Ahad, Ogos 24, 2008

Membilang hari


Boleh dikatakan usaha ini berada pada takah terakhir. Sembilan puluh lima peratus sudah berjaya disiapkan. Cuma ada beberapa babak yang perlu di telitikan kembali. Masih dalam suntingan akhir, suntingan halus. Perancangan saya, minggu hadapan siaplah semua dan akan dihantar sebaik-baknya sebelum Ramadhan, supaya boleh enumpukan kepada usaha terbaharu.

Dan kelemahan saya ialah tidak berkemampuan menyunting di atas monitor. Perlu dicetak, dan di tulis, di potong, ditambah. Mencetaknya sudah berkali-kali dan menelan dakwat pencetak yang bukan sedikit, tetapi apalah sangat dengan itu.

Usaha ini sebenarnya mempertaruhkan sesuatu yang besar. andai ia berjaya, saya dapat melihat sesuatu yang bakal menggemparkan. Jika ia berjaya. Dan saya berani mempertaruhkan masa depan di sini, mungkin juga nyawa. Jika ia benar-benar berjaya.



.

Satu dua soalan

Bila sahaja mendengar ada orang bertukar kerja, atau mendapat kerja baharu atau ada staff baharu masuk ke pejabat, saya suka sekali bertanya beberapa soalan cepu emas kepada mereka dan kemudian membandingkan jawapan mereka dengan situasi saya.

Soalan penting yang saya tanyakan ialah mengapa bertukar kerja? Apa yang kurangnya di tempat lama? Apa yang di carinya di tempat baharu? Dan soalan-soalan selanjutnya menyusul seputar perkara itu.

Saya merasa kagum jika ada orang boleh melakukan sesuatu itu dengan penuh cekal. Misalnya penuh nekad berhijrah dari satu organisasi ke organisasi yang lain dengan harapan perubahan ini adalah yang terbaik. Ada juga beralih bidang ke dalam ruang yang asing, yang tidak pernah di laluinya sebelum ini, dan dilalui dengan keinginan mahu merubah kehidupan. Misalnya berpindah ke bidang pertanian atau penternakan. atau dari syarikat besar ke syarikat kecil. Atau dari jawatan besar ke jawatan kecil.

Selalu-selalu jawapan mereka itu dijawab dengan sepenuh hati. Dan selalu-selalu juga saya termenung memikirkan jawapan mereka. Bagaimana jika perubahan ini bukan seperti yang di hajatkan? Apakah hasilnya jika mereka terperangkap dalam situasi yang mengakibatkan diri mereka mersa terkilan dan menyesal?

Soalan saya dan jawapan mereka yang pelbagai itu bukanlah menjadikan satu pertimbangan untuk saya menilai mereka, bukan juga untuk menentukan untung nasib mereka. Saya melihat kepada diri sendiri. Apakah saya bersedia untuk berubah, atau berhijrah (lagi)? Apakah saya secekal mereka, sekukuh semangat mereka untuk membuat satu keputusan yang penting dalam hidup?

Selang beberapa waktu saya gagal menemui jawapan buat diri. Masih gagal menentukan hala yang sebenar. Masih ada syak wasangka dan was-was bersarang dalam diri. Selalu juga rasa memperkecilkan semangat dan merendahkan kemampuan diri sendiri. Namun saya pasti, satu keputusan drastik harus saya lakukan demi kebaikan diri. Soalnya, bila?

Bila saya renung kembali semangat yang ada apabila berjaya menyiapkan sebuah karya yang berjaya diterbitkan, atau menghantar cerpen sehingga berjaya di siarkan, saya tertanya-tanya dimana datangnya kekuatan dan keazaman sebesar itu, yang mampu menghasilkan sesuatu bermakna buat diri. Semangat yang berlari-lari, kemudian datang kembali, terbang melayang-layang ditiup angin, kemudian mendarat kembali pada diri. Ah, begitu sukar kadangkala untuk menjangkakan semua itu.

Saya perlu lebih istiqamah. Persistent dan consistent. Pilihan ditangan sendiri, dan hidup adalah untuk membuat pilihan.


.

Sabtu, Ogos 23, 2008

Sekitar MAHA 2008

Jarak antara Bangi dan tapak ekspo MAHA 2008 tidaklah jauh. Sepuluh minit memandu sudah memadai. Mungkin kerana tidak menggemari sebarang bentuk karnival mahupun ekspo (yang melibatkan ramai orang), maka segala-gala yang berkaitan dengan itu saya ketepikan biarpun ia baik untuk diri sendiri.

