Khamis, Januari 28, 2010

Gurindam spontan

Memang sukar kita menilai sifat manusia. Apa yang ada putih diluar, entah didalamya hitam atau kelabu. Sukar untuk ditentukan apa sebenarnya yang dimahukan. Pura-pura baik, tetapi jahatnya mengalahkan iblis. Alim kucing kata orang dulu-dulu.

Maka pada waktu saya terperangkap dengan mereka, ada sahaja yang tidak puas hati keluar secara spontan. Seperti status Facebook ini yang saya taip ketika sedang keluar masuk bilik pejabat menyediakan kelengkapan untuk dibawa ke Gurun bagi mengendalikan kursus Induksi. Ia terzahir secara spontan. Spontan
Manusia dengan sifat dengki yang tak habis, perangai jahat tak ubah seperti iblis, selalu membuat hati orang menangis, takut dengan hartanya yang cepat sangat habis!

Kerana berada dikalangan orang yang sifat murninya sudah terhakis, tanpa memikirkan amal dan perbuatannya yang mengempis


Jumaat, Januari 22, 2010

Hujan dalam resah

Sudah dua hari saya berada diruang yang tenang sehabis waktu pejabat. Suasana di sini amat sesuai untuk bermastautin. Persekitaran yang mendamaikan, kenderaan yang kurang dijalanan, manusia yang kurang bersepahan, tetangga yang tidak berprasangka langsung memberikan ruang yang luas pada diri untuk bercanda dengan ilham.

Saat ini hujan lebat melimpahi alam. Langit amat gelap, hujan tertumpah di setiap inci tanah yang kita pijak. Angin bertiup kadang kencang kadang perlahan merembeskan air hingga ke muka. Kilat dan guruh saling menyambar, pohon melambai mengikut deras angin. Saya menghirup nafas sedalamnya. Ini nikmat Tuhan yang tidak boleh saya dustakan. Bermacam doa saya panjatkan kepadaNya, meminta dan memohon sebanyaknya biarpun malu kerana terlalu menghindarkan diri dariNya lewat waktu ini.

Ternyata ada damai pada hati yang resah.

Saya gemar memerhati alam tatkala hujan. Mengira tiap rintik hujan yang turun, melihat dahan yang meliuk lintuk, membaca bicara alam pada manusian, kesejukan yang memeluk tubuh, segar udara yang berhembus, langit yang gelap dan menakutkan itu semuanya memberi wajah yang sukar ditatap pada waktu mendatang.

Lantas, lintasan kenangan waktu kecil yang penuh suka duka singgah diingatan. Dahulu, biarpun saya suka dengan hujan, tetapi kehadirannya tidak begitu disenangi. Hujan turun, dan kami adik beradik segera mencari mangkuk dan diisi kain buruk bagi menadah titik hujan yang menitis dari atap yang berlubang-lubang. Bukan satu, bukan dua, bukan tiga. Bila penuh, kami curahkan ke luar tingkap dan menadah kembali. Bilik peraduan saya pula sentiasa dibasahi. Rumah papan yang kemas buatannya tetapi atas nama teknologi kampung tidak membantu menahan hujan lebat dari menembusi dinding, hingga menyebabkan lantai digenangi air. Kain batik kepunyaan emak menjadi mangsa untuk kami tahan air yang masuk laksana empangan sebelum ditimba keluar. Andai hujan lebat turun pada waktu kami dibuai mimpi, maka bersegeralah kami bangun dari tidur sambil melihat sama ada rembesan hujan boleh menjadi lebih ganas bagi membasahkan kami. Selalunya kami berharap hujan tidak selebat mana supaya kami boleh menyambung mimpi yang terputus.

Basah memang basah, tetapi itulah kenangan yang indah, yang tidak akan dapat kami kecapi lagi apabila saat ini dinding papan sudah bertukar konkrit batu.

Bagi abah, saya fahami resah dalam dirinya. Rezeki yang tuhan salurkan menerusi tujuh ekar getah itu bukanlah sahabat baik bagi hujan. Apabila tiba musim hujan, dialah orang yang paling resah. Bagaimana harus dia mengatur sesuap nasi buat keluarga andai pokok yang disembah setiap hari tidak berupaya menyalurkan rezeki pada hari sebegini. Apa sahaja yang boleh dilakukan melainkan berdoa agar hujan dan musim basah itu berlalu segera agar dapur tidak berhenti berasap dan perut tidak kelaparan apabila tiba waktunya. Keresahan yang tidak pernah diucapkan itu dapat saya fahami dari gerak tubuh dan raut muka abah yang tenang tidak berkocak tetapi memberi pengertian yang mendalam.

Syukurlah, zaman kami memusuhi musim-musim basah dan sejuk itu telah berlalu.

Biarpun masih terkenang-kenang akan kisah lampau, tidaklah mahu saya jadikan ia igauan saat melangkah ke hari mendatang. Itu adalah proses kehidupan - memberi seadanya dan menerima seadanya. Allah adalah pendamping paling kuat saat diri dilanda resah, bagi membantu mengurangkan gelisah dan menambah kekuatan terhadap diri yang sering di usik perasaan tidak menentu. Kekuatan abah saya gali bagi menyalin iltizamnya terhadap hidup membawa kami melepasi saat sukar bersama emak yang tidak putus menjadi teman perjalanan yang tidak pernah patah usaha.

Hujan masih belum berkurang kadar lebatnya, Maghrib telah masuk dan bas sudahpun selesai menghantar anak sekolah pulang dari sesi petang. Taman mini berkonsep bali dengan kolam ikan empat segi bersaiz dua pertiga kereta kelihatan segar. Ikan yang kadangkala muncul apabila sampai waktu entah kemana bersembunyi. Titis air yang menyimbah permukaan kolam semakin menaikkan aras air melepasi tebing yang berbatu gelap.

Saya meninggalkan tulisan ini tanpa sebarang konklusi, sekadar melukiskan sebuah catatan hati pada hujan yang entah bila mahu pergi, pada waktu yang resah tidak bertepi.

Rabu, Januari 20, 2010

Seterusnya

Ok, saya mahu belajar berhenti mengeluh. Terima kasih yang menegur dan memberi pesan. Terlalu banyak keburukan yang diluahkan hanya mendedahkan kepinnagan diri.

Januari atau lebih tepat, tahun 2010 sudah 20 hari berlalu. Saya masih berusaha mencatatkan resolusi terbaik buat diri bagi tahun ini. Setidak-tidaknya ada matlamat yang perlu dicapai dan landasan untuk merentasinya biarpun ada orang kata, apa hal nak buat azam setiap tahun?. Bukankah elok untuk kita merencana agenda buat diri, supaya kita tahu apa yang kita mahukan dengan jelas?


Tapi yang pasti, saya mahu memarakkan bahang yang sedang membara. Merenjiskan api semangat padanya. Dan berlari sekencang yang boleh.

Dan sebagai pembuka semangat, saya mahu ucapkan tahniah kepada Cikgu dan As diatas kejayaan merangkul anugerah di malam  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/07 Isnin lalu. Anda memang hebat, juga manusia luar biasa. Teruskan bahang kejayaan itu.

Rabu, Januari 13, 2010

Tangan yang berdosa

Tengahari tadi saya keluar makan dengan teman lama, teman sepejabat. Sekarang dia sudah mengusahakan perniagaan sendiri, sudah ada pekerja sendiri, sudah ada akaun syarikat sendiri, sudah ada kereta besar, sudah jadi bos. Boleh dikatakan dia sudah menjadi ahli perniagan yang berjaya.

Dia meminta saya menyempurnakan satu kerja bagi pihaknya, yang walaupun saya keberatan tetapi bersetuju juga atas sifat kawan (dosa ditanggung seorang atau bersama?).

Kemudian kami berbual sekitar perniagaan dan industri yang sama-sama kami ceburi. Kawalan ketat oleh kerajaan dan pelaksanaan undang-undang yang ketat sejak akhir-akhir ini nyata memberi tempias kepada perniagaannya. Saya juga setuju. Jika tidak, masakan Kementerian Dalam Negeri sudah berani 'naik' ke pejabat bagi melakukan audit terhadap syarikat, seperti apa yang kami alami semalam.

Perbualan kami tamat sebaik waktu rehat tengahari berakhir. Saya kembali ke pejabat dan memanggil teman sepejabat yang sangat saya percayai lalu bercerita kepadanya apa yang berlaku. Sebenarnya, saya tidak mahu menanggung kerja itu seorang diri (atau menanggung dosa seorang diri) kerana menyedari risiko yang besar disebaliknya. Biarpun menerima dengan rela, namun tangan yang ini tidak mampu mencuci dosa jika terpalit perkara salah disebaliknya.

Saya bercerita dan bercerita, sehinggalah dia membuka mulut dan cuba membetulkan tanggapan saya terhadap teman ahli perniagaan itu.

"Kau tak boleh buat begitu sebenarnya. Kita tidak boleh terlalu jujur dan baik sekarang. Ini bisnes. Banyak orang jahat disekeliling kita,"katanya.

Saya terdiam  memandangnya. Antara percaya dan tidak.


"Jadi, apa yang harus aku buat?" tanya saya.


Dia memberikan saranan, saranan yang bisa membuahkan wang. Saya lemas lalu cuba menyangkal saranannya itu.


"Tak boleh, kau tak boleh buat begitu. Aku sudah puas berbuat baik tetapi tiada apa yang aku dapat akhirnya. Kali ini kita harus ambil kesempatan kali ini. Peluang terbuka dihadaan kita, maka kita harus rebut. Kita sudah tidak boleh terlalu jujur," balasnya lagi.


Saya menjadi kelu. Langsung tidak mampu berbicara.

Andai berbuat kebaikan pun sudah menjadi kesalahan, apa lagi yang tinggal untuk kita?

Antara memberi dan menerima, apakah sudah tiada manisnya lagi?





Isnin, Januari 11, 2010

Memberi dan menerima - 2

Dalam mencari erti keikhlasan dalam konsep memberi dan menerima, saya berbual dengan seorang sahabat jauh. Saya (S) namakan dia sebagai A, dan perbualan kami dipadatkan seperti berikut. 

S: Tetapi sekarang kita lupakan tugas memberi tetapi asyik menerima. Saban waktu kita memohon dan berdoa, meminta dan menanti lalu kita selesa menjadi orang yang menerima. Apabila tidak dapat atau kurang menerima, kita marah. Sedangkan kita sebenarnya cuba disedarkan Tuhan yang kita menerima setakat apa yang kita beri.

A: Oh bagus. Awak juga boleh menambah ini jika mahu, sebenarnya apa yang awak bincangkan dengan majikan itu sebenarnya hukum alam dengan maksud mesti terjadi seperti hukum graviti. Kalau baling epal ke langit ia akan turun semula ke bumi. Kerana dalam surah al zalzalah ayat 7-8 bermaksud 'maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya'. Buat baik di balas baik, buat jahat dibalas jahat.

S: Menarik. Saya tidak terfikir pun akan ini.

A: Yang membuat kenduri sebelum menunai hasil mungkin tidak sedar yang mereka berbuat baik lalu menarik kebaikkan datang kepada mereka semula. Orang tak faham buat baik balas baik ini hukum alam. Mustahil epal dibaling ke langit kekal terapung disana kan, ia wajib turun semula ke bumi, itulah analoginya.

S: Tetapi saya terfikir satu perkara selepas itu. Memang benar ia hukum alam, buat baik dibalas baik, tetapi bagaimana kalau kita dibalas jahat? Apakah itu bermakna tuhan tidak menerima perkara baik yang kita lakukan. Saya selalu fikirkan hal ini, kerana setiap orang berbuat baik berharap balasan kerana mereka percaya itu hukum karma.

A: (Ketawa) saya juga memikir benda yang sama

S: Bukankah kita sepatutnya serahkan pada tuhan, bukan mengharap dibalas,  jika kebaikan kita automatik dibalas baik, hilanglah pahala ikhlas kita.

A: Cuma orang mungkin susah nak faham konsep yang kita sangkakan keburukan yang kita itu sebenarnya bukanlah keburukan tetapi kebaikan sarat mengandungi hikmah yang sukar utk keluar dari jangkauan  pemikiran kita sebab saya percaya hukum baik dibalas baik ini kerana yakin dengan ayat Quran. 

Dia memberi contoh situasi dipejabatnya. Katanya, mereka bekerja tetapi difitnah juga. "Fitnah yang jahat pula. Contoh mengambil wang saguhati dari pembekal (rasuah macam dalam novel awak). Walhal - nauzubillah, minta dijauhkan - disini sini buat baik nampaknya dibalas dengan keburukan." 

A: Tetapi disebabkan hal ini yang saya nampak Allah mendekatkan kami denganNya semula, dengan kembali kepada kehidupan lebih kehambaan contoh lebih banyak membaca Quran, lebih ikhlas berdoa dan kadang-kadang Allah membalas dengan hal yang lebih gembira yang jauh dari jangkaan akal contoh, kawan-kawan yang baik, yang setia, yang ikhlas membantu, yang menyayangi dan dalam banyak pekerjaan Allah permudahkan jalannya. Saya lihat begitu, tapi saya tidak tahu pula pandangan awak bagaimana?

Saya membalasnya dengan menceritakan siuasi saya. Saya rapat dengan seseorang - saya namakan dia D - yang punya seribu satu sikap baik dalam dirinya. Malangnya dia ini amat liat mengerjakan solat dan mengenakan tudung (baca: menutup aurat), chain smoker dan dia perempuan. Dia dipandang rendah atas tiga perkara tidak elok yang dilakukan itu. Namun, saya lihat hatinya sangat jujur dan luhur. Lalu cubaan mentarbiah menjadi sangat sukar atas sikap baiknya itu apatah lagi bila saya dapat tahu kemudiannya bahawa dia adalah mangsa keganasan rumahtangga (domestic violence). Sepuluh tahun berkahwin dan menjadi mangsa dera dan pukul si suami. Maka saya lihat lagi, D baik dan ikhlas, tapi kebaikannya itu tidak memadai kerana jauhnya dia dari tuhan maka dia tidak dibalas dengan kebaikan.

S: Kadangkala bila dia bercerita, saya tegur akan hal ini. dia akui silapnya dan berusaha berubah. Selalu D mengharap 'akan tiba hari yang sesuai untuk dia berubah'.

Perbualan kami terputus tiba-tiba atas urusan kerja. Saat entri ini ditulis dan 'membaca' kembali perbualan kami, barulah saya faham bahawa memberi dan menerima itu memang automatik, cuma bagaimana kita dibalas itu sememangnya luar dari jangkaan kita. Bukankah Allah melakukan semua perkara dalam rahsia, yang kita tidak tahu dan fahami hingga apabila kita diberi dan diuji, barulah kita sedar mengapa ia menjadi begitu dan begini? 

Allah akan memberi, tetapi dalam keadaan yang tidak kita sangka. Dia tidak akan beri X seperti yang kita minta, tetapi beri Y melebihi apa yang kita jangka. Maka, usahlah sama sekali kita bersangka buruk dengan Tuhan.

Kepada A, terima kasih kerana memahamkan saya tentang konsep memberi dan menerima, juga analogi terhadap tarikan graviti.

Kepada D, akan tiba harinya untukmu diberi. Maka saat itu, janganlah segan membuka pintu hati saat dirimu diberi sinar (hidayah) sesudah lama melalui laluan yang gelap itu. Doaku ini sangat-sangat kepadamu.

Amin.




Memberi dan menerima - 1

Suatu malam pada minggu yang lalu, bekas majikan terdahulu (baca: seorang wanita) menelefon lalu mengajak saya keluar. Agenda kami hanyalah berbual-bual ringan di ruang kafe yang tenang tidak jauh dari pejabat lama saya.

Saya membiarkan dia berbicara, biarpun waktu itu saya merasa sangat letih dan mengantuk. Bersetuju menemuinya atas dasar hormat, biarpun tiada lagi hubungan antara kami. Minggu lalu hidup sungguh tidak terurus. Waktu lebih banyak habis di pejabat dengan perasaan yang separuh memberontak dan separuh kecewa. Rumah sekadar menjadi tempat tidur, mandi dan menukar baju. Rasanya lipas, tikus, cicak dan haiwan yang sewaktu dengannya enak berdendang dirumah tatkala tuannya lesap. Harapnya tidak!

Saat bersantai dengan beliau, perbualan kami bukanlah kosong tanpa isi atau bergebang atas perkara yang tidak perlu. Asalnya cuma bertanya khabar bertukar kepada pengisian yang mencambahkan beberapa topik selanjutnya. Lantas, saya tidak lepas dengan pena dan kertas yang sejak akhir ini menjadi pendamping erat, dan mencatat biarpun mata sudah layu dan entah berapa kali menguap.

Antara banyak perkara yang diluahkan sepanjang dua jam, saya amat terkesan dengan konsep memberi dan menerima yang di kongsikan. Katanya, sebelum kita menerima, kita harus memberi terlebih dahulu.

"Lihat kepada amalan kita dahulu. Petani, atau orang yang menanam padi biasanya sebelum menuai mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran. Untuk apa?"

Dia bertanya bukan untuk mendapatkan jawapan tetapi mengembalikan fikiran saya ke alam realiti - bukannya memikirkan bantal dan tilam.

"Kerana mereka faham akan konsep memberi dan menerima. Mereka menjamu penduduk sekampung (memberi) dan berdoa semoga dikurniakan rezeki dari tuhan (menerima). Bukannya mengadakan kenduri selepas menuai hasil atau selepas menerima habuan dari usaha. Samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh peniaga kedai runcit atau pemilik pejabat. Mereka memberi terlebih dahulu sebelum menerima. Dengan memberi, mereka tahu balasan itu ada untuk mereka menerima."

Fikiran saya terawang-awang dan berlari ke sana ke mari, cuba menafsirkan kembali kata-katanya. Hanya dengan memberi, kita akan menerima. Dengan kata lain, jika kita tidak memberi sesama insan, bagaimana boleh Tuhan mahu memberi kepada kita pula.

Lantas ia membawa saya kepada satu perkara - ia adalah hukum karma, sesuatu yang bersifat automatik - buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Tetapi apakah cukup dengan berbuat baik kita mengharap, menanti, menunggu balasan yang baik. Apakah memadai mengharap balasan, tanpa berusaha dan berdoa?

Jujur, saya selalu memaksa diri utuk berbuat baik sentiasa sesama insan dengan mengharapkan perkara yang sama iaitu hukum karma turut berlaku pada saya. Kita mengharap dan menanti, moga balasan baik itu tiba. Lalu, apakah kebaikan itu bernilai ikhlas dan apakah benar kita jujur dalam memberi, atau berbuat baik dengan beranggapan bahawa setiap kebaikan kita automatik dibalas baik.

Cuba pula fikirkan bagaimana kalau kita dibalas sebaliknya, apakah reaksi kita? Apakah itu bermakna Tuhan tidak menerima perkara baik yang kita lakukan, dan hukum karma itu tidak menjadi. Lalu, apa kita apakan dengan segala usaha baik itu? Ikhlasnya terbang jauh, niatnya tersasar dan pahalanya entah kemana sahaja bertebaran.

Kata-katanya itu membuatkan saya melihat kembali pada diri. Ya, seminggu di pejabat dengan kekusutan oleh insan yang membuatkan saya benci. Jika saya beranggapan salah terhadapnya, maka salah juga anggapan dia terhadap saya. Harus saya telan segala racun yang dicurahkan ke dalam semangkuk minuman ditangan saya dengan harapan ia bertukar menjadi madu yang indah untuk saya nikmati. Namun, betapa sukarnya untuk saya melawan segala perasaan itu, sedangkan syaitan yang direjam menggoda saya untuk melawan dan menentangnya, kalau tidak pun mencurahkan racun kembali ke dalam bekas minumanya. Namun, haruskah saya membalas segala kejahatan itu?

Apa yang harus saya buat ialah memberi - memberi kebaikan, keikhlasan, kesungguhan - agar nanti saya menerima kebaikan berupa perkara yang sama biarpun tanpa ada niat minta dibalas sebegitu rupa. Harganya ialah keikhlasan, nilainya adalah kejujuran.

Tetapi saya juga harus ingat. Ada juga waktunya kita lupakan tugas memberi tetapi asyik menerima dan meminta. Saban waktu kita memohon dan berdoa, meminta dan menanti lalu kita menjadi orang yang menerima. Bila tidak dapat atau kurang, kita marah dan kecewa sedangkan kita sebenarnya cuba disedarkan Tuhan yang kita menerima selayaknya mengikut apa yang kita beri. Kiranya Nabi Muhammad sendiri (selawat dan salam untuknya)  memberi dengan menyampaikan semahu-mahunya ajaran Islam kepada sekelian manusia dan turut sama mengharap balasan dari Allah, maka akan jadi apa Islam kita hari ini? Na'uzubillah

Ahad, Januari 10, 2010

Berani

Dalam jarak waktu yang hampir sama, dua orang teman - yang tidak langsung punya kaitan antara satu sama lain - menyatakan perkara yang sama kepada saya : Kamu ini seorang yang berani mencuba.

Saya renung kembali kata-kata mereka. Melihat kembali apa yang saya lakukan sehingga dianggap berani. Apa bagusnya saya sehingga dianggap berani? Dan sejauh mana beraninya saya menongkat hidup ini?

Kalaupun ada yang boleh dianggap begitu sifatnya, saya rasa hanya kerana mahu mengecap erti hidup yang nikmat. Ada dua konotasi disini. Pertama, hidup ini singkat dan buatlah apa sahaja untuk kau nikmati sepenuhnya maksud kehidupan, kegembiraan dan kebebasan kerana kesedihan tidak perlu wujud dalam hidup kita yang sekejap. Kedua, oleh kerana singkatnya hidup ini, maka perbanyakkan amal kebaikan yang boleh kau taburi kepada sekelian umat manusia juga makhluk Tuhan yang wujud dibumi, kerana nikmat sebenar kegembiraan dan kebebasan hanya wujud tatkala kau berada di sana, hasil dari apa yang kau lakukan di sini (dan ya, pada waktu yang singkat).

Dunia ini tempat kau menanam, dan tempat kau menuai ialah disana.

Kalaupun saya dikatakan berani mencuba, ada batas tahap keberanian itu. Tidak semua sempadan boleh dilanggar, tidak semua ruang 'nikmat' dunia boleh dikecap. Ini semua membawa kepada kekesalan terhadap diri kerana  tidak mampu menjawab soalan buat diri sendiri - mengapa tidak kau berani kepada perkara yang benar-benar memerlukan keberanian?

Selasa, Januari 05, 2010

ALLAH


Pembuka tahun masihi 2010 kita sudah di gegarkan dengan isu ini.

ALLAH.

Sedih hati bila mengenangkan penggunaan nama pun dimahkamah dan dipolitikkan. Apa sudah jadi, Malaysia? Kalian belum mahu insaf lagi?

Saya tidak mahu membicarakan tentang isu ini, tetapi lebih melihat kepada cara bagaimana KITA menangani isu ini. Ya, KITA yang merujuk kepada orang ISLAM di MALAYSIA.

Bagi melihat isu ini dengan sempurna, kita harus kukuhkan diri dengan pembacaan dari mereka yang punya autoriti dalam membahaskan juga merujuk kepada pihak yang benar-benar tidak mempunyai kepentingan, khususnya politik. Jangan mudah terpengaruh dengan kekeliruaan massa umpamanya siaran berita dan akhbar, ataupun agenda politikus meraih undi menerusi pendekatan populis, mahupun agenda menjerit dan merusuh tepi jalan yang hanya mencemarkan kesucian agama.

Awasi kata-kata supaya tidak menyinggung dan jangan terlalu beremosi dalam berhujah. Kita punya ruang untuk berbincang, dan janganlah kerana kita terlalu beremosi, pihak yang lain diam lalu bertepuk tangan melihat kita terkinja-kinja. Akhirnya kita menjadi seperti Pak Kaduk - menang sorak kampung tergadai.

Jangan gadaikan agama. Ruang perdebatan dan perbincangan itu maha luas. Tunjukkanlah sifat kesempurnaan Nabi Muhammad dalam berdiplomasi dan bermusyawarah dengan akidah dan adab terpuji.

Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah.

Jumaat, Januari 01, 2010

Kembara Jakarta - Jejak toko buku (Siri 1)

Sering saya mendengar dari mereka yang terbang ke Jakarta atau Bandung - bahawa disana terdapat toko buku yang besar dan pelbagai. Kata-kata ini cukup membuatkan saya cemburu. Maka kesempatan dalam kembara ini saya pergunakan sepenuhnya bagi menjejaki toko buku yang dimaksudkan, atau setidak-tidaknya merasai pengalaman berada dalam celahan dunia yang penuh buku.

Pesan saya kepada teman yang mengiringi kembara - saya mahu ke toko buku dan tinggalkan saya disana. Namun, berurusan dengan seseorang yang bukan kaki buku agak sukar. Oleh kerana sudah lama menetap di Malaysia, dia  tercari-cari kedai buku besar yang saya dimaksudkan dan tatkala saya menyebut Gramedia, dia seolah-olah menerima ilham bagi membawa saya ke tempat yang dimaksudkan.

Namun begitu, perjalanan ke dunia buku kami mulakan ke Kwitang. Saya teringat adengan dalam Ada Apa Dengan Cinta - saat Cinta (Dian Sastrowardoyo) dan Rangga (Nicholas Saputra)  bertemu di sebuah pasar minggu yang menjual buku lama (disana dipanggil buku bekas). Cinta dan Rangga bercinta dengan buku bekas di Kwitang, dan sebolehnya saya mahu merasai pengalaman 'cinta' yang sama.


Setibanya di Kwitang, mata sudah terpaku dengan deretan kedai yang mengaturkan buku di dalam kedai hingga ke pintu masuk. Saya kira penjual disini sudah tahu apa yang diinginkan pelanggan yang datang ke sini, iaitu. Masakan tidak, turun sahaja dari komilet saya sudah diterpa beberapa penjual.

 Lihat sahaja susunan buku di Kwitang. Dari lantai hingga mencecah bumbung.

"Mau buku apa mbak? sebut sahaja, kami ada pelbagai," kata mereka langsung mengekori saya. Seorang demi seorang menyapa.Wah dahsyat sekali, fikir saya. Selagi saya tidak menjawab, mereka terus mengekori. Oleh kerana mata sudah terpaku pada buku yang tersusun dari lantai hingga ke bumbung, saya menggelengkan kepala sambil senyum tanpa cuba berkata. Di bimbangi dialek saya mengundang ketawa atau tidak mahu menunjukkan bahawa saya orang luar, biarpun pakaian sudah menunjukkan kelainan.

Saya kira deretan kedai buku ini tidak tamat disini. Mungkin ada lagi dibelakang kedai, atau dideretan blok sebelah sana. Kwitang saat kami tiba pagi itu lebih kurang jam  8 pagi Ahad - sudah sibuk namun tidak sesesak Jakarta. Teman pengiring yang ramah bertanyakan kepada penjual dan peniaga asungan di kaki lima dimana saya boleh dapatkan buku bekas. Saya memberinya maklumat, dia bertanya dan berbicara.

"Ya, dahulu disini, di Kwitang. namun kini semuanya sudah dikelompokkan," jelas seorang peniaga. Maksudnya, pemerintah sudah memerintahkan tempatnya di satu kawasan, bukan lagi bersepah seperti dahulu. Yang lain menambah, lokasinya sudah ditukar ke Pasar Senen, kira-kira dua ratus meter dari kedainya. Oh, hampanya saya bila mendengar jawapan tersebut. Terasa hilang kegembiraan bila tidak dapat mengecapi nikmat seperti Rangga memilih buku untuk Cinta. Mereka menunjukkan jalan ke Senen. Benar, satu kelebihan orang disini (baca: Indonesia) ialah mereka tahu serba serbi. Tidak akan ada salah, dan tidak sombong menunjuk arah.




Sebelum melangkah ke Senen, saya singgah dahulu di Toko Gunung Agung yang berdiri di celah kedai tradisi.  Toko buku dua tingkat ini nampak segar dengan hidangan buku yang pelbagai, terutamanya buku agama. Namun, hati tidak merasa teruja membeli kerana masih merasa kehampaan, namun tetap memilih dua buah buku, satu naskhah majalah dan sekeping peta Jadebotabek (Jakarta, Debok, Bogor, Tangerang, Bekasi)  sebagai tandamata sebelum melangkah ke Senen.


Petua penting yang harus di pegang ketika mengembara ialah jangan segan bertanya. Dan kalau bertanya, jangan berpandukan kepada jawapan dari seorang penduduk, tetapi kepada beberapa orang. Dikhuatiri salah. Jadi beberapa orang yang kami tanyakan arah ke Senen semuanya menujukkan arah yang sama  -  sebelah kanan dan harus melepasi simpang empat berlampu isyarat, berjarak kira-kira dua ratus meter dari lokasi kami  berdiri.


Tanpa lupa mengucapkan terima kasih, kami melangkah lagi. Pasar Senen berdiri seperti kompleks membeli-belah lama, boleh disamakan dengan Kotaraya di Kuala Lumpur. Di lantai (tingkat) atas sekali terhimpun para penjual buku - namun bukan semua buku bekas. Saya bernafsu besar mencari buku terbitan lama Balai Pustaka seperti Atheis, Salah Asuhan dan Siti Nurbaya. Terbitan lama, bukan edisi baru. Setelah pergi kepada semua penjual dan mengatakan tiada, barulah saya sedar buku langka seperti itu wujud dalam wajah baru. Yang lama mungkin sudah dihapus zaman. Dan cita-cita itu saya padamkan, lalu membeli tiga buah buku sebagai kenangan dari Senen.


 Pelbagai jenis buku - baru dan lama di jual. Kalau yang kita cari tiada disini, sipenjual akan mencarikan untuk kita pada peniaga lain. Mereka sangat membantu

Ok, mungkin ada tertanya mengapa saya sibuk mencari buku langka. Bagi penggemar / pengumpul / penyimpan buku (andai saya boleh masuk dalam kategori ini), buku yang dibeli bukan sekadar untuk dibaca, tetapi dihayati kandungan juga persembahan (dari segi kulit, tulisan, kertas). Lebih lama usia buku itu, lebih berharga ia disisi. Ini kerana ia melambangkan betapa sesebuah naskhah itu punya fungsi merubah pemikiran, merubah masyarakat, merubah dunia. Namun sebenarnya, saya sendiri tidak tahu mengapa saya gemar mencari buku lama berbanding edisi baru yang ada di rak jualan.

Dalam tulisan lain saya akan ceritakan pengalaman berada di tiga buah kedai Gramedia berbeza lokasi.





Hijrah dan Masihi

Apalah yang ada dengan tahu baru?

Pada diri sesetengah orang, ia berupa perubahan hari, perubahan nafas, perubahan diri. Ia membawa kepada kerisauan menghadapi 365 hari mendatang selepas melewati kitaran waktu yang sama sebelumnya. Kepala mereka gusar memikirkan apakah yang bakal ditempuhi sambil merencana episod baru buat diri.

Ada yang senang dengan pertambahan umur saat kalendar bertukar wajah. Nah, harus dibukakan buku baru bagi mengisi segala-gala dari mula. Hidup bagaikan baru merangkak bayi dan perjalanan ke 31 Disember berikutnya ibarat proses tumbesaran seorang manusia melewati kanak-kanak, remaja, dewasa langsung tua sebelum menutup mata pada penghujung tahun.

Saat kalendar Hijrah 1431 terkuak, dua hari selepasnya saya menjejakkan kaki ke tanah seberang. Lapan hari mencuci diri, membuka dimensi baru diri terhadap hidup. Saya harap ia satu hijrah dan tazkiyyah atau pencucian berterusan terhadap makna sebuah kehidupan. Moga ada titik tolak yang mampu membawa saya ke arah yang di citakan selama ini, yang terganggu oleh diri yang selalu menanti dan mengharap, berusaha separuh jalan dan berpuas hati sekerat harapan.

Tahun baru masihi 2010 yang hadir lima belas hari selepas Muharam memulakan kalendar hijrah membawa dua situasi berbeza. 31 Disember saya tamatkan dipejabat dengan keletihan tapi penuh kepuasan kerana berjaya menyiapkan banyak tugasan. Saat insan lain sibuk mencari tempat bagi membuat kiraan countdown ke 1 Januari 2010, saya mendengar sambil memikirkan apakah suasana upacara sambutan ini akan berterusan dengan nyanyian, muzik, bunga api, kegembiraan, kepuasan dan kebebasan? Sejauh manakah erti tahun baru jika hanya terpesona dengan nyanyian, muzik, bunga api, kegembiraan, kepuasan dan kebebasan? Lautan manusia berhimpit berpestaan pada saya hanya mengundang celaka jika batas manusiawi dan agama tidak lagi menjadi halangan dalam pergaulan. Apa lagi yang boleh kita luahkan kita pestaan begitu bisa mengundang padah dikemudian hari.

Selalu saya tertanya, mengapa tanggal 31 Disember dipenuhkan agenda penuh melalaikan. Apakah tiada acara lain yang sesuai selain nyanyian, muzik, bunga api, kegembiraan, kepuasan dan kebebasan? Apakah ini sahaja acara yang sesuai dinamakan sambutan tahun baru?

Usai Maghrib 31 Disember, saya melangkah keluar dengan debar. Memandu ke Kuala Lumpur, saya berdoa tidak menjadi mangsa kesesakan atau penutupan jalan. Biarpun cuba mengelak dari masuk ke ibu kota pada hari seperti ini, syukurlah saya tiba pada suatu majlis yang indah, yang pernah saya hadiri hampir sembilan tahun dahulu.

Sebaik bertolak, saya terpandangkan bulan yang tergantung indah dilangit, ibarat sebutir mutiara yang bulat rupanya tercorak indah pada kanvas nan gelap. Hampir sahaja berhenti ditepi jalan untuk merakam sekeping gambar namun dek kerana polis sedang membuat operasi lalulintas dilaluan sebelah, saya hanya mampu mengungkapkan Subhanallah berkali-kali.

Lantas saya teringat yang malam ini 15 Muharam, pada malam bulan menjadi sangat indah. Dan lebih indah, berlaku gerhana bulan beberapa minit selepas kita menjejakkan kaki ke 1 Januari.

Namun begitu, diantara hedonisme tahun baru masihi dan gerhana bulan, siapakah yang bisa mensyukuri dan siapa pula yang tenggelam dalam pesona kealpaan?

.