Rabu, April 21, 2010

Kembara Jakarta - Foto Jalanan

Ruang berniaga di Jakarta amat terhad. Saya diberitahu Jakarta berpenduduk padat dan ruang tanah diguna semaksima mungkin biarpun seinci. Oleh itu, kebanyakan rumah tidak punya halaman atau ruang belakang. Maka kurang sangat ruang bercucuk tanam, menghias laman dengan bunga atau melihat anak-anak bermain pada waktu petang. Ya, memang pelik tetapi benar. (Situasi ini wujud di kota Jakarta sahaja, bukan di seluruh Indonesia).

Harga tanah mahal dan sangat berharga. Oleh itu, untuk berniaga atau mendirikan rumah agam menjadi satu perkara yang agak mustahil. Ini menjadikan warga Jakarta kreatif mencipta peluang. Lihat sahaja foto yang saya rakamkan. Dua almari kaca memuatkan semua barangan jualan. Air mineral, kopi, teh, gula-gula, sabun, biskut, susu, buku, pen, sos, deodoran, chewing gum, ubat batuk, parfume. Apa sahaja yang tidak ada? Ruang niaga kecil menyebabkan mereka memilih mempamer barang menggunakan rak pameryang membolehkan semua barang jualan duduk dalam satu tempat. Maka, mudah untuk pembeli melihat, mencari lalu memilih. Sangat praktikal saya rasa konsep ini.

Pengeluar bagai memahani situasi peniaga. Mereka pun memasarkan barangan dalam bungkusan kecil bagi memudahkan ia dipamer dan dijual. Kopi dan susu penuh krim ini misalnya tidak dijumpai di Malaysia walaupun kopi kapal api antara jenama kopi terkenal. Lihatlah bagaimana gandingan pengeluar dan peniaga mempamer kreativiti bagi memenuhi kehendak pengguna walaupun disekat oleh prasana yang kurang sempurna. Maksud saya, mereka tidak punya kedai atau ruang niaga besar, memadai apa yang ada bagi menjalankan perniagaan. Memaksimumkan peluang bagi merebut segala kesempatan yang ada.

Betapa peluang menemui kesempatan ini amat jarang terhidang.

Tiada ulasan: