Khamis, Mac 03, 2011

Cuaca

Cuaca mutakhir ini sudah tidak menentu. Sekejap panas mencengkam. Tiba-tiba pula hujan dan tiba-tiba juga banjir. Hujan pada awal pagi dan petang pada hari bekerja, terutama ketika waktu masuk dan pulang dari pejabat sangat meresahkan. Saya tidaklah merasa apa-apa tekanan kerana rumah berjarak lima minit berkereta ke pejabat, tetapi saya amat maklumi dengan perasaan yang lain. Memang derita bila mengharung perjalanan yang berganda-ganda lamanya kerana sesak dek pemanduan yang perlahan atau air yang memenuhi ruang jalan.

Penghujung Februari lalu saya menerima panggilan dari seorang kawan yang datang berkursus di Kuala Lumpur. Dia mengajak saya makan bersama sambil berbual tentang satu program yang bakal kami laksanakan. Saya merencana perjalanan sambil mengira kesesuaian waktu untuk tiba tepat di Hotel Grand Seasons tempat dia bermalam. Tambahan pula saya berpuasa sunat, maka saya memilih untuk sampai tepat pada Maghrib, solat dibiliknya lalu keluar makan. Berbuka dengan air sebelum memilih lokasi makan yang diingini.

Tetapi begitulah perancangan manusia. Beberapa jam sebelum tamat waktu pejabat, cuaca bertukar rupa. Kilat sudah mula sabung menyabung. Hujan turun dengan sangat lebat. Saya menjadi gusar. Takut nanti menyebabkan perjalanan tergendala. Namun mujurlah, menjelang jam lima, hujan yang lebat membasahi bumi Bangi sudah menjadi rintik-rintik halus. Lega rasanya. Tetapi saya memilih mempercepatkan perjalanan. Bertolak jam enam dari Bangi dengan harapan sampai menjelang Maghrib dicampur-tolak dengan kesesakan yang saya jangka akan berlaku pabila hujan.

Hari itu merupakan perjalanan yang cukup menyiksakan. Kereta dengan gear manual, perjalanan tersekat-sekat sebaik melewati tol sungai Besi. Terowong SMART di tutup bagi memberi laluan kepada banjir. Kereta merangkak sangat perlahan sehingga ke Muzium Negara. Saya nekad tidak melalui Jalan Tun Razak. Selepas Muzium, saya membelok ke Dataran Merdeka. Di situ tiada langsung bayang kesesakan apatah lagi ketika merentasi Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga ke Hotel. Seolah-olah kesesakan tadi berada dalam zon lain dan saya di bawa masuk ke dunia yang berbeza. Dari Bangi ke Muzium mengambil masa dua jam dua puluh minit dan ke Hotel Grand Season sekitar sepuluh minit.

Jumlah keseluruhan ialah dua jam tiga puluh minit.

Dua jam tiga puluh minit.

Saya tiba tepat jam lapan setengah, ketika itu azan Isyak sedang berkumandang (melalui radio, disitu mana ada masjid!). Saya berbuka dengan beberapa biji Clorets dan menjamakkan Maghrib serta Isyak sebaik sahaja tiba di rumah.  Makan dan bersembang pula tidak sampai dua jam. Ah, perjalanan pergi lebih lama dari masa makan. Mujurlah kaki masih kuat. Tidak ada rasa lenguh atau sakit walaupun menggunakan gear manual.

Dan pulang ke Bangi kembali cuma mengambil masa setengah jam.

Tiada ulasan: