Khamis, Julai 21, 2011

Bakal doktor dan rasuah dalam Meniti Jalan Hadapan

Seorang pelajar kolej yang dalam persediaan ke luar negara telah memilih novel Meniti Jalan Hadapan sebagai kajian dan kritikan novel untuk dibandingkan dengan novel dari Ghana, The Beautiful Ones Are Not Yet Born, karya Ayi Kwei Armah yang diterjemah ke Bahasa Melayu oleh DBP dengan judul Yang Indah Belum Menjelma Lagi. Tajuk kajiannya cukup menarik - Cabaran Integriti Dunia Korporat dan Sosial Dalam Novel Meniti Jalan Hadapan dan Yang Indah Belum Menjelma Lagi. Katanya, perbandingannya dilihat dari faktor dan kesan gejala itu berlaku dan membandingkan suasana masyarakat Ghana yang miskin dan golongan korporat Malaysia.

Beliau telah beberapa kali berbalas emel dengan saya bagi mendapatkan maklumat lanjut serta bersoal jawab seputar isu rasuah yang menjadi tema utama MJH. Saya menjawabnya dengan panjang lebar, beserta pautan dari laman blog untuk dijadikan sebagai bacaaan tambahan. Selepas beberapa bulan, beliau mengirimkan emel menyatakan kajian tersebut mendapat gred B. Katanya lagi, Alhamdulillah, saya mendapat gred B bagi extended essay tersebut, yang dikira agak bagus kerana sukar sebenarnya membuat perbandingan antara novel tempatan dan antarabangsa, dan extended essay tersebut pula ditanda oleh profesor universiti sama ada di Malaysia atau Indonesia yang tidak mengajar saya. Apa-apapun, terima kasih atas jawapan-jawapan kepada soalan saya. Penasihat extended essay saya sangat terpegun melihat jawapan-jawapan yang akak berikan.

MJH sudah beberapa kali menjadi bahan kajian dan tesis siswa tahun akhir. Saya amat berharap pihak-pihak yang tertentu dapat mengangkat novel ini sebagai kajian khusus dan mengambil pandangan didalamnya secara serius kerana ia ditulis bukanlah sekadar fiksyen tetapi bagi melampiaskan hakikat yang wujud, yang tidak disedar, tidak dilihat atau tidak diambil peduli. Rasuah sebagai tema utamanya memaparkan kebobrokan institusi perniagaan dan sikap pecah amanah dikalangan penjawat awam yang mengambil kesempatan diatas usaha pihak kapitalis dalam mencari ruang meluaskan empayar niaga.


 Seperti kata pelajar ini dalam emel akhirnya, 'Sekali lagi, Alhamdulillah. Bagi pelajar yang sekian lama berkecimpung dalam bidang sains (kerana saya asalnya pelajar mrsm dari tingkatan satu) dan sastera adalah bidang yang sangat baru, walau sekadar mendapat gred B, tetap ianya satu nikmat untuk disyukuri. Seronok sebenarnya membaca novel-novel tentang budaya sesuatu bangsa dari latar belakang negara berbeza dan tidak sia-sia sebenarnya mengkaji sesebuah peradaban dan ketamadunan. Selamat membaca karya penulisan kritikan seorang bakal doktor (insyaAllah) yang menyahut cabaran keluar dari kotak pemikiran sains. Tetapi bagi saya, mengkaji novel ini sebenarnya adalah sains kemasyarakatan.'

Beliau akan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda di Ireland pada bulan September nanti. Moga apa yang tertulis dalam MJH menjadi iktibar buatnya apabila lepas bebas dari dunia baca-tulis nanti.

3 ulasan:

najibah berkata...

Norziati,

Itulah nikmat dan kepuasan tertinggi pengarang bukan, apabila karya dikritik, diperkatakan, dan dihidupkan semula berulang-ulang :)

Dan sedikit komentar luar topik, mungkinkah secara umumnya, tak ada manusia yang sepenuhnya merdeka dari dunia baca-tulis?

ayna zeck berkata...

assalamualaikum ,
bolehkah jika saya meminta bantuan saudari dalam kajian saya tentang novel tunggu teduh dulu ?

Norziati Mohd Rosman berkata...

Ayna Zeck,
Sila hubungi saya di norziati@gmail.com. InsyaAllah, saya cuba bantu mana yang berkenaan