Sabtu, Januari 19, 2008

Atas kerana sikap, badan menjadi binasa

Orang tua-tua ada berkata kerana mulut, badan binasa. Memang kebanyakan dari kita sering bermasalah dengan mulut, maksud disini ialah mulut sendiri. Dan ini menjadi kenyataan yang tidak boleh diubah, apatah lagi kerana mulut berlaku krisis di luar jangka di pejabatku petang semalam.

1)
Semalam aku menghadiri mensyuarat akaun dan kewangan di cawangan Seremban. Sudah nasib badan, walaupun berkhidmat dibahagian pentadbiran, soal akaun dan kewangan syarikat juga menjadi sebahagian dari perihal yang memeningkan kepalaku. Sudahlah ia menambah beban kerja, orang yang bertanggungjawab keatasnya boleh bersenang lenang dan berlenggang datang ke mesyuarat sedangkan aku bersengkang mata menyediakan dokumen hingga tengah malam. Tak mengapa, selepas ini akan ku serahkan semuanya kepadanya. Semuanya.

Biasanya setiap awal tahun, syarikat akan menyemak semula tangga gaji para pekerja. Yang bernasib baik akan mendapat kenaikan yang lebih. Tetapi biasanya, akan adalah habuan untuk yang setia berkhidmat. Yang baru masuk, tidak bernasib baik kerana perlu menunggu tahun hadapan. Paling tidak pun, jika prestasi benar-benar memuaskan dan ada pula yang recommend, adalah tambahan yang sesuai dengan beban kerja. Dan tahun ini, entahlah angin apa yang sampai kepada Pengarah Urusanku. Semua dapat kenaikan. Alhamdulillah.


2)
Sesudah makan tengahari, kami bertolak pulang. Sebaik tiba, dan belum sempat kami naik (pejabat kami di tingkat satu), seorang staf turun dengan jujuran airmata memeluk Pengarah Kewanganku, yang juga isteri kepada Pengarah Urusan. Apa pula yang berlaku kali ini? Puas ku tanyakan, tetapi dia enggan melepaskan pelukan. Aku rasa tidak sedap hati. Apakah yang berlaku? Adakah berkenaan urusan peribadi, atau ada apa-apakah yang terjadi di pejabat?

Aku terus naik, melewati receptionist, dia senyum sambil menggelengkan kepala. Masuk ke dalam, seorang lagi menggelengkan kepala. Aku pasti ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Aku terus meluru ke bilikku.

"Kenapa?" soalan yang sama ku tanyakan buat kali ketiga kepada kerani akaun yang duduk disebelahku.

"F*** dan F***** bergaduh. Baling fail, hentak meja."

Aku terpempan. Terdiam. Orang yang sama. Dan perkara yang ku takuti sejak dahulu akhirnya terjadi juga.

Setelah suasana menjadi tenang seketika, aku menemui seorang demi seorang. Mereka yang tadinya berdiam diri, sudah mula berani meninggalkan tempat duduk dan merapati ku. Dalam sebuah bilik, kami berkumpul. Selain bertanyakan tentang keputusan mesyuarat yang sememangnya aku tidak mahu umumkan (biarlah diumumkan secara rasmi nanti), peristiwa tadi menjadi topik utama.

Aku mendengar dari sebelah pihak dan saksi. Yang seorang lagi, biarlah. Memang telah kami maklumi keceluparan mulutnya yang sering mengundang rasa sakit hati orang lain dalam diam. Malah, aku juga tahu dia memang kaki gaduh di syarikat lama. Padaku, biar pun dia mempunyai rekod yang tidak berapa elok di tempat lain, janganlah diulangi perkara yang sama berlaku disini. Namun, segalanya sudah berlaku dan dia nampaknya tidak berubah.

"Dia salah tekan button." Cerita mula dibuka.

"Dia simbah minyak pada api. Terus marak menyala, malah menyambar diri," sambung si pencerita.

"Kata orang tua, kerana mulut badan binasa. Aku pun tak tahu apa yang dia dengki sangat pada aku. Sudahlah aku baru balik jumpa client, hari pula panas, hati aku panas. Dia membebel tidak berhenti-henti."

Dia diam, mengambil nafas.

"Aku dah baling kunci. Dia bising juga. Aku baling fail, lagi dia bising."

"Apa kau buat lepas tu?" Aku bertanya. Hebat juga perbalahan kali ini.

"Aku hilang sabar. Aku sepak dia."

"Kau sepak dia? Kau sepak bini orang?" Aku bertanya. Namun ada juga perasaan untuk 'berterima kasih' kepadanya.

"Apa nak buat. Aku bertanggung jawab atas apa yang aku buat."

Aku ada juga perasaan geram, tetapi aku juga manusia. Rasa kasihan tetap ada. Mungkin khilafnya ada disitu, tetapi dua-dua ada juga saham yang menyumbang kepada peristiwa yang tidak disangka-sangka. Aku melihat apa yang berlaku ini adalah lebih kepada attitude. Aku pasti masing-masing sudah lama menyimpan perasaan yang cukup hebat yang akhirnya terlerai juga hari ini. Nasi sudah menjadi bubur.


3)
Kami bersuari. Aku biarkan sahaja sokseksoksek diluar selepas itu. Sebelah pihak sudah bercerita, namun aku malas menganggu sebelah pihak lagi yang baru naik. Biarlah dia melayan perasaan dan dirinya dahulu. Dia mengajak aku minum petang. Aku mengelak kerana perlu menyiapkan beberapa perkara untuk kelasku malam nanti. Aku tahu dia mahu bercerita dan memohon simpati. Aku boleh berikan simpati, tetapi aku tidak mahu memihak kepada sesiapa. Aku tidak mahu bias. Aku cuba berlaku adil. Tetapi, apakah sebenarnya tindakan yang baik untukku lakukan?

Sebelum tidur lewat malam, aku imbasi perkara tadi. Sebenarnya, aku sudah memutuskan untuk tidak mahu campurtangan dalam hal ini. Aku mahu lepas tangan. Aku sudah menetapkan sejak awal tahun ini - mungkin azam baru - apa yang mahu aku lakukan ialah :pergi kerja, balik kerja, buat kerja hingga siap, aku tidak beri masalah kepada syarikat dan hujung bulan terima gaji. Noktah.

Ini sudah menjadi masalah peribadi mereka. Dua-dua sudah ada rekod buruk dan dua-dua memang pernah bergaduh sebelum ini, tetapi dengan orang lain. Bekerja di bawah satu bumbung, menguruskan perajalanan syarikat malah bertembung pula didalam satu pejabat yang kecil pasti menyukarkan mereka untuk bekerjasama.

Namun aku lihat dari sudut lain pula. Aku kini sudah menjadi orang kanan pentadbiran. Hal-hal seperti ini sudah menjadi tanggungjawab untuk aku selesaikan. Beberapa SMS yang masuk petang tadi memohon pandanganku akan perkara ini. Nampaknya, aku ada tugas untuk meleraikan kekusutan. Ada tanggungjawab yang perlu aku laksanakan bagi menyambung tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Mereka bukannya kecil anak. Malah aku yang lebih muda ini terpaksa pula berperanan menjadi penghubung akan tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Soalnya sekarang ini ialah merubah sikap, bukannya merubah pendirian.

Selepas ini, akan nyata ada perpecahan - team menyokong dan team menentang. Dan secara tiba-tiba aku memutuskan untuk menjadi penghubung akan tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Siapa tahu ada yang baik yang akan lahir akhirnya nanti?


4)
Semuanya adalah kerana sikap. Dan sikap memerlukan perubahan. Lalu aku menghantar pesanan ringkas:
"Kalau akak free malam ni, smslah saya. Boleh minum-minum, borak-borak."

Aku pasti dia tidak akan menolak.


Innallaha ma'ana



.

Ahad, Januari 13, 2008

Menjadi Cikgu

Seingatku ini kali ketiga aku menerima khabar yang menyebabkan ku terfikir sendiri. Dalam perjalanan kita mencari jalan merentasi kehidupan menuju hidup yang abadi, ada kalanya kita perlu membuat keputusan yang drastik dalam hidup.

1)

Aku sedang duduk sesudah solat Asar sambil menunggu beberapa orang teman yang bergilir solat sambil menanti barang-barang yang kami tinggalkan. Tiba-tiba aku terpandang seraut wajah yang pernah ku kenali dahulu. Aku cuba memberi senyum sambil kepala memutar memori memikirkan siapakah namanya. Ingat-ingat lupa.

