Selasa, Mac 31, 2009

Khilaf


Apa yang kita minta tidak selalunya kita dapat, dan tidak semua yang kita dapat itu memuaskan hati. Ya, hati sebenarnya tidak pernah puas dan jarang rasa bersyukur dengan segala yang telah di kurniakan, yang di terima. Mahu sahaja merebut semua merampas segala agar apa yang tiada pada diri dapat di kecapi pada waktu itu juga.


Itulah sebenarnya kita - manusia yang gemar memakai topeng melindungi diri dari dipandang serong atas khilaf sendiri. Sampai bila akan datang insaf?



.

Betapa


Betapa
Yang indah jika
di lihat sekadar
dengan mata
bukanlah yang jujur
kerana hatinya
tenggelam dengan
kepalsuan




Bandar Baru Bangi
29 Mac 2009


.

Garisan


“Anak perempuan sekarang ni nak menjaganya tak macam kita dulu. Kak Miah kena jaga anak-anak kak Miah tu elok-elok.” Muncung Kak Miah panjang menghala ke arah tiga orang anak perempuannya yang leka bermain pasir yang sesekali di simbah air laut yang perlahan menyapa.

Mentari di Port Dickson jam empat petang masih terang bersinar. Cahayanya yang jatuh di hujung horizon berkilau-kilau menyambar mata menyakitkan pandangan. Mujur kanta mata hitam tersisip kemas di beg sandang yang saya bawa, menjadi menjadi tabir mata memudahkan saya melihat dan memerhati kegembiraan pengunjung di penghujung cuti sekolah.

Saya memandang ke arah anak kak Miah. Masih kecil, masih mentah. Yang sulung baru darjah satu. Yang bongsu menghampiri usia dua tahun.

“Cuba tengok sebelah tu, tiga lelaki, tiga perempuan. Tiga pasang. Malam minggu ni, entah apa pula yang mereka lakukan,” kak Miah menambah. Saya menoleh ke khemah sebelah yang di sewa bersekali tiga kerusi rehat. Tiga pasang anak muda yang baru lepas mandi duduk berbual sambil mengeringkan badan. Saya mendengus perlahan sambil menggelengkan kepala.

“Anak perempuan atau anak lelaki, sama susah nak mendidiknya. Yang penting apa yang kita tanamkan pada mereka,” saya mengisar duduk sambil membetulkan kacamata yang terletak di puncak hidung.

“Tapi kita dulu tidaklah seperti sekarang. Cabaran sekarang ini , selain suasana yang macam-macam, kita perlu kawal dia sepanjang masa. Dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia bercakap, apa yang dia lakukan. Hendak melepaskan mereka seketika amat sukar, sentiasa menyebabkan kak Miah rasa tidak selesa. Tapi, tak kan lah kak Miah perlu kurung mereka. Susah juga.”

Saya mendengar luahan kak Miah sambil sesekali mengerling ke arah rambutnya yang mengerbang di tiup angin. Hati saya terdetik sesuatu.

“Didikan perlu betul kak. Yang paling utama ialah kita tunjukkan pada mereka dua perkara sahaja – baik dan buruk. Betul dan salah.”

Kak Miah memandang saya dengan penuh tanda tanya.

“Ajarkan kepada mereka yang mana satu garisan putih, yang mana satu garisan hitam. Tunjukkan yang mana satu perkara yang betul dan apa yang salah. Bukannya ditengah-tengah, di garisan kelabu. Itu garisan yang boleh mengelirukan. Tiada ruang tengah antara dosa dan pahala.” Saya tidak mengerling langsung ke arah kak Miah. Saya tahu dia merenung saya dengan perasaan serba salah. Saya tahu dia rasa tertampar dengan ayat jujur yang saya tuturkan. Saya tetapkan pandangan ke laut lepas. Saya malah rasa perlu menyambung.

“Bila mereka tahu beza antara baik dan tidak, mereka boleh fikir sendiri apa yang patut mereka lakukan, sudah boleh menimbang sendiri perkara yang sepatutnya.”

Kak Miah mengangguk perlahan sambil merenung ombak. Kakinya menguis pasir halus.

“Zaman sekarang terlalu mencabar rasanya.”

Saya senyum. “Memang zaman sekarang penuh cabaran. Nabi sendiri mahukan kita mendidik anak mengikut zaman anak-anak itu sendiri, bukannya seperti mana kita dididik. Jadi kita harus menuruti arus, bukan menentangnya. Tetapi, harus guna sampan yang kukuh, bukannya sampan yang bocor.”

Kak Miah menoleh ke arah saya. Dia mengangguk beberapa kali sambil memainkan rambutnya. Benar, saya sendiri selalu tertanya dan keliru. Mengapa di pejabat kak Miah boleh sahaja elok menutup rambutnya kemas dengan tudung, tetapi tidak di luar. Saya memberanikan diri bertanya.

“Ah, inilah yang kak Miah rasa sekarang. Mahu rasa insaf, mahu bertaubat.”

“Tetapi bila?”

Dia senyum serba salah. Padanya, ikut mood. Kalau rasa mahu pakai, pakailah. Jika rasa bosan dan mahu menanyangkan rambut yang ada sedikit warna perang, maka tanpa perasaan bersalah, dia pun keluar rumah begitu sahaja.

“Itulah yang saya maksudkan dengan garisan hitam, putih dan kelabu. Anak-anak pasti keliru mengapa kak Miah boleh buka dan tutup sesuka hati.”

Kak Miah angguk lagi. Saya amat berharap dia terkesan dengan teguran spontan ini. Dan matahari tetap segar bersinar di hujung laut, menghantar ombak ke pesisir pantai dan pengunjung yang masih enggan berganjak dari laut.

Port Dickson tenang petang itu, tetapi hati saya rusuh dengan garisan yang tidak jelas.

Khamis, Mac 26, 2009

Tolak



Saya amat bersetuju dengan kenyataan Abu Saif tentang kemenangan yang di capai dalam pemilihan jawatan bagi Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Rakyat sudah menolak pemimpin yang tidak di gemari, memilih yang benar-benar mahu memimpin. Tetapi mengapa (perwakilan) Umno memilih pemimpin yang di tolak rakyat? Menjadikan calon yang kalah dan bermasalah (baca: Shahrizat & Khairy) sebagai pemimpin?

Jawapan: Umno sudah tidak sebulu dengan rakyat. Umno memang tidak mahu berdiri bersama rakyat. Umno tidak suka dengan pilihan rayat, lalu menurut kata hati memilih mengikut kehendak mereka sendiri (memang wajarlah pemilihan ini di buka kepada semua ahli, bukan segelintir perwakilan).

Jadi rakyat, kita mahu tolak siapa pula selepas ini?

Jumaat, Mac 13, 2009

Bangkang

“Katanya semalam orang pembangkang keluar Dewan,” dia memandu sambil sesekali menoleh ke cermin sisi memerhati kenderaan di kiri kanan. “Dia orang ni kan, kenapa agaknya masih ada sentimen begitu. Pilihanraya dah habis, dah dapat lima negeri pun. Ini masa untuk buat kerja, bukan asyik bangkang sahaja. Bukannya semua perkara tu salah,” katanya lagi. Cuaca panas terik dan matahari memanah tengahari tanpa rasa kasihan.

Teman di sebelah mendengus perlahan. “Sudah namanya pembangkang, kerjanya sudah tentulah membangkang. Tidak kira betul atau salah.”

“Tapi kau kena faham, tempoh kerajaan sebelum pilihanraya akan datang ialah empat tahun sahaja. sekarang ni sudah pun setahun, ada tiga tahun lagi untuk buktikan pada rakyat apa yang mereka boleh lakukan.”

Temannya berdehem, melegakan tekak. “Betul juga. Pilihanraya lepas, rakyat sudah tunjuk kuasa, empat tahun lagi, janganlah mereka pula di tunjukkan jalan.”

“Sebab itulah orang kata, inilah masa buat kerja, tunaikan janji, tunjuk pada rakyat kebolehan mereka. Bukan sahaja hasrat mahu kekal kuasa, tapi kerana amanah yang telah di beri oleh seluruh rakyat jelata. Kalau cakap berdegar-degar, hasilnya tiada, usahanya kurang, apakah mampu rakyat beri mereka peluang pula selepas ini.”

Temannya ketawa kecil. “Kalau nak tahu, itulah ahli politik. Sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan, satu pasti membantah, satu pasti menyokong. Mereka jarang sepakat atas sesuatu perkara, malah tidak berusaha untuk bersatu biarpun atas nama kebaikan. Memang ada satu jurang yang memisahkan dan seboleh-bolehnya mereka tidak mahu ada kecenderungan untuk bersetuju

Dia turut ketawa. “Itulah namanya bersetuju untuk tidak bersetuju.”

Kereta terus meluncur laju merentasi laluan yang tenang.

Kembali

Saya mengerti kali ini saya berehat pada tempoh yang agak lama. Hampir dua bulan. Sudah ada yang menghantar e-mel bertanya khabar, sudah ada yang menghantar SMS bertanyakan berita. Terima kasih di atas keprihatinan, dan sudah sampai masanya untuk saya kembali.


Saya berehat atas beberapa perkara. Pertama kerana mahu melakukan muhasabah terhadap diri dan karya. Kedua mahu lebih banyak membaca, meneliti dan mencari. Ketiga kerana kesibukan kerja pejabat yang menuntut lebih masa serta tenaga. Dan keempat dalam proses berpindah dengan keinginan untuk meluaskan pengkaryaan.


Alhamdulillah, semuanya berhasil. Di pejabat, proses penstrukturan semula jabatan dan kakitangan membuatkan saya di beri tanggungjawab sedikit berbeza, perlu mengendali lebih ramai kakitangan yang pelbagai karektor, serta perlu menyertai banyak kursus dan latihan. Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan nampaknya ia memberi satu paradigma baru terhadap diri dan personaliti. Saya harus sentiasa fokus dan lebih rasional terhadap kakitangan lain dan juga berusaha memperbaiki kendiri supaya ada imbagnan antara tugas dan tanggungjawab. Lebih-lebih lagi setelah berjaya melepasi ujian pertama iatu mendapat taraf ISO 9001:2008 dan kemudiannya mengadakan latihan kepada semua kakitangan buat kali pertama dalam sejarah syarikat. Alhamdulillah, dari segi kerjaya setakat dua bulan ini sudah berada di landasan yan betul.


Kemudian, saya berhasrat mahu berubah dan berhijrah. Saya telah berfikir dan meneliti yang saya harus melalui kehidupan baru. Lalu rumah baru dicari pada kadar sewa yang memadai, dan harapan amat besar agar perubahan ini mampu memberi ruang pada diri untuk lebih berkarya. Tercapai juga impian dan dengan bantuan kawan sepejabat, sama-sama bergotong royong memindahkan berkotak-kotak buku dan keratan akhbar yang tersimpan tidak tersusun. Satu bilik diperuntukkan khas untuk menelaah dan menempatkan buku dan sehingga kini masih lagi dalam proses mengemas dan menyusun. Dalam seminggu dua ini bakal tamat segalanya dan proses pengkayaan seharusnya lebih rancak selepas itu, insya Allah.


Maka setelah segalanya selesai, maka sudah tiba masanya untuk saya bangkit kembali. Kepada yang menanti dan merindui, ini bakal salam perkenalan buat sekian kalinya.



.