Isnin, Mei 17, 2010

Buku : Jalur Sinar Di Celah Daun

1)
Novel karya Zaharah Nawawi ini merupakan sebuah karya lama yang diterbitkan kembali selepas 26 tahun oleh Alaf 21 pada 2007 dalam kategori Novel Nostalgia. Novel ini adalah antara karya awal Zaharah Nawawi yang sekarang masih lagi giat menulis dan aktif mendidik anak muda yang punya minat menulis menerusi Kelab Penulis Zaharah Nawawi atau KEPEZI.

JSDD punya bahasa yang mudah dihadam, berbaur santai dan tidak memberatkan kepala. Nyata dalam masa kurang dua hari saya boleh menamatkan pembacaan yang pada mulanya susah dimulakan tetapi tidak boleh berhenti membaca kemudiannya. Apatah lagi ketika musim hujan waktu petang, membaca sambil memerhati pohon bergoyang ditiup angin, hujan yang mencurah-curah membasahi bumi yang sesekali merembes menyapa pipi dan bayu dingin yang bertiup nyata menyamankan diri dalam ruang santai yang merehatkan.

2)
Novel ini berlatarbelakangkan tahun 1968. Ia mengisahkan sepasang suami isteri muda yang baru berkahwin meneroka tanah di pinggir hutan dengan harapan suatu hari nanti tanah itu akan menjadi hak milik mereka jika di mohon dengan sah. Watak Dali dan Tijah sebagai anak muda yang kuat semangat sangat mengesankan. Oleh kerana menghadapi kesukaran mendapatkan kerja atas sifat Dali sendiri yang tidak gemar melobi dan memujuk, maka sukar bagi dia ditawarkan pekerjaan biarpun keputusan SPMnya tidaklah terlalu teruk. Maka dia mengambil keputusan meneroka tanah, mendirikan rumah dan bercucuk tanam di Kampung Tasik dek kerana mahu berusaha sendiri. Kesungguhan Dali dan kesetiaan Tijah mengharungi suka duka sebagai peneroka sangat-sangat di uji. Awalnya mereka gembira dengan tanaman yang menampakkan hasil dek kerana kerajinan Dali yang tidak mengenal penat lelah dari pagi hingga ke petang. Kemudian satu demi satu cabaran melanda seperti cuaca panas dan kemarau juga kebakaran sehingga memusnahkan tanaman mereka yang sedang rancak membesar. Ini menyebabkan Dali seperti berputus asa memugar tanah lalu mengambil keputusan merantau ke Singapura mencari kerja bagi mendapatkan modal memulakan kembali kehidupan yang hampir musnah. Tijah ditinggalkan bersama anaknya yang masih merah bernama Dahlia dengan berat hati.


Kesengsaraan semakin dialami Tijah yang sebatang kara di tempat itu. Kampung asik masih belum punya ramai penghuni, hanya Tijah dan sepasang suami isteri lain yang turut sama memugar tanah. Para peneroka lain tidak menetap disitu dan berulang alik ke kampung mereka setiap hari. Namun, itu tidak langsung mematahkan semangat Tijah untuk kembali bercucuk tanam buarpun sering diuji cuaca. Dia hampir berputus asa dengan kembali ke kampung sementara menunggu Dali yang dipenjarakan kerana bekerja tanpa pas (permit) di Singapura. Tidak tahan dengan cemuhan orang kampung yang tidak mengerti situasi suaminya, Tijah kembali ke Kampung Tasik. Dia berusaha mencari pekerjaan sebagai pembantu rumah. Menyedari jiwanya bukan di situ, Tijah berhenti selepas dua hari. Kepulangannya kali ini membawa tekad untuk membangunkan kembali dusun dan kebun yang tidak terurus. Dia memulakannya dengan berdikit-dikit sehingga sanggup mencatu makanan bagi mengurangkan perbelanjaan. Usahanya berhasil apabila dia mula menternak ayam, itik, menanam jagung seluas lima ekar dan beberapa tanaman lain. Usahanya ibarat suntikan semangat kepada beberapa orang penduduk lain yang kemudiannya pindah ke Kampung Tasik. Biarpun selepas itu dia diganggu serangan monyet dan harimau, itu tidak langsung memudarkan keinginannya berusaha sehinggalah Dali kembali dari Singapura. Dali merasa sangat menyesal meninggalkan Tjah dan Dahlia dengan penderitaan yang tidak terhingga lalu mereka berazam meneruskan hidup dengan bercucuk tanam walau apa pun dugaan dan cabaran yang melanda selepas itu.

3)
Membaca Jalur Sinar Di Celah Daun seperti membaca kisah diri sendiri ketika bersama keluarga sampai di Serting hampir 28 tahun yang lalu. Cuma kami hadir dengan terancang oleh Felda, dibekalkan rumah yang tegap namun itu segala prasarana lain masih belum wujud. Dengan sebuah lori dari bandaraya Johor Bahru, kami meninggalkan segala-gala yang ada disana memulakan hidup  baru ditempat yang sangat asing. Jalannya masih tanah merah, lalang meninggi sehingga ke paras pinggang orang dewasa, tiada bekalan air apatah elektrik. ketika itu hanya ada saya dan adik - kami berdua menjadi peneman emak dan abah. Seminggu dua tugas kami hanyalah membersihkan lalang disekeliling rumah dan berkenalan dengan jiran tetangga yang pindah seorang demi seorang. Sekeliling rumah kemudiannya kami tanami dengan tanaman yang boleh dimakan segera - seperti sayur, ubi, keledek memandangkan amat sukar mendapatkan bekala makanan ketika itu. Apatah lagi getah masih belum cukup matang untuk ditoreh maka abah sekadar melakukan kerja-kerja yang patut sebelum pengurusan Felda memanggil para peneroka yang rata-rata berusia awal 30-an untuk mengerjakan tanah di kawasan luar dari situ. Setiap pagi, ada roll-call dan kami melambai-lambai abah yang pergi dengan bekalan sehingga petang menaiki lori beramai-ramai untuk dibawa ke mana-mana kawasan yang sesuai dan hanya pulang menjelang petang.

4)
Meneroka tanah baru, memulakan kehidupan baru, berhadapan dengan suasana asing sememangnya merimaskan. Namun itulah cabaran kehidupan. Jika dahulu ibu bapa kita memugar tanah bagi mencari pendapatan, kita pula berusaha mencari kerja dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain. Prosesnya tetap sama - memulakan. Cuma caranya berbeza tetapi lebih mudah. Tidak perlu berpanas berhujan, tetapi dengan dugaan yang lain pula. Zaman berubah, dunia tetap sama. Kitalah yang yang harus menjawabnya.

Tiada ulasan: