Khamis, Mei 26, 2011

Penterjemah dan terjemahannya

Tugas penterjemah bukanlah sekadar menukarkan bahasa kedalam bahasa lain. Penterjemah bukanlah 'sebuah kamus' yang tahu semua perkataan walaupun itu adalah pra-syarat atau mungkin kelayakan utama.

Saya memasuki bidang terjemahan secara tidak sengaja. Ada cerita yang berlaku, yang terhasil dari perbualan ketika menunggu pelanggan hampir sepuluh tahun dahulu. Saya kemudian dijemput ke seminar terjemahan di sebuah hotel di Petaling Jaya beberapa minggu kemudian. Oleh kerana saya spesis yang suka mencuba perkara baharu, saya terjah sahaja seminar tersebut. Pergi pun seorang diri dalam keadaan tahu-tak-tahu dimana letaknya Hotel Singgahsana. Hasil dari perkenalan dengan peserta, walaupun dalam keadaan segan dan malu, saya memberanikan diri menerima job pertama - transcribe sebuah buku dalam tulisan Jawi ke dalam tulisan Rumi. Buku itu bertarikh 1911 dan dengan gaya bahasa lama.

Kemudian saya memberanikan diri mengambil Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia-DBP yang lebih murah dan tidak mengambil masa yang lama berbanding kursus yang sama di ITNM yang lebih glamour tetapi bertahap sijil. Saya mula menerima job dari senior translator dan belajar banyak tips terjemahan jarak jauh. Kiranya sebelum OUM buka kursus online, para penterjemah sudah memulakan kursus jarak jauh dan memaksimumkan penggunaan internet.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Saya menjadi seronok menerima tugas tetapi rasa tidak yakin mencari job sendiri. Ramai yang menjadikan kerja terjemahan sebagai part-time job, tetapi lebih ramai yang menjadikannya mata pencarian utama. Jangan tak percaya pula dengan prospek kerja terjemahan.Bukan sahaja buku yang diterjemah, macam-macam medium tersedia. Poster, iklan, brosur, katalog dan yang seumpama dengannya. Terjemahan sarikata pula tidak terhad drama dan filem. Dokumentari, kartun, berita, forum atau apa sahaja. Pendek kata, apa yang ada di tv, boleh diterjemah. Apa yang ada di rak pun, boleh diterjemah. Atau apa yang ada di sekeliling kita pun, memerlukan terjemahan. Papan iklan yang bersepah misalnya, ada dalam dwibahasa atau lebih.

Sebelum menterjemah kita perlu tahu ada syarat yang perlu dipatuhi dan ia adalah rukun untuk dipegang oleh para penterjemah supaya tidak terbabas.

1. Menguasai bahasa sumber. Bahasa sumber ialah bahasa asal si penterjemah. Jika dia berbangsa Melayu, tidak syak lagi bahasa sumbernya ialah Bahasa Melayu.

2. Menguasai bahasa sasaran, iaitu bahasa yang ingin diterjemah. Misalnya menterjemah dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris (BM > EN), maka Bahasa Inggeris adalah bahasa sasaran. Penterjemah perlu kuasai bahasa sasaran bagi memudahkan proses terjemahan dan mengelakkan kekeliruan.

3. Mengetahui bidang, misalnya bidang kejuruteraan, IT, ekonomi atau agama. Jika penterjemah kurang mahir menguasai sesuatu bidang, misalnya diperlukan menterjemah teks perubatan, apa yang dibaca tidak sama dengan apa yang difahami oleh pelajar perubatan. Begitu juga jika menterjemah puisi atau novel. Mesejnya boleh tersasar dan gaya bahasa tidak secantik bahasa sumber.

4. Mengetahui budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran. Jika diminta menterjemah novel Sepanyol, kita perlu tahu akan budaya dan adat bangsa Sepanyol supaya terjemahan itu sejadi dan kena dengan teks asal. Jika tidak, ia boleh menimbulkan kepelikan dan bantahan dari pihak yang berkenaan. Penterjemah perlu berhati-hati akan perkara ini yang dianggap sensitif

5. Mengetahui teori dan amali terjemahan. Seelok-eloknya, bacalah buku yang boleh membantu memahami tugas danperanan penterjemah. Antara buku yang baik di pasaran ialah Teori dan Teknik Terjemahan olen Pn Ainon Muhd dan Prof Abdullah Hassan. Penterjemah juga biasanya mempunyai pelbagai jenis kamus, glosari dan buku istilah yang boleh membantu memudahkan terjemahan.

6. Mengetahui audien sasaran. Harus diketahui buku itu disasarkan kepada kumpulan mana - kanak-kanak atau dewasa, golongan agama atau orang biasa, parti A atau parti B supaya ia diterjemahkan ke dalam bahasa yang sesuai.

Penterjemah harus tahu bahawa menterjemah bertujuan mengekalkan mesej asal bahasa, bukannya susunan perkataan atau gaya bahasanya. Contohnya, jika bahasa sumber menggunakan ayat pasif, tidak semestinya diterjemah kepada ayat pasif. Penterjemah boleh menukarkan kepada ayat aktif jika ia boleh menghindari kekeliruan dan menguangkan kejanggalan.

Saya akan tulis lagi isu yang berkaitan dunia terjemahan yang menarik dan unik. Entri ini pun saya tulis kerana esok akan menghadiri interview merangkap ujian menterjemah. Jadi, anggaplah sahaja saya mengulangkaji pelajaran. Apatah lagi buku yang hendak dibaca lesap malam ini. Baca nota sahajalah. Aduhai...

4 ulasan:

Jennderal Jenab berkata...

wah!

Farhana Sukre berkata...

Semester ini saya belajar mengenai penterjemahan. Berguru dengan Raja Rajeswari.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Puan Jenderal: apa yang wah?

Farhana: Selamat berguru :)

anwar razak berkata...

salam, tumpang tanya kalau perkataan seperti 'spoiler' & swipe touch screen yg tiada dlm b.melayu nak buat camne? boleh pinjam terus ke? terima kasih..