Jumaat, Mac 12, 2010

Krisis Air (kenangan lalu)

Cuaca panas dan masalah air ini membawa saya kepada kenangan terhadap krisis air yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu.

Ketika itu tahun 1998. Tahun yang sama Sukan Komanwel diadakan di Malaysia. Tahun yang sama reformasi bergema seluruh negara. Jalan Tunku Abdul Rahman pada setiap Sabtu menjadi saksi gegaran dan desakan mengubah kerajaan. Saya tidak ketinggalan menjadi sebahagian mereka, biarpun dalam takut-takut disembur air pemedih mata.

Ini tentang air, tentang krisis air. Ia bermula pertengahan 1997. Saya masih dalam tahun dua di peringkat matrikulasi. Kuala Lumpur betul-betul dilanda kekeringan sumber air. Kami yang berada di Lembah Pantai amat merasa tersiksa. Jangankan untuk mandi, berwuduk dan membuang hajat pun terpaksa mencatu sendiri. Lori yang menghantar air bagai nak tak nak. Baldi dan tong kami letakkan sahaja di tingkat bawah, tak kuasa membawa naik ke bilik. Apatah lagi lif kerap rosak kerana basah disiram air yang kami bawa naik. Menghuni tingkat enam, maka banyaklah kepayahan yang kami rasa.

Ketika itu memang kami berada dalam suasana yang amat tidak selesa. Hendak belajar seperti kurang semangat. Kelas yang mempunyai pendingin hawa seperti duduk dalam ketuhar. Setiap minggu, bermula dari hari Jumat para pelajar berbondong-bondong pulang ke rumah. Pejabat asrama sudah tidak punya kuasa menahan pelajar balik setiap minggu biarpun peraturannya ialah dua minggu sekali. Malah pihak pentadbiran terpaksa mengeluarkan biaya yang lebih bagi membekalkan kipas di kelas yang mempunyai penghawa dingin dan tong air bersaiz besar disetiap bilik asrama bagi kami menyimpan air. Seringkali juga bersengkang mata menunggu air keluar pada awal pagi, atau menumpang mandi di bilik teman yang dikenali atau tidak yang duduk ditingkat bawah.

Krisis air ini berlangsung hampir enam bulan. Ia berakhir apabila saya tamat matrikulasi dan berpindah ke kampus Gombak bagi pengajian peringkat Ijazah. Maka derita terhadap air terhenti serta merta. Gombak tidak putus air, apatah lagi air kampus baru dan masih lagi dalam fasa pembinaan. Tetapi krisis di Kuala Lumpur khabarnya masih sama.

Dalam tempoh enam bulan itu, deritanya Tuhan sahaja yang mengerti. Kami sendiri terpaksa menjaga 'perut' bagi mengelakkan ia meragam daripada menelan makanan pedas atau yang bukan-bukan. Duduk ditingkat enam, janganlah mengharap paip mengeluarkan air. Maka berkampunglah kami sentiasa di tingkat bawah, sama ada di bilik tv atau surau. Ada masanya, kami beratur panjang untuk berwuduk dengan air paip yang sebesar batang mancis. Apabila sampai masa membuang isi perut, terpaksalah menadah dahulu sebaldi air sebelum boleh melepaskan hajat. Untuk mandi, apatah lagi mandi wajib, memadailah dengan sebaldi air. Malah saya pernah mandi dan bersyampoo dengan separuh baldi. Ya, yang penting-penting sahaja.

Kemudian kami dapat idea menyimpan air dalam botol mineral supaya mudah untuk berwuduk. Maka berbotol-botol air tersimpan di sudut rumah yang hanya dibuka untuk berwuduk sahaja. Apabila tiba waktu terdesak, maka air ini terpaksalah digunakan juga. Meletakkan baldi ditingkat bawah juga punya risiko. Kami tidaklah mahu menggelarkan mereka ini sebagai pencuri air apabila melihat air menyusut, mungkin kerana mereka terdesak. Tetapi sampai satu tahap ada yang meletakkan notis pada baldi dengan sepotong ayat Qur'an berbunyi:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Maidah 5:38)"

Ya, begitu sekali nasib kami.

Pernah kami keluar dari asrama membawa tuala, kelengkapan mandi dan baju, menahan bas mini berwarna merah jambu bernombor dua belas menghala ke ibukota. Dimana-mana, masalahnya tetap sama. Kalau ke kompleks membeli belah seperti Sogo atau Pertama Kompleks, janganlah masuk ke tandas. Air memang tiada. Namun kami pula punya pilihan ke Masjid Negara. Hairan, ini sahajalah tempat yang punya sumber air. Itupun terhad, tetapi mampu meredakan kerinduan kami untuk mandi sepuas yang boleh. Selepas mengerjakan solat, kami pulang ke asrama. Ada juga teman sewaktu keluar membeli belah atau bersiar di KL, mandi terlebih dahulu sebelum pulang.

Disebalik pengalaman ini, terbit pelbagai cerita lucu. Ada sekali seorang teman berada di Stesen Keretapi Kala Lumpur (KL Sentral belum wujud lagi). Dia masuk ke tandas dan keluar semula apabila melihat paip tidak mengeluarkan air. Sebalik keluar, dia berpapasan dengan seorang 'Makcik' yang masuk tergesa-gesa. Makcik itu dia sempat bertanya kepadanya sama ada air atau tidak sebelum masuk.

"Apa kau jawab?" tanya seorang dari kami.

"Aku tak sempat jawab apa-apa, dia sudah meluru masuk ke tandas. Kemudian aku lihat dia tidak keluar-keluar."

Kami ketawa.

Pernah juga misi kami ke Pertama Kompleks tidak menjadi. Kami tidak dibenarkan mandi, tetapi dengan senyap kami tidak endahkan. Mujur sahaja tidak dihalau. Kalau sudah dalam keadaan darurat, mati pun sanggup!

Namun, apa yang menjadi kehairanan, Lembah Pantai ini letaknya betul-betul di belakang Bangsar yang kami tahu tidak putus bekalan air. Maka kami pun lancang bercerita tentang hal ini.

"Kita ini derita tanpa air, orang politik, orang kaya di Bangsar tidak pula merasa susah. Apa agaknya mereka ini berkomplot menyusahkan kita?"

Ia membawa kepada cerita lain, kepada Sukan Komanwel dan reformasi. Ada mengatakan kerajaan terpaksa mengehadkan perbelanjaan kerana perlu membiayai peruntukan maha hebat untuk upacara sukan yang pertama kali dianjurkan. Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil dan beberapa kompleks sukan lain memerlukan peruntukan bukan sedikit. Apatah lagi Putrajaya dan Cyberjaya baru sahaja bermula. Semuanya perlukan duit. Rakyat perlu bergolok gadai untuk itu. Perlu berkorban sebelum berjaya.

Kisah krisis air, Sukan komanwel dan reformasi adalah sebahagian dari perkara yang mendewasakan saya ketika baru belajar hidup sendiri di tempat orang, jauh dari keluarga, jauh dari kenalan, dari sahabat sekampung. Pertama kali berjauhan dari keluarga, meniti hidup sendirian bersama teman yang baru amat memberi pengalaman berharga dalam melalui fasa kehidupan seterusnya.

Apabila berlaku kembali krisis air kali ini, saya senyum sendiri. Derita kami dahulu tidak sama dengan sekarang. Dahulu suara kami tidak didengari. Sekarang dengan SMS, Facebook, YM semuanya boleh melaporkan derita sekelip mata dan masuk tv sepantas kilat.

Nyata masa merubah kita. (Tiba-tiba saya merasa tua untuk itu. Tua?)

2 ulasan:

nurul hidayah berkata...

Khadijah College ke? wah, kesian...

NorziatiMR berkata...

Ida, ini zaman Lembah Pantai lagi. Kami belum ke PJ pun masa ni