Selasa, Mei 31, 2011

The Facts on File Dictionary of Proverbs: Tentang akar peribahasa

Buku The Facts on File Dictionary of Proverbs ini adalah antara buku awal yang saya beli ketika mula melibatkan diri dalam arena penterjemahan. Tarikh pada buku ini dibeli tertulis tahun 2005. Ketika itu saya diberikan tugasan berkaitan peribahasa Melayu. Ia bukanlah menterjemah peribahasa, sebaliknya mengelaskan setiap peribahasa dalam kumpulan tertentu. Misalnya tajuk lidah merangkumi peribahasa tentang lidah, tajuk rumah pula peribahasa tentang rumah dan sebagainya.

[Sebenarnya saya dah lupa akan tugasan ini. Bagi mengembalikan ingatan, saya membuat carian kembali dalam arkib e-mel akaun yahoo yang penuh dengan notifikasi groups, iklan dan macam-macam langganan yang memenuhkan kantung mel masuk].

Saya tidak tahu buku ini ada dijual di Malaysia kerana saya beli langsung menerusi teman penterjemah. Malah berdebar-debar pula bila menerima buku yang setebal 440 muka surat ini kerana dikhabarkan 'ia bagus dan terbaik'. Sememangnya ia bagus untuk simpanan dan rujukan kerana ia menghimpunkan kurang lebih 1500 peribahasa lama dan baharu. Setiap entri peribahasa mengandungi maksudnya, contoh penggunaan dalam ayat, asal-usulnya, peribahasa yang serupa atau hampir dengan maksud atau peribahasa yang berlawanan dengannya.

Saya ambil contoh dari halaman 141:
the leopard can't change its spots: A person cannot change his or her character or nature: "Although he swears he has changed, leopards don't usually change their spots, especially those who don't cooperate in conseling" (Washington Times, 1997). The proverb is of biblical origin: "Can the Ethiopian change his skin, or the leopard his spots?" (Jeremiah 13:23)

Variant of this proverb: The leopard does not change his spots.

Provers expressing similar meaning: Once a thief, always a thief; You can drive out nature  with a pitchfork but she keeps on coming back.

Atau contoh yang ini dari halaman 241:
truth lies at the bottom of a well. It is often very difficult to discover the truth: We will probably never know exactly what happened on that night - truth lies at the bottom of a well, and everybody I've interviewed so far has given me a different version of events. The proverb is attributed to the Greek philosopher Democritus (c. 460 - c. 370 B.C): "we know nothing certainly, for truth lies in the deep."

Variant of this proverb: truth keeps to the bottom of her well.

Proverb expressing opposite meaning: Truth will out.

Saya percaya suatu hari nanti buku yang sama akan wujud di negara kita. Peribahasa kita saya percaya lebih banyak dan bervariasi berbanding dalam English. Semoga ada pihak yang bertauliah prihatin untuk mengorek kembali asal usul peribahasa yang sebenarnya sudah tidak banyak digunakan dewasa ini. Secara kebetulan, saya mempunyai sebuah buku peribahasa lama berjudul Mestika Bahasa terbitan 1959 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Membelek setiap peribahasa yang ada didalamnya, banyaklah antara peribahasa tersebut sudah tidak didengari lagi atau tidak lagi disebut-sebut orang meskipun kedengarannya agak ganjil.

Siapa lagi yang akan buat kalau bukan kita?

P/s: mengais hendaklah berkuku: membuat sesuatu itu biarlah dengan ilmu pengetahuan. Seperti orang hendak berniaga, biarlah punya modal...

Khamis, Mei 26, 2011

Penterjemah dan terjemahannya

Tugas penterjemah bukanlah sekadar menukarkan bahasa kedalam bahasa lain. Penterjemah bukanlah 'sebuah kamus' yang tahu semua perkataan walaupun itu adalah pra-syarat atau mungkin kelayakan utama.

Saya memasuki bidang terjemahan secara tidak sengaja. Ada cerita yang berlaku, yang terhasil dari perbualan ketika menunggu pelanggan hampir sepuluh tahun dahulu. Saya kemudian dijemput ke seminar terjemahan di sebuah hotel di Petaling Jaya beberapa minggu kemudian. Oleh kerana saya spesis yang suka mencuba perkara baharu, saya terjah sahaja seminar tersebut. Pergi pun seorang diri dalam keadaan tahu-tak-tahu dimana letaknya Hotel Singgahsana. Hasil dari perkenalan dengan peserta, walaupun dalam keadaan segan dan malu, saya memberanikan diri menerima job pertama - transcribe sebuah buku dalam tulisan Jawi ke dalam tulisan Rumi. Buku itu bertarikh 1911 dan dengan gaya bahasa lama.

Kemudian saya memberanikan diri mengambil Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia-DBP yang lebih murah dan tidak mengambil masa yang lama berbanding kursus yang sama di ITNM yang lebih glamour tetapi bertahap sijil. Saya mula menerima job dari senior translator dan belajar banyak tips terjemahan jarak jauh. Kiranya sebelum OUM buka kursus online, para penterjemah sudah memulakan kursus jarak jauh dan memaksimumkan penggunaan internet.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Saya menjadi seronok menerima tugas tetapi rasa tidak yakin mencari job sendiri. Ramai yang menjadikan kerja terjemahan sebagai part-time job, tetapi lebih ramai yang menjadikannya mata pencarian utama. Jangan tak percaya pula dengan prospek kerja terjemahan.Bukan sahaja buku yang diterjemah, macam-macam medium tersedia. Poster, iklan, brosur, katalog dan yang seumpama dengannya. Terjemahan sarikata pula tidak terhad drama dan filem. Dokumentari, kartun, berita, forum atau apa sahaja. Pendek kata, apa yang ada di tv, boleh diterjemah. Apa yang ada di rak pun, boleh diterjemah. Atau apa yang ada di sekeliling kita pun, memerlukan terjemahan. Papan iklan yang bersepah misalnya, ada dalam dwibahasa atau lebih.

Sebelum menterjemah kita perlu tahu ada syarat yang perlu dipatuhi dan ia adalah rukun untuk dipegang oleh para penterjemah supaya tidak terbabas.

1. Menguasai bahasa sumber. Bahasa sumber ialah bahasa asal si penterjemah. Jika dia berbangsa Melayu, tidak syak lagi bahasa sumbernya ialah Bahasa Melayu.

2. Menguasai bahasa sasaran, iaitu bahasa yang ingin diterjemah. Misalnya menterjemah dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris (BM > EN), maka Bahasa Inggeris adalah bahasa sasaran. Penterjemah perlu kuasai bahasa sasaran bagi memudahkan proses terjemahan dan mengelakkan kekeliruan.

3. Mengetahui bidang, misalnya bidang kejuruteraan, IT, ekonomi atau agama. Jika penterjemah kurang mahir menguasai sesuatu bidang, misalnya diperlukan menterjemah teks perubatan, apa yang dibaca tidak sama dengan apa yang difahami oleh pelajar perubatan. Begitu juga jika menterjemah puisi atau novel. Mesejnya boleh tersasar dan gaya bahasa tidak secantik bahasa sumber.

4. Mengetahui budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran. Jika diminta menterjemah novel Sepanyol, kita perlu tahu akan budaya dan adat bangsa Sepanyol supaya terjemahan itu sejadi dan kena dengan teks asal. Jika tidak, ia boleh menimbulkan kepelikan dan bantahan dari pihak yang berkenaan. Penterjemah perlu berhati-hati akan perkara ini yang dianggap sensitif

5. Mengetahui teori dan amali terjemahan. Seelok-eloknya, bacalah buku yang boleh membantu memahami tugas danperanan penterjemah. Antara buku yang baik di pasaran ialah Teori dan Teknik Terjemahan olen Pn Ainon Muhd dan Prof Abdullah Hassan. Penterjemah juga biasanya mempunyai pelbagai jenis kamus, glosari dan buku istilah yang boleh membantu memudahkan terjemahan.

6. Mengetahui audien sasaran. Harus diketahui buku itu disasarkan kepada kumpulan mana - kanak-kanak atau dewasa, golongan agama atau orang biasa, parti A atau parti B supaya ia diterjemahkan ke dalam bahasa yang sesuai.

Penterjemah harus tahu bahawa menterjemah bertujuan mengekalkan mesej asal bahasa, bukannya susunan perkataan atau gaya bahasanya. Contohnya, jika bahasa sumber menggunakan ayat pasif, tidak semestinya diterjemah kepada ayat pasif. Penterjemah boleh menukarkan kepada ayat aktif jika ia boleh menghindari kekeliruan dan menguangkan kejanggalan.

Saya akan tulis lagi isu yang berkaitan dunia terjemahan yang menarik dan unik. Entri ini pun saya tulis kerana esok akan menghadiri interview merangkap ujian menterjemah. Jadi, anggaplah sahaja saya mengulangkaji pelajaran. Apatah lagi buku yang hendak dibaca lesap malam ini. Baca nota sahajalah. Aduhai...

Selasa, Mei 24, 2011

Manusia seorang Muhammad

Lihatlah bagaimana  penulis buku ini menggambarkan peribadi Nabi Muhammad s.a.w dengan ayat yang indah dan tepat. Sungguh terkesan sekali membacanya, sehingga kita merasa, "oh, benarlah Muhammad itu sebenar insan yang diciptakan Allah untuk sekalian manusia,"

Sejarah Muhammad SallaLahu 'alaihi Wasallam menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras; peribadinya yang dipercayai orang di kalangan keluarga dan sahabat; seorang manusia menyeru umat manusia ke jalan Allah secara lemah-lembut dan bersopan-santun; seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah; seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar; seorang suami yang halus pergaulannya; seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri; seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan tektik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan sahabat handai (RadiyaLlahu 'anhum ajma'in).


Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLahu 'alaihi Wasallam ialah memahami semua sudut kemanusiaan.

Petikan dari ms 19 & 20, Fiqh Al-Sirah 1 karya Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti. Diterjemahkan oleh Ust Mohd Darus Sanawi.

Isnin, Mei 23, 2011

Buku protes perang: The Home Front - Americans Protest The War

Ketika membaca buku ini, terlintas dihati saya - patutlah kerajaan sungguh-sungguh mahu ketatkan ISA dan AUKU. Demonstrasi boleh menjatuhkan. Tapi ia menyerlahkan sifat penakut. Ish, penakut!

Saya membaca buku ini bagi mendapatkan maklumat sejauh mana kekuatan dan keberkesanan student power ketika berlangsungnya zaman demonstrasi anti-perang pada 1960-70-an.

Demonstrasi anti-perang di Amerika Syarikat bermula apabila kerajaan AS memutuskan untuk menghantar tentera ke Vietnam bagi membantu kerajaan Vietnam selatan menentang tentera dari wilayah utara yang dikatakan menganut fahaman komunis. Apabila membaca mengenai sejarah Vietnam yang cukup panjang, kita perlu tahu yang Vietnam, atau Indo-China (Kemboja, Laos, Vietnam) merupakan jajahan Perancis sejak kurun ke 18. Perlu diingatkan, nusantara terpecah kepada beberapa kolonial barat. Filipina dijajah Sepanyol dan kemudiannya Amerika, Malaysia dan Singapura oleh British dan Indonesia oleh Belanda. Hanya Thailand terselamat dari sumpahan kolonial. Jepun kemudiannya menghalau dan memalukan penjajah barat dan menakluk negara nusantara ini sewaktu perang dunia kedua sehingga mencetuskan gagasan nasionalisme terhadap negara sendiri. Selepas itu satu demi satu negara nusantara berusaha membebaskan diri dari cengkaman penjajah.

Selepas perang dunia kedua, Perancis mendapati diri mereka tidak larat untuk terus menduduki Vietnam. Ini memberi peluang kepada AS untuk menjadi hero dalam usaha mengelakkan Vietnam mengisytiharkan kemerdekaan. Tetapi semua orang tahu tujuan utama AS adalah untuk menjadi kuasa besar demokrasi memandangkan Vietnam yang terpecah kepada kerajaan utara dan selatan sudah mula di resapi fahaman komunis disebelah utara. Kerajaan utara yang didalangi oleh Soviet Union dan China menjadikan Amerika berusaha membantu kerajaan Selatan sambil menegakkan fahaman demokrasi. Situasi inilah yang semakin mencambahkan perang dingin antara AS dengan Soviet Union dan China.

Selepas itu semuanya menjadi sejarah. Awalnya AS menghantar sekumpulan 400 orang anggota Green Beret  ke Vietnam Selatan pada 1961 sebagai Penasihat Khas untuk melatih tentera Vietnam Selatan. Presiden Kennedy membuat keptusan ini selepas tertarik dengan penggunaan Pasukan Khas dalam operasi mencegah darurat seperti yang dilaksanakan oleh tentera British di Malaya. Khabarnya, Pasukan Khas itu berjaya mengawal darurat dengan baik biarpun berlangsung selama 12 tahun iaitu sejak 1948. Selepas Kennedy mati ditembak di Dallas, Presiden LB Johnson mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-36. Bermula dari Presiden Johnson, peranan Green Berret sebagai penasihat bertukar dan bertambah sedikit demi sedikit. Pada Julai 1964, jumlahnya meningkat kepada 21,000. 

Protes anti-perang dimulakan sekitar 1962 oleh para mahasiswa kolej dan universiti yang menyedari bahawa ada perkara tersirat sebalik penghantaran tentera ke AS. Bukan hanya berperanan mengekalkan keamanan di Vietnam Selatan, para tentera didapati bertindak diluar batasan dengan membunuh orang awam yang disyaki terlibat. Mereka tidak dapat membezakan antara tentera komunis dan orang awam. Biasanya tentera komunis akan susup sasap ke kampung apabila dikejar tentera AS. Orang kampung sudah pastilah akan membantu warga tempatan, sama ada menyorokkan atau pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Ini menyebabkan tentera AS bertambah berang.
Para mahasiswa juga menyedari pihak kerajaan menyembunyikan banyak fakta perang. Mereka tidak memberi laporan yang betul dan menyembunyikan kejahatan mereka disana. Apatah lagi kos perang semakin melambung, cukai dinaikkan semata-mata menampung kos penghantaran tentera. Warga berusia 18 hingga 26 tahun dipanggil menyertai latihan untuk dihantar ke Vietnam. Tiada pengecualian diberikan kecuali sudah berkahwin atau menyambungkan pelajaran. Maka mereka punya dua pilihan - mengemaskan beg untuk ke pusat latihan atau lari ke Kanada.

Keadaan semakin buruk apabila wartawan yang dihantar ke medan perang mula menceritakan perkara yang berbeza dari apa yang dilaporkan oleh kerajaan. Mereka bertambah berang apabila mendapati mereka ditipu. Maka para pelajar semakin ghairah berdemonstrasi. Mereka berkumpul di dewan beramai-ramai dan berdebat, berpidato, dan bersyarah. Kelas di pulaukan. Dari satu persatuan merebak kepersatuan yang lain. Dari satu universiti merebak ke universiti dan kolej yang lain. Dari satu negeri merebak ke negeri yang lain. Protes kemudian melibatkan orang awam yang semakin memahami sebab musabab protes yang berpanjangan. Mereka sudah berani berarak beramai-ramai sehingga ke Pentagon dan Rumah Putih. Tetapi pergerakan aman ini tidak langsung diganggu oleh polis mahupun tentera. Sebaik habis perarakan, emmbawa sepanduk, mengahntar petisyen dan berucap, mereka pun pulang. 

Kemudian timbul istilah teach-in yang melibatkan perhimpunan beramai-ramai dengan dipenuhi pelbagai acara tanpa henti. Ada sehingga mencecah 36 jam dengan 100,000 pengikut. Aktiviti yang mereka lakukan tetap sama. Ucapan para pemimpin persatuan, debat oleh pensyarah, laporan oleh jurnalis, pengkisahan pengalaman oleh wartawan, nyanyian lagu puisi dan berunsur kedamaian. Mereka membawa poster, sepanduk, dan mengedar risalah kepada orang awam bagi menyedarkan masyarakat dan memaksa kerajaan tunduk.
Tetapi kerajaan AS tidak mengendahkan mereka. Sedangkan protes ini meyebabkan Presiden Johnson tidak mempertahankan jawatan dalam pilihanraya Presiden dan digantikan oleh Richard Nixon pada 1969. Namun begitu, Nixon tidak bertahan lama di Rumah Putih apabila dikaitkan dengan skandal Watergate pada 1974 sebelum sempat menghabiskan penggal pertama pentadbirannya. Dikatakan para pemimpin dibelakangnya menyalahgunakan peruntukan wang yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Vietnam Selatan sehingga menyebabkan dia mengundurkan diri akibat tuduhan yang memalukan. Presiden Ford pula naik sebagai Presiden pada 1974.

Tetapi sebelum itu, protes pelajar yang tidak dilayan oleh kerajaan menyebabkan mereka berang dan mula bertindak agresif. Semakin banyak universiti dan kolej yang menangguhkan pengajian. Mereka berkumpul beramai-ramai dan membakar draf atau surat panggilan tentera. Mereka beramai-ramai pergi ke Pentagon dan menahan trak dan keretapi yang membawa tentera ke pelabuhan. Beberapa kali keretapi terhenti kerana landasan dipenuhi para pemprotes. Dalam satu teach-in di Chicago pada 1968, mereka di pukul polis dan tentera yang sehingga mengakibatkan bantahan orang awam terhadap tindakan agresif polis dan tentera. Selepas itu, mereka semakin dibantai teruk oleh polis dan tentera sehingga menyebabkan kematian.

Begitu pun, Nixon - ketika berkuasa - sudah mengumumkan dasar Vietnamisasi, iaitu pengunduran tentera AS dari Vietnam Selatan. Maka proses membawa pulang tentera pun berjalan. Beliau menetapkan sehingga 1975 untuk AS keluar sepenuhnya dari Vietnam. Pertengahan 1975, pengunduran besar-besaran berlaku selepas mendapati tentera Utara semakin menghampiri Saigon. Helikopter bekerja tanpa henti mengangkut keluar tentera dan orang awam yang berkumpul dikedutaan sehinggalah akhirnya Saigon jatuh sepenuhnya pada 30 April 1975. Saigon jatuh kerana tentera AS lari, bukan kerana tewas dalam perang seperti yang sering mereka gembar gemburkan.

Banyak yang belaku dalam zaman protes. Seorang Presiden dibunuh, seorang lagi meletakkan jawatan. Martin Luther King Jr, pemimpin kulit hitam juga mati terbunuh pada 1968. Kemudian wujudnya istilah Yippies dan Hippies. Kejayaan Nixon ke China juga menerbitkan istilah menarik seperti Only Nixon could go to China atau It took Nixon to go to China. Bayangkan sahaja ketakutan AS kepada China. Dan haruslah kini China sekali lagi menjadi mangsa ketakutan AS dari segi ekonomi.

Selepas itu, tentera komunis menguasai sepenuhnya Vietnam. Fahaman komunis dipraktikkan dan berlakulah mencabulan hak asasi manusia yang menakutkan. Rakyat Vietnam yang tidak tahan dengan penderitaan melarikan diri menaiki bot kayu yang usang. Ada hanyut hingga ke Hong Kong, Filipina, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Malaysia. Bagi membantu mereka yang kesempitan, kerajaan Malaysia bermurah hati mewartakan Pulau Bidong sebagai penempatan pelarian Vietnam sehinggalah ia di tutup sepenuhnya pada 1991.


Hampir 500,000 tentera AS ditempatkan di Vietnam. Pelarian Vietnam pula mencecah satu juta orang. Separuh dari jumlah itu berkubur dilautan, dibunuh lanun dan matiakibat kebuluran sepanjang perjalanan. Separuh lagi berjaya tiba dan dihantar ke negara ketiga yang sudi menempatkan mereka. Kebanyakan mereka di AS, New Zealand, Kanada, Australia sudahpun memasuki geneasi ketiga.


AS gagal menjadi hero dunia dalam menegakkan demokrasi. Di AS, para tentera yang pulang mengalami trauma akibat perang. Tidak kurang yang bunuh diri kerana tertekan. Ada yang diserang rasa bersalah dan berdosa. Bayangkan sahaja, mereka insan biasa yang tidak tahu tentang perang, dipanggil menjalani latihan dan terus dihantar berperang. Bayangkan sahaja trauma yang mereka alami.

Sehingga kini, AS tidak pernah belajar dari pengalaman. Masih berusaha menjadi polis dunia. Protes pelajar yang begitu menggugat pada 1960-70-an yang turut dirasakn tempiasnya di Malaysia dirasakan satu ancaman. Tidak tahulah apa undang-undang yang digubal di AS terhadap para mahasiswa tetapi kerajaan Malaysia ternyata amat takut dengan student power. Lalu mereka menggubal undang--undang dan mewartakan AUKu di setiap IPT dan IPTA. Mahasiswa disenyapkan sehingga lesu kini. Nak pergi mintak kerja pun tak pandai bercakap, hingg akahirnya selesa menganggur dan menunggu dibantu kerajaan. Nah, akhirnya berbalik juga pada kerajaan kan!




Nota:
1) Semua gambar diambil dari Google

2) Saya sedang menulis kembali kisah yang berlaku ketika perang Vietnam dalam bentuk mudah. Semoga usaha ini mendapat manfaat dan keredhaanNya demi kebaikan semua pihak. Doakan saya berjaya dalam usaha ini.


Isnin, Mei 16, 2011

Apabila Dr Sharol Lail Sujak Berkata-Kata

Dr Sharol Lail Sujak dan novel Andrea Hirata yang dibawa bersama

Saya tidak pernah dengar namanya sehinggalah dijemput menghadiri sesi Borak Buku hujung minggu lalu. ketika mengGoogle namanya, tidak ada maklumat yang keluar tentang dirinya kecuali himpunan buku yang ditulis tentang buku perubatan.

Dr Sharol Lail Sujak seorang Doktor perubatan tetapi mempunyai minat dalam bidang perngkaryaan. Seperti pengenalan oleh Sdr Rahimidin, tidak ramai Doktor dinegara kita yang menulis, cuma beberapa nama yang keluar, seperti Dr Rahmat Haroun dan Dr Hashim Yaacob.

Seperkara menarik, beliau datang bagi membicarakan hasil penulisan Andrea Hirata - tetralogi Laskar Pelangi dan dwilogi Padang Bulan. Jadi, ia satu perkara yang sangat bertentangan - buku bukan dari genre serius dan kerjaya yang serius. Maka, Dr Sharol ini bukanlah seserius doktor saya kira!

Memang, sebaik sahaja beliau tiba. Becky segera berbisik, "eh, macam U-Wei kan gayanya". Masakan tidak, beliau dengan gaya ranggi anak muda - rambut panjang meskipun penjawat awam, baju t-shirt dan seluar jeans - kelihatan lebih muda dan santai. Kami hilang rasa malu-malu kucing dan cepat pula rasa mesra.

Tanpa ditanya, beliau menjawab soalan yang bermain-main dalam kepala kami - mengapa memilih Laskar Pelangi? Mudah sekali jawapannya. Tetralogi Laskar Pelangi ini merupakan satu fenomena, harus dicontohi oleh semua penulis Malaysia. Bukan sahaja cetakannya diulang-ulang, tetapi memberi nilai tambah terhadap struktur ekonomi Pulau Belitong. Bayangkan sahaja, provinsi Bangka-Belitong tidak diketahui ramai. Mana letak duduknya pun tidak diendahkan orang. Apa yang ada disana pun tak siapa yang tahu. Namun dengan Laskar Pelangi - menerusi Andrea Hirata seorang diri sahaja - berjaya menaikkan nama Pulau Belitong menjadi lokasi pelancongan hingga 800% berbanding sebelumnya. Angka yang dahsyat?

Beliau bertanya kepada kepada kami, "ada tak penulis di Malaysia yang karyanya dibaca sebegitu rupa? Atau memberi impak sebegitu kuat?" Kami tidak mengangguk atau menggeleng. Tak tahu apa jawapan kami.

Apabila ditanya mengapa kami harus kekal dengan kerja hakiki dan usah berenti dengan tujuan menjadi penulis sepenuh masa, beliau dengan sinis menjawab, "Kenapa?" Terdiam sebentar kami dari gelak ketawa. "Mengapa harus berhenti?"

"Kerana tak cukup masa menulis."

"Ah itu alasan yang..." kemudian dia menyambung, "you kalau nak menulis, sekarang pun boleh menulis. Dengan teknologi, dengan i-Pod, i-Pad, Blackberry (menunjukkan Blackberry dihadapannya). Saya tengok Sutung siapkan novel dalam henfon sahaja." Dan Sdr Rahimidin pun mengiyakan.

"Saya rasa Andrea Hirata bukan penulis sepenuh masa. Dia tulis semasa dia student, pekerja, tapi boleh siap LP"

Beliau mengambil contoh Sdr Rahimidin disebelahnya yang masih kekal bekerja di Istana Budaya tetapi boleh pergi hingga ke Frankurt, Seoul. Malah lebih hebat dari orang bekerja atau penulis sepenuh masa. Oh...tiba-tiba rasa panas muka. Bukankah dengan wang royalti saya sudah mengecop passport beberapa kali? Jadi, beliau menyarankan sekadar freelance sahaja. Ingat itu.

Beliau berpendapat salah satu sebab mengapa golongan profesional tidak memandang penulis sebagai kerjaya yang baik atau dihormati. Itu salah penulis sendiri.  "Cuba bezakan kalau you seorang engineer yang berkuasa meluluskan projek besar, atau Ir yang sign projek tapi juga seorang penulis berbanding bukan Ir yang jadi penulis. Yang mana dipandang orang?"

Oh, sukar sekali menjawab soalan ini. Dan saya lihat Becky mengangguk-angguk. Dia faham agaknya :-)
Borak Buku bersama Dr Sharol pada Ahad lalu di Coffee Bean, KL Sentral walaupun tak sampai satu jam tetapi sangat menyengat. Apatah lagi tentang cita-cita menjadi penulis sepenuh masa. Tertampar rasanya pipiku sebentar
Beliau menasihatkan kami agar mengubah mentaliti bahawa penulis adalah bidang yang susah, berpendapatan kecil, melarat dan merempat. "Nak beli i-Pad pun tak dapat," katanya. Dan dia menyarankan agar kami sentiasa menulis di Starbucks, di Coffee Bean, di mana-mana. "Kalau orang kaya, jutawan boleh berbisnes di  Starbucks, di Coffee Bean, mengapa penulis tak boleh buat begitu?" Zaman ini katanya, pejabat ada dimana-mana. Tiada pejabat fizikal. Jadi penulis harus keluar. Penulis harus berubah.

