Khamis, Disember 09, 2010

Rice Without Rain

Minggu lepas, saya berbual dengan Ali Bukhari Amir, seorang anak muda yang sangat kritis dan idealis. Saya gelarnya pemikir kerana saban waktu pasti ada sahaja perkara yang difikirkan, yang bersiponggang dalam cepu kepalanya. Lihat sahajalah entri pada blognya juga pada setiap status Facebook, setiap satunya bukanlah berkisar mahu makan apa hari ini atau penatnya bekerja hari ini. Kata-kata yang diletakkan adalah berunsur pemikiran, pemahaman, pencernaan ilmu dan pengalian maklumat. Pautan serta klip video bukanlah calang-calang, yang bukan diada-adakan tetapi memohon kerjasama dari semua penagih Facebook untuk sama-sama berkongsi pemahaman dengannya.

Kami berbual ringkas sambil menanti. Saya teringat kepada sebuah buku yang diterjemahnya, Rice Without Rain yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Harakah. Saya anggap ia adalah terjemahan secara underground, bermakna diterjemah sendiri tanpa niat untuk diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan atau dibukukan walaupun secara peribadi.

Saya sempat mengikuti siri pertama terjemahan dan tidak lagi mengikutinya selepas itu kerana saya bukanlah pelanggan tetap Harakah dan tidak suka terikat dengan sesuatu yang bersiri. Sangat bagus kata-katanya, indah bunga bahasa dan cantik susun atur kata. Ini bermakna karya asalnya juga  bagus, indah dan cantik.

Ali menceritakan asal usul buku tersebut dan terjemahan yang dilakukannya. Menurutnya, "saya mendapat keizinan menterjemah secara langsung dari penulisnya ketika berkomunikasi dengannya."

Teirngat pula saya sedang mengusahakan sebuah buku terjemahan.

"Bagaimana dengan hakcipta?"

"Saya tidak rasa mahu menerbitkan buku ini, sekadar menterjemah secara suka-suka dalam Harakah," balas Ali. Sesuatu yang saya pasti mengapa dia menterjemah Rice Without Rain ialah kerana tema perjuangan dalam novel nipis ini yang sangat memikat, maka Ali menjadi sebati dengannya.

"Ia berkisar kepada perjuangan petani di Thailand yang ditindas oleh tuan tanah. Ketika itu tahun 70-an, zaman dimana para mahasiswa masuk ke kampung bagi membantu menyedarkan para petani supaya mereka bangkit melawan dan bersatu terhadap kezaliman dan kemiskinan yang menyelimuti mereka."


Ali berbicara panjang lebar tentang novel ini. Lantas saya teringat kepada perjuangan mahasiswa tanah air pada zaman 70-an, zaman yang seluruh dunia gelar sebagai zaman the angry young man. Ia adalah waktu-waktu apabila demonstrasi, kemarahan, ketidakpuasan, kedegilan, keadilan menjadi makanan mahasiswa. Meneliti perjuangan mereka, tidak akan hilang rasa ghairah dan teruja untuk turun sama ke jalanan sekiranya masih ada peluang untuk berbuat lagi pada waktu-waktu sekarang ini. Mujurlah sahaja keinginan itu tercapai ketika puncak Reformasi tahun 1998-1999 yang memberi saya peluang berada di Jalan Tunku Abdul Rahman menyaksi sendiri alunan laungan dan jerit pekik memohon supaya keadilan ditegakkan dan kebatilan dinyahkan.

Itu cerita dahulu, ketika memuncaknya demonstrasi dan reformasi.

Ali membawa saya kembali ke alam nyata. Penulis buku ini, Minfong Ho yang berdarah Thailand-Cina menulis berdasarkan pengalaman sendiri yang difiksyenkan. Kisah mahasiswa masuk kampung ini lebih kurang sama dengan perjuangan para mahasiswa di Baling yang tegar denga isu kebuluran, Hamid Tuah yang meneroka tanah di Klang dan sekumpulan mahasiswa lagi di Johor. Mereka inilah bersatu menggerakkan demonstrasi sehingga menyebabkan kerajaan takut dan kecut lalu mencipta AUKU, akta purba yang terus menghukum, memancung dan menggari perjuangan mahasiswa sehingga menjadi lesu dan kaku kala.

Ketika Ali berbicara tentang Rice Without Rain, fikiran saya melayang-layang ke zaman demonstrasi dan reformasi. Entah apa yang dibicarakan dengan panjang lebar, saya mengelamun dengan diri sendiri. Mana bisa masa boleh di ulang kembali. Itu detik manis perjuangan dan terlipat kemas dalam sejarah. Sampai keakhirnya Ali bercerita, saya masih memutar kenangan silam sehingga gagal menagkap kemas bicara Ali.

Dan ia nyata terbalas apabila minggu selepas itu saya menemui naskhah asli Rice Without Rain disebuah kedai barang terpakai. Bagai orang mengantuk disorongka bantal, saya segera menyambar. Dan janji kepada diri sendiri ialah menghadamnya secepat mungkin bagi membalas bicara Ali yang tidak saya endahkan saat mengelamun di Rumah Pena.

2 ulasan:

Nurul berkata...

kalau tuan hamba sudah habis membaca hamba ingin meminjam! hehe.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Oh, sangat dialu-alukan wahai adindaku yang cantik budiman. Tunggu sahaja waktu dan ketikanya, entah bila kan habis semuanya :-p