Jumaat, April 30, 2010

Natrah

Saya sedang membaca Natrah @ Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha (1937-2009): Cinta, Rusuhan, Airmata. Ada rasa geram, benci, menyampah, semangat yang membuak-buak. Awalnya cuba membandingkan dengan naskhah Haja Maiden, namun karya Datin Fatini Yaacob ini menangkau lebih jauh dari itu.

Penjajah, ya, penjajah. Ego mereka sebagai sebuah negara yang menjajah dan menyedut keluar hasil negara pribumi tidak membenarkan langsung bangsa yang dijajahnya itu menjatuhkan mereka walau bagaimana cara pun. Natrah di pisahkan dengan tragedi, dengan hasrat sebuah negara penjajah yang tidak mahu dimalukan oleh negara jajahannya. Ia adalah konflik keluarga yang bertukar menjadi usaha berkepentingan politik. Maruah kata mereka, sedangkan sudah tewas perang masih mampu menganyang negara timur.

Ada separuh lagi yang perlu dihabiskan tetapi saya rasa sangat perlu mencoretkan sesuatu. Kepada yang belum membeli atau membaca, segera dapatkan naskhah ini. Segera.


Selasa, April 27, 2010

Ruginya mereka yang tidak mengerti

Komandan mengeluh lagi, entah keberapa kalinya tidaklah saya tahu. Saya pasti ia berkisar kepada perkara yang sama.

"Kenapa orang kita ini susah nak sertai pasukan sukarela? Sedangkan sukarela kita ini bukannya percuma, kita dibayar atas khidmat yang kita beri"

Dari tingkap yang berjeriji, saya melepaskan pandangan keluar. Cuaca terik membakar kulit. Matahari megah dipuncak kepala memanah cahayanya yang bersinar-sinar. Kemudian saya merenung sekilas ke wajah Komandan.

"Masa?" Saya meneka.

"Sabtu dan Ahad bukannya kerja. Bila diajak, macam-macam alasan yang diberi. Sedangkan mereka itu - cuba lihat, bangsa cha-ya-nun-alif dari muda hingga ke tua masih sanggup masuk ke kelas untuk mendapatkan sijil jurulatih. Niat mereka itu bukannya kita tidak tahu, kerana duit," sambung Komandan lagi.

Saya memandang wajah-wajah berkulit cerah dan bermata sepet di dalam kelas di sebuah sekolah Cina persendirian yang kami tumpangi. Ya, saya sedar, bangsa mereka memenuhi kelas ini dan kami berdua dijemput atas ihsan seorang kenalan Komandan. Malah, setelah hampir dua bulan menyertai pasukan sukarela ini, ada budaya yang saya lihat tidak disedari pihak luar. Kami boleh bergerak bagi mendapatkan keuntungan.

"Rasanya kita perlu betulkan persepsi masyarakat. Sukarela tidak bermakna percuma. Kita menerima upah juga, mendapat gajaran atas tenaga yang kita sumbangkan disini. Mana ada khidmat percuma di dunia ini?" tukas saya, sambil mengenangkan beberapa teman yang teragak-agak menyertai kami biarpun awalnya sudah menyatakan ya.

"Cuba lihat, jurulatih dari ibu pejabat adalah orang kita. Anak muridnya semua bukan sebangsa kita. Ilmu itu disampaikan kepada mereka, nanti kalau tidak kita sertai alamat pupuslah bangsa kita dalam persatuan ini."

Saya diam. Ini bukan kenyataan berbau perkauman, kiasu atau apa sahaja. Ini adalah kenyataan. Tanyalah mana-mana persatuan sukarela, atau mana-mana persatuan di Malaysia, siapakah anggotanya yang paling ramai. (Kalau namanya persatuan, bukankah memang sukarela, dan mana ada persatuan yang membayar kepada ahlinya? Mengutip yuran adalah!) Kekuatan mereka adalah kerana bersatu diatas nama persatuan yang beribu-ribu sedangkan kita berpecah-pecah atas nama persatuan yang kita sertai. Sedangkan penternak, pengedar, penjual ayam, itik juga babi pun berpersatuan! Bukankah kuat ukhuwwah mereka berbanding kita?

Di mana tali Allah dan tali manusia yang kita pegang?

Sungguh rugi mereka yang tidak mengerti. Andainya mereka tahu ada banyak peluang terhidang, maka akan berbondong-bondong mereka masuk menyertai kami. Tetapi, bilakah impian itu bakal menjadi kenyataan?




Rabu, April 21, 2010

Kembara Jakarta - Foto Jalanan

Ruang berniaga di Jakarta amat terhad. Saya diberitahu Jakarta berpenduduk padat dan ruang tanah diguna semaksima mungkin biarpun seinci. Oleh itu, kebanyakan rumah tidak punya halaman atau ruang belakang. Maka kurang sangat ruang bercucuk tanam, menghias laman dengan bunga atau melihat anak-anak bermain pada waktu petang. Ya, memang pelik tetapi benar. (Situasi ini wujud di kota Jakarta sahaja, bukan di seluruh Indonesia).

Harga tanah mahal dan sangat berharga. Oleh itu, untuk berniaga atau mendirikan rumah agam menjadi satu perkara yang agak mustahil. Ini menjadikan warga Jakarta kreatif mencipta peluang. Lihat sahaja foto yang saya rakamkan. Dua almari kaca memuatkan semua barangan jualan. Air mineral, kopi, teh, gula-gula, sabun, biskut, susu, buku, pen, sos, deodoran, chewing gum, ubat batuk, parfume. Apa sahaja yang tidak ada? Ruang niaga kecil menyebabkan mereka memilih mempamer barang menggunakan rak pameryang membolehkan semua barang jualan duduk dalam satu tempat. Maka, mudah untuk pembeli melihat, mencari lalu memilih. Sangat praktikal saya rasa konsep ini.

Pengeluar bagai memahani situasi peniaga. Mereka pun memasarkan barangan dalam bungkusan kecil bagi memudahkan ia dipamer dan dijual. Kopi dan susu penuh krim ini misalnya tidak dijumpai di Malaysia walaupun kopi kapal api antara jenama kopi terkenal. Lihatlah bagaimana gandingan pengeluar dan peniaga mempamer kreativiti bagi memenuhi kehendak pengguna walaupun disekat oleh prasana yang kurang sempurna. Maksud saya, mereka tidak punya kedai atau ruang niaga besar, memadai apa yang ada bagi menjalankan perniagaan. Memaksimumkan peluang bagi merebut segala kesempatan yang ada.

Betapa peluang menemui kesempatan ini amat jarang terhidang.

Khamis, April 15, 2010

Kepercayaan Kepada Tuhan

Suatu hari, ketika itu jam sudah melepasi Asar. Tidak berapa lama lagi akan Maghrib. Jalan menghala ke Kajang seperti biasa tidak pernah kurang sesaknya. Jalan Reko dua lorong yang sempit, ditambah dengan pemandu tidak bertimbang rasa menghentikan kenderaan sesuka hati di bahu jalan, dan yang tidak reti bahasa mencelah masuk pada ruang-ruang yang tidak muat sekadar menambah panas di dada. Kereta tidak pernah susut dari jalanan saling mengekori sehingga tiba ke destinasi.

Cuaca tetap panas. Penghawa dingin tidak mampu membunuh keresahan yang tidak pernah reda. Di kiri kanan jalan, masih ada insan yang bekerja, meredah kepanasan demi sesuap nasi. Rumah kedai yang berderetan memagar jalan masih tetap dengan pembeli yang keluar masuk. Pekan yang hidup, tidak mati walau matahari semakin menidurkan diri.

Lampu isyarat silih berganti merah hijau. Kereta saya berhenti betul-betul di bawah sebatang pokok yang rendang memayungi jalan. Di sisi pokok ada sebuah tokong kecil, warnanya merah, beratap zink, berdinding papan, berlantai simen. Saya benar-benar bertentangan dengan 'makhluk' kecil yang berdiri diatas ruang yang ditinggikan hampir satu kaki dari aras lantai, bersekali dengan buah nenas, oren, epal, colok, taburan kertas kecil berwarna merah dan oren yang tersusun elok sebelah menyebelah.

Seorang anak muda memakai t-shirt menandakan ia pekerja bengkel kereta, berkasut sukan dan rambut rapi tersisir melangkah ke dalam tokong. Di tangannya ada beberapa batang colok. Tanpa menghiraukan hon dan kereta yang sedang beratur, dia tenang melutut dihadapan tuhannya. Dinyalakan colok lalu dicacakkan kehadapan patung. Dia menegakkan badan, telapak tangan kanan diletak diatas tangan kiri, digenggam lalu dirapatkan ke bawah dagu, kepala ditundukkan dan matanya dipejam erat. Hampir lima minit dia begitu. Berdoa. Saya kejap memerhati sambil kereta tidak bergerak langsung. Usai doa, dia bangun, menoleh ke kiri dan ke kanan, terpandang ke mata saya yang asyik merenungnya lalu dia terus berlalu. Tidak dihiraukan langsung dunia yang sedang berserabut. Saya kira dia baru habis kerja.

Saya beristighfar.

Saya teringat diri, merenung ikatan ibadah saya dengan tuhan. Telah tersedia masjid dengan ruang solat yang besar, namun berapa lama saya duduk didalamnya untuk bertemu tuhan? Sedangkan dia - anak muda itu - ruang solatnya dipinggir jalan dan tidak ada malu meminta dan berdoa.

Kita punya ruang solat besar, atau surau yang indah tetapi masih mahu solat sembunyi-sembunyi. Ya, menunjuk-nunjuk itu riak tetapi, nah, bayangkan jika suatu hari nanti jika kita tidak punya ruang solat sebesar masjid, apakah kita 'sudi' solat dipinggir jalan, sujud diatas batu dan berteleku di tanah tandus, seperti teman kita di Palestina?

Andaikata suatu hari nanti semua nikmat kemewahan dan kekayaan itu dihilangkan, bersediakah kita untuk solat dimana-mana? Bersediakan kita?



* Sumber gambar dari Google

Ahad, April 11, 2010

Novel : Gulat Di Jakarta

Hidup adalah satu pertentangan, suatu pergulatan. Dalam diri, kita melawan syaitan yang sentiasa membina perasaan syak wasangka, yang sering mempengaruhi kita berbuat kejahatan dan kesilapan. Kemudian bertempur pula dengan manusia serupa kita - ada memakai topeng kebaikan, ada memakai topeng kejahatan.

Novel Gulat Di Jakarta ialah kisah orang baik-baik, bekerja dengan berbuat kebaikan dengan harapan kebaikan dibalas kebaikan. Tapi bila saat kebaikan dibalas kejahatan, maka mulalah dia mempersoal diri - mengapakah dia harus dibalas sedemikian rupa. Dia mula memeriksa diri melihat kekurangannya, melihat apa yang telah dibuat sehingga datangnya kebinasaan. Pada fikiranya, ini mungkin akibat dari sikapnya yang kurang memberi yang menyebabkan dia kurang dihargai. Lalu dia cuba memberi lebih pada pihak lain dengan harapan yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sama-sama merasa susah dan senang.

Novel nipis 82 muka ini, jika merujuk kepada Wikipedia di terbitkan pada 1953. Novel yang berada di tangan saya ini di terbitkan oleh Wira Karya pada 1995, sebuah syarikat yang letaknya di Petaling Jaya. Ini bermakna ia diterbitkan secara sendiri oleh sebuah syarikat yang saya kira sudah tidak wujud lagi.

Secara ringkasnya, gulat bermakna pertempuran, pergaduhan, pertentangan. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan yang tajuknya sahaja menunjukkan pertentangan kehidupan di Jakarta. Gulat Di Jakarta ialah perjalanan kehidupan seorang anak muda yang terlibat dalam dunia perniagaan dalam usaha membawa keluar keluarganya dari lembah kemiskinan. Sulaiman membina kembali hidupnya di kota Jakarta bersama isteri dan seorang anaknya selepas dua orang anaknya ditembak Belanda dan kediaman mereka dimusnahkan. Sebagai seoang anak muda yang jujur dan ikhlas, Sulaiman sebelum itu telah di nasihatkan oleh ayahnya untuk mencari jalan mengubah kehidupan. Sangat ringkas pesanan ayahnya ketika itu:

Dunia ini diciptakan Tuhan untuk makhluknya. Karena itu, anakku, perbuatlah sebaik-bauknya menurut pertimbangan akalmu sebagaimana engkau dapat menyelamatkan hidupmu, agar tidak mengalami kegagalan seperti aku ini.
Sulaiman bekerja di sebah bengkel dan menjadi kesayangan majikan kerana kerajinan dan kejujurannya. Dia mohon berhenti kerja bagi membuka sendiri bengkel, dan di anugerahkan sedikit bantuan dari majikannya yang amat bersedih tetapi gembira dengan keputusan Sulaiman.

Berkat kerajinan dan usahanya, bengkel yang diusahakan sendiri maju dan sentiasa menerima pelanggan yang tidak putus-putus lalu menggaji dua pekerja bagi membantunya di bengkel yang semakin maju. Namun kehadiran seorang perompak pada suatu hari mengubah kedamaian perniagaan Sulaiman. Dia tertembak di pelipis, banyak alatan bengkelnya di curi orang ramai sewaktu bergelut dengan perompak menyebabkan dia menanggung hutang yang banyak. Sulaiman terlantar lama di hospital dan perniagaannya di jaga oleh dua pembantunya yang setia dan isterinya yang tabah. Sulaiman menjadi bingung memikirkan hutang, dan sebaik sahaja keluar dari hospital fikirannya semakin terganggu. Dia risau memikirkan keadaan bengkelnya yang dikhuatiri akan di rompak lagi oleh orang yang sama yang berdendam dengannya akibat dari kejadian pertama, oleh kesetiaan tidak berbelah bagi dua pekerjanya, oleh peniaga dikiri kanan yang menjaga periuk nasi sendiri dan oleh hutang yang semakin banyak.

Sulaiman mahu menjadikan dua pekerjanya sebagai rakan kongsi dengan harapan dia tidak mahu menanggung beban seorang diri dan bagi memberi peluang dua pekerjanya ruang memiliki perniagaan sendiri. Tetapi dia lebih risau dengan liabiliti yang ditanggung seorang diri jika ada apa-apa berlaku kepada bengkelnya sekali lagi. Isterinya membantah, sekaligus memberi tekanan kepadanya. Kemudian, bengkelnya benar-benar dirompak lagi biarpun telah di siapkan dengan pelbagai langkah termasuklah bantuan jiran niaga. Kali ni, seorang pekerjanya terbunuh dan ini menambah lagi tekanan kepadanya sehingga Sulaiman tidak mampu mengawal dirinya lagi. Sulaiman dimasukkan ke wad pesakit gila manakala isterinya, Mina mengambil alih perniagaan dan dek kerana tidak tahan tekanan, meninggal dunia akhirnya.


Gulat Di Jakarta mungkin satu-satunya novel Pram berkisarkan kehidupan dunia perniagaan.  Mengambil kira latar Jakarta yang ketika itu baru merdeka dan masih punya 'sisa cengkaman Belanda', banyak persoalan yang timbul dalam usaha membebaskan diri - sama ada dari kancah peperangan, mencari kemerdekaan atau membuang keraguan terhadap diri sendiri untuk berusaha dan berjaya. Namun, ia sangat relevan dengan situasi terkini. Siapakah dewasa ini yang sanggup menanggung beban atas kesusahan pihak lain? Mereka mahu senang, mahu tenang. Tidak mahu disusahkan, tidak mahu dibebankan. Jadi, andai seseorang itu dalam pergulatan, biar dia selesaikan segala urusan pergulatannya dahulu barulah timbul campur tangan dari pihak lain. Oh, adilkah begitu?

Gulat Di Jakarta seolah membayangkan yang kebaikan sudah pergi dan cuma beberapa kerat orang sahaja yang melakukan kerja dengan penuh kebaikan. Yang lainnya penuh kejahatan. Jadi kebaikan tidak punya saingan disini. Si jahat sekadar bersaing dengan si jahat bagi menunjukkan tahap kejahatan sendiri yang akhirya akan tewas di pintu sel atau di hujung senjata Polis.

Ya, Gulat Di Jakarta di tulis hampir 60 tahun lalu, namun masih sangat signifikan dengan dunia hari ini.





Jumaat, April 09, 2010

Bukan rahsia

Saya sering menerima pertanyaan bagaimana agaknya proses penghasilan novel Meniti Jalan Hadapan. Secara jujurnya, saya belum layak bercakap (lebih) tentang novel ini, biarpun ia diangkat ke tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. Saya lebih senang dengan kerja belakang tabir, menyiapkan kerja sendiri, hidup seperti biasa dan tenang-tenang melalui hari-hari mendatang.

Walaupun begitu, saya seperti diajar menerima hakikat bahawa ada khalayak yang ingin belajar bagaimana sesuatu karya itu dihasilkan. Itulah juga yang saya alami bila mahu memulakan proses pengkaryaan suau ketika dahulu, tidak kiralah ia novel, cerpen atau puisi. Kita akan belajar dari pihak yang telah berjaya cara bagaimana mereka menghasilkan sesebuah karya dan apakah faktor yang membezakan karya yang baik dan yang kurang baik. Tetapi saya sering mengingatkan diri, yang menang bukan bererti baik, yang kalah tidak bermaksud ia kurang elok. Ada banyak perkara yang mempengaruhi sehingga menobatkan kemenangan sesebuah karya.

Pengalaman berbicara dengan pelajar UKM semalam membuka mata saya akan pentingnya untuk saya bercerita sedikit tentang novel ini. Walaupun selepas keluar dari pintu saya mengutuki diri, membayangkan yang saya mengarut entah apa, tetapi saya sedar yang dahulu pun saya berada di tempat mereka. Mencari-cari cara dan rahsia menghasilkan karya yang baik. Biarpun ada banyak buku memperkatakan tentang cara penghasilan karya, setidak-tidaknya peluang berbcara terus dengan penulisnya merupakan satu sentuhan peribadi yang amat jarang dapat dikecapi. Ya, saya teringat-ingat juga saat berhadapan dengan penulis mapan sebelum ini. Seram sejuk, kelu lidah, kaku bicara. Macam-macam.

InsyaAllah, akan saya siapkan satu entri khas tentang proses penghasilan novel Meniti Jalan Hadapan. Niat dihati bukanlah mahu berlagak bagus dan hebat. Sekadar berkongsi rasa dah rahsia, itu pun jika boleh dikatakan rahsia!.

Ahad, April 04, 2010

Pesta Buku 2010

1)
Bila ke Pesta Buku, kadangkala rajin juga kaki melangkah ke gerai yang tidak popular, yang kurang dikunjungi orang. Bisik hati saya menyatakan, mungkin ada buku-buku yang istimewa tersorok dan tersembunyi disebalik susunan buku yang bercampur-campur dengan pengunjung yang berpusu-pusu ke gerai yang mereka sukai sahaja.


Saya bergegas selepas waktu pejabat pada Jumaat kedua Pesta Buku mengejar LRT ke PWTC. Jumaat yang sepatutnya saya cuti tetapi saya batalkan sendiri. Bagi mengurangkan perasaan kecewa, saya gagahkan diri bersama seorang teman yang berkeinginan pergi tetapi teragak-agak. Dan syukurlah, perjalanan di permudahkan.

Saya ditinggalkan tidak lama kami tiba di Pesta Buku, dan teman itu harus pulang menyertai suaminya yang baru sahaja tiba dirumah dari kursus. Saya kemudiannya tergesa menyertai sesi Dialog Orang Muda (biarpun sekejap) dan langsung ke surau untuk solat Maghrib. Kemudian, pada hujan yang turun mencurah-curah dan sungai yang semakin naik membawa sampah dan air berkeladak, saya terus mengatur langkah ke gerai. Pusing dan pusing, singgah di gerai milik Gerakbudaya Enterprise. Belek dan belek, banyaklah buku menampilkan tokoh yang di lupakan dari sejarah, yang di label pejuang kiri, komunis, pengkhianat dan apa-apa sahaja. Juga buku tokoh-tokoh dari luar negara sama ada bersifat sejarah atau kotemporari.

Di sebalik kepelbagaian judul dan bercampur aduk susunannya, dapat juga saya membeli beberapa naskhah yang jarang di temui, dan peluang langka ini amat saya hargai. Apatah lagi ketika terserempak dengan teman seperguruan, Zul dan menunjukkan buku yang saya pegang di tangan, nyata ia sudah kehabisan stok dan mengundang kekecewaan yang bukan sedikit baginya.

Buku yang saya termui ialah dua naskhah nipis karya Pramoedya Ananto Toer berjudul Subuh (Wira Karya, 1995) dan Gulat di Jakarta (Wira Karya, 1995) , Islam Melayu Komunis (SIRD, 2005), Kembara Seorang Reformis: Catatan dan Lawatan Rasyid Ridha ke Syria, Istanbul, India dan Eropah (IKD, 2004) dan Di Balik Malaysia: Dari Majapahit ke Putrajaya (ZI Publications, 2008) oleh Farish A. Noor.

Buku Rasyid Ridha itulah yang menimbulkan cemburu, manakala naskhah Pram membuat saya teruja. Tetapi melihatkan Kembara Seorang Reformis di danai oleh Konrad Adenauer Foundation, saya diam saya sepanjang perjalanan pulang menjinjng buku-buku ini dengan berlapang dada. 




2)
Saya ke Pesta Buku tiga kali, sambil merencana tarikh dengan elok suaya tidak bertembung dengan waktu-waktu yang sesak. Kali pertama dengan mengambil cuti, perjalanan amat indah tanpa perlu banyak bertembung dengan pengunjung yang belum dapat gaji. Sukurlah saya punya kesempatan mendengar perkongsian Datin Fatini Yaakob tentang Natrah di sesi Sofa Putih ITNM, bergambar lalu mendapatkan tandatangan untuk dua naskhah - untuk diri sendiri dan tuan Jiwa Rasa yang menitipkan pesanan bersama Bahlut dan Ingin Jadi Nasrallah.

Ada ucapan Datin Fatini - yang saya rakam dalam telefon bimbit - sangat membuat saya terkesan. Ia bukan oleh penghasilan naskhah ini atau wawancara beliau dengan Natrah tetapi oleh pengamatan beliau terhadap situasi politik yang bercirikan '1Malaysia' ketika berlakunya Rusuhan Natrah. Politk dahulu dna politik sekarang berbeza. Semangat dahulu dan semangat sekarang berbeza. Kesedaran dahulu dan kesedaran sekarang berbeza.


3)
Saya tidak banyak membeli untuk diri sendiri kali ini. Pergi pun membeli buku yang dipesan teman dan adik saya. Ia berupa beberapa buah  novel termasuklah terjemahan Harry Porter yang masuk tahun ketiga saya beli berdikit-dikit. Lengkap sudah tujuh siri perjalanan Harry dalam simpanannya dan saya harap dia boleh menghabiskan semuanya, buka seperti saya yang tidak boleh menjamah walau sehelaipun Harry Porter!