Aku menyapanya. Ternyata dia masih ingat diriku. Di kolej (asrama) dahulu, dia juniorku dan antara pembantuku yang baik, yang banyak menyumbang tenaga dalam membentuk pasukan atlet kolej. Dia antara yang terbaik dalam bola jaring. Manakala aku ketika itu ditugaskan mencari dan menguruskan para pemain yang sudi mewakili kolej ke kejohanan sukan tahunan, satu kerja yang sukar. Masakan tidak, disini, tidak ramai yang gemar berpeluh dan melompat-lompat di lapangan sukan. Ramai yang segan silu. Yang terlibat pun, muka yang sama dalam apa acara sukan.

“Buat apa sekarang?” soalku. Soalan biasa yang aku tanyakan bila bertemu orang yang sudah lama menghilang. Lagipun, aku pasti dia sudah tamat belajar.

“Saja datang ke mari. Biasanya hujung minggu Sabtu dan Ahad, saya akan datang ke mari. Duduk-duduk di masjid, berlegar-legar disini.” Dia tidak menjawab soalan tetapi aku menyedari ada sesuatu dalam kata-katanya.

“Oh, bagusnya. Melepak di masjid,” aku memuji.

“Saya ambil master disini sebenarnya. Tapi sekarang saya ambil leave.”

“Kenapa?”

“Saya ambil KPLI. Masih lagi dalam kursus,” katanya ringkas.

“Di mana?”

“Di KL juga.” Aku diam. Ambil KPLI, jadi cikgu. Tiba-tiba aku teringin menanyakan satu soalan yang aku sendiri pun tidak terfikir.

“Kenapa ambil cikgu?” soalku sambil senyum. Aku pasti dahulu cita-cita sebagai cikgu tidak pernah keluar dari mulutnya. Lagipun, aku pasti itu bukan impiannya.

Dia diam seakan memikirkan sesuatu. “Ketika saya kerja dahulu, saya rasa lost. Pergi kerja balik kerja. Saya rasa macam saya kehilangan sesuatu.” Aku mendengar kata-katanya satu persatu.

"Ketika itu saya ambil keputusan untuk buat master. Sambung belajar. Tapi saya rasa masih ada lagi yang tak cukup dalam hidup. Saya rasa saya macam tidak menyumbang apa-apa.”

Aku memahami kata-katanya. Malah, aku sendiri pernah berasa di situasi sama sepertinya suatu ketika dahulu. Saat dimana aku rasakan ijazah yang aku genggam itu bagaikan tiada makna bila kerjayaku tidak mengaplikasikan apa yang ku pelajari. Tetapi ku sedapkan hati bahawa aku belajar bukan kerana segenggam ijazah. Aku melangkah ke universiti kerana itu adalah satu impian, dan ia sebenarnya banyak membentuk diriku menjadi seorang manusia. Supaya ada bezanya aku dengan yang diluar sana.

“Kemudian saya memilih jadi cikgu, ambil KPLI. Barulah saya rasa hidup saya ada tujuan, ada arah. Alhamdulillah, rasanya saya dah jumpa apa yang saya nak.”

“Alhamdulillah,” balasku.

Yang bagusnya, saya dapat sekolah di KL. Jadi bila ada kelapangan, saya datang ke UIA. Kadangkala, saya rasa lebih selamat berada di sini dari di luar. Walaupun saya tiada tujuan datang ke mari, duduk sahaja dalam masjid sudah memberikan ketenangan,” sambungnya lagi.

Aku mengiyakan kata-katanya itu. Memang ada benarnya. Tarikan pada UIA ini pada firasatku ialah masjid. Memang tenang berada disini, biarpun bila solat berjemaah aku terasa ada yang pelik. Maklum sahajalah mazhab yang datang disini macam-macam. Maka janganlah dipersoalkan lebih tentang itu.

Selepas berbual ringkas, aku memohon izin untuk pergi. Laut fikirku memutar-mutarkan kata-katanya tadi.

“Mohon KPLI, jadi cikgu.”


2)

Dua hari lepas sewaktu bermalasan membelek 1511H (Kombat) yang sudah lama dibeli tetapi masih gagal dihabiskan, ada satu pesanan ringkas menyapa telefon. Pesanan dari sahabat yang bila berhubungan ada sahaja berita yang ingin disampaikan.

“Tengah buat apa? Aku tengah kemas-kemas barang. Lusa aku masuk maktab buat KPLI. Tukar profesion.”

Aku mengambil masa membalas sambil membayangkan dirinya. Situasi sama juga. Dahulu, hasrat mahu jadi cikgu tidak pernah keluar dari mulutnya. Memang dia antara teman yang rapat, malah aku tahu apa yang dia fikirkan sebenarnya. Kali ini, aku rasa dia memang benar serius. Apatah lagi dia sudah mempunyai dua orang anak kecil manakala suaminya bukan calang-calang orang.

Aku membalas syukur. Dia membalas lagi.

“Seronok ada, berat hati pun ada. Tapi aku nak pergi juga. Anak-anak aku di kampung, emak jaga. Abang aku di Taiping. Nasib baik aku di Ipoh.”

Nampak sungguh dia nekad. Aku rasa situasinya sama seperti kisah di atas. Mencari sesuatu dalam hidup. Lalu aku balas lagi dan semoga ia boleh membakar dirinya.

“Selamat menjadi cikgu yang ikhlas da berjiwa besar. Didiklah anak bangsa sebaik yang boleh. Masuk maktab, duduk asrama adalah tahun-tahun yang penuh dugaan. Tabah dan sabar ya.”

Memang itulah harapanku. Semoga ada yang terkesan dihatinya. Dalam diam, aku memasang niat melawatnya bila ada kesempatan nanti.


3)

Sebaik tamat belajar, aku rajin juga menghubungi teman-teman lama melalui forum di internet yang wujud untuk alumni batch kami. Aku tidak tahu masih wujud lagi atau tidak sekarang ini.

Ada seorang kawan. Lelaki. Aku kenali dia biasa-biasa sahaja. Tidaklah rapat. Lagipun dia antara pelajar UiTM yang sepatutnya ‘terbang’ – study overseas - tetapi hasrat mereka dibatalkan oleh kerajaan sewaktu krisis ekonomi dahulu. Lalu dia memilih UIA sebagai pengubat hatinya yang lara.

Sewaktu majlis konvokesyen dia memberitahu yang dia bekerja dengan sebuah syarikat insurans. Kerjanya lebih kurang menyiasat kes-kes yang di claim oleh pelanggan. Bagiku, kerjanya agak bagus juga bagi seorang fresh grad tatkala aku ketika itu masih sibuk menghantar resume dan menghadiri sesi temuduga.

Kemudian melalui forum, aku dapat tahu yang dia memohon KPLI, mahu jadi cikgu. Ramai juga yang terkejut dan bertanya mengapa. Tambahan pula lelaki kurang minat menjadi cikgu, dan jika ada ia terhad pada kes tertentu. Mungkin emak atau ayahnya cikgu maka dia mahu jadi cikgu juga. Itu kes biasa yang aku jumpa.

Lalu dia menceritakan bagaimana keinginan itu hadir. Akupun ingat-ingat lupa. Katanya, sewaktu sekolah dahulu asalnya dia seorang pelajar yang cukup nakal. Ada sahaja masalah yang memeningkan cikgu. Malah, ada juga cikgu yang putus asa mahu membetulkannya. Tetapi ada seorang cikgu lelaki yang benar-benar berjaya mendidiknya sehingga dia mampu berubah menjadi baik. Dengan bantuan cikgu ini, dia belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seperti apa yang dia jadi sekarang.

Maka hasratnya sekarang ialah menjadi cikgu supaya dia dapat berkhidmat seperti cikgunya itu. Mendidik sambil membetulkan apa yang patut. Dia amat menghargai jasa cikgu tersebut dan berimpian mahu mencontohi apa yang telah dilakukannya. Aku tidak tahu dimana dia sekarang. Berita terakhir yang aku dengar ialah di Johor dan tinggal bersama keluarganya. Aku berdoa agar dia mampu mengejar impiannya itu.


4)

Tiga kisah diatas ini, padaku amat besar kesannya. Niat menjadi cikgu itu murni dan bukan semua orang boleh didorong atas niat mahu mendidik. Ada yang menjadikan cikgu sebagai kerjaya last resort – bila dah tak ada peluang kerja lain barulah ambil borang KPLI atau JQAF atau maktab. Bila dapat, mengajar dengan separuh hati. Niatnya – asal ada kerja dan gaji masuk pada hujung bulan, itu sudah memadai. Tanggungjawab itu bukan yang utama.

Tetapi bagi yang benar-benar ikhlas dengan niat mendidik, walau apa pun dugaan yang datang, ada perkara yang dicari dan ada benda yang dikejar. Bagi kisah pertama, dia menang benar-benar mendidik kerana mahu menyumbangkan tenaganya membentuk anak watan. Dia mahu kehidupannya ada tujuan, tenaganya dicurahkan kepada perkara kebaikan dan mahu melihat kesannya pada insan yang tidak punya impian. Pada kawanku, aku amat hargai pengorbanannya meninggalkan anaknya yang masih kecil. Mana ada ibu yang sanggup meninggalkan anak bagi tempoh beberapa tahun bagi mengejar cita-cita. Aku pasti dia ada sesuatu yang dicarinya.


5)

Amat besar harapanku agar semua cikgu mempunyai niat yang sama seperti ini. Bukannya aku mengatakan cikgu tidak memasang niat, tetapi perhatikanlah beza akan peranan cikgu dahulu dan sekarang. Dahulu cikgu adalah kerjaya paling suci, menjadi idaman semua dan amat dihormati kerana ia adalah orang yang pandai dan celik ilmu. Dewasa ini, institusi perguruan seorang dipermainkan. Kerjaya cikgu dianggap kelas kedua, dan cikgu di tuduh tidak serius mendidik anak bangsa. Macam-macam yang timbul, pelbagai idea yang keluar dan dilemparkan.

Ada kalanya aku merasa kasihan dengan cikgu-cikgu yang diluar sana. Sebelum membuat tuduhan yang pelbagai, lihatlah dahulu beban tugas cikgu. Mendidik anak ‘orang’ dalam keadaan ibu bapanya sendiri ada yang gagal mendidik, kemudian tanggungjawab dijatuhkan kepada cikgu andai gagal membentuk. Adilkah itu? Ada ibu bapa yang lepas tangan – menyerahkan anak-anak bulat-bulat kepada cikgu. Bayangkan, dari jam tujuh pagi hingga satu petang (lebih kurang lima jam) banyak manalah yang dapat di ajar berbanding dengan yang di rumah. Lebih-lebih lagi dengan keadaan anak-anak sekarang terdedah dengan pelbagai perkara yang besar, tanggungjawab cikgu juga semakin besar. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan juga berlaku.


6)
Dahulu, aku pernah ditanya kenapa tidak minta jadi cikgu? Jawapanku mudah sahaja – aku tidak dikurniakan dengan bakat mengajar. Kalau anak murid datang bertemu, pasti ada yang lari. Serahkan sahaja kepada yang benar-benar mahu menjadi cikgu. Yang mahu dengan ikhlas dan niat yang betul.

Aku amat menyanjungi semua cikgu, pensyarah, ustaz dan apa sahaja gelaran untuk mereka, sama ada yang mengajarku secara formal atau tidak. Cikgu adalah lilin yang memberi cahaya terhadap kehidupan. Aku amat memandang hormat terhadap tanggungjawab sebagai cikgu. Melihat kawan-kawan yang dapat KPLI atau JQAF, aku tahu niat mereka ikhlas. Ada tanggungjawab yang mereka pikul, ada beban yang mereka galas. Aku pasti niat mereka satu – mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Tidak ada cikgu yang mahu melihat anak murid mereka gagal.

Walau apapun, hanya masa yang menentukan segalanya.


.

Khamis, Januari 10, 2008

Sudah dua (opsss tiga) tahun

Salam Tahun Baru Hijrah 1429.

Hari ini, blog Masterpiece genap berusia dua tiga tahun. Blog ini kulahirkan tepat-tepat pada 1 Muharram 1427 di pejabat atas sebab 'aku geram kerana kena datang kerja pada hari cuti umum'.

Memang sebelum itu aku gemar menjelajah dari satu blog ke satu blog. Ketika itu adalah zaman pencarian. Aku baru memulakan kerjaya tetap lalu mencari-cari apa sahaja yang boleh ku lakukan sebagai sampingan di rumah selepas waktu pejabat lapan-lima. Sememangnya aku tidak gemar duduk bermalas-malasan di hadapan tv atau sembang kosong tanpa tujuan, membiarkan baki enam belas jam dalam hidupku terbiar kosong. Alhamdulillah, blog menemukan ku kepada pelbagai perkara yang tidak pernah ku fikirkan akan berlaku dan membantuku menemui jalan yang seharusnya aku lalui - jalan yang tidak semua orang pilih dan jalan yang tidak semua orang gemar. Tetapi, aku adalah aku.

Ada juga bertanya mengapa masterpiece? Mengapa bukan kata-kata lain yang lebih Melayu bunyinya. Jawapanku - kerana ia wujud dalam mindaku sewaktu membina blog ini. Ia adalah selepas aku membaca Salina yang ku beli, kerana menurut para sarjana, Salina adalah sebuah novel masterpiece kita dari karya Pak Samad. Boleh sahaja masterpiece diterjemah sebagai mahakarya. Lalu, aku kaitkan keduanya itu dengan blog ini. Jadi dalam mindaku selepas itu, mungkinkah akan ada satu lagi masterpiece menerusi Masterpiece?

.

Selasa, Januari 01, 2008

Catatan Tahun Baru Masihi

1)
Tahun baru masihi. Jalan cukup lengang dari Putrajaya menuju Damansara melalui LDP. Jam menunjukkan pukul 12, tetapi hari cuti pada awal tahun baru mungkin memberi mood segar kepada penghuni kota supaya tidak keluar, sebaliknya bermalas-malasan dirumah atau mungkin di atas katil. Mungkin ramai yang masih lena sesudah penat berjerit tempik dan berhibur di mana-mana arena malam tadi – sempena sambutan tahun baru yang mengkhayalkan dan melalaikan.

Hari ini, di awal tahun aku akan bertemu Kiah dan Norul di Borders, The Curve. Ini pertemuan pertamaku dengan mereka, kerana sejak tamat belajar, masing-masing membawa haluan. Kiah dan Norul selalu juga bertemu, masalahnya aku ini yang sentiasa ketinggalan.

Kami dari Kuliyyah yang sama tetapi dari Department yang berbeza. Aku dari Economics, Kiah dari IT, Norul pula dari Business (kalau tak silap - maaf kalau salah!). Tinggal di satu blok asrama yang sama, tetapi lain-lain tingkat. Kami ditemukan oleh satu kesamaan – buku. Harus diingatkan bahawa tidak ramai orang seperti kami di situ, dengan English dan Arab menjadi perantaraan, dan tiga orang ini memilih haluan yang berbeza dari kawan sebaya.

Kami sengaja memilih Borders, kerana aku belum pernah ke sini manakala Kiah pula tidak mahu ke KL yang cukup menyesakkan apabila cuti. Sementara menanti mereka tiba, aku memilih beberapa buku di Borders dan MPH, buku yang aku jadikan sumber dan menambah bahan penulisanku selepas ini.

Sebaik bertemu, kami memilih untuk solat Zohor dahulu. Aku agak kekok berbicara, kerana sudah lama tidak bertemu. Awalnya aku banyak mendiamkan diri bagi menyesuaikan suasana, walaupun kami sebenarnya banyak berkomunikasi melalui blog, e-mel dan SMS. Cuma kali ini, aku mengikut sahaja arus, tambahan pula aku memang jenis lambat panas. Bila enjin dah panas, barulah boleh masuk gear dan memecut laju!

2)

Kami – aku, Kiah dan Norul - ketiga-tiganya anak sulong dan masih solo. Sepertimana aku sebutkan, kami dahulu ditemukan oleh buku. Dari Kiah aku belajar mengenali DBP, dibawa menyertai program baca puisi di rumah Pena, berkenalan dan mengenali Sasterawan Negara, membakar semangat aku (dalam diam) untuk menulis sekaligus menyebabkan aku berada di dunia aku sendiri sekarang ini. Dia aktif dengan persatuan yang ada hubung kait dengan seni dan budaya, sambil-sambil terlibat dengan Kelab Debat UIA yang mahsyur itu. Aku pula memilih haluan lain – yang tidak semua siswa siswi UIA sanggup – panjat gunung, turun bukit, berekpedisi, berbasikal, berkayak, berkhemah, belajar tentang paramedik dan standby duty, aktiviti kolej dan kuliyyah dan macam-macam perkara yang menjadi kenangan yang cukup indah dalam hidupku. Norul pula mempunya komitmen dengan keluarga – tetapi kekaguman aku dengannya ialah bila bercerita, dia tidak boleh berhenti dan ceritanya pula macam-macam. Selalunya aku akan ternganga dan terdiam.

Dahulunya kami jarang punya kesempatan bertemu. Kiah dengan aktivitinya, aku dengan duniaku manakala Norul dengan perihal keluarganya. Sekarang aku lihat perkara ynag sama juga, namun ia demi survival hidup masing-masing. Namun komitmen ini tidak sama sekali menjauhkan kami, kerana ada sesuatu yang mempertemukan kami sebenarnya, jadi tidak hairanlah jika aku menyebut Borders sebagai lokasi pertemuan.

Tetapi kali ini buku bukan lagi topik wahid. Masing-masing yang sudah bekerja dan bekerjaya membuka cerita tentang dunia yang satu itu. Aku banyak mendiamkan diri, memandangkan suasana kerjaku yang tidak memberangsangkan dan jauh dari apa yang mereka bualkan – ISO, SOP, rules & regulation, procedures. Oh, kalau aku buka cerita, memang semuanya tidak menepati peraturan dan standard dunia kerja. Tempat kerjaku cacamerba dan huru hara. Penuh birokrasi dan prejudis.Tetapi aku berdiam diri bukan sahaja kerana itu, tetapi juga kerana merasa loya, meluat dan bosan bila topik perbualan juga berkisar tentang kerja. Rasanya aku sudah tidak boleh menerima perkara-perkara yang boleh menambahbaik situasi mahupun memperbaiki prestasiku. (Apakah ia petanda aku harus tukar kerja?)

Aku belajar, melihat dan meneliti tentang apa yang mereka bualkan. Sesekali aku termenung memikirkan, bila agaknya syarikat aku akan menjadi seperti mereka? Mungkinkah kerana ia di miliki oleh seseorang yang mempunyai kuasa penuh dan boleh membelakangkan Ahli Lembaga Pengarah, maka semua keputusan boleh dibuat dan bertukar sesuka hati mengikut mood Pengarah? Entahlah, dan aku berdoa yang baik-baik sahaja.

3)

“Aku belum habis baca Tuhan Manusia (TM),” kata Kiah sewaktu melangkah ke escalator. “TM aku dapat sempena hadiah harijadi, kemudian adik aku beli pula TM. Jadi sekarang ada dua,” sambungnya.

“Aku belum beli lagi,” kata Nurol. Mungkin dia belum bertemu lagi dengan kedai yang menjual TM. Aku memandang kedua mereka. Inilah titik persamaan yang aku maksudkan itu.

“Beli online-lah. Lagi senang,” balasku. “Aku dah habis baca. Buku yang bagus.mula-mula rasa berat. Tetapi bila tiba ditengah, kau akan laju sahaja membacanya,” sambungku.

Memang begitulah perasaanku bila membaca TM. Diawal buku, aku berkerut-kerut dahi cuba menghubungkaitkan peristiwa yang berlaku didalamnya dengan idea dan prinsip serta unsur falsafah pluralisme dan liberalisme.

“Kau beruntung dapat berguru dengan Faisal,” kata Kiah. Aku terdiam seketika. Memang ramai yang berkata begitu.

“Alhamdulillah, memang banyak aku belajar. Peluang yang tak semua orang dapat,” balasku. Kemudian perbualan kami berkisar pula tentang FT – gaya penulisannya, buku-buku yang ditulisnya, kajian yang dilakukan serta hasrat memenuhkan koleksi dengan karya FT. Tidak susah bercerita dengan mereka, kerana sebagai orang yang celik ilmu dan tahu perkembangan dunia seni dan sastera, perkara-perkara ini semuanya dihujung jari.

Bagiku, peluang itu datang ketika aku sedang mencari sesuatu untuk diriku. Sesuatu yang aku lakukan kerana minat dan iklas hadir kemudiannya bila bakat aku diasah dari dua tempat – melalui perguruan dengan Faisal Tehrani dan Puan Ainon di PTS – perguruan dari dua mazhab berbeza yang kemudiannya memberi aku peluang untuk menilai dan menimbangkan kewajaran fikrah pegangan mereka yang berlainan. Aku tidak mahu mengulas tentang ini, biarlah aku simpan sahaja kerana setiap insan ada hak sendiri untuk menyatakan pendirian. Jika ada yang bertanya kepadaku, aku akan beri jawapan supaya mereka boleh berfikir juga – 'Imam Syafie berguru dan belajar dengan Imam Malik, malah menghafal al Muwatta’. Namun, Imam Syafie mempunyai pendirian sendiri yang melahirkan Mazhab Syafie.’ Ada soalan lain?

Sempat juga mereka bertanyakan tentang buku pertamaku yang dalam proses akhir. Menunggu masa untuk di pasarkan. Insya Allah, akan tiba saatnya. Kiah antara yang teruja. AKhirnya aku berjaya melahirkan sesuatu.

"Semangat, itu yang penting. Namun ada bagusnya juga untuk terjun dalam bidang ini. Setidak-tidaknya ada benda lain yang boleh kita fikirkan selain dari soal kerja," kataku kepada mereka

“Dahulu aku banyak tulis puisi, kemudian aku bakar semua. Tak tahu nak buat apa,” kata Norul.

“Buat blog dan publish,” kataku, mengingatkan saranan Puan Ainon dahulu, satu saranan yang bernas. Tetapi dia sendiri sudah ada blog, yang aku rasa sudah tidak boleh diakses lagi. Kedua-dua mereka, seperti aku juga ada bakat yang cuma perlu diasah. Tetapi masa cukup membataskan kreativiti. Kiah cuba mencari-cari masa untuk menghadiri kelas dengan PTS. Untungnya, dia baru sahaja habis pengajian sarjana separuh masa, maka dia punya lebihan waktu untuk buat macam-macam perkara. Norul pula katanya baru memulakan kelas Sarjananya dalam ‘Supply Chain Management.’ Oh, bagaimana pula denganku? Tempohari ada tergerak mahu mengambil dalam bidang Kesusasteraan Melayu, tetapi bila aku berfikir, bertanya, menimbang dan merujuk kepada Tuhan, elok rasanya aku pendamkan dahulu hasrat. Buat sementara ini, biarlah dengan Sarjana Muda Ekonomi dan Diploma Terjemahan yang ada dalam simpanan.

3)

“Aku kenal dengan Kiah ni sebab, bila aku pergi kebilik dia mesti ada buku Arenawati di atas meja,” kata Norul. Kiah memang suka membaca buku Arenawati, kerana ia membuatnya berfikir. Aku pernah juga baca melalui buku yang dipas-pas dari Norul-Kiah-aku, tetapi aku tak mampu habiskan. Surrender. Aku pernah beli buku beliau yang dilelong di Jalan masjid India tahun lalu, tetapi masih lagi duduk elok di rak.

Dahulu, Kiah pernah memceritakan kepadaku proses kepengarangan Pak Arenawati. Katanya, “dia akan buat mind map dahulu. Merangka-rangkaikan cerita dari satu episod ke satu episod dan berlingkar-lingkar. Kemudian, Pak Arena akan memulakan ceritanya dari lingkaran yang paling bawah sekali.”

Dahsyat bukan? Dan sekarang Kiah berusaha menambah koleksi buku Pak Arena.


4)
Kami – aku, Kiah dan Norul – berusaha memenuhkan rak buku dengan pelbagai bacaan. Tetapi citarasa kami ialah buku atau novel yang orang lain tak baca. Atau dengan bahasa mudah, bila orang tengok rak buku, dia akan kata ‘wah, banyaknya buku.’ Tapi bila dia menghampiri, membelek, dia akan letak semula dengan dahi berkerut. Bila disuruh ambil satu bawa balik dan pinjam, dia akan kata ‘tak apalah.’ Atau ayat lain bermaksud, ‘aku tak baca buku-buku macam ni.’

Citarasa kami bukan novel cinta atau buku biasa. Mungkin baca juga novel cinta tetapi mahu menjadikannya sebagai koleksi, kami akan fikir berkali-kali. Maaf, bukan memandang rendah. Kami lebih selesa dengan karya sasterawan seperti Pak Arena, Pak Samad atau Pak Abdullah, mahupun buku self help yang bertujuan membantu diri dan kerjaya.


5)
Kami berpisah selepas solat Maghrib. Dua jam terasa singkat. The Curve sudah mula dipenuhi orang ramai. Mujur ruang lantainya luas, maka tidaklah terasa sesak. Aku mengharapkan ada lagi pertemuan selepas ini. Berbual tentang minat dan citarasa yang sama bagiku, buka semua orang boleh lakukan memandangkan kami ini bercitarasa berbeza.

Memandu pulang, perbualan tentang kerja ibarat satu siaran radio yang diulang-ulang ditelingaku. Sesekali mengeluh, sesekali menggeleng – entahlah. Aku berdoa yang baik-balik sahaja sambil aku meneruskan perjalanan ke bidang yang aku gemari ini.


It is just a matter of time.





.