Sabtu, April 30, 2011

Petang meniti senja

 
Meneliti himpunan buku yang dibeli pada Pesta Buku kali ini, serta kecenderungan memilih gerai tertentu sahaja tatkala berkesempatan ke PWTC, saya menyedari citarasa terhadap buku yang nampaknya berubah. Kali ini saya kurang membeli buku cerita -novel misalnya. Hati lebih tertawan kepada buku ilmiah, khususnya di lantai empat yang menempatkan buku berkulit keras pada harga yang sukar di percaya - kebanyakannya berharga kurang lima puluh sebelum diskaun. 

Hasil saranan beberapa teman blogger dan FB, saya berjaya menjejaki gerai yang menjual buku dari Turki khususnya berkaitan Gullen, Rumi dan Said Nursi. Malangnya sudah tidak banyak pilihan. Ada sebuah buku tentang pengenalan kepada pemahaman Rumi tersandar diatas kotak dan kata sipenjual sudah di tempah untuk diposkan kepada pembeli. Kata mereka lagi, buku yang ada sudah tidak banyak pilihan. Esok lusa bakal habis apa yang terpapar dirak. Kalau mahu yang lain, boleh ke pejabat / pusat kebudayaan mereka di Jalan Kuantan (eh, dimana?). Mereka pun memberi kad lalu memberitahu aktiviti yang ada diana. Boleh belajar bahasa Turki, ada kelas masakan Turki, diskusi dan penjualan buk. Kami yang separa letih menjadi segar dengan penerangan tersebut. Bukankah Turki menjadi sasaran saya selepas ini?

Pesta buku bagi saya bukan untuk berpestaan dengan membeli buku sahaja. Ia medan bertemu rakan penulis, peminat yang minta ditandatangai buku, editor yang sering mengejar karya, penerbit yang memberi ruang penulisan, mendengar dialog / wacana / forum, berbual tentang isu seputar buku dan berbicara tentang buku yang dibeli.

Mengapa saya katakan citarasa berubah? Sejak awal tahun, saya menyedari diri lebih gemar menatap buku yang punya banyak gambar. Menerusi gambar, kita dapat membuat 1001 tafsiran terhadap isu yang di pamerkan. Menerusi Warkah Eropah (SN A Samad Said), saya sudah pun habis meneroka halaman yang bergambar sambil meneliti perjalanan Pak Samad di Eropah. Tetapi isinya tertinggal di belakang. Malaysia: A Pictorial History 1400-2004 (Wendy Khadijah Moore) memberi peluang saya menafsirkan Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman moden. Namun saya lebih gemar menatap gambar lama yang orang kata rare dan sukar di temui. Disitulah terbentangnya hakikat sebenar perjalanan sebuah negara dimana gambar tidak bisa menipu. Lihatlah dengan berlapang dada struktur ekonomi masyarakat sebelum merdeka yang jelas terpecah pada tiga kelompok, yang sebenarnya membenarkan apa yang terkandung dalam novel Interlok yang di kata tidak tepat dari segi fakta. Gambar tidak bisa menipu.

Kecenderungan ini terbawa-bawa kepada citarasa pembelian buku kali ini. Saya jadi mudah tertarik dengan buku dengan kulit yang catchy, kertas yang sedap di pegang, tulisan yang tidak menyakitkan mata termasuklah jenis fon, jarak (spacing) dan margin, dan kualiti penerbitannya. Ada beberapa buku yang disarankan oleh teman-teman tetapi memandangkan ia terkeluar dari kriteria diatas, saya ketepikan dahulu biarpun buku tersebut dalam kategori pembelian. Terlalu cerewet rasanya kali ini.

Ini menyebabkan saya memilih beberapa majalah tempatan yang cantik dan teratur grafiknya. Solusi dan Milenia Muslim, kalau di beli pun bukan untuk dibaca sangat tetapi sekadar ditatap gambar yang terpapar. Gambar-gambar inilah yang lebih menenangkan minda, merehatkan fikiran dan membuang keserabutan. Saya memberitahu seoang kawan akan kecenderungan ini. Dia mengatakan sudah sampai masanya untuk saya lebih menghayati gambar berbanding tulisan. "Dalam di kau, gambar itu lebih banyak mesej brbanding tulisan. Kau lebih memahami gambar, boleh mentafsir pelbagai perkara dan boleh mengeluarkan emosi berbanding tulisan. Kau harus banyakkan buku yang bergambar."

Dan dalam tidak sedar ia membawa kepada kecenderungan kedua. Saya memilih buku bersaiz nipis dengan alasan ia cepat habis dan cepat tukar buku. Dalam masa beberapa hari boleh selesai. Tema yng diangkat tidak akan membuat saya terbuai-buai dengan emosi begitu lama. Juga menjadikan saya lebih berkeinginan menghabiskannya dengan segera supaya boleh baca banyak buku.
Kedua-dua kecenderungan ini lantas membuatkan saya terfikir yang ia adalah petanda usia sudah semakin beransur matang, berganjak tua. Citarasa zaman remaja dan awal dewasa sudah bertukar kini. Paling tidak, saya harus menerima hakikat yang ia akan merebak kepada kesihatan dan kecergasan.Maka perlu lebih banyak berhati-hati dalam perjalanan seharian supaya tidak mudah terbabas atau tersilap langkah.

Boleh juga saya katakan ia adalah antara tanda yang tengahari sudah pun berlalu. Petang kini sedang meniti senja. Maka, saya harus segerakan apa yang sedang di rencanakan sejak dulu...

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam kak norziati,
malaysian turkish dialogue society (MTDS) tu di jalan kuantan dekat dengan istana budaya.
pejabat mereka sebuah rumah, betul2 berdepan sekolah kebangsaan jalan kuantan 2. kecil sahaja papan tandanya di pintu pagar :)

-fadhilah-

mxypltk berkata...

Boleh tahu buku A Samad Said "Al-Amin" tu terbitan mana?

Norziati Mohd Rosman berkata...

Fadhilah,
terima kasih maklumatnya!

Norziati Mohd Rosman berkata...

mxypltk,
Al-Amin terbitan PTS. Hardcover. Harga tak sampai lima puluh

mxypltk berkata...

Terima kasih, selamat membaca. tentu lebih menarik covernya berbanding yang dulu.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Kertasnya sedap dipegang, mata kurang letih membaca. Tapi saya tetapi nak cari versi asli DBP :-)