Jumaat, Disember 23, 2011

Kertas dalam wayar

Bila cuba mengingatkan kembali kenangan waktu sekolah, saya teringat satu soalan bertahap cepu emas yang saya tanyakan pada cikgu. Ketika itu saya dalam tingkatan empat Bersih. Kelas Perdagangan dan cikgunya lelaki. Kami sedang belajar tentang topik perniagaan (lebih kurang begitulah) dimana cikgu menyenaraikan  peralatan yang digunakan dalam menjalankan perniagaan, contohnya telefon, mesin faks, mesin fotostat. Kiranya ini adalah peralatan yang perlu ada bila nak memulakan perniagaan, semacam aset yang menjadi overhead cost.

Cikgu pun menyebut mesin faks. Sebagai seorang pelajar luar bandar yang tak pernah keluar dari lingkungan Felda, kurang melihat barang elektrik atau elektronik kecuali tv dan radio, maka nak membayangkan rupa mesin faks agak susah. Tv pun sebelum itu pakai bateri yang perlu dicas (entah betul ke tidak perkataan ni) bila kuasanya semakin lemah. Seterika mula digunakan ketika masuk sekolah menengah. Itu pun pinjam jiran punya. Hatta telefon di rumah pun baru sahaja boleh digunakan selepas tiang-tiang yang menyambungkan wayar-wayar telefon berjaya di tegakkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (sebelum diswastakan menjadi Telekom Malaysia dan kemudiannya menjadi TM).

Mesin faks. Macamana rupa mesin faks? Bagaimana agaknya mesin faks boleh menghantar kertas dari lokasi A dan diterima di lokasi B? Bagaimana kertas yang keluar di lokasi B boleh keluar sebijik-sejibik sama dengan apa yang kita masukkan di lokasi A. Eh, biar betul! Dan paling tak logik, bagaimana kertas yang masuk ke dalam mesin faks boleh melewati wayar yang melingkar bergulung-gulung di angkasa yang sambungkan menerusi tiang-tiang. Saya jadi hairan tahap maksimum.

"Kertas masuk ikut wayar ke cikgu?" Begitulah antara soalan dari orang tak berapa cerdik. Payah sungguh saya nak terima hakikat mesin faks boleh menghantar kertas.

Agaknya cikgu pun dah tak tau cara nak jawab soalan saya. Jadi dia pun bagi analogi tahap superman.

"Macam telefon juga. Macamana agaknya suara kamu boleh melalui wayar yang bergulung-gulung tu? Fikirkan!"

Saya tepuk dahi. Kena checkmate!


***
Sekarang ini, setiap kali guna mesin faks, saya mesti teringat jawapan cikgu. Kalau budak zaman sekarang tanya, saya akan bawa mesin faks yang dah rosak terjelepuk di stor. Senang cerita!

Rabu, Disember 21, 2011

Pasca program

Meskipun ramai skpetikal dan memandang sebelah mata, pada saya persatuanlah yang menjadikan saya seorang manusia serba tahu (ah, kalau pun boleh dikatakan serba tahu). Ketika belajar dahulu, saya sengaja mengaktifkan diri dalam aktiviti berpersatuan selepas dua tahun duduk diam tengok orang. Saya mengambil keputusan itu selepas memasang niat dan matlamat untuk membolehkan saya pandai bercakap. Berat mulut adalah kelebihan saya. Pandai bercakap adalah kekurangan hakiki saya.

Saya pernah menceritakan perihal berpersatuan dalam entri terdahulu. Tetapi dek malas nak korek balik, biarlah cerita lama tu jadi sejarah. Sejarah lama. Saya pula mahu mencipta sejarah baru. Sejarah diri sendiri.

Perhimpunan Penulis Muda Nasional ketiga akhirnya melabuhkan tirainya Ahad lalu, 18 Disember. Saya hanya sibuk kira-kira satu minggu sebelum program tiga hari itu berlangsung. Selaku Bendahari, tugas saya mengawal dan merekod wang keluar masuk. Tetapi nampaknya lebih kepada merekod, bukan mengawal. Wang tiada ditangan saya, dan AJK banyak menggunakan wang sendiri yang dituntut (cliam) kemudian. Faham-faham sahajalah persatuan tidak berduit bertaraf NGO yang sumber kewangan dari yuran pendaftaran ahli (kalau pun bayar) atau tajaan pihak luar atau baki wang dari program kecil-kecil. Jadi nak bergerak bebas agak sukar. Orang boleh kata bebas tapi tanpa wang, kaki dan tangan jadi terikat.

Selepas belajar, pernah juga saya bersama beberapa kawan-kawan bertemu untuk menubuhkan satu NGO baru. Tetapi saya rasa kurang minat pula. Bukan kerana tanggungjawab. Tetapi semakin melibatkan diri dalam NGO, saya perasan ada satu tabiat yang tidak sihat dikalangan mereka. Tak puas hati dengan Presiden persatuan A, dia tubuhkan persatuan B. Hampir kebanyakannya di sebabkan tidak puashati dengan kuasa dan duit. Saya rasa tawar hati. Lalu saya senyapkan diri dan menambah kemahiran dalam paramedik serta mendapatkan tauliah sebagai jurulatih. Itu pun terjun juga ke dalam persatuan yang baru di tubuhkan. Namun begitu, komitmen pula menjadi halangan, dah ahli pula tak serius. Akhirnya semangat yang berkobar-kobar pada awalnya sudah suam-suam kuku. Sekarang ini kalau nak bergerak pun muka yang sama itu jugalah yang turun (normal). Dan kami bergerak perlahan-lahan. Asalkan ada aktiviti dalam setahun.

Ketika belajar dahulu, macam-macam persatuan saya masuk. Anjur program sendiri. Buat aktiviti untuk ahli. Cari penaja. Hingga pernah sama-sama jual nasi lemak dan jaja keliling blok untuk penuhkan tabung program. Saya bermula di peringkat bawah hinggalah setinggi-tinggi jawatan. Kian banyak saya pelajari tentang urusan surat menyurat, dokumentasi, berhubungan dengan VIP dan ahli politik, komunikasi dengan orang bawahan, birokrasi, pengorbanan masa apatah lagi tenaga. Paling penting ialah mengenali manusia. Itu ilmu yang tak boleh di belajar dalam bilik darjah. Ia ilmu praktikal yang bila kita terkena barulah kita tahu apa dan mengapa. Pengalamanlah yang membolehkan saya mengawal diri dari terlalu excited sepanjang program. Siapa yang tidak bangga dapat menganjurkan program bertaraf nasional. tetapi itu perkara kedua. Soalnya, semakin kita mengenal manusia, semakin kita faham kenapa kita jadi manusia. Sudah lama jantung tidak merasa debaran sebegitu rupa, tidur tak cukup, makan yang tidak kenyang, penat kaki dan tangan, peluh membasahi baju, bertekak dan bermasam muka, mara-marah dan sindir menyindir.

Jutaan terima kasih kepada semua AJK. Semakin banyak saya belajar dari kalian. Orang kata lain padang lain belalang. Andai ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi. Andai ada umur yang panjang, bolehlah kita berprogram lagi :-)

Kalian memang hebat!

(Gambar kemudian, kamera tertinggal)

Ahad, Disember 11, 2011

1427 - 1433

Blog masterpiece ini berusia tujuh tahun pada satu Muharram 1433H yang baru berlalu. Setiap kali kalendar hijrah bertukar, saya akan ingat waktu ia dilahirkan. Dan saban tahun, saya akan raikan dengan entri khusus memperingati kelahirannya.

Sudah tujuh tahun, dan rupanya saya dah tersilap mengira usia blog ini. Saya congak balik usianya...

1427 - satu
1428 - dua
1429 - tiga
1430 - empat
1431 - lima
1432 - enam
1433 - tujuh

Kalau orang ada anak, dah masuk tahun satu. Sudah ada dua tiga orang adik beradik. Sudah bijak mengatur bicara. Begitulah juga dengan blog ini. Awalnya banyak berkisar tentang diri sendiri. Lingkungan dekat dan sekadar yang terhad dengan pandangan mata. Tentang kawan-kawan, diri sendiri, kemarahan dan kebencian. Kemudian perasaan jemu menguasai diri menjadikan saya mengubah hala tuju blog. Kisah kecil-kecil nak buat apa bagi orang baca. Simpan untuk diri sendiri sahaja. Biarlah diri sendiri yang tahu.

Saban tahun meraikan ulangtahun blog ini, saya akan muhasabah diri semula. Apa yang telah dan sepatutnya saya buat. Apa yang perlu saya perbaiki. Juga memperbaiki tujuan blog. Ia bukan untuk bercerita hal diri, atau seputar peribadi. Ia medan saya mengasah imaginasi. Merupakan ruang saya bercanda dengan kata. Sehingga takah-takah perbezaan itu kelihatan nyata dari setahun ke setahun.

Saya tidak akan padam atau tinggalkan blog ini meskipun dihambat Facebook atau twitter. Memang Facebook melekakan, tetapi kitalah yang harus menguasainya agar tidak terpesong menggunakannya bagi membazirkan masa. Saya akan tetap naikkan entri meskipun ia pendek atau cuma sekeping gambar. Ia adalah proses pembesaran saya di khalayak maya.

Selamat ulangtahun, masterpiece.

Jumaat, November 25, 2011

Seorang lelaki yang berjaya menghidupkan api semangat






Kata-kata paling menakjubkan minggu ini adalah dari jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee. Petikan ini banyak diambil sebagai motivasi dalam blog, FB, Twitter dan menjadi ucapan paling hangat. Saya percaya kata-kata ini akan menjadi quote-of-the-year.


They don't respect you, they don't respect our flag, they   don't respect our King and they don't respect your parents. If you allow this to happen, then you are cowards. You must teach them what being Malaysian is all about. We beat them not once but twice in front of their fanatical crowds. We showed them how it is done.

Sumber: NST 

Mereka tak hormati kamu, tak hormat bendera kita, tak hormat raja kita dan mereka tak hormat ibubapa kamu. Kalau kamu benarkan ia (kekalahan) berlaku, maka kamu adalah pengecut. Kamu mesti ajar mereka kehebatan seorang warganegara Malaysia. Kita kalahkan mereka bukan sekali tapi dua kali dihadapan jutaan penyokong setia mereka. Kita tunjukkan bagaimana melakukannya

Kata-kata pembakar semangat ini diucapkan ketika masa rehat separuh masa pertama. Ia menjadi pembakar semangat untuk Harimau Muda menegnepikan provokasi hebat para penyokong di stadium Mental mereka kental, semangat sangat tinggi. Tahniah. Kalian memang layak.

Sesungguhnya saya rindukan suasana menonton bolasepak seperti perlawanan akhir tempohari. Blok apartment kelas rendah saya riuh rendah dengan sorakan penonton. Hentakan kaki, jeritan, ketawa, kritikan, sumpah seranah, tepuk tangah, mengeluh seolah-olah menjadi irama senada dimana-mana lokasi seluruh negara. Selang dua hari menentang Syria, suasana meriahnya tidak sama. Sebab Syria tu tak provok kita, komen seorang teman FB. Betul juga

Teringat kembali suasana ketika Malaysia menang Piala Thomas 1992. Dimana-mana selepas itu semakin ramai memegang raket. Sekarang, pakai jersi Harimau Malaya pergi pasar pun rasa bangga. Kedai bundle dan t-shirt celup pun kaut untung.


Tahniah Harimau Muda. You're the man!

Rabu, November 09, 2011

Bertambah-tambah

Tiga November yang lalu hari ulang tahun kelahiran saya. Ucapan ulang tahun bertalu-talu masuk menerusi SMS, facebook, emel, YM, skype. Saya kurang berminat menerima ucapan sebegini kerana ia mengingatkan usia diri yang semakin bertambah. (Tak mahu rasa tua lah tu...hahaha).

Usia bertambah. Waktu kehidupan di dunia kian singkat. Itulah yang merisaukan. Tapi setakat sedar sahaja tak guna. Kena ada usaha. Barulah boleh menuai hasil.

Emaklah orang pertama hantar SMS. Pagi-pagi lagi sewaktu Subuh belum berakhir. Hajatnya satu sahaja selain ucapan, iaitu doa agar saya menemui pasangan hidup dalam waktu terdekat. Ya emak, anakmu ini sentiasa ingat itu, meskipun anakmu ini tidak pernah berbicara terus terang. Namun usaha anakmu ini terhad dengan doa. Tidak mampu dia berbuat lebih dari itu. Nanti kelam kabut pula bila ada lelaki yang kena pinang, meskipun ia tidak salah. Saya pun tak kata ia salah :-)

Dengan doa, anakmu ini sudah berusaha sehinggalah ia berdiri di hadapan kaabah, di Masjid Nabawi, di Hijir Ismail, di Raudhah, di maqam Nabi Ibrahim, di Gua Hira', di jabal Rahmah, ketika meneguk air zam-zam, ketika memanjat Jabal Nur. Juga setiap hari pada setiap solat, pada setiap sujud, pada setiap detik.

Emak, anakmu ini tak akan berhenti berdoa.

Jumaat, Oktober 28, 2011

Menjawab panggilan

Baca:
Kisah sebelum
Kisah selepas


Untuk mempersiapkan diri mengerjakan ibadah umrah ada dua perkara yang perlu diambil perhatian. Pertama, persiapan mental. Kedua, persiapan fizikal. Itulah dua perkara yang dapat saya simpulkan.

Persiapan mental itu merangkumi kesempurnaan rohani bagi menyedarkan diri tujuan berkunjung ke rumah Allah. Ini bukan sebarang kunjungan, malah bukan semudah sebutan dibibir. Ada orang yang sudah bersedia tetapi tdak mengecapi nikmat sebenar sebaik sahaja tiba di Makkah mahupun Madinah. Tidak dapat mengecapi kemanisan dan keinsafan yang sepatutnya dirasakan oleh sesiapa yang berdiri dihadapan Kaabah. Oleh itu, para jemaah sangat digalakkan untuk memperbanyak amalan sebelum pergi, bukannya selepas pergi. Proses membersih dan memcuci hati bermula di tanah air, berterusan di sana dan membawa semangat itu pulang dengan lebih hebat.

Persiapan fizikal terbahagi kepada barang keperluan yang perlu dan juga kesihatan diri pada tahap terbaik. Setiap jemaah perlu mengambil suntikan khas yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk sesiapa yang masuk ke negara itu. Beruntung saya ketika kursus kerana doktor telah sedia menunggu membuat suntikan kepada sesiapa yang mahu. Saya melihat buku kecil yang diberi: meninggococcal ACYW 135 Vaccines yang tahan dalam badan selama tiga tahun. Dalam tempoh itu, jika diizinkan Allah ke Makkah lagi, tidak perlulah saya mengambil suntikan ini. Memadai membawa buku yang bertandatangan doktor ini. Mana-mana klinik kerajaan atau swasta ada memberi perkhidmatan ini, bezanya pada harga sahaja.

Dengan bantuan beberapa buah buku hasil cadangan kawan-kawan, pengetahuan dan kecintaan saya terhadap dua Tanah Suci ini semakin kuat. Hati kian tenang dan fokus semakin terarah kepada tujuan melaksanakan ibadah dengan tumpuan seratus peratus. Untuk lebih mengetahui dan memahami, dua buah buah buku yang cantik dengan gambar dan lengkap keterangan oleh Ustaz Basit Abdul Rahman ini sangat membantu. Buku Makkah Al Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah  dan Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah bercerita tentang sejarah kedua bandar ini dengan terperinci dan teliti. Saya nasihatkan kepada sesiapa yang mahu ke sana untuk membaca buku ini dan bawalah sekali ke sana. Anda pasti tidak kecewa kerana segala fakta lengkap dan sahih, malah boleh membantu memahamkan sejarah dan kepentingannya tatkala dibawa melawat kesekitar tempat bersejarah yang ada disana.

Bercerita tentang barang-barang yang perlu, saya jadi gusar. Habis semua laman web kedai yang menjual barangan kelengkapan haji/umrah saya terjah tetapi wujud perasaan tidak selesa. Ada soalan yang tidak jelas jawapannya berlegar-legar dalam kepala. Saya mengambil inisiatif menghantar mesej menerusi emel keseorang kenalan FB yang telah berkunjung kesana pada penghujung tahun lalu. Dia menjawab soalan saya panjang lebar. Kemudian kami bertukar no telefon. Selepas berbual, segala persoalan itu terjawab sudah. Untuk beribadah, saya hanya membawa dua helai jubah dan dua pasang telekung serta seluar panjang untuk memudahkan perjalanan. Jubah tambahan boleh dibeli terus disana. Jadi saya berjaya meminimumkan saiz beg. Malah tak perlu masuk bagasi pun. Waktu balik itu lain cerita.

Tiba di Madinah beberapa minit sebelum azan Subuh berkumandang. Letih perjalanan terasa tetapi perasaan syukur mengatasi segala-galanya.


Sewaktu kursus yang singkat - bukan kursus pun, cuba pemberitahuan akan jadual disana - Tuan Haji pengendali jemaah memaklumkan beberapa perkara penting kepada ahli rombongannya. Perkara utama ialah ubat-ubatan. Dapatkan bekalan ubat yang mencukupi untuk diri sendiri kerana spesifikasi ubat disana tidak akan sama dengan apa yang kita makan di tanah air.  Dapatkan bekalan tambahan di klinik khususnya orang perempuan untuk memudahkan beribadah. Di klinik berdekatan rumah, saya diberi lapan jenis ubat-ubatan pada harga kurang RM 100. Klinik ini memang terkenal dengan kemurahan hati doktornya terhadap pesakit, dan memang sentiasa penuh dengan pesakit yang menginginkan perkhidmatan pada harga murah tetapi baik. Ubat atuk, demam, selsema, sakit badan semuanya dalam bentuk pil yang cukup untuk sepuluh hari.


Saya tidak berapa senang dengan kursus singkat yang dilaksanakan kerana tidak memperincikan ibadah yang dilaksanakan sebaliknya terarah kepada jadual perjalanan dan ziarah. Saya mengadu kepada teman, malah timbul rasa marah dan tidak adil. Namun hikmahnya sangat bagus. Saya berusaha menambah ilmu, mencari, membaca, bertanya dan menggandakan kefahaman agar saya dapat mengecapi peluang yang semaksimum mungkin.
Subuh yang sepi di Makkah al-Muakrramah. Pada waktu biasa, kawasan ini hingar bingar dengan manusia dan kenderaan. Suara Imam jelas kedengaran menyapa telinga. Belum daftar masuk hotel, rasa tidak patut tinggalkan bagasi begitu sahaja. Sabar menunggu waktu ke Masjid Nabawi

Syukurlah apabila disana, keyakinan dan kesihatan berada pada tahap yang terbaik. Semua aktiviti dapat saya laksanakan dengan cemerlang (beri markah buat diri sendiri), malah saya puas hati dengan apa yang terhidang. Tabiat suka menjelajah tempat orang saya teruskan di Tanah Suci. Oleh kerana perlu berteman sepanjang masa, maka saya ketepikan aktiviti biasa berseorangan melihat dan menikmati suasana. Itu pun beberapa kali berjaya melepaskan diri dari teman-teman dan meneroka kawasan yang asing. Stukurlah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dan syukurlah, Allah memberi peluang yang hebat di Tanah Haram ini.

Oleh kerana meletakkan tenaga dan keupayaan fizikal seratus peratus di Tanah Suci, saya serta merta diserang demam panas sebaik sahaja menjejakkan kaki ke KLIA. Dalam kereta pulang ke kampung pun saya dah merasa meracau-racau dan menggigil. Baki cuti yang ada berjaya meredakan demam tetapi hampir dua minggu juga nak sembuh sepenuhnya. Teman serombongan ketawa bila saya bercerita keadaan diri. "Kamu tu penat sangat kat sana. Tak ingat tidur, rehat, makan." Saya senyum. Peluang begini mana boleh dilepaskan begitu sahaja, bisik hati saya.

Melihat kepada giliran haji tahun 2032, saya mahu mempercepatkan tahun pemergian. Pergi pada waktu muda, banyak kelebihannya. InsyaAllah



Khamis, Oktober 27, 2011

Mesej dalam gambar


what they don't feel...
they can't comprehend
- D. Lauchengco



teman,
kau memberi 
lebih dari apa yang aku
harapkan

secebis terima kasih
untuk segala yang indah-indah


dua puluh tujuh oktober, 2011



Selasa, Oktober 25, 2011

Panggilan 1

Musim haji kali ini sangat-sangat menyentuh hati saya. Secara jujur, saya benar-benar terasa dengan pemergian jemaah haji Malaysia yang berjaya dipanggil ke Tanah Suci. Tidak pernah saya begitu tersentuh dan sedih, bercampur baur perasaan antara teruja dan risau. Risau takut-takut tidak akan sampai (lagi) ke sana. Inilah pertama kali saya mengambil peduli akan musim haji. Rancangan di kaca tv, liputan sewaktu berita, khabar dari  kawan-kawan yang telah berada disana mahupun tag menerusi facebook semua saya ikuti dengan tekun. Malah ternanti-nanti.

Saya menyedari - sebelum ini - dengan penuh jujur dan insaf, bahawa musim haji adalah antara peristiwa penting dalam kalendar umat Islam. Saya tahu tapi tidak terlalu mengambil tahu. Faham tapi tidak mendalami. Mengerti tapi tidak mengambil iktibar. Tidak mengambil semangat. Meskipun hidup dalam kesedaran Islam yang kukuh, haji dalam diri saya cuma menumpang pada sudut-sudut yang terpinggir dalam batang tubuh saya. Tidak tergerak mahu meletakkan sasaran waktu mahu ke sana. Bila? Entah. Tapi saya tahu saya perlu pergi pada usia muda, saat tubuh sihat dan bertenaga. Tidak ada langsung peruntukan kewangan bulanan. Tidak tahu berapa tambangnya meskipun saya tahu mencecah angka ribu-ribu. Tidak merasa teruja dengan orang pergi haji biarpun saya tahu mereka sangat gembira kerana dipanggil. Bukan calang-calang orang akan mendapat jemputan. Dengan kuota terhad, senarai menunggu, simpanan yang perlu cukup, kesihatan diri itu semua adalah antara halangan yang sering mengganggu.

Saya sering tertanya mengapa perasaan saya tidak langsung terusik bila bercerita tentang haji atau umrah. Saya sering terfikir mengapa hati saya seolah tertutup dari menerima atau mendengar atau menumpang cerita kawan-kawan yang pernah sampai kesana? Saya hairan dengan diri sendiri. Mengapa tiada perasaan teruja atau gembira atau semangat tika menonton kisah-kisah seputar haji. Mengapa?

Ya Allah, betapa jahilnya saya. Betapa teruknya saya ketika itu. Jauh disudut hati, saya berdoa agar Allah melakukan sesuatu untuk membuka pintu hati ini. Saya sangat yakin Allah sedang merencanakan sesuatu untuk saya. Dan saya tidak mahu putus doa. Semoga Allah melembutkan hati saya untuk apa-apa tentang haji, tentang umrah. Saya sangat yakin.

Dalam waktu yang sama, saya terfikir juga, sindrom ini (kalau boleh dikatakan sindrom, atau mungkin - penyakit) sedikit sebanyak berpunca dari elemen negatif yang terhasil, yang asalnya bertujuan menyedarkan tetapi ia rupanya menakutkan. Selalu kita mendengar dari kisah moivasi haji (kononnya) jemaah berada di Tanah Suci tetapi tidak nampak Kaabah, sesat, ditimpa penyakit, hilang selera makan, bergaduh, tidak mahu mengerjakan ibadah dan sebagainya. Semuanya negatif. Seoah-olah ibadat haji itu suatu pengalaman yang menakutkan. Menyusahkan. Membebankan. Na'uzubillah.

Sinaran lampu seperti sayap-sayap Jibril diatas kepala insan yang sedang tawaf


Ini menyedarkan saya bahawa perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah mencuci hati, iaitu dengan bersangka baik terhadap Makkah, Madinah, Kaabah, ibadah haji serta umrah. Saya mengelakkan diri dari membaca perkara negatif sebaliknya mencari perkara yang menggembirakan jemaah di Tanah Suci. Minum air zam-zam, menziarahi makam Nabi, melihat Kaabah dihadapan mata, mengucup Hajar Aswad, solat dalam hijir Ismail, menikmati tawaf dan saie, bermalam di Arafah, melontar jumrah dan apa sahaja ibadah yang ada. Apa yang penting ialah, saya harus tahu mengapa ia perlu dilakukan, bukan hanya memahami ibadah itu dari segi aspek teknikal. Maksudnya mengambil tujuh biji batu untuk dilempar di tiga jamrah. Itu adalah teknikal, luaran. Melontar jamrah bukan sekadar ambil batu dan lempar. Saya harus faham mengapa ia tujuh biji batu, mengapa tiga jamrah, mengapa ia pada waktu tertentu. Ataupun, mengapa tujuh kali tawaf, mengapa dengan pusingan lawan jam, apa perlunya saie sebanyak tujuh kali, apa itu Arafah, apa perlu berada di Mina dan mUzdalifah. Semua itu ada essesence, ada nikmatnya tersendiri.

Saya sangat menantikan saat dimana Allah benar-benar membuka hati saya. Namun saya sangat takut sekrianya saya dijemput pulang sebelum dipanggil ke sana. Saya tambahkan doa - dibukakan hati kesana pada saat diri masih muda dan sihat. Dan kemudian, saya membuka akaun Tabung Haji. Sedikit daripada gaji sudah mula diperuntukkan untuk tujuan itu. Semoga usaha ini membantu membuka hati saya. Ya, saya perlu berusaha membuka jendela jika mahu cahaya masuk ke dalam rumah yang gelap!

Ibadah umrah - yang asalnya adalah atas cakap-cakap mahu pergi, dan kemudian atas alasan mahu pergi bagi menemani seorang teman, dan atas perbualan kosong kami untuk mendapatkan pahala kerana mengerjakan umrah dan bukan atas tujuan jalan-jalan makan angin - ternyata membuka lembaran baru buat saya. Dalam masa yang sama, saya sedikit demi sedikit merasa terpanggil ke rumah Allah selepas apa yang saya kecapi - dua kali berturut-turut HSKU, dan novel di ambil oleh PNM untuk ke perpustakaan desa - melimpahkan rezeki yang bukan sedikit. Saya rasa perlu mengembalikan kesyukuran itu pada tempat yang lebih afdal, lebih seusai agar nanti dikurniakan lebih banyak ilham menulis dan berkarya.

Ya, sedikit demi sedikit hati saya mulai lembut. Ketika sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan adik Julai tahun lalu (2010), panggilan umrah pun tiba. Kawan saya menelefon dan memberitahu khabar gembira akan tarikh pemergian kami. Dalam perasaan keliru (kerana kepala berat memikirkan majlis dan saban minggu berulang alik ke kampung - ya, kenduri kahwin sungguh meletihkan!) saya menyerahkan semua urusan kepadanya. Lalu dia menguruskan tarikh penerbangan dan berurusan dengan ejen, sedang saya hanya perlu menyediakan wang. Malah pemergian kami pula agak istimewa. Kami diberikan tempat bersama sekumpulan kakitangan syarikat lain. Syarikat penerbangan. (Tidak perlulah saya cerita bagaimana kami berjodoh - kuasa Tuhan, mungkin!). Lalu kami mendapat tarikh terbang lebih awal dan membayar tiket dahulu. Menjelang tarikh terbang, baharulah bayar duit hotel. Nampak mudah kerana saya tidak perlu keluarkan wang yang banyak sekaligus. Apatah lagi kenduri-kendara memerlukan sumbangan saya. Syukurlah dengan hasil karya, semuanya selesai dengan mudah.

Tiket ditempah pada bulan Julai 2010 sedangkan pada tiket yang di emel pada saya, tarikh penerbangan ialah 7 April 2011. Saya punya hampir 9 bulan untuk bersiap. Setiap hari saya melihat tiket. Saban waktu saya menyelak kalendar. Syukurlah pada waktu yang sama, hati kian dibuka sedikit demi sedikit. Saya mula bercakap-cakap dengan kawan akan ibadah umrah. Mula membeli buku dan membaca blog. Tetapi saya masih rahsiakan pemergian ini. Tidak mahu nanti menimbulkan riak pada diri. Tidak mahu nanti pujian orang menyebabkan saya lupa diri. Takut nanti tidak mengecapi nikmat sebenar ibadah disana. Saya cuma membuka mulut sebulan seleum tarikh berangkat. Itupun kerana saya menghulurkan borang cuti.

Perasaan yang saya nantikan akhirnya tiba. Kiranya saya faham perasaan orang lain yang sering saya dengar - apabila Allah memanggil, ia tidak boleh ditahan-tahan. Bila dah sampai seru, semuanya nampak mudah. Memang itulah yang saya rasa. Dalam fikiran, hanya ibadah umrah sahajalah yang terlintas. Semangat berkobar-kobar. Saya membaca tentang ibadah umrah secara teknikal. Sememangnya ia tidak sangat meresap kerana saya perlu faham essence - intipatinya. Saya mencari-cari buku yang sesuai.

Dengan rakan yang akan pergi bersekali, tiap kali perbualan, tiada yang lain keluar dari bibir kecuali tentang ibadah umrah. (Tetapi tidak dengan rakan lain. Tidak mahu nanti mereka fikir saya riak). Semakin hari, semakin dekat rasanya. Semua perasaan wujud. Gembira, berdebar-debar, takut, risau bercampur baur. Seribu satu perasaan wujud.

Empat bulan sebelum berangkat, atau lebih mudah awal tahun ini, saya menyedari tarikh keberangkatan semakin hampir. Sekali lagi saya cemas. Apa lagi yang tidak cukup? Apa yang perlu saya sediakan selain dari bahan bacaan dan persiapan mental? Apa lagi? Saya mencari dan bertanya. Kursus umrah sangat lewat dan saya rasa perlu ambil langkah awal. Di pejabat, masa lapang saya isi dengan menonton klip video dari Youtube. Dirumah, saya cuba membaca lebih banyak perihal umrah. Buku kian saya pelbagaikan dengan membaca seputar sejarah Makkah, sejarah Madinah. Dari itu saya merasa sangat dekat dengan destinasi. Semakin saya faham mengapa Makkah, mengapa Madinah, mengapa Kaabah. Semakin saya insaf.

Hati - syukurlah semakin seronok dengan apa yang saya kerjakan saat itu. Inilah saya kira, waktu yang saya tunggu-tunggu. Allah membukakan pintu hati saya selapang-lapangnya untuk ke sana. Perasaan kian tenang tetapi penuh semangat. Segala kerja menjadi mudah, saya tidak rasa tertekan dipejabat. Semua kerja selesai dalam waktu yang ditetapkan dan masalah berjaya saya atasi dengan sempurna. Syukurlah!

Saya kian menguatkan fizikal. Dua bulan sebelum berangkat, saya mengambil inisiatif bersenam sekeliling taman permainan. Memikirkan tawaf tujuh kali dan saie tujuh kali itu memakan tenaga yang bukan sedikit, kekuatan fizikal sangat perlu. Inilah kerja gila yang sampai sekarang saya tidak percaya saya pernah lakukan  - berjogging pada awal pagi sebelum ke pejabat dan pada waktu petang sebaik pulang dari pejabat. Kalau sebelum ini hanya mampu lakukan hujung minggu, kali ini saya berjogging dua kali setiap hari. Memang kerja gila. Ketika itu, badan terasa sangat ringan dan segar.

Apabila waktu semakin hampir, kian bertambah persoalan dalam kepala. Apa yang harus saya bawa? Berapa banyak baju, berapa banyak telekung? Apa keperluan lain? Ubat-ubatan? Kata orang, usah bawa banyak. Beli disana. Sasaran saya pun tidak mahu bawa banyak beg. Nak membeli pun jadi tak minat. Ada perasaan kuat untuk menumpukan seatus peratus fikiran pada ibadah. Perkara ini kecil, tetapi sebenarnya besar dan membebankan. Ia remeh tetapi penting. Dan ia memerlukan satu entri khusus untuk persiapan ke sana. Oleh itu, saya noktahkan sahaja tulisan ini dahulu. Jumpa lagi pada entri berikutnya.

Untuk kisah selepas pulang, boleh ikuti dipautan ini.


Nota:
Untuk gambar-gambar tentang umrah, maafkan saya. Saya sangat takut meletakkan gambar ini dalam blog. Saya takut dikata riak kerana pernah sampai di rumah Allah. Takut dikata sengaja meletakkan gambar ini kerana mahu memberitahu pembaca blog bahawa saya sudah mengerjakan umrah. Subhaballah, tidak sama sekali. Ini adalah satu nasihat buat saya supaya tidak lupa diri, sebagai peringatan saya pernah ke sana. Tidak mahu mendabik dada pernah tiba kesana. Apalah sangat pada gambar-gambar ini...


Isnin, Oktober 24, 2011

Manis


 Buku yang mengingatkan diri kepada zaman remaja. Zaman sekolah. Zaman kecil.

Baca pun tersenyum-senyum

Jumaat, Oktober 21, 2011

Aktiviti sosial di meja makan

 Tuan Jiwa Rasa yang cool

 Makan, buku, kamea, BB, ipad, henfon

 Menu kami. Tak boleh tambah kerana kedai dah tutup

Dari meja ke meja. Starbuck? Kenapa marah kami yang minum. Marahlah kerajaan yang beri lesen dan kebenaran buka

Kami berjarak jauh. Jumpa di Facebook. Jumpa di Goodreads. Masing-masing membaca. Juga bercerita. Kemudian berjanji temu di KLCC. Kuala Lumpur - cabaran utama usai waktu bekerja ialah kesesakan jalan raya. Memang meletihkan. Dua jam berperang di atas jalan, akhirnya tiba. Selepas solat Maghrib, kami pun bergandingan di La Cucur.

Tuan Jiwa Rasa, saya berkenalan denganya di blog. Ketika itu FB belum wujud. Blog beliau antara blog wajib untuk saya lawat setiap hari meskipun beliau tidak menaikkan entri baharu. Baca posting lama pun memadai. Blog beliau berkenaan buku yang dibaca saban waktu. Beliau pecandu buku yang tegar. Kita boleh saksikan kecintaan beliau kepada buku dan semangat membacanya yang utuh dengan melihatkan senarai buku yang dibaca dan ulas dalam FB. Laju dan pelbagai. Buku ulasan beliau sentiasa menjadi panduan untuk saya memilih buku yang akan dibeli kemudiannya.

Dan kemudian - secara tiba-tiba - beliau semakin jarang berblog. Dan akhirnya, hingga kini, tiada lagi posting baharu. Namun begitu, GR menjadi medan baharu apatah lagi dengan FB yang kian mendekatkan para pembaca buku dengan 'perpustakaan maya'.

Saya tidak pernah bertemu beliau tetapi suatu hari dalam tahun 2007 atau 2008 saya berpapasan dengan beliau di Perpustakaan Selangor ketika beliau menjadi ahli panel untuk forum Pecinta Buku. Hati saya tergerak mengatakan itu tuan Jiwa Rasa kerana sebelum itu, tidak ada sekeping gambar pun yang boleh mengecam beliau. Kami bertemu di dunia blog menerusi bacaan dan buku-buku, buka menerusi foto atau wajah yang memudahkan pengecaman :-) Namun begitu, saya tidak sempat mendengar sesi beliau sebagai ahli panel kerana perlu bergegas menemui kawan.

Kemudian medium FB dan GR menjadi medan baru. Semakin rancak di GR dan FB, kami bersama ulat-ulat buku yang lain semakin terasa rapat dan dekat. Bukulah yang menyatukan. Dan buku jualah yang bisa memisahkan.

Minggu lalu kami bertemu di La Cucur bersama beberapa kenalan. Beliau bertugas di Kuching dan menghadiri mesyuarat di KL. Apa yang pasti, setiap kali turun, beliau akan memperuntukkan waktu menemui teman yang menyapa di ruangan maya. Dan pertemuan itu pasti indah dengan kemurahan hati tuan Jiwa Rasa menghadiahkan buku-buku yang dibeli kepada kenalannya.

Terima kasih untuk pertemuan kecil ini.

Jumaat, Oktober 14, 2011

Pintu-pintu

jumpa ulat buku di la cucur, klcc

rumah itu cantik sekiranya
punya banyak pintu
untuk kau masuk, juga
udara membersihkan isi
didalamnya


KLCC
13 Oktober 2011

Rabu, Oktober 12, 2011

Menambah-nambah lagi

Membeli buku memang menyeronokkan. Apatah lagi pada tingkat harga murah. Dan tarikh yang tepat dengan waktu-waktu poket kembung. Tetapi penamatnya kegelisahan. Kerana bila cuba diatur pada rak, ternyata sudah melampaui batasan. Buku bertambah-tambah, apakah sekadar hiasan. Buku beratur beraksi diatas rak, apakah nanti boleh roboh menyumpah empunya badan yang tidak faham bila waktu yang dia perlu berhenti membeli. Meskipun sejenak.

Dalam masa menyusun dan memikirkan cara terbaik mengatur buku, beberapa naskhah yang tersembunyi dibelakang nyata memancing pandangan. Sejarah dan sastera, Melayu dan adat, bahasa dan budaya. Semua perlu digali, dicari, dikembangkan semula. Ada perkara yang tertinggal saat kita memecut ke depan. Kutiplah kembali yang tercicir, manalah tahu ia nanti permata yang bakal bersinar di saat-saat tidak kita duga.

Jumaat, Oktober 07, 2011

Memang budak-budak sekarang stres

Selesai urusan di mesin ATM, seorang rakan menghantar SMS mengajak jumpa di sebuah restoran. Malam masih awal, dapat segelas teh tarik pun sedap juga.

Kami berbual-bual seperti biasa sambil saya mengambil majalah yang baru tiba ke peti posnya petang tadi. Entah macamana, terkeluar pula topik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyampah untuk saya baca tetapi terpaksa baca, yang saya kerling sepintas lalu di pejabat tadi - Tahap stres pelajar kita tinggi.

Rakan saya ini sorang ibu beranak dua, tidak bekerja kerana perlu dialisis setiap empat jam (baca: tiada kerja sesuai untuk orang berpenyakit sepertinya) dan bertugas mengambil-hantar anak dari sekolah - dengan lancar mengulas meskipun saya tahu, dia tidak baca akhbar tersebut.

"Macam mana tak stres, cuba kau tengok jadual harian budak-budak sekolah sekarang," katanya sambil matanya dibuka luas-luas, menampakkan dia sangat suka dengan isu ini.

"Sangat berbeza dengan kita dulu. Akak ingat lagi, dulu kita pergi sekolah pagi, bila balik terus makan dan solat. Lepas tu kita tidur. Tengahari kita tidur tau."

"Sebab mak bapak kita pesan setan bersepah tengahari." Saya mencelah. Tapi dia tidak mengiyakan pula.

"Lepas bangun tidur, kita solat Asar lepas tu pergi main. Bila maghrib, kita solat, kemudian buat kerja sekolah. Kemudian kita tidur."


Dia berhenti mengambil nafas. Teringatkan aktiviti waktu kecil agaknya. Saya tidak menyampuk tetapi teringat yang jadual hidup saya ketika sekolah dulu pun begitulah.

"Budak sekarang, lepas sekolah bukan nak tidur tapi tengok tv. Emaknya ajak tidur (sebab dia tidak bekerja) tapi tak mahu. Seronok tengok tv. Bila petang nak main dengan kawan-kawan. Bila dah masuk malam, nak buat kerja sekolah atau baca buku tak lalu sebab dah penat main, mengantuk, langsung tidur. Pergi sekolah esoknya cikgu marah sebab tak siap kerja rumah. Macam mana budak tak stres?"

"Itu belum lagi yang sekolah pagi dan petang," tambah saya.

"Hah, anak akak yang sulung masa UPSR tahun lepas sekolah sampai petang. Malam nak pergi tuisyen. Dia nak periksa rasa stres, mak bapak dia pun stres. Nak jaga jadual sekolah dia, kemudian nak pastikan dia pergi tuisyen. Buku ke mana, kerja rumah kemana."

Saya pun fikir, memang sekarang ini pelajar sekolah dah macam pekerja pejabat. Mak bapak keluar pagi, pagi jugalah mereka ke sekolah. Kemudian balik ke rumah transit. Makan, tukar baju dan pergi sekolah agama. Yang tidak ke sekolah agama, biasanya sekolah kebangsaan melarat sampai pukul dua atau tiga petang. Dapat balik rumah pun selepas mak bapak sampai rumah. Kadang petang, kadang malam. Bukan sekali dua saya terserempak dengan ibu bapa yang bawa anak makan malam dengan baju sekolah masih di badan.

Ibu bapa yang tertekan di pejabat kemudian membawa balik tekanan itu ke rumah. Anak-anak yang asalnya sudah stres menyerap tekanan mak bapak. Maka tidak hairanlah banyak rumah tangga berantakan, pelajar bunuh diri atau histeria di sekolah. Semuanya kerana stres.

Maka benarlah kata rakan saya itu, jadual kita semasa kecil itulah yang bagus dan baik. Tidur siang itu baik untuk menyegarkan semula badan untuk separuh masa kedua kehidupan sebelah siang. Kita di pejabat pun punya pilihan untuk tidur sekejap pada waktu rehat. Dalam Islam pun di sebut qailullah - tidur sebentar sebelum zohor. Boleh recharge tenaga untuk menyambung kerja kemudiannya. Jangan tanya saya bagaimana nak tidur di pejabat. Letak kepala atas meja pun cukuplah. Kalau ada surau, boleh letak badan elok-elok. Tetapi sudah namanya tidur sebentar, dapat lelapkan mata sekejap pun sudah memadai. Potonglah masa makan yang sejam itu. Bukannya sejam duduk di kedai makan sahaja. Dan bila cukup sejam barulah balik ke pejabat dan solat zohor. Kalau begitu jadi sejam setengahlah waktu rehatnya.

Atas sebab tak tidur sianglah agaknya, memang ramai yang jadi setan. Termasuklah yang ponteng sekolah dan pergi tonton video lucah.



Khamis, Oktober 06, 2011

Seni(man)


mereka orang seni
kerana mereka
artis
sedang kita
meski orang seni
tapi kita bukan
artis

Bandar Baru Bangi
6 Oktober 2011

Ahad, Oktober 02, 2011

Janji sepotong jari

Dikemaskini pada 4 Oktober dengan beberapa pembetulan fakta.

Gambar diatas adalah buku rujukan matapelajaran Kesusasteraan Melayu bagi pelajar sekolah menengah sekitar 90-an. Kata orang, belajar untuk SPM. Kata oranglah. Atau pun - kata orang lagi - aliran untuk pelajar yang tak dapat atau tak layak masuk kelas sains. Kelas yang dikatakan untuk pelajar pandai, pintar dan cerdik. Kelas yang menyebabkan ramai kawan saya yang bertukar ke sekolah beraliran sains (sekolah kami belum ada aliran sains) tersangkut dan terpaksa mengulang SPM tahun berikutya. Tapi dalam kes sekolah kami, aliran sains memang tak ada. Tak wujud lagi ketika itu kerana sekolah kami ini sekolah baharu dan saya sendiri adalah generasi kedua sekolah.

Ada empat lima kajian teks - novel, cerpen, puisi, drama dan teks klasik. Teks novel ialah Mereka Yang Tertewas karya Hasanuddin Mat Isa yang pada saya ketika itu novel paling hebat pernah saya baca. Macamana tak hebat, tak pernah dapat akses pada bahan bacaan yang bagus dan baik. Nasib sekolah luar bandar, begitulah ya. Klise. Perpustakaan sekolah pun hidup segan mati tak mati mahu. Hanya pada tingkatan empat sahaja barulah buku-buku memenuhi rak perpustakaan. Barulah dapat pegang Warkah Eropah dan Daerah Zeni. Tapi nak baca tak faham. Maka belek-belek sahajalah.

Teks yang tiada dalam gambar ialah Keris Laksamana Bentan yang merupakan teks sastera klasik drama. Kami kurang mengkaji teks ini. Mungkin kerana aliran drama pentas amat asing bagi kami pelajar luar bandar. Apa yang kami faham ialah drama di kaca tv yang cuma ada tiga saluran dan terhad siarannya. Atau pun drama radio yang ketika itu kami seronok mendengar telatah Pak Chat dan keluarganya yang kebetulan tinggal di Felda, sama dengan saya. Jadi, seronok mendengar atau seronok kerana kebetulan dalah satu kebetulan juga.

Rampaisari Prosa Warisan yang juga tiada dalam gambar merupakan teks sastera klasik. Kami belajar bahasa arkaik yang unik, tentang kisah zaman dahulu yang pelbagai dan teknik realisme magis yang sudah  wujud sebelum Marquez muncul dengan karya yang membeliakkan mata khalayak dunia. Kita sudah ada realisme magis lama sebelum Marguez lahir. Ini realiti.

Lukisan Zaman ialah antalogi puisi, manakala Kelapa Nan Sebatang ialah antologi cerpen. Kelapa Nan Sebatang ialah judul cerpen SN Shahnon Ahmad, yang ketika itu kami baca sambil ketawa dan gelak-gelak. Tak faham kenapa harus berdiri atas titi kelapa dan perhati sampah sarap yang mengerumun sungai? Ketidak fahaman itu kemudian dicerahkan oleh cikgu yang sabar mengajar kami. Namun beliau tetap cengil dan masam meski kami gelak-gelak dalam kelas. Kami tak kisah pun kena herdik kerana kebodohan dan kenakalan kami.

Malah cikgu mencabar kami dengan sesungguhnya. Memandangkan kami ini generasi kedua sekolah, dan generasi kedua Kesusasteraan Melayu, dimana calon SPM sebelumnya tiada seorang pun yang dapat A, maka beliau membuat satu kenyataan berani mati. 'Saya potong jari kalau kamu dapat A dalam Sastera kali ini.' Dia ulang banyak kali. Dalam kelas. Dalam kelas tambahan. Dalam ujian percubaan. Sengaja ulang-ulang untuk membakar semangat.

Dia cabar kami untuk dapat A atau untuk kami kasihankan dia supaya tidak dapat A? 

Natijahnya, ramai sahabat saya dapat A untuk Kesusasteraan Melayu. Saya adalah salah seorang yang terselit. Ehem. Ketika mengambil keputusan disekolah, kami teringatkan cabaran cikgu. Tapi kami tak berani tuntut janji. Saya sendiri tak cari dan tak jumpa dia. Kami kasihankan jarinya. Apatah lagi dia sedang mengandung ketika itu.

Bila terpandang buku-buku ini, saya teringatkan janji cikgu. Janji sepotong jari



Selasa, September 27, 2011

Buku: Tunggul-Tunggul Gerigis

Saya sedang membaca Tunggul-Tunggul Gerigis. Babak awal berkisar kepada Su Usul. Bunga. Poseng. Goh. Bedul. Medang. Jangan tertipu dengan nama sesetengah watak. Ada nama manusia. Ada nama haiwan. Kita dipaksa menggambarkan perwatakan itu adalah watak siapa. Kita didera dengan perasaan Su Usul yang tua renta. Mungkin pikun. Mungkin nyanyuk.

Begitulah cara SN Shahnon melukiskan ceritanya. Ketika membaca Beruk karya Azizi Hj Abdullah beberapa minggu sebelum ini, saya bercerita pada kawan yang saya tidak berpuas hati dengan penceritaan novel tersebut yang seperti 'cerita tidak habis'. Tidak puas. Tidak seronok. Lama saya mencari sebab. Akhirnya saya mengerti yang gaya penceritaan SN Shahnon sudah melekat dalam diri. Teknik berulang-ulang dengan perincian yang sangat meletihkan kita, apatah lagi gambaran alamnya terlalu teliti dan halus. Terlalu. Hingga kadang-kadang membicarakan alam bagi menggambarkan suasana kampung sahaja sudah memakan dua tiga bab. Kita didera. Kita terdera.

Tetapi itulah kekuatan SN Shahnon. Gayanya itu memperkukuhkan penceritaan dan gambaran yang akhirnya menyedarkan kita bahawa perincian, ketelitian dan kehalusan itu amat diperlukan bagi memahamkan pembaca apa yang ingin disampaikan seterusnya. Sehingga meniti ke muka terakhir, kita akhirnya faham, perasaan terdera dan didera itu adalah kepuasan tahap tertinggi bagi melunaskan pembacaan  terhadap karya SN Shahnon.

Gambar ini dari adalah koleksi peribadi. Saya benarkan untuk sesiapa sahaja gunakan. Tiada hak cipta. Malah saya suka dengan kulitnya yang buruk dan lusuh. Buku ini baru saya miliki, dan ia bukan baru dari segi rupa dan gaya. Harga yang saya bayar untuk buku buruk ini pun sangat murah. Namun itulah saya suka. Edisi asal yang langka. Kalau orang lain mahu buang, saya sudi mengutipnya.

Isnin, September 26, 2011

Sepotong kisah waktu hujan

Hujan turun sebaik sahaja rumet saya menyalakan Astro yang baru sahaja saya tutup. Dia dari tadi berkurung di bilik sebaik sahaja masuk Isyak. Agaknya dia teringatkan rancangan kegemarannya. Dan dia merungut sebaik sahaja Astro menayangkan warna hitam pada skrin dengan tulisan-tulisan yang antara lain bermaksud siaran terganggu akibat hujan.

Saya mendengar guruh dan bangun memeriksa tingkap pada kamar buku.  Bukan sekali dua buku bermandi hujan kerana tingkap terbuka luas. Hujan akhir-akhir ini turun sebelah petang, sebelum saya tiba ke rumah, menyebabkan saya gagal menyelamatkan buku. Mujur sahaja ia buku nota dan catatan tangan. Sejak itu saya belajar sesuatu - rapatkan tingkap sebelum keluar. Atau pun letak barang tidak berharga berhampiran cermin. Pasport atau buku cek, bukanlah benda yang bagus untuk di pamerkan pada tingkap. Meskipun rumah ditingkat dua dan tiada kemungkinan berlakunya adengan pecah masuk.


Rumet saya menekan punat Astro meskipun tiada apa yang boleh di tonton. Di bangun dan mencari wayar yang menyambungkan ariel - yang kami guna sebelum melanggan Astro tiga bulan yang lalu. Dia cuba memasang siaran biasa tanpa bantuan ceper Astro yang kesejukan. Lantas saya teringat kutukan pelanggan Astro - apa guna ada satelit serba canggih, dekoder hebat,  pakej serba sempurna dan pemancar yang bagus tetapi sebaik sahaja hujan turun, langsung tak boleh tengok tv. Bayaran tetap sama.

Maka saya pun bertanya pada diri sendiri - adilkah untuk saya bayar sewa bulanan kalau saya tak menonton siaran yang dilanggan? Tiga angka sebulan bukan sebarangan duit. Soalan itu adalah untuk rumet saya. Cuma tanya dalam hati. Kerana saya rumet yang baik dan tak banyak kerenah. Maka saya gasak tonton EPL biarpun awal pagi. Dah bayar, rugi tak tengok.

Saya teringat pula pada emak. Masa kecil dahulu, pantang hujan turun, emak dah bising suruh tutup tv. Itu belum lagi kilat dan guruh berdentum. Tak berbaloi katanya nanti bila tv di sambar petir. Nak tengok tv bukan sehari dua. Tapi selama-lamanya. Jaga tv elok-elok. Bila rosak nanti nak membetulkannya satu masalah. Mana nak cari duit repair tv. Nak cari duit untuk makan pakai. Tv yang dibeli itu pun, bukannya sehari dua menyimpan. Kena main kutu dulu baru dapat tv. Dan bebel emak pun makin panjang. Maka kami selaku anak yang baik segera tutup tv dan berbaring-baring dalam gelap sampai terlelap meskipun adik dah melalak nak tonton tv.

Siaran biasa tanpa bantuan Astro pun keluar di kaca tv. Di luar, petir sesekali menyambar. Saya yang sedang menyunting manuskrip, segera melarikan laptop ke dalam kamar buku. Tidak mahu jadi saksi tv di sambar petir meskipun tv itu saya yang beli. Saya singgah ke dapur sebentar sambil mengacau Nescafe decaffanate yang tidak pekat lalu membawanya ke kamar. Perut pula berbunyi minta diisi meskipun petang tadi sudah melunaskan hak tekak. Saya terpandangkan roti di atas meja dan jem dalam peti sejuk.

Hujan yang tadi lebat kian halus rintiknya. Petir pun tidak lagi berbunyi. Hanya guruh kedengaran sayup-sayup dari jauh. Saya menukar mood dengan mengambil buku yang sudah lama saya inginkan. Baharu sahaja dibeli minggu lalu. Ada kaitan yang akrab dengan kerja-kerja yang sedang saya lunaskan.

Sambil menghirup nescafe yang kurang pekat, saya dengar bunyi tv kian rancak. Astro sudah pulih. Selamatlah tv saya dari disambar petir.

Khamis, September 22, 2011

Membariskan aksara

Comfort zone, zon nan selesa pada fikiran saya adalah zon bahaya.

Sehari dua ini saya sedar, bahawa saya hanya boleh menulis dengan lancar dan nikmat apabila jiwa merasa gelisah, kacau, risau, keliru, kecewa, takut, gagal, hampa.

Saya merenung hari-hari semalam yang penuh kecewa, dan saat itulah ilham berpusu-pusu mengetuk pintu kreativiti hingga tidur pun seperti satu kerugian. Saya baca kembali puisi yang diluahkan dan cerpen yang sempat di tulis. Semua mengundang senyum. Mungkin kerana semua berbau emosi. Tetapi itulah titik produktiviti yang sangat mahal buat diri. Saat dimana ia tidak bisa berulang lagi.

SN Usman Awang dalam zaman gelisah dan kecewa dekad 60-an dan 70-an di saat kemuncak mogok Utusan dan protes pelajar berjaya menghasilkan pelbagai puisi bernada santun tetapi sinis. Caranya menegur sangat beralas dan penuh sopan. Tetapi bait katanya sangat pedas dan tajam. Puisi beliau dalam buku Ini Saya Punya Kerja dan Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang hampir lusuh saya selak dari satu halaman ke satu halaman kerana takjub dengan pilihan diksi beliau yang pelbagai tetapi tuntas. Beliau polos menegur. Malah tidak gentar dengan bicara yang boleh menggegarkan lawan.

SN A Samad Said dalam novel adikarya Salina lahir selepas kucar kacir perang yang membinasakan. Masyarakat porak poranda, kampung jadi bisu, bandar jadi debu. Kelaparan, kedinginan, penderitaan menjadikan mereka keliru. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Kemanusiaan telah musnah oleh bom dan peluru yang membunuh. Derita perang berlanjutan beberapa dekad sehingga zon selesa kembali menutup ruang luka. Kemodenan menjadi raja dalam impian insan.

Namun tidaklah bisa kita memohon berada dalam daerah sukar kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk kita meminta yang terbaik buat diri. Soalnya, kitalah yang menentukan arah agar nikmat itu melancarkan ilham untuk selalu mengetuk dan memaksa diri membariskan aksara pada nota-nota yang kosong dan suci. itu tugas saya. Dan saya berdoa untuk itu.

Mimpi Tolstoy

Malam tadi saya tidur lewat. Menjelang dua pagi baru kepala mencecah bantal. Sebelum tidur, saya menyemak buku Buku Kekasih tulisan Shaharom TM Sulaiman. Tiba dihalaman berkenaan penulis Leo Tolstoy, tertera nota pendek saya di hujung artikel: Leo Tolstoy adalah seorang Muslim.

Pengamatan saya adalah berdasarkan pembacaan terhadap novel Haji Murat dan kisah beliau di hujung hayatnya yang berupa perjalanan rohani dan pencarian diri. Saya terlalu percayakan yang beliau seorang Muslim. Lihat sahaja cara beliau menuliskan novel Haji Murat. Ikhlas dan jujur.

Dalam tidur, saya bermimpi Tolstoy datang dan berkata-kata dengan saya. Saya tidak ingat apa yang beliau sampaikan. Mungkin saya mengigau. Mungkin oleh letih membaca.

Saya teringatkan Anna Karenina dan War and Peace. Saya teringatkan bukunya yang sudah diterjemah DBP. Saya teringatkan Dawama.

Rabu, September 21, 2011

Cerpen - Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa

Cerpen Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa ini tersiar dalam akhbar Harakah sebanyak empat siri pada bulan Mei 2011. Kepada teman yang berjuang dan menghuni kiri dan kanan jalanan tiga belas tahun yang lalu, cerpen ini adalah untuk anda.

Selamat menghayati.



*****
Tiga Belas Tahun Selepas Unjuk Rasa
DIA ialah serpihan siswa yang sibuk dengan unjuk rasa akhir dekad lalu. Setiap Sabtu juga Ahad, dia dilihat berada di sebatang jalan di tengah ibu kota. Berteriak, menjerit, mengacu tangan ke udara, memegang sepanduk dan mengedar risalah provokasi. Bersama ribuan marhaen, dia kemudian disembur air gatal yang memedihkan mata. Lalu, dia yang tetap bersemangat meski berbaju kurung, menyinsing kain lari lintang-pukang menyelamatkan diri. Dia susup-sasap di lorong-lorong pejabat. Celah-mencelah di antara bangunan rumah kedai. Sorok-menyorok di masjid, rumah dan sekolah. Akhirnya, dia tiba dengan selamat di kampus.

Tiga belas tahun lalu dia saban waktu sibuk dengan perjuangan, kebenaran dan keadilan. Di kuliah, pensyarah turut serta membakar semangat ketika sibuk mengira statistik. Turut memberi soalan provokasi ketika menjawab matematik. Mereka mengukur pendapatan pemerintah dalam kelas percukaian, menimbang tara perbelanjaan untuk rakyat dalam kelas mikroekonomi. Selalu juga menilai debit-kredit akaun jabatan ketika menyiapkan imbang duga. Memerhati tadbir urus dan hierarki birokrasi dalam subjek pengurusan. Mereka semakin maklum akan peranan agama dalam kehidupan usai berkuliah selepas solat. Tidak ketinggalan, memahami hadis dan Quran ketika menghadiri kelas tafsir.

Sering dia mengingatkan teman-teman dan pimpinan persatuan, “Pejuang, kita berjuang. Jika ramai-ramai, kuatlah kita. Seorang diri, fikiran sengsara dan derita. Ayuh, kita sama-sama.”

Ketika usrah. Ketika mesyuarat pimpinan. Ketika perbualan di meja makan atau saat bicara di kelapangan, mereka pasti bualkan perjuangan. Dia turut melatih kader baru yang masih ayu usai sesi suai kenal. Dia tidak kenal penat mengecat sepanduk juga menaip berita terkini. Kemudian, ligat memfotostat buletin dan mengedar isu di setiap kamar asrama. 

Dia juga turut serta menjadi mata-mata kampus apabila SB dikhabarkan berkeliaran dengan pakaian awam. Waktu itu tidak seperti sekarang. Tiada telefon bimbit, Facebook, blog, myspace, friendster, mahupun twitter. Namun demikian, maklumat mereka tetap pantas. Malah dia tidak peduli untuk membuat semua kerja itu walaupun ada sesetengah pimpinan lelaki membeliakkan mata apabila mendengar  kisah tentang dia yang memanjat pagar untuk menampal poster.

Darahnya panas bersama api perjuangan. Bibirnya tidak henti dengan ajakan mencegah kebatilan. Mulutnya tidak putus membicarakan kebenaran. Dia tidak kenal rasa gentar. Tidak menghiraukan AUKU, ISA, OSA juga Akta Mesin Cetak. “Untuk apa takut sekiranya itu hal yang benar,” katanya. Maka seluruh negara pun gempar dengan bicara tentang perjuangan, kebenaran dan keadilan. 

Itu tiga belas tahun dahulu. Ketika dia tahu apa yang dicari, apa yang dimahukan. Dia pasti.
Kini selepas usia menjengah dewasa, dia tiba-tiba mahu menjejaki kawan-kawan seperjuangan dahulu.

Tiba-tiba, dia mahu melihat hasil perjuangan mereka. Apakah mereka sudah menjadi manusia atau hanyut dengan cita-cita sang kapitalis. Apakah masih berjuang atau senang menjadi manusia biasa. Dia sudah kehilangan mereka usai majlis graduasi. Mula-mula membawa diri ke selatan tanah air lalu bekerja dengan bermacam-macam syarikat. 

Dia tetap juga dengan sikapnya itu – memberontak bagi mencari perjuangan, kebenaran dan keadilan. Mujur dia tidak pernah dibuang kerja, sekadar bertelagah dengan majikan. Berbalas hujah dengan ketua yang bagi dirinya adalah biasa. Katanya, “Mereka kapitalis, untung sangat utama. Pekerja diperah, dikerah sehingga kering titik peluh dengan balasan yang tidak memadai.” Itu yang menyebabkan dia sering marah-marah.

Sehingga dia akhirnya bosan dengan pelbagai karenah majkan yang sungguh bobrok dan menjijikkan lantas memilih untuk menjadi sukarelawan dalam sebuah NGO. Itu pun selepas empat tahun. Setelah dia gundah melihat Acheh dibadai tsunami. Dia kerap ke luar negara selepas itu. Membantu menyulami kedaifan serta berhadapan dengan birokrasi bantuan untuk menyelamatkan mangsa bencana alam yang tetap juga wujud. Tetapi, dia menemui nilai kemanusiaan, keikhlasan, persahabatan dan kehidupan. Semakin mereka ditimpa pelbagai kemalangan alam yang menduga. Semakin juga dia memahami maksud kemanusiaan. Semakin hatinya dipanggil-panggil pulang mencari sahabat yang sudah bertebaran di pelosok negara. 

Dia mahu menanam sikap ikhlas, mahu mereka sepakat akan hasrat terhadap perjuangan, kebenaran dan keadilan. Semuanya berlaku selepas dia sedar yang dia tidak boleh lari daripada kedurjanaan dunia. Sang penindas ada di mana-mana. Insan yang angkuh ada di kiri dan kanan. Si rakus dengan harta dan kemewahan bersedia membaham segala peluang. Dia tahu mereka harus berani berhadapan. Seperti tiga belas tahun dahulu, ketika sibuk dengan unjuk rasa. 

Hari ini selepas terkial-kial melakukan pencarian menerusi laman maya, cuma lima teman punya kelapangan dan sepakat bertemu di sebuah kedai kopi di pinggir ibu kota. Ketika itu, matahari sudah tegak di atas kepala. Cuaca sangat terik dengan cahaya mentari memancar memanah bumi kekeringan. Dia tetap dengan baju kurung, belum berteman. Masih ayu, potongan badan yang sama tetapi dengan kematangan yang berbeza. Dia tetap tiba lebih awal dari masa yang ditetapkan. Selesa menunggu dari ditunggu. Senang menanti daripada dinanti. Lima temannya tiba seorang demi seorang. Paling lewat, sepuluh minit sebelum dia angkat punggung. Mereka pun membuka bicara dengan perbualan awal. Bermula dengan kehidupan diri. 

Lantas dia berfikir, “Ya, di mana-mana pun awalnya haruslah mudah sebelum memberatkan pengakhiran.”

Dia lebih senang diam daripada bercakap. Mahu mendengar dan menghayati sosok teman-teman. Setelah tiga belas tahun unjuk rasa menyatukan mereka dan selepas dia lari daripada kenyataan kehidupan. 

Mereka pun gigih bercerita dan dia pun telus memerhati. Amrul dahulu periang, tubuh tinggi renjong, jadi pujaan gadis memandang. Dia menjadi harapan bagi mengangkut teman-teman menghadiri perjumpaan dengan kereta kecilnya. Sering menjadi orang terawal menangkap isu sebelum dipanjangkan kepada teman lain. Kemudian terjun ke kancah politik, aktif lalu dilantik sebagai penasihat kepada seorang pemimpin kanan parti.

“Aku menyambung perjuangan kita dahulu,” katanya berapi-api dan muka berseri-seri. “Kita harus teruskan momentum perjuangan kita, jangan biarkan api semangat itu padam. Kita harus terus berjuang!”

Dia pernah begitu kagum dengan Amrul. Masih tetap seperti dahulu. Dia mahu bertanya banyak cuma, sesaat kemudian nada Amrul berubah. Wajahnya menjadi sayu dan kelam. “Tetapi, ah! Politik, ah!” Dia terdiam. Tidak tahu apa terjadi dengan Amrul. “Benci! Aku benci! Benci!” Amrul menjerit-jerit. Lima cawan kopi hitam pekat yang tersusun di hadapannya bergegar setelah meja kayu kedai kopi ditumbuk geram. Mujur sedikit sahaja yang terpercik.

Badariah yang ralit memainkan aplikasi pada telefon bimbit cita rasa terkini di genggaman membeliakkan mata memandang Amrul. “Kau salah! Kau lelaki! Kau kena kawal isteri. Kau dayus membiarkan dia main kayu tiga,” Badariah kemudian ketawa mengekek. Mata Amrul tajam merenung Badariah. Mengetap bibir menahan marah.

Amrul segera menyandarkan badannya ke kerusi. Mendongak seraya  merenung kipas yang berputar perlahan di siling. Khabarnya rumah tangga yang berusia enam tahun itu sudah berantakan. Isterinya lari dengan lelaki lain akibat sering ditinggalkan lantaran kesibukan Amrul dengan parti. Amrul tidak membalas kata-kata Badariah tetapi mengomel sendirian. “Aku ke hulu ke hilir di pentas politik, isteri pula main kayu tiga dengan teman separti. Aku ceraikan talak tiga. Padan muka. Ah, persetan politik.” 

Dua anak tinggal bersamanya. Bekas isteri langsung menghilang tetapi kini datang menuntut hak. Dia tertekan dengan masa untuk menjaga anak dan khabarnya mahu mencari-cari pengganti. Lalu, dia menjadi seorang yang sering marah-marah kerana tidak puas hati diperlakukan begitu. “Aku sudah cukup baik, apa lagi yang dia mahukan daripada seorang lelaki? Wang, harta, masa? Cukup!”

Badariah masih menyambutnya dengan ketawa. “Politik?” dan dia ketawa lagi. “Kau bodoh! Dengan politik, aku dapat macam-macam.” Telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dia senyum memandang skrin. Tanpa memohon izin, Badariah bangun mencari ruang privasi bagi menjawab panggilan. Dia menelan liur memerhati Badariah yang nampak moden dengan potongan rambut perang kemerahan. Badariah asyik dengan telefon. Senang melayan alat kecil itu daripada membalas kata-kata teman. Ada kalanya Badariah senyum. Ada saatnya masam mencuka. Dia tidak tahu permainan Badariah melalui telefonnya. Tetapi dia pasti, gaya yang menggoda itu mampu saja menarik pelbagai habuan daripada kontrak dan wang ke akaun simpanan.

Dia beralih kepada Dalilah yang duduk di sebelah kirinya. Dalilah dahulu sangat berbangga dengan namanya. “Maksudnya pemimpin, dan akulah pemimpin sebenar.” 

Benar, dia dahulu antara pimpinan wanita yang digeruni. Kata-katanya sering mematahkan hujah lawan. Sudah beberapa kali dipanggil menghadap meja pengadilan kampus kerana terlalu lantang bersuara. Sangat kuat mempertahankan hak pelajar. Tidak langsung gentar. “Aku pemimpin,” ulangnya selalu. 

Kini, Dalilah memang sebenar pemimpin. Menjadi ketua bagi sekumpulan kakitangan yang berada di bawahnya. Memimpin sekumpulan pakar yang merencana dasar, menggubal akta, mengkaji peraturan. 

Memang Dalilah sangat yakin diri dan tegas peribadi. Sering dia melihat Dalilah muncul di kaca televisyen menjawab soalan pemberita. Mengulas perkembangan terkini politik negara. Menghadiri perhimpunan besar bersama rakyat jelata. Dia tahu susuk tubuh Dalilah sangat kuat dan berpengaruh. 

Lalu dia mengimbas Dalilah kini dan dahulu. Pemimpin. Kereta hitam berkilat milik Dalilah menjalar di parkiran. 

Dia menilai: duduk di bandar, berkereta besar. Dengarnya sebuah rumah agam diperbukitan itu juga miliknya. Dia berkira-kira. Nilai pendapatan selaku penjawat awam dengan harta di pangkuan terserlah tidak sepadan. Dia mengetap bibir. Bukankah dahulu Dalilah sangat menentang pemerintah?

Dia cuba menguji Dalilah dengan memuji. “Hebat kau sekarang, selalu di kaca tv, wajah dalam akhbar. Punya ruangan sendiri di majalah. Aku kagum.” Dia sebenarnya menyindir tetapi Dalilah sangat gembira. Perempuan memang suka dipuji!

“Kau anggap aku berubah?” Dalilah senyum. “Ya, dahulu ya. Kita menentang kerana kita tidak faham. Aku puas mencari kerja selepas tamat belajar. Ke mana-mana saja, permohonanku ditolak kerana dikatakan bahaya dan menakutkan. Kau mahu aku sara apa untuk diri sendiri dan adik-beradik? Pinjaman pelajaran perlu dibayar, makan pakai perlu diusahakan sendiri. Mana bisa meminta-minta lagi daripada ibu bapa.” 

Dia terasa secawan kopi yang masih berasap di cawan tersimbah ke muka.

“Bila dalam keadaan begini, aku senang. Ke mana-mana masyarakat memandang aku. Mereka sambut aku. Tak perlu marah-marah, terjerit pekik yang akhirnya kita rugi dihambat polis dan pemerintah. Hidup dalam ketakutan,” sambung Dalilah sambil menghirup nikmat kopi pekat.

“Kamu semua penakut,” balas Amrul. Dia merenung Amrul yang berwajah tidak puas hati. Dia tahu dalam kepala Amrul ada jadual padat ketua politiknya. Ada anak-anaknya yang ditinggalkan berdikari di rumah. Ada kes bekas isterinya yang menuntuk hak penjagaan. Sementelahan, dirinya sendiri tidak terurus.

“Kamu semua takut berhadapan dengan realiti. Itu yang kita perjuangkan dahulu. Kau semua menjaga perut sendiri,” Amrul berbicara tegas, menampakkan ketidaksealiran pemikiran mereka berlima. Sedikit sebanyak dia setuju dengan Amrul.

Ghazi yang sedari tadi diam akhirnya bersuara, “Amrul, kau lihat diri sendiri. Hidup kau porak-peranda bukan? Kau harus berubah, berpalinglah kepada kenyataan. Aku tahu pendapatan kau di sana kecil. Ikut aku, nanti kau tahu bagaimana menjadi kaya. Isteri kau tinggalkan keluarga kerana dia sudah tidak tahan dengan kesempitan hidup, bukan? Mengaku sahajalah. Ariani selalu memberitahuku begitu. Kau masih muda, punya tenaga. Alirkan momentum kau ke tempat yang sepatutnya. Bukan dengan membangkang mengikut nafsu.”

Amrul bangun. “Celaka kau Ghazi. Kau gunting dalam lipatan!” Amrul menudingkan jari ke Ghazi. Ada kata-kata yang mahu disambung tetapi terputus sebaik sahaja mata Amrul berbalas pandang dengannya. Amrul terus meninggalkan mereka, mengenakan topi keledar dan memecut laju dengan motorsikal tanpa menoleh ke belakang. Dia terpempan. 

Drama apakah ini?

Badariah yang masih di talian segera memutuskan perbualan dan kembali ke kerusi sebaik-baik melihat kekecohan.

“Mar, tidak ada gunanya kita melawan. Kita diikat kiri dan kanan. Ke depan melanggar api. Undur belakang terpijak duri. Apa yang kita dapat nanti? Daripada melawan habis-habisan dan kau makan pasir, ikutkan sahajalah arus. Tidak terseksa, tidak terbeban. Malah, habuan dan ganjaran jatuh bertimpa-timpaan.” Ghazi bersuara lagi sambil memujuk. Dia merenung Ghazi. 

Dia tahu Ghazi – seorang kontraktor – ada lesen kelas A dan berpuluh kelas F. Dia pandai mencari kontrak, kemudian dipecahkan kepada syarikat kelas F-nya. Semua wang masuk ke poket sendiri. Dia akur Ghazi hebat merancang, dan itulah senjata Ghazi. Sejak dahulu menjadi pakar strategi pimpinan dan sering merancang agenda untuk persatuan. Kini, Ghazi memanjangkan kehebatannya terhadap perniagaan dan nyata dia berjaya.

“Aku berniaga, kalau tidak diturutkan, ah, masuk angin keluar asap. Bisnes harus untung cepat. Ahli politik kena rapat. Perlu cari kroni. Pandai melayan kehendak. Menurut arahan dan jangan melawan. Turutkan segala yang diminta, kontrak juta-juta pasti dalam tangan. Wang harus kau alirkan pada arus yang betul supaya kantungmu sentiasa kembung!”

Ghazi, Dalilah dan Badariah ketawa. Kini dia mengerti mereka bertiga sangat rapat dalam urusan perniagaan. Dia dapat mengesan sumber kereta Dalilah, punca tawaran kontrak Ghazi dan strategi pemasaran Badariah yang mencari ahli politik sebagai mangsa. Dia semakin gelisah lalu meneguk kopi. Terasa seperti menggelegak di kerongkong. Inikah sahabat seperjuanganku dahulu? Dia sudah berkira-kira mahu bangun apabila Arif terkocoh-kocoh tiba.

“Tiba-tiba aku dipanggil ke sekolah. Ada pelajar bergaduh, warden tidak tahu apa yang harus dibuat.” Dia terus memesan kopi dan membuka kotak rokok. Terus dicucuh api dan asap disedut rakus. 

“Macam-macam pelajar sekarang. Cikgu tak dipandang hormat. Mujur sahaja mereka itu perlu aku jaga dengan elok. Kalau tidak, sudah kutampar semuanya.” Arif menyedut asap lagi.

Ghazi ketawa menyindir Arif. “Hah, Ustaz Arif yang mengajar Pendidikan Jasmani sudah mula bersuara!” Mereka ketawa lagi. Arif juga, sebelum menyambung bicara.

“Kau tahu Mar, tiga tahun aku tiada kerja tetap. Sekadar kerja sementara atau kontrak dari bulan ke bulan. Mujur sahaja bukan menganggur. Akhirnya akur dengan bidang ini. Aku berusaha mengajar mereka bersungguh-sungguh. Ikhlaskan diri. Kasihan anak bangsaku jika aku cepat berputus asa. Tapi kami dibebani tugasan luar bidang. Aku perlu siapkan kertas soalan peperiksaan. Aku cuba yakinkan diri. Tapi aku harus bawa mereka ke pertandingan sukan saban minggu. Aku harus pastikan anak bangsaku dapat ilmu, tapi mesyuarat memanggil tidak kira masa. Aku perlu berdepan dengan disiplin pelajar. Tapi ibu bapa sibuk nak saman sekolah. Dengan kokurikulum, dengan sukan sekolah, PIBG, musabaqah membaca al-Quran, susu percuma, skim pinjaman buku teks. Argh!”

“Kau sudah di bawah telunjuk pemerintah, apa bisa kau lakukan mengikut kehendak peribadi? Sudah tentu kau perlu turutkan!” Dia membalas geram. Arif serba salah melihatkan dia mula bersuara.

“Jangan kau ungkit kisah lepas. Inilah perjuangan aku sekarang. Tetapi beginilah nasib guru, berbuat baik tidak dipandang. Silap sikit, jadi muka depan akhbar.”

“Kau degil, aku dah kata dahulu berhenti sahaja. Kerja dengan aku. Berapa sangatlah gaji kau di sekolah. Kononnya kejar bonus, cuti panjang, jaminan hari tua. Kalau setakat gaji kecil, berapa sangatlah kepuasan kau di sekolah? Jurusan agama mengajar Pendidikan Jasmani?” Ghazi ketawa kuat. Arif diam menyedut lagi asap rokok yang semakin pendek puntungnya.

Dalilah mencelah. “Sudah, jangan fikir panjang lagi. Tawaran kami masih lagi terbuka. Kau tahu, Mar, Badariah sudah dapatkan Arif kerja sebagai pembantu peribadi. Tugasnya senang, sekadar menjadi penasihat agama seorang Tan Sri. Kau tahu sahajalah sekarang ini, isu agama sangat sensitif lalu Tan Sri perlukan pakar agama untuk mendampinginya. Membantunya mengulas perkara yang tidak mampu dijawab.”

“Arif, kau boleh mula pada bila-bila masa. Aku sudah usahakan gaji kau tiga kali ganda daripada yang kau dapat sekarang. Jangan fikir panjang, buat surat peletakan jawatan segera,” Ghazi menambah semangat.
“Selepas ini nanti, urusan kita bertiga jadi mudah. Kita sudah ada pakar macam-macam bidang,” Dalilah memberi saranan. “Dan kau Mar, bila mahu menyertai kami? Aku akan cuba tempatkan kau di pejabatku. Aku perlukan kau sebagai pembantu peribadiku untuk membuat kajian atas arahan pemerintah. Aku telah berjaya mendapatkan geran penyelidikan juga untuk pelbagai agenda. Aku perlukan kepakaran kau seperti dahulu.”

Dia mengetapkan bibir sambil memandang tepat ke arah Dalilah. Dadanya berombak kencang menahan marah dan geram. Dia sudah tidak dengar segala perbualan Ghazi, Badariah, Dalilah dan Arif selepas itu. Dia teringat akan kejadian sewaktu tiba di kedai kopi tadi. Seorang gadis berjaya menyelamatkan diri daripada diragut selepas menendang pemuda yang mahu merampas telefon dalam genggaman. Beberapa orang di sekeliling bersiap sedia mahu membantu tetapi pemuda itu lekas melarikan diri. Dia gembira dengan situasi itu kerana pada pandangannya, tanah air ini sudah berubah. Rakyat sudah yakin, ada keberanian. Boleh bertindak di luar kawal. Mampu melanggar undang-undang dan peraturan. Inilah bicara yang dia mahukan daripada teman-teman. Bukannya seputar hal keuntungan dan kekayaan. 

Sikap mereka kini serupa dengan para majikan kapitalisnya dahulu yang memerah keringat pekerja tanpa habuan yang setimpal. Mementingkan diri sendiri untuk kepuasan peribadi. Melaksanakan dasar matlamat menghalalkan cara. Kiranya, dia tidak boleh mengaitkan kejadian ragut dan ketangkasan anak gadis tadi sebagai simbolik kebebasan. Masih ada lagi yang tewas dengan kapitalis, fikirnya. Dia mengelamun jauh. Selepas itu, dia cuma dengar perkataan ‘kontrak’, ‘perolehan’, ‘duit’, ‘kereta’, ‘tender’, ‘perempuan’, ‘karaoke’, ‘melancong’, ‘skuba’, ‘Gold Coast’. 

Kapitalis. Kapitalis. Kapitalis!

Tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil beberapa kali. Dia memandang Arif.

 “Kau, apa jadi dengan kau sekarang?”

Empat pasang mata menanti jawapannya. Dia mengambil masa yang lama sebelum menjawab. Menghela nafas panjang, memikirkan ayat penamat. Dia mahu berundur. Situasi di situ rupa-rupanya lebih kalut!

“Aku jadi manusia.” 

“Apa, kami bukan manusia? Apakah menjadi manusia itu dengan terjerit-jerit di jalan macam dahulu?” Ghazi membalas sinis.

Seorang demi seorang dipandangnya. Celaka apakah ini? Selepas tiga belas tahun. Lebih banyak perkara yang bobrok terpapar. 

“Mar, sudahlah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Nanti aku cuba ... .”

Dia bangun. Tiba-tiba, dia jadi benci. Jadi marah. Dia menuju ke kaunter, membayar dan meninggalkan semua tanpa pamit. Dalilah memanggil. Arif melambai. Badariah mengilai. Arif terkekeh. 

Mereka sudah besar, perjuangan yang sudah bermula dahulu tidak benar masuk ke hati. Apa yang merubah fikiran dan keyakinanmu sahabat? Mengapa kau tunduk dengan keadaan?

Tiga belas tahun selepas unjuk rasa, sahabat – kamu benar-benar menjadi manusia!



Tamat

Tiba-tiba

Tiba-tiba terasa dikejutkan dari mimpi yang panjang. Mimpi indah. Mimpi yang melenakan. Mimpi yang enak. Dibawa pergi terbuai-buai dalam alam khayal. Apabila sedar, kita telah ditinggalkan jauh. Dibiarkan terpinggir ke tepi. Diketawakan, mungkin. Menjadi mangsa amarah, mungkin juga. Mereka sudah jauh. Mereka sudah berlari. Kita masih tercicir. Masih bermimpi. Bangunlah.

"Tetapi, pengorbanan memerlukan kos," kata seorang kawan.

"Kalau dikorbankan ringgit masa kini untuk keuntungan hari muka, apakah kau mahu tetap berkira?" balas saya.

Dia diam.

"Kau fikirkan kerugian atas pengorbanan? Risaukan tiada balasan yang berbaloi?"

Dia diam lagi.

"Kita usaha dengan sasaran kejayaan. Fikirkan laba dari pelaburan. Itu pun doa juga. Jika asyik risau akan kegagalan, kerisauan itulah yang menjadi selimut terhadap usaha. Kau tak kan berusaha lebih kerana sering risau. Di takutkan dengan kerisauan."

"Jadi?"

"Usaha. Selagi kau tak cuba, selagi itu kau tak tahu."

Dia angguk. Chicken Cornish yang besar memenuhi piring bagi menu minum petang itu dipotong halus dan disuap ke mulut. Lalu dikunyahnya perlahan-perlahan.

Isnin, September 19, 2011

Belian buku September


Minggu lalu dengan dua kali membeli buku. Pertama dengan jualan gudang MPH di Petaling Jaya. Pertama kali tiba tiba disini. Rasa terharu dengan gudangnya yang besar dan susun atur yang kemas. berbeza dengan susunan di jualan gudang Dawama (dulu, sekarang tak ada lagi). Namun tak berkesempatan membelek satu-satu. Bukunya terlalu banyak. Duduknya diatas lantai. Jadi untuk mencangkung, membongkok dan berdiri, kemudian mencangkung, membongkok dan berdiri untuk melengkapkan pusingan gudang memang tak mampu. Boleh patah pinggang dibuatnya. Masa pun terhad. Apatah lagi 95% adalah buku berbahasa Inggeris. Pilihan saya sekarang terhad pada buku bahasa ibunda. Kalau saya beli pun, nanti duduk sahaja di rak. Ada buku yang telah menjadi prioriti hingga hujung tahun. Jadi, yang di dalam gambar itu sahajalah yang dapat saya beli. Termasuk Nota Kaki yang sangat menarik harganya. Dan Histroy of Iran yang jarang ditemui.

Kali kedua ialah ketika beraya di rumah penulis Nisah Haron, pemilik dan pengusaha Ujana Ilmu yang sangat gigih. Rumah penulis, mestilah banyak buku. Dan rak serta kamar Ujana Ilmu menjadi sasaran buku yang perlu dilengkapkan dalam koleksi. Paling menarik ialah Iga karya Zaen Kasturi. Kekasih Sam Po Bo pernah beli tetapi dijadikan hadiah kepada teman jauh. Jadi, pembelian adalah untuk menambah-nambah khazanah.

Cukup dua trip. Kena menyimpan untuk Big Bad Wolf pula awal bulan depan.


Selasa, September 13, 2011

Igau yang kembali menyapa


Saya pulang ke kampung sebaik sahaja selesai waktu pejabat pada petang Jumaat yang disiram hujan renyai-renyai. Sepanjang perjalanan berteman dingin. Hujan tidak berhenti sejak saya mula bertolak. Kabus menutupi pandangan tatkala melewati kawasan berpokok rendang. Kereta membelah senja pada kelajuan sederhana. Jalan licin dan pemandangan terhad boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya tidak berhati-hati.

Saya tiba dipintu rumah beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Sebaik memakir kereta, beberapa ekor kucing yang emak bela sudah menanti dan menggeselkan badannya di kaki saya. Pokok kelapa yang sudah tinggi melangit kelihatan dahannya terbuai-buai ditiup angin. Beberapa pelepah kedengaran jatuh mencium tanah. Esok nanti pasti abah akan berpusing sekitar rumah mencari apakah ada kelapa yang gugur, yang nanti boleh emak perah santannya ke dalam lauk-lauk atau kuih muih. Pelepah yang sudah dimakan usia itu akan abah heret ke tempat pembakaran. Apabila kering nanti, abah akan cucuh dengan api. Maraknya cepat sahaja meninggal abu.

Pokok-pokok bunga dalam pasu kelihatan menggigil kesejukan. Pokok bunga kertas yang dicantas rapi sedang ralit mengeluarkan bunga merah. Beberapa kuntum layu jatuh mencium rerumput yang segar menghijau. Pokok puding disebelahnya tunduk memeluk dahan. Titis-titis air hujan pada helaian daunnya turun ke tanah, ke akar yang kian mencengkam ke dasar bumi.

Usai solat Maghrib, saya mencapai pinggan, membuka periuk di dapur. Masakan emak berbeza hari ini daripada biasa kerana dia tahu yang saya biasanya pulang dalam keadaan lapar. Mengenepikan makan tengahari supaya dapat menyantap lauk emak yang lazat. Saya lalu membawa pinggan yang membusut dengan nasi, sayur dan ikan asam pedas ke meja makan.

Sebaik suapan pertama mencecah kerongkong, adik bongsu membuka buku sekolah. Dia menunjukkan kepada emak kerja rumah yang perlu di selesaikan hari ini. Emak yang sedang melipat kain sambil matanya terpaku pada Gerak Khas di kaca tv, melihat buku adik bongsu dengan ekor matanya. Belajar di Sekolah Melayu yang tidak habis kerana sering ponteng, apa sangatlah yang dia tahu akan apa yang tertulis pada buku latihan adik bongsu.

“Minta Along tunjukkan. Emak mana tahu bahasa orang putih ni,” kata emak. Adik bongsu terkial-kial melihat soalan. Saya melihat dari jauh. Emak bukannya tidak tahu membaca atau menulis, tapi tahapnya sekadar dalam bahasa ibunda.

“Macam mana nak buat kerja sekolah kalau soalan dalam Bahasa Inggeris. Emak tak tahu nak ajar. Nak tunggu abah kau, lepas Isyak terus dengar ceramah. Ada kuliah, ada tazkirah, ada kenduri, ada baca Yassin, ada tahlil, ada mesyuarat. Nak suruh adik kau yang lain, menangis tangan budak ni diketuk-ketuknya. Dikata adik bongsunya ni bodohlah, beranganlah, tak pandailah. Semua jenis tak sabar.” Emak berbicara separuh membebel, sekaligus menyimpulkan kesukaran adik bongsu menyiapkan kerja rumah.

Saya mengerti apa yang emak katakan. Abah pernah mencecah sekolah Inggeris tetapi sumber kewangan terhad menyebabkan dia perlu melepaskan pulang belajar tinggi kepada adiknya. Abah boleh mengajar, pernah mengajar sekolah agama rakyat tetapi masa abah pula suntuk. Dua orang adik yang tinggal bersama pun tidak boleh membantu. Bahasa Inggeris, apalah sangat pada kami luar bandar ini?

Kerja rumah matematik yang adik bongsu perlu siapkan itu dalam Bahasa Inggeris. Soalannya tidak susah. Boleh sangat disiapkan. Tetapi siapa yang boleh mengajar mereka di rumah? Siapa yang boleh membantunya membacakan soalan dalam Bahasa Inggeris? Siapa boleh memahamkan soalan? Siapa yang boleh menunjuk ajar?

Emak tidak faham Bahasa Inggeris, abah tahu sedikit-sedikit. Saya yang dahulu belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu boleh mengajar adik bongsu yang mahu menyiapkan soalan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya dahulu cuma belajar Bahasa Inggeris dalam kelas Bahasa Inggeris. Bukan belajar Bahasa Inggeris dalam kelas sains dan matematik. Saya tidak tahu nanti, apakah adik bongsu faham matematik, sains atau lebih hebat berbicara dalam Bahasa Inggeris.

Saya bukan mahu menentang keberadaan bahasa penjajah itu, tetapi bukankah lebih baik Bahasa Inggeris di ajar dengan lebih menarik dalam matapelajaran Bahasa Inggeris tu sendiri. Bukannya menjadi serampang dua mata dalam matapelajaran sains dan matematik, yang semakin disukarkan pembelajarannya. Yang kian mengundang trauma untuk tahu lebih lanjut akan sains dan matematik.

Saya terus menyuap nasi sambil adik bongsu menanti saya mengajarnya sebentar nanti. Hujan sudah berhenti. Katak mula memanggil hujan kembali. Dingin kian memeluk malam.