Jumaat, Mei 21, 2010

Tengahari itu

Ketika itu waktu makan tengahari. Cuaca panas amat, cahaya matahari terik memancar memanah ubun-ubun tetapi langit sudah berkerumun menutupi awan. Ada tanda-tanda hujan akan turun pada bila-bila masa.
Suasana kedai makan hingar bingar dengan bunyi radio memekakkan telinga. Pelanggan sudah mula datang mengisi perut. Masing-masing dengan langkah terburu-buru mengejar masa.

Saya duduk mengambil tempat sementara rakan sekerja terus menuju ke hidangan. Sambil memainkan telefon bimbit, saya memerhati beberapa kumpulan remaja dengan pakaian sekolah - pelajar sekolah sebenarnra - yang menapak ke arah kedai makan. Mereka - dalam kumpulan lelaki sahaja, perempuan sahaja dan bercampur lelaki perempuan - mengambil tempat duduk mengikut kelompok masing-masing. Mereka memesan minuman tetapi tidak mengambil makanan. Sudah ada yang membuka tudung, mengeluarkan sikat dari beg, menyisir rambut, bangun menuju ke sinki lalu mengeluarkan bedak kompak bagi mencantikkan wajah kemudian kembali ke kerusi menyertai teman dengan perbualan yang semakin rancak. Walau begitu, mereka masih menyarung uniform biru putih. Bila tiba giliran saya mengambil hidangan, saya berjalan melepasi mereka dengan perbualan serancak bingit radio yang semakin kuat. Saya pula jadi malu bila mengenangkan warga pejabat pun tidak melepak dan berbual sebegitu rupa.

Mereka masih berbual-bual bertepuk tampar sehinggalah kami selesai makan tengahari itu. Entah bila pulang ke rumah, entah bila buat kerja sekolah, entah bila peperiksaan, tidak tahulah saya. Namun ada gusar dihati saya - apakah emak bapa mereka tahu aktiviti anak-anak sehabis waktu sekolah?

Gusar. Ini ragam anak zaman sekarang. Anak zaman akan datang bagaimana pula?

1 ulasan:

Shah berkata...

Itu lah ragam para pelajar di institusi persekolahan negara kita sekarang yang perlu dihadapi oleh guru dengan cukup mencabar, ditambah karenah ibu bapa yang tidak menghormati dan menyanjungi para guru..