Rabu, September 29, 2010

Kapal

1)
Saya membeli Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ketika Ramadhan lalu. Berada dalam susunan buku perlu baca, akhirnya tiba juga gilirannya. Benar, saya ketinggalan. Walaupun boleh dipinjam dari perpustakaan, dari teman-teman, tetapi saya lebih senang buku ini menjadi koleksi peribadi. Bagi sebuah karya agung dari penulis dan ulama besar, pasti ada banyak inti tersirat perlu saya hadam satu persatu.

2)
Di celah-celah musim rumah terbuka yang tiba di penghujung, saya bersyukur tidak terperangkap dalam stigma raya sebulan. Syukurlah, kelas tiga minggu berturut-turut pada Ahad sebaik sahaja usai cuti raya menyelamatkan diri dari menjadi penyimpan kolesterol dan lemak yang berlebihan akibat dari sesi makan-makan hujung minggu. Ada juga yang menjemput, tetapi maaflah, kelas bercampur bangsa tidak menghiraukan apa perayaan pun. Barulah satu Malaysia namanya!

Jumaat, September 24, 2010

Syurgamu Ramadan - Syurga di bulan Ramadhan

Sejak menjadi dewasa, saya menyedari diri sudah kurang memperuntukkan masa dihadapan tv. Sama ada tiada rancangan tv yang menarik di tonton atau (lebih tepat) tidak lagi meluangkan masa dengan cerita-cerita yang sudah kurang nilai murni pada karya tempatan. Berbanding ketika sekolah, waktu petang pasti sahaja terus melekat depan tv sambil membantu emak menyiapkan bahan-bahan untuk membuat kuih. Siaran yang menjadi tumpuan sudah tentu drama kantonis dari Hong Kong yang sering memaparkan aksi dan plot yang menarik terutamanya berunsur penyiasatan dan konflik korporat.

Paling akhir seingat saya, menjadi pengikut siri telenovela Lo Soy Betty La Fea yang muncul ketika demam telenovela baru bercambah di tanah air. Tinggal bersama teman-teman yang kaki menonton, selepas waktu kerja tiada agenda yang menarik dapat dilakukan melainkan menjadi ketagih dengan Betty. Tambahan pula ketika itu baru sahaja selesai pengajian dua campur empat tahun, masih tercari-cari ruang kerja yang lebih baik lalu sambil menyembang petang, tv juga menjadi teman.

Selepas itu internet mula menjadi kegilaan dan saya  menjadi ketagih terhadap blog. Saban hari saya pasti melompat dari satu blog ke satu bog yang lain, membaca bagi mencari dan menilai erti sebuah kehidupan sebelum mencipta blog sendiri dan menjadi blogger yang tidaklah berapa aktif. Kalau tidak pun saya gemar membuat rujukan fakta atau rujuk silang akan bahan bacaan yang memerlukan pencerahan berterusan. Ketika itu, tv bukanlah gandingan baik saya.

Saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya tidak begitu menggemari siaran tv, dan sesuatu rancangan itu hanya saya tonton setelah mendengar ulasan yang baik dari teman atau membaca ulasan di akhbar atau laman web. Selepas itu baharulah terhegeh-hegeh mengikuti siarannya, itupun kalau mahu. Nur Kasih yang di banggakan orang pada Ramadhan tahun lepas pun saya tidak mengikutinya saban minggu. Entah, terkadang ada rasa bosan bila menjadi addicted terhadap sesuatu siaran. Samalah dengan filem - bagus macam manapun ulasan di akhbar tentang filem terkini, saya akan menjadi orang terakhir di dunia menontonnya (ya, mungkin!). Bayangkan sahaja Kuch Kuch Hota Hai yang menelan airmata teman saya sebanyak lapan kali di panggung hanya saya tonton selepas dua tahun. Samalah dengan Titanic. Ketinggalan? Tidak saya rasa. Mungkin kerana gemar menongkah arus :-)

Saya menyedari Ramadhan yang baru berlalu memberi satu kelainan. Duduk rehat dengan secawan kopi sehabis terawikh sambil menanti ilham datang di hadapan komputer riba memaksa saya membuka tv, menekan punat alat kawalan jauh dan menukar siaran satu persatu. Drama bersiri Syurgamu Ramadan bagai memaksa saya menontonnya sehingga tamat episod akhr, menjadikan saya terkejar-kejar ke rumah sehabis terawikh di surau atau masjid.


Ada kelainan terhadap drama bersiri ini walaupun memaparkan tema yang klise. Adunan pelakon, skrip, lagu tema, plot, mainan kamera dan busana sangat lengkap menjadikan ia sebuah drama yang tidak klise. Plot jungkir balik, dengan karektar pelakon di kembangkan sehabis baik mengundang perasaan benci, suka, menyampah, marah, kasihan dan duka. Tidak sedikit saya rasa penonton yang tertumpah air mata melihat derita adik beradik di tinggalkan ibu bapa yang menjadi mangsa kemalangan dan dipinggirkan oleh nenek mereka yang tidak mahu mengaku cucu. Ya, tema cukup klise tetapi lakonan mereka tidak klise.


Lakon layarnya mudah. Seorang ibu yang merupakan wanita korporat berjaya berkahwin dengan lelaki tidak sedarjat, dikurnia sepasang cahaya mata dan kemudian menghalau keluar si suami selepas satu peristiwa memalukan. Si suami akhirnya meninggal dunia keseorangan. Si ibu kemudian menghalau anak perempuannya keluar rumah hanya kerana mahu berkahwin dengan pemuda bukan pilihan. Si anak berkahwin walau tanpa restu, dikurnia empat cahaya mata. Suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dia menjual kuih bagi menampung hidup. Di takdirkan pasangan suami isteri ini meninggal dalam kemalangan jalan raya, dan adik lelakinya (Pak Su) mengambil anak-anak yang ditinggalkan duduk bersama nenek mereka di rumah yang cukup mewah. Adik lelaki ini sudah berkahwin dengan wanita pilihan ibunya yang berperangai tidak semenggah, lalu adik beradik ini saban waktu menerima herdikan dari Mak Su dan nenek yang langsung tidak menerima kehadiran mereka akibat kebencian terhadap anak kandungnya sendiri. Penamat ceritanya, si ibu (nenek) akhirnya menerima kehadiran cucu-cucnya dan menantunya berubah sikap.

Kata orang, benih yang tidak baik jika jatuh ke tangan orang yang baik maka akan menghasilkan buah yang elok. Skrip ini, saya kira jatuh pada kategori biasa tetapi di adun dengan baik oleh pengarahnya. Lakon layar Elly Suriaty mengundang benci penonton, Eira Syazira sebagai anak menampakkan kesedihan dipinggir ibu, Zarina Zainoordin membangkit rasa marah walaupun ada karekter lucu, Ungku Ismail Aziz pula biarpun jarang di lihat di kaca tv tetapi tidak menghampakan dengan watak seorang suami, anak, adik dan Pak Su. Empat orang adik beradik pula nampaknya tidak kelihatan kekok dan mampu beraksi cemerlang.

video
Lakon layarnya pada sesetengah tepat cukup kena. Contohnya pada babak diatas, yang saya dapati antara babak yang mendapat pujian ramai (hasil dari kajian di FB). Seharusnya inilah yang patut dilakukan oleh ibubapa bagi mengajar anak mereka yang kurang ajar, bukannya seperti dalam drama lain yang sekadar menurut kata anak sehinggakan anak memijak kepala mereka sendiri pun tidak perasan. Inilah peranan yang
patut dimainkan oleh para ibu bapa dalam 'mengajar' anak. Saya akui babak ini sangat berkesan dan mendapat pujian ramai, lihatlah sahaja komen yang terdapat di Youtube. Tahniah kepada pengarah yang menyelitkan babak ini dengan cukup hebat.

Saya akui ramai yang memuji drama bersiri Syurgamu Ramadan. Disiarkan sempena Ramadhan, saya berpendapat ia boleh di perpanjangkan sehingga menjadi sebuah telenovela yang sarat nasihat dan panduan. Biarpun penamatnya anti-klimaks dan sangat upset, setidak-tidaknya Syurgamu Ramadan telah membuka satu dimensi baru dalam drama bersiri di Malaysia, tidak terhad kepada kisah cinta dan pergolakan rumah tangga. Malah, saya memberi lebih banyak bintang kepada drama ini berbanding Nur Kasih!

Khamis, September 16, 2010

Buku - Konserto Terakhir

Ini kali kedua saya membacanya, selepas kali pertama menghadamnya kira-kira lapan tahun yang lampau. Sudah lama juga perjalanan masa, tetapi inilah antara novel yang memberi kesan emosi yang kuat kepada pembaca (saya). Lapan tahun lalu mungkin saya membaca sambil lalu kerana novel ini menjadi teks Komsas dan wajib dibaca. Saya pula mencari pengalaman sementara dengan mengajar anak-anak kampung ilmu sastera yang tidak seberapa menerusi Komsas. Tidaklah meletihkan tetapi mengajak mereka membaca bersama-sama saya itulah yang mendatangka kekecewaan. Bayangkanlah sahaja cerita bernada melankolik ini, apakah mahu dibaca oleh anak muda berlagak 'macho' di tingkatan lima? (Eleh, berlagak lebih, baca novel pun tak habis).

Memang novel ini memberi kesan emosi yang kuat dan meruntun jiwa. Berlatar belakangkan zaman 70-an, Hilmi seorang anak muda datang dari kampung mencari kerja di kota. Dia bekerja sebagai tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari dan Datin Salamah yang tidak langsung dianggap sebagai darah daging kerana malu dengan status Hilmi. Sedangkan Datuk Johari datang dari kampung yang sama namun pelajarannya sahajalah yang membawanya ke darjatnya sekarang.

Keadaan ini amat menekan jiwa Hilmi. Dengan herdikan saban waktu dari Datin tanpa sekelumit ihsan dari Datuk Johari, hanya Hayati (anak Datuk dan Datin), Pak Amat (pemandu), Mak Minah (pembantu rumah) serta jirannya, Mamat (pemandu) menjadi tepat untuknya berbual-bual. Tanpa disedari Hilmi tertarik dengan Hayati yang berlatih bermain piano sehingga mendatangkan keinginannya belajar. Menerusi Mamat, Hilmi belajar dengan Encik Bakar dan keluar dari rumah Datuk Johari untuk hidup sendiri. Menerusi Encik Bakar, Hilmi menjadi tekun dan bersungguh-sungguh belajar mengasah bakatnya yang selama ini tersembunyi. Dia berkahwin dengan Azizah, anak Encik Bakar dan berterusan aktif dalam kugiran serta orkestra, mencipta lagu dan bermain piano dan biola biarpun tidak mengecap nikmat kekayaan hasil dari titik peluhnya.

Hidup bersama Azizah pun diliputi kesengsaraan, apatah lagi ingatannya tidak putus terhadap Hayati. Namun begitu Hilmi tetap juga tabahkan hati dan berterusan mencipta lagu, hinggakan ramai artis ternama ternanti-nanti hasil tangannya untuk dilagukan dan para peminat yang sering menanti lagu terbaru. Hilmi menjadi pujaan seantero negara. Dia kemudian diminta membuat satu pertunjukan khas bersama orkestra RTM dan dia menggubah sendiri lagu-lagu dan susunan muzik sendiri yang dinamakan Hilmi Potpouri. Persembahan yang dihadiri Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan di siarkan secara langsung menerusi radio (tv belum ada siaran langsung ketika itu) akhirnya tidak dapat di pimpin oleh Hilmi yang tiba-tiba jatuh sakit, sebaliknya digantikan oleh Hayati yang muncul dari London khusus untuk upacara ini.

Di hospital, terbongkar rahsia bahawa Hilmi adalah anak Datuk Johari hasil perkongsian hidup satu malam dengan isterinya terdahulu dan ditinggalkan esoknya kerana tidak sanggup berkahwin paksa, dan rupa-rupnya Hayati itu adalah adiknya. Penyesalan Datuk Johari, Datin Salmah serta Azizah sudah tidak bermakna lagi apabila Hilmi pergi buat selama-lamanya.

Ya, sedih. Kalau dahulu membacanya ada timbul sebak dada dan keharuan tetapi pusingan kedua ini sudah tidak wujud perasaan itu (beginilah agaknyaperasaan jika membaca buat kali kedua, semuanya sudah dijangkakan). Novel karya SN Abdullah Hussain ini mudah sekali dihadam, ayat dan bahasanya mudah, maka amat sesuai dijadikan teks Komsas. Kalau ada yang tidak habis membacanya, memang harus menerima sumpahan seperti Datin Salmah yang menyesal teramat sangat kerana tidak sempat memohon ampun maaf diatas keterlanjurannya menghina, mencaci, mengherdik dan memarahi Hilmi hanya disebabkan darjat yang berbeza. Tidaklah sesukar mana menghayatinya.

Dan pengakhiran cerita ini nampaknya terikat dengan gaya penulisan karya zaman 50-an dan 60-an, ditamatkan dengan insiden tragik kematian hero atau heroin sehingga meninggalkan penyesalan kepada yang hidup. Pengakhiran sedih. Sama seperti filem Melayu lama yang mudah mematikan jalan cerita dengan penamat yang kejam. Lantas teringat saya kepada Noni, sebuah novel nipis juga karya SN Abdulah Hussain yang juga mempunyai penamat tragik.

Saya menimbulkan soalan ini untuk membuat kajian sendiri:
Apakah kita terlalu terpengaruh dengan filem Bollywood ketika itu yang gemar menamatkan cerita dengan penamat tragik - atau pada saya penamat mudah - tanpa ada usaha membawa penonton / pembaca ke jalan penamat lain, yang berbeza, yang tidak klise?

Buku - satu obsesi

Sebelum pulang ke rumah untuk berhari raya, saya singgah ke Gramedia di Mines, Seri Kembangan. Boleh dikatakan ini edisi terjah edisi entah keberapa. Sejujurnya, sebelum tiba Ramadhan lagi, saya mencari buku yang enak dihadam. Terasa sangat gelisah sebenarnya bila memikirkan saya ketiadaan buku yang boleh saya jiwai saat itu walhal ada banyak buku tersusun belum dibaca, terutama sekali yang saya beli di jualan gudang Dawama juga di jualan hujung minggu PTS bulan sebelumnya. Ada banyak judul menarik tetapi entah, hati tidak merasa tertarik. Ada bingung, ada resah.

Bagi mengurangkan kegelisahan, saya menuruti seorang teman yang datang bermalam dirumah kerana cuti panjang dengan tujuan membeli belah di KL. Kami ke Alamanda dan saya singgah MPH. Entah berapa kali pusing-pusing rak dari hujung ke hujung saya tidak temui penamat kegelisahan. Lalu kami keluar tanpa saya mendapat apa-apa. Namun ada sebuah buku yang mencuri tumpuan disitu.


Esoknya kami ke Jalan TAR dan saya mengajaknya ke Fajar Ilmu Baru di Jalan Masjid India di celah kesesakan orang ramai membeli belah sempena raya. Sempat menyambar empat naskhah buku - dua mahakarya Hamka (Tenggelamny aKapal Van Der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah), Larasati (Pram) dan Maria Van Engels karya Alwi Shihab yang lebih kepada eceran sejarah Indonesia. Terbit rasa lega seketika, mungkin kerana melihatkan karya agung Hamka sudah saya miliki. Namun masih ada kegelisahan yang tersisa. Saya pinggirkan sahaja perasaan itu dan mengatur buku-buku yang saya beli di meja sebelum di rekodkan. Namun begitu, saya merasa kurang berselera dengan toko Fajar Ilmu Baru. Apakah kerana bukunya, suasananya atau dek perut kosong kerana berpuasa, keletihan berjalan kaki, buku kurang citarasa atau entahlah.

Minggu seterusnya saya ke MPH Alamanda dengan tujuan membeli buku. Ya, baharu sahaja terima gaji lalu wang pertama dari gaji ini mahu saya korbankan dengan buku. Dari rak ke rak saya singgah akhirnya pulang dengan Tausug & Kesultanan Sulu yang saya belek tempohari, juga senaskah Rojak karya Amir Muhammad, sepinggan hidangan yang angat mahal :-) Amat besar keinginan saya mengkaji sejarah Melayu di Filipina sebaik membaca Delima Ranting Senja (nota: beli pada awal Ogos) dan menemui buku tentang perjuangan bangsa Moro ini saya harap dapat membantu merungkaikan beberapa persoalan dalam cepu kepala. Akan saya tuliskan tentang hal ini di kemudian hari.

Esoknya saya ke Gramedia Mines selepas menemani rakan membeli keperluan raya untuk anaknya di jalan TAR (lagi). Saya ibaratkan ini satu tugas ihsan mengekorinya sambil memerhati pembeli yang bersesak-sesak. Ini satu terapi kiranya, memandangkan kadar kerunsingan dan kegelisahan saya masih belum reda. Mujur Mines hujung minggu kurang pengunjung, atau mungkin saiznya besar maka tidak nampak ia di hujani pembeli. Melangkah ke Gramedia saya mengambil masa berlama-lamaan, merenung sisi buku, menyentuh dan menyelak lalu duduk di lantainya sambil membaca beberapa helaian yang menarik. Satu persatu sehingga letih. Ada potongan harga pada buku tertentu tetapi tidak saya endahkan. Banyak pula buku yang menjadi keinginan, terutamanya berkenaan sejarah Aceh, Bali dan Indo-China serta hasil kajian terhadap Abdullah Munsyi. Buku ini menjadi senarai wishlist, nafsu saya mendapatkan buku ini membuak-buak dan saya simpan sahaja kehendak itu.

Memandangkan Zuhur sudah di penghujung, maka saya segera sahaja mencapai tiga naskhah buku - Ketika Cinta Bertasbih 1, Bumi Manusia (Pram) dan sebuah buku masakan barat oleh Cef tempatan (ehem!). Saya sedia mengeluarkan dua not lima puluh bila angka di mesin kira menunjukkan harga kurang lima puluh. Saya lihat betul-betul angkanya, resit yang diserahkan, baki wang dan jumlah buku. Melihatnya berkali-kali. Berkali-kali.

"Ada potongan harga?" tanya saya kehairanan.

"Ya, lima puluh peratus untuk buku Indonesia," jawab si jurujual dengan penuh yakin.

Tidak tahu apa yang harus saya ucapkan, mata yang hampir layu seolah tersimbah air. Terasa seperti mahu melompat-lompat bila mendapat tahu ada potongan sebegitu banyak. Saya keluar dalam keadaan percaya atau tidak. Selepas tiga empat langkah melepasi pintu Gramedia, saya patah balik ke dalam dan mencapai Ketika Cinta Bertasbih 2. Mana boleh dibiarkan peluang ini tamat.

Ok, saya sudah temui apa yang saya cari. Rupanya saya sudah berapa bulan menahan kehendak berbelanja sakan terhadap buku. Paling tidakpun ketika jualan gudang Dawama, belian saya mencecah ratusan ringgit juga tetapi itu terhadap buku langka yang dijual murah. Sengaja saya jadikan ia koleksi, disimpan, diatur pada rak kerana pasti DBP tidak akan terbitkan buku seumpama itu lagi. Jualan seumpama itu sekadar mengosongkan gudang untuk buku terbitan baharu. Ya, begitulah nasib pemulis.

Maka atas kegelisahan itu, saya sudah merangka satu serbuan khas ke Gramedia. Melihat baki akaun,  mengira peruntukan raya, tanggungan bulanan serta kesesuaian masa, saya terjah ke Gramedia dua hari sebelum Ramadhan berakhir. Rancangan saya nampak bagus, kerana dari Mines terus menggunakan lebuhraya melalui Sungai Long dan terus masuk LEKAS. Satu persatu buku saya angkut dari rak, si jurujual bagai tak percaya saya membeli sebanyak itu. Lima enam kali berulang alik ke kaunter dan saya kira mereka pasti fikir - mahu beli atau mahu lihat sahaja? Habislah kita, kena susun semula buku yang diambilnya selepas ini bila melihat mereka saling pandang memandang natara satu sama lain.


Kebingungan dan keresahan saya akhirnya berakhir. Dua puluh lapan naskhah buku pada harga dua ratus tujuh puluh dua, ah siapa mahu beri harga secantik ini pada harga diskaun lima puluh peratus. 50%. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung meredah hujan lebat, saya tersenyum simpul memikirkan buku yang tersusun di bonet belakang. Memang tahun ini saya raya dengan buku, peruntukan duit raya untuk adik pun menyusut. (Oh, tinggal dua orang sahaja, bukan sengaja saya susutkan). Bila ditanya bila saya mahu baca buku-buku yang dibeli, jawapan saya sinis.

"Buku bukannya basi, tahun depan pun boleh baca...."

Rupanya kebingungan dan keresahan saya sepanjang Ramadhan di jawab dengan membeli buku. Kepuasan sebenarnya ialah apabila memiliki buku bagi memenuhi ruang kosong pada rak. Dan saya tahu buku tersebut akan saya gunakan nanti sebagai kajian. Kalau bukan tahun ini, pastinya tahun depan :-)


Nota: Saya tidak sangka sama sekali membeli (terlalu) banyak buku. Rak, rak, rak.....

Isnin, September 13, 2010

Cebisan Ramadhan 1431H

Penghujung Ramadhan, berita kehilangan jutawan kosmetik terkenal menjadi santapan utama akhbar. Mungkin ramai menganggap itu kisah kehilangan biasa, kisah orang kaya yang tiba-tiba hilang. Esok lusa bila akhbar melaporkan penemuan kereta, diikuti pembongkaran satu demi satu penemuan oleh polis menyebabkan kehilangan ini semakin sensai. Dan 1 Syawal kita di hidangkan kisah menyayat hati - beliau di bunuh. Hari berikutnya sekadar mengundang tanya tanya - dimana, kemana, bagaimana, siapa. 

Apabila polis mengesahkan mereka di pukul, di bunuh, di bakar lalu di buang maka spekulasinya semakin menjadi-jadi. Akhbar semakin ghairah mengejar berita, siaran berita di tv yang hidup segan mati tak mahu dengan kisah bapak menteri buat rumah terbuka pun tenggelam dengan perasaan teruja menanti kehadiran berita baru. Kunjungan tika hari raya pun tidak lekang dengan isu ini. Saya memasang telinga. Pelbagai andaian, spekulasi, cakap-cakap selain yang dipaparkan didada akhbar keluar ditambah dengan ulasan pihak yang tidak bertauliah.

Ya, lucu  pun ada.

Mendengar perbualan yang pelbagai ketika raya, saya teringin mencoretkan beberapa kesimpulan mereka disini. Kata mereka :


  1. Jadi miskin susah, jadi kaya pun susah (dialog orang kurang berkemampuan)


  2. Belajar tinggi, berpangkat, kerja bagus pun buat jenayah (dialog orang berpelajaran)


  3. Betul cikgu kata dulu jadi peguam ni sebelah kaki dalam neraka (dialog orang tak jadi peguam) 


  4. Mujur aku ni tak pandai belajar, kalau tidak mesti jadi peguam, dapat Dato' dan buat jenayah (dialog orang tidak berpelajaran)


  5. Takutlah nak jadi kaya, nanti mati kena bunuh, anak kena culik, harta kena rampas, dudk diam tak senang orang nak duit kita sahaja (dialog orang malas berusaha)

Ramai orang membuat spekulasi, komen, ulasan dan sebagainya. Berapa orang daripada kita mendoakan kesejahteraan rohnya?

Rabu, September 08, 2010

Ini adalah sebuah dunia

Ketika membuat kajian terhadap Perang Vietnam untuk dijadikan bahan novel, saya menemui banyak fakta yang bercanggah dengan apa yang biasa kita dengar. Masa kecil dahulu malah, kita (saya) sering disogokkan dengan drama bersiri berkisar perang bertema propaganda Amerika terhadap Perang Vietnam. Paling popular ialah Nam Tour Of Duty yang di taja siarannya oleh sebuah syarikat rokok yang sudah bungkus. Walau pun satu dunia tahu sebenarnya Amerika KALAH di Vietnam, tetap juga dalam drama, filem, lagu, dokumentari menyatakan mereka adalah hero. Munafik sungguh.

Sangat sukar bagi mereka mengaku ketewasan dan sikap pengecut yang terzahir sehingga mahu memutar pemikiran masyarakat dunia dengan apa cara sekalipun. Tunggulah sahaja nanti bila mereka menukar pula silibus sejarah di sekolah dan kolej seperti mana kerajaan Malaya menggugurkan silibus para pejuang yang dilabel berhaluan kiri dan perjuangan para ulama dari buku teks sejarah sekolah. Mereka dilabel buruk dan tidak diendahkan. Hanya para 'pejuang' yang tidak bersenjata, yang bersengkol dengan kerajaan Inggeris, berbaik-baik dengan orang putih, menjadi yes sir di pejabat, di naikkan taraf dan di agungkan jasa kebaktian mereka.

Lama-lama saya faham, semua ini dibolak balikkan oleh satu perkataan. POLITIK. Ia bisa mengubah putaran jam, menukar perempuan menjadi laki-laki dan membuatkan ayam boleh bertutur bahasa Melayu. Kalaulah ia punya kuasa ajaib, sudah tentu mereka mahu matahari itu terbit dari barat dan terbenam di timur. Atau kalau boleh tidak perlu terbenam langsung.

Ya, dunia ini ada macam-macam bicaranya. Hanya pada mereka yang mengerti, yang mencari, yang meneliti akan faham ramai manusia hidup bertopeng dan selesa menjadi badut. Hanya kerana tidak mahu menampakkan keaiban dan menurunkan keegoan. Ya, dunia!