Beliau mengambil contoh Pak Samad yang tidak berhenti kerja biarpun giat berkarya. "Pak Samad bertegas tetapi dia seorang sahaja. Jadi tak dapat ubah sistem."

Beliau mengakui kekangan masa menghalangnya dari membaca banyak buku atau membaca buku sehingga habis. Tetapi LP katanya sangat berbeza. Beliau membaca semua tetralogi LP, dan sekarang sudah dua bulan membaca dwilogi Padang Bulan. "Muka surat tiga puluh dua," katanya.

Dan tanpa disangka-sangka, beliau memberi kami kerja rumah. Beliau kagum dengan latar belakang kami yang berbeza, maka beliau mahu kami menghasilkan sebuah cerpen berdasarkan bidang masing-masing. Buat cerpen dan terbit sendiri. Beliau juga akan menulis. Dua bulan masa diberi dan dilancarkan selepas Ramadhan. Aha, terdiam semua. "Asyik borak buku sahaja, tak ada hasil. Apa kata kali ini kita buat sesuatu yang lain." Oh, beliau seorang doktor dan mementingkan outcome dari sekadar kata-kata.

Selepas beliau pulang, kami berbual seketika tentang dirinya. Lutfi kata, "dia bentuk yang tidak berbentuk". Rahimidin kata, "dia lebih under dari underground". Becky kata, "dia bukan mewakili mana-mana pihak". Dan saya kata, "dia unik!"

Dan cerpen perlu disiapkan. Dua bulan ya!

Khamis, Mei 12, 2011

Duri Tanah Rencong dalam Perang Aceh (1873-1913) Dan Peranan Snouck Hurgronje


Buku kecil ini membicarakan tentang gelora di Tanah Rencong - Aceh. Namun meneliti tajuk dengan kesepadanan bab, rasanya tidak patut meletakkan nama Snouck Hurgronje di kulit buku. Ditiadakan pun tak apa. Bab Hurgronje duduknya dua bab dibelakang, dan tidak banyak peranan warga Belanda yang memeluk Islam dan menghuruharakan Indonesia ini dibesar-besarkan.

Jejak Risalah Di Nusantara V: Perang Aceh (1873-1913) Dan Peranan  Snouck Hurgronje terbitan JIMedia merupakan siri kelima dalah Jejak Risalah di Nusantara tetapi ia adalah karya kedua yang diterbitkan. Ini bermakna siri 2 hingga 4 belum terbit lagi. Menurut nota penerbit, buku ini dicetak lebih awal mengenangkan sejarah Aceh yang sangat penting setelah menderita di badai tsunami pada penghujung 2004 .

Peringkat awal, buku ini bercerita tentang  sejarah pulau Sumatera yang menempatkan Aceh di utara. Sejarah Minagkabau yang bersangkutan dengan kerajaan Negeri Sembilan di ceritakan dengan tuntas diikuti Tapanuli (Tanah Batak), kesan letusan Krakatoa juga kemasukan Belanda ke Aceh yang mengakibatkan Perang Aceh. Cara bagaimana Belanda masuk ke Aceh dengan memecah belahkan para pemimpin dan rakyatnya kelihatan agresif berbanding cara Inggeris yang masuk ke Pulau Pinang dan Singapura dengan hanya memperdaya Sultan dengan janji kosong.

Setiap fakta dimuatkan sekali dengan nota kaki dan rujukan yang sangat baik untuk kita memanjangkan bacaan dan menambah kefahaman. Sejarah diceritakan dengan lancar, setiap tokoh diberi keadilan sebaiknya dengan diceritakan segala sumbangan tanpa memburukkan mana-mana pihak. Terselah beberapa nama yang sering di sebut dar Aceh, misalnya teungku Chik di Tiro, Cut Nyak Dien dan Teungku Fakinah. Disarankan kita menyambung bacaan tokoh ini dengan mencari buku lain berkenaan tokoh berkenaan dan Perang Aceh yang sangat pedih kesannya. Mengapa tidak, perang ini menzahirkan siapa kawan siapa lawan.

Cut Nyak Dien misalnya tertangkap selepas orang kepercayaannya, Pang Loat Ali mengkhianatinya. Ada mengatakan Pang Loat Ali tidak sanggup melihat Dien berterusan melawan Belanda lalu dia mengambil langkah menyerah diri dan memberi maklumat kepada Belanda akan kedudukan Dien. Pang Loat Ali amat berharap dien dikenakan hukuman ringan seperti dijanjikan Belanda tetapi Dien di hantar ke sumedang, jawa Barat dengan identiti dirahsiakan bagi mengelakkan pemberontakan rakyat. Hanya pada 1960 barulah kerajaan Belanda memberitahu sosok dien sebenarnya tercampak ke Sumedang Oh, alangkah penakutnya si Belanda, sedangkan Dien saat itu sudahppun buta akibat penyakit yang melanda. Penakut!

 Pang Loat Ali disisi Cut Nyak Dien saat Dien di tangkap belanda. Derita Dien dikhianati Pang Loat terzahir pada wajahnya yang sungguh menyentuh. 

Hanya membaca bab Dien sahaja, air mata saya bisa tertumpah. Seorang srikandi yang cuma berapa kerat tenaga dan upaya mampu mengepalai ketumbukan perang menentang Belanda yang lengkap dengan senapang dan meriam serta askar yang terdiri dari kalangan campuran Belada dan pribumi yang buas (digelar Marsose). Bayangkan sahaja, Marsose ini boleh bergambar beramai -ramai sambil memijak mayat pejuang Aceh yang telah terbunuh. Alangkah pilu rasa hati.


Close-up Dien yang tertangkap. Gambar dari buku Cut Nyak Dien: Kisah Ratu Perang Aceh. MH Skelely Lulofs. 2007

Pada sebilangan masyarakat Indonesia, mereka sesungguhnya tidak mengaku yang Belanda telah menjajah Indonesia selama 350 tahun. Kenyataan ini dilihat pada kedegilan Aceh yang enggan tunduk sewenangnya kepada Belanda sehinggalah dibantai habis-habisan dan jatuh sepenuhnya pada 1912 Aceh menjadi negeri terakhir ditawan, lalu melengkapkan Indonesia sebagai sebuah negara dibawah telunjuk Belanda. Memang Belanda sendiri mengaku yang pejuang Aceh sangat liat ditundukkan. Semangat mereka berbeda dari pejuang lain. Hakikat ini dapat dilihat kepada kepatuhan mereka kepada agama sepenuhnya, menjadikan agama itu tiang kehidupan dengan cita-cita mati syahid ditanamkan dalam diri pejuang.

Aceh yang digelar Tanah Rencong melahirkan ramai pejuang dari kalanganwanita yang mengangkat senjata selepas suami mereka gugur di medan perang. Mereka tidak gentar, tidak takut, tidak berundur. Dan saya menyambung baca buku Cut Nyak Dien: Kisah Ratu Perang Aceh tulisan  Skelely Lulofs, yang boleh dianggap sebagai biografi Dien terbitan asal di Belanda pada 1948 bagi memahami sosok sebenar Dien dan menekuni liku perjuangannya.

Semoga beliau aman di dunia sana. Al-Fatihah

Rabu, Mei 11, 2011

Tentang Rumi


1)
Bagi yang tidak tahu tentang Rumi, pasti bertanya "apalah yang penting sangat pada tulisan Rumi?"

Ah! Ini bukan sebarang Rumi - Jalaluddin Rumi - sosok terkenal dunia, dalam bidang kesufian, dalam bidang kepenyairan. Membaca puisi Rumi boleh membangkitkan keinsafan, menggoda semangat untuk terbang dalam ketakwaan atau tenggelam dalam lautan taubat.

Bukan sebarang orang boleh membaca puisi Rumi. Bukan semua orang boleh capai lapis makna yang Rumi tulis. Karya asal dalam bahasa Parsi, giat di terjemah ke bahasa lain. Kebanyakan teman ada yang mengeluh. Selain mengGoogle Rumi dan terjumpa versi Inggeris, terjemahan dalam bahasa ibunda sangat kurang. Mahu tak mahu, masing-masing capai terjemahan bahasa Indonesia yang berselerak di Fajar Ilmu atau mana-mana buku sekitar Jalan TAR. Ada benar berkualiti. ada yang mngecewakan. Ada yang tidak sampai maksud. Ada yang, tak pasti apa yang dituliskan.

Ketika belajar terjemahan dahulu, sudah ada teor yang mengatakan hasil terjemahan tidak akan sama atau menyerupai bahasa asal. Ia tidak akan 100%. Paling bagus pun, 90% menyamai bahasa sumber (habasa asal). Mahu dapat 80%% pun amatlah sukar. Apatah lagi khazanah Rumi dari bahasa Parsi di terjemah ke bahasa Inggeris kemudian ke bahasa Melayu / Indonesia. Hasilnya pasti tidak menyerupai asal.  Pasti akan hilang 30%, atau 40% atau 50%. melebih 50% dikatakan berkualiti buruk.

Justeru itu, apabila terpandang enam jili Mathnawi berkulit keras dengan tulisan emas terpamer di galeri ITNM sempena Pesta Buku yang lalu, degupan jantung bagai terhenti. Mathnawi dalam bahasa Melayu terbitjuga akhirnya. Bagi rakan penulis, kahbar ini sangat menggembrakan. Ia diterjemah langsung dari bahasa sumber (bahasa Parsi)oelh anak tempatan. Bukan diterjemah dari nahasa Inggeris mahupun bahasa Indonesia. Membaca bagaimana penterjemahnya menukangi Mathnawi Rumi sangat mengujakan - ia adalah satu usaha keras, penuh ketelitian, berhati-hati dan penuh semangat yang harus kita sokong (baca: beli). Ketelitiannya terserlah pada nota kakinya yang mencecah beribu-ribu.

ITNM mempamerkan contoh wajah buku Mathnawi yang bakal d terbitkan. Semuanya berharga RM 3500 dan tidak dijual berasingan. terkdu seketika mendengar harga, tetapi melihat kepada kualiti terjemahan, kerta syang digunakandan ketelitian penterjemah, harga itu dianggap berbaloi dengan usaha penterjemah, Cuma kami para marhaen hanya mampu pegang dan dilihat setakat pesta buku. Untuk membeli rasanya perlu fikri beratus kali...

Walaupun behgtu, khabar dari teman GRMY mengesahkan yang terjemahan ini akan juga di jual pada versi murah untuk para marhaen yang berpendapaan rnedah (atau meang mahu beli murah). Diharapkan kualiti kertasnya masih baik dan tidka merendahkan sama sekali tahap dan ketinggian aura Mtahnawi milik rumi yang sudah sedia punya roh yang tersendiri.

Kepada pecinta Rumi, masih ada masa untuk menabung dari sekarang sebelum ia benar-benar terbit di pasaran!


2)
Dan saya temui DS dengan fokus Rumi. Saya baca kembali dah, ah...memang terjunam terus dalam laras bahasanya yan halus dan indah.


3)
Saya petik puisi Rumi dari laman Penyair. Puisi ini dikatakan diterjemahkan oleh Sasterawan Negara yang baharu, Dato Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) berjudul Takhta Balqis. Nikmatilah kelazatan kata-kata Rumi ini

Waktu Ratu Saba’–Balqis disambut Sulaiman
ditinggalkannya kerajaan dan kekayaannya
samalah dengan cara kekasih meninggalkan reputasinya.

Semua hambasahyanya takbermakna apaapa lagi,
kurang lagi dari ampas bawang

Istana-istananya dan kebun-kebunnya,
tindihmenindih bagai bangkai binatang.

Balqis mendengar arti batin LA! Tak!
Ditemuinya Sulaiman sonder apa, kecuali
Tahtanya! Bagai kalam penulis seolah

sorang teman, bagai aset karyawan untuk
hari demi hari menjadi ‘gitu akrab, seolah
tahta emasnya itulah satusatunya di dirinya.

‘Kan kuuraikan lagi tentang fenomena ini,
tentulah akan menjadi panjang lagi.

Tahta itu amat besar dan payah untuk dipunggah,
karena ia takboleh dipecahpecah, ia seolah
pemersatuan tubuh manusia.

Sulaiman menatap bahwa hati Balqis ‘tlah terbuka kepadanya
dan tahta ini bakal menghantui
pada dirinya. “Biarkan dibawanya,” katanya. “Ia bakal

menjadi pengajaran kepadanya bak sepatu tua
dan jaket bagi Ayaz. Dia bisa melihat
pada tahta dan sejauh mana perjalanannya.”

Dalam masa yang sama, Tuhan dengan proses
berseturutan generasi sebelum kita:

kulit yang licin dan airmani
dan embryo yang mengembang.

Pabila kau lihat sebutir mutiara di bawah
kau tiba pada buih dan kayuan patah
di permukaan. Pabila matahari bersinar, kau lupa
mengumpulkan klompok Skorpio.

Waktu kau saksikan kemesraan penyatuan,
atraksi penduaan begitu indah
dan menawan, tapi tak begitu menarik hati.


JALALUDDIN RUMI
(The Essential Rumi)


Selasa, Mei 03, 2011

Ok, Osama dah mati, jadi?


Wajah Osama yang di super-imposekan

Akhbar hari ini , di Malaya, kecoh di muka hadapannya berita kematian Osama bin Laden. Tidak pasti mereka suka atau duka. Laporan berita sekadar di terjemah dari AP dan Reuters. Dan PM Najib turut sama bersuara, mengatakan yang kematian Obama itu akan memulihkan imej Islam di mata dunia (sebenarnya di mata Amerika)

Sumber di Utusan berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kematian pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden yang terbunuh dalam satu serangan tentera Amerika Syarikat (AS) hari ini akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Apa yang menyedihkan, jenazah Osama dikuburkan di laut dengan alasan untuk mengelak kuburnya dijadikan tempat pemujaan oleh golongan ekstrim. Tetapi sebelum itu Obama sudah berkata yang tentera AS sudah mengambil mayat Osama dari tempat kejadian dan berjanji pengendalian mayat itu akan menghormati amalan Islam.

Apakah tiada tindak balas dari negara Islam akan negara ini? Setakat ini, cuma Al-Azhar sahaja mengeluarkan kenyataan. "Jika benar mayat itu (Osama) telah dicampak ke dalam air, maka Islam menentang sepenuhnya perkara itu," kata Mahmud Azab yang juga merupakan penasihat Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb. Lain-lain masih senyap. Agaknya belum bangun dari tidur. Kita tunggu sajalah mereka berkata-kata selepas ini. Berkata-kata sahaja.


Namun begitu, beliau di beritakan di kebumikan mengikut cara Islam. Jenazah pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden telah dikebumikan di utara Laut Arab dari atas geladak kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat, USS Carl-Vinson selepas dimandikan dan dilaksanakan mengikut cara Islam, kata pegawai pertahanan AS semalam. Cukupkah?


Apakah dengan kematian Osama, Amerika mengundurkan tenteranya dari Afghanistan? Sedangkan Amerika masih menguatkan kedudukan di Iraq, penempatan mereka di Afghanistan yang masih belum tentu. Ada kata mahu keluar, ada kata masih berkira-kira.

Nato pula sibuk mencari Gaddafi di Libya. Hari sebelumnya mereka berjaya bunuh anak dan cucu Gaddai. Mereka juga cuba masuk ke Bahrain. Osama yang terbunuh itupun di Pakistan, dan nyatalah yang Pakistan bekerjasama memberi kebenaran Amerika menggunakan ruang udara, tanah dan airnya untuk memburu Osama. Bekalan minyak di Libya, Bahrain, Iraq dan Afghanistan belum habis. Ini bermakna belum sampai masanya untuk Amerika mahupun Nato mengundurkan tentera mereka.


Apa kata Obama menjelang penggal kedua pemerintahannya?