Rabu, Februari 02, 2011

Muhibbah dan sebuah puisi

Saya tidak pernah berjiran dengan bukan Melayu tetapi tidak bermakna saya kuat Melayu dan membenci bukan Melayu. Menerusi siaran tv, saya tahu kerajaan sangat menekankan konsep muhibbah. Saya tahu kita perlu sambut Tahun Baru Cina, Thaipusam, Deepavali, Wesak, Kaamatan, Gawai, Raya Puasa, Raya Haji. Dan kita katanya banyak cuti umum bagi menyambut semua perayaan. Lebih banyak berbanding negara lain. Tak mengapakah, kerana kita perlu sambut semua kan? Melalu promosi dan publisiti kerajaan terhadap muhibbah dan semangat kejiranan, maka saya sebagai rakyat Malaysia yang baik pun patuh dengan konsep perpaduan. Tidak ada sekelumit pun perasaan tidak selesa tatkala berurusan dalam hal soal beli. Tidak timbul perasaan kurang senang kala berpapasan. Semua ini berlaku walaupun tidak punya jiran pelbagai kaum atau bersekolah campur bangsa.Tiada sebarang prejudisme. Dan saya menurut arahan kerajaan.

Bagaimana sekarang?


Sempena Tahun Baru Cina, cuti panjang bersambung cuti hujung minggu, saya perturunkan puisi SN Usman Awang dibawah yang sungguh nostalgik dan berjiwa 1Malaysia. Nah, dulu kan dah 1Malaysia dah!

****

Suasana 
SN Usman Awang.

Seorang perempuan bersamfu hijau
dari tingkap dapur rumahnya berteriak
dan bertanya sambil membungkus Nien Kau
lalu tertawa mengangkat tudung periuk
wap panas menjulang harum kanji nasi
Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak
perempuan berbaju kurung menjawab senyum
sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat
dan sesekali menyudip serunding di kuali
segar selera dicecah baunya yang wangi.

Dari kejauhan suara-suara muda yang riang
pekikan dan tertawa di antara letupan mercun
dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum
tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik
hati mereka bersalaman dan saling berpelukan
atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama.

Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan
mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan
dan dari kedua telaga hati berkocak mesra
mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya


1965
( Dipetik dari Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang, DBP )

Tiada ulasan: