Selasa, November 23, 2010

Segugus Doa Buat Bonda

Hari ini Selasa, 23 November 2010. Sudah masuk tiga belas hari emak berada di hospital. Saban hari mengunjunginya di sana, dia mengalirkan airmata dan mengajak pulang ke rumah. Rimas duduk diam dan baring di katil tanpa sebarang kerja. Katil di kiri, kanan dan hadapan silih berganti pesakit tetapi dia tetap di situ tanpa sebarang perubahan. Apa yang menggelisahkan ialah tiada satu wayar pun di cucuk di badan, doktor datang setiap jam memeriksa darah tetapi hasilnya tetap begitu. Darah emak masih belum mencapai tahap normal. Tahap dua kata doktor dan masih mencair. Tahap kecairan yang membahayakan.

Asalnya ada darah beku dalam paru-paru emak, yang dikhuatiri boleh menyebabkan strok sekiranya darah beku ini merayap sehingga ke otak. Ia tersangkut di paru-paru menyebabkan emak sesak nafas. Dari Hospital Jempol, emak dihantar ke Hospital Kuala Pilah, kemudian ke Hospital Seremban untuk imbasan badan dan kembali ke Hospital Kuala Pilah sejak 11 November. Lima hari pertama di CCU untuk doktor mencairkan keseluruhan darah kemudian dipindahkan ke wad biasa bagi memekatkan semula darahnya. Tetapi paras darah emak turun naik - sekejap bacaannya 1.17, kemudian 1.3 turun 1.0 dan tiba-tiba semalam tiada bacaan. Hairan pun ada juga. Doktor tidak membenarkan emak keluar atau pindah hospital, dibimbangi keadaannya nanti memburuk. Maka bertambah-tambah rimas emak di hospital. Tidur malamnya pun sudah meracau-racau, sambil mimpi bertemu arwah nenek yang meninggal tanggal lima Ramadhan lalu. Makanan hospital pun enggan di jamah kerana mogok mahu pulang. Cakapnya pun sering mengundang airmata. Apa ayat lagi yang harus di ucapkan untuk memujuk emak supaya kekal dan sabar di hospital?

Sejak dari hari pertama, kami mengunjungi emak bagi menemankannya ketika waktu lawatan, supaya terbunuh kesepiannya seketika. Tetapi bila kami pulang, hanya jururawat dan doktor yang menjadi kawan. Maka bertambah-tambahlah hiba hatinya.

AidilAdha yang lalu adalah yang pertama kali tanpa emak disisi. Malah hari jadi emak pada esoknya pun kami sambut dengan sebiji kek di katil hospital. Keadaan masih begitu juga dan emak tetapi mengira hari keberadaannya di hospital sambil tidak putus bertanya perkembangan darahnya kepada doktor. Tiada apa yang boleh kami lakukan kecuali berdoa, kerana ia adalah senjata kekuatan untuk kami saat di duga sebegini. Tambahan pula kami tahu ini dugaan kecil sahaja berbanding orang lain, tetapi yang kecil inilah yang banyak menggugah semangat dan kesabaran.


Ya Allah,, kau sembuhkanlah penyakit emakku, kembalikanlah darahnya ke paras normal supaya dia boleh pulang segera ke rumah dalam keadaan sihat. Seandainya dia perlu tinggal lebih lama di hospital, maka Kau tetapkanlah hatinya untuk lebih sabar dan tabah. Kami sekeluarga tidak tahu apa yang harus kami lakukan selain berdoa kepadaMu, maka Kau bantulah kami Ya Allah.


Amin.

Sabtu, November 13, 2010

Merapi

Gunung Merapi dalam keadaan 'tidur'

Terima kasih kepada Majalah 3 malam ini. Liputan satu jam khusus tentang Merapi yang meletus amat mencerahkan. Secara jujur, saya hanya mendengar berita dari radio dan membaca di dada akhbar tentang letusan Merapi tetapi tidak membayangkan betapa teruk kesan dan akibat 'marahnya' gunung yang satu ini. Tonton berita di kaca tv? Minta maaflah, daripada mengundang sakit hati dan marah-marah, lebih baik tutup. Sudah lama tidak tonton berita di tv, atau kalau buka kaca tv pun, tonton selepas jam 8.30 malam.

Perhatikan asap dan debu yang di letuskan. Subhanallah

Jadi, liputan Merapi kali ini amat menyeluruh. Bagaimana wartawan yang terkejut mendengar letusan ketika menghampiri Merapi kemudian berlari-lari ke kereta menyelamatkan diri, debu memenuhi ruang udara dan menyelimuti hampir apa sahaja yang ada, haiwan bergelimpangan dan manusia kaku tidak bernyawa, malah ada yang melecur dan hangus terbakar, pusat pengungsian penuh dan sesak, ratusan mayat tidak dikenali berbungkus dalam plastik lalu di kebumikan dalam satu liang.

Nah, apa lagi yang harus dibicarakan tentang merapi kecuali trauma, ketakutkan, keinsafan, doa, kematian, kelaparan, kerugian dan kehancuran. Rumah sudah pasti tidak serupa dulu. kalau boleh di duduki lagi, entahkan sama dengan yang lama atau tidak pun entahlah. Dan seandainya Merapi diam, entah kan bila dia akan marah lagi kita pun tidak pasti. Diam sebentar atau diam selamanya. Maka memulakan hidup selepas itu pun bagaikan satu teka-teki.

Gunung Merapi dari Candi Borobudur

Banjir di tanah air dan Merapi di tanah seberang.
Bumi ini sudah bergoncang
Dan manusia -
Entah bilakah engkau mahu berhenti 'berperang'?


Kredit gambar khusus kepada Google Image. Google ajelah!