Isnin, Jun 27, 2011

Tanjong Pagar dan jelajah Temasik 1

Bukti saya pernah sampai ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Tiket ini akan diarkibkan dan dua puluh lima tahun lagi akan dilelong pada harga yang sangat tidak percaya!

Saya tidaklah teruja dengan Tanjong Pagar - Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Itu semua politikus punya agenda. Tetapi saya mahu jadi sebahagian daripada sejarah mereka yang pernah sampai disana. Jadi niat saya ialah mahu ke Tanjong Pagar sahaja. Ambil gambar kemudian pulang.

Saya menaiki keretapi malam pada pukul 11 dari KL Sentral dan tiba di JB Sentral pada jam 7.30 pagi. Keretapi seterusnya prlahan-lahan memasuki Woodlands untuk pemeriksaan passport lalu meneruskan kembali perjalanan menuju ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar dan tiba jam 8.30 pagi. Ya, elok sungguhlah kelewatan dua jam itu kerana dalam tiket masa yang ditulis sungguh cantik - 6.30 pagi. Kasihan sahabat saya, Jenn Jenab yang berpeluh menunggu selama dua jam.

Saya banyak mencatat dalam Facebook seputar perjalanan singkat ini. Singkat kerana saya pulang kembali pada hari yang sama juga dengan keretapi jam 11 malam. Tetapi ia perjalanan yang lebih dari apa yang saya jangka. Manusia yang saya temui, kenalan baru yang mengujakan, perjalanan yang mendewasakan, teknologi yang memudahkan, pengangkutan yang menakjubkan dan identiti yang terhapus dalam kemodenan.

Perjalanan saya bukan sekadar meletakkan memori diri pada stesen keretapi yang agam tetapi kotor ini, tetapi mengenali Temasik dengan lebih dekat, lebih dalam.

Setiap entri saya selepas ini adalah berdasarkan tulisan yang saya muat naik di Facebook.

Teringat lirik Warisan : Anak kecil main api, Terbakar hatinya yang sepi, Air mata darah bercampur keringat, Bumi dipijak milik orang

Isnin, Jun 20, 2011

DOM: Seni dan sastera dalam ruang politik

Kredit foto kepada Zalila Isa yang telah diberi amaran supaya tidak mengemukakan soalan atau pulang dengan tayar keretanya pancit.

Saya dijemput oleh Sdr Lutfi Ishak untuk menjadi ahli panel dalam Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah Pena pada hari ini, 19 Jun. Saya menolak permintaan ini asalnya, kerana menyedari masalah utama saya ialah ketidakupayaan berkata-kata secara spontan. Menulis dan berkata itu berbeza. Tetapi Lutfi menyarankan agar saya mencuba dahulu memandangkan 'kita kekurangan srikandi', katanya.

DOM bulan ini bertajuk 'Seni dan sastera dalam ruang politik'. Bicara tentang politik itu mudah, tetapi apabila melibatkan seni dan sastera, maka saya harus mengambil kira pandangan-pandangan sebelum ini akan perkahwinan seni-sastera dengan politik. Sebelum itu, saya sendiri berpendapat yang seni-sastera perlu diasingkan dan berdiri dengan sendirinya tanpa dipengaruhi politik. Sebaliknya, seni-sasteralah yang perlu bertanggungjawab mempengaruhi politik.

Ada beberapa perkara penting yang saya sampaikan:

1) Seni-sastera harus melepaskan diri dari politik
Sasterawan Negara yang pertama, Keris Mas dalam pidato penerimaan Sasterawan Negara pada 1981 sudah pun menyatakan bahawa ‘kedudukan sastera dan segala kegiatannya haruslah dikecualikan darpada kepentingan politik golongan atau politik parti’. Beliau kemudian menerangkan mengenai politik sastera dan sastera politik. Amat baik untuk kita faham keduanya. Beliau mengatakan bahawa, 'politik sastera yang saya maksudkan ialah pendirian politik terhadap sastera, dari segi polisi tentang sastera dalam hubungannya dengan kehidupan kebangsaasn. Ini berbeza dengan pengertian Sastera Politik, iaitu sastera yang diperalat oleh golongan atau parti politik.'

Saya setuju dengan pandangan Haris Zalkapli bahawa kita harus membezakan parti politik dan politik. Parti politik ialah apabila kita berdiri atas pentas parti, mewarnakan diri kita dengan ideologi parti menjadikan diri kita ini berpihak. Sikap yang harus kita ambil ialah tidak partisan (non-partisan), tiada parti, tidak meyebelahi dan tidak memihak. Oleh itu, kita boleh mengambil sikap untuk mengkritik dan mengulas tanpa ada apa-apa kepentingan pun. Label yang kita pakai (sekiranya berparti), sekadar membunuh minat pembaca kerana mereka tahu kepada siapa tulisan itu ditujukan.

Oleh itu, adalah baik untuk menulis isu politik kerana kita bebas untuk mengkritik dua pihak – pembangkang dan pemerintah. Orang politik ada kepentingan sendiri tetapi orang seni ada kesamaan antara mereka. Budayawan, karyawan dan seniman mengkagumi hasil SSB tanpa mengira warna kulit. Kecintaan terhadap seni membolehkan mereka misalnya duduk berjam-jam hanya untuk memperkatakan sebuah buku yang dibaca. Cuba kita lihat apa yang orang politik lakukan apabila bertemu. Perkara yang negatif sahaja boleh kita

2) Seni dijadikan sebagai ruang escapism untuk berhibur.
Meluat dengan suasana politik, seni dijadikan landasan untuk bergembiran dan berhibur. Seni-sastera khususnya, mula mengasingkan diri dari politik. Mereka perlu mencari sesuatu untuk membuang rasa menyampah terhadap politik yang dipenuhi janji palsu dan adu domba. Namun begitu, mutakhir ini sudah ada serpihan anak muda yang berani bergerak atas dana sendiri menghasilkan karya seni secara sendiri-sendiri. Mereka mencetak buku sendiri dan dijual kepada kawan-kawan. Filem pendek yang dihasilkan pula menunjukkan pemberontakan secara sinis terhadap masyarakat dan pemimpin. Ini boleh dikatakan suara baru dunia anak muda yang sudah terdedah dengan gelombang FB, Twitter, blog, friendster, myspace, youtube dsb.

Mereka ada banyak saluran bagi menerbitkan karya. Jika bukan dengan jalan biasa, bisa sahaja mereka menjualnya secara underground atau pun dalam talian. Mereka menggabungkan seni, sastera, budaya, mewujudkan satu identiti baru seperti apa yang dikatakan oleh SM Zakir sebagai vernakular cosmopolitan. Konsep mereka urban dan moden, elitis dan natural. Tidak ada unsur agama, budaya, adat dimasukkan. Mereka adalah satu kelompok yang membentuk acuan sendiri yang berbeza dari acuan semasa. Mereka tidak mahu menyibukkan diri dengan politik dan tradisi yang telah menyelimuti mereka sejak lahir. Mereka adalah kelompok pemberontak yang mahu suara mereka dinilai bukan berdasarkan keadaan semasa apa yang tetapi berdasarkan apa yang mereka ada tanpa ada penglibatan unsur luar.

3) Politik mengongkong SSB menjadikan ia tidak bebas bergerak
Para budayawan, karyawan dan seniman dewasa ini kelihatan tidak bebas berkarya. Mereka takut untuk bersikap kerana ditakutkan oleh undang-undang. Semakin keras undang-undang dikenakan, semakin kurang nilai karya yang dihasilkan. Oleh itu, semakin banyak karya picisan dihasilkan, filem tahyul bermaharajalela dan novel pop semakin galak diterbitkan.

