Khamis, Julai 15, 2010

Demam sudah sembuh

Piala Dunia sudah berakhir. Suka atau tidak, Sepanyol jadi juara. Suka atau tidak, terpaksa menunggu hingga ke masa tambahan. Sepanyol nasibnya sama ketika menang Euro 2008. Ia bukan pasukan pilihan, bukan favourite tetapi boleh jadi juara. Bukan suatu kehairanan bila melihat Sepanyol yang dibarisi pemain pilihan yang terbaik  dengan liga bolasepak terhebat di dunia itu sering mengecewakan, tidak kira semasa Piala Dunia atau Euro. Jangkaan tinggi, tekanan peminat dan ramalan pegawai memberikan seribu satu rasa buat Sepanyol. Namun tidak kali ini. Mereka sudah berjaya memenangi Piala Dunia buat kali pertama. Rezeki mereka sama seperti Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan kemudian berganda dengan Euro 2000. Bezanya, Sepanyol memenangi Euro kemudian Piala Dunia. Perancis menang Piala Dunia kemudian Euro.

Namun kita harap nasib Sepanyol empat tahun lagi tidak seperti Perancis yang menjadi juara pada 1998 tetapi kecundang dengan aib besar empat tahun kemudian. Atau seperti Itali yang menjadi juara empat tahun tetapi menerima aib kali ini. Empat tahun lagi di Brazil, entah apa nasib Sepanyol. Janganlah mabuk kemenangan seperti pasukan badminton Piala Thomas Malaysia yang selepas menang pada 1990 sampai sekarang kena badi tak boleh menang. Setiap kali Piala Thomas berlangsung, setiap kali itulah kata-kata manis dan janji palsu ditabur para pegawai. Bila tak berjaya, pemain jadi mangsa. Pegawai berpolitik dan berpuak-puak, pemain yang menerima aib.

Jadi tamat sudah demam sebulan. Tiada lagi jerit pekik awal pagi, tiada lagi kedai mamak penuh pengunjung yang duduk depan skrin untuk bola sahaja. Habis sudah topik bicara tentang bola, mempertaruh wang untuk perlawanan, menyusun atur jadual menonton. Menyumpah RTM yang tidak cukup duit beli siaran. Paul si sotong yang boleh meramal. Offside yang gol, tangan Tuhan Suarez vs Maradona dan Jerman yang ditangisi kerana bermain bagai nak tak nak di separuh akhir.

Maka kita boleh kembali kepada hidup asal sebelum Piala Dunia, dengan topik kita ialah Palestin, Gaza dan Yahudi. Sudah lupa dengan Rachel Corrie dan Marvi Marmarra? Ah, Piala Dunia!


Nota:
Boleh pula bangun awal pagi untuk bola. Boleh pula datang tepat masa untuk bola. Kalau puasa, nak bersahur pun liat. Kalau solat, Pak Imam dah takbir baru nak angkat wuduk. Alangkah ironinya!



Rabu, Julai 14, 2010

Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah

Ini tanda sudah dibanci!

Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sudah pun bermula. Rasanya musim banci ini tenggelam dengan demam bola. Apa tidaknya, disana sini orang sibuk bergebang pasal bola. Maka kerajaan terpaksa buat lagu dan iklan khas untuk proses pembancian. Nampak lawak juga bila liriknya diperhati dengan teliti, namun terpaksalah juga dibuat kerana masyarakat kita sekarang asyik mahsyuk dengan lagu, hinggakan nak mengundi, nak sambut kemerdekaan, nak naik haji, nak sambut puasa pun ada lagu khas. Jangan nanti nak naik sekolah ada lagu khas ajak adik-adik dan anak-anak yang liat naik sekolah atau mengingatkan mak bapak yang lupa bila tarikh sekolah dibuka. Almaklumlah, beg dan pakaian sekolah belum dibeli lagi. Terlupa sebab anak dihantar ke kampung.

Bagi yang kurang arif pengetahuan am, banci kali ini kali kelima diadakan secara menyeluruh selepas tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Dengan kata lain, setiap sepuluh tahun sekali kerajaan akan buat pembancian bagi mengira kembali jumlah rakyat Malaysia sama ada bertambah atau berkurang. Namun kita harus ingat, banci bukan bertujuan mengira jumlah penduduk sahaja. Banyak maklumat yang kerajaan boleh dapat bagi membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain. (Disalin terus dari sini, haih!)

Semalam, ketika sedang bersantai usai iftar sambil jari silih berganti mengklik laman web satu demi satu dengan tv terpasang tidak peduli siaran, kedengaran ketukan di pintu dengan ucapan salam. Pintu rumah sebelah sebenarnya. Apabila salam tidak berjawab dan pintu tidak dibuka, ketukan dan salam itu berganti ke rumah saya. Rasa malas nak buka, hajat hati mahu membatukan diri. Biasanya yang rajin beri salam dan ketuk pintu adalah Bangla jual karpet, makcik jual kerepek dan pegawai kesihatan yang datang memeriksa jentik-jentik (beri nasihat sahaja, tak masuk pun). Namun melihat lampu kalimantang menyala, kipas laju berputar dan tv yang deras berbunyi, rasa tak patut pula saya tidak menjawab salam atau berterusan menutup pintu.

Pegawai banci rupanya. Anak gadis menyandang beg, memakai tag dengan pen dan buku ditangan memperkenalkan diri. Menyedari tugasnya sebagai pembanci, saya berubah menjadi tuan rumah yang baik lalu mengajaknya masuk ke dalam rumah. Dia menolak dan kami pun bersoal jawab dipisahkan pagar jeriji. Ringkas sahaja soalannya; nama penuh, asal, tarikh lahir, kelulusan, pendapatan isi rumah, berapa orang tinggal dirumah, rumah sewa atau beli, kadar sewa, jawatan dan tempat kerja. Kemudian dia menampal kad berwarna menandakan rumah ini telah dibanci. Selesai.

Saya duduk kembali menyambung klik-klik. Berita di kaca tv memaparkan proses pembancian dan menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh pembanci. Pihak berwajib menyatakan kesukaran menembusi rumah yang dikatakan berstatus elit seperti Sri Hartamas, Damansara, USJ, Taman Tun blablablabla. Visual menunjukkan rumah mahal yang berpagar tinggi seperti tak beri tetamu datang (tetapi perompak boleh masuk). Seterusnya temuramah dengan orang awam bertanyakan pendapat mengapa sukar nak masuk ke kawasan rumah orang kaya raya seperti itu.

Secara tiba-tiba minda saya menerawang. Kali pertama saya berhadapan dengan 'orang banci' ialah pada 1990, ketika itu darjah enam (tetapi kenapa diatas kata tahun 1991?). Emak sedang duduk berbual dengan jiran dihadapan rumah petang itu bila seorang kakak banci datang memberi salam lalu bertanya beberapa soalan. Emak mengajaknya duduk sekali lalu menghidangkan air. Tentu kakak banci ini haus, fikir saya apabila melihat dia selepas itu berjalan ke rumah jiran yang lain bertanyakan set soalan yang sama. Emak bukan setakat menghidangkan air malah sempat berbual-bual dan beramah mesra. Gaya orang kampung begitulah, macam-macam ditanyakan. Akhir sekali saya lihat kakak itu menunggu van di tepi jalan yang membawanya pulang, yang didalamnya ada beberapa orang yang saya kira abang-abang dan kakak-kakak banci juga.

Tahun 2000 saya tidak melalui proses banci kerana sedang belajar, tinggal jauh dari keluarga. Tetapi ada seorang kawan yang rajin mencari kerja sambilan, bertugas sebagai pembanci. Saban waktu saya lihat dia kelam kabut mengusung beg sandang berwarna hitam tanpa tahu apa sebenarnya yang dia lakukan.

Sepuluh tahun kemudian (sekarang), saya  melalui apa yang emak lalui dua puluh tahun dahulu. Namun zaman sudah berubah. Melihat kepada berita yang dipaparkan, masyarakat kita secara tidak langsung mengalami satu perubahan sosial yang tidak menarik. Dahulu, pintu rumah boleh di ketuk, salam mudah dijawab, tuan rumah melayan dengan mesra. Tetapi sekarang, tuan rumah jarang lekat, pembantu rumah jadi tuan, anak-anak entah ke mana. Nak buka pintu bila dengar  loceng rasa gerun, mahu jawab salam rasa was-was, nak berbual dengan orang yang tidak dikenali rasa bahaya. Lebih senang membatukan diri dalam rumah. Maka kerajaan sendiri pusing memikirkan cara terbaik mendapatkan maklumat bancian yang betul supaya tidak ada yang tertinggal atau ketidakcukupan maklumat.

Perubahan sosio-ekonomi sebenarnya mempengaruhi gaya hidup kita. Memang saya akui yang sekarang ini kita tidak sewenang-wenangnya hidup seperti dahulu. Aktiviti jenayah juga sudah melepasi tahap profesional. Pasti ada yang risau jika ada sahaja yang cuba menjadi penipu dengan menyamar sebagai pembanci yang kemudian berpura-pura sakit perut dan mahu menggunakan tandas lalu mencuri secara kecil-kecilan (seperti jam tangan, laptop) atau melakukan rompakan besar-besaran (memanggil geng selepas mengikat si pembantu rumah). Apatah lagi dengan kebanjiran warga asing yang lebih gemar melakukan jenayah daripada cari kerja sehingga menyukarkan penjenayah tempatan 'cari makan' sehingga terpaksa memikirkan modus operandi yang lebih mantap. Kita dah rasa takut tinggal di negara sendiri (serius!).

Namun kawan, kita harus fikir, apakah kerajaan sebodoh itu membiarkan pembanci masuk ke rumah sesuka hati. Kerajaan juga memikirkan keselamatan warga pembanci, apakah nanti mereka dipukul kerana disyaki menyamar untuk melakukan jenayah atau diperkosa selepas masuk ke rumah orang bujang yang langsung tidak disangka-sangka. Saya pasti kerajaan sudah memikirkan semasak-masaknya pelbagai kemungkinan yang timbul dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini. Tambahan pula sekarang ini segala-galanya mahu di politikkan. Jadi eloklah kerajaan sediakan payung sebelum hujan.*

Berdasarkan pengalaman saya selepas dibanci, saya ingin menasihatkan perkara berikut kepada tuan puan yang belum dibanci dan merasa takut-takut untuk dibanci:
  1. Pembanci tidak sewenang-wenangnya masuk ke rumah biarpun diajak dengan wajah yang manis penuh gula. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
  2. Pembanci lebih seronok menanyakan soalan dipintu rumah yang berjeriji. Jadi tak perlulah fikir nak menghidangkan apa selepas bersoal jawab. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
  3. Jika ada pembanci mahu tumpang menggunakan tandas, seelok-eloknya suruh dia pergi ke masjid, surau atau tandas awam. Lebih elok jangan beri masuk kalau ragu-ragu tentang keselamatan. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
  4.  Jika pembantu rumah tinggal di rumah lebih lama berbanding tuan rumah, maka nasihatkan dia menelefon majikan terlebih dahulu selepas pegawai banci memperkenalkan diri. Biarlah majikan jawab menerusi telefon kalau pembantu rumah tak pandai nak jawab soalan. Oh ya, pastikan menggunakan loud speaker dan henfon di pegang oleh pembantu rumah, kalau tidak nanti kena kebas. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
  5. Kalaupun mahu pembantu rumah menjawab soalan, siap-siapkan jawapannya terlebih dahulu. Soalan bocor sudah saya sediakan seperti diatas (baca dari awal, jangan langkau perenggan!). Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
Tips diatas boleh digunakan bukan di kawasan perumahan kos rendah seperti tempat tinggal saya yang para pembanci boleh ketuk-ketuk pintu dan salam boleh didengari. Kalau pintu rumah jauh dari pagar hingga beri salam pun tak dengar dan terpaksa guna loceng, maka ambil perhatian terhadap lima nasihat saya itu.

Namun saya rasa kebanyakan rumah orang kaya raya, orang elit di Sri Hartamas, Damansara, USJ, Taman Tun blablablabla  telah dilengkapi dengan interkom dan CCTV. Kalau ada yang menekan loceng, si pembantu rumah tahu siapa yang datang dengan hanya melihat melalui CCTV. Soal jawab boleh dibuat menerusi interkom. Teknologi canggih juga bukan?

Dan kalau rumah tuan puan tidak punya interkom atau CCTV atau alat penggera keselamatan atau loceng, hubungi saya segera. Syarikat saya boleh buat pemasangan segera! (Iklan murahan. Aha!)


Nota:
* Nada berubah kepada penyokong kerajaan tegar. Ggrrrrrrr.....
** Saya tulis entri ini dengan geram selepas menyedari ada rakyat Satu Malaysia yang skeptikal, prejudis dan membuat provokasi terhadap para pembanci. Yang buat jahat itu sekelumit, yang dapat nama busuk itu orang lain. Kasihan kerajaaan yang mahu membuat statistik tepat rakyat Satu Malaysia. (Sekali lagi, nada berubah kepada penyokong kerajaan tegar. Ggrrrrrrr.....)





Khamis, Julai 08, 2010

Seekor haiwan di Piala Dunia

Di tanah air, haiwan menjadi maskot untuk pasukan yang menyertai  liga bolasepak tempatan. Negeri Sembilan misalnya di gelar Rusa manakala Johor dengan Jengking. Maka apabila pengulas menyebut skuad Rusa, maka secara automatik ia merujuk kepada skuad Negeri Sembilan.

Rupa-rupanya penglibatan haiwan tidak terbatas untuk liga tempatan. Pada Piala Dunia kali ini, haiwan turut sama terlibat malah menjadi tok nujum meramal perlawanan bagi pasukan Jerman. Ya, Jerman sahaja kerana ia tinggal di dalam akuarium di Jerman. Paul, sotong yang dikatakan bijak meramal dengan tepat kesemua enam perlawanan bagi pasukan Jerman termasuklah ketika menang bergaya ke atas England dan Argentina juga tewas kepada Sepanyol. Pelik memang pelik, malah yang pelik bukan kepada si sotong ini tetapi kepada manusia yang mempercayai 'tilikan' Paul. Apatah lagi bila Paul menerima ancaman 'bunuh' apabila meramal Argentina tewas kepada Jerman yang terbukti benar. Dan apabila Jerman dikatakan tewas kepada Sepanyol, ramai melecehkan tilikan ini tetapi akhirnya ia memang benar.

Paul mungkin bernilai kepada para bookie dan tahi judi yang mempertaruhkan wang pada setiap perlawanan. Untuk perlawan akhir nanti apatah lagi. Pasti ramai menanti ramalan Paul sebelum meletakkan sejumlah wang pertaruhan. Namun ia sama sekali merendahkan moral manusia. Apalah yang ada pada haiwan sekecil ini meramal nasib manusia, sedangkan Yang Haq itu ada untuk kita bersandar sepenuhnya. Setidak-tidaknya kini sudah ramai yang terpengaruh bila melihat Jerman mudah disayurkan oleh Sepanyol awal pagi tadi walhal sebelum ini dengan ia mudah meratah Argentina dan mengenepikan ego Maradona. Manusia seperti sudah hilang akal dan pertimbangan. Dunia akhir zaman barangkali.
 
Paul pasti dah mati empat tahun lagi. Percayalah, akan ada haiwan yang diternak bagi meramal nasib pasukan bagi Piala Dunia 2014. Macam-macam jenis haiwan wujud nanti. Percayalah!

Rabu, Julai 07, 2010

Hujan di Kuala Lumpur

Hari ini Lembah Klang di timpa bergelen-gelen hujan. Secara tiba-tiba cuaca bertukar mendung, awan lari menyusup dibelakang langit membawa angin sejuk menyelimut bumi. 

Saya berada di Kuala Lumpur. Di tengah kota ketika itu. Melihat langit gelap, hati jadi bungkam. Masa ceria bertukar muram. Nampaknya saya harus bersegera pulang sebelum banjir kilat yang selalu saya dengar menjadikan saya salah seorang mangsanya. Tidak, saya tidak mahu. Saya harus segera pulang. 

Namun memandu ketika hujan di Kuala Lumpur merupakan pengalaman yang sangat berharga. Oh, begitu rupanya wajah Kuala Lumpur ketika hujan. Sungguh buruk rupanya. Gelap menakutkan seperti menghampiri kiamat. Air tak jumpa longkang memenuhi jalan. Pokok seperti berpesta dengan angin. Kereta tak mampu berlari laju. Ah, dikejar masa ke destinasi. 

Hujan di Kuala lumpur, apakah memberi insaf atau membawa duka?



Ahad, Julai 04, 2010

Piala Dunia - Pendek Sahaja


1) Jerman suka dengan angka empat (agaknya). Pada perlawanan peringkat kumpulan, mereka menewaskan Australia dengan empat gol. Ketika peringkat kalah mati pusingan 16 pasukan, menewaskan England 4-1.  Di suku akhir mereka memalukan pasukan Maradona, Argentina dengan empat gol tanpa balas.

2) Jurulatih hebat belum tentu  menjadikan pasukannya hebat. Dunga memenangi Piala Dunia sebagai ketua pasukan Brazil pada 1994 tetapi sebagai jurulatih kali ini dia tewas. Maradona memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada 1978 tetapi cubaan pertama sebagai jurulatih Argentina belum berjaya.

3) Tuhan kata jangan berlagak, bercakap besar, angkuh dan tingi diri. Messi, Robonho. Rooney, Ronaldo semua dihantar pulang lebih awal kerana sering tidak berjejak bumi.
4) Memiliki seorang sahaja pemain bagus, yang bertaraf bintang sebenarnya tidak elok. England dengan Rooney. Argentina dengan Messi. Perancis dengan Henry. Portugal dengan Ronaldo. Ivory Coast dengan Drogba. 

5) Jerman awasnya cemas dengan ketiadaan Ballack yang patah kaki diterjah Kevin-Prince Boateng dalam Bundesliga siri akhir. Namun begitu, ia bawa rahmat kepada pasukan. Muncul beberapa nama yang tidak pernah di dengar sebelum ini yang jadi memusnah pasukan lain. Ozil, Khedira, Mueller mula jadi sebutan peminat. Ini ditambah lagi pemain berstats veteran seperti Klose, Podolski juga Lahm. Jadi, masa depan bola sepak Jerman sangat cerah dengan kehadiran pemain muda.  


6) Beraksi dalam liga mewah dan ternama seperti EPL, La Liga dan Liga Itali bukanlah tiket utama kejayaan. Klose cuma main bersama pasukan tempatan dalam Bundesliga.  Pun begitu, dia menjadi ayam tambatan Jeman untuk tiga siri WC berturut-turut.