Selasa, Ogos 31, 2010

Erti merdeka

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negaraku, Malaysia. Sudah 53 tahun kau merdeka dari penjajahan tetapi kau belum mengenal erti merdeka itu sendiri.

Dan kata Ustaz, kita hanya ingat  kemerdekaan negara tetapi apa erti merdeka untuk kita?  

Jawapannya : bebas dari kejumudan fikiran, kebodohan minda dan yang penting bebas dari dosa dan api neraka

Isnin, Ogos 30, 2010

Baca @ Ramadhan

Asalnya enam, kemudian bertambah satu. Buku yang saya sasarkan untuk baca sepanjang Ramadhan ini adalah seperti berikut:

  1. Delima Ranting Senja - Siti Zainon Ismail
  2. Enggang Lalu Ranting Patah - Harper Lee
  3. Konserto Terakhir - Abdullah Hussain
  4. Orang Lama - A Samad Ismail
  5. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - Keris Mas
  6. Serigala dan Sekuntum Tulip - SM Zakir
  7. Sungai Mengalir Lesu - A Samad Said
Setakat ini yang sudah ditamatkan hanyalah Orang Lama yang saya pinjam dari seorang kenalan. Orang Lama merupakan novel langka, entahkan ia lulus atau tidak sebagai bacaan. Kenalan saya membelinya nun jauh di Kota Kinabalu di celah-celah longgokan buku berbahasa Mandarin. Kisahnya berkisar perjuangan orang berhaluan kiri yang selepas merdeka cuba mendapatkan kembali sokongan dan momentum dari rakyat Malaya bagi membangkang pembentukan Malaysia sehingga menyebabkan berlakunya konfrantasi. Mereka menerima bantuan kewangan dari negara luar bagi menghalang usaha tersebut dalam memastikan nusantara Melayu dibentuk menerusi sebuah kesatuan negara Melayu. Ya, ada unsur kontroversi didalamnya. Sambil itu saya cuba mengaitkannya dengan suasana politik semasa - tatkala hubungan kita dengan negara jiran di bulan Ramadhan ini sedikit bergetar.

Sekarang sedang berhempas pulas menghabiskan Delima Ranting senja, sebuah novel yang bisa membuatkan dahi berkerut-kerut. Bagi menyeimbangkan bacaan, saya baca bersekali dengan Konserto Terakhir, sebuah novel Komsas yang pernah saya baca ketika menjadi guru tuisyen sementara ketika baru tamat belajar. Delima Ranting Senja membawa saya berputar-putar dari Malaysia ke Indonesia, lalu ke Thailand, Myanmar, Filipina dan negara-negara Eropah (setakat ini). Malah kini lebih mengenali sekitar budaya di ribuan pulau yang berserakan di Indonesia, mengenal siasah dan budaya serta corak hidup masyarakatnya. Mungkin kerana pernah melibatkan diri dalam kerja sukarela maka novel ini amat dekat dengan diri dan mampu saya hayati walaupun ada banyak tanda tanya. Perlu membaca sambil Google menyala bagi memudahkan pencarian atas isu yang kurang difahami. Delima Ranting Senja sebenarnya mengajak pembaca melihat ia melampaui keterbatasan sebuah novel. Ada rangkuman sejarah, sastera, geografi, sains. ekonomi dan politik didalamnya.

Konserto Terakhir sekadar bacaan ringan, membawa diri terbuai buai dengan derita Hilmi yang dipinggirkan dan kisah hidup golongan korporat Melayu sekitar 70-an yang berusaha membentuk identiti diri. Teringat pada filem Abang yang saya tonton bulan lalu. Sikap-sikap yang terpapar adalah acuan dari budaya barat dan saat itu kita masih lagi belum bebas dari kongkongan imperialis. Golongan korporat selesa dengan budaya orang putih sehingga budaya Melayu itu dipandang sebagai kolot dan ketinggalan. Tetapi ia masih lagi wujud hingga kini, bukan?

Sabtu, Ogos 28, 2010

Delima Ranting Senja - 2

Baru sahaja menjejaki muka 191 dari 499. Status Goodreads menyatakan saya sudah 34% dari keseluruhan novel. Membaca sambil berfikir setiap inti kata di celah ruang masa yang terhad Ramadhan ini mengajak saya mengatur masa dengan bernas - ada manuskrip yang perlu disunting, ada kajian perlu di percepat dan kerja terjemahan yang belum bermula. Sambil itu berusaha juga tidak meninggalkan walau satu rakaat tarawikh (biarpun sudah tertinggal sewaktu urusan pengkebumian nenda pada 5 Ramadhan) dan mengelak dari membuang masa di bazaar Ramadhan yang bisa melekakan dengan juadah yang membuka selera tetapi belum tentu enak untuk tekak.

Menjengah mukasurat 163, harus saya titipkan ini untuk renungan semua:

Lalu, siapakah yang terkutik apabila isu Abu Sayyaf diperalatkan lantaran berzaman sejak Sepanyol merampas hak umat Islam di Sulu, Minadanao hingga umat islam dicap sebagai kelompok Moro yang mengancam kedamaian. Mana catatan 500 tahun Sepanyol membunuh umat Islam dan tidak pernah dicap pengganas? Sebaliknya Islam yang dicap ekstrem; fundamentalis hanya menuntut hak keadilan di negara yang telah merdeka kononnya.

Teruskan membaca!

Rabu, Ogos 18, 2010

Delima Ranting Senja - 1

Delima Ranting Senja kini mencecah muka 101 daripada 499. Membaca berita jiran mengusik dek gelora di lautan, maka elok juga dititipkan kata-kata ini buat mereka:

Masih ada curiga antara sesama bangsa yang dipisahkan oleh ras dan etnik yang pelbagai rupa. Siapakah dengan rela menerima amanah Tuhan yang Esa menyatukan kasih sayang milik sesama punya. Ya Tuhan, hingga sekarang jarak 33000 batu keluasan pulau rempah tidak siapa percaya lagi untuk disatukan kecuali kasih sayang para jemaah Ilahi - Delima Ranting Senja, ms 81

Selasa, Ogos 17, 2010

Baca @ Ramadhan: Delima Ranting Senja

Ada enam naskhah novel yang saya senaraikan dan saya sasarkan untuk ditamatkan menjelang Syawal. Khusus untuk Ramadhan ini. Besar cita-cita ini, entahkan terjangkau entah tidak. Tetapi saya mencabar diri disebalik waktu pejabat yang pendek satu jam setengah. Maka saya punya banyak masa untuk membaca novel, selain membaca Qur'an juga (jangan kata saya ini ingat dunia sahaja). Sambil-sambil itu cuba menumpahkan idea dan menyunting naskhah yang ada di tangan.

Delima Ranting Senja saya beli pada 1 Ramadhan yang lalu. Sehingga ke hari ini, susunan cerita bernuansa Nusantara ini amat menyegarkan dan selalu-selalu mengejutkan. Sering membuat diri terpempan dan terdiam. Masih banyak lagi ruang tentang leluhur yang belum disingkap dan terasing dari pengetahuan. Maka, tanggungjawab siapakah untuk menyedarkan bukan diri sendiri?

Khamis, Ogos 12, 2010

Pesan Rumi

Setiap kamu terhadap kehidupan ini adalah seperti rumah tamu. 
Setiap hari kamu dikunjungi pelbagai tamu dengan pelbagai kerenah. 
Bukalah pintu untuk mereka dan layan sebaik yang kamu mampu. 
Andai kamu menutup pintu, kamu sangka diri makin selesa tetapi hakikatnya 
kamu semakin kehilangan segala-galanya

Jalaluddin al-Rumi

(Ihsan Saiful Islam.com)

Sahur

Bangun sahur pada bulan puasa sangat tidak digemari kebanyakan insan. Ketika kecil, kami adik beradik tidak pernah fikir ia satu kesusahan, paksaan, penyesalan, ketidakadilan. Tidak pernah. Kami menganggap ia sebagai satu kewajipan bagi memberi tenaga berpuasa pada jam berikutnya. Tiada perasaan malas. Tiada rasa mengeluh. Emak memasak ala kadar, biarpun telur mata, juga memanaskan hidangan berbuka. Pasti ada nasi yang panas berwap-wap dipinggan. Itu sudah memadai untuk kami jamah. Tidak pernah ada rasa mahu 'skip'sahur. Hanya selepas bercampur gaul dengan teman-teman diasrama, barulah saya tahu yang sahur itu bukanlah satu kewajipan bagi mereka. Alasannya - malas bangun, tak boleh makan pagi, mengantuk atau paling dangkal, tak mahu bangun pagi. Oh, alangkah! Sedangkan Nabi sendiri menggalakkan kita bersahur. Malah ia membezakan antara puasa orang Islam dan yang bukan Islam. Indah hikmahnya, bukan?

Rabu, Ogos 11, 2010

Salam Ramadhan 1431H

Bulan Ramadhan tiba lagi. Syukurlah masih diberi kesempatan bertemu Ramadhan tahun ini. Peluang sangat besar, sangat murni. Entahkan dapat bertemu lagi tahun depan atau tidak. Bulan Ramadhan bagi saya adalah waktu mengembalikan momentum penulisan yang sebelum ini biasanya tersekat dan terhenti. Masih ingat lagi saya memuntahkan draf di dalam masjid, memperkemaskan manuskrip, mencerna ilham juga berdoa sebanyaknya supaya Allah mengurniakan ilham dan semangat yang kukuh bagi meneruskan perjuangan dalam sisi ini. Selamat berpuasa dan selamat mengerjakan tarawikh.