Sabtu, Mei 01, 2010

Nostalgik yang tragik

Saya selalu mengandaikan saya ini seorang yang nostalgik. Mengapa tidak - saya menyimpan banyak nostalgia dalam kotak. Ada tiket bas mini, kad kahwin kiriman teman berusia lebih 10 tahun, buku-buku contengan yang saya simpan sejak belajar, kertas kecil berisi catatan entah apa-apa, kad prabayar telefon, pen pelbagai jenis dan bentuk, pensil yang dikutip dari hotel (yang tertera nama hotel), beg kertas, plastik membeli-belah yang cantik, sampul surat yang entah apa gunanya dan macam-macam lagi. Ini tidak termasuk buku sekolah yang saya simpan dari darjah satu (yang kebanyakannya sudah dimamah lipas dan anai-anai) serta keratan akhbar yang kebanyakannya berusia lebih 10 tahun - semasa saya menjadikan akhbar sebagai medium ilmu, sebelum zaman internet wujud lagi dan bukan seperti sekarang. Bayangkan sahaja, surat panggilan masuk ke universiti yang sudah berusia 12 tahun bukan sahaja dokumen, bil dan resitnya lengkap tersimpan, malah dengan sampul suratnya sekali!

Bila diselongkar kotak-kotak simpanan, terdetik dihati entah apalah gunanya saya menyimpan semua sampah sarap ini. Menyesakkan ruang bilik, tidak menguntungkan dari segi material malah menyusahkan bila berpindah randah. Tetapi bila mahu membuangnya, terbit pula rasa sayang. Takut-takut nanti terkilan akan nostalgia yang turut 'bersaudara' dengan segala sampah itu dibuang terus dari memori ingatan saya.

Rasanya saya perlukan bantuan bagaimana membetulkan persepsi saya terhadap segala khazanah ini. Mungkin pakar psikologi, mungkin pakar psikiatri atau pakar kaunseling. Sudah tidak sanggup menyimpan, tetapi tidak sanggup pula membuangnya. Sikap terlalu menyimpan nostalgia ini seakan memberi beban pula. Menyewa rumah perlu dua bilik, hinggakan kamar tuannya lebih kecil dari ruang penyimpanan!

4 ulasan:

K.H berkata...

Cuba minta pandangan anai-anai. Rasanya, mereka boleh membantu.

rimbun berkata...

zeti.. ada dgcam kan.. haa amik gambar jer n simpan digitally, kan kurang space. pastu pejam mata, masuk dlm tong sampah.

sis_aflah berkata...

salam akak,

selalu juga singgah di sini.. tp mungkin ini pertama kali saya tinggalkan jejak..

dan..pertama kali melihat akak secara 'live' di majlis bersama shamsudin othman tempoh hari..

tentang khazanah begini, adik saya telah 'membantu' saya mengemas..

dia telah membakar semua potongan akhbar yang saya simpan semasa ketiadaan saya..

saya hilang kata, entah mahu marah atau perlu bersyukur...

NorziatiMR berkata...

KH, pandangan yang cukup sadis.

Kak Mila, rasa tak cukup sentimental buat begitu. Tetap mau ori

Sis Aflah, mana satu ya? Mengapa tidak ditegur, kok bisa berkenalan.
Oh, kalau dibakar, saya sendiri rasa separa siuman..heh!