Khamis, Julai 15, 2010

Demam sudah sembuh

Piala Dunia sudah berakhir. Suka atau tidak, Sepanyol jadi juara. Suka atau tidak, terpaksa menunggu hingga ke masa tambahan. Sepanyol nasibnya sama ketika menang Euro 2008. Ia bukan pasukan pilihan, bukan favourite tetapi boleh jadi juara. Bukan suatu kehairanan bila melihat Sepanyol yang dibarisi pemain pilihan yang terbaik  dengan liga bolasepak terhebat di dunia itu sering mengecewakan, tidak kira semasa Piala Dunia atau Euro. Jangkaan tinggi, tekanan peminat dan ramalan pegawai memberikan seribu satu rasa buat Sepanyol. Namun tidak kali ini. Mereka sudah berjaya memenangi Piala Dunia buat kali pertama. Rezeki mereka sama seperti Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan kemudian berganda dengan Euro 2000. Bezanya, Sepanyol memenangi Euro kemudian Piala Dunia. Perancis menang Piala Dunia kemudian Euro.

Namun kita harap nasib Sepanyol empat tahun lagi tidak seperti Perancis yang menjadi juara pada 1998 tetapi kecundang dengan aib besar empat tahun kemudian. Atau seperti Itali yang menjadi juara empat tahun tetapi menerima aib kali ini. Empat tahun lagi di Brazil, entah apa nasib Sepanyol. Janganlah mabuk kemenangan seperti pasukan badminton Piala Thomas Malaysia yang selepas menang pada 1990 sampai sekarang kena badi tak boleh menang. Setiap kali Piala Thomas berlangsung, setiap kali itulah kata-kata manis dan janji palsu ditabur para pegawai. Bila tak berjaya, pemain jadi mangsa. Pegawai berpolitik dan berpuak-puak, pemain yang menerima aib.

Jadi tamat sudah demam sebulan. Tiada lagi jerit pekik awal pagi, tiada lagi kedai mamak penuh pengunjung yang duduk depan skrin untuk bola sahaja. Habis sudah topik bicara tentang bola, mempertaruh wang untuk perlawanan, menyusun atur jadual menonton. Menyumpah RTM yang tidak cukup duit beli siaran. Paul si sotong yang boleh meramal. Offside yang gol, tangan Tuhan Suarez vs Maradona dan Jerman yang ditangisi kerana bermain bagai nak tak nak di separuh akhir.

Maka kita boleh kembali kepada hidup asal sebelum Piala Dunia, dengan topik kita ialah Palestin, Gaza dan Yahudi. Sudah lupa dengan Rachel Corrie dan Marvi Marmarra? Ah, Piala Dunia!


Nota:
Boleh pula bangun awal pagi untuk bola. Boleh pula datang tepat masa untuk bola. Kalau puasa, nak bersahur pun liat. Kalau solat, Pak Imam dah takbir baru nak angkat wuduk. Alangkah ironinya!



Tiada ulasan: