Isnin, Februari 15, 2010

Berjuang

1)
Saya pernah ditanya oleh rakan-rakan sepengajian, sejak bila saya ini menjadi seorang penulis, atau sejak bila ada keinginan  menulis. Saya tahu soalan ini berdasarkan kepada latar belakang pengajian saya dan aktiviti masa senggang ketika belajar dahulu yang tidak ada ruang langsung untuk aktiviti seni, budaya mahupun sastera.

Tetapi, untuk apa membicarakan semua tentang diri kepada mereka yang tidak mengerti.

Mungkin saya boleh katakan ini adalah sisi lain saya, yang tidak ada sesiapa yang tahu. Enam tahun belajar Ekonomi, saya memeram segala keinginan menulis dan idea yang sekadar bersepah pada kertas, pada buku, pada fail, pada catatan di komputer. Tiada pembimbing, tiada teman bicara yang boleh bercerita hal sastera kecuali dua orang yang saya sukar temui oleh kesibukan masing-masing. Dua orang yang tahu apa yang lain tidak tahu dan boleh berbahas bicara tentang buku yang saya baca.

Memang sejak kecil keinginan itu ada hasil dari kerajinan membaca akhbar dan mencari jawapan kepada pelbagai soalan yang tidak dimengerti. Keinginan ini membuahkan hasil kecil seperti yang saya kecapi sekarang. Jadi, soalan bila ada cita-cita menulis ini rasanya tidak perlu saya jawab dengan jelas.

Apatah lagi sejak memutuskan terjun dengan serius ke dalam bidang ini, semakin sepi rasanya topik perbualan harian. Bila duduk sekali dengan teman sepejabat, topik perbualan mereka adalah FORM - family, occupation, recreation dan money (ada saya sentuh dalam buku Buat Duit Dengan MLM). Perbualan yang berkisar keluarga, pekerjaan, rekreasi (percutian) dan wang. Mengeluh tentang kerja, harga barang naik, cuaca panas,  bercuti dengan anak-anak, membeli belah, menonton wayang, berkaraoke atau bermain bowling, bonus dan politik pejabat.


Saya merasa sepi dan terpinggir. Semakin jauh rasanya bila saya buka topik tentang buku yang saya baca, majlis ilmu yang saya hadiri, rencana akhbar yang tersiar, tetapi tidak mendapat balasan untuk berbual lanjut akan hal ini. Saya cuit diri untuk kembali ke realiti, bahawa saya berada dimedan juang yang berbeza dan mencari sesuatu yang sesuai dengan jiwa. Terpulanglah sama ada saya mahu terus bercerita atau diam dan memasang telinga akan perbualan mereka. Kadang kala terluah juga perasaan teruja akan buku yang baru ditamatkan pembacaan tetapi sekadar disambut dengan kerutan dahi yang menakutkan. Lantas saya terfikir apakah harus saya bercerita dan terus bercerita biarpun itu bukan minat mereka, kerana inilah jalan yang saya pilih. Dan apakah perlu saya korbankan diri untuk bersama mereka hanya kerana minat yang satu ini tidak berbalas. Tetapi, untuk apa berhabis demi mereka. Diri bagaimana?


Perjalanan ini memang sepi, tetapi teduhan disepanjang perjalanan yang menemukan teman baru memberi ransangan yang mengujakan untuk terus berlari hingga ke penamat haluan.



2)
Hari ini saya menghadiri Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ya, seorang diri. Apatah lagi  menghadiri majlis sebegini sememangnya tidak akan ada yang turut serta, maka saya tidak kisah.

Saya melihat perjuangan mereka dalam medan bahasa. Menegakkan bahasa Melayu dibumi Melayu yang tidak dihargai oleh Melayu itu sendiri. Satu perjuangan yang menyedihkan. Dipinggirkan oleh penuturnya, diketepikan oleh bangsanya sendiri. Lalu?

Bercakap tentang perjuangan, saya melihat kepada diri sendiri. Saya berjuang seorang diri dalam medan yang mereka tidak sangkakan, menjadi pejuang yang tidak ada sokongan dan bantuan. Andai saya jatuh dan rebah, luka dan cedera, saya sendirilah yang mengubat dan merawat lukanya.

Tetapi saya pasti, ada sahaja yang memberi semangat dalam bersendirian. Walau dengan sepatah kata di YM atau FB atau SMS, itu adalah doa untuk terus ke hadapan. Sama seperti semalam - walaupun sekadar menghadiri kenduri kahwin - sempat juga mengemaskini isu terkini dan berbual seputar buku dan hasil karya masing-masing.

Perjuangan yang tidak mengenal tempat dan masa. Bila-bila masa ia ada .Teman dikejauhan itu melihat dan meransang semangat pada waktu yang tidak disedari. Mereka memberi pada waktu kita tidak minta, datang pada waktu kita tidak bersedia. Namun pemberian dan kedatangan itulah yang membantu menyingkirkan sepi dan membakar bara semangat yang sudah suam-suam kuku.


3)
Pulang dari menghadiri Hari Pejuang Bahasa 152, saya ke Ampang. Duduk di Restoran Nasi Kandar Pelita sambil menanti teman, saya melihat manusia yang pelbagai dicelah terik mentari yang membakar kulit. Ada yang meminta sedekah, yang berambut perang, yang berperikemanusiaan kepada haiwan, yang hilang identiti kelakian, yang berpakaian kurang sopan, yang tidak sedar ini sebenarnya bumi Tuhan bersifat sementara. Saya hanya memerhati.

Setiba dirumah, saya segera mengGoogle Keranda 152, PPSMI, Perkara 152, Perkara 153, Kontrak Sosial. kiasu, ultra kiasu, kiasi, sekolah vernakular dan macam-macam lagi.

Ini perjuangan yang belum selesai. Mahu ikut berjuang?


3 ulasan:

ASaL berkata...

terus aja melangkah, :)
meski ia sepi dari sambutan orang, ia punya nilai besar yang menyangkut sejarah, tradisi, jati diri, dan kebanggaan.

Cikgu Salleh berkata...

saudara tidak keseorangan...saya sedia menyokong kerana saya mempunyai aliran yang sehala dengan saudara, salam ukhwah salam penulisan.

NorziatiMR berkata...

As & Cikgu Salleh, terima kasih menjadi teman mengiringi perjalanan