Ramai pihak kini selesa play-safe, mengambil jalan selamat dalam berkarya. Tidak mengkritik terlalu keras atau menghentam secara terang-terangan. ISA dan OSA dijadikan punca ketakutan. Inipun berlanjutan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Mengambil contoh Operasi Lalang ada 1987 dimana lebih 100 orang ahli politik ditahan dan empat akhbar dibatalkan permit. Manakala gegar reformasi pada 1997-8 menyaksikan beberapa majalah tenggelam timbul terbitannya seperti Tamaddun dan Wasilah. Ketakutan terhadap periuk nasi menjadikan karya yang menggugat semakin kurang nilainya. Kononnya kita diikatkan diberi kebebasan tetapi bebas dalam makna yang bagaimana jika kaki dan tangan diikat?

4) Seni-sastera harus keluar dari prejudism kepartian
Para budayawan, karyawan dan seniman tidak boleh berdiri atas parti politik tetapi boleh berpolitik. Misalnya apa yang SN A Samad Said lakukan terhadap PPSMI dengan berceramah atas pentas parti PAS kerana perjuangan mereka sama – menghapuskan PPSMI. Jika UMNO sendiri menentang PPSMI, saya pasti Pak Samad pun akan turut duduk semeja. Tetapi apa yang SN Shahnon Ahmad lakukan ketika menjadi ahli PAS dan menjadi ahli parlimen itu pula berbeza. Beliau sudah memilih untuk berpihak dan memakai baju parti dalam setiap langkah. Oleh itu, tiap kali beliau menulis (waktu itu) boleh kita anggap sebagai mewakili suranya dalam PAS walau pun kini beliau sudah berpatah arang berkerat rotan.

5) Seni-sastera mempengaruhi politik atau seni-sastera dipengaruhi politik
Seni dan sastera adalah perakam perjalanan politik negara. Memperkatakan mengenai seni, sastera dan budaya dalam ruang politik masa kini, ada dua konteks yang perlu kita lihat. Pertama, apakah seni, sastera dan budaya dipengaruhi oleh politik atau kedua, apakah seni, sastera dan budaya mempengaruhi politik. Apa yang jelas dapat kita perhatikan kini, politik sudah mempengaruhi seni dan sastera, menjadikan apa-apa sahaja karya dihasilkan dengan berhati-hati dan melalui jalan yang selamat. Ada batasan yang tidak dapat dilihat, yang telah ditetapkan bagi kreativiti tertentu sehinggakan seolah tidak wujud kebebasan untuk berkarya.

Keadaan ini berbeza dari apa yang berlaku ketika berusaha kearah kemerdekaan. Propaganda kemerdekaan dihasilkan menerusi karikatur, sandiwara, filem, lagu patriotik juga tulisan dalam bentuk puisi, cerpen yang mengajak rakyat untuk bersatu dan bersedia. Selepas merdeka, seni dan sastera dilihat sebagai pemangkin kefahaman rakyat terhadap agenda politik negara ketika itu yang dalam proses memajukan dan membangunkan tanah air. Maka, ramai budayawan, karyawan dan seniman khususnya dari kalangan yang berpendidikan turun padang dan berdiri di atas pentas politik untuk membantu dan bercakap bagi pihak kerajaan. Karya yang dihasilkan, cerpen dan puisi misalnya adalah menunjukkan betapa kerajaan sangat mementingkan pendidikan, pembangunan seperti pembinaan jalanraya dan sekolah, kemudahan bekalan elektrik dan air yang bersih. Dalam cerpen, watak-watak ahli politik ditunjukkan sangat bekerja keras saban waktu demi membalas jasa kerana dipilih menjadi wakil rakyat. Pegawai kerajaan pula dilihat bertimbang rasa dengan rakyat dan bekerja dengan sepenuh hati sebagai seorang penjawat awam yang berhemah. Mereka menganggap kerja yang mereka galas adalah tanggungjawab yang maha besar yang perlu dipikul dan perlu dilaksanakan demi kepuasan rakyat.

Dalam tahun 1970-an misalnya, kerajaan giat mengajurkan dan menaja pelbagai acara, sayembara atau peraduan yang bersifat seni dan sastera. Hadiah yang ditawarkan luamayan. Tetapi ada timbal baliknya pula. Kerajaan mahukan apa yang ditulis itu ada kena mengena dengan kerajaaan, atau dalam bahasa kasarnya mempunyai unsur mengampu, bukannya mengkritik. Ketika itu, seni dan sastera semakin dilihat dipengaruhi oleh politik dan terpaksa mengikut arus politik.

Namun situasi politik yang menyebalkan sesudah itu menyaksikan seni dan sastera meminggirkan diri dari terlibat dalam politik. Seni dan sastera dipisahkan dari politik dan mencari tapak untuk berdiri atas kaki sendiri. Ia tidak lagi dianggap penting dan berupa hiburan semata-mata. Seni dan sastera dijadikan alat untuk membuang rasa meluat, menyampah dan rasa kelakar terhadap badut politik yang seperti sarkas. Seni dan sastera menjadi hiburan yang menggembirakan menerusi karya ringan dan picisan. Politik bukan lagi medan serius, oleh kerana msyarakat sudah menyampah dengan politik, maka mereka mengambil seni dan hiburan sebagai medan membuang rasa meluat itu. Seni dan sastera dijadikan alat untuk berhibur dan bergembira, bikin senyum dan suka, buang masalah dan hiruk pikuk dunia.

Oleh sebab itulah, filem yang ditayangkan tidak lagi berunsur mematangkan atau mendewasakan atau berunsur serius tetapi dipenuhi tema tahyul, semi porno, keruntuhan akhlak dan gangsterisme. Sesekali apabila filem yang baik dikeluarkan, misalnya 1957 Hati Malaya, tiada sambutan diberi kerana ia ‘tidak menghiburkan’.

Dari segi penulisan pula, timbul apa yang dipanggil novel pop, yang merupakan bacaan ringan berkisar kisah cinta disulami unsur kemasyarakatan. Kurang sekali (bukan tiada langsung) dapat kita lihat karya yang benar menggigit sebagaimana dahulu dihasilkan oleh Affandi Hassan, Usman Awang. Oleh itu, ada yang mengaitkan ini dengan penganugerahan SN yang begitu jauh jaraknya antara satu sama lain (SN Anwar Ridwan dan SN Kemala adalah terkecuali).

DOM ditutup dengan soalan terhadap kurangnya keprihatinan karyawan terhadap isu semasa, misalnya peruntukan MASTERA yang dipotong. Karyawan kelihatan sangat minat dengan politik dan mengkesampingkan isu lain yang tidak kurang hebatnya. Saya menjawab, bagaimana boleh kita mengetahui sesuatu itu besar atau kecil jika akhbar arus perdana saban waktu memaparkan berita politik dan propaganda parti sebagai berita utama, sehiggakan kisu berkaitan masyarakat diketkepikan dan diberi ruang kecil sahaja.

Acara pun tamat dan setiap panel dihadiahkan senaskhah terjemahan The World Is Flat ihsan ITNM serta token. Dunia Sama Rata - yang selalu saya belek dan renung dari jauh akhirnya masuk ke dalam rak buku saya. Membaca sepintas lalu muka surat pertama dan kedua, sangat menarik sekali kupasannya Thomas Friedman sehingga memaksa saya berjanji untuk segera menamatkan buku ini.

Terima kepada DOM dan Pena yang memberi peluang dan Lutfi yang membuka ruang. Terima kasih daun keladi, kalau mahu jemputlah lagi :-)

Selasa, Jun 07, 2011

Musuh manusia

1)
Sang pujangga ada berkata, "manusia bermusuh dengan sesuatu yang dia tidak tahu". Benarlah, selama mana kita tidak berusaha mencari tahu, selama itulah kita diselubungi teka-teki, was-was, risau, takut, gelisah, keliru dan akhirnya menimbulkan syak wasangka terhadap diri sendiri. Terhadap kemampuan sendiri. Atas sebab itulah, kita diminta sentiasa bertanya, mencari ilmu, membaca, belajar dan mengajar. 


2)
Sudah lama saya terpandangkan novel Saman, Larung dan Bilangan Fu. Sudah lama saya berkenalan dengan Ayu Utami menerusi enjin carian Google. Setiap kali saya membaca mengenai beliau, setiap kali itulah saya diserang seba salah dan was-was. Keliru. Pada satu sisi, saya sangat teringin membacanya. Pada satu sisi yang lain, saya risau terpengaruh dengan janaan idea didalam karyanya. Ayu Utami, label besarnya adalah unsur feminisme yng kuat, kritikan keras keatas agamawan dan aroma seksualiti yang mewarnai karya. 

Saya mengakui diri ini seorang yang mudah terpengaruh dengan apa sahaja. Apa yang saya baca, dengan siapa yang saya berkawan, dengan apa yan saya tonton, dengan apa yang orang kata. Mudah terpengaruh biarpun sudah memikirkan baik buruknya sebelum itu. Maka bagi mengelakkan diri diserang perasaan bersalah dengan terikut-ikut dan terkejar-kejar, maka saya akan mencari dan menyelidiki tentang seua perkara. Boleh jatuh dalam kategori menyiasat juga. 

Akhirnya, saya tidak pasti cara ini betul atau salah. Sebelum membaca sesuatu novel, saya akan selidik latar belakang penulisnya, kaji gaya hidupnya, baca resensi karyanya dan dengar pendapat orang lain akan tulisannya. Selalunya saya akan terpengaruh, dan selalu juga saya mengelak dari terpengaruh. Setelah tamat membaca saya akan keluarkan pandangan sendiri - ia boleh jadi setuju atau tidak setuju. Jadi, apakah saya bias menilai penulisnya jika berbuat demikian? 

Kebanyakan teman yang saya tanyakan menjawab 'ya'.


3)
Jumaat lalu saya memesan tiga naskhah dari tetralogi Laskar Pelangi - Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov. Menerusi rakan yang menjual buku langsung dari tanah seberang, saya bertanyakan isu yang bergalau dalam kepala.

"Bagaimana harus saya membaca sekiranya saya takut dengan apa yang saya baca?"

Saya panggil dia Ustaz, kerana dia lulusan agama dari Al-Azhar. Kami berkenalan menerusi Facebook. Jawapannya meredakan suhu kenaifan saya.

"Kita membaca untuk mendapat tahu. Apa yang dituliskan, yang dibahaskan, yang diceritakan. Sekiranya kita tidak membaca, bagaimana kita tahu apa yang dituliskan? Bagaimana boleh kita berbahas akannya? Bagaimana boleh kita mengeluarkan fikiran kita bagi untuk memberitahu khalayak akan apa yang dicerita?"

Saya menarik nafas. Ustaz memberi solusi yang bernas. Saya merasa lega. Dia memberi contoh tentang novel Perempuan Berkalong Sorban (PBS) yang kemudiannya difilemkan dengan judul yang sama.

"Salah tafsiran terhadap pesantren dan kritikan terhadap agamawan yang dilemparkan dalam filem itu dijawab dalam novel ini." Dia menunjukkan novel Kemi tulisan Adian Husaini yang turut dibawa bersama. Katanya, PBS mungkin membawa nilai yang tidak baik untuk masyarakat luar, tetapi jika filem dan novelnya ditolak mentah-mentah sebelum dihadam, mana mungkin kritikan dan salah tafsiran itu boleh dijawab dengan sebaiknya. "Jika kita menilai apa yang orang kata sebelum membaca dan menonton, kita akan buat penilaian yang salah terhadap PBS. Bermakna kita menilai atas apa yang dinilaikan orang. Bukannya atas pengamatan sendiri."

Maka, kata Ustaz, Kemi ditulis bagi membalas segala salah pandang terhadap Kemi dan agamawan. "Apatah lagi, Adian Husaini ini adalah anak murid Prof Al-Attas. Maka wacana didalamnya adalah sahih dan autentik."

Saya memegang Kemi. Dalam hati tersirat perasaan kecewa. Kecewa kerana Malaysia tidak disuburkan budaya seperti itu. "Bagus ya di Indonesia, budaya ilmiah menerusi buku seperti ini berkembang. Saling membetulkan dan berbahas menerusi karya. Membiakkan masyarakat membaca dan berbudaya, saling menerima apa sahaja pandangan untuk dibahaskan. Bukannya membangkang dan menolak sebelum mendengar."

Ustaz mengangguk. "Begitulah yang sebaiknya. Para ilmuan tdak patut mengambil sikap menolak. Di sana, mereka tidak rasa takut atau rasa bersalah untuk masuk ke pawagam bagi menonton filem yang kontroversi, kemudian keluarkan artikel, makalah, buku, novel atau apa sahaja bagi melawan kritikan itu."

Saya menggelengkan kepala tanda kurang percaya dengan beza budaya penerimaan dua negara. Sayangnya, Malaysia kita kurang sikap seperti itu. Bukankah berbahas-bahas dalam medan ilmiah dengan saling mengeluarkan tulisan bagi menjawab dan mengkritik itu membantu mengukuhkah akar keilmuan dan pembelajaran? Tetapi kita senang berbalah di kaca tv, di suratkhabar, di jalanan. Hasilnya kita sendiri tahu.

Kami tidak mampu berbicara panjang. Kemi dan tiga naskhah Andrea Hirata pun bertukar tangan. Saya sudah mendapat jawapan terhadap Saman, Larung dan Bilangan Fu. Buku-buku ini masih tergolek dilantai yang sarat buku dan saya menanti waktu menghadamnya dengan kesabaran. Janji saya, tidak ada berat sebelah pun sebelum halaman pertamanya saya baca!

4)
Memang benarlah kata pujangga, "manusia bermusuh dengan sesuatu yang dia tidak tahu". Sentiasalah menceduk ilmu dari pelbagai sumur. Rasailah air yang pelbagai rasa. Bukannya menceduk air dari bermacam sumur tapi dengan perisa yang sama.



Khamis, Jun 02, 2011

Countries Of The World: Iran - Tentang sebuah negara bernama Iran

Ramai orang takut bila sebut nama negara Iran. Takut digelar Syiah. Sedangkan dia faham atau tidak apa itu Syiah. Entah tahu atau tidak kenapa Syiah menjadi ketakutan. Entah dia sedar atau tidak kenapa dia berpaksikan ahli sunnah wal jamaah. Kalau di tanya pun, mesti tak tahu jawab apa. Yang dia tahu, Syiah itu sesat. Sesat lagi menyesatkan. Tetapi kalau nak takut dengan Syiah pun janganlah libatkan Iran yang 99% orang Islamnya memanglah Syiah. Iran dan Syiah tu berbeza kawan!

Oleh itu, bila ada orang yang menyatakan dia mahu melawat Iran, pasti ada yang menjengilkan mata. Apa gila mahu ke Iran? Syiah! Oh, kalau ke negara kafir macam Amerika, UK, Perancis, Itali tu tak apa ya?

Selain Turki dan Sepanyol, saya memasukkan Syiah Iran sebagai negara yang mahu saya lawati. (Bila tu, jangan cakaplah). Sebab-sebabnya ada saya ceritakan disini. Sebagai seorang insan yang menjiwai budaya dan sejarah, atau disebut sebagai etnolog (pemerhati suku bangsa), melihat negara yang punya sejarah yang panjang dan besar, kesan sejarah yang masih tersisa, kebudayaan yang pelbagai dan keunikan tradisinya merupakan satu ruang yang besar untuk saya mensyukuri nikmat Tuhan. Iran misalnya, telah wujud sejak sekian lama dan pernah menjadi mutiara dikalangan negara Eropah. Melahirkan ramai ilmuan dan menjadi pusat rujukan ilmu, Iran turut mempunyai binaan yang besar agam dan teknologi kuno yang hebat. Kiranya teknologi itu dikaji hingga kini dan turut digunakan kerana lebih menjimatkan tanpa menggunakan bahan kimia.

Orang Iran bukan orang Arab. Mereka orang Parsi, iaitu asal nama Iran itu sendiri. Mereka ada tulisan dan bahasa sendiri. Maka itu sudah menyerlahkan keunikan Iran. Selepas kerajaan Shah dijatuhkan menerusi Revolusi Iran pada 1979, Iran terus diperintah dibawah Mullah yang merencanakan perjalanan Iran berdasarkan landasan yang mereka kehendaki, berbeza dari apa yang mereka lalui ketika dibawah pemerintahan Shah.

Apa yang menarik tentang Iran ialah meskipun negara ini ditekan oleh Ameika dan para sekutunya, tidak ada pula kedengaran rakyatnya kebuluran seperti negara di Afrika sana. Mereka menjadikan itu sebagai satu anger motivation - menjadi motivasi untuk naik dan bangun menggunakan tulang empat kerat sendiri. Mereka dikenakan sekatan ekonomi dan macam-macam ketetapan PBB yang berat sebelah. Tetapi Iran boleh membangunkan tenaga nuklear sehingga menakutkan barat, ada roket sendiri, mempunyai kilang kenderaan yang dieksport, pasukan bolasepaknya sudah beberapa kali ke Piala Dunia, filemnya yang sangat bermakna, membangunkan sendiri dalam sains dan teknologi sehingga berjaya mencipta robot dan pelbagai ciptaan lain. Semuanya menggunakan fbuah fikiran dna kepandaian anak tempatan. Lagi ditekan, lagi keras mereka berusaha, lagi  maju mereka kedepan.

Buku ini menceritakan secara ringkas tentang Iran, sejarah, latar budaya, bandar utama dan struktur penduduknya. Cukuplah buku nipis ini menceritakan tentang Iran kerana sukar sekali mendapatkan buku berkenaan Iran di pasaran.

Rabu, Jun 01, 2011

Kias Fansuri - M.Nasir

Tak sempat dipapas / Hidangan ku habis
Bila ku terpandang / Dia melangkah / Masuk hendak menjamu selera

Geletar lututku / Di belakang tabir
Bila ku terdengar / Namaku dipanggil / Dia matanya merah menyala
Dia... hadiahkan tubuhku / Tujuh lacutan pedang saktinya / Dia...

Jangan sesekali kau ceritakan / Pengalamanmu Yusuf
Takut-takut mengundang bencana

Siapa tahu / Betapa berat cinta yang ditanggung
Sehingga dia sanggup lakukan / Biar apa saja demi mendapatkan
Restu Sultan cahaya hatinya

Tak sia-sia azam Zulaikha / Bisa jadi cermin mengintai jiwa
Tak sia-sia mimpi Zulaikha / Bisa jadi lorong insan bercinta

Bisikan memujuk / Memupuk nurani
Lalu terbukalah / Pintu yang menghijap

Dia... / Aku kenal dia lama dahulu
Dia... / Yang melamarku dalam mimpi

Kias fansuri / Mawar berduri / Kias fansuri
Lembah yang sepi / Kias fansuri
Madah bersari / Kias fansuri
Langit yang tinggi


Saya bukanlah peminat M Nasir. Lagunya didengar sekadar peneman telinga. Biarlah apa orang kata tentang lagunya, tentang liriknya, tentang sufinya, tentang iramanya.

Namun, akhir-akhir ini tangan jadi ligat pula menekan Youtube dan mencari liriknya. Satu persatu dihayati, digali maknanya. Dicari buku yang sesuai sebagai rujukan, di buka kamus bagi mencari makna, Digodek-godek Wikipedia bagi mencari maklumat yang tercicir. Tak habis dipejabat, di rumah pun lagu-lagu itu sahaja yang dimainkan. Tak cukup mememuat turun, sibuk pula nak cari CD-nya.

Mujur sahaja kereta masih guna pemain kaset.

Benarlah kata orang, bila dah sampai waktu dan ketika, kalau dah gila tu, gila juga.