Isnin, Jun 27, 2011

Tanjong Pagar dan jelajah Temasik 1

Bukti saya pernah sampai ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Tiket ini akan diarkibkan dan dua puluh lima tahun lagi akan dilelong pada harga yang sangat tidak percaya!

Saya tidaklah teruja dengan Tanjong Pagar - Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Itu semua politikus punya agenda. Tetapi saya mahu jadi sebahagian daripada sejarah mereka yang pernah sampai disana. Jadi niat saya ialah mahu ke Tanjong Pagar sahaja. Ambil gambar kemudian pulang.

Saya menaiki keretapi malam pada pukul 11 dari KL Sentral dan tiba di JB Sentral pada jam 7.30 pagi. Keretapi seterusnya prlahan-lahan memasuki Woodlands untuk pemeriksaan passport lalu meneruskan kembali perjalanan menuju ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar dan tiba jam 8.30 pagi. Ya, elok sungguhlah kelewatan dua jam itu kerana dalam tiket masa yang ditulis sungguh cantik - 6.30 pagi. Kasihan sahabat saya, Jenn Jenab yang berpeluh menunggu selama dua jam.

Saya banyak mencatat dalam Facebook seputar perjalanan singkat ini. Singkat kerana saya pulang kembali pada hari yang sama juga dengan keretapi jam 11 malam. Tetapi ia perjalanan yang lebih dari apa yang saya jangka. Manusia yang saya temui, kenalan baru yang mengujakan, perjalanan yang mendewasakan, teknologi yang memudahkan, pengangkutan yang menakjubkan dan identiti yang terhapus dalam kemodenan.

Perjalanan saya bukan sekadar meletakkan memori diri pada stesen keretapi yang agam tetapi kotor ini, tetapi mengenali Temasik dengan lebih dekat, lebih dalam.

Setiap entri saya selepas ini adalah berdasarkan tulisan yang saya muat naik di Facebook.

Teringat lirik Warisan : Anak kecil main api, Terbakar hatinya yang sepi, Air mata darah bercampur keringat, Bumi dipijak milik orang

1 ulasan:

Mawar berkata...

Norziati
di sinilah asal kelahiran saya...