Isnin, Mac 28, 2011

Ziarah dalam daerah sabar

Isnin memang biasanya melelahkan. Namun Isnin hari ini lain benar cabarannya. Kelelahan berkejaran di luar pejabat dibawah terikmentari yang mengeringkan kulit, ditambah dengan beberapa tugasan dari pihak yang tidak tahu erti bertimbang rasa memang menduga. Kereta pula, ah hari ini pula mula buat hal. Saya berdoa setiap kali menghidupkan kereta. Berdoa supaya boleh dihidupkan. Berdoa supaya tidak mati ditengah jalan yang sesak. Berdoa supaya boleh sampai ke destinasi dengan selamat.

Usai solat Asar dan beberapa helaian mashaf agung, saya duduk di hadapan rak buku. Penawar bagi hati yang rusuh hanyalah dengan memandang buku yang sudah elok tersusun. Mata tertancap pada La Tahzan yang elok dihimpit beberapa buku politik. Segera tangan mencapai, membuka langsung tertuju ke bab Jangan berdukacita, kerana sabar terhadap hal yang tidak disukai dan kesusahan adalah jalan menuju kejayaan.

Maha Suci Tuhan.

Mata terus berlari. Beberapa terjemahan ayat suci nyata meredakan kebingungan.

"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon bantuan) allah - Surah An-Nur : 127

Mata terus membaca terjemahan berikutnya.


"Dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu" - Surah Luqman:17

Kemarahan yang bertali-temali beransur reda. Penat mula merangkak pergi. Terasa tenggelam dalam sungai yang deras dan sejuk airnya. Saya menyelak lagi ke halaman sebelah.

Seorang pujangga bermadah:
Engkau merangkak mencari mulia
dan orang-orang yang mencarinya berusaha sepenuh jiwa menempuh keletihan
Mereka mengejar mulia hingga banyak yang jemu
yang akan menemukannya hanya yang sungguh-sungguh dan bersabar
Jangan menyangka bahawa mulia adalah kurma yang akan engkau makan
tidak akan pernah engkau perolehi kemuliaan sebelum susahnya sabar

Saya menghela nafas panjang. Insaf seketika dengan manisnya sabar yang wujud tanpa kita sedar. Saya menuju ke bab berikut. Jangan berdukacita kerana masih banyak faktor yang meringankan musibah. Sepotong ayat dari surah Az-Zaumar (ayat 10) dicoretkan disitu.

"Sesungguhnya ornag-orang yang bersabar sahajalan yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."

Saya pergi ke muka hadapan. Tertulis tarikh buku ini dibeli pada 29 Ogos 2009, 10 Ramadhan 1430H. Mengapa tidak pernah saya sentuh selepas itu?

Lalu saya terus ke bab Jangan berdukacita kerana tingkah-laku makhluk terhadapmu, tetapi perhatikanlah tingkah laku mereka terhadap Allah. Judul bab sahaja sudah menceritakan isi. Didalamnya terdapat catatan berikut:

Menurut Imam Ahmad dalam bukunya az-Zuhd, Allah telah berkata, "Sesungguhnya aneh kamu wahai manusia. Aku ciptakan kamu tetapi kamu menyembah selain Aku. Dan Aku beri kamu rezeki namun kamu bersyukur kepada selain Aku. Aku berikan cintaKu melalui nikmat-nikmat itu padahal Aku sama sekali tidak memerlukan kamu, namun kamu melakukan kebencian padaKu dengan kederhakaan padahal kamu sangat memerlukanKu. KebaikanKu turun kepadamu, namun kejahatanmu naik kepadaKu."

Bagai ada panah menyusur masuk ke dalam hati. Kepenatan, kemarahan dan kesedihan yang tadinya bertali arus bagaikan mengalir keluar secara tiba-tiba. Dan tiba-tiba juga saya segera membuka laptop, menaipkan entri ini dan langsung teringat kepada emel dari editor. Emel yang seharusnya menjadi khabar gembira tetapi tenggelam dalam kekalutan Isnin.

Saya menanti manghrib bagi menghadapi malam dengan tenang.

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya" Surah Ibrahim: 34

Tiada ulasan: