Isnin, Mei 31, 2010

Jalan juang

Mereka sudah menembak, membunuh. Kita semakin terjerat. Mahu hulurkan nasi untuk jiran kelaparan pun di marah-marah.

Sukar sangatkah perjuangan ini? Tidak, sama sekali tidak. Tiada erti sukar dan gagal bagi kita. Namun kita pasti, ada jalan juang lain yang lebih baik. Kalau bukan dengan cara ini, pasti ada cara lain. Yang pasti, kamu tidak putus semanagt atas patah usaha.

Selamat berjuang!

Jumaat, Mei 21, 2010

Tengahari itu

Ketika itu waktu makan tengahari. Cuaca panas amat, cahaya matahari terik memancar memanah ubun-ubun tetapi langit sudah berkerumun menutupi awan. Ada tanda-tanda hujan akan turun pada bila-bila masa.
Suasana kedai makan hingar bingar dengan bunyi radio memekakkan telinga. Pelanggan sudah mula datang mengisi perut. Masing-masing dengan langkah terburu-buru mengejar masa.

Saya duduk mengambil tempat sementara rakan sekerja terus menuju ke hidangan. Sambil memainkan telefon bimbit, saya memerhati beberapa kumpulan remaja dengan pakaian sekolah - pelajar sekolah sebenarnra - yang menapak ke arah kedai makan. Mereka - dalam kumpulan lelaki sahaja, perempuan sahaja dan bercampur lelaki perempuan - mengambil tempat duduk mengikut kelompok masing-masing. Mereka memesan minuman tetapi tidak mengambil makanan. Sudah ada yang membuka tudung, mengeluarkan sikat dari beg, menyisir rambut, bangun menuju ke sinki lalu mengeluarkan bedak kompak bagi mencantikkan wajah kemudian kembali ke kerusi menyertai teman dengan perbualan yang semakin rancak. Walau begitu, mereka masih menyarung uniform biru putih. Bila tiba giliran saya mengambil hidangan, saya berjalan melepasi mereka dengan perbualan serancak bingit radio yang semakin kuat. Saya pula jadi malu bila mengenangkan warga pejabat pun tidak melepak dan berbual sebegitu rupa.

Mereka masih berbual-bual bertepuk tampar sehinggalah kami selesai makan tengahari itu. Entah bila pulang ke rumah, entah bila buat kerja sekolah, entah bila peperiksaan, tidak tahulah saya. Namun ada gusar dihati saya - apakah emak bapa mereka tahu aktiviti anak-anak sehabis waktu sekolah?

Gusar. Ini ragam anak zaman sekarang. Anak zaman akan datang bagaimana pula?

Selasa, Mei 18, 2010

Seekor anjing

Teringat pada suatu petang pada minggu yang sudah berlalu. Tatkala itu kereta saya meluncur perlahan melepasi bonggol yang banyak ditanam sekitar jalan. Mata ralit memerhati keliling sambil mengawasi kereta hadapan. Di sebelah kanan saya, seekor anjing berlari keluar dari deretan kedai makan yang berdiri memanggil pelanggan. Anjing itu dalam berhati-hati meneruskan langkah tanpa menoleh kiri dan kanan. Dia menggigit plastik - saya kira kosong tanpa isi biarpun menggelembung seolah ada sesuatu didalamnya. Dan anjing itu bagai tidak mengerti apa yang digigitnya, sama ada rezeki atau hampa. Ia terus berlari, mencari tempat nan teduh dan damai dari manusia untuk merobek perut plastik kosong bagi menjamah isinya.

Tiba-tiba saya merasa sebak. Anjing. Mungkin plastik itu direnggut dari longgokan sampah tinggalan manusia di tepi jalan, dibawa lari supaya boleh dijamah rezeki bersama anak isteri atau mungkin sendiri. Tetapi bayangkan hampa yang diterima bila mengoyakkan plastik kosong tanpa sebarang rezeki. Hampa. Bayangkan betapa sedihnya ia sesudah berlari sekian jauh dengan penuh kegembiraan tiba-tiba, oh, kosong! Maka si anjing perlu mencari dan mengais kembali sampah sarap tinggalan manusia, mencari rezeki bagi mengalas perutnya hari itu. Entah, tiba-tiba wujd rasa simpati kepada si anjing. Sungguh dari riak gayanya sangat gembira dengan teruja dengan plastik berisi rezek palsu itu.

Ya, ia cuma seekor anjing. Tetapi ia memberi satu cetusan kepada diri agar jangan menghampakan harapan dan perasaan orang lain. bayangkan, jika kita mengharapkan sesuatu tiba-tiba tidak menjadi. Hampa bukan?
Maka berpada-padalah kita sebelum menghampakan harapan orang lain sebelum kita dihampakan kemudian hari.

Isnin, Mei 17, 2010

Buku : Jalur Sinar Di Celah Daun

1)
Novel karya Zaharah Nawawi ini merupakan sebuah karya lama yang diterbitkan kembali selepas 26 tahun oleh Alaf 21 pada 2007 dalam kategori Novel Nostalgia. Novel ini adalah antara karya awal Zaharah Nawawi yang sekarang masih lagi giat menulis dan aktif mendidik anak muda yang punya minat menulis menerusi Kelab Penulis Zaharah Nawawi atau KEPEZI.

JSDD punya bahasa yang mudah dihadam, berbaur santai dan tidak memberatkan kepala. Nyata dalam masa kurang dua hari saya boleh menamatkan pembacaan yang pada mulanya susah dimulakan tetapi tidak boleh berhenti membaca kemudiannya. Apatah lagi ketika musim hujan waktu petang, membaca sambil memerhati pohon bergoyang ditiup angin, hujan yang mencurah-curah membasahi bumi yang sesekali merembes menyapa pipi dan bayu dingin yang bertiup nyata menyamankan diri dalam ruang santai yang merehatkan.

2)
Novel ini berlatarbelakangkan tahun 1968. Ia mengisahkan sepasang suami isteri muda yang baru berkahwin meneroka tanah di pinggir hutan dengan harapan suatu hari nanti tanah itu akan menjadi hak milik mereka jika di mohon dengan sah. Watak Dali dan Tijah sebagai anak muda yang kuat semangat sangat mengesankan. Oleh kerana menghadapi kesukaran mendapatkan kerja atas sifat Dali sendiri yang tidak gemar melobi dan memujuk, maka sukar bagi dia ditawarkan pekerjaan biarpun keputusan SPMnya tidaklah terlalu teruk. Maka dia mengambil keputusan meneroka tanah, mendirikan rumah dan bercucuk tanam di Kampung Tasik dek kerana mahu berusaha sendiri. Kesungguhan Dali dan kesetiaan Tijah mengharungi suka duka sebagai peneroka sangat-sangat di uji. Awalnya mereka gembira dengan tanaman yang menampakkan hasil dek kerana kerajinan Dali yang tidak mengenal penat lelah dari pagi hingga ke petang. Kemudian satu demi satu cabaran melanda seperti cuaca panas dan kemarau juga kebakaran sehingga memusnahkan tanaman mereka yang sedang rancak membesar. Ini menyebabkan Dali seperti berputus asa memugar tanah lalu mengambil keputusan merantau ke Singapura mencari kerja bagi mendapatkan modal memulakan kembali kehidupan yang hampir musnah. Tijah ditinggalkan bersama anaknya yang masih merah bernama Dahlia dengan berat hati.


Kesengsaraan semakin dialami Tijah yang sebatang kara di tempat itu. Kampung asik masih belum punya ramai penghuni, hanya Tijah dan sepasang suami isteri lain yang turut sama memugar tanah. Para peneroka lain tidak menetap disitu dan berulang alik ke kampung mereka setiap hari. Namun, itu tidak langsung mematahkan semangat Tijah untuk kembali bercucuk tanam buarpun sering diuji cuaca. Dia hampir berputus asa dengan kembali ke kampung sementara menunggu Dali yang dipenjarakan kerana bekerja tanpa pas (permit) di Singapura. Tidak tahan dengan cemuhan orang kampung yang tidak mengerti situasi suaminya, Tijah kembali ke Kampung Tasik. Dia berusaha mencari pekerjaan sebagai pembantu rumah. Menyedari jiwanya bukan di situ, Tijah berhenti selepas dua hari. Kepulangannya kali ini membawa tekad untuk membangunkan kembali dusun dan kebun yang tidak terurus. Dia memulakannya dengan berdikit-dikit sehingga sanggup mencatu makanan bagi mengurangkan perbelanjaan. Usahanya berhasil apabila dia mula menternak ayam, itik, menanam jagung seluas lima ekar dan beberapa tanaman lain. Usahanya ibarat suntikan semangat kepada beberapa orang penduduk lain yang kemudiannya pindah ke Kampung Tasik. Biarpun selepas itu dia diganggu serangan monyet dan harimau, itu tidak langsung memudarkan keinginannya berusaha sehinggalah Dali kembali dari Singapura. Dali merasa sangat menyesal meninggalkan Tjah dan Dahlia dengan penderitaan yang tidak terhingga lalu mereka berazam meneruskan hidup dengan bercucuk tanam walau apa pun dugaan dan cabaran yang melanda selepas itu.

3)
Membaca Jalur Sinar Di Celah Daun seperti membaca kisah diri sendiri ketika bersama keluarga sampai di Serting hampir 28 tahun yang lalu. Cuma kami hadir dengan terancang oleh Felda, dibekalkan rumah yang tegap namun itu segala prasarana lain masih belum wujud. Dengan sebuah lori dari bandaraya Johor Bahru, kami meninggalkan segala-gala yang ada disana memulakan hidup  baru ditempat yang sangat asing. Jalannya masih tanah merah, lalang meninggi sehingga ke paras pinggang orang dewasa, tiada bekalan air apatah elektrik. ketika itu hanya ada saya dan adik - kami berdua menjadi peneman emak dan abah. Seminggu dua tugas kami hanyalah membersihkan lalang disekeliling rumah dan berkenalan dengan jiran tetangga yang pindah seorang demi seorang. Sekeliling rumah kemudiannya kami tanami dengan tanaman yang boleh dimakan segera - seperti sayur, ubi, keledek memandangkan amat sukar mendapatkan bekala makanan ketika itu. Apatah lagi getah masih belum cukup matang untuk ditoreh maka abah sekadar melakukan kerja-kerja yang patut sebelum pengurusan Felda memanggil para peneroka yang rata-rata berusia awal 30-an untuk mengerjakan tanah di kawasan luar dari situ. Setiap pagi, ada roll-call dan kami melambai-lambai abah yang pergi dengan bekalan sehingga petang menaiki lori beramai-ramai untuk dibawa ke mana-mana kawasan yang sesuai dan hanya pulang menjelang petang.

4)
Meneroka tanah baru, memulakan kehidupan baru, berhadapan dengan suasana asing sememangnya merimaskan. Namun itulah cabaran kehidupan. Jika dahulu ibu bapa kita memugar tanah bagi mencari pendapatan, kita pula berusaha mencari kerja dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain. Prosesnya tetap sama - memulakan. Cuma caranya berbeza tetapi lebih mudah. Tidak perlu berpanas berhujan, tetapi dengan dugaan yang lain pula. Zaman berubah, dunia tetap sama. Kitalah yang yang harus menjawabnya.

Rabu, Mei 05, 2010

Buku: The Alchemist (Sang Alkemis)

Novel The Alchemist adalah antara buku yang saya beli di Jakarta sewaktu kembara saya ke sana hujung tahun lalu. Buku ini diterbitkan oleh PT Gramedia Pustaka Utama, dijual pun oleh Gramedia sendiri, dan tertulis catatan saya pada buku, ia dibeli di Gramedia Grand Indonesia, antara toko buku milik Gramedia terbesar yang pernah saya coretkan sebelum ini.

Novel yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul Sang Alkemis merupakan nukilan Paulo Coelho yang sangat terkenal. Secara ringkas, ia berkisar seorang pengembala kambing yang masih muda bernama Santiago. Nama Santiago ini di gunakan sekali sahaja pada ayat pertama novel dan sehingga ke muka surat terakhir, Coelho menggunakan panggilan nama ketiga - dia atau budak itu.

Walaupun menjadi pengembala, Santiago gemar membaca dan menggunakan masa dia bersama kambingnya untuk membaca buku yang tebal-tebal. Setahun sekali dia akan membawa kambingnya untuk dicukur bulunya dan dijual kepada seorang saudagar yang mempunyai seorang anak perempuan yang mengkagumi dirinya yang rajin membaca. Ketika membawa kambingnya bertemu saudagar dia mengalami mimpi yang sama selama dua malam berturut-turut. Ini menyebabkan dia bertemu dengan seorang perempuan yang boleh menafsirkan mimpi. Perempuan itu mengatakan bahawa di akan menemui harta karun di Piramid. Walaupun tidak percaya, dia kemudian di kejutkan dengan kata-kata seorang lelaki - yang mendakwa dirinya seorang raja  yang turut mengatakan perkara yang sama.

Perjalanannya bermula selepas itu. Dia berhasrat pergi ke Piramid bagi mencari apakah benar ada hara karun disana, tambahan pula si raja itu telah meyakinkannya akan nasib yang bakal dia terima di hari muka bertemankan dua biji batu yang boleh membantunya membuat keputusan yang objektif (maksudnya jawapan sama ada ya atau tidak). Dia menjual kambing, menggunakan wang tersebut sebagai tambang dari Andalusia ke Tangir (Algeria) danterus merentasi padang pasir di Mesir untuk ke Piramid. Dia menjangkakan perjalanan mengambil masa bebeapa hari tetapi bertukar dengan pelbagai pengalaman yang sangat bernilai sepanjang perjalanan. Dia menjadi pembantu kepada peniaga kristal sehingga membantu si peniaga menukar matlamat dan keinginannya untuk ke Tanah Suci Mekah.

