Ahad, Ogos 30, 2009

SMS


Ketika ini saya membaca Lantera Mustika karya Pn Nisah Haron. Ada bahagian yang saya amat terkesan.

SMS bermaksud short message service / system atau sistem pesanan ringkas. Ada yang cuba menafsirkannya sebagai sistem mesej singkat. Melihat kepada maksud, sepatutnya kita perlu sedar yang SMS ialah menghantar pesanan yang ringkas dan seharusnya padat. Jadi, pesanan itu harus ringkas, bukan tulisannya yang diringkas atau dipendekkan.

Benar, saya tidak gemar SMS di hantar dengan menyingkatkan tulisan. Saya menghadapi masalah membaca kependekan yang tidak standard. Lainlah kalau perkataan yang semulajadinya diguna umum seperti kg untuk kampung atau jln untuk jalan. Selain daripada itu, biasanya saya mengambil masa yang lama untuk membaca dan kadangkala mengundang salah faham. Mulalah nak bertempur menerusi teks.

Mujurlah bukan saya seorang menghadapi masalah ini. Beberapa orang teman dan kenalan tatkala berSMS menggunakan tulisan / ejaan penuh. Dan saya rasa, kita harus ambil berat akan perkara ini. Ia boleh merosakkan bahasa. Apa tidaknya, kependekan yang entah apa-apa ini sudah menular dalam e-mel. Jangan nanti kita menulis laporan mesyuarat, tesis, assignment, karangan atau kerja sekolah menggunakan kependekan yang menyakitkan ini.

Ingat, SMS ialah memndekkan mesej, bukan menyingkatkan tulisan.

Dan ingat lagi, bahasa jiwa bangsa!

Sabtu, Ogos 29, 2009

Menjelang merdeka

Tahun ini negara mencapai kemerdekaan yang ke-52. Agak menarik kerana 31 Ogos jatuh pada bulan Ramadhan. Nanti tengoklah, ada atau tidak rakyat Malaysia menanti di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad atau di taman sekitar KLCC atau di Bukit Bintang atau di Dataran Putra mengira detik 12 malam. Walaupun kerajaan kata tiada sambutan, tetapi kehendak rakyat Malaysia yang macam-macam ini sukar untuk dijangka. Majmuklah katakan.

Hal ini mengingatkan saya pada sambutan abad baru, atau ada yang menyebut millennium baru pada tahun 2000 yang lalu. Biarpun kerajaan Tun M kata tiada sambutan abad baru, rakyat peduli apa. Ketika itu bulan Ramadhan, dan saya ingat lagi, pesta arak besar-besaran diadakan di Bukit Bintang. Ya, keratan akhbarnya masih saya simpan dan tidak sampai hati rasanya mahu mempamerkannya disini. Cukuplah sekadar peringatan akan sambutan yang tidak memberikan sebarang makna sebenarnya. Macamlah kita tidak hidup lagi untuk abad / kurun berikutnya, iaitu pada 1 Januari 2000.

Sambutan merdeka di bulan Ramadhan, apa pengisian yang terbaik? Di sesetengah surau dan masjid, bacaan Yasin diadakan pada malam Jumaat lalu , juga solat hajat dan ceramah kemerdekaan. Tidak ketinggalan solat Jumaat semalam dengan khutbah menjurus tema merdeka.

Semoga kita terus merasa nikmat merdeka ini dengan sepenuh jiwa dan raga. Benar, mengisi kemerdekaan itu lebih sukar dari mendapatkan kemerdekaan itu sendiri. Jadi, kita sebagai warga yang bebas, bersyukurlah dengan apa yang kita kecapi dan perbaikilah diri untuk lebih maju. Semoga negara yang kita cintai ini akan terus aman dan makmur.



**
Cuti panjang hujung minggu hingga ke hari Isnin menyebabkan ramai wargakota mengambil kesempatan pulang berpuasa dikampung. Apatah lagi ramai yang sudah menerima gaji pada hujung bulan. Surau dan masjid di ibukota bertukar suasana. Saf tidak penuh, jemaah kurang, jalan kurang sesak. Moga-moga, surau dan masjid dikampung dilimpahi jemaah. Jangan pula tersandar kekenyangan dek masakan ibu, meninggalkan solat terawikh yang datang hanya sebulan dalam setahun.

Selamat bercuti!

Khamis, Ogos 27, 2009

Juadah Ilmu di bulan Ramadhan

Inilah menu ilmu di bulan Ramadhan ini yang telah saya timbang-timbangkan. Sebulan enam buah buku, memang sungguh bernafsu besar!

Sebenarnya, kesemua enam novel kecuali Lantera Mustika telah saya mulakan bacaan sebelum ini, tetapi tersekat pada bab permulaan. Jadi Ramadhan ini ialah proses untuk menamatkan bacaan tertangguh (disamping al-Qur'an, ya saya tahu itu). Semoga usaha ini dipermudahkan, memandangkan saya punya masa luang yang panjang dengan waktu kerja yang disingkatkan (sehingga mengundang cemburu!)

Buku-buku tersebut ialah (tidak mengikut keutamaan):
  1. Lantera Mustika - Nisah Haron
  2. Saasatul Ibad - Faisal Tehrani
  3. Laskar Pelangi - Andrea Hirata
  4. Sandera - Arena Wati
  5. Empangan - Zakaria Ali
  6. Jejak Langkah - Pramoedya Ananta Toer
Untuk rekod, Laskar Pelangi saya beli pada 5 Syawal 1428H, kira-kira dua tahun yang lalu. Ya, Syawal ke lima sudah kembali ke ibukota untuk bekerja lalu singgah sebentar di MPH mencari 'juadah raya'.

Saudari Norziati, semoga terus mewarnai dunia sastera tanahair


Naskhah Lantera Mustika yang masih panas, baru keluar dari sampul Pos Ekspres petang tadi. Terima kasih diatas penghantaran yang sungguh cermat dan mengesankan. Saya amat teruja membuat pesanan melalui talian dengan Ujana Ilmu. Tambahan pula dengan pesanan dari Pn Nisah yang cukup 'menggerunkan'.

Malam ini, Laskar Pelangi tamat dengan seribu pertanyaan dan keharuan. Menimbang untuk menyambung Sandera yang berbaki suku. Namun Lantera Mustika memanggil-manggil, apatah lagi setelah membaca beberapa ulasan yang menarik. Tetapi saya cuba bersikap adil dengan tidak membaca ulasan hingga tamat untuk mendapatkan kesan dramatik. Dan sejujurnya, inilah novel pertama buah tangan penulis wanita yang berada di khutubkhanah saya. Ya, baru saya sedar yang saya tidak mempunyai karya penulis wanita, kecuali dua naskhah kecil karya Khadijah Hashim - novel Badai Semalam (baru dibeli sebulan yang lalu) dan antologi cerpen beliau. Kebetulan atau apa?

Sebulan enam buah buku. Saya cuba mencatat rekod! Selamat membaca (hingga ke helaian terakhir).

Sabtu, Ogos 22, 2009

Marhaban ya Ramadhan

(Muhasabah diri di awal Ramadhan)

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

Sumber

Ramadhan tiba lagi. Bagi mereka yang memang menantikan kehadiran bulan yang penuh barakah, inilah masanya. Tetapi apakah sebenarnya yang kita nantikan dibulan Ramadhan ini, sebenarnya. Persoalan ini adalah hasil dari satu pertanyaan yang saya kira bernada jahil, yang singgah di telinga minggu lalu.

"Apa bezanya sangat bulan puasa dengan bulan lain-lain. Apa salahnya kita kerja macam biasa, masuk kerja macam biasa, balik macam biasa. Kenapa nak dibezakan sangat?"

Saya diam, kerana bertentang suara dengannya memang tidak menguntungkan (ya, apa gunanya menyiram air ke daun keladi?). Saya menatap geram matanya. Jika bukan kerana saya ini perempuan, sudah saya hayun penumbuk ke mukanya. Dia bukannya tidak tahu hukum, bukan tidak kenal agama. Tetapi entah apa silapnya, selalu mempersoalkan agama yang di anutinya. Saya pun tidak pasti apa jenis agama yang ada padanya. Atau mungkin agamanya sekadar dituliskan di kad pengenalan. Na'uzubillah.


Namun, soalan bernada jahil itu menyebabkan saya memuhasabahkan diri semula. Kasihan pada mereka yang tahu tapi pura-pura tidak tahu, enggan mengambil tahu dan tidak mahu menambah ‘tahu’ dalam diri. Jika dia beranggapan setahun dua belas bulan itu sama, maka apakah yang ‘lain’ dalam hidupnya. Tidakkah dia rasa suatu kerugian tidak melalui sesuatu yang berbeza dalam hidup? Mustahil bukan jika kita memandu pada kelajuan yang sama sejak dari mula perjalanan hingga tiba kedestinasinya?


Hadith di atas sudah cukup menjelaskan apa yang ada dalam bulan Ramadhan. Mari saya rungkaikan satu persatu:

  1. Bulan yang penuh keberkatan.
  2. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya.
  3. Di bulan itu pintu Syurga dibuka,
  4. pintu neraka Jahim ditutup dan
  5. para Syaitan dirantai.
  6. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
  7. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah.


Mereka yang mengejar kebaikan, akan berusaha melakukan perkara yang mendatangkan pahala. Berebut-rebut mengerjakan tarawikh. Berusaha mengerjakan amalan sunat. Mengejar melakukan sedekah. Bangun malam dan bermunajat. Menghadiri majlis ilmu. Membaca lebih banyak al-Qur'an dan berusaha memahami maknanya. Menelaah banyak buku agama. Bercakap perkara yang membawa kebaikan. Mengurangkan aktiviti melalaikan. Dan jangan lupa, mengajak yang lain melakukan perkara yang serupa juga satu usaha yang baik.

Jadi, apakah Ramadhan itu harus sama bagi kita? Tepuk dada, tanya iman!


.


Khamis, Ogos 20, 2009

Gula!


"Emak, di sini tiada masalah gula?" saya bertanya kepada emak sewaktu balik kampung dua minggu yang lalu.

"Tak ada pun. Gula tetap ada," balas emak. Abah yang mendengar perbualan kami tertarik lalu menyampuk, "Felda mana ada masalah gula. Kilang gula di perlis, ladang tebu di Chuping tu milik Felda. Jadi, gula boleh disalur terus ke Felda. Peneroka tiada masalah dengan gula."

Ya, saya lupa. Ladang tebu di Felda Chuping, Perlis itu satu-satunya kawasan tanah Felda yang di tanam tebu. Tanah Felda yang lain ditanam dengan dua tanaman utama - getah atau kelapa sawit (klik sini untuk sumber). Ingat lagi filem KL Menjerit?

Kemudian, daripada apa yang saya dengar, tiada lagi ladang tebu di Chuping. Felda sudah menggantikannya denga getah. Oh, mengapalah disaat peneroka yang menyertai projek tanam semula berlumba-lumba menanam kelapa sawit, Felda beria-ia menanam getah?

Jadi, apa yang kita (pengguna) boleh lakukan? Menunggu dan menunggu. Kalau tiada gula dalam minuman, alamatnya kena letak susu banyak-banyak. Teh tarik misalnya. Lagi teruklah kadar diabetis berbanding H1N1 nanti.

Saya ingat kempen kerajaan dulu-dulu. Mungkin boleh di guna pakai disini juga:
Tujuan utama ialah kerajaan minta kita ubah cara hidup. Ketika bekalan minyak masak tidak mencukupi, kerajaan minta kita guna minyak bukan dari jenis kelapa sawit. Ketika harga minyak petrol naik, kerajaan suruh kita ‘car pool’. Bila tarif elektrik naik, kerajaan minta kita elakkan pembaziran elektrik. Bila gula tiada dipasaran, minta kita kurangkan gula dalam makanan dan minuman.
Apa punya idea!!

.

Jumaat, Ogos 14, 2009

Pergi

Seorang demi seorang pergi meninggalkan dunia, kembali ke alam kekal.

Tertanya pada diri, apakah yang akan ku tinggalkan tatkala tiba giliran dipanggil nanti?

Apakah ada kebaikan, jasa dan ilmu yang ku tinggalkan untuk mereka yang masih ada?

Apakah nanti tatkala jasad terkubur, ada perkara yang elok dibualkan, bukan yang batil dan yang aib di perkatakan orang?

Apakah cukup amal kebaikan sepanjang ku bernafas sebagai bekal untuk menghuni dengan aman disana?

Apakah diriku cukup insaf dengan berita kematian?


Al-Fatihah untuk yang telah pergi.


Ya Allah, panjangkanlah usiaku untuk menikmati Ramadan ini sehingga ke penghujungnya

.

Ahad, Ogos 02, 2009

Iklan : Pesanan Buku

Meniti Jalan Hadapan

Saya sudah memiliki stok buku ini. Jika anda berminat memiliki naskhah buku bertandatangan penulis, atau dijadikan hadiah kepada teman, sila e-mel kepada saya di norziati@gmail.com untuk membuat pesanan pembelian.
Buku ini akan diposkan kepada anda sebaik sahaja pembayaran dibuat.

Sekian, terima kasih

.