Sabtu, Oktober 23, 2010

Budaya dan adat dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck sudah tiba pada ayat akhir. Akhirnya tamat sudah pembacaan sebuah karya agung, sebuah masterpice tulisan Prof Dr Hamka. Ok, secara berterus terang ada perkara yang membuatkan saya tidak berkenan dengan novel ini. Secara ringkas - ia novel cinta yang terlalu melankolik. Tidak, saya tidak mengkritik penulisnya. Cuma karyanya yang satu ini melemaskan. Kelemahan saya ialah tidak boleh membaca karya yang terlalu melankolik, mendayu-dayu, patah harapan, berputus asa, sedih pilu. Hampir sahaja saya campak ketepi apabila mencecah separuh tetapi bukankah menghakimkan setelah tamat membacanya itu lebih baik?

Ketika membacanya fikiran saya berlari jauh. Ramai pihak mengatakan ia adalah sebuah novel Islami, sebuah karya dakwah. Teringat kepada sebuah bengkel yang dikendalikan oleh Puan Nisah Haron yang mengutarakan persoalan ini : mengapa Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dikatakan novel Islami sedangkan tiada sepatahpun ayat Qu'an atau Hadis tertulis di dalamnya. Apa yang menyebabkan ia jatuh dalam kategori sedemikian? Apakah kita mengkategorikan penulisnya atau karyanya?

Boleh sahaja saya mengeluarkan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dari kategori novel Islami. Malah, saya bersetuju dengan As bahawa novel ini adalah novel budaya. Ia lebih banyak membicarakan soal budaya dan adat. Ia banyak mempersoalkan perbezaan budaya dan adat setempat biarpun mempunyai pegangan Islam yang berpaksikan Qur'an sebagai panduan. Budaya dan adat ini kemudiannya menjadi tonggak utama kehidupan, bukannya agama sehingga menyaksikan urusan perkahwinan yang boleh dilaksanakan dengan mudah menjadi sangat menyusahkan.

Terlalu banyak persoalan budaya dan adat dalam novel ini. Prof Dr Hamka nampaknya mempertikaikan institusi budaya dan adat yang  bercanggah dengan agama. Menggunakan medium penulisan, nampaknya beliau berjaya menunjukkan kelemahan dalam cara kita menghayati agama dalam budaya dan adat, sekaligus menjadikan agama itu setakuk di bawah budaya dan adat.

Hayati dan Zainuddin mungkin tidak bersatu di dunia tetapi kisah percintaan mereka membawa kita ke persoalan penting - agama atau budaya?

Sekali lagi, apakah yang dikatakan novel dakwah, novel Islami? Bagaimana kita mengkategorikannya?

Tiada ulasan: