Khamis, Disember 31, 2009

Catatan kecil sebuah kembara



Hari kedua di Taman Impian Jaya Ancol, menghirup nyaman udara bertiup di dermaga. Sayu memandang laut lepas, memerhati alam yang luas dicipta Tuhan


Sepanjang pengembaraan ke Jakarta selama lapan hari pada 19 hingga 26 Disember lalu, banyak kenangan indah tidak tertuliskan disini. Ia banyak menginsafkan, lantas menenangkan. Paling tidak membuka ruang persepsi baru terhadap pandangan khilaf terhadap tetangga yang selama ini dipandang sepi, juga berpeluang mendengar sendiri keluhan marhaen akan politikus yang melelahkan.

Saya datang dengan fikiran kosong - meninggalkan segala sesak kepala tatkala boarding ke dalam KLIA masuk ke perut pesawat Garuda Indonesia. Pelbagai perkara bermain difikiran, bermacam kerisauan timbul dan kesediaan menghadapinya satu persatu. Pagi masih awal tatkala kami tiba di Jakarta dan disambut dengan Mee Ayam di Jalan Panjang sebagai sarapan pagi, langsung mendengar cerita dari teman-kepada-teman-kepada-teman yang menjemput di Bandar Udara Soekarno-Hatta.

Saya ditemani teman sekerja anak jati Jakarta sepanjang perjalanan dengan ongkos yang terhad. Saya katakan kepadanya, saya cuma mahu jelajahi tanah Jakarta, kalau mampu seluruh tanah Jawa. Elakkan dari membawa saya ke pusat membeli-belah atau tempat yang berupa kegembiraan. Saya mahu cari apa yang tiada di Malaysia, khususnya menjejakkan kaki ke gedung bukunya yang sentiasa saya cemburui.

Beliau memahami hasrat saya. Lalu saya di bawa melihat anak gelandangan di pinggir jalan, menaiki pengangkutan awam ke sini sana, nongkrong (makan juga melepak) di kaki lima, ngobrol (berborak) bersama warga kota, mencium bau busuk longkang dan sungainya yang lesu, bersesakan di jalanan dengan usungan para peniaga yang tidak kenal lelah, memerhati warga kota bersungguhan mencari sesuap nasi, merasai menu yang pelbagai dan bervariasi, terpaku dengan hidangan sampingan ditepi jalan oleh anak muda bermain gitar, menari, menyanyi beramai-ramai danbermain seruling (dan macam-macam lagi), merasai kegelisahan warganya akan suhu politik yang sering berkocak dan merisaukan, lantas sentiasa membuka ruang perdebatan akan sebarang ketentuan bagi iklim politik pasca-Suharto.

Puas sudah setiap inci Jakarta kami jelajahi berjalan kaki dibawah mentari yang cerah namun tidak seperit dan seterik Kuala Lumpur. Bayangkan sahaja, saya ditegur sekembali dari sana kerana warna kulit berubah gelap sama sekali!

Kami bermula dengan agenda tepi jalan dan menamatkannya di gedung mewah yang berdiri di sekitar bandaraya, bertemu dan melihat warga yang hidup serba mewah. Jurang miskin kaya amat jelas kelihatan dan terlalu berbeza. Melihat pakaian yang disarung, alatan yang digenggam, makanan yang ditelan, mata yang memandang sepi dan segala yang berjurang itu menunjukkan masih ada ruang untuk membetulkan segala yang perlu.

Namun, jika membuat perbandingan, memang kita menang dari segi infrastruktur. Tetapi tidak semua berpihak pada kita. Ada yang kita kalah langsung dengan Jakarta. Oleh itu wahai warga Malaysia, janganlah selalu memandang rendah pada tetangga kita. Walaupun mereka datang mencari rezeki di tanah bertuah ini, tidak bermakna kita harus memandang jijik kepada mereka. Mereka juga punya maruah, punya harga diri. Paling penting, jatidiri mereka tidak serapuh kita.

Keadaan ini sentiasa membuatkan saya membandingkan tuah diri lahir di Malaysia, jika datuk nenek saya dahulu tidak berani berhijrah dari tanah Sumatera ke Johor bagi memugar tanah disana. Sepanjang kembara saya berfikir dan bersyukur, kerana diberi kesempatan berada ditanah yang bertuah sehingga pernah saya mengungkapkan kepada temah seperjalanan - "bagi yang tidak insaf hidup di Malaysia, harus dicampakkan ke Jakarta bagi merenung kembali segala yang kita ada, supaya timbul rasa bersyukur".

Di sini jugalah saya merasa hikmah memberi. Wang bernilai besar yang ada ditangan ditukar kepada yang kecil supaya mudah diagihkan kepada anak gelandangan yang menyanyi cuba menghiburkan atau kepada pemuzik jalanan yang merdu mengalunkan suara. Jika kita meminta mereka  menyanyikan lagu, ada bayaran tambahan yang perlu kita beri. Mahu lebih, beri lebih!


Hari ketujuh nongkrong di Blok S (Senopati). Sangat teruja dengan dua hidangan - menu dan pemuzik jalanan

Biar sejauh manapun kita berjalan, masih terkenang-kenang akan tanah sendiri. Hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Jauh perjalanan luas pengalaman. Ia kembara menginsafkan dan membuka persepsi baru diri terhadap sebuah negara yang selama ini sering diandang khilaf!

.

Jumaat, Disember 18, 2009

Hijrah

Saya akan menghilangkan diri selama satu minggu. Cubaan meneguk alam Tuhan yang melimpah rahmat, menyelam ke dasar buana sambil mengira betapa nikmat hidup dibumi walau pada langit biru yang sama. 


Satu minggu ini tujuan saya hanyalah berjalan, mencuci diri, membuka ruang fikir yang lebih kepada diri. Saya membawa pena dan buku catatan, ketepikan talian internet juga laptop. Telefon untuk perkara penting sahaja, terutamanya famili. 

Kembara kali ini khabarnya banyak berjalan kaki, sekadar berpeleseran bersama marhaen dan cuba-cba menukar perwatakan diri. Mahu mencari hijrah yang perlu buat diri.


Doakan saya selamat tiba dan berjaya merasai nikmat perjalanan ini.





Tudung


Selalu telinga ini mendengar ayat sakit hati:

"Pakai tudung, tapi duduk ditempat sunyi dan peluk jantan. Tak padan dengan tudung, ada hati nak buat maksiat!"

Apakah kita mendengar dan rasa marah kepada yang bercakap lalu menempelengnya atau pergi kepada si pemakai tudung dan tanggalkan tudungnya atau menengkingnya kerana membuatkan anda rasa malu.

Apakah anda merasa malu hanya kerana dia memakai tudung tetapi adakah detikan dihati anda yang dia membuatkan Islam dimalukan?


Apakah anda merasa malu kerana si penegur itu lancang mulutnya sedangkan anda selalu lihat itu dimana- mana?

Apakah anda merasa malu hanya kerana anda memakai tudung dan terasa diri anda dicabar, bukan Islam anda yang dicalar?

Jadi, Islam anda pada apa ya? Tudung?

.

Khamis, Disember 17, 2009

Hijrah yang perlu

Hari ini sudah masuk tahun baru bagi kalendar Hijrah. Sudah masuk 1431 tahun selepas berlaku peristiwa hijrah Nabi dari kota Mekah ke Madinah, membawa seruan Islam, membuka ruang perjalanan yang lebih luas untuk Islam menerangi alam.

Setiap kali kalendar Hijrah bertukar, maka saya akan menulis sebuah entri khas di blog kerana ia turut bermakna ulangtahun kelahiran blog ini empat lima tahun yang lalu. Ya, sudah empat tahun saya menjadi warga blog, dan empat tahun itu banyak memberi perubahan secara perlahan-lahan terhadap penyampaian dan penulisan di blog. Kata orang, sudah menampakkan kematangan biarpun pada skala kecil.

Tatkala hari berubah ke tahun baru senja tadi, selepas melihat Malaysia memenangi emas bolasepak di Sukan SEA Laos, usai menunaikan perkara wajib bersama Tuhan hingga ke Isyak, saya termenung sebentar memikirkan sesuatu. Hampir tidak perasan akan perubahan tahun disebabkan jadual kerja yang kian mencengkam. Dan hasil dari muhasabah terhadap kerja yang tidak kesudahan, membawa kepada hidup, impian, masa dan keperluan diri, masa saya fikir sudah sampai masanya saya mencari makna sebenar HIJRAH pada diri.

Keinginan berhijrah ini datang secara tiba-tiba. Sudah sampai waktu untuk saya melakukan sesutu yang lebih drastik terhadap diri, karya dan kerjaya. Harus lari dari zon selesa yang nampaknya sudah menyesakkan, menyelaraskan perkara yang perlu buat diri, menyudahkan hal yang banyak dicicirkan sebelum ini, membetulkan perjalanan yang kian tersasar dari matlamat dan mengubah banyak perkara kearah kebaikan.

Kali ini saya menetapkan segalanya harus drastik - terhadap diri, karya dan kerjaya. Merancang, bertindak dan menunggu hasil.Hijrah kali ini adalah hijrah yang perlu.

Hijrah yang perlu.






Sabtu, Disember 12, 2009

Memaknakan sebuah kejayaan melalui kegagalan dan jiwa kosong


Nota:
Saya sedang membuat sedikit kajian tentang tokoh yang berjaya didunia. Kebanyakannya berjayadari satu sudut dan gagal dari sudut lain. Ada jiwa yang kosong, ada persoalan yang mereka tidak temui jawapan. Nampak jelas pengisian jiwa itu perlu ada bagi memenuhi kehendak diri.

(Asalnya ia adalah untuk kajian novel, namun saya rasa tidak salah meletakkannya disini sebagai satu perkongsian). 

Ini adalah sebahagian dari kajian tersebut yang bersumberkan koleksi buku sendiri, Wikipedia dan Google sebagai sumber utama. Jika ada kesilapan dimana-mana, sila maklumkan untuk saya betulkan fakta tersebut.


***
Memaknakan sebuah kejayaan melalui kegagalan dan jiwa kosong

Kita tidak boleh dapat semua perkara didunia ini dan tidak semua yang kita inginkan itu dapat. Jika hari ini kita kurang duit, lalu bekerja keras mendapatkannya, tuhan akan balas dengan wang yang banyak. Tetapi apakah kita punya masa yang sama banyak untuk keluarga? Tuhan menjadikan kita dengan sesaksama mungkin. Tidak semua kita akan dapat. Ada yang tercicir dan perlu kita kutip, ada yang sengaja ditinggalkan untuk kita usaha lagi. 


Satu,
Mao Zedong merupakan negarawan China, mengetuai revolusi komunis China selepas dijajah kuasa asing dan berlakunya perang saudara selama beberapa dekad. Beliau bercita-cita besar mahu menjadikan China sebagai sebuah negara yang kukuh dan makmur, dan berusaha untuk membina sebuah negara perindustrian yang moden serta untuk mengurangkan kemiskinan para petani yang merupakan sebahagian besar bilangan penduduk China. Walau bagaimanapun, rancangan sosio-politik beliau tidak banyak membawa kemajuan malah menyebabkan berlakunya masalah ekonomi, kerusuhan sosial dan kebuluran yang meluas. Begitupun, beliau berjaya juga mengubah China menjadi sebuah negara yang moden biarpun mengamalkan komunisme, penididkan dinaiktarafkan dan taraf kesihatan rakyat meningkat. Beliau turut mengubah sistem ekonomi China dari sistem kapitalis ke sistem sosialis. Oleh itu, beliau dianggap sebagai Jurumudi Agung dan Penyelamat China. Ada bahagian yang beliau gagal, ada yang berjaya. 


Dua,
Albert Einstein menerima Hadiah Nobel dalam bidang Fizik dan berjaya dengan teori relativiti serta sumbangan yang besar terhadap perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi.  Walau pun begtu, beliau pernah gagal dalam perkahwinan dan pernah merasa kehilangan dan kekosongan biarpun mengecap kenikmatan hidup sebagai insan yang berpengaruh didunia. Malah, pernah juga mengalami gangguan jiwa. Malah, kamu jangan tak tahu yang Einsten adalah orang yang bertanggung jawab mengaitkan sains dengan agama. Katanya, sains tanpa agama adalah tempang, agama tanpa sains adalah buta. Ini membuktkan betapa beliau sangat kekosongan. 


Tiga,  
Leo Tolstoy merupakan seorang penulis agung Rusia dan juga dikira sebagai ahli falsafah. Beliau hidup pada penghujung kurun ke-19 hingga pawal kurun ke-20. Antara karya agungnya ialah novel berjudul War and Peace dan Anna Karenina. Tetapi orang lupa yang beliau ada menulis sebuah novel berjudul Hadji Murat. Novel ini diterbitkan selepas pemergiannya bersama empat novel yang lain yang tidak sempat diterbitkan. Baiklah, satu soalan. Bukankah Tolstoy itu penulis agung Rusia dan Haji Murat itu nama seorang Muslim? Apakah kaitan antara mereka? Kamu tahu apa yang ada dengan Hadji Murat? Novel ini berkisar perjuangan bangsa Chechen menentang tentera Rusia, berlatar belakangkan alam pergunungan Kaukasia. Tokoh utamanya, Haji Murat merupakan pejuang bangsa yang luar biasa keberaniannya yang sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan haknya daripada sebarang pencerobohan. Beliau seorang yang taat dalam agama, malah masih berusaha menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimbiarpun setelah ditangkap. Tolstoy melukiskan kehidupan Hadji Murat sebagai seorang muslim dengan baik. Aneh bukan. Seorang yang berbeda agama boleh menulis dengan baik akan anutan pihak lain. Ada satu lagi kisah menarik. Tolstoy meninggalkan rumah pada malam menjelang kematiannya. Namun, apakah yang di carinya? Riwayat hidupnya mencatatkan bahawa sejak berusia 46 tahun (1874), Tolstoy mula memperlihatkan kecenderungannya untuk memasuki dimensi kerohanian secara lebih serius, serta mengeluarkan hujahan peribadinya. Dpendapatnya sering berkonflik dengan kaum ortodoks Rusia dan pihak gereja. Konfliks tersebut turut memberi palit negatif kepada isteri dan keluarganya. Tolstoy pernah menyatakan, “We search for mind, powers, goodness, perfection in all this, but perfection is not given to ma in anything....” Jadi, apakah yang dicari oleh Tolstoy sebenarnya?  Bukankah beliau kehilangan sesuatu dalam hidupnya. Nah, Tuhan maha adil, bukan?  


Empat,  
Leonardo da Vinci merupakan tokoh kelahiran Itali. Beliau dianggap pintar dan masyhur dengan lukisan Mona Lisa dan The Last Supper. Mungkin sahaja beliau tokoh yang berbakat, arkitek yang masyhur tetapi sumbangannya amat kecil. Tiada satupun bangunan yang betul-betul dibina hasil rekaannya, tiada satupun patung yang dilakar ditemui sekarang. Beberapa lukisan yang menakjubkan hasil usahanya tidak sampai dua puluh lima jumlah yang masih tinggal.  Jadi, apakah beliau seorang yang benar-benar hebat atau digembar gemburkan hebat oleh lukisan Monalisa dan The Last Supper yang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap agama Kristian (dengan merujuk kepada filem dan buku Da Vinci Code)?

Lima,  
Christopher Columbus  adalah pengembara dan pedagang. Beliau mahu mencari jalan ke bahagian timur dunia sekaligus mahu membuktikan yang dunia ini benar-benar bulat. Begitupun, penemuannya yang di dakwa sebagai Dunia Baru yang sebenarnya adalah benua Amerika itu sebenarnya suatu yang gagal, malah sebenarnya membuka ruang yang besar terhadap penjajahan dan ekplorasi oleh bangsa Eropah terhadap penemuannya. Beliau bagaikan membuka pintu bangsa Eropah untuk kawasan kependudukan baru, menyebarkan penduduk dan menyediakan sumber kekayaan mineral dan isi bumi yang mengubah wajah Eropah sekaligus menghancurkan kebudayaan bangsa Indian dan melahirkan satu bangsa baru di Barat. Columbus kemudian dipecat dari jabatan dan dihantar pulang ke Sepanyol dengan tangan terikat. Sampai di Sepanyol, beliau dibebaskan tetapi diketepikan. Beliau mati dalam kemiskinan tanpa sesen wang.  


Enam, 
Napoleon Bonaparte merupakan tokoh revolusi Perancis, panglima perang yang hebat dan dilantik sebagai maharaja Perancis. Beliau amat genius dalam perang dan mempergunakan taktik terbaik yang ditemui dari pelbagai sumber. Kempen perangnya menjadi bahan kajian di akademi perang seluruh dunia sekaligus menjadikannya seorang komander perang terbaik di dunia. Namun begitu, diakhir hayatnya kempen perangnya musnah dan tentera Perancis tewas teruk. Beliau di penjara disebuah pulau dan meninggal dunia akibat penyakit kanser.            


Tujuh,   
Abraham Lincoln punya kisah hidup yang turun naik. Ketika kecil, beliau dan keluarga diusir dari rumah. Ibunya meninggal dunia, gagal dalam bisnes lalu menanggung hutang yang banyak. Beliau mengalami banyak ketewasan dalam politik dan perlu menentang kemiskinan dan kegagalan yang sering melanda. Apabila tunangnya meninggal dunia, beliau diserang penyakit saraf dan terlantar dikatil selama enam bulan. beliau bangkit selepas itu namun tewas lagi dalam pemilihan wakil presiden, sidang senat, dan beberapa pemilihan lain. Beliau tidak putus asa. Akhirnya pada usia 51 tahun Lincoln menjadi Presiden Amerika ke-16. Beliau seorang yang paling termasyhur dan tokoh politik yang mengagumkan yang pernah dimiliki oleh Amerika Syarikat.  Sewaktu pemerintahannya, pelbagai dugaan tetap melanda. Beliau berusaha membebaskan 3,500,000 orang hamba serta mempertahankan kesatuan Amerika Syarikat yang ketika itu menghadapi usaha pemisahan dari negara-negara bahagian sebelah selatan negeri.

.






Jumaat, Disember 11, 2009

1000 Catatan Sabah - 2

22)
Antara papan tanda menarik untuk tatapan umum. Gambar ini di ambil di pasar (entah apa namanya) bersebelahan Pasar Filipina, sewaktu kebosanan menunggu 'orang perempuan' membeli barangan kering (ikan kering, ikan bilis, sotong kering) untuk dibawa pulang sebagai cenderamata. Si pemilik kedai tersenyum-senyum melihat saya memetik kamera. "Tapi ada silap sikit kak," katanya. Mungkin dia merujuk kepada Ismet Ulam Raja, bukannya Esmith Gulam Raja.



 21)
"Ini tulisan orang gila kak," saya di tegur ketika mengambil gambar ini. 

Pada mulanya saya bersangka ini sebuah puisi atau tidak pun luahan perasaan oleh seorang yang kreatif mempamer kehebatan berkarya pada ruang seperti ini.

Rupanya saya silap.

Tetapi bila diteliti kembali 'puisi' atau luahan perasaan ini, jelaslah ia menggambarkan rusuh hati si penulis. Gambar ini saya rakam ketika singgah di pekan Ranau untuk membeli beberapa barang yang terlupa dibawa ketika dalam perjalanan ke Air Panas Poring.


.










Rabu, Disember 09, 2009

Diam

Bercakap, berkata-kata, boleh membuang prejudis dan salah sangka. 

Sentiasalah bertegur dan berbicara untuk mengelak salah faham dimana-mana

(Bicara membuang prasangka. Diam membawa salah sangka) 

 

 

*nasihat untuk diri sendiri


.

Sabtu, Disember 05, 2009

1000 Catatan Sabah - 1








20) Belacan  
Belacan. Unik sekali. Ada besar, kecil. Ada dijual besaiz jari, berharga RM1. Jadilah sebaai tanda mata. Sipenjual tersenyum sinis mendengarkan saya mahu menjadikannya sebagai cenderamata. 



19) Masjid?
Sesuatu yang amat berbeza bila tiba di Sabah ialah kesukaran melihat atau menemui masjid atau surau. Oleh kerana struktur masyarakat Sabah benar-benar menggambarkan semangat 1 Malaysia, maka masjid atau surau bukanlah merupakan struktur binaan utama disini. Ada banyak juga rumah ibadat lain yang dibina. Tetapi jangan terkejut jika melihat gereja bersepahan disini.



18) Kampung Air
Kawasan gay, mak nyah, orang tua, orang muda. Kampung Air ada kawasa-kawasannya yang tersendiri. Kalau mahu cari sisi lain, disinilah tempatnya. "Lorong ini untuk gay, lorong itu untuk mak nyah." Mendengarnya, tiba-tiba meremang bulu roma!



17) Terlarang
Kehidupan terlarang di Kampung Air. Disini tempat yang penuh dosa. Jangan berani berjalan seorang diri kerana kami yang lalu bertiga ini pun didekati seorang perempuan yang nampaknya seperti mayat hidup.


16) Cenderamata
Cenderamata utama jika datang ke Sabah, apalagi jika bukan mutiara. Tetapi awas, jangan tertipu. Jika mahu yang benar-benar asli, tanyalah kepada yang pakar. Pengalaman pertama ke sana dahulu saya dibawa kemari oleh teman Semenanjung yang belajar di UMS. Beliau menerangkan yang mutiara ini ada banyak jenis. Ada yang datang dari Sabah, China Australia, Filipina. Kualiti sahaja yang membezakan.  


15) Api-Api.   
Api-Api merupakan satu tempat / bandar di KK. Katanya ia berasal dari satu peristiwa. Pada suatu hari berlaku kebakaran. Nelayan yang dilautan melihat dari jauh menjeri api! api. Lalu terbitlah nama Api-Api. Tidak tahulah ia kisah benar atau saya ditipu. 


14) Buah tarap. 
 Buah ini disemenanjung hanya dimakan oleh monyet, tetapi di Saah dmakan oleh manusia. Betulkah? Saya sendiri tak pernah jumpa. Jika anda ada maklumat tambahan, sila maklumkan kepada saya. 



13) Mencari waktu solat.
Waktu disini satu jam lebih awal dari Semenanjung. Jika subuh di Semenanjung jam 5.30, disini jam 4.40. Saya tersilap awalnya, kerana menjangka waktu solat boleh didapati dengan mudah. Lupa sekali mahu membuat carian di internet. Apabila tiba pada hari pertama, saya mencari akhbar. Ada Berita Harian tetapi dengan waktu solat Kuala Lumpur (dan kawasan yang sewaktu dengannya). Sungguh tidak praktikal. Bagaimana nak tahu kawasan yang sewaktu dengannya sedangkan kita tidak tahu waktu sendiri? Dan saya di Sabah, sepatutnya pamerkan waktu Sabah, bukan waktu Kuala Lumpur. Mencari akhbar tempatan tidak membantu, dan akhirnya dengan ijtihad sendiri, juga petunjuk dari teman baru (dari Sabah), saya solat beralaskan suratkhabar dan kiblat dengan melihat arah matahari. Mujurlah. 


12) Puncak GK
Puncak kinabalu diatas awan. Puncaknya, oleh kerana tinggi, letaknya diatas awan. Kapal terbang pun lalu dibawah awan. Jadi, bayangkanlah betapa tingginya ia.




11) Malam
Kehidupan malam di KK boleh dikatakan sebagai syurga orang lelaki. Penuh dengan agenda mungkar. Mengapa saya katakana demikian? Banyak sekali pusat karaoke, rumah urut dan pub yang berselerak dicelah bangunan. Itu belum Kampung Air yang terkenal dengan identitinya tersendiri. Maaf warga Sabah, saya bukan sengaja meletak label begini, tetapi berbeza dengan Semenanjung, tempat ini bersepahan di setiap lot kedai. Tiada agenda lain bagi hiburan malam melainkan ke tempat seperti ini. 


10) Sejarah Kota Kinabalu
Semasa pemerintahan British di negeri Sabah (dikenali sebagai "Brtitish North Borneo)" pada waktu itu), pusat pemerintahannya di Pulau Gaya. Satu peristiwa kebakaran telah melanda Pulau Gaya dan pihak British terpaksa mengalihkan pusat pemerintahan ke sebuah perkampungan nelayan di persisiran Pantai Barat Sabah yang dipanggil Gentisan. Petempatan tersebut bertukar nama kepada Jesselton sempena memperingati Sir Charles Jessel. Apabila Sandakan, yang pada waktu itu merupakan ibu negeri Brtitish North Borneo, musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran British telah dipindahkan ke Jesselton. Jesselton kemudiannya bertukar nama kepada "Kota Kinabalu" pada tahun 1967, iaitu 4 tahun selepas Sabah menyertai gagasan Malaysia yang baru. (Sumber adalah dari Wikipedia) 


9) Pakej

Sabah membekalkan anda pakej yang menarik. Banyakpilihan yang ada - mendaki ke gunung, atau snokerling di laut atau diving di pulau, atau berkelah dipantai atau menikmati hutan yang masih dara. Semua ada. Lengkap. 


8)  Banyak KFC
Terdapat banyak KFC di Bandar KK. Oleh itu, jangan anggap anda salah masuk jalan, atau melalui simpang yang sama. Menurut teman disini, kesukaran mendapatkan makanan halal menyebabkan permintaan terhadap KFC meningkat. Tidak hairanlah, kita akan menemui beberapa (boleh jadi dua, tiga atau empat) KFC di satu kawasan yang sama. Unik.


7) Bahasa
Bahasa rasmi negeri Sabah ialah bahasa Melayu, namun terdapat bahasa-bahasa lain yang ditutur; seperti bahasa Kadazan, bahasa Cina (Bahasa Irannun, bahasa Bajau) dan lain-lain. Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan utama, bahasa Melayu Sabah yang digunakan oleh masyarakat Sabah terdapat sedikit perbezaan daripada Bahasa Melayu piawai (Bahasa Melayu Baku).
 

6) Gunung Kinabalu
Tarikan utama Sabah ialah Gunung Kinabalau (GK). GK merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia tersergam indah di sekitar kawasan bukit bukau pada ketinggian 4,095 meter. 


5)  Masyarakat
Penduduk Sabah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, di mana kumpulan etnik terbesar adalah kaum Kadazandusun (satu pertiga) dan diikuti oleh Tausug ( Sulu ), Bajau dan Cina, Melayu, dan kaum-kaum minoriti lain. 


4)  Daerah
Sabah terdiri daripada 6 daerah pentadbiran atau Bahagian, yang dahulu dikenali sebagai "Residensi" iaitu 
Kudat, Pantai Barat (Utara dan Selatan), Pedalaman, Sandakan dan Tawau. Bandar-bandar utama di Sabah adalah Kota Kinabalu yang juga merupakan ibu negeri, diikuti Keningau, Papar, Sipitang, Tuaran, Penampang, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.


3) Geografi 
Mari kita berkenalan dengan Sabah. Ia adalah sebuah negeri yang terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Juga dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu' kerana kedudukan negeri tersebut yang berada di bahagian luar dan selatan zon ribut.


2) Maklumat
Sebelum menjejakkan kaki ke Sabah, elok kiranya anda mencari maklumat dahulu seputar Sabah. Sabah, bukan seperti yang kita dengar dan baca. Ia lebih dari itu. Apa yang di tulis sebenarnya sekelumit dari apa yang terzahir. Bagi warga Semenanjung khususnya, buatlah carian sebelum menjejakkan kaki ke negeri Di Bawah Bayu ini. Jika tidak, anda akan kehilangan banyak perkara yang tidak pernah anda fikirkan. Jangan sampai menyesal pula!


1) Selamat datang
Kota Kinabalu (KK), khususnya Lapangan Terang Antarabangsa KK dan Terminal 2 LCCT letakknya dipinggir laut. Cukup memberi satu alu-aluan yang membahagiakan bila pelawat yang pertama kali datang memandang ke lautnya yang membiru, hijau suasana hutannya, dan struktur geologi yang masih belum banyak terusik. Datang ke KK, di alu-alukan dengan keghairahan meneroka seluruh alamnya.