Isnin, Januari 31, 2011

Buku: Warkah Eropah

Jumpa juga akhirnya. Dengan harga lebih murah. Bukunya masih baru. Masih bau kedai. Seperti kali pertama mengulitinya ketika sekolah dahulu, perasaan teruja kali ini memang tidak boleh di nafikan. Dalam musim hujan yang turun tidak henti dari malam ke pagi membawa ke malam, akhirnya daku tenggelam bersama buku ini.

Rabu, Januari 26, 2011

Filem: Alangkah Lucunya (Negeri Ini)

Sekiranya tidak ketawa pada babak serius atau membeliakkan mata pada babak lucu, maka anda memang tidak pandai membaca lambang dan simbol yang bersepah-sepah dalam setiap babak. Tidak perlu berlawak. tidak perlu skrip yang menggeletek. Cukuplah menjentik sikap-sikap orang sebelah menyebelah atau kelakuan sendiri atau perangai manusia sekeliling. Semuanya itu adalah ramuan yang cukup bagi membikin sebuah filem yang sungguh bermakna.

Alangkah Lucunya (Negeri Ini) sangat menghiburkan. Tidak perlu tempelan pelakon perempuan tidak cukup kain. Tidak perlu adengan hantu hisap darah. Tidak perlu bantuan mat rempit dan minah motor. Tidak perlu adengan bergolek-golek bergumbira di taman. Tidak memerlukan hero menyelamatkan dunia pada babak akhir.

Semua pelakon dalam filem ini adalah hantu, hero dan heroin. Mereka menghidupkan lakonan dengan sangat berkesan. Di mana boleh saya tonton filem serupa ini di tanah kelahiran saya yang tercinta?

Jangan tanya dari mana filem ini boleh di dapati. Zaman internet ini, semuanya percuma!


Terima kasih kepada Ali yang mengusulkan filem ini.

Isnin, Januari 24, 2011

Buku: Sandera

 

Rasanya novel ini sukar di temui. Saya kira bertuah memilikinya ketika mencelah-celah di antara rak buku yang padat di sebuah kedai buku langka di Jalan Tun HS Lee. Dan harganya lebih mahal tiga kali ganda daripada harga asal. Tetapi wajahnya masih baik dan tubuh masih teguh. Tiada muka surat yang hilang. Tiada kesan koyak atau gigitan binatang yang cemburu pada buku. Saya kira pemilik asalnya menjaga dengan baik, atau sekadar mendiamkannya di rak buku sebelum menjualnya kerana tidak mahu ia luput di telan anai-anai atau lipas atau tikus.

Sandera bermaksud tawanan jaminan (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan). Saya mengambil masa yang lama membaca Sandera. Hampir dua tahun. Tiga kali berhenti pada tempoh yang lama dan terus menyambung kembali tanpa ada rasa mahu mengulang baca dari awal. Saya gagahkan juga menghabisi sehingga terbit kelegaan pada akhirnya seolah-olah keluar dari satu tempat yang menyeramkan.

Sandera ialah kisah perjuangan.  Kisah panjangnya merujuk kepada pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Bermula dari Busad di Makassar pada 1939 hinggalah 1967 di Malaysia. Untuk lebih jelas, perjuangan dalam Sandera adalah merujuk kepada perjuangan parti dan ahli Umno. Dalam novel ini ia dinamakan Parti Melayu Bersatu. Mereka kemudian menjadi ahli politik, diplomat, birokrat, duta, hakim, majistret, guru, nazir, askar, pensyarah, ahli perniagaan. Ada yang menukar perjuangan kerana kecewa. Ada yang tidak berpuas hati dengan pemimpin. Ada yang bertelagah dengan kehendak parti. Ada yang benar-benar dan jujur. Ada yang insaf dan kembali. Ada tertangkap dan di-ISA-kan. Ada terbunuh sewaktu konfrantasi.

Semua yang tertera dalam sejarah negara di ceritakan. Semua. Kisah sewaktu British menguasai tanah air. British menyerah mudah ketika Jepun datang. Derita ketika perang dunia kedua. Bintang Tiga mengganas selama 14 hari. Proses kemerdekaan. Suasana selepas merdeka. Isu undang-undang, bahasa, ekonomi dan perpaduan. KRIS, PETA, Melayu Muda, gerakan bawah tanah. Kemerdekaan Indonesia. Belajar ke Eropah (memang kita sangat berkiblatkan British). Malayan Union, Parti Melayu Merdeka (merujuk kepada Parti Negara di bawah Dato Onn), merdeka, hasrat penyatuan bersama Indonesia, keganasan komunis.

Semua isu dari 1939 hingga 1967 dibangkitkan kerana semua watak dalam novel ini adalah cermin kepada para pemimpin negara. Apa yang pemimpin fikirkan, itulah yang mereka bahaskan. Itulah yang mereka perjuangkan. Mereka adalah tulang belakang kepada pemimpin tersebut.

Sandera tidak berpusat kepada satu watak utama. Setiap wataknya ada karekter dan personaliti tersendiri. Dari Busad, ia melarat kepada watak Sariyah ibu Busad. Jubir teman seperjuangan Busad di Makassar. Dari Makssar Busad lari ke Kuala Terengganu, tanah tumpah ayahandanya. Romo sepupu Busad yang kemudiannya menjadi Brigedier Jeneral dalam angakatan Tentera Indonesia. Jusuh tahi judi. Mahmud seorang Hakim di Singapura dan perjuangannya dalam Melayu Muda. Diikuti anak-anak Mahmud seperti Zahid, Midah, Mahadi, Zainab dan Kadir. Zahid yang beraliran kiri dan kemudiannya di tangkap. Mahadi yang terbunuh sewaktu konfrantasi. juga 1001 watak lain yang menunjangi novel ini. Sama ada mereka pejuang, pengampu, pengkhianat, ahli politik, ahli perniagaan. Pemikiran sebelah kiri dan pejuang sebelah kanan di tunjukkan dengan jelas. Apa yang mereka mahukan. Apa yang sebenarnya mereka perlu.

Membaca Sandera amat mendera jiwa. Penceritaannya memihak kepada Umno yang di dalam novel ini dinamakan parti Melayu Bersatu. Tetapi mereka adalah pejuang suci. Sebenar-benar pejuang. Tidak terliur dengan nama dan pangkat. Tidak takut dengan kekalahan. Semangat membara dengan kemerdekaan. Tetapi saya tersiksa kerana novel ini memihak walaupun tidak berat sebelah. Jadinya membaca pun bagai di paksa-paksa. Maafkan saya untuk perasaan ini. Kerana itulah terasa berat sangat mahu menamatkannya. Dan apabila menyebut tentang Umno, maka terpaparlah gaya hidup para pemimpin di ibu kota dengan liberalisasi. Mereka mencampurkan semua pengaruh Inggeris. Kehidupan pasca-koloni yang tercari identiti apatah lagi ada yang belajar di luar negeri.

Saya sarankan semasa Perhimpunan Agung Umno akan datangi, ada kan satu sesi khas untuk membahas novel ini dari berbicara soal yang karut-marut ketika perhimpunan. Biar para perwakilan terbuka minda akan erti perjuangan. Biar mereka tahu sejarah pembentukan Umno. Biar mereka sedar tujuan mereka berparti. Barulah laku buku Sasterawan Negara. Laku untuk di baca, bukan untuk di bakar!

Sukar sekali mengulas Sandera kerana ia adalah sebuah sejarah yang panjang. Tetapi jika kita celik sejarah, tidak sukar mengagak arah novel ini. Sebab itulah enjin carian Google tidak dapat memapar keputusan carian terhadap novel Sandera.

Lain-lain ulasan di Ulasbuku

Ahad, Januari 23, 2011

Filem: The Children of Heaven

The Children of Heaven ialah kisah tentang sepasang kasut yang digarap penuh emosi. Ali dan Zahra adalah adik beradik, masih bersekolah. Kalau di Malaysia, dalam peringkat rendah. Segalanya bermula apabila Ali kehilangan kasut milik Zahra sewaktu singgah di sebuah kedai. Sebelum itu dia membawa kasut sekolah tersebut untuk di jahit.

Bagi mengelakkan dari di pukul bapa yang garang ditambah pula dengan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan, mereka sepakat untuk berkongsi kasut milik Ali. Zahra menyarung kasut sekolah Ali yang lebih besar dari saiz kakinya pada sebelah pagi dan bersegera pulang selepas waktu sekolah untuk di serahkan kepada Ali yang bersekolah sesi petang. Maka bermulalah episod berlari-lari - Zahra mahu segera menyerahkan kasut kepada Ali. Ali pula tidak mahu lewat tiba walaupun sudah beberapa kali ditangkap kerana lewat. Ini menjadikan Ali berusaha mempercepatkan lariannya supaya tidak di usir dari sekolah. 

Suatu hari, sekolah mengadakan pemilihan calon untuk pertandingan larian (merentas desa) antara sekolah (mungkin atara zon atau antara daerah). Ali yang asalnya tidak mengambil peduli merasa terpanggil untuk menyertai selepas melihat hadiah kemenangan tempat ketiga ialah sepasang kasut sukan. Dia memberitahu Zahra mahu menyertai dan berazam mendapatkan tempat ketiga dan mahu menghadiahkan kasut kepada Zahra.

Ali dapat nombor berapa? Persoalannya bukan kedudukan tempat itu tetapi cara bagaimana penonton merasa debaran yang teramat sangat melihatkan adengan larian sesama atlit. Kita dapat melihat bagaimana Ali begitu bersungguh mendapatkan tempat ketiga walaupun bajunya di tarik dan jatuh. Apabila bangun, dia mendapati beberapa atlit berada dihadapan dan turut bersaing dengannya. Ada seketika dia di kedudukan pertama tetapi memperlahankan lariannya supaya di potong untuk berkedudukan ketiga. Mainan perasaan pada babak ini sangat mendebarkan. Inilah intipati sebenar The Children of Heaven.

Ya, Ali menang akhirnya. Tetapi kemenangan itu amat menyedihkanya kerana tidak mampu mengotakan janji kepada Zahra. Dia memperolehi tempat pertama. Zahra kecewa akan kegagalan Ali. Tetapi akhirnya penonton tahu yang Karim, bapa mereka membelikan sepasang kasut. Simbol-simbol yang ditunjukkan memerlukan penonton berfikir kaitannya dengan setiap plot. Tidak semua dilambakkan. Perlu memahamkan apa dan mengapa. Sehingga bila melihat babak Ali berlari kita seperti mahu berlari bersama.

The Children of Heaven ialah kisah kasih sayang. Tidak perlu mengucapkan ILY. Tidak perlu berpeluk berpimpin tangan. Cukuplah dengan sepasang kasut yang kotor dan buruk. Lambang kepada kehidupan keluarga Karim. Simbol kasih sayang Ali kepada keluarga. Isyarat bahawa sesuatu itu tidak akan datang tanpa usaha. Merupakan makna sebuah kesungguhan.

Kini, apabila menyarung kasut, saya segera teringat kepada Ali dan Zahra.

Sabtu, Januari 22, 2011

Ke mana wang KITA pergi


Sebelum marah tak tentu pasal, baca buku ini dahulu. 
The Budget: How the Government is spending OUR money.
Sedang baca.

Rabu, Januari 19, 2011

Kertas Kerja

Saya jarang menghadiri majlis atau apa-apa acara berkaitan kesusasteraan. Jarang. Memandangkan majlis tersebut biasanya diadakan pada hari bekerja, maka saya hanya mampu bermimpi mengisi kerusi, mengapungkan diri dengan falsafah dan teori seputar acara. Saya cuma boleh berkongsi kegembiraan kawan-kawan yang mengisi majlis, mendengar ulasan akhbar esoknya atau membaca ulasan dari mana-mana blog.

