Sabtu, Januari 01, 2011

Satu Januari

Lembaran satu Januari dimulakan dengan merayap ke kedai-kedai buku. Mencari buku untuk tiga orang teman juga untuk diri sendiri. Tiada sasaran peribadi, cuma memerhati apa yang menarik dilihat dan terdetik untuk membeli.

Ketika terkial-kial menapak ke lif di Wisma Yakin, seorang pemuda yang turut sama masuk ke dalam lif menunjukkan saya sebuah kedai buku di tingkat satu. Letaknya di hujung aras, sebelah kanan lif. Rupanya dia pekerja disitu, dan macam tahu-tahu sahaja saya ini pemburu buku. Terdetik hati untuk bertanya tetapi satu perkara yang perlu saya persetujui ialah 'hanya orang buku kenal sifat orang buku'.

Kedai tersebut adalah milik syarikat pengedar buku tersohor, yang mengedarkan buku ke seluruh pelosok tanah air. Pemuda tadi melayan saya seketika yang ralit memerhati judul, menangkap gambar dan mengambil-letak buku. Ada antara judulnya menarik perhatian, tidak pernah di temui dan sangat mengujakan. Ya, masuk senarai patut beli!

Langit sangat gelap ketika saya melangkah pulang dengan separa kepuasan. Ada buku tidak ditemui, ada yang berharga tidak munasabah. Tetapi tahun baru di kedai buku, memburu buku, tenggelam dalam buku memberi kepuasan pada tahun baru yang masih pucuk.

Dan malam menjelang tahun baru, selepas proses muhasabah karya, nampaknya azam tahun ini adalah menyambung azam tahun lalu. Aduh, memang banyak tak tertunai. Dan kali ini saya cuba mengatur semuanya dengan baik, dengan elok, dengan tersusun. Semoga 2011 boleh menghapus kemalapan 2010.

Ayuh!

2 ulasan:

Shah berkata...

Tidak tahu pula di ting.1 juga terdapat kedai buku. Adakah ia juga memiliki banyak koleksi dari negara seberan sebagaimana di FIB?

Norziati Mohd Rosman berkata...

Shah,
Mereka pengedar. Tetapi ada pilihan yang tidak kita jumpa di FIB. Silakan berkunjung ke sana