Jumaat, Jun 25, 2010

T.E.A.M


Pertama sekali mendengar TEAM diberikan maksud sebagai together everyone achieves more saya menjadi sangat teruja. Ia sangat tepat. Maka bersempena dengan Piala Dunia, ada kerjasama erat daripada pelbagai pihak yang tiba-tiba wujud. Penonton bola memenuhi ruang gerai dengan meminum bercawan-cawan teh atau kopi, dan tuan punya kedai menyediakan layar besar bagi menarik pengunjung. Ada konsep timbal-balik dan sama-sama menang.

Musim demam Piala Dunia melanda, apa sahaja yang dibualkan, pasti ada sangkut paut dengan bola. Menulis entri blog atau meletakkan status pada Facebook misalnya, pasti berbau bola. Kata orang, demam sekali dalam masa empat tahun ini harus di sambut. Rugi kalau di tinggalkan atau tertinggal.

Setiap kali menonton perlawanan, tidak kiralah selepas Maghrib atau awal pagi, saya sering melihat dari sisi yang berbeza. Biasanya saya kaitkan ia dengan kehidupan dan kerjaya. Portfolio di pejabat yang berkaitan dengan sumber manusia menyebabkan tabiat ini bukan di ada-adakan. Banyak yang perlu diambil kira bagi membaiki suasana kerja. Tambahan pula melihat gelagat pemain, penonton dan pengulas tidak bertauliah itu sebenarnya mengundang tawa dan ilham, yang secara tiba-tiba mahu turut sama beradu dalam kepala.

Saya suka merenung dari sisi lain. Kerjasama berpasukan dalam menjana kemenangan. Kekuatan fizikal bagi menampung kelajuan musuh. Usaha tidak mengenal lelah bagi membuat serangan ke pihak lawan. Saling membantu bagi menghalang serangan bertali arus pihak lawan. Prinsip tidak mudah berpuas hati biarpun sudah mendahului. Jangan tamak dan pentingkan diri sendiri. Usah sia-siakan peluang di hadapan mata. Dan paling penting ialah jangan mudah menyalahkan atau menuding jari jika berlaku kesilapan.

Paling penting ialah bolasepak itu permainan berpasukan. Setiap sebelas orang ada peranannya. Penyerang, pertahanan, penjaga gawang, pemain tengah, sayap kiri atau sayap kanan semuanya telah dietetapkan supaya menjalankan peranan masing-masing. Sebelas orang pemain selama sembilan puluh minit mengejar bola dan usaha menendangnya ke pintu gol lawan tidak akan terhasil dengan hasil usaha seorang. Ia usaha berpasukan. Tidak akan ada pasukan yang berjaya dengan seorang pemainnya sahaja yang bertungkus lumus.


Ini sekaligus membawa saya kembali ke bengkel penulisan skrip bersama AVA dan Pn Maizura Mohd Ideris tiga minggu yang lalu. Katanya, membuat karya visual (drama, filem, telemovie, dokumentari) adalah hasil usaha berpasukan. Ia adalah gabungan usaha penulis skrip, skrip, pelakon, jurubusana, pengurus produksi, pengurus line, jurukamera, penata cahaya, juruteknik, penyunting, pembancuh teh (katering!) dan penerbit sebagai pemberi dana. Jika pincang satu, maka kemungkinan karya itu rosak tetap ada, walaupun satu peratus. Oleh itu, skrip yang baik belum tentu menghasilkan karya yang baik tanpa pasukan produksi yang baik. Dan ada kalanya dengan pasukan produksi yang produktif, skrip yang tidak berapa cantik boleh juga menghasilkan karya yang cukup terangkat. Ia bergantung kepada kerjasama sesama ahli. Yang penting, ada kesungguhan menghasilkan karya, lalu mereka hadir dengan matlamat yang sama.


