tiba. Masa untuk bergembira, pakai baju baru, tayang langsir baru, tunjuk rumah baru, pesta makan rendang ketupat, undangan rumah terbuka, masa kumpul duit raya [untuk budak-budak] dan masa untuk ibu bapa dan orang bekerja mengongak dalam kepala duit raya yang nak di beri dan baki yang ada untuk hidup sebelum gaji akan datang.

Aidilfitri sangat dinantikan ketika bulan puasa. Jadi, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar menghayati Ramadan, mengejar lailatul qadar dengan berjaga di penghujung malam dan menghabiskan terawih dengan sempurna tanpa tinggal terutama diakhir puasa? Berapa ramaikah diantara kita yang sibuk mengejar harga runtuh di bazar Ramadan tanpa mempedulikan sahur dan imsak supaya dapat beli baju raya pada harga yang murah? Dan berapa ramaikan antara kita yang dapt menghayati Ramadan dengan sebenar nikmat, mengharapkan keampunannya dan limpahan rahmat yang di kurniakan Allah di bulan yang datang hanya sekali dalam setahun ini?

jawapannya hanya kita yang tahu...

Saya dapat cuti agak panjang kali ini, hampir sepuluh hari. Saya kurang beraya, setakat bawa emak abah balik kampung jumpa saudara mara atau melayan jiran yang berkunjung dan kemudian membalas kumjungan mereka. Tapi kali ini kurang meriah. Saya beraya di rumah jiran sebelah. Satu sahaja. Itupun kerana ramai yang balik kampung. Jadi saya beraya dengan buku, terutamanya Bedar Sukma Bisu yang amat mencabar pengetahuan ekonomi saya. Selain daripada itu, masa dihabiskan dengan makan dan tidur.

Selamat Hari Raya. Maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak.

Jumaat, September 26, 2008

Perjalanan mencari cahaya yang bukan mudah

Tidak semua dari kita dikurniakan kesempatan untuk mengecapi segala nikmat yang terhidang di muka bumi ini ketika hayat masih wujud. Ada yang merentasi waktu dengan amat payah. Tidak kurang pula merasakan dia seolah-olah di pinggirkan dari kehidupan. Malah, ada yang memilih untuk menggelapkan diri dalam kehidupan juga membiarkan dirinya ditentukan oleh masa yang tidak pasti.

Nikmat yang dikurniakan-Nya pelbagai. Ada orang lahir dengan segala kemewahan. Segala apa yang diminta boleh wujud dalam sekelip mata. Apa yang dinginkan hadir dengan mudah. Yang lain pula perlu berusaha, kadang kala bukan sekali tetapi berkali-kali sehingga terbit perasaan berputus asa.

Begitu juga hidup. Tidak semua orang dikurniakan kesempatan untuk menerima segala apa yang diwahyukan kepada Muhammad. Tidak semua orang berpeluang menerima hidayah dengan mudah. Tidak ramai yang hidup di tengah cahaya nan terang, di suluhkan perjalanannya di dunia dan melihat kehidupan dengan mata hati yang ikhlas.

Ada diantara kita benar-benar di uji. Ada yang lahir tanpa sekelumit suasana yang menggalakkannya untuk mengenali Islam dengan sempurna. Ibu bapanya begini, masyarakatnya begitu, sekolah pula entah macamana. Lalu, mereka jadi keliru. Tidak tahu mana Islam yang syumul, dan mana yang palsu. Mereka tidak pasti apa yang dicari, siapa yang harus di ikuti, apakah yang harus dilakukan. Akhirnya, tenggelamlah ia bersama keluarga dan masyarakat yang tidak begitu membantu mencorakkannya dengan sempurna.

Saya kesal kadang-kadang dengan orang yang serba sempurna ini. Mereka tutup mata dengan kejahilan sesetengah kawan dan jiran. Buat-buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Tidak berusaha mencegah atau menyedarkan. Seolah-olah syurga telah tertulis untuk dirinya, bukan untuk orang-orang yang di tengah kejahilan itu. Dia sahaja yang layak, orang lain tidak.

Saya sering menasihatkan diri untuk berada di tengah-tengah sebagai usaha menyedar dan menginsafi kejadian diri. Meletakkan kaki sebelah pada bahagian putih, dan sebelah pada bahagian hitam-kelabu. Maksudnya, saya berkawan dengan semua, kerana saya asalnya bukanlah dari golongan yang serba putih tetapi bukan pula hitam. Kemujuran hanyalah kerana saya ditengah keluarga dan masyarakat yang tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu sesat.

Dengan yang putih, saya bergaul dengan orang yang mengaku hebat dalam Jemaah, melaksanakan syariat dengan sempurna, cukup amal ibadahnya, tutur katanya adalah yang berunsur peringatan, sering menunjukkan hal kebaikan dan meluncurkan ingatan terhadap matlamat kehidupan.

Pada bahagian hitam-kelabu, suasana masyarakat sebenar terdedah dan jelas terpapar kehidupan yang serba merimaskan. Keluarga porak poranda, hidup kucar kacir, sekolah tak habis, kawan-kawan yang rosak akhlak, menjadi mat dan minah rempit kemudian jadi bohsia, bergaduh sesama adik beradik, terlibat dalam jenayah, tinggal serumah dengan yang bukan muhrim sehingga bersekedudukan melahirkan anak luar nikah, sumbang mahram dan pelbagai lagi perkara yang cukup membimbangkan.

Saya kadang kala rasa senang berkawan dengan kelompok hitam-kelabu. Kalau sesetengah orang [perempuan terutamanya], dalam mencari rumah sewa kriteria utamnya ialah menyelidik bakal teman serumah. Baik atau buruk, kawan atau lawan. Tetapi tidak bagi saya. Apalah sangat dengan itu, kerana mereka adalah sebahagian kehidupan yang penuh warna warni. Saya pernah serumah dengan macam-macam orang. Orang di hadapan baik tetapi di belakang bawa tunang masuk bilik, pergi kerja pakai tudung sebagai syarat, minah-minah kilang, kaki merokok dalam diam dan macam-macam lagi. Dalam banyak hal, adalah mereka yang bawa lelaki balik rumah waktu saya tiada dan akhirnya mereka terkantoi kerana saya suka menyinggah atau balik rumah mengejut ketika waktu kerja [biasanya insiden tertinggal barang].

Bila bersama dengan mereka, semakin saya sedar bahawa ramai yang mahu menjadi baik tetapi tidak tahu bagaimana mencari jalan pulang ke pangkal. Tiada siapa yang sudi menunjukkan jalan yang sepatutnya mereka lalui, sebaliknya dibiarkan mereka sesat tanpa ada usaha memberitahu atau mengingatkan. Lalu mereka terpinga-pinga, keliru kerana tidak tahu siapa yang harus di dekati. Bukan mudah sebenarnya mengaku diri sendiri jahil jika ia bukan atas dasar benar-benar mahu berubah. Mereka seperti ombak – datang ke pantai kemudian kembali ke laut. Ada masanya mereka mahu berubah, tetapi pada masa yang sama tidak mahu meninggalkan kehidupan yang telah mereka lalui. Ia boleh di betulkan dengan masa dan saya tahu jauh di sudut hati mereka, matlamat menjadi insan putih sebenarnya ada pada setiap diri insan hitam-kelabu ini.

Bukan mudah mencari orang yang boleh bersahabat dengan insan hitam-kelabu. Bukan mudah juga bagi insan hitam-kelabu ini berusaha mendekati orang putih yang selalu memandang jelik terhadap mereka. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan jika mereka terus bergelumang dengan dosa dan ada yang berterusan mencari pahala untuk diri sendiri? Berapa ramai yang sanggup keluar berdakwah di jalanan, bergaul bersama kelompok yang sering merambu keluar malam santak ke pagi? Bukannya meminta mereka berubah sekelip mata, tetapi menunjukkan dan mengigatkan sudah memadai.

Ada juga sesetengah kes, golongan hitam-kelabu terasa insaf tiba-tiba, lalu apa yang harus mereka lakukan? Bertaubat? Tetapi bagaimana bertaubat? Apakah sekadar solat dan doa? Bagaimana jika mereka tidak tahu solat, tidak mengerti bacaan dalam solat, tidak tahu membaca Qur’an, lidah tidak pernah berzikir, bertahmid atau bertasbih? Siapa yang harus di rujuk? Apakah ia semudah pergi ke surau atau masjid dengan sekadar memakai jeans dan t-shirt lengan pendek yang akhirnya dihalau oleh pak guard dengan pandangan penuh sindiran? Apakah boleh mereka menyertai kelas fardu ain, kelas mengaji yang di hadiri oleh mak Datin-Puan Sri yang tidak senang kehadiran orang yang tidak sedarjat mereka? Inilah selalu berlaku.

Hidayah bukan mudah. Untuk berubah juga bukan mudah. Jika golongan putih terus meminggirkan golongan hitam-kelabu, maka masalah tidak akan selesai. Seorang mencari kebaikan, yang lain terperangkap dalam kesesatan. Kita bukannya mahu angkut kutu lepak terus ke masjid atau menyuruh minah rempit pakai tudung, tetapi segala-galanya melibatkan proses. Dan proses bukanlah mengambil masa yang sekejap.

Saya paling benci orang hiporit yang dihadapan memuji tetapi dibelakang mengeji. Mereka yang hitam-kelabu itu lebih ramai yang ikhlas dan setia biarpun mereka terjerat dengan kekeliruan hidup. Benar kata orang, mencari cahaya didalam terang amat sukar sekali berbanding melihat cahaya didalam gelap. Islam di negara kita dipisahkan oleh kekeliruan antara agama dan adat. Satu garis pemisah yang amat kelabu dan tidak jelas. Mana satu yang baik, mana yang benar. Maka kekeliruan itu semakin membesar dan bertebar.

Persoalannya kini, siapa yang sanggup berakwah di jalanan? Siapa yang nak berkawan dengan mat dan minah rempit? Siapa yang mahu melepak dan bergebang di kedai kopi hingga ke pagi? Siapa yang sudi menegur teruna dan dara yang berbual bertepuk tampar? Ada siapa yang berani memeriksa sama ada jirannya itu sudah kahwin atau belum? Ada siapa yakin untuk menebarkan dakwah dengan cara yang terbalik ini?

Ada siapa yang mahu jawab?

Marilah kita sama-sama duduk dalam realiti masyarakat sebenar. Janganlah di ketepikan mereka yang benar-benar memerlukan pecerahan. Syurga bukan untuk masuk seorang diri, tetapi beramai-ramai.


"Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap orang yang diberi tanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia sudah memeliharanya atau mensia-siakannya." (Riwayat Ibnu Hibban).


BBBangi

0431, Jumaat 26 Ramadan


.