Selepas setahun membantu sipeniaga kristal sehingga mempunyai perniagaan yang besar, dia mengikuti satu kafilah (karavan) ke Mesir bagi meneruskan impian mendapatkan harta karun tersebut. Dia menemui seorang lelaki Inggeris yang mahu mencari sang alkemis (ahli kimia barangkali) yang dikatakn boleh menukarkan apa sahaja logam kepada emas. Perjalanan mereka tersekat di sebuah oasis kerana berlaku perang antara suku yang menyebabkan mereka perlu menanti sehingga selesai. Namun begitu, di oasis inilah tanpa disangka sia anak ini menemui sang alkemis dan seorang gadis yang menyebabkan dia jatuh cinta. Sang alkemis membantunya keluar dari oasis, merentasi perang antara suku dan terus ke Piramid bagi mendapatkan harta karun yang tertanam di dasar padang pasir.

Cerita ini nampak ringkas tetapi mempunyai banyak perkara yang menyebabkan saya termenung lalu berfikir. Ibarat membaca buku motivasi atau The Law of Attraction atau The Secret, The Alchemist sebuah novel positif yang membawa kita percaya kepada diri, kepada gerak hati dan yakin terhadap segala tindak tanduk sendiri. Pesanan yang disampaikan oleh raja dan Sang Alkemis banyak membantu anak itu mengejar impiannya tanpa putus asa sehingga dia benar-benar mendapat harta yang tersimpan di perut bumi itu.

Antara kata-kata yang saya ambil dari Coelho ialah,"kalau seseorang sungguh-sungguh menginginkan sesuatu, seisi jagat raya bahu-membahu membantu orang itu mewujudkan impiannya." 

Ya, ia menarik aura prositif dari luar ke dalam diri, memberi keyakinan seterusnya mengukuhkan semangat bagi mencapai impian yang sebelum itu samar-samar. Mungkin perkara inilah yang menjadikan novel Coelho sebagai novel yang disebut-sebut seantero dunia. Tidak rugi saya membelinya tempohari biarpun versi PDF dalam bahasa Inggeris wujud dalam internet.

Sabtu, Mei 01, 2010

Nostalgik yang tragik

Saya selalu mengandaikan saya ini seorang yang nostalgik. Mengapa tidak - saya menyimpan banyak nostalgia dalam kotak. Ada tiket bas mini, kad kahwin kiriman teman berusia lebih 10 tahun, buku-buku contengan yang saya simpan sejak belajar, kertas kecil berisi catatan entah apa-apa, kad prabayar telefon, pen pelbagai jenis dan bentuk, pensil yang dikutip dari hotel (yang tertera nama hotel), beg kertas, plastik membeli-belah yang cantik, sampul surat yang entah apa gunanya dan macam-macam lagi. Ini tidak termasuk buku sekolah yang saya simpan dari darjah satu (yang kebanyakannya sudah dimamah lipas dan anai-anai) serta keratan akhbar yang kebanyakannya berusia lebih 10 tahun - semasa saya menjadikan akhbar sebagai medium ilmu, sebelum zaman internet wujud lagi dan bukan seperti sekarang. Bayangkan sahaja, surat panggilan masuk ke universiti yang sudah berusia 12 tahun bukan sahaja dokumen, bil dan resitnya lengkap tersimpan, malah dengan sampul suratnya sekali!

Bila diselongkar kotak-kotak simpanan, terdetik dihati entah apalah gunanya saya menyimpan semua sampah sarap ini. Menyesakkan ruang bilik, tidak menguntungkan dari segi material malah menyusahkan bila berpindah randah. Tetapi bila mahu membuangnya, terbit pula rasa sayang. Takut-takut nanti terkilan akan nostalgia yang turut 'bersaudara' dengan segala sampah itu dibuang terus dari memori ingatan saya.

Rasanya saya perlukan bantuan bagaimana membetulkan persepsi saya terhadap segala khazanah ini. Mungkin pakar psikologi, mungkin pakar psikiatri atau pakar kaunseling. Sudah tidak sanggup menyimpan, tetapi tidak sanggup pula membuangnya. Sikap terlalu menyimpan nostalgia ini seakan memberi beban pula. Menyewa rumah perlu dua bilik, hinggakan kamar tuannya lebih kecil dari ruang penyimpanan!