Samalah juga dengan hidup kita. Sebagai khalifah, kita dianjurkan hidup bekerjasama sesama insan. Saling tegur menegur atas perkara yang salah, saling bantu membantu bila di dalam kesusahan. Untuk ke syurga, bukanlah dengan usaha seorang diri. Sebab itu, solat berjemaah itu digalakkan dengan ganjaran 27 kali lebih dari berseorangan.

Dalam bidang kerja, kerja berpasukan ini amat ditetapkan. Jika penyerang itu tugasnya menjaringkan gol sebanyak mungkin, dia telah di tetapkan cara bagaimana dia menjaringkan gol. Setiap hari berlatih cara untuk menyepak bola tepat ke gawang dengan pelbagai cara. Mereka belajar cara membuat sepakan penalti, sepakan percuma, menggelecek lawan dan membuat sepakan sudut. Semuanya dengan matlamat menewaskan penjaga gol. Itulah skop kerja penyerang. Seperti mana skop kerja staf di sesebuah penjabat, tidak ada kerja yang boleh bertindan antara satu sama lain, mestilah setimpal dengan jawatan dan gaji, dan tidak punya unsur menganiya. Semuanya  harus di berikan peluang sama rata.


Rabu, Jun 23, 2010

Diam

diam itu
bukan sekadar senyap
tetapi berkata atas
perkara perlu

bukan bising-bising
atas perkara yang
kau tak tahu


bandar baru bangi
23 jun 2010

Kita semalam

Bercerita tentang diri sendiri, tentang siapa kita dengan merujuk kepada masa gemilang semalam itu memang nikmat. Cerita yang kita sahaja tahu, bercampur antara fakta dan ilusi. Cerita yang bikin orang suka dengan kita, takjub dengan keistimewan kita, taksub dengan kepimpinan kita.

Tetapi apa yang boleh kita dapat dari itu? Membawa diri kita semalam ke masa depan, dengan segala kenangan dan kegemilangan yang hanya kita tahu. Ia bukanlah boleh menambah wang di akaun simpanan, membina sebuah mahligai indah tetapi sekadar satu memori indah buat diri sendiri.

Maka haruskan kita membawa kegemilangan semalam bersama-sama?

saya pernah menasihati seorang teman. Kata saya, "untuk berlari ke depan, jangan selalu menoleh ke belakang. Bimbang nanti tersungkur. Sesekali tu boleh, tapi jangan selalu. Dan membawa masa lalu berlari bersama pun bahaya juga. Seeloknya maafkanlah masa lampau supaya mudah kita membawa diri untuk masa depan."

Siapa kita hari ini adalah diri kita pada hari ini. Semalam tidak menambah apa-apa kecuali ilmu dan pengalaman. Kalau pun ada, mungkin perasaan ego dan bangga diri. Apa yang kita ada pada hari ini seharusnya berdiri bukan semata-mata atas kenangan semalam. Ia adalah apa yang kita usahakan hari ini.

Apa yang kita tanam hari ini, adalah apa yang akan kita tuai esok. Ia bukan kerana semalam kita telah berjaya menuai hasil yang banyak. Ia adalah kerana benih yang baik yang kita semai hari ini.

Selasa, Jun 22, 2010

Kita harus belajar sejarah

Sebulan dua ini macam-macam terjadi. Banyak perkara haru biru menyinggah cuping. Yang sedap, yang sedih, yang indah, yang jijik.

Minyak BP melimpah di laut lepas. Buat pertama kali kita melihat orang putih tuding menuding jadi, tuduh menuduh tapi kerja mereka tetap jalan. AS cuba menyindir Britisih, yang seolah-olah BP milik sebuah negara sedangkan ia sudah lebih dari itu. Kita harus belajar sejarah untuk mengetahuinya.

Kemudian Marvi Marmarra dan Rachel Corrie di sergah Komando Israel  di perairan antarabangsa menjadi bualan hangat (seketika). Segera kita melatah dijalanan dan di hadapan Kedutaan, bakar bendera Israel, mencemuh dan menghamun. Tapi sedarkah kita Israel, Yahudi dan Zionis itu mewakili identiti berbeza. Kita harus belajar sejarah untuk mengetahuinya.

Derita Gaza dan pelayaran Freedom Flotilla tiba-tiba senyap bila penghuni dunia dilanda demam bolasepak. Satu dunia terpaku melihat dua puluh dua orang dalam dua jersi berlainan warna mengejar sebiji bola diatas padang hijau tua belang hijau muda. Semua sibuk belek akhbar bagi membaca keputusan malam tadi, meneliti jadual perlawanan hari ini, menyiapkan seteko kopi sebagai usaha berjaga malam, membeli jersi pasukan di pasar malam, sibuk buat analisis perlawanan, becok berbicara pemain yang hebat beraksi, penuh mulut menghamun pengadil yang tidak adil dan mengeluarkan beberapa keping wang kertas berwarna merah untuk menjdi pasukan yang dijangka menang. Kita seronok melihat gol bertalu-talu masuk ke gawang Korea Utara namum kita lupa bangsa itulah yang mengganyang kit a500 tahun dahulu. Kita lupa kaitan Portugal dan Portugis. Kita hanya tahu Portugis menjajah, bukannya Portugal. Kita harus belajar sejarah untuk mengetahuinya.

Kemudian Penjara Pudu yang berusia lebih 100 tahun, berdiri di segitiga emas Kuala Lumpur akhirnya diruntuhkan dengan kuasa sang kapitalis ketika tumpuan dunia terarah kepada Piala Dunia. Bijak sungguh percaturan mereka memilih tarikh ketika rakyat rela bersengkang mata menonton bola daripada mempertahankan satu warisan yang seharusnya masuk dalam sejarah negara. Ia dibuang daripada peta Malaysia dengan mudah. Lihatlah betapa mudahnya sang kapitalis dan para politikus mencatur agenda masing-masing. Kita harus belajar sejarah untuk mengetahuinya.

Saya terfikir, apakah nanti Stadium Negara dan Stadium Merdeka bakal senasib Penjara Pudu? Kita harus belajar sejarah untuk mengetahuinya.

Jumaat, Jun 18, 2010

Buat sahabat

Terbaca ini dalam status seorang teman FB:  

"Anakku, jika engkau ingin menjadikan seseorang sebagai sahabat, maka pancinglah kemarahannya terlebih dahulu. Jika dia boleh mengawal marah ; jadikanlah dia sahabat. Namun jika tidak, maka jauhilah dia. (Luqman Al-Hakim) 

Jadi, benarlah saya ini seorang sahabat yang gagal kerana tidak berhasil memancing kemarahan seorang sahabat. Lebih berat lagi, saya gagal mendidiknya dengan baik tentang solat dan aurat. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku ini kerana tidak berupaya menjalankan tugas sebagai khalifahMu.

Saya mahu meninggalkan dia dengan dua pesanan yang sama seperti mereka yang pergi sebelum ini: jaga aurat, jaga solat.




Masa lampau

Baru lepas berada di tiga lokasi berbeza yang menayangkan dua perlawanan bolasepak dengan jadual yang salah. Ah, tiga gelas teh tarik terlebih susu, sepinggan masa lampau yang datang bertimpa, semangkuk nasihat membekal semangat, segunung harapan bagi mencapai impian. Apa lagi yang kau fikirkan kawan, jika segalanya sudah terbentang di hadapan mata. Usahakan!



Sabtu, Jun 05, 2010

Iman

Berkata  SN Shahnon Ahmad dalam Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi (Pustaka Shahnonahmad, 2006)  di halamanan tujuh: 

Sedihnya aku melihat panorama dalam kegelagatan orang politik sehingga akhirnya aku jatuh sakit kerana tidak mampu mencegah sebarang kemungkaran dan kemaksiatan dengan tanganku dan dengan lidahku dan dengan penulisanku lagi. Yang ada sekeping hati sahaja dan hati adalah selemah-lemah iman yang ada padaku. Dan dengan lemahnya iman inilah aku pasrah segalanya kepadaNya.

Kita bagaimana?