Jumaat, Oktober 01, 2010

Makan, doa dan cinta (Eat Pray Love)

Tidak sukar menafsir apa yang ada dalam buku Eat Pray Love hasil karya Elizabeth Gilbert. Ketika menonton kemunculan beliau dalam Oprah secara tidak sengaja, fikiran saya sudah tertancap kepada perkataan pray dan meneka isi tulisannya. Carian di internet, ulasan buku, sekadar menambahkan tanggapan saya terhadap pencarian Liz. Apatah lagi bila setiap kali ke MPH, EPL pasti menarik perhatian. Mungkin kerana judulnya - eat - menyebabkan ada rasa ingin tahu. Tetapi bila melihat perkataan pray, saya dapat rasakan apa yang Liz mahu utarakan. Sekadar menyelak halamannya dari kulit ke kulit, maka tidak sukar saya menyimpulkan tiga perkara berkenaan buku ini - tentang perjalanan, tentang ketuhanan dan tentang cinta.


EPL merupakan catatan diri Liz dalam pencariannya terhadap tuhan dan cinta selepas perceraiannya yang memilukan lalu berhadapan pula dengan krisis keyakinan diri. Di terbitkan pada 2006, buku ini (sehingga Ogos 2010) berada dalam senarai New York Times Best Seller selama 187 minggu. Kemudian, ia diadaptasikan kepada filem dengan diterajui oleh pelakon tersohor Julia Roberts. Liz mengembara ke tiga negara selama setahun - empat bulan Itali dimana dia menemui banyak makanan menarik (makanan Itali....oh!), empat bulan lagi di India bagi mencari tuhan lalu belajar bermeditasi serta ke Bali bagi menemui seorang pawang / bomoh yang ditemuinya setahun sebelum itu. Di Bali, beliau akhirnya menemui apa yang dikatakan cinta.


Secara jujurnya saya tidak langsung tahu ia sudah difilemkan dan tidak teragak-agak memecut ke GSC Alamanda selepas meneliti waktu tayangan. Mungkin tarikan utamanya adalah Julia Roberts yang kita tahu karakter lakonannya tidak pernah menghampakan. Ya benar, dia tidak menghampakan. Perjalanan Liz ke Itali sangat menarik. Penonton dibawa menyelami makanan Itali yang pelbagai seperti pasta, spaghetti, pizza (pastikan anda tidak lapar ketika menonton), merentasi binaan lama di Rom seperti Colesseum dan belajar bahasa Itali yang berbelit. Ada tips rupanya bagaimana mahu belajar bahasa Itali dengan betul. (Kena tonton baru tahu). Pengalamannya di India tidak di ceritakan dengan teliti sedangkan disinilah Liz menemui apa yang dicari. Terasa ada kekosongan wacana (?) terutama sekali bila kenalan Indianya di paksa berkahwin dengan pemuda pilihan keluarga. Kita tidak dihidangkan kesudahan hidup pengantin baru yang dipaksa kahwin - sesuatu yang berbeza dengan Liz - untuk Liz manfaatkan erti perkahwinansebenar dalam hidup. Banyak aspek meditasi tidak di tunjukkan dengan tuntas, sebaliknya penonton didedahkan dengan hasil penemuan, bukannya proses penemuan yang telah menukar sedikit sebanyak kehidupan Liz. Jadi, apa yang di dapati daripada meditasi tidak kita ketahui. Kita hanya tahu dia berubah selepas bermeditasi. Jadi babak di India ini menjadi sedikit bosan.

Liz pernah ke Bali setahun sebelum itu dan menemui Ketut, seorang pawang yang kemudian meramalkan apa yang berlaku pada dirinya. Ketut mahukan Liz datang semula selepas setahun bagi mengajarnya bahasa Inggeris dan Ketut pula akan mengajar ilmu yang ada padanya. Liz menunaikan janjinya dan menyalin ilmu Ketut yang asalnya datang dari buku-buku lama yang diwarisi (ya, membaca itu amalan mulia). Disini Liz berkenalan dengan Wayan (lakonan Christie Hakim), seorang tukang urut dan Liz membantu Wayan mendapatkan sebuah rumah hasil sumbangan teman-temannya. Di Bali juga Liz akhirnya menemui cintanya kembali, seorang warga Brazil yang menetap di Bali.

Saya memang skeptikal dengan buku Eat Pray Love. Kita tahu Liz dalam keadaan sukar, perkahwinanya musnah, hidupnya terasa kosong dan dia ingin mencari sesuatu bagi menenangkan dirinya, bagi membetulkan hidupnya walaupun Liz sebenarnya sudah boleh dikategorikan sebagai seorang penulis yang berjaya sebelum itu. Lalu, apa lagi yang ingin dicarinya? Dia sudah ada semuanya, bukan? Saya skeptikal bila Liz mahu mencari tuhannya. Saya skeptikal kerana saya seorang Islam dan saya tahu apa yang saya cari. Liz mencari sesuatu dan dia temui. Apa yang dicari sebenarnya adalah Tuhan. Dia lupa bahawa dia punya tuhan, maka dia tidak tahu apa tujuannya hidup. Pada babak Julia Roberts (Liz) duduk keseorangan dan cuba bercakap kepada tuhannya, dia sendiri pun mengakui yang 'dia sudah lama tidak bercakap dengan tuhan, sudah lupa atau mungkin boleh jatuh ke kategori tidak pernah'. Nah, mudah sahaja bukan - Tuhan adalah jawapan kepada segala-galanya.

Dari segi filem, EPL tidak mengecewakan walaupun babak di India sangat membosankan dan terasa kosong walaupun disitulah Liz berjaya mendapatkan tuhannya kembali. Tetapi kalau bicara soal pengisian, lebih baik saya baca buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang sedang saya uliti saat ini. Itulah sebabnya saya mengelak dari membeli EPL.

Selamat menonton

Nota:
1) Makanan Itali memang menggiurkan. Terasa mahu cari pasta, spaghetti dan pizza yang asli!
2) Babak Bali sangat indah. Cuma tidak banyak keindahan Bali juga India di paparkan, tidak seperti babak di Itali yang banyak mengambil shoot menarik
3) Rasanya perlu membaca buku ini kalau mahu mencari jawapan-jawapan yang tidak habis di bicarakan dalam filem. Filem adaptasi tidak akan mengangkat sepenuhnya isi buku, ia hanya mengambil essence, isi-isi penting yang menjadi tulang utama penceritaan. Oleh itu, jawapan terhadap bagaimana Liz menemi tuhannya menerusi meditasi (rasanya) boleh di baca dalam EPL. Namun, saya tidak mahu dan tidak ada keperluan membacanya
4) Kalau bukan kerana Julia Roberts, saya tidak rasa filem ini akan menjadi sebegni menarik. Anda marah? Ini pandangan saya :-)

1 ulasan:

ila nursalida berkata...

kak, buku EPL nih "sedang" saya baca sejak 10 bulan lepas..see, perkataan sedang means tak habis2 lagi baca...sebab jalan ceritanya sangat meleret...tak sabar nak habiskan, rasa nak skip2 je baca, tapi saya tak pandai membaca skip2 nih...nak baca word by word jugak, tapi EPL nih penatlah bc word-by-word...end up with, kejap baca kejap letak