Tetapi MAHA 2008 bagai menarik keinginan untuk saya meluangkan waktu. Buat pertama kalinya, saya menanda dalam kalendar tarikh dimana MAHA 2008 berlangsung. Itupun masih tidak berkesempatan meluangkan waktu dengan lebih panjang. Merancang dari sehari ke sehari, saya menetapkan bahawa saya perlu pergi walaupun sekejap, dengan mengelak dari berkunjung pada hujung minggu (waktu puncak). Oleh itu, saya merangka dalam diam. Habis kerja pukul 5, saya punya empat jam untuk berlegar-legar di sekitar tapak ekspo. Kalau pegi setiap hari, berbaloi juga. Jadilah, dapat curi-curi masa.

Sebenarnya, saya sudah masuk secara haram ke dalam tapak ekspo MAHA pada hari pertama atau kedua ianya bermula. Waktu lawatan ialah dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Malam itu saya keluar makan, lalu ringan sahaja mulut mengarahkan si pemandu menuju ke MAHA 2008. Waktu sudah melewati jam sebelas malam ketika itu. Dengan penuh yakin, kami meredah malam, melalui kawasan yang tidak pernah saya tempuhi biarpun saban waktu ulang alik ke Putrajaya mahupun menggunakan lebuhraya LDP. Secara kasar, saya dapat gambaran untuk ke sini.

Namun biasalah. Apa yang dirancang belum tentu menjadi kenyataan. Sepanjang MAHA 2008 berlangsung, saya dapat pergi sekali sahaja. Tiga jam di tapak ekspo cukup memenatkan kaki yang melangkah. Tetapi, saya menemui kepuasan yang sebenar biarpun tidak dapat menjelajah ke semua kawasan.

Saya dan teman sekerja tercangak-cangak sebaik sahaja tiba. Maklumat yang saya terima - ada dua kawasan utama, iaitu dewan dan ladang. Maka saya melangkah ke dewan dahulu. Tiga dewan utama yang besar menampilkan pameran dari pelbagai agensi swasta dan kerajaan, orang perseorangan, IKS, syarikat kecil dan besar, bank dan agensi yang berkaitan dengan pertanian. Memang semanya menarik perhatian. Jika saya benar-benar dalam bidang pertanian, memang inilah ekspo yang saya nantikan. Tetapi penglibatan kecil saya tidak memungkinkan saya bertanya banyak perkara. Cuma melihat-lihat dan menyentuh sambil mengambil gambar. Fikiran tidak fokus kepada apa yang di mahukan, jadinya saya sekadar berjalan-jalan sahajalah. Hajat dihati ingin juga mendapatkan maklumat tentang serai, tetapi tidak kesampaian.

Biarlah gambar dibawah ini menceriakan hasil pengembaraan selama dua jam di MAHA 2008. semuanya diambil dari dewan pameran. Kemudian, menahan tram dan naik mengelilingi kawasan ladang. Seronok juga naik tram (percuma). Letih tetapi menyeronokkan!

Bonsai ini berharga RM 20,000. Teringat pula kepada pokok-pokok yang dihias oleh adik saya di kampung. Andai usahanya dikomersilkan, mungkin boleh mencecah harga seperti ini.

Gambar dari luar dewan pameran sebelum menunggu tram. Berdiri di sini, saya memandang ke sekitar. Kawasan parkir yang luas, di kelilingi oleh kawasan ladang. Ah! Nikmatnya memandang pokok yang menghijau. Bilakah agaknya saya boleh terjun sepenuhnya ke bidang ini? (doa saya- janganlah jadi Mat Jenin!)

Pertanian adalah perniagaan! Bila lagi mahu bermula?

Memandang Betik Sekaki segera saya teringat kepada Salsabila, Teh Sofia, Kamil dan Lam Ping Hai.

Ini buah langka. Ceri Terengganu yang jarang di temui. Tak tahulah rasanya bagaimana pula

Teka teki orang tua - buah apa yang tidak bertangkai? Nampaknya kena cari jawapan lain. Buah Melaka ini nampaknya ada tangkai. Buah langka juga.

Sawah padi ini menjadi perhatian. Memang padi yang betul-betul di letakkan di samping gambar pemandangan sawah. Tidak putus-putus pengunjung bergambar. Rasanya seperti berada di sawah yang sebenar. Jadilah, untuk mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sana.


Penat berjalan, naik tram mengelilingi kawasan ladang yang luas amat. Satu pengalaman baharu. Tram yang saya naiki bernama Tongkat Ali.


Selasa, Ogos 19, 2008

Dulu-dulu

Olimpik membangkitkan kembali kenangan saya kepada semangat dulu-dulu. Ketika menjadi atlit, menjadi ahli sukan. Walaupun tidak jauh perginya, namun ia tetap satu kenangan yang cukup bermakna.

Nanti saya akan masukkan entri yang berkaitan...hmmm..

:-)

.

Rabu, Ogos 13, 2008

Buku : Meniti Lautan Gelora - Sebuah Memoir Politik Oleh Said Zahari

Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik Oleh Said Zahari

Hakikat sebuah perjuangan memerlukan pengorbanan yang biasanya bukan sedikit. Pengorbanan terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat malah pendirian diri. Selalu apa yang diperjuangkan itu tidak di terima, di tolak juga di ketepikan. Yang cekal dan tabah, melaluinya dengan penuh kesabaran. Yang tidak, akan jatuh kecundang lalu parah dalam perjalananan. Tidak ramai yang boleh bertahan dalam memperjuangkan prinsip dan pendirian, tidak ramai juga yang memahami mengapa mereka bermati-matian melawan keadaan dan persekitaran.

Dalam hal ini, saya salut kepada penulis buku ini, Pak Said Zahari, sepertimana sajak yang ditulis oleh Usman Awang khusus untuknya. 17 tahun hidup ditahan dari satu kurungan ke satu penjara yang lain, mengira bilakah hari akan dibebaskan, melihat anak membesar bukan dihadapan mata, menahan caci maki dan fitnah pemerintah juga masyarakat serta kerenah birokrasi yang tidak mengerti hakikat kehidupan seorang pejuang. Siapa yang benar-benar boleh bertahan 17 tahun hidup dikurung?

Saya akui agak lewat membaca memoir ini. Tetapi, jujur ingin saya katakan, saya tidak mengenali siapa Said Zahari sehinggalah memoir ini diterbitkan, diikuti beberapa memoir yang berikutnya. Membaca dari halaman ke halaman, semua ceritanya begitu mendebarkan, memaksa saya menelan fakta dalam keterpaksaan dan menerima maklumat baru yang selama ini terlindung atau sengaja disembunyikan dari pandangan umum.

Ini sememangnya sebuah memoir politik, catatan dari riwayat hidup Malaya kemudian Malaysia juga Singapura menuju kemerdekaan, propaganda dan konspirasi, arus kebangkitan komunis dan perjuangan terhadap mempertahankan prinsip dan keyakinan. Dengan kata mudah, Memoir ini adalah biografinya, tetapi penglibatan Pak Said dalam bidang kewartawanan telah membawanya jauh melampaui tugasnya itu, menjadikan wartwan sebagai profesyen yang amat merbahaya ketika itu. Tulisan mereka benar-benar difahami rakyat, dibaca dengan penuh semangat, membakar jiwa dan harapan, membentuk pemikiran rakyat sekaligus menyebabkan kerajaan panas punggung dan merasa tercabar berkali-kali.

Said Zahari, bagi yang tidak mengenali ialah Pengarang Utusan Melayu pada penghujung tahun 50-an. Tahun-tahun dimana beliau menjadi Pengarang, adalah tahun–tahun yang rusuh. Pelbagai peristiwa tercatat dalam sejarah, dan Pak Said adalah insan yang terpilih terlibat secara langsung dalam peristiwa ini. Penangkapan Tan Sri A Samad Ismail, mogok Utusan (yang akhirnya saya fahami dengan jelas), isu-isu pertanian yang cuba ditegakkan (seperti Hamid Tuah dan baja urea), isu politik antarabangsa (Irian Jaya, Amerika juga Cuba) Lee Kuan Yew vs Tunku Abdul Rahman, cabaran politik berhaluan kiri, konspirasi komunis dan Chin Peng, diharamkan memasuki Malaya oleh Tunku, Gagasan Malaysia dan kemerdekaan, sikap antipenjajah dan semangat kemerdekaan, dan turut menyentuh peribadi para pemimpin negara yang tidak pernah di bicarakan secara langsung, kalau boleh secara berterus terang seperti ini, yang kebanyakan mereka telah lama menghuni alam barzah.

Memoir yang mencatatkan kisah hidup Pak Said sejak kecil (mengingatkan saya kepada Pak Samad juga – ketika pendudukan Jepun dan kembalinya BMA ke Malaya), cita-citanya juga bagaimana Utusan boleh menjadi sebahagian dari dirinya, kerjaya di Utusan, penglibatan dalam politik sehinggalah di tahan dan dibebaskan. Banyak perkara diterangkan satu persatu dengan jelas, serta memberi kefahaman kepada saya tentang banyak perkara yang tidak terjawab, yang tidak dapat saya cari walau dimana-mana sumber sebelum ini (siapa yang berani menyentuh peribadi pemimpin negara atau menjentik sikap mereka sedalam-dalamnya?).

Seperkara yang amat saya hormati dalam Memoir ini ialah keterbukaan Pak Said menceritakan satu persatu peristiwa sehingga menelanjang bulatkan (jika saya boleh guna perkatan ini) para pemimpin negara. Cita-cita politik mereka, mainan politik, keraguan dan keyakinan, penindasan dan tekanan kolonial terserlah. Masing-masing cuba memuaskan hati pihak yang lain, sehingga tidak sedar telah menggadaikan maruah masyarakat dan bangsa yang ketika itu dalam proses kemerdekaan. Sehingga akhirnya, wartawan tidak lagi dianggap sebagai ajen perubah, tetapi sekadar pelapor kepada peristiwa dan terikat oleh suasana dan undang-undang yang mencengkam.

Memoir ini menjawab persoalan Pak Said yang dilabel komunis oleh Lee Kuan Yew sekaligus disumbat tanpa bicara selama 17 tahun. Tetapi ia lebih dari itu. Pak Said boleh dikatakan antara orang yang melihat Malaya, Malaysia dan Singapura membesar dan merdeka, dikelilingi dengan konspirasi kolonial, komunis dan jatidiri pribumi. Menjadi orang yang terlibat secara langsung terhadap sejarah yang telah tertulis dan cuba dipadamkan kebenarannya, saya benar-benar memahami perjuangan Pak Said. Salut untuk Pak Said, seperti sajak oleh Usman Awang – Salut Untuk Said Zahari.

.

Sabtu, Ogos 09, 2008

Buku : Kapten Hassan - Wira Bangsa

Kapten Hassan: Wira Bangsa oleh Harun Johari

Umum mengetahui tentang filem Sarjan Hassan yang dilakon dan diarahkan oleh P Ramlee. Namun tidak ramai yang mengetahui ia sebenarnya diangkat dari kisah benar kehidupan seorang askar Melayu yang berkhidmat dengan penuh cemerlang, berani dan bersemangat. Namum pengakhiran hidupnya dalam perkhidmatan ketenteraan di palitkan peristiwa yang telah menutup segala sumbangannya terhadap negara, hanya kerana berusaha menjadi seorang yang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Novel ini diterbitkan pada 1993 oleh DBP, terselit antara buku-bulu yang dilelong oleh DBP, dengan cover yang cukup buruk. Saya tidak akan beli novel ini kecuali dilelong dengan melihatkan kulitnya yang tidak langsung mengujakan. Membaca tajuknya pun sudah menjadi masalah. Tulisan berwarna hijau dilatari warna hitam. Masalah, bukan?

Novel nipis 162 mukasurat ini ibarat sebuah biografi, menceritakan dengan cermat satu persatu kehidupan Hassan bin Haji Osman sejak dari kecil sehinggalah penglibatannya ke dalam askar. Anak jati Negeri Sembilan ini mendapat didikan agama yang kuat, dihantar ke sekolah pondok sehinggalah pengajiannya terhenti akibat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Seperkara yang menarik, beliau belajar agama di Negeri Sembilan juga (di dalam negara), bukannya menuntut di Indonesia atau mengembara hingga ke Mekah seperti mana yang sering berlaku ketika itu. Lalu, boleh dikatakan bahawa Kapten Hassan adalah produk tempatan yang asli.

Keadaan yang mendesak ketika pendudukan Jepun membuatkan Hassan berkahwin dengan pilihan keluarga bagi mengelakkan diri di hantar membina landasan keretapi maut. Diceritakan juga tentang gerakan Force 136, perjuangan MPAJA serta Bintang Tiga yang bermaharajalela sebelum British kembali memerintah selepas Jepun menyerah. Dalam masa 14 hari sebelum BMA kembali ke Malaya, dua peristiwa besar menimpa Hassan. Seluruh ahli keluarga Hassan termasuk isteri dan ibu mertuanya di bunuh oleh komunis yang ketika itu terdesak mencari makanan dan wang bagi meneruskan perjuangan mereka. Hassan yang tidak bersama keluaganya ketika itu merasa amat sedih. Ini diikuti penangkapan datuknya, seorang penghulu oleh Bintang Tiga. Dua peristiwa ini menyemarakkan lagi kemarahan Hassan sehingga dia berazam mahu menuntut keadilan.

Ada satu peristiwa menarik pada petang penangkapan datuknya. Hassan bersama dua saudaranya pergi ke Kg Bukit Katil menaiki basikal menuntut ilmu mempertahankan diri dan kebatinan dari seorang guru yang terkenal disana. Selepas seminggu, mereka kembali dan bersama-sama penduduk kampung, mereka berkumpul beramai-ramai di masjid berzikir. Tidak jelas apa yang mereka lakukan, tetapi tindakan ini menyebabkan komunis ditimpa ketakutan. Ada yang nampak parang terbang kearah mereka, dikuti beberapa peristiwa lain yang pelik dan menakjubkan. Datuknya dibebaskan sejurus selepas itu, hasil dari ketakutan anggota komunis.

Tindakan ini menyebabkan saya mencari buku 1515 kaya Faisal Tehrani. Tun Nyemah Mulya berjuang menentang Feringgi dengan keadaan begitu juga. Terapung di udara, terbang dari pucuk kelapa ke pucuk kelapa, tubuh kalis pluru, bantuan jin-jin Islam, memahami pengertian syahid, melompat bertingkah mengacu keris, dan macam-macam lagi sambil mulut tidak henti membaca ayat suci al Qur’an biarpun sedang menghunus keris. Andainya semua, atau sedikit dari kita seperti Nyemah Mulya, tidak tidak akan dijajah sebegitu lama. Subhanallah.

Kembali kepada novel kecil ini. Hassan kemudian memasuki dunia ketenteraan dalam pemilihan kedua. Ketika itu British sedang membangunkan angkatan tentera menggunakan tenaga anak tempatan. Pemilihan baru dilakukan selepas melihat berkurangnya anggota yang ada selepas perang. Hassan terpilih, menjalani latihan asas dan diserapkan dalam markas kompeni. Maka Hassan secara rasmi menjadi seorang askar.

Diceritakan bagaimana Hassan dengan begitu berani berdepan dengan komunis tanpa sebarang ketakutan dan keraguan. Padanya, hanya Allah yang ditakutinya. Beliau tidak meninggalkan solat biarpun didalam hutan dan sering mengepali pasukannya melakukan rondaan, mengejar komunis mahupun berdepan secara sendiri dengan komunis. Banyak cerita yang menunjukkan keberanian Hassan yang tanpa gentar menghampiri mereka biarpun dihujani peluru. Ada yang mengatakan Hassan kebal dari sebarang peluru.

Apabila melihat kembali perjuangan Nyemah Mulya, saya tidak nafikan hal ini. Kekuatan ilmu agama dalam diri membantu mereka berkeadaan sedemikian. Malah, komunis turut gerun bila mendengarkan Hassan ditugaskan ke satu-satu tempat, kerana tahu nyawa mereka pasti berakhir. Hinggakan komunis pernah mengepung rumahnya untuk menangkap dan membunuhnya tetapi gagal kerana mereka tersilap rumah biarpun segala perancangan rapi telah dilakukan. Malah, seorang anggota wanita yang cantik dihantar berpura-pura menyerah diri dan insaf dalam tahanan bagi menggoda Hassan. Komunis percaya dengan cara ini, iman Hassan akan luntur lalu melemahkan keberaniannya berjuang. Begitu takutnya mereka terhadap Hassan! Namun perkara sebaliknya berlaku. Gadis itu terpikat pula dengan sifat luhur Hassan dalam berjuang menyebabkan gadis itu mempengaruhi rakan-rakannya untuk menyerah diri, kemudian berkahwin dengan pemda pilihan. Ini merupakan satu kemenangan psikologi buat Hassan.

Keberanian Hassan ini menarik minat P Ramlee untuk mengangkat perjuangan Hassan di layar perak. Asalnya ia merupakan skrip drama pentas yang ditulis oleh Hassan sebagai hiburan ringan kepada para askar. Skrip ini lebih merupakan kepada riwayat hidupnya. Drama pentas ini mendapat sambutan hangat dan liputan media pada tahun 1955. P Ramlee tertarik lalu menghubungi Hassan, meneliti skrip lalu menyampaikan hasrat memfilemkannya. Oleh kerana ketika itu masih darurat, P Ramlee berpendapat adalah lebih baik jika skrip diubah kerana khuatir penayangannya disabotaj oleh komunis yang masih menggugat ketika itu. Filem itu kemudianya dinamakan ‘Sarjan Hassan’. Beliau diberikan sedikit sumbangan atas penayangan filem tersebut.

Ada satu peristiwa yang menarik menjelang kemerdekaan negara, yang tidak pernah diceritakan dimana-mana terbitan. Sepuluh hari sebelum menyambut kemerdekaan, Hassan yang berpangkat Leftenan ketika itu memimpin pasukannya membuat tinjauan dan pemerhatian di Ladang Getah Waterfall, Rawang. Biarpun telah diberitahu keadaan memuaskan, beliau tidak berpuas hati. Seolah-olah gerak hatinya memberitahu akan ada perkara yang tidak dijangkakan akan berlaku. Hasil strategi yang dipasang serta sikap berhati-hati terhadap intipan, tiga pengganas dibunuh. Rupa-rupanya mereka sedang merancangkan satu perbincangan dengan 35 ketua pengganas seluruh Malaya yang menyamar sebagai penoreh untuk membunuh semua pemimpin negara ketika majlis sambutan kemerdekaan. Malangnya, 35 ketua pengganas yang menyamar itu sempat melarikan diri, tambahan pula mereka menyamar sebagai penoreh getah dan langsung tidak disangka mereka adalah komunis. Jika tidak, mereka semuanya pasti mati terbunuh. Hasil tindakan ini disusuli dengan gerakan serta serbuan di daerah Rawang bagi menangkap mereka yang disyaki terlibat. Dengan itu, lumpulah rancangan komunis bagi menggagalkan sambutan hari kemerdekaan pada 31 ogos 1957.

Hassan beberapa kali dianugerahkan penghormatan kerana keberaniannya berjuang. Beliau dinaikkan pangkat satu demi satu dan menjadi terkenal dikalangan pemimpin negara. Tahap disiplin yang tinggi serta kepatuhan terhadap suuhan Allah menjadikan Hassan seorang anggota tentera yang amat digeruni. Malangnya sikap ini tidak dicontohi oleh anggota yang lain. Dia melaporkan kepada pegawai atasannya atas kelakuan seorang pegawai kanan berpangkat Mejar (yang langsung tidak disebutkan namanya) membawa seorang wanita bukan muhrim ke bilik bujang pada waktu malam. Tindakan ini memerangkap Hassan, apabila dia dipandang serong, ditukarkan lalu diarahkan bekerja dibawah pentadbiran pegawai kanan yang berpangkat mejar itu (yang menjadi ketua Kompeni) sekaligus menimbulkan pergeseran peribadi antara mereka.

Akibatnya, permohonan Hassan untuk menyambungkan perkhidmatannya ditolak oleh ketua kompeninya itu sebagai usaha membalas dendam. Sekaligus menyebabkan Hassan yang berkhidmat selama 16 tahun tidak layak menerima pencen biarpun dia masih lagi mahu berjuang. Satu pengakhiran yang cukup memalukan bagi seorang yang telah banyak berkhidmat dan berbakti kepada tanah air.

Seterusnya, Hassan berusaha memohon secara rasmi dari Tun Razak yang mengenalinya dan dipanggil berkhidmat sepenuh masa dalam Askar Wataniah berpangkat kapten. Selepas bersara, beliau menjalankan perniagaan sendiri dan aktif dalam UMNO. Beliau meninggal dunia pada 30 April 1991.

Begitulah kisah seorang pejuang yang jarang-jarang sekali dibukukan. Sayangnya, novel kecil ini di bukukan dalam keadaan yang tidak begitu menarik. Alangkah baik jika DBP berusaha menaiktarafkan novel ini menjadi sebuah biografi yang menarik bagi tatapan generasi yang tidak mengerti erti perjuangan. Tambahan pula, ia turut mengimpunkan banyak gambar kenangan Kapten Hassan dalam perkhidmatan. Gaya penulisannya juga teratur dan saya pasti terhasil dari penyelidikan yang mendalam. Semoga ada usaha berterusan kepada novel ini, supaya tidak tamat menjadi bahan lelongan sahaja.


.

Membetulkan yang bengkok

1.
Saya menyambut borang yang diberi. Mengambil pen, saya menandatangani pada ruang yang tersedia. Kemudian, dengan lembut dan antara dengar tak dengar, saya bertanya, “tak pergi solat Jumaat ke?”

Dia terdiam seketika, mungkin tak sangka saya bertanya dengan keadaan yang sebegitu serius. Maklum sahajalah, kami sering menegur dengan nada kasar, bercakap kuat-kuat atau bergurau dalam nada yang tidak enak. Tiba-tiba di tegur dengan suara halus mungkin nampak sedikit seriusnya.

“Aku sakit perutlah. Pagi tadi aku makan karipap kat bawah, terus rasa sakit perut. Ini pun aku tahan sejak tadi.”

Saya senyum sambil menyerahkan borang yang telah saya tandatangani. Tiada soalan lagi dan dia terus pergi. Di dalam hati saya meragui, tetapi tiada kuasa mahu menaruh syak wasangka yang berlebihan. Sekurang-kurangnya saya tahu sebab mengapa dia tidak menunaikan solat Jumaat. Kalaupun dia beralasan atau sengaja mencari helah, terpulanglah. Bukannya tidak pernah di tegur. Selalu-selalu.


2.
Inilah antara perkara yang menghantui beberapa orang daripada kami. Terlalu banyak ruang-ruang yang bengkok disekeliling. Ada yang sudah rebah, ada yang bengkok tak pernah cuba ditegakkan. Jarang-jarang dapat melihat ia menjadi tegak kembali. Yang tegak menjadi bengkok bertambah-tambah pula.

Menjelang Ramadhan, dugaan disini bukanlah diri sendiri terhadap terhadap makan dan minum, tetapi orang-orang yang bengkok ini. Hari pertama atau kedua, keadaan mungkin ok. Hari seterusnya, sudah ada yang menjinjing plastik senyap-senyap masuk ke dalam bilik atau stor. Kemudian, ahli yang bengkok bertambah ramai. Rokok sudah mula berbau bila membuka mulut. Malah tidak segan silu lagi menjinjing plastik makanan. Dan tidak ada perasaan malu untuk mengaku tidak berpuasa.

Sedih rasanya bila mengenangkan yang memberi alasan adalah dari kalangan yang masih muda. Bila ditanya, seringkali mengelak dari menjawab. Bukannya tidak pernah ditegur, bukan tidak pernah dinasihat. Di sindir, di nasihat, semuanya mengeraskan hati. Yang penting, perut kenyang. Kata-kata kami di balas senyum. Siapa pula yang tak sakit hati.

Itu pengalaman tahun-tahun sebelum ini. Kali ini kami memasang azam.

“Aku nak pegang kunci bilik tu, supaya tak boleh masuk.”Kata seorang yang geram amat.

“Bagus, dan aku nak beri tazkirah sentiasa. Tak mahu putus asa. Supaya semua jadi insaf. Kalau nak makan, pergi tempat lain. Jangan makan di pejabat.”

“Ya, betul. Aku rasa lebih baik jadi laser. Terus tembak, tak payah fikir-fikir lagi dah. Terlalu berlembut, mereka pijak kepala kita pula. Kali ini, tidak lagi.” Balas yang lain.

Tetapi kalau sudah bengkok tu, bengkok juga.


3.
“Kalau nak buat bisnes bulan puasalah paling laku”

“Bisnes apa?”

“Bisnes masa lunch!”

“Gila kau! Aku tak mahu bersubahat.”

Rumusannya:Bengkok!

Suatu skrip

Orang-orang di sekeliling saya, sering kali memberikan saya satu skrip hidup yang berbeza-beza. Skrip yang apabila ditayangkan sebagai telenovela atau soap opera, pasti mendapat rating yang tinggi, sehingga penonton mahu ia diulang tayang saban waktu seperti di siaran Astro. Pelakonnya digilai ramai kerana hebat membawakan watak (sudah namanya pelakon!). Wajah tersiar di akhbar dan majalah. Kehidupan sentiasa di ekori. Penonton malah tidak sabar menanti episod berikutnya. Mereka pula berteka-teki akan kesudahan episod.

Saya banyak melihat mereka bukan sebagai apa yang mereka ada, tetapi mereka sebagai seorang manusia.

M-a-n-u-s-i-a.

Sehingga menyebabkan setiap kali sebelum tidur, saya memuhasabah diri memikirkan betapa untungnya saya hidup dalam satu skrip yang baik, yang mengikut aturan hidup yang betul. Betul mengikut susunan A hingga Z, bukannya tunggang terbalik.

(Cuma cabaran waktu kecil yang memang menduga itu telah saya lepaskan jauh-jauh kerana ia adalah suatu...errmm... proses hidup.)

Banyak skrip, ramai pelakon utama, beribu pelakon tambahan. Namun lokasinya cuma dua. Rumah dan pejabat.

Satu minggu ini saya menjadi penasihat yang baik, pendengar yang setia. Mengeluarkan segala ilmu yang tersimpan sekian lama, memotivasi tentang hidup, menggunakan pendekatan psikologi bagi menyimpulkan segala kemusykilan. Berbakul-bakul nasihat, berjam-jam di meja tulis, bergelas-gelas air. Ada airmata, ada sumpah seranah, ada caci maki. Semua terhambur keluar tanpa sebarang tapisan.

Lumrah manusia bila dah tak suka, yang buruk sahaja dilihat. Satu titik hitam di atas sehelai kertas nan putih, yang dapat dilihat titik hitam yang kecil itu sahaja. Yang putih tenggelam. Begitulah cara mereka memandang hidup.

Namun kurangnya pada mereka ini hanyalah satu. Mereka melarikan diri dari Tuhan. Itu kesimpulan awal. Jadi, apabila dengan sengaja menyingkirkan Tuhan - yang menjadikan diri mereka, yang menentukan hala hidup, yang sepatutnya menjadi tempat untuk disandarkan – menyebabkan perjalanan yang lurus menjadi bengkang bengkok.


.

Jumaat, Ogos 08, 2008

Takut

Kadang-kadang saya tak faham. Manusia takutkan manusia melebihi takutnya pada Tuhan. Walhal yang menentukan hidup mati mereka adalah Tuhan. Yan menentukan rezeki mereka adalah Tuhan. Yang menentukan bernafas atau tidaknya mereka adalah Tuahn. Lalu, mengapa takutkan manusia itu melebihi ketakutan kepada Tuhan?

Saya tidak mengerti. Mereka yang lebih memahami. Saya hanya geleng kepala dan ketawa sahaja. Sambil melihat lakonan mereka yang memperbodohkan diri sendiri.

Lalu, saya menghantar pesanan teks kepada teman sepejabat. Dia menjawab panjang. Akhir ayatnya, dia memberi satu konklusi, "....kalau nak kena buang pun aku tak takut. Kau macamana?"

Saya terdiam seketika sebelum membalas dengan ayat yang nekad juga. Mahu memberontak, mahu melawan. Tetapi iblis selalu meniupkan pesanan syak wasangka pada saya, lalu menyebabkan hati sering merasa ragu-ragu. Sekejap ya, sekejap tidak. Menentukan masa depan sendiri kadang kala payah. Tetapi saya tahu, kalau saya tidak nekad, saya akan hanyut, tenggelam dan mungkin lemas disini.

Dan apakah saya takut juga mahu menentukan masa depan sendiri?

Jumaat, Ogos 01, 2008

Buku lagi

Membaca beberapa buah buku secara berturut-turut - yang secara tidak langsung berkaitan – seolah-olah memberikan saya gambaran bahawa menjadi seorang berpendirian itu tidak susah. Cabarannya ialah - pihak lain - yang gemar membuat persepsi dan spekulasi serta andaian yang bukan-bukan terhadap diri kita lalu menebarkan khabar yang tidak enak kepada orang lain. Maka kitalah yang menjadi mangsanya. Kitalah yang perlu bersilat, bertungkus lumus membetulkan salah anggap dan menyapu bersih lumpur yang telah terpalit. Biarpun ia hilang, namun bekasnya tetap ada. Ibarat besi yang berkarat, jika diasah sebaik yang boleh, karatnya tetap datang kembali. Jadi, kita harus mengasahnya selalu, tanpa leka.

Saya membaca secara tidak konsisten beberapa buah buku dalam masa sebulan, dan mencari masa membuat ulasan:

  1. Tulang – Tulang Berserakan - Usman Awang
  2. Sarjan Hassan - Sebuah novel remaja yang nipis terbitan DBP tenang perjuangan sebenar Sarjan Hassan (dijadikan filem oleh P Ramlee)
  3. Meniti Lautan Gelora: Memoir Politik Said Zahari - Said Zahar

Sedang baca:

  1. Hujan Pagi - A Samad Said
  2. Warisan - sebuah novel tebal karya Abd Talib Hassan