Selasa, April 15, 2008

Catatan Haru-Biru SempenaPesta Buku

Tahun ini saya merasa amat berat hendak ke Pesta Buku – satu tindakan yang jika saya ambil amat merugikan. Penghujung Mac saya sudah mencongak. Pertama sekali, kerana ongkos berkurangan. Walaupun Pesta Buku di awal bulan, saya perlu membajet dengan baik kerana cukai jalan kereta mati menjelang minggu terakhir April, ditambah lagi saya baharu sahaja membeli laptop baru. Kedua, kerana saya cuba menahan diri dari membeli buku baharu dengan alasan masih banyak yang belum dibaca. Ya, semuanya alasan yang remeh temeh. Dalam masa yang saya, saya tidak dapat menolak diri dari menjejakkan kaki ke PWTC. Mana mungkin seorang yang sering mengejar buku melarikan diri malah menolak hari yang penting dalam kalendar tahunan mereka.

Perkara yang merubah bolak-balik hati saya ialah kerana telah berjanji bertemu cikgu bagi menunjukkan hasil yang saya karang selama dua bulan setelah kelas terakhir tamat. Sekurang-kurangnya ada yang dapat ditegur sebelum bertemu kembali pada Ogos. Tempat pertemuan mudah ialah ketik Pesta Buku. Lalu, 8 April, kebetulan saya menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Season, maka saya minta teman sepejabat meninggalkan saya di PWTC. Alhamdulillah. Saya ketemu cikgu yang menanda beberapa perkara (banyak sebenarnya) dalam manuskrip, menegur supaya tidak stereotaip serta menasihatkan beberapa perkara dengan ringkas. Sempat menjengah beberapa kaunter dan membeli karya terbaru cikgu – Karya Nan Indah - serta mendapatkan tandatangan. Sesungguhnya, dua jam itu cukup merubah hati saya Saya harus ke Pesta Buku. Bagaimana saya boleh menolak Pesta Buku kali ini?

Catatan Cikgu

Dan sebaik-baik saya ubah pendirian ini, esoknya saya mendapat khabar gembira. Saya menerima honorarium hasil dari kerja-kerja menyunting terjemahan hampir enam bulan yang lalu. Jumlahnya memang tidak banyak – kerana saya menganggapnya sebagai satu khidmat sosial kepada NGO tersebut, tetapi diberinya saya melebihi dari apa yang saya jangka. Dengan wang itulah, saya menyediakan bajet ke Pesta Buku. Saya semakin bersemangat. Mujur masih berbaki beberapa hari. Saya mahu mengelak Ahad – hari terakhir yang pasti sesak. Lalu saya memilih petang Jumaat, melarikan diri dari kerja pejabat atau mungkin mengambil cuti separuh hari dan berlegar-legar disana hingga malam. Malangnya, perancangan terganggu apabila saya menerima kunjungan teman lama tengahari Jumaat. Saya berkira lagi. Nampaknya saya harus pergi pada hari terakhir, kerana Sabtu keesokannya adalah giliran saya bekerja (kami dibenarkan ambil cuti Sabtu sekali dalam sebulan). Hari terakhir? Ah, saya mengeluh memikirkan kesesakan. Tetapi, itulah pilihan terakhir.

Sabtu, saya melakukan kerja gila. Sepatutnya saya boleh ambil kesempatan ke PWTC kalau mahu berjalan-jalan (kerana ia akan memudahkan perjalanan pada Ahad nanti), tetapi entah, selepas tamat waktu pejabat separuh hari dan menyelesaikan beberapa perkara yang mendesak pada tengahari, saya memandu ke Morib bersama seorang staff. Idea yang terlintas tiba-tiba bila terpandang papan tanda ‘Banting’ di Bandar Baru Bangi. Satu perjalanan yang tidak ada apa-apa, sekadar mahu melihat pantai (sudah bosan dengan rutin kerja agaknya), tambahan pula saya sudah lebih satu bulan tidak pulang ke kampung sejak pilihanraya. (Balik kampung tak boleh, tapi boleh pula ke kampung orang – Banting). Sesekali tukar angin, apa salahnya. Tiba, duduk-duduk, melihat matahari terbenam, menyaksikan air pasang dan pulang semula selepas Maghrib. Nikmat juga terasa dan tiba rumah lewat malam. Letih memandu pergi balik, saya bergegas bangun esoknya bila menyedari hampir terlewat. Saya memandu ke bandar Tasik Selatan, ambil LRT hingga ke PWTC. Perjalanan yang mudah kerana saya memang tidak gemar memandu ke ibukota.

Alhamdulillah, pagi masih awal sebaik tiba. Pintu masih belum di buka. Orang ramai gelisah menanti. Saya memilih ke seberang sungai. Sementara menunggu jam sepuluh, saya merangka dalam kepala buku yang ‘patut’ dibeli. Kali ini saya menasihati diri sendiri – jangan tamak. Hasilnya, saya menjadi begitu selective. Ongkos terhad memang membantu, bila saya memilih yang terbaik. Mula-mula membelek majalah terbitan MMP – Millenia Muslim dan Aniqah – sebagai rujukan manuskrip. Melewati Wira Bukit, En Helmy memberitahu Pak Samad tiba setengah jam lagi. Buku-buku Pak Samad di jual murah kerana mereka ‘tidak mahu pulang dengan buku, supaya ringan.’ Saya menambah, ‘supaya boleh pulang dengan wang yang berat.’ Menuju ke PTS dengan latarbelakang dunia fantasi yang menarik, saya di tegur Pn Ainon. “Mana buku baru? Cepat, cepat.. Ingat, tulis enam buku serentak.”

Buat Duit Dengan MLM di rak

Di PTS, saya mencari-cari Buat Duit Dengan MLM di rak (ehem!). Ambil gambar, dan senyum. Tiada siapa yang memahami erti senyuman ini. Saya beli Yang Ok dan KO Dalam Ibadat Haji Dan Umrah untuk abah. Berpatah balik ke Wira Bukit yang mempunyai susun atur ruang pameran cukup kontemporari dan selesa, sudah ramai beratur menemui Pak Samad. Saya menyambar dua buku – Ilham Di Tepi Tasik dan 68 Soneta Pohon Ginkgo yang masih segar dari kilang. Juga Tulang-Tulang Berserakan karya Usman Awang yang dijual pada harga yang sukar saya percaya – RM 35 berbanding RM 75 dipasaran biasa. Sempat berbual ringkas dengan anaknya (saya kira Pn Lyna), saya tidak memikir panjang membelinya kerana TTB sudah lama berada dalam buku ‘wajib beli.’

Pena biru dan latarbelakang biru - padanan menarik

Dengan dua buku, saya duduk di sebelah Pak Samad dan memperkenalkan diri. Menceritakan tentang dua buah buku yang saya terima tahun lalu kerana entri ini. Saya tahu dia tidak ingat tentang itu, tetapi saya mahu mengatakan dengan jelas kepada Pak Samad bahawa, pandangan saya terhadap Pak Samad telah berubah 360 darjah kerana CD tersebut, sehingga saya berusaha menjadi pengumpul karya Pak Samad. Malah, saya memberitahunya yang saya sedang berguru dengan FT, dan dalam proses menyiapkan sebuah karya. Ada nasihat ringkas dari Pak Samad – saya tidak ingat lagi apa yang dikatanya – tetapi cukup membakar diri waktu itu dan menyebabkan airmata saya bergenang sekejap. Saya tidak mahu mengambil masa yang lama, kerana sudah ramai beratur menanti. Sepanjang perjalanan ke Dewan utama, saya tersenyum biarpun diasak-asak oleh orang yang semakin ramai. Sesekali terlintas dalam kepala, saya harus menetapkan hati untuk melalui jalan ini, jalan yang telah saya pilih!

Pak Samad menandatangani dua buah buku. Kabur

Pagi masih awal, namun ada lagi yang harus saya cari. Adik saya memesan siri Harry Porter. Dua buku pada harga RM 50 cukup mengujakan. Kemudian, saya membeli satu lagi Karya Nan Indah, pada harga yang berbeza dari yang sebelumnya tetapi tanpa tandatangan kerana cikgu datang selepas Zohor, dan akhir sekali Ranjau Sepanjang Jalan yang selalu dibelek tapi tidak dibeli. Kali ini tidak lagi. Ketika ini, saya rasa pembelian ‘selective’ saya sudah memadai. Misi berjaya. Lapan buah buku pada harga kurang RM200 cukup melegakan. Ketika orang ramai berpusu-pusu melangkah masuk ke dalam dewan, saya sudah tersenyum lebar berjalan keluar menuju ke stesen LRT. Tangan kebas menjinjing beg kertas dan plastik berisi buku, bahu pula mendukung beg. Perjalanan pulang dengan LRT yang kosong, saya mengimbas perbualan dengan Pak Samad, nasihatnya yang saya sudah lupa, teguran Puan Ainon supaya menulis enam buku serentak, karya saya pada rak, buku-buku yang dibeli dengan bajet yang menarik dan perjalanan yang saya lalui sepanjang hari ini. Juga perjalanan saya dalam dunia ini. Inilah jalan yang saya pilih, dan saya pasti ia bukan jalan yang salah.

Ini sahaja yang saya beli. Banyak untungnya berbelanja dihari terakhir

Azan Zohor berkumandang tatkala saya menjamu selera bertemankan Ilham Di Tepi Tasik dan 68 Soneta Pohon Ginkgo. Petang itu saya tidur kelelahan dan sempat bermimpi bertemu Pak Samad lagi. Hah, sempat juga Pak Samad hadir dalam mimpi saya. Haha..

Isnin, April 14, 2008

Hidup


Hidup ini
Tidak akan mati dek keji
Tidak akan luak dek maki
Hidup mesti terus

Angkat kepala, pandang depan, baru ada kemajuan!

Selasa, April 01, 2008

Pura Bujangga

Antara buku yang dilelong di DBP tempohari.

Baru sahaja baca cerpen pertama Matinya Seorang Pahlawan tetapi tusukan tajamnya begitu terasa. Teringat kepada Dr Burhanuddin al-Helmy.

...memihaklah kepada rakyat, meskipun kau akan musnah kerana itu...

Beberapa capaian untuk maklumat tambahan mengenai Allahyarham boleh di temui di sini, di sini atau di sini.

Al Fatihah.