Khamis, Julai 08, 2010

Seekor haiwan di Piala Dunia

Di tanah air, haiwan menjadi maskot untuk pasukan yang menyertai  liga bolasepak tempatan. Negeri Sembilan misalnya di gelar Rusa manakala Johor dengan Jengking. Maka apabila pengulas menyebut skuad Rusa, maka secara automatik ia merujuk kepada skuad Negeri Sembilan.

Rupa-rupanya penglibatan haiwan tidak terbatas untuk liga tempatan. Pada Piala Dunia kali ini, haiwan turut sama terlibat malah menjadi tok nujum meramal perlawanan bagi pasukan Jerman. Ya, Jerman sahaja kerana ia tinggal di dalam akuarium di Jerman. Paul, sotong yang dikatakan bijak meramal dengan tepat kesemua enam perlawanan bagi pasukan Jerman termasuklah ketika menang bergaya ke atas England dan Argentina juga tewas kepada Sepanyol. Pelik memang pelik, malah yang pelik bukan kepada si sotong ini tetapi kepada manusia yang mempercayai 'tilikan' Paul. Apatah lagi bila Paul menerima ancaman 'bunuh' apabila meramal Argentina tewas kepada Jerman yang terbukti benar. Dan apabila Jerman dikatakan tewas kepada Sepanyol, ramai melecehkan tilikan ini tetapi akhirnya ia memang benar.

Paul mungkin bernilai kepada para bookie dan tahi judi yang mempertaruhkan wang pada setiap perlawanan. Untuk perlawan akhir nanti apatah lagi. Pasti ramai menanti ramalan Paul sebelum meletakkan sejumlah wang pertaruhan. Namun ia sama sekali merendahkan moral manusia. Apalah yang ada pada haiwan sekecil ini meramal nasib manusia, sedangkan Yang Haq itu ada untuk kita bersandar sepenuhnya. Setidak-tidaknya kini sudah ramai yang terpengaruh bila melihat Jerman mudah disayurkan oleh Sepanyol awal pagi tadi walhal sebelum ini dengan ia mudah meratah Argentina dan mengenepikan ego Maradona. Manusia seperti sudah hilang akal dan pertimbangan. Dunia akhir zaman barangkali.
 
Paul pasti dah mati empat tahun lagi. Percayalah, akan ada haiwan yang diternak bagi meramal nasib pasukan bagi Piala Dunia 2014. Macam-macam jenis haiwan wujud nanti. Percayalah!

2 ulasan:

Mawar berkata...

Norziati,
TAHNIAH menang lagi!


ps: saya suka sotong masak itam!

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tahniah kembali untuk Dr Mawar. Tak sampat hajat nak jumpa malam tu

ps: Saya lebih suka sotong disambalkan. Aduh, lapar pula!