Malah, tidak berapa gemar juga dengan acara penyampaian hadiah, maksud saya sebagai penonton. Sudahlah jenis yang tidak gemar duduk dalam kelompok manusia yang ramai (kalau pun ramai), dikelilingi dengan manusia hebat, berbual-bual dan beramah mesra (kerana saya bukan orang yang ramah), maka saya lebih senang buka laptop dan layan blog orang lain.

Ceremony-shy dan camera-shy.

Oleh itu, bila sesekali berhajat menghadiri majlis (terpilih, yang benar-benar dipilih), maka seharusnya saya memastikan mendapat semaksimum mungkin segala macam ilmu dan maklumat yang di perkatakan. Saya harus menghargai masa yang saya korbankan bagi meninggalkan kerja pejabat (duh, macamlah sibuk sangat) juga alasan yang telah dikemukakan kepada bos bagi keluar dari pejabat (bukan kerja senang!). Apatah lagi dengan nilai petrol yang sering naik dan tol yang perlu dibayar, maka ia semakin menjadi nilai tambah kepada usaha saya untuk ke majlis ilmu.Semua itu sangat berharga. Perlu dikira.

Pertama kali mengekori seorang kawan ke majlis serupa ini saya kira sepuluh tahun lalu di DBP. Para pembentangnya ketika itu adalah para SN seperti Dato Abdullah Hussain, Dato A Samad Said dan Arena Wati. Dialog Agung Sasterawan Negara. Kertas kerjanya masih ada. Dan saya teruja.

Selepas itu, tiada. Kalau pun ada, majlis tanpa kertas kerja.

Sehubungan dengan itu, saya harus mempersoalkan kewajaran ahli panel mahu pun penceramah yang ditugaskan membentang kertas kerja - apakah tuan hamba sekadar membaca kertas kerja yang tuan hamba siapkan itu diatas pentas? Membaca sahaja? Mengapa harus dinamakan 'pembentangan' jika sekadar membaca. Bukankah lebih elok di namakan sahaja sebagai 'sesi membaca kertas kerja oleh ahli panel.'

 Saya merasakan orang yang membaca itu telah melempar jauh jubah inteleknya keluar, meletakkan dirinya jatuh ke tanah untuk diinjak-injak. Membaca? Hadirin mahukan wacana bagi mencambahkan idea dan pemikiran, bukannya membaca apa yang ada ditangannya dan hadirin pun meneliti kertas kerja sambil menguap dan menggosok mata. Sungguh tidak menarik.

Rupanya ramai yang berperasaan demikian, ingatkan saya seorang sahaja. Kawan-kawan sendiri pun ada bercakap tentangnya. Dan Fadli al-Akiti lebih keras menegur disini:

Kesalahan terbesar sebenarnya datang daripada pembentang-pembentang sendiri. Memang amat memalukan segelintir daripada mereka, kupasan-kupasan mereka sangat nipis, sangat "on the surface", saya malu ia dibuat di dalam Dewan Seminar DBP, malah malu mereka berani tampil dengan kertas-kertas kerja yang memang 'separuh masak' (perkara ini pernah saya lihat sendiri berlaku pada KL Literary Festival di mana pembentang dari UM diberi nasihat untuk memberi 'teknik-teknik membikin kertas kerja' dengan lebih baik daripada pensyarah/pengkritik luar negara). Malah, ada seorang pembentang ini bernama A. Rahim Abdullah dengan sewenang-wenangnya, membaca perkataan demi perkataan kertas kerjanya di depan khalayak! Kalau ambil isi situ sini tidak apa lah. Saya bayangkan, kalau saya masih lagi seorang pensyarah dan saya menilai hasil persembahan ini, saya terus suruh 'murid' saya ini duduk sahaja dan beri penilaian 'D'! (F kalau tidak ada langsung).

Agaknya ilmu mereka hilang tanpa membaca. Oh, alangkah! Teringat pada kata-kata Arab yang selalu kawan-kawan sebut menjelang peperiksaan ketika masih belajar dahulu, 'ilmu fil-kutub, laisa fil-qulub' (ilmu di kitab, bukan di kalbu / hati)

Perubahan! Perubahan!



Dan jangan salahkan saya seandainya anda tersinggung apabila membaca entri ini. Bukan salah saya!

Khamis, Januari 13, 2011

Ulasan Buku: Perjuangan Muslim Patani

Sangat luka dengan sejarah Patani. Buku kecil ini, besar ilmu yang dikandung. Tatkala membaca, hampir semua ayat kalau boleh mahu saya gariskan. Dan eloklah saya nukilkan disini sebagai peringatan buat diri.

Ya, sejarah akan berulang sekiranya kita tidak belajar dari sejarah!

***


Saya terlupa untuk mengambil tahu tentang Patani. Terlupa. Tragedi Tak Bai dan Masjid Grisek walaupun memercikkan rasa kasihan tetapi tidak timbul pun sekelumit perasaan peduli terhadap keberadaan mereka. Walaupun tahu sepintas lalu akan sejarah besar negara ini tetapi seolah-olah tidak merasa ada keperluan. Mungkin sahaja terpengaruh dengan media yang lebih senang menutup derita mereka daripada menyiarkan tekanan dan kesengsaraan selama di bawah telunjuk Siam.

Buku kecil ini tidak cukup memberi cerita jelas akan derita yang di rasa oleh lima wilayah di Selatan Thailand. Wilayah Melayu. Wilayah Islam. Tetapi ia cukup mendatangkan derita pada diri, tatkala cuba menyelami betapa besarnya harga pengorbanan, dan mereka ini sebenarnya terpinggir di bumi sendiri. Diperkotak-katikkan. Di permainkan.

Patani yang di perkatakan adalah merujuk kepada lima buah wilayah di selatan Thailand - Patani, Narathiwat, Songkhla, Satun dan Yala. Hampir keseluruhan penduduknya beragama Islam dan dari keturunan Melayu. Tetapi selepas diserahkan oleh kolonial Inggeris kepada kerajaan Siam pada 1906 menerusi Perjanjian Bangkok, Patani menjalani proses Siamisasi / Thaisasi. Semakin keras layanan yang mereka terima hingga menyebabkan identiti masyarakat Melayu dan Islam terhapus. Mereka di larang menggunakan bahasa Melayu di sekolah, sekolah pondok yang menjadi nadi pendidikan di musnahkan atau dibakar. Guru agama di larang mengajar, di culik atau dibunuh. Sekolah pondok perlu didaftarkan dengan kerajaan, yang menyebabkan mereka perlu menerima guru kerajaan yang mengajar bahasa Thailand dan Buddha. Tulisan Jawi di larang. Pendidikan menjadi senjata dalam proses asimilasi budaya dan menghapuskan identiti Melayu Islam. Akibatnya, semakin kurang dari kalangan orang muda yang boleh berbahasa Melayu.

Perlu diingatkan penduduk selatan Thailand adalah berbeza dari warga Siam itu sendiri sama ada dari segi identiti mahupun sejarah. Apa yang dilakukan oleh para pemimpin mereka sangat menakutkan, apatah lagi mengambil kira peranan Thaksin dalam peristiwa Tak Bai dan Masjid Grisek yang dianggap kemuncak penderitaan. Tetapi, seteruk mana pun kejadian itu, masyarakat seperti tidak mengendahkannya walaupun itu telah menggugat rekod Thailand berkenaan hak asasi manusia.

Selepas itu, keadaan Patani tetap sama. Askar semakin ramai bersepahan di mana-mana bagi 'mengawal' keadaan. Kejadian pengeboman berlaku saban waktu. Penduduk takut-takut berbicara tentang agama. Buku di bakar, sekolah pondok di sekat. Ustaz dibunuh. Malah mereka sering mengingatkan diri untuk bersedia mati dimana-mana.

Di sebalik segala ujian wujud perasaan mahu merdeka, ingin kebebasan dan keamanan. Beberapa percubaan dipatahkan dan diakhiri dengan kematian. Walaupun begitu, saya sangat tertarik dengan perjuangan Tengku Mahmood Mahyiddeen, tokoh yang pernah saya kaji sosoknya. Beliau adalah anak kepada sultan Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin. Kita hanya mengenali beliau sebagai pengasas Force 136 yang gigih melawan Jepun. Rupanya ada kisah lebih besar dari tokoh ini yang tertutup oleh sejarah, yang tidak dibahaskan dan di sepikan dari arus wacana semasa. Sudah lama saya ingin memperkatakan Force 136 yang di tutup kisahnya, rupanya ada lagi yang hebat di sebalik perjuangan mereka!

Tidak ramai yang tahu apa yang sebenarnya berlaku di Patani. Kita masih belum mengerti derita mereka. Kalau pun kita mengatakan ISA itu akta purba, disana tiada langsung akta yang diguna pakai. Pada bila-bila masa mereka boleh ditahan. Pada bila-bila masa mereka boleh ditembak begitu sahaja. Nyawa amat murah di Patani.

Rabu, Januari 12, 2011

Interlok: Yang faham dan yang tidak

Tiba-tiba Interlok menjadi 'novel tahun ini', dicari, dibeli dan dibaca. Dikupas secara ilmiah, dibahas oleh karyawan, di debatkan oleh budayawan, di ambil kesempatan oleh politikus, di bakar oleh yang emosi, di pandang oleh ibu bapa, di risaukan oleh kementerian dan akhirnya pelajar keliru.


Interlok dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai sesi 2011. Ia adalah komponen, bahagian kecil dalam subjek bahasa Melayu (kenapa guna bahasa Malaysia?), dan bukanlah untuk dikaji 100%. Ia bukan seperti teks kajian dalam subjek kesusasteraan Melayu seperti yang saya pelajari bersama kawan-kawan ketika SPM dahulu, yang ketika itu mengkaji novel Mereka Yang Tertewas.

Sebelum ini Interlok di jual lambak di gudang Dawama, dan saya tidak langsung berkeinginan membeli. Sikap nanti-nanti-nanti menyebabkan saya terpaksa membuat pesanan secara talian menerusi Dawama, yang tiba adalah edisi pelajar berwarna biru. Saya kesal di tukar tanpa Dawama memaklumkan, dan selepas berbalas-balas emel, saya terima sahaja dengan separuh gembira. Ya, membaca edisi pelajar amat tidak lancar, terasa ayatnya bukan yang asli - telah disunting untuk kefahaman pelajar - tetapi intipatinya tetap sama.

Apa yang ada dalam Interlok?

Sudah banyak perbahasan Interlok diluahkan dan didedahkan di akhbar. Banyak liputan dipautkan di facebook, dibahaskan dengan emosi dan ayat yang tidak enak. Awalnya saya marah-marah juga dengan tentangan terhadap Interlok, dan gelisah bila ada ura-ura mahu berpakat untuk unjuk rasa. Selepas tamat membaca Interlok, menghadiri Dialog Interlok di Rumah Pena (walaupun cuma satu jam), meneliti liputan berita dari dua sisi, berdebat dan berbalah di laman sosial facebook juga Goodreads, saya rasakan satu ketidak adilan berlaku dan sesuatu harus dilakukan untuk membetulkan keadaan.

Pandangan saya:

1) Pihak penentang mempersoalkan Interlok kerana perkataan 'pariah'. Tetapi saya difahamkan ada banyak fakta didalamnya yang perlu diperbetulkan, bukan sekadar perkataan tersebut yang dikatakan membawa konotasi negatif terhadap kaum India

2) Saya pasti, pihak penyokong menyokong Interlok kerana ia di tulis oleh seorang Sasterawan Negara (SN) lalu mereka berpegang kepada prinsip  'ia adalah karya sasterawan negara, dan siapa kau untuk mengutuk karya SN?'

3) Walaupun ia ditulis oleh seorang SN, tidaklah bermakna ia 100% betul. SN Dato Abdullah Hussain tidak bersalah, kerana sumber beliau masa itu mungkin terhad. Maafkan beliau, tetapi janganlah bukunya dibakar, karyanya di hina, pandangannya di caci. Beliau tidak bersalah dalam hal ini. Bukankah ada jalan yang baik untuk membetulkan?

4) Seperti kata sahabat saya ketika membahaskan isu ini didalam facebooknya, Interlok adalah berdasarkan sarwa pandang dan sudut pandangan seorang Melayu (baca: SN Abdullah Hussain). Jadi, pandangannya pastilah berbeza dengan pandangan kaum lain yang membacanya

5) Apakah penyokong benar-benar faham budaya masyarakat India atau sekadar menyokong kerana ia ditulis oleh seorang SN dan menerima bulat-bulat bahawa ia adalah betul seratus peratus?
 

6) Mengambil kira pandangan Dr Anwar yang sangat gentleman, maka eloklah dikekalkan teks asal dan meletakkan nota kaki untuk memurnikan pemahaman pembaca terhadap perkara yang perlu.

7) Sdr Uthaya dalam profil gambar d Facebook-nya ada meletakkan perkara yang perlu diperbetulkan - dengan merujuk kepada edisi murid - maka eloklah pandangan ini diambil kira.

Kedua pihak perlu berdialog. Berdialoglah untuk lebih memahami, bukan berkompang dibawah khemah masing-masing. Apakah tiada inisiatif untuk bersemuka?
 
Dan lepas tu jangan gaduh-gaduh lagi :-)

Sabtu, Januari 01, 2011

Satu Januari

Lembaran satu Januari dimulakan dengan merayap ke kedai-kedai buku. Mencari buku untuk tiga orang teman juga untuk diri sendiri. Tiada sasaran peribadi, cuma memerhati apa yang menarik dilihat dan terdetik untuk membeli.

Ketika terkial-kial menapak ke lif di Wisma Yakin, seorang pemuda yang turut sama masuk ke dalam lif menunjukkan saya sebuah kedai buku di tingkat satu. Letaknya di hujung aras, sebelah kanan lif. Rupanya dia pekerja disitu, dan macam tahu-tahu sahaja saya ini pemburu buku. Terdetik hati untuk bertanya tetapi satu perkara yang perlu saya persetujui ialah 'hanya orang buku kenal sifat orang buku'.

Kedai tersebut adalah milik syarikat pengedar buku tersohor, yang mengedarkan buku ke seluruh pelosok tanah air. Pemuda tadi melayan saya seketika yang ralit memerhati judul, menangkap gambar dan mengambil-letak buku. Ada antara judulnya menarik perhatian, tidak pernah di temui dan sangat mengujakan. Ya, masuk senarai patut beli!

Langit sangat gelap ketika saya melangkah pulang dengan separa kepuasan. Ada buku tidak ditemui, ada yang berharga tidak munasabah. Tetapi tahun baru di kedai buku, memburu buku, tenggelam dalam buku memberi kepuasan pada tahun baru yang masih pucuk.

Dan malam menjelang tahun baru, selepas proses muhasabah karya, nampaknya azam tahun ini adalah menyambung azam tahun lalu. Aduh, memang banyak tak tertunai. Dan kali ini saya cuba mengatur semuanya dengan baik, dengan elok, dengan tersusun. Semoga 2011 boleh menghapus kemalapan 2010.

Ayuh!