Jumaat, April 29, 2011

Buku: Bukan Pasarmalam

Novel Bukan Pasarmalam - yang memang dieja begitu - nipis sahaja. Namun isi didalamnya mengatasi helaiannya yang nipis itu. Dialog dengan isteri, dengan bapa, dengan adik-beradik, dengan jiran tetangga tidaklah panjang tetapi sangat bermakna. Dan disela dialog itu terlukis emosi yang sangat perlu bagi memudahkan pembaca menguasai suasana yang sememangnya menyentuh. Tentang malam yang sunyi, tentang siang yang panas mencengkam, tentang rumah yang hampir roboh, tentang jiran tetangga, tentang adik beradiknya, tentang batuk bapanya yang sangat mencengkam jiwa. Kita sendiri terasa seolah-olah TBC yang menyerang bapanya itu satu yang menyakitkan - daripada cara ia bercerita dan memperincikan cara bagaimana bapa menahan batuk, dan kemudian terbatuk keras. Sungguh berkesan. Saya yang masih belum kebah dari batuk ini seperti merasa derita batuk yang berganda, terasa lebih teruk dari apa yang Pram ceritakan.



Komen saya dalam Goodreads ketika dalam proses membaca:
Saya dapat rasakan yang kebanyakan karya Pram adalah berkisar dirinya dan keluarga. Banyak peristiwa yang berlaku hatta sekecil-kecil pun berjaya diangkat menjadi sesuatu yang besar. Kita tidak anggap ia menarik tetapi Pram berjaya menjadikan ia sangat bernilai.

Contohnya ketika dia berada dalam keretapi. Apa yang diceritakan sewaktu perjalanan itu adalah kisah biasa tetapi pada Pram ia adalah luarbiasa. Kisah manusia sentiasa ada tarikan. Pram berjaya menjadikan ia sebuah masterpiece.

Dan resensi kecil saya dalam Goodreads selepas tamat membaca:
Sebuah novel kecil Pram yang bercerita tentang perjalanan pulang ke kampung menziarahi ayahnya yang sakit, yang satu bulan kemudiannya meninggal dunia oleh TBC (batuk kering). Ayahnya yang merupakan seorang pejuang dalam revolusi dikatakan jatuh sakit bukan kerana dirinya sakit tetapi oleh kerana kecewa dengan permainan teman seperjuangannya yang selepas kemerdekaan menjadi gelap mata dengan pangkat dan harta. Kita juga dapat melihat bagaimana Pram bteliti melukiskan perkara yang kita anggap kecil tetap besar pada matanya. Sewaktu dalam keretapi lagi, dia sudah bercerita tentang manusia dan kehidupan, maka tidak hairanlah beliau boleh menghasilkan tetralogi Buru dengan empat buah novel yang tebal dan penuh falsafah kehidupan.

1 ulasan:

ASaL berkata...

Pram, meski berkisar pada lingkungan, ia akan menjadi besar. kerana Pram itu sendiri besar, meski tubuhnya kecil. Dalam dada, dalam kepala adalah perjuangan. Nama Pram sendiri adalah daerah juang :) yang tidak terpenjara meski dipenjara.

Pram, paling hebat menceritakan tentang hal manusia. Bila dia bercerita, ia menusuk dan meninggalkan kesan yang dalam. Dalam dada saya masih ada kisah Pram yang menghantui, meski sudah berlalu begitu banyak tahun.