Ahad, Mac 28, 2010

Buku : Nostalgia Padang

Sesebuah hasil karya - tidak kira puisi, cerpen, drama atau novel - apabila diangkat memenangi sesuatu sayembara atau pertandingan, pastilah ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Biarpun ada cakap-cakap tidak enak tentang sayembara atau pertandingan, panel hakim pasti mempunyai hujahnya tersendiri bagi menobatkan karya tersebut.

Nostalgia Padang karya Dzul Karnain Ithnain memenangi tempat kedua Hadiah Novel Nasional 1992/94 sempena mengenang Pak Sako, di belakang novel Imam karya SN Abdullah Hussain. Tempat ketiga dimiliki oleh Wi & Wiliam karya Cikgu Azizi Hj Abdullah.

Nostalgia Padang boleh di ibaratkan sebuah catatan kembara. Ada yang memanggilnya travelog. Dan entah kebetulan pula, sejak akhir-akhir ini saya sering mendapat kesempatan - secara tidak sengaja atau tidak - menguliti dan membeli beberapa naskhah seperti ini.

Secara ringkas, ia mengisahkan perjalanan seorang anak muda Ilham Iskandar Razali yang mengikuti rombongan Seminar Budaya Melayu di Cape Town, Afrika Selatan. Beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di UKM mengikuti rombongan ini bagi membuat kajian terhadap tesisnya yang turut mempunyai kaitan dengan kisah keluarganya pada awal abad ke-19.

Padang yang dimaksudkan dalam novel ini ialah nama sebuah tempat dimana ia merupakan 'kawasan di sepanjang tebing kanan mudik Sungai Muar dan persisiran pantai bahagian pantai barat daerah Muar ... sementara kebanyakan pengkaji merumuskan bahawa ... kawasan Padang adalah merangkumi kawasan dari tebing kanan bahagian selatan Sungai Muar ke arah selatan mengikut pesisir bahagian pantai barat daerah Muar hingga ke Tanjung Tohor/Sungai Pulai.' (ms 294-295).

Pada abad ke-19, Padang merupakan kawasan yang sangat popular dan kaya dengan hasil bumi. Namun kini, nama Padang kini tinggal sejarah dan tidak wujud lagi dalam peta Johor setelah ianya tergadai di tangan anak cucu para peneroka awal selepas Perang Dunia Kedua, menjadikan mereka sebagai kuli di estet yang dimiliki tauke-tauke Cina. Sedangkan dahulu, mereka adalah tuan kepada semua tanah tersebut.

Perjalanan Ilham ke Cape Town ada kena mengena dengan sebuah naskhah tulisan tangan peninggalan moyangnya, Muhamad Mukti yang turut terlibat dalam memugar tanah Padang. Saya kira, Ilham cuba menjejaki perjalanan moyangnya yang turut sama menjadi pejuang dalam menentang penjajahan. Oleh itu, pada awalnya, novel ini banyak bercerita kisah para pejuang Melayu yang terbuang di Pulau Robben sehingga apabila dibebaskan mereka membentuk komuniti tersendiri di Afrika Selatan. Ilham kemudian menjadi anak angkat kepada keluarga Melayu Cape. Sebelum pulang, dia berikan senaskhah manuskrip bertulisan Jawi oleh Fatin Sabrina, saudara angkatnya di Cape Town. Manuskrip tulisan Hamza Moustafa Djouzi ini berkisarkan perjuangan seorang pejuang dari Padang. Dari situlah segala-galanya bermula. Penceritaan seterusnya adalah berdasarkan kepada manuskrip tersebut yang di ceritakan kembali oleh Ilham.

Manuskrip ini menceritakan perjuangan Muhamad Mukti bersama Pangeran Deponegoro menetang Belanda di Tanah Jawa, penghijrahan Muhamad Mukti ke Singapura lalu memugar tanah di negeri Johor, peristiwa 'tergadainya' Singapura ke tangan Ingeris secara tipu helah, usaha Muhamad Mukti membebaskan Pangeran Deponegoro dari penjara Bentengsel di Ujung Pandang, Makassar yang membawanya terpenjara ke Pulau Robben selama dua belas tahun sebelum dibebaskan lalu menetap di Cape of Good Hope, menunaikan haji ke Mekah dan kembali semula ke Padang pada 1873.

Ironinya, Muhamad Mukti dalam  manuskrip yang Ilham terima dari Fatin Sabrina dengan manuskrip peninggalan moyangnya adalah satu kesinambungan. Mungkin satu kebetulan apabila pembaca akhirnya mengetahui kisah hidup Muhamad Mukti selepas ia ke Tanah Suci dan tidak kembali ke Tanjung Harapan, sebaliknya memilih pulang ke Padang bagi menghabiskan sisa hidupnya di sana. Mungkin juga satu kebetulan apabila dua naskhah bertulisan jawi yang terpisah oleh jarak bertemu bagi menyimpulkan kehidupan seorang pejuang. Satu kebetulan yang saya kira bukanlah satu yang pelik, kerana darah yang tetap mengalir di tubuh anak Melayu di alam Melayu meski terpisah hingga ke Afrika itu adalah darah Melayu juga.

Sebaik menamatkan novel ini, saya mengambil sedikit masa bagi melakar kembali plot dan watak yang terlibat supaya dapat dihubungkaitkan hubungan antara satu sama lain. Malah secara jujur, agak mudah memahami salah silah keluarga ini, bukan seperti ketika membaca Sudara (Arenawati) yang benar-benar mencabar minda berhari-hari dengan susur galur keturunan yang menakjubkan.

Peringkat awal ketika membaca novel ini saya sangat teruja. Kisah perjuangan Muhamad Mukti bersama Pangeran Deponegoro sangat memangkin semangat dan pembacaan menjadi amat laju. Selepas Pangeran Deponegro tertipu lalu ditangkap Belanda, penceritan menjadi tawar dan perlahan. Mungkin disebabkan oleh penghijrahan Muhamad Mukti ke Singapura tidak membawa sekali api perjuangan dari tanah Jawa yang sedang marak ketika itu. Di Singapura, mereka tidak berjuang sebaliknya tertipu dengan helah British yang memecahkan hubungan Sultan dan Temenggung - satu usaha yang di jalankan oleh Raffles yang dikatakan sangat bijak memanipulasi kelemahan. Perkara yang sama juga di lakukan oleh Raffles di Pulau Jawa, Palembang dan Makasar. Oleh itu, perjuangan Muhamad Mukti terhenti dan lebih banyak menumpukan kepada kerja-kerja biasa sama ada di bersama Sultan Hussein ketika di Melaka atau di Singapura. Penceritaan menjadi sedikit membosankan - disebabkan oleh perjuangan yang tidak dilaksanakan oleh orang Melayu, sebaliknya tunduk dan patuh oleh arahan yang dikeluarkan oleh British. Kemelut istana Singapura yang dipecahbelahkan oleh British terzahir dengan jelas, manakala Muhamad Mukti yang seringkali berusaha menyelamatkan Pangeran Deponegoro yang sering dipindah-pindahkan penjaranya membawanya ke Makasar. Apabila mengetahui Pangeran meninggal di penjara, Muhamad Mukti tidak percaya lalu memberontak di penjara. Beliau di tangkap Belanda, di buang ke Pulau Robben.

Kisah Muhamad Mukti berakhir setelah beliau kembali ke Padang selepas pulang dari mengerjakan haji. Apa yang sebenarnya berlaku di Padang tidak kita ketahui denganjelas, sebaliknya perjuanagn Muhamad Mukti menjadi inti utama novel ini. Surat dari Fatin Sabrina sebagai ucapan terima kasih menjadi penamat novel. Ia sekaligus menghuraikan serba sedikit salasilah keluarganya bagi membolehkan kita mengaitkan sumbangan Muhamad Mukti terhadap moyang Fatin Sabrina dan hubungan dua keluarga yang terpisah oleh jarak dan masa.

Satu kebetulan pula selepas menghayati Hatiku Terluka di Bukhara, Nostalgia Padang turut menceritakan nasib rakyat Afrika dan Melayu Cape yang terpisah dari alam Melayu. Secara tidak langsung, dapat saya kaitkan fakta yang di selitkan bersama dalam dua novel yang berbeza ini. Semoga ada lagi naskhah lain yang berani menceritakan kebenaran mengenai Melayu Cape yang begitu sedih dan mengesankan, disebabkan oleh perjuangan menentang penjajahan.

Jumaat, Mac 19, 2010

Khamis, Mac 18, 2010

Buku: Hatiku Terluka Di Bukhara

Saya ralit membaca novel ini, yang saya beli sewaktu Jualan Gudang Buku dan Majalah Utusan pada awal Februari lalu. Ia adalah antara tarikh yang saya harus ingati dek kerana kemalangan kecil disebabkan kegagalan kaki memijak pedal brek. Fikiran blackout kata omputih.

Hatiku Terluka Di Bukhara karya Wan Hashim Wan Teh seperti pada kulit buku ialah sebuah travelog kaya ilmu. Ia kaya fakta dan sejarah. Benar, jika anda meminati sejarah, mudah sahaja anda hadam novel ini. Jika tidak, pasti anda mengambil masa yang lama untuk menikmatinya. Saya pula rasa amat berbaloi memilikinya, kerana sewaktu dalam proses pembacaan, saya perlu mengGoogle beberapa nama dan fakta bagi mendapatkan maklumat lanjut. Mungkin juga berusaha mendapatkan kesahihan fakta. (Ini bukanlah bermakna saya mencurigai maklumat penulis, tetapi sekadar mengukuhkan ilmu pengetahuan).

Saya dalam proses menikmati beberapa buah karya travelog dan pada pandangan saya penulisan Hatiku Terluka Di Bukhara ibarat sebuah diari perjalanan yang menceritakan pengalaman watak utama (pengarang) - yang mengikuti rombongan sebuah agensi pelancongan - sejak beliau menjejakkan kaki di Moscow, kemudian ke Siberia, Tashkent, Bukhara dan Leningrad. Perlu dingatkan bahawa novel ini berlatar belakangkan masa pada tahun 1983, iaitu ketika tabir besi fahaman komunis masih lagi kuat mencengkam di kebanyakan negara blok komunis khususnya di Soviet Union (yang masih belum berpecah ketika itu). Begitupun, kita tidak akan merasa terasing kerana penulis mencukupkan semua dengan fakta yang perlu sehingga terasa maklumat yang ada tidak membuatkan kita tertanya-tanya atau dibiarkan tanpa jawapan.

Dalam perjalanan dari satu destinasi ke destinasi yang lain, penulis bukan sekadar bercerita tentang destinasi yang dilawati tetapi juga bercerita keistimewaan tempat itu - ibarat pemandu pelancong -  dengan jelassehingga menjadikan saya faham dengan apa yang ingin disampaikan. Malah, banyak pula ilmu yang saya kutip.

Pada awalnya penulis menceritakan sejarah USSR dan Rusia, terutama peralihan kuasa dari zaman Tsar membawa kepada Revolusi Oktober 1917 hingga ke pemerintahan Bolshevik dikuti fahaman komunisme yang diamalkan ketika itu. Pemerintahan beraja dan sistem feudal (pra-revolusi) amat menindas rakyat jelata, menjadikan rakyatnya memberontak dan bersatu menentang kebobrokan kerajan. Dibantu oleh pemimpin yang dirasuki idea komunisme dan sosialisme, mereka menjadikan Rusia sebagai model sebuah negara yang tiada kasta sekaligus mengenepikan fahaman kapitalisme.

Dari sini kita akan tahu bagaimana fahaman komunisme di terapkan pada sekalian rakyat. Mereka tinggal di rumah flat / rumah pangsa yang di subsidi oleh kerajaan. Rakyat membayar pada kadar sewa yang rendah dan mereka tidak digalak membeli. (Ingat, fahaman komunisme ialah memiliknegarakan, oleh itu rakyat tiada 'hak' memiliki). Di sesetengan kawasan, luar kota misalnya (semua) penduduk di sesebuah kawasan bekerja disebuah kilang dan anak-anak mereka dihantar ke asrama / rumah asuhan. Seminggu sekali mereka diberi cuti, pulang ke rumah dan berkumpul dengan keluarga. Pelik juga rasanya amalan ini.

Saya teringat ketika belajar sistem ekonomi di sekolah menengah. menurut cikgu, gaji semua pekerja adalah sama, tidak kira kita ini kategori kuat bekerja atau culas. Tidak hairanlah jika kita dapati ekonomi negara berkiblatkan fahaman komunisme ini tidaklah sehebat mana disebabkan produktiviti yang rendah dan tiada daya saing kerana semuanya disuap dan disediakan oleh kerajaan. Ya, untuk apa bersusah payah jika kerajaan sudah sediakan semuanya?

Kemudian, penulis bercerita pula tentang pemuzik Peter Illych Tchaikovsky dan kegemaran beliau mendengarkan dendangan piano masterpice Rusia ini. Kekerapan beliau menceritakan tentang Tchaikovsky menyebabkan saya mengGoogle dan memuat turun beberapa buah lagu beliau seperti 1812 The Overture, Piano Concerto No. 1 in B-Flat Minor, The 5th Symphony, Sleeping Beauty dan Swan Lake. Rupanya nama beliau di Rusia (dan dunia) menyamai ketokohan Beethovan, Strauss, Mozart dan Bach. Oh, mengapakah saya tidak tahu?

Umum mengetahui tentang Bolshoi balet yang terkenal di Rusia. Penulis menceritakan perkenalannya dengan Johaar Mosaval, warga Afrika keturunan Melayu yang merupakan Senior Principal Dancer di The Royal Ballet of London. Boleh dikatakan beliau adalah penari balet bertaraf dunia dan satu-satunya anak Melayu yang menerima Winston Churchill Gold Medal dari ibu Queen Elizabeth pada 1983. Perkenalan sebelum menyertai rombongan itu boleh dikatakan secara tiba-tiba namun penulis tidak memanjangkan kisah berikutnya.

Ahli rombongan beliau yang datangnya pelbagai negara memberikan penulis peluang berbicara dan nampaknya pelang itu bagaikan lubuk emas. Bayangkan sahaja ketika berbual dengan pasangan daripada Afrika Selatan, penulis di beripeluang mendapatkan gambaran mengenai keturunan Melayu di Afrika atau Cape Malays, dasar aparteid dari pandangan penyokong dan penentang serta serba sedikit gambaran mengenai politik dan ekonomi Afrika yang turut menyentuh mengenai Nelson Mandela. Ketika berbual dengan pelancong Jepun, rupaya beliau merupakan seorang Profesor dari Universiti Kyoto. Apa yang menarik ialah beliau pernah menjejakkan kaki ke Tanah Melayu setahun sebelum Perang Dunia kedua di utara tanah air. Beliau menyamar sebagai penyelidik tumbuhan tropika dari Taiwan di Jabatan Pertanian bahagian botani. Beliau adalah antara seribu orang Jepun yang berada di Tanah Melayu selama enam bulan hingga setahun bagi mencari maklumat untuk diserahkan kepada tentera Jepun sebelum Tanah Melayu diserang. Ya, sangat taktikal dan fakta ini (kehadiran orang Jepun sebelum perang) kita persetujui kemudiannya kerana maklumat itulah membantu Jepun menawan negara kita dengan mudah dan cepat. Namun begitu, perbualan beliau dengan Profesor ini adalah seputar kerisauan warga Jepun itu terhadap pemodenan di Jepun dan Malaysia yang menurutnya merisaukan dan bakal membawa kemusnahan. Perbualan berikutnya ialah dengan sepasang warga dari England yang pernah bekerja di Jabatan Ukur di Borneo Utara (kini Sabah). Pandangan beliau terhadap hutan khatulistiwa, orang utan dan masyarakat di Sabah sangat menarik biarpun ringkas.

Penulis bercerita tentang tempat yang dilawatinya dengan terperinci. Maka lebih elok jika kita mempunyai gambar tempat yang dilawatinya kerana memudahkan pembacaan kita, bukan sekadar membayangkan apa yang ditulis. Misalnya tatkala bercerita tentang St Basil Cathedral, tanpa gambar payah juga mahu membayangkan senibinanya yang dikatakan indah.

Ironinya, Bukhara yang beliau maksudkan dalam tajuk ini hanya muncul pada penghujung bab. Airmata penulis yang tumpah dan hati yang terluka adalah kepada sebuah masjid yang diubah menjadi coffee house, atau pada saya sebuah disko. Bukhara, negara asal Imam Bukhari terkenal sebagai pusat cendikiawan Islam ketika zaman kegemilangan Islam dahulu. Namun dek kerana cengkaman komunis atau mungkin kelalaian bangsa, banyak tempat bersejarah, bangunan bercirikan Islam dan masjid bertukar fungsi, sama ada sebagai muzium atau lebih buruk, disko dan coffee house. Niat asal penulis menyertai rombongan ke Soviet adalah dengan tujuan melihat kesan Islam dan kehidupan penganutnya nampaknya tidak kesampaian apabila di suakan dengan pelbagai perkara yang menyedihkan beliau.

Penghujung bab di selitkan dengan epilog kunjungan penulis sekali lagi ke Bukhrara, kira-kira 17 tahun kemudiannya (tahun 2000). Penulis menceritakan perubahan yang dialami oleh bekas jajahan Soviet itu selepas 'menganut' fahaman kapitalis pada 1993. Sudah banyak bnagunan komersil didirikan, manakala kesan peninggalan Islam pada bangunan terutamanya diperbaiki dan diperkemas.

Secara keseluruhan, saya amat berterima kasih pada novel ini. Banyak ilmu baharu yang saya timba. Meskipun begitu, ada ruang-ruang kosong tidak terisi dan ditinggalkan oleh penulis dan terbiar tergantung tanpa jawapan, contohnya perkenalan dengan Johaar Mosaval yang terhenti setakat itu, misteri 'kehilangan' pemandu pelancong yang ditukar secara tiba-tiba atau kisah dua pasangan Afrika yang bertentangan pandangan terhadap ideologi aparteid mereka. Ada yang dicerita terlalu mendalam, ada yang sekdar menyentuh dasarnya sahaja.

Begitu pun, dengan ilmu yang disuakan dalam novel ini, saya amat gembira biarpun pada awalnya saya menjangkakan lebih banyak kesedihan Bukhara diceritakan dengan mendalam, bukan pada satu bab sahaja. Jika anda mahu memiliki novel ini, saya pasti pelaburan anda amat berbaloi.

Lain-lain ulasan boleh di baca di blog Jiwarasa dan mir_na.








Ahad, Mac 14, 2010

Buku : Pramoedya Ananta Toer Dari Dekat Sekali

Naskhah tulisan khusus dari seorang adik kepada abangnya, Pramoedya Ananta Toer Dari Dekat Sekali : Catatan Pribadi Koesalah Soebagya Toer memancing keharuan terhadap catatan ringkas seorang adik sebagai menghargai abangnya yang menjadi seorang pujangga dunia sastera bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga di dunia.

Seperti catatan ringkas saya terhadap dua entri sebelum ini, Pram dilukiskan dengan lebih dekat oleh Koesalah sekaligus membolehkan kita mengenali sisi Pram dengan lebih dekat, menerusi kacamata adiknya. Ada perkara yang amat menyentuh, ada yang terlalu singkat tetapi mendalam malah ia memberi saya ruang untuk berfikir. Pram seperti tidak banyak bercakap, tetapi sedikit katanya itu menusuk ke kalbu membuat kita tersentuh dan terdiam.

Ada beberapa perkara yang ingin saya nukilkan disini sebagai penghargaan saya terhadap Pram, juga sebagai kesimpulan terhadap pembacaan.

1. Awalnya Pram di panggil Mas Moek oleh adik beradiknya. Dia digelar Mas Pram sesudah teman-teman menggelarnya begitu sebaik sahaja pulang dari Pulau Buru sekitar 1979.

2. Pram tidak begitu senang duduk di tengah keramaian. Jika di jemput menghadiri kenduri atau apa-apa majlis, dia cepat gelisah dan tidak gemar menjadi perhatian orang. Dia gemar duduk seorang diri, atau meminggirkan diri di tempat gelap atau yang tiada orang. Ada masanya Pram meninggalkan majlis lebih awal, biasanya ketika kenduri bersama ahli keluarga. Dan dia akan meninggalkan isteri dan anaknya, pulang bersendirian tanpa ada yang perasan.

3. Membakar sampah menjadi hobi Pram yang membingungkan Koesalah. Saya juga menyedari hal ini pada awalnya kerana setiap kali Koesalah bertemu Pram, pastinya dia melihat Pram sedang berada di belakang rumah atau di kebuh dan membakar sampah. Malah, Koesalah menceritakan yang Pram begitu asyik melihat sampah yang dibakar, merenung asap yang berterbangan, api yang memakan sisa kayu atau kertas atau daun yang dikumpulkan sehingga kedatangan Koesalah sendiri tidak di sedari. Ketika berada di penjara Salemba, seorang teman tahanannya mengakui membakar sampah menjadi kegemaran Pram. Pernah ketika dia pindah ke rumah di Bojong Gede, Bogor, kebetulan rumah itu sudah bersih dari segala sampah atau daun pohon yang berguguran. Pram mencari-cari benda lain yang boleh dibakar, sampai kadang-kadang ia mencari-cari barang-barang milik anak-anaknya - pembungkus plastik, tali, sepatu, tas dan lain-lain - yang bisa dibakar. Malah, dia sanggup menebang pohon yang tumbuh subur hanya kerana dia sudah kehabisan sampah untuk dibakar. Jadi, saya terfikir, apakah ini hobi unik Pram yang memberinya ilham berkarya (pembakar semangat, mungkin?)

4. Pram tidak mahu bicara banyak tentang wang. Kadang kala dimasa dia memerlukan wang, dia menyebutnya dihadapan Koesalah tetapi dia lekas-lekas memutuskan perbualan. Dia tidak selesa berbicara tentang wang. Sama ada oleh pihak yang menghutangnya atau oleh royalti buku yang tidak diterima atau wang kemenangan sayembara atau sumbangan mana-mana pihak yang tidak sampai ke tangannya.

5. Ketika tua, atau ketika di penghujung usia catatan Koesalah menjadi semakin sayu. Di amenyaksikan sendiri bagaimana seorang abang sudah tidak mampu berkarya, semakin susut tenaga, sudah tidak mampu berbicara panjang, pendengaran berkurangan dan semakin pikun (lupa) akan banyak perkara. Namunbegitu, dia masih boleh berbicara yang enak - tentang menjadi tua yang tak bisa dipelajarinya dari orang lain. Ya, hari-hari ini memang rawan baginya. Menjadi tua adalah proses, melihat tidak sama dengan menganggung. Jadi katanya, dia belajar sendiri bagaimana menjadi seorang tua. Bagaimana mahu duduk, bercakap, baring, memusingkan badan dan sebagainya. Ya, itu harus dipraktikkan sendiri katanya. Dan saya jadi terpinga, begitu dalam sekali maksud kata itu!

6. Apabila usia menjeguk tua, ingatannya berkurangan dan dia sendiri mengakui yang dirinya sudah pikun. Teman-teman yang datang sudah tidak dapat di kenali, peristiwa yang berlaku tidak dapat di ingati. Apabila di wawancara, ada soalan yang tidak mampu di jawab dan dengan bantuan Koesalah dia cuba memberitahu. Pram mengakui ini adalah kesan dari merokok, kerana dia seorang perokok tegar.

7. Pram sentiasa menerima tetamu, tidka kira dari dalam atau luar negeri. Biasanya mereka menghubungi menerusi Koesalah yang akan menghantar tetamu ke rumahnya. Koesalah juga selalu menjadi penghubung bagi sebarnag acara yang mahu diadakan oleh pihak tertentu, dan di juga membantu Pram mencari karyanya yang pernah tersiar tetapi tidak diarkibkan atau hilang sewaktu  perang atau ketika di arah pemerintah.

8. Pram beberapa kali pernah di war-warkan untuk dicalonkan dalam anugerah Nobel, dan dia nampaknya amat gembira dengan saranan itu dan tidak salah untuk saya katakan dia juga mengharap anugerah itu diterima. Namun, ia bagaikan khabar yang tidak berpenghujung. Ketika dihujung usia, Pram di ziarahi oleh Prof Jomo KS dan isterinya, lalu kisah anugerah Nobel ini timbul lagi. Harus diingatkan bahawa Prof Jomo adalah antara yang mengusulkan Pram menerima Hadiah Fakuoka dari Jepun dan Hadiah Magsaysa dari Filipina. Prof Jomo mengatakan bahawa jika benar-benar mahu memenangi anugerah nobel, terjemahan ke dalam bahasa Inggeris harus sebaik bahasa asalnya. Panitia Nobel cuma membaca terjemahan Inggeris. Jika terjemahannya bagus, maka baguslah karya itu. Jika tidak, ia bukan menjadi karya sastera. Mendengarkan itu, Pram seperti tidak senang dan seperti tidak mahu lagi bicara soal anugerah Nobel.

    Buku seterusnya untuk saya baca ialah Mas Pram: Memoar Dua Adik Pramoedya Ananta Toer, ditulis oleh Koesalah Soebagya Toer dan dilengkapi oleh Soesilo Toer. Buku ini adalah kesinambungan dari buku pertama yang ditulis selepas menerima maklumbalas hanga dari pembaca yang mana buku itu dikatakan 'tidak cukup dekat, atau tanggung. Bahkan ada yang menyatakan "ibarat makan bubur, baru sesendok sudah habis."'

    Hajat saya, selepas ini mahu menelaah (bukan sekadar baca) naskhah Pram, terutamanya ketika berada di Pulau Buru. Keluarga Gerilya yang saya baca ketika sekolah dahulu (ketika itu tidak mengenali siapa Pram, baca kerana menemui buku di rak abah) sudah pun banyak yang saya lupa. Ya, saya memburu Pram kini.



    Jumaat, Mac 12, 2010

    Krisis Air (kenangan lalu)

    Cuaca panas dan masalah air ini membawa saya kepada kenangan terhadap krisis air yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu.

    Ketika itu tahun 1998. Tahun yang sama Sukan Komanwel diadakan di Malaysia. Tahun yang sama reformasi bergema seluruh negara. Jalan Tunku Abdul Rahman pada setiap Sabtu menjadi saksi gegaran dan desakan mengubah kerajaan. Saya tidak ketinggalan menjadi sebahagian mereka, biarpun dalam takut-takut disembur air pemedih mata.

    Ini tentang air, tentang krisis air. Ia bermula pertengahan 1997. Saya masih dalam tahun dua di peringkat matrikulasi. Kuala Lumpur betul-betul dilanda kekeringan sumber air. Kami yang berada di Lembah Pantai amat merasa tersiksa. Jangankan untuk mandi, berwuduk dan membuang hajat pun terpaksa mencatu sendiri. Lori yang menghantar air bagai nak tak nak. Baldi dan tong kami letakkan sahaja di tingkat bawah, tak kuasa membawa naik ke bilik. Apatah lagi lif kerap rosak kerana basah disiram air yang kami bawa naik. Menghuni tingkat enam, maka banyaklah kepayahan yang kami rasa.

    Ketika itu memang kami berada dalam suasana yang amat tidak selesa. Hendak belajar seperti kurang semangat. Kelas yang mempunyai pendingin hawa seperti duduk dalam ketuhar. Setiap minggu, bermula dari hari Jumat para pelajar berbondong-bondong pulang ke rumah. Pejabat asrama sudah tidak punya kuasa menahan pelajar balik setiap minggu biarpun peraturannya ialah dua minggu sekali. Malah pihak pentadbiran terpaksa mengeluarkan biaya yang lebih bagi membekalkan kipas di kelas yang mempunyai penghawa dingin dan tong air bersaiz besar disetiap bilik asrama bagi kami menyimpan air. Seringkali juga bersengkang mata menunggu air keluar pada awal pagi, atau menumpang mandi di bilik teman yang dikenali atau tidak yang duduk ditingkat bawah.

    Krisis air ini berlangsung hampir enam bulan. Ia berakhir apabila saya tamat matrikulasi dan berpindah ke kampus Gombak bagi pengajian peringkat Ijazah. Maka derita terhadap air terhenti serta merta. Gombak tidak putus air, apatah lagi air kampus baru dan masih lagi dalam fasa pembinaan. Tetapi krisis di Kuala Lumpur khabarnya masih sama.

    Dalam tempoh enam bulan itu, deritanya Tuhan sahaja yang mengerti. Kami sendiri terpaksa menjaga 'perut' bagi mengelakkan ia meragam daripada menelan makanan pedas atau yang bukan-bukan. Duduk ditingkat enam, janganlah mengharap paip mengeluarkan air. Maka berkampunglah kami sentiasa di tingkat bawah, sama ada di bilik tv atau surau. Ada masanya, kami beratur panjang untuk berwuduk dengan air paip yang sebesar batang mancis. Apabila sampai masa membuang isi perut, terpaksalah menadah dahulu sebaldi air sebelum boleh melepaskan hajat. Untuk mandi, apatah lagi mandi wajib, memadailah dengan sebaldi air. Malah saya pernah mandi dan bersyampoo dengan separuh baldi. Ya, yang penting-penting sahaja.

    Kemudian kami dapat idea menyimpan air dalam botol mineral supaya mudah untuk berwuduk. Maka berbotol-botol air tersimpan di sudut rumah yang hanya dibuka untuk berwuduk sahaja. Apabila tiba waktu terdesak, maka air ini terpaksalah digunakan juga. Meletakkan baldi ditingkat bawah juga punya risiko. Kami tidaklah mahu menggelarkan mereka ini sebagai pencuri air apabila melihat air menyusut, mungkin kerana mereka terdesak. Tetapi sampai satu tahap ada yang meletakkan notis pada baldi dengan sepotong ayat Qur'an berbunyi:

    "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Maidah 5:38)"

    Ya, begitu sekali nasib kami.

    Pernah kami keluar dari asrama membawa tuala, kelengkapan mandi dan baju, menahan bas mini berwarna merah jambu bernombor dua belas menghala ke ibukota. Dimana-mana, masalahnya tetap sama. Kalau ke kompleks membeli belah seperti Sogo atau Pertama Kompleks, janganlah masuk ke tandas. Air memang tiada. Namun kami pula punya pilihan ke Masjid Negara. Hairan, ini sahajalah tempat yang punya sumber air. Itupun terhad, tetapi mampu meredakan kerinduan kami untuk mandi sepuas yang boleh. Selepas mengerjakan solat, kami pulang ke asrama. Ada juga teman sewaktu keluar membeli belah atau bersiar di KL, mandi terlebih dahulu sebelum pulang.

    Disebalik pengalaman ini, terbit pelbagai cerita lucu. Ada sekali seorang teman berada di Stesen Keretapi Kala Lumpur (KL Sentral belum wujud lagi). Dia masuk ke tandas dan keluar semula apabila melihat paip tidak mengeluarkan air. Sebalik keluar, dia berpapasan dengan seorang 'Makcik' yang masuk tergesa-gesa. Makcik itu dia sempat bertanya kepadanya sama ada air atau tidak sebelum masuk.

    "Apa kau jawab?" tanya seorang dari kami.

    "Aku tak sempat jawab apa-apa, dia sudah meluru masuk ke tandas. Kemudian aku lihat dia tidak keluar-keluar."

    Kami ketawa.

    Pernah juga misi kami ke Pertama Kompleks tidak menjadi. Kami tidak dibenarkan mandi, tetapi dengan senyap kami tidak endahkan. Mujur sahaja tidak dihalau. Kalau sudah dalam keadaan darurat, mati pun sanggup!

    Namun, apa yang menjadi kehairanan, Lembah Pantai ini letaknya betul-betul di belakang Bangsar yang kami tahu tidak putus bekalan air. Maka kami pun lancang bercerita tentang hal ini.

    "Kita ini derita tanpa air, orang politik, orang kaya di Bangsar tidak pula merasa susah. Apa agaknya mereka ini berkomplot menyusahkan kita?"

    Ia membawa kepada cerita lain, kepada Sukan Komanwel dan reformasi. Ada mengatakan kerajaan terpaksa mengehadkan perbelanjaan kerana perlu membiayai peruntukan maha hebat untuk upacara sukan yang pertama kali dianjurkan. Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil dan beberapa kompleks sukan lain memerlukan peruntukan bukan sedikit. Apatah lagi Putrajaya dan Cyberjaya baru sahaja bermula. Semuanya perlukan duit. Rakyat perlu bergolok gadai untuk itu. Perlu berkorban sebelum berjaya.

    Kisah krisis air, Sukan komanwel dan reformasi adalah sebahagian dari perkara yang mendewasakan saya ketika baru belajar hidup sendiri di tempat orang, jauh dari keluarga, jauh dari kenalan, dari sahabat sekampung. Pertama kali berjauhan dari keluarga, meniti hidup sendirian bersama teman yang baru amat memberi pengalaman berharga dalam melalui fasa kehidupan seterusnya.

    Apabila berlaku kembali krisis air kali ini, saya senyum sendiri. Derita kami dahulu tidak sama dengan sekarang. Dahulu suara kami tidak didengari. Sekarang dengan SMS, Facebook, YM semuanya boleh melaporkan derita sekelip mata dan masuk tv sepantas kilat.

    Nyata masa merubah kita. (Tiba-tiba saya merasa tua untuk itu. Tua?)

    Selasa, Mac 09, 2010

    Batu api


    Rupanya, tidak susah menjadi batu api. Cucuh api, siram minyak, siram minyak, siram minyak. Siramlah sepuasnya. Bakarlah sesuka hatimu. Kemudian ketawalah, ketawalah bila melihat abu, bila melihat arang, bila melihat asap beterbangan.

    Rupanya, tidak susah menjadi batu api.  Siapa rentung, siapa terbakar apa kau peduli!


    Karya duka, ilham sengsara

    1)
    Saat ini saya sedang menikmati naskhah Pram yang di tulis oleh adik kandungnya. Kisahnya pendek-pendek tetapi setiap satunya punya cerita tersendiri. Ada seringkas satu muka sahaja, ada sepanjang dua tiga helai. Tetapi itu pun masih pendek.

    Hasil nukilan Koesalah Soebagya Toer secara tidak langsung memberi peluang untuk kita mengenali Pram lebih dekat menerusi kacamata adiknya sendiri. Penceritaan Koesalah yang santai dan ringkas memudahkan pembaca menghayati dan meneliti suka duka dan rusuh jiwanya terhadap dunia pengkaryaan yang amat dicintainya. Seharusnya kita perlu mengetahui mengapa Pram menjadi sedemikian – maksudnya karyanya yang amat vokal dan mengesankan, menyentuh insan dan meruntun perasaan, menjadikan pemerintah begitu terasa sehingga menekannya. Sekaligus ia membawa saya kembali ke Jakarta, ketika menjejakkan kaki ke sana hujung tahun lalu. Akhirnya saya menyimpulkan bahwa selain peribadi diri; struktur masyarakat, keadaan ekonomi dan ragam pemerintah adalah aspek yang sangat-sangat membantu menambah rencah pengkaryaan. Itupun jika kita tahu bagaimana membancuhnya dengan betul.


    2)
    Ketika menghadiri sesi Dialog Orang Muda di Rumah Pena minggu lalu, ahli panel membicarakan topik “Kebebasan? Penulis Tercekik.” Persoalannya ialah benarkah penulis dicekik sehingga tidak bebas berkarya. Selama beberapa hari selepas itu, saya turut sama memikirkannya, dan memerhatikan situasi yang berbeza antara Jakarta dan KL, saya mengerti yang hidup dalam keselesaan atau zon selesa sebenarnya tidak memberikan buah fikiran kreatif (atau setidak-tidaknya menyumbang). Oleh itu saya setuju dengan pendapat Jimadie Shah Othman - bila kita berada dalam keadaan tidak bebas, kita akan semakin bebas berkarya. Dan dari situlah wujudnya karya bermutu. Lihatlah naskhah agung yang dihasilkan ketika musim-musim rusuh dan derita, seperti War and Peace, Dr Zhivago, The Old Man and the Sea juga Keluarga Gerilya.

    Jadi, haruskan kita menunggu saat kita terbelenggu barulah karya supra kreatif tercipta dan meledak di arena penulisan?


    3)
    Saya selalu mencari sebab bagaimana sesebuah karya baik itu dapat dihasilkan. Menurut cikgu, selain dari banyak membaca, otak kita juga harus kreatif berfikir. Dari itu, saya cuba menyelami bagaimana Shahnon menulis Ranjau Sepanjang Jalan,  Pak Samad dengan Salina, Cikgu Azizi dengan Seorang Tua di Kaki Bukit, Usman Awang dengan Tulang-Tulang Berserakan atau Arenawati dengan Sudara.

    Sekali imbas, semua novel tersebut dihasilkan pada zaman 60, 70 dan 80-an. Ketika itu hidup kita masih lagi susah dan sukar. Negara baru lepas merdeka, masih hijau. Segala prasarana dan infrastruktur masih dalam proses pembinaan. Air, api, jalanraya adalah isu utama. Kemiskinan menjadi topik hangat. Pertanian masih menjadi periuk nasi hampir kebanyakan masyarakat. Pendidikan diutamakan jika mahu mengubah keadaan hidup. Mahasiswa menjadi agen menyampaikan suara bagi pihak masyarakat, menyelami kesusahan hidup mereka dan memberitahu kepada kerajaan menerusi apa sahaja cara yang boleh – tulisan, suara atau semangat.

    Dewasa ini, kita sudah senang dengan semuanya. Novel seperti itu masih kita baca dan ramai penulis cuba menjejaki tema yang sama bagi mendapatkan tempias kehebatan pengkaryaan tersebut. Namun, apakah dengan membaca tanpa merasa, melihat tanpa menanggung siksa itu sama beratnya? Lalu, jadilah naskhah itu seperti separuh masak, pada satu tempat ia seperti betul, pada tempat lain ia lari dari nyata. Misalnya menulis kisah seorang penoreh getah tidak memadai dengan melihat pokok getah dan membelek gambar di majalah. Ada sebab mengapa pelan getah ditoreh serong. Ada sebab kenapa getah tidak boleh ditoreh ketika hujan. Atau menulis kisah seorang nelayan, atau pesawah atau penternak lembu tanpa merasa mabuk laut, menjejakkan kaki ke sawah atau mengusap lembu di kandang.

    Kesenangan seperti tidak mengkreatifkan kita dalam berkarya. Kita masih lagi senang menulis isu setinggan, ada juga tentang pertanian dan penternakan, kemiskinan dan kebuluran. Seputar isu yang sama. Kita masih membaca naskhah tentang derita hidup abad lalu di saat kita ‘senang’ dan ‘mewah’ begini. Malah, cuma ada beberapa sahaja karya yang dianggap baik pada zaman moden ini, dihasilkan menggunakan latar moden oleh penulis moden (wujudkah istilah ini?). Jadi, benarkah kesenangan itu memerangkap minda?

    Namun dalam masa yang sama, saya akur proses menulis bukan semudah menyebutnya. Ia memerlukan masa dan proses kematangan menulis adalah seiring kedewasan penulisan. Selain banyak membaca, dia juga perlu juga cekap mengamati dan meneliti masyarakat dan kehidupan. Dari situ akan lahirlah sebuah karya yang indah.


    4)
    Buah fikiran diatas itu adalah untuk saya sebenarnya, kerana merasai sendiri betapa lesunya menulis disaat diri gembira tetapi ilham melonjak-lonjak ketika sibuk dan sengsara jiwa. Jadi, memang benarlah agaknya saat sukar itu mendatangkan ilham yang bukan-bukan.

    Selamat berkarya



    Isnin, Mac 08, 2010

    Arti Hidup

    "Hidup ini sesunggunya cuma, ya, begini-begini saja ini. Orang sibuk bukan main dengan macam-macam tetek-bengek, padahal kalau sudah mati, tumpas semua itu, tak ada lagi masalah. Omong-omong orang bicara tentang masa depan. Menipu diri sendiri. Hidup itu, ya, yang sekarang inilah. Memang waktu kita belum mengenal sesuatu, sesuatu itu tampak indah, tampak ada di hadapan. Tapi, begitu kita mengetahuinya, ya, cuma segitu-segitunya, tak ada yang lain. Perkawinan, misalnya. Sebelumnya tampak sebagai sesuatu yang indah memesona. Tapi begitu kita di dalamnya, kita diperangkap dalam macam-macam peraturan, sampai kita kehilangan kemerdekaan kita. Kita mesti turut dengan peraturan itu demi hidup, sebab kalau tidak turut, hidup kita menjadi sukar, dijauhi orang dan tidak diajak kerjasama. Padahal dengan begitu kita menggadaikan kemerdekaan kita..."
    Bab Arti Hidup, 'Pramoedya Ananta Toer Dari Dekat Sekali : Catatan Pribadi Koesalah Soebagya Toer'muka 89-90.

    Ini adalah petikan dari buku yang ditulis sendiri oleh adik Pram, Koesalah yang saya kira amat menyentuh. Banyak kisah kecil yang Koesalah catatkan tentang Pram yang unik dan tersendiri, menjadi saksi siksa jiwa dan batin Pram dalam berkarya dan membebaskan dirinya dari kurungan dan kekangan politik.

    Saya masih merangkak-rangkak menghabiskan bacaan, membaca beberapa buah buku secara serentak termasuklah usaha menamatkan bacaan buku yang di beli dari Jakarta. Tahun ini saya mensasarkan bacaan bermutu dalam menggali lebih banyak ilmu. Namun sehingga Mac, judul yang telah tamat masih lagi kecil. Kalau tidak dipaksakan diri membaca, harusnya saya hanyut dengan buku yang bertambah-tambah. Ya, memaksa itu ada